DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 16

Usai meletakkan kereta di kotak parkir, Darriz
Imdad keluar dan terus menuju ke Restoran Pelita seperti yang
telah dijanjikan bersama Fizi. Namun belum sempat sampai ke
restoran, pandangan tiba-tiba melekat ke sesusuk tubuh tinggi
lampai yang berjalan mesra dengan seorang perempuan di
hujung blok kedai tersebut.
Dada sedikit berdebar apabila melihat keintiman
pasangan yang persis belangkas itu. Dia memang tidak salah
melihat, dia masih mampu mengecam wajah Fakhry dengan
baik.
Bibir diketap rapat. Jadi sekarang apa? Dia menjadi
saksi kecurangan Fakhry dengan perempuan lain? Oh Tuhan,
tergamak sungguh Fakhry menduakan Zenia sedangkan gadis
itu begitu setia terhadap perkahwinan mereka. Buta benarkah
Fakhry sehingga tidak sedar betapa beruntungnya menjadi
suami kepada wanita sebaik Zenia?
Bukan dia seorang saja lelaki yang cuba mendekati
Zenia di pejabat, ramai yang datang mencuba nasib. Tapi tidak
pernah Zenia layan berlebihan, sebaliknya gadis itu akan segera
mencipta jurang demi menjaga statusnya sebagai isteri orang.
Tidak cukup lagikah kesetiaan yang telah dibuktikan Zenia
selama ini?
Memang dia tidak layak menghukum, apatah lagi dia
sendiri tidak tahu letak duduk hubungan antara Fakhry dengan
perempuan seksi itu. Tapi macam mana kalau perkara seperti
ini sampai ke pengetahuan Zenia? Sedikit sebanyak hati Zenia
pasti tercalar, pasti terluka dan sedih.
Setelah kelibat Fakhry lenyap di sebuah kedai aksesori
kecantikan, Darriz Imdad mengeluh berat. Entah kenapa dia
terasa seperti ada beban yang menimpa ke bahu. Rahsia Fakhry
kini terselit di dalam poketnya, bagaimana dia mahu menahan
mulut daripada bercerita kepada Zenia?
Kalau difikirkan peluang, mungkin ini adalah peluang
besar untuk dia memiliki Zenia. Tapi mana mungkin dia
sanggup menjadi lelaki kejam yang mengambil kesempatan di
atas penceraian orang lain.
“Darriz!”
Lamunan Darriz Imdad lenyap apabila namanya
dilaung sedikit kuat. Pandangan terhala ke ruang luar restoran,
kemudian merayap pula ke meja-meja yang disusun kemas.
Terpandangkan Fizi yang melambai teruja, bibir mengukir
senyuman lebar.
“How are you, bro?” Sapanya setelah mereka bersalam
dan saling berpelukan.
“Fine, tengok badanlah brader!” Fizi tertawa seraya
menunjuk ke tubuh sendiri.
“Eh, duduklah. Lama betul aku tak jumpa kau!”
Darriz Imdad tertawa. Memang benar Fizi kelihatan
‘sihat’, lebih berisi berbanding pertemuan terakhir mereka dua
tahun yang lalu. Duduk dilabuhkan di hadapan Fizi yang masih
tersenyum lebar. Sempat juga dia membuat pesanan minuman
kepada pelayan restoran yang begitu pantas datang ke meja.
“Eh, kau kata datang dengan officemate kau, mana dia
Fizi?”
“Oh, kejap lagi dia datang. Tadi dia kata nak cari barang
sikit.”
Wajah Fizi yang ceria sekali lagi ditatap. Memang dia
punya ramai kawan ketika tinggal di luar negara dahulu, tapi
tidak ada yang serapat hubungannya dengan Fizi. Sejak kecil lagi
mereka tinggal berjiran. Dari umur empat tahun sehinggalah
tamat SPM, banyak yang mereka kongsikan bersama.
Hubungan persahabatan mereka terbina utuh dan
kuat. Cuma selepas SPM, masing-masing membawa haluan
sendiri. Kalau berhubung pun cuma melalui Facebook dan
Skype. Itu pun tidak selalu.
“Kau apa cerita? Makin handsome nampak. Ini mesti
awek dah bersusun dekat belakang ni!”
Sekali lagi Darriz Imdad tertawa dengan jenaka Fizi.
Memanglah ramai yang bersusun, tapi yang diidamkan hati
tidak ada dalam barisan.
“Aku ni apa lagilah ceritanya, Fizi. Asyik sibuk dengan
kerja-kerja office tak pernah habis.”
“Alah, aku pun kerja office jugak, tapi sempat aje nak
keluar melepak.”
“Kau engineer, tak sama macam aku. Kerja kau banyak
kat luar, pergi sana sini. Bebas, seronok boleh cuci mata.”
Fizi mengangguk-angguk dengan riak ceria.
“Memanglah, tapi tak banyak duit macam kau. Gaji kau
tu agaknya tiga kali ganda daripada gaji aku.”
Darriz Imdad tersenyum tanpa membalas teori Fizi.
Walaupun dia kini berada pada kedudukan yang tinggi, tidak
pernah walau sekali dia memandang rendah kepada orang lain.
Baginya setiap orang punya rezeki masing-masing. Begitu juga
nasib, takdir, tuah... tidak mungkin semua dapat kelebihan yang
serupa.
“Kau dah banyak duit ni, apasal tak kahwin-kahwin
lagi Darriz? Umur kau bukan muda, dah nak masuk 32 pun
tahun depan. Takkan tak jumpa calon sesuai lagi?”
