DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 11

Zureen bergegas masuk ke dalam banglo
mewah itu. Langkahnya sama laju dengan degupan
jantungnya. Dia ingin segera masuk ke biliknya untuk
menunaikan solat asar terlebih dahulu sebelum
menyambung kembali tugasnya. Mudah-mudahan dia
beroleh ketenangan sebelum berhadapan dengan satu lagi
situasi yang pasti lebih sukar nanti.
Berpegang pada kata-kata abang angkatnya tadi, dia
harus profesional ketika menjalankan tugasnya. Walau betapa
bencinya dia pada Syed Redza, namun dia tidak boleh terlalu
mengikut perasaannya.
Ketika Zureen dalam keadaan kelam-kabut menuju
ke biliknya, tiba-tiba dia disapa Datin Raja Fatimah dari
belakang.
“Zureen.... kenapa kelam-kabut ni? Mana abang
Zureen? Dia dah balik ke?” soal Datin Raja Fatimah yang
agak pelik melihat perlakuan Zureen yang seperti sedang
mengejar sesuatu atau mungkin juga lari dari sesuatu.
“Eh... Auntie... Zureen nak cepat ni sebab Zureen
belum solat asar lagi ni. Abang Haziq baru aje balik...” balas
Zureen agak gugup. Bimbang jika ketakutannya dapat dihidu
oleh wanita itu.
Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Datin Raja
Fatimah sedar apa yang sedang berlaku.
“Dah balik? Kenapa cepat sangat? Siti baru aje
siapkan minum petang. Auntie pun tak sempat nak kenal
dengan abang Zureen lagi,” balas Datin Raja Fatimah pula.
Tadi dia berhasrat untuk memastikan dakwaan anak
bujangnya tentang status ‘abang’ Zureen itu.
“Abang Haziq cuma nak jenguk Zureen kat sini aje
tadi. Dia saja nak tengok macam mana Zureen jalankan tugas
sebab hari ni kan first day Zureen kerja kat sini. Okeylah
auntie.... Zureen nak solat dulu...”
Zureen belum bersedia untuk berbicara dengan
Datin Raja Fatimah kerana wanita itu memang pandai
menghidu jika Zureen ada sesuatu yang cuba disorokkan
darinya.
Datin Raja Fatimah hanya mengangguk tanda akur
dengan permintaan Zureen. Biarlah. Masih banyak masa
untuk mencungkil rahsia gadis comel yang mula
disayanginya itu.
Zureen segera meloloskan diri ke dalam biliknya.
Setelah mengunci pintu biliknya, Zureen duduk sebentar di
atas katil. Seperti biasa, dia akan duduk memeluk lututnya
sambil menggoyang-goyangkan badannya ke depan dan ke
belakang. Satu posisi duduk apabila dia ketakutan.
Zureen seperti sudah dapat mengagak apa yang
bakal berlaku sebentar nanti apabila dia kembali
menyambung tugasnya terhadap Syed Redza. Rasanya ingin
sahaja dia menjerit sekuat hati bagi melepaskan apa yang
terbuku dalam hatinya. Jika ketika itu, abang angkatnya
masih berada di banglo mewah itu, mahu saja dia mengikut
abang angkatnya pulang ke rumah. Tidak sanggup lagi
rasanya untuk berdepan dengan Syed Redza walaupun
seminit.
Bagi mengurangkan rasa getarnya, Zureen segera
mengambil wuduk dan terus sahaja menunaikan solat asar.
Doa dipanjatkan agar dirinya dikurniakan kekuatan dalam
mengahadapi apa jua cabaran yang mendatang.
Selesai menunaikan solat asar, Zureen kembali
menyambung tugasnya. Dia menarik nafas sedalamdalamnya
dan menghembus perlahan-lahan bagi
menenangkan dirinya seketika.
Zureen sudah berazam, apa jua reaksi dan tindakan
yang akan dilakukan Syed Redza kepadanya, dia akan cuba
sedaya upaya untuk bertahan dan bersabar. Jika sebaliknya
berlaku, dia hanya berserah kepada keadaan.
Zureen berhenti seketika di hadapan pintu bilik
Syed Redza. Sekali lagi, dia menarik nafas sedalam-dalamnya
dan menghembuskan perlahan. Setelah benar-benar bersedia,
dia mula mengetuk pintu dan terus masuk ke dalam tanpa
menunggu kebenaran dari Syed Redza. Di tangannya telah
tersedia alat untuk memeriksa tekanan darah.
Sebaik sahaja Zureen melangkah masuk ke dalam
bilik Syed Redza, debaran dadanya yang agak kencang tadi
lega seketika apabila mendapati Datin Raja Fatimah juga ada
bersama Syed Redza.
Entah apa yang dibualkan oleh kedua-dua beranak
itu kerana sebaik sahaja Zureen masuk, mereka terus
terdiam.

“Assalamualaikum....” ucap Zureen.
Tiba-tiba sahaja Zureen dihujani perasaan bersalah
kerana merasakan dirinya telah mengganggu perbualan
kedua-dua beranak itu.
“Waalaikumsalam... Zureen marilah kita minum
petang sama-sama,” jawab Datin Raja Fatimah sambil
mempelawa Zureen untuk minum petang bersama-sama.
Suasana tegang sudah mula dapat dirasainya sebaik
sahaja dia melangkah masuk ke bilik itu. Syed Redza
dilihatnya seolah-olah tidak mempedulikan kehadirannya.
Mungkin disebabkan mamanya ada di situ, kalau tidak sudah
pasti awal-awal lagi Zureen sudah kena!
“Err... tak apa auntie.... Zureen cuma nak periksa
tekanan darah Encik Redza. Maaflah kalau Zureen
dahmengganggu auntie berbual...” balas Zureen keberatan
untuk menerima pelawaan Datin Raja Fatimah itu.
“Eh, apa pula mengganggunya! Zureen kan nak
jalankan tugas Zureen. Tak apalah Zureen periksa tekanan
Redza dulu, lepas tu kita minum sama-sama ya....” jawab
Datin Raja Fatimah yang masih juga mahukan Zureen
minum bersama-samanya.
Aduh! Aku datang sini bukan untuk minum. Kalau
ikutkan hati aku, memang aku tidak akan pijak lagi bilik
lelaki angkuh ni! Bisik Zureen.... Namun demi tugasnya,
digagahkan juga dirinya untuk berada di situ.
Hmm... bagus juga Datin ada kat sini, senang sikit
kerja aku. Lelaki ni perangai dia akan sopan sikit kalau mama
dia ada bersama agaknya! Getus Zureen.
Tangan Zureen lincah memasang alat memeriksa
tekanan darah pada lengan Syed Redza. Dia sedar, dia tidak
boleh berlengah-lengah kerana jika Datin Raja Fatimah tidak
ada bersama ketika itu, rasa-rasanya pasti dia sudah terkena
serangan laser dari mulut Syed Redza.
Zureen dapat merasakan dirinya sedang ditenung
dengan tajamnya ketika dia sedang memeriksa tekanan darah
lelaki ego lagi angkuh itu. Namun, Zureen hanya buat tidak
tahu dan seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku. Zureen
sedikit pun tidak melihat wajah Syed Redza. Datin Raja
Fatimah turut sama melihat Zureen melakukan tugas itu.
Mak aihh!! Tingginya tekanan darah dia! 150/90! Ni
memang sebab penyakit dia atau sebab dia tengah naik darah
dengan aku ni?
Zureen secara automatik memandang wajah Syed
Redza sebaik sahaja melihat angka yang tertera di skrin alat
memeriksa tekanan darah itu.
Pandangan mata Zureen dan Syed Redza bersatu.
Entah kenapa Zureen dapat merasakan aura kurang senang,
tidak puas hati dan segala macam aura negatif sedang
mengalir kepadanya.
“Kenapa Zureen?” Datin Raja Fatimah bertanya
apabila melihat reaksi Zureen yang agak pelik.
“Tinggi sangat ke tekanan darah Redza?” Datin Raja
Fatimah bertanya lagi setelah melihat Zureen lambat
menjawab soalannya.
“Err.... agak tinggi jugalah auntie..” balas Zureen
pendek.
“Berapa?”
Syed Redza langsung tidak bersuara. Sebaliknya dia
hanya merenung Zureen dan membiarkan gadis comel itu
yang menjawab soalan-soalan dari mamanya. Hatinya masih
sakit mengingatkan aksi mesra antara Zureen dengan lelaki
yang didakwa abangnya itu.
“150/90.”
“Eh, ya ke? Tinggi tu Zureen. Kenapa pula tinggi
sangat? Sebelum ni Redza tak pernah pula ada masalah
dengan tekanan darahnya. Selalunya kalau Dr. Rashdan
check, tekanan darahnya mesti normal,” soal Datin Raja
Fatimah agak pelik.
Eh, manalah aku tahu kalau tekanan darah dia tibatiba
tinggi. Takkanlah salah aku pula kalau tekanan darah
anak bujang dia tinggi! Bisik Zureen dalam hati yang agak
kurang senang dengan cara Datin Raja Fatimah bertanya.
Seolah-olah dialah punca tekanan darah anaknya tiba-tiba
jadi tinggi.
Tapi... mungkin juga aku penyebabnya. Tengok aje
muka dia sekarang, dah macam nak telan aku. Kalau tak
disebabkan mama dia ada kat sebelah, dah lama aku kena
kunyah dengan lelaki angkuh ni! Getus Zureen.
“Err... mungkin emosi Encik Redza tak berapa
stabil masa ni atau ada sesuatu yang sedang mengganggu
fikiran Encik Redza sebab biasanya kalau kita dalam keadaan
emosi yang tak menentu seperti marah, stres, bimbang atau
apa-apa jua perasaan yang menyebabkan kita tidak tenang
juga boleh mempengaruhi tekanan darah kita,” jawab Zureen
cuba memberi jawapan dari sudut perubatan.
“Redza... Redza okey ke ni? Redza ada apa-apa
masalah ke? Ada apa-apa yang mengganggu fikiran Redza.
Beritahu mama apa dia. Manalah tahu kalau mama boleh
membantu,” ujar Datin Raja Fatimah kepada anak bujangnya
sebagai respons kepada penerangan Zureen tadi.
Syed Redza hanya membisu.
Hmmm... dia dah tunjukkan lagi perangai sejuk
beku dia tu! Getus Zureen.
“Err... tak apalah auntie... mungkin Encik Redza
nak cakap sendirian dengan auntie. Zureen minta izin keluar
dulu” celah Zureen setelah sedar akan reaksi Syed Redza
sejak dari awal dia melangkah masuk ke bilik lelaki itu tadi.
Zureen mula bangun dan hendak melangkah keluar
dari bilik itu tanpa menunggu kebenaran dari Datin Raja
Fatimah.
“Siapa sebenarnya jantan tu tadi?” Tiba-tiba Syed
Redza bersuara dengan agak sinis.
Zureen tersentak. Jantan? Hampir sahaja terlepas
alat memeriksa tekanan darah di tangannya itu tadi. Dia
sama sekali tidak menjangkakan Syed Redza akan
bertanyakan soalan itu ketika itu. Apatah lagi Datin Raja
Fatimah juga ada bersama di situ.
Zureen terkaku seketika. Dia tidak tahu apakah
jawapan yang terbaik yang harus diberikan ketika itu.
Adakah soalannya itu yang telah menyebabkan
tekanan darahnya naik begitu tinggi sekali. Kalau benar,
tetapi kenapa pula? Kenapa dia harus marah? Biar siapa pun
Dr. Haziq dengannya, ia memang langsung tiada kenamengena
dengan dia! Getus Zureen.
Ingin sahaja ditanya soalan yang terdetik dalam
hatinya ketika itu. Namun, bimbang pula ia akan
mencetuskan perbalahan. Seboleh-bolehnya Zureen mahu
mengelakkan insiden-insiden pertengkaran antara dirinya
dan Syed Redza daripada berlaku di hadapan Datin Raja
Fatimah.
“Kenapa kau diam? Sebab jantan tu bukan abang
kau kan?” soal Syed Redza semakin galak setelah melihat
Zureen membisu tanpa kata.
Datin Raja Fatimah juga seolah-olah terpaku
mendengar soalan yang tidak dijangkakan dari mulut anak
bujangnya. Walaupun dia juga ingin tahu siapakah status
sebenarnya lelaki tadi dengan Zureen, namun ketika itu
bukan masa yang sesuai untuk bertanya.
Datin Raja Fatimah sedikit pelik. Dia pelik dengan
soalan dan cara anak bujangnya bertanya. Anak bujangnya
dilihat seperti tidak berpuas hati dengan lelaki yang didakwa
Zureen sebagai abangnya. Adakah itu punca kenapa tekanan
darahnya tiba-tiba jadi tinggi? Adakah dia cemburu? Jika
benar, tetapi kenapa?
“Redza kenapa tanya soalan macam tu? Tak baik
cakap abang Zureen macam tu! Kan tadi Redza dah dengar
sendiri dari mulut abang Zureen....” soal Datin Raja Fatimah
cuba untuk memulihkan keadaan kerana dia sudah
merasakan suasana yang agak tegang ketika itu apabila
melihat reaksi kedua-duanya baik anak bujangnya sendiri
mahupun Zureen.
“Huh! Abang? Ya ke abang? Kalau betul abang,
takkan mesra semacam aje!” balas Syed Redza lebih sinis. Dia
sudah hilang rasa malu di hadapan mamanya akibat sakit hati
yang ditanggungnya itu.
“Auntie.... Encik Redza. Memang betul Abang Haziq
tu bukan abang kandung Zureen tapi hanya seorang abang
angkat kepada Zureen dan merupakan anak angkat untuk
orang tua Zureen. Walaupun dia hanya seorang abang
angkat, namun Zureen memang dah anggap dia seperti
abang kandung Zureen sendiri. Malah umi dan baba Zureen
dah anggap Abang Haziq seperti anak kandung mereka
sendiri...” Akhirnya Zureen bersuara juga.
Zureen sedar, jika dia terus berdiam diri, itu
bermakna dia sengaja membiarkan Syed Redza terus
melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada dirinya.
Datin Raja Fatimah terdiam sebaik saja mendengar
jawapan daripada Zureen. Dia berfikir seketika. Apa salahnya
jika lelaki itu abang angkat kepada Zureen? Akhirnya dia
mengambil keputusan untuk tidak mencampuri urusan
peribadi Zureen sebagai menghormati hak dan privasi gadis
comel itu.
“Redza.... apa salahnya kalau Dr. Haziq tu hanya
abang angkat Zureen? Zureen sendiri dah cakap dia dah
anggap Dr. Haziq tu sebagai abang kandungnya sendiri...”
Datin Raja Fatimah cuba menasihati anak bujangnya.
“Zureen.... tak apalah... Zureen boleh keluar dulu.
Auntie ada hal sikit nak bincang dengan Redza.” Akhirnya
Datin Raja Fatimah memutuskan untuk berbual bersendirian
dengan Syed Redza tanpa kehadiran Zureen kerana dia sudah
mula dapat mengesan bibit-bibit cemburu pada anak
bujangnya!
“Zureen keluar dulu ya auntie....”
Tanpa berlengah, Zureen segera meninggalkan bilik
panas itu sebelum soalan-soalan yang keluar dari mulut
lelaki angkuh itu bertambah ganas!
Datin Raja Fatimah hanya mengangguk.
Setelah Zureen berlalu, Datin Raja Fatimah mula
untuk mengorek isi hati anak bujangnya. Dia ingin
memastikan adakah itu hanya nalurinya sahaja atau memang
anak bujangnya cemburukan Zureen.
“Redza.... kenapa ni sayang? Kenapa marah-marah
ni? Kalau Redza terus bersikap macam ni, kesihatan Redza
yang akan terus terjejas... Tengok tadi tu, tak fasal-fasal
tekanan darah jadi tinggi macam tu sekali...” Datin Raja
Fatimah memulakan bicara dalm usahanya untuk mencari
punca sebenar anak bujangnya bersikap agak pelik.
Syed Redza hanya membisu. Malas rasanya hendak
menjawab soalan-soalan mamanya itu kerana padanya
dengan menjawab soalan-soalan itu, langsung tidak dapat
memulihkan perasaan sakit hatinya itu.
“Redza... tak dengar mama tanya ni? Cuba Redza
cakap apa yang sebenarnya bersarang di kepala Redza.
Mungkin Redza akan rasa tenang sikit kalau dah dapat
luahkan apa yang terbuku kat hati Redza tu....” pujuk Datin
Raja Fatimah.
“Tak ada apa-apalah ma.... Redza okey aje..” Syed
Redza cuba berselindung.
“Sejak bila Redza dah pandai berahsia dengan
mama ni? Redza dah tak nak share apa-apa dengan mama
lagi ke?” soal Datin Raja Fatimah sayu setelah melihat reaksi
anak bujangnya itu.
“Betul.... Redza okey aje. Mama jangan risaulah.”
Syed Redza masih berdegil.
“Redza.... Redza lupa ke siapa yang
mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Redza?
Sekilas ikan di air, mama dah tahu jantan betinanya. Wajah
Redza dah menceritakan segala-galanya....”
Syed Redza kembali membisu. Tidak tahu apa lagi
yang harus dikatakan kepada mamanya kerana dia tahu dia
memang tidak boleh menipu mamanya. Mamanya itu seolaholah
boleh membaca apa jua yang ada dalam hatinya.
“Okay fine.... kalau Redza dah tak nak share apaapa
lagi dengan mama, mama tak boleh buat apa-apa.
Okeylah mama keluar dulu...” ujar Datin Raja Fatimah yang
agak terasa hati dengan sikap anak tunggalnya yang terus
membisu dan cuba berahsia dengannya.
Memang sikap Syed Redza sudah jauh berubah
semenjak terlibat dalam kemalangan. Dahulu, dirinyalah
tempat anak bujangnya meluahkan apa saja kepadanya.
Segalanya diluahkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan antara
mereka dua beranak memang tiada rahsia langsung. Namun,
segalanya kini telah jauh berubah.
Datin Raja Fatimah berlalu meninggalkan Syed
Redza seorang diri. Sayu benar hatinya apabila diri
dipinggirkan oleh anak sendiri.
“Ma.... Redza tak tahu nak buat apa...” Tiba-tiba
Syed Redza bersuara setelah lama membisu. Dia tahu
mamanya telah terasa hati dengannya.
Langkah Datin Raja Fatimah terhenti sebaik saja
mendengar kata-kata anak bujangnya.
“Redza pun tak tahu kenapa Redza jadi macam
ni....” luah Syed Redza lagi.
Datin Raja Fatimah kembali menghampiri Syed
Redza. Dipeluk bahu anak bujangnya dari belakang. Sedih
benar hatinya mendengar luahan hati Syed Redza. Ibu mana
yang tidak tersentuh hatinya bila mendengar kata-kata
seumpama itu dari anaknya sendiri yang sememangnya
sedang menanggung penderitaan.
Datin Raja Fatimah menggosok-gosok bahu
anaknya. Dia tahu anak bujangnya sedang menghadapi satu
situasi yang amat sukar dan dia sebagai ibunya juga dapat
merasakan keperitan yang ditanggung oleh anak bujangnya
itu. Air matanya mula tumpah, namun ditahannya kerana dia
sedar, dia harus kuat. Jika dia sendiri menunjukkan reaksi
sebegitu, dia bimbang anak bujangnya akan terus kesedihan
dan akan terus berputus asa.
Datin Raja Fatimah kembali mengambil tempatnya
tadi. Kini, kerusinya ditarik berhadapan dengan Syed Redza.
Dia menggenggam kedua-dua tangan anak bujangnya bagi
memberi kekuatan.
“Okey... now, cuba Redza berterus terang dengan
mama. Redza luahkan apa saja yang terbuku dalam hati.
Jangan tahan-tahan. Let it go... Redza tak perlu berselindung
atau rasa malu pada mama. Mama akan dengar dengan sebaik
mungkin...” ujar Datin Raja Fatimah lembut.
Syed Redza diam seketika. Dia seolah-olah sedang
berfikir apa yang harus diungkapkannya. Kemudian, dia
menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskan
perlahan.
“Ma.... Redza tak tahu nak mula dari mana sebab
semuanya tiba-tiba jadi bertambah kalut. Redza jadi serabut
sampai tak dapat nak berfikir secara rasional....” Syed Redza
mula meluahkan apa yang ditanggungnya.
“Okey... kalau Redza tak tahu nak start dari mana,
biar mama tanya soalan. Redza cuma perlu jawab soalan
mama saja ya?”
Syed Redza hanya menganggukkan kepalanya.
“Kenapa Redza marah sangat pada Zureen? Mama
tanya ni sebab mama dapat rasakan yang Redza macam
sengaja nak cari salah Zureen...”
“Bukan Zureen aje... semua bekas jururawat pun
kena marah dengan Redza kan?”
“Tapi mama tengok cara Redza marah Zureen tak
sama macam Redza marahkan mereka dulu.... macam mama
cakap tadi, Redza macam sengaja nak cari salah Zureen.
Kenapa sayang?”
Syed Redza terdiam seketika. Dia sendiri tidak tahu
kenapa.
“Entahlah ma.... Redza sendiri tak tahu kenapa.
Mungkin sebab dia berani sentuh fasal Lisa...”
“Tapi bukan ke Redza dah start cari fasal dengan
Zureen sebelum dia sebut fasal Lisa lagi kan? Katalah Redza
marahkan Zureen sebab dia sebut fasal Lisa, tapi yang
sebelum tu kenapa pula?” soal Datin Raja Fatimah seolaholah
sengaja ingin menjerat anak bujangnya supaya tidak
menyembunyikan apa-apa lagi dengannya.
“Redza pun tak ada jawapan khusus kenapa tapi
Redza sendiri tak tahu kenapa setiap kali berdepan dengan
dia, Redza rasa asyik nak kenakan dia aje...”
Datin Raja Fatimah tersenyum mendengar jawapan
anak bujangnya itu.
“Kalau mama cakap Redza layan Zureen macam tu
sebab Redza dah mula sukakan Zureen macam mana?” Datin
Raja Fatimah bertanya straight to the point. Dia merasakan
dia tidak perlu berselindung lagi.
“What?? Tak mungkinlah ma. Takkanlah baru
sehari dia bekerja mama nak cakap yang Redza dah mula
sukakan dia. Nonsense!”
“Redza... bila kita dah tak ada sebab kenapa kita
buat sesuatu kepada seseorang tu, maksud mama Redza tak
ada sebab kenapa nak marah dia, tak tahu kenapa nak marahmarah
dia, itu maknanya Redza sebenarnya dah mula
menyukai dia. Am I right?”
“Tak semudah tu Redza nak sukakan seseorang
ma.... apatah lagi pengalaman yang Redza telah lalui ni.
Terus terang Redza katakan, yang sebenarnya Redza memang
agak berdendam dengan perempuan setelah apa yang Lisa
lakukan kepada Redza. Pada Redza semua perempuan sama
aje!” luah Syed Redza geram.
Datin Raja Fatimah agak terpaku mendengar
luahan hati anak bujangnya kerana semenjak Redza sedar
daripada koma, baru kini Redza dapat berbual secara terbuka
mengenai bekas tunangnya, Lisa dengan dirinya.
Datin Raja Fatimah juga diam seketika. Dia sedang
memikirkan jawapan yang terbaik untuk luahan hati Syed
Redza. Dia sedar, dia tidak boleh tersilap cakap. Bahaya!
“Kalau betul Redza sengaja cari fasal dengan
Zureen kerana rasa dendam Redza pada perempuan
disebabkan perbuatan Lisa dulu, tapi kenapa Redza marahkan
sangat kepada abang angkat Zureen tu?”
Kini Syed Redza merasakan dirinya telah
terperangkap dengan soalan mamanya itu.
“Do you have the best answer for my question my
dear?” soal Datin Raja Fatimah lagi setelah menyedari anak
bujangnya telah terperangkap dengan soalannya itu tadi.
Syed Redza terdiam lagi. Dia benar-benar tidak
tahu apakah jawapan terbaik untuk soalan mamanya itu.
Syed Redza menyoal dirinya sendiri. Kenapa aku
rasa marah sangat kepada abang angkat Zureen itu? Kenapa
pula hati aku rasa sakit sangat melihat kemesraan mereka
tadi? Akhirnya dia mendapat jawapannya!
“Ma... oleh kerana mama dah sentuh soal abang
angkat si Zureen tu, Redza nak beritahu mama satu perkara
yang Redza memang rahsiakan daripada mama sebelum ni.
Redza rahsiakan perkara ni daripada mama sebab memang
Redza dah berjanji tak akan sentuh soal ni lagi. Redza mahu
lupakan perkara ni kerana hati Redza cukup sakit setiap kali
mengingati soal ni.....” luah Syed Redza secara tiba-tiba
kerana perkara inilah yang telah menyebabkan dia agak
marah dengan lelaki yang didakwa Zureen sebagai abang
angkatnya walaupun dia sedar abang angkat Zureen itu
langsung tiada kena-mengena dengan peristiwa yang telah
dilaluinya.
Datin Raja Fatimah agak terkejut dengan kata-kata
daripada Syed Redza itu kerana dia langsung tidak
menyangka bahawa anak bujangnya telah menyimpan satu
rahsia selama ini.
Walaupun Datin Raja Fatimah belum tahu lagi
rahsia yang dimaksudkan oleh anak bujangnya itu, namun
kesanggupan Syed Redza untuk menceritakan apa yang
dirahsiakan adalah satu rahmat baginya. Jauh di sudut
hatinya, dia amat berterima kasih dengan kehadiran Zureen
dalam keluarganya kerana disebabkan Zureenlah, anak
bujangnya rela untuk meluahkan apa yang telah
dirahsiakannya selama ini.
“Apa dia sayang? Redza ceritalah. Mama akan
dengar...” balas Datin Raja Fatimah agak terharu.
Syed Redza diam seketika sebelum kembali
berbicara.
“Mama tentu nak tahu apa punca Redza
kemalangan kan?” soal Syed Redza.
Datin Raja Fatimah mengangguk. Memang perkara
itulah yang menjadi tanda tanya kepadanya sehingga ke saat
ini. Selama ini dia tidak berani untuk bertanya terus kepada
Syed Redza di atas nasihat doktor kerana bimbang akan
memberi implikasi buruk kepada kesihatan anak bujangnya
walaupun hatinya sendiri meronta-ronta ingin tahu kenapa.
“Sebelum kemalangan berlaku, Redza dan Lisa
bertengkar. Redza ternampak Lisa dengan seorang lelaki.
Mereka mesra sangat....”
“Siapa lelaki tu?” Akibat terlalu terkejut mendengar
kisah bekas tunang anak bujangnya, Datin Raja Fatimah
tanpa sengaja telah memotong kata-kata anak bujangnya
yang sedang bercerita. Akhirnya dia sendiri rasa kesal.
“Err.... maafkan mama. Mama tak sabar nak tahu.
Okey, Redza sambung semula...” ujar Datin Raja Fatimah lagi
setelah tersedar keterlanjurannya. Dia bimbang jika Syed
Redza membatalkan hasrat untuk menceritakan rahsianya
disebabkan sikap kurang sabarnya itu.
“Sebelum ni Lisa pernah kenalkan lelaki tu kepada
Redza tapi masa tu Lisa perkenalkan lelaki tu sebagai abang
angkatnya walaupun pada awalnya Redza agak curiga namun
bila Lisa berkali-kali meyakinkan Redza yang lelaki tu
memang abang angkatnya, akhirnya Redza percaya juga....
Kami pernah keluar makan bersama-sama. Memang masa tu
Redza yakin yang lelaki tu memang abang angkat Lisa sebab
dari cara perbualan mereka, langsung tak ada apa-apa yang
mencurigakan hinggalah Redza ternampak kemesraan
mereka berdua dengan mata Redza sendiri. Sebelum ni,
kawan-kawan Redza ada juga cuba beritahu Redza fasal lelaki
ni tapi Redza tak percaya sebab Redza lebih percayakan
Lisa.....”
Syed Redza menarik nafas panjang. Kemudian dia
menyambung lagi.
“Sebaik saja ternampak kemesraan mereka, Redza
langsung tak boleh kawal perasaan masa tu. Redza terus
dapatkan mereka berdua. Masa tu Redza dah tahu yang Lisa
dah berbohong pada Redza sebelum ni sebab memang dia
terkejut dan takut sangat bila nampak Redza datang. Muka
kedua-duanya pucat lesi. Kat situ Redza dah boleh agak
memang mereka dah menipu Redza. Kalau mereka tak salah,
takkan muka dua-dua pucat....”
Syed Redza diam lagi. Datin Raja Fatimah hanya
diam menunggu anak bujangnya terus bercerita.
“Masa tu Redza memang dah tak dapat nak kawal
diri Redza lagi. Redza terus tumbuk muka jantan tu dan
tampar muka Lisa. Jantan tu memang tak melawan
langsung. Mungkin sebab dia tahu memang dia bersalah tapi
Lisa pula tak boleh terima apa yang Redza buat kepadanya.
Keadaan jadi terbalik. Lisa pula yang memaki hamun Redza.
Habis diluahkan semuanya.....”
“Dan apa yang amat menyedihkan Redza masa tu,
bila Lisa cakap yang selama ni dia langsung tak pernah
cintakan Redza. Dia bersama Redza hanya disebabkan
desakan keluarganya. Keluarganya telah mendesak dia untuk
terima Redza disebabkan status keluarga Redza... apa yang
lebih memedihkan hati Redza bila dia kata yang Redza ni
bodoh sebab tak tahu menilai hati dan perasaannya, sangat
mudah diperbodohkan dan jadi hamba cinta. Maruah Redza
betul-betul telah dipijak-pijak kat depan jantan tu!”
“Redza dah tak sanggup nak dengar hinaan Lisa
lagi. Redza terus tinggalkan mereka. Redza pandu kereta
selaju mungkin sebab masa tu Redza memang dah tak nak
tengok muka mereka berdua lagi... dan selepas tu Redza tak
tahu apa yang berlaku. Sedar-sedar Redza dah berada di
hospital...”
Tanpa disedari, air mata Datin Raja Fatimah telah
mengalir keluar dari tubir matanya. Sejak tadi dia cuba
menahan air matanya daripada tumpah, namun akhirnya dia
tewas juga apabila mendengar penghinaan yang diterima
anak tunggal kesayangannya itu.
Akhirnya Datin Raja Fatimah mula mengerti
kenapa Redza marahkan sangat abang angkat Zureen itu.
Mungkin abang angkat Zureen telah mengingatkan kisah
dirinya.
Datin Raja Fatimah terus sahaja memeluk Syed
Redza sebaik sahaja mendengar kisah yang telah menimpa
anak tunggal kesayangannya itu.
Mereka berpelukan seketika. Datin Raja Fatimah
tidak dapat menahan perasaannya lagi. Dia menangis
semahu-mahunya. Syed Redza pula hanya tenang dipeluk
ibunya. Tiada setitis pun air matanya yang tumpah!
Jauh di sudut hati Datin Raja Fatimah masih amat
bersyukur kerana dari situ dia tahu bahawa ingatan Syed
Redza tak pernah hilang akibat kemalangan yang dialaminya.
Sebelum ini, dia menyangka Syed Redza telah hilang ingatan
kerana sikap dan tindak tanduknya menunjukkan dirinya
seperti telah hilang ingatan.
Syukur alhamdulillah Ya Allah. Terima kasih
Zureen. Terima kasih, Haziq. Kehadiran kalian berdua telah
membuka satu rahsia besar yang disimpan utuh oleh Syed
Redza selama ini.
Memang benar, sesungguhnya apa saja yang
berlaku, pasti ada hikmah di sebaliknya...

No comments:

Post a Comment