Darriz Imdad yang sedang menyedut limau ais,
tersenyum.
“Calon? Hesy, belumlah Fizi...”
“Belum? Haih... mak aku cerita mama kau memanjang
busy tanyakan anak dara orang. Takkan tak ada sorang pun yang
kau berkenan?”
“Calon isteri memanglah ramai, cuma yang berkenan
di hati tu tak jumpa lagi...” Keluh Darriz Imdad. Pandangan
dilempar ke tengah ruang restoran mamak yang agak sibuk itu.
“Kau tahulah zaman sekarang ni, nak cari perempuan
yang betul-betul ikhlas bukannya senang.”
“Eleh, apa yang susahnya? Kau tu ada duit, ada
rupa, ada gaya, petik jari ramailah perempuan datang. Dalam
ramai-ramai tu, kau interviulah diaorang. Buat test ke apa,
barulah jumpa calon paling sesuai.” Usul Fizi dengan gelak
kecil.
“Kau tengok macam aku, gemuk-gemuk aku pun dah
ada anak sorang tau!”
“Yalah, itu yang kahwin pun sampai tak ajak member.”
Fizi terlopong seketika, dan kemudian tersengih-sengih
menutup rasa bersalah.
“Alamak, tu memang salah aku bro. Aku terlupa nak
pos kad dekat kau. Itulah siapa suruh studi jauh-jauh sangat,
kan aku dah terlupa.”
Darriz Imdad tertawa kecil. Kalau Fizi menghantar kad
jemputan sekalipun, belum tentu dia boleh pulang ke Malaysia.
Ketika itu dia terlalu sibuk dengan kertas peperiksaan dan
aktiviti di universiti.
“Darriz... kau straight, kan?” Kening Fizi
terangkat-angkat tanda mengusik.
“Hesy, kau dah kenapa? Of courselah aku straight!”
Fizi terbahak-bahak ketawa.
“Yalah, kau ni dari zaman sekolah lagi dah dicop
sebagai lelaki hot. Kau dah lupa ke, dulu-dulu aku ni yang jadi
posmen kau? Bukan main ramai awek nak mengendeng dekat
aku semata-mata nak berkenalan dengan kau. Itu yang aku
pelik bila tengok kau belum ada girlfriend sekarang. Kut-kutlah
dah tukar cita rasa.”
Tersenyum Darriz Imdad dengan kisah lama yang
digali semula oleh Fizi. Dia akui sejak zaman sekolah lagi dia
sudah meraih populariti yang tinggi. Mungkin kerana dia punya
rupa paras yang menarik, aktif bersukan dan punya harta, maka
ramai gadis datang menawarkan hati.
Cuma Fizi tidak tahu yang hakikat seperti itu masih
berlangsung sehingga sekarang. Dia masih diburu, masih
ditawarkan dengan pelbagai godaan-godaan menarik. Kalau
tidak kuat iman, mungkin sudah lama dia kecundang.
“Aku ni tahu lagi hukum hakam agama, jangan
memandai-mandai buat teori mengarut.” Luah Darriz Imdad
dengan senyuman masih bersisa di bibir.
“Well, to be honest memang ada someone yang aku
suka...”
“Haa... kan senang cakap dari awal-awal tadi, tak ada la
aku tuduh kau yang bebukan!”
Tersengih Darriz Imdad dengan balasan Fizi. Namun
teringatkan sesuatu, senyuman di bibir mengendur dan layu.
“But too bad, aku jatuh cinta pada orang yang salah.”
“What do you mean?” Kening Fizi bekerut kehairanan.
“Jatuh cinta pada orang yang salah?”
Darriz Imdad mengangguk sekali, mengeluh juga
sekali.
“Hmm... lain macam kau ni. Kau sangkut pada
girlfriend orang ke Darriz?”
“Nope.”
“Tunang orang?”
“No.” Darriz Imdad menggeleng.
Melihat reaksi itu, Fizi terdiam seketika. Kemudian
dia ikut sama mengeluh seolah-olah mengerti apa yang
membelenggu temannya ini.
“Maksud kau... kau dah jatuh cinta pada isteri orang?”
Pandangan Darriz Imdad dan Fizi saling berlaga.
“Kau biar betul Darriz...”
“It’s true. Sebab aku terlambat tahu yang dia tu isteri
orang...”
“Hmm... Is she pretty?”
Darriz Imdad tersenyum tawar. Kepala dianggukkan.
“She’s beautiful and she has a great personality.
Memang aku frust bila tahu dia tu isteri orang, but I can’t help
it. Aku cuba kenal dan rapat dengan perempuan lain, tapi hati
aku tetap berpatah balik pada dia.”
“Oh wow, kau betul-betul dah jatuh cinta...” Komen
Fizi dengan senyuman tidak semanis mana.
“Tapi Darriz, sebagai kawan aku nasihatkan kau supaya
lupakan dia. Dia isteri orang, tak elok kalau kau runtuhkan
rumah tangga orang lain. Aku ni dah jadi suami, aku boleh
bayangkan kalau aku berada pada kedudukan suami dia tu...”
“I know Fizi, aku memang akan cari jalan untuk
lupakan dia.”
“Good. Cepat-cepat cari steady girlfriend Darriz,
dengan cara macam tu baru kau boleh lupakan dia.”
Kepala Darriz Imdad terangguk-angguk. Dia bersetuju
dengan cadangan Fizi, tapi untuk melakukannya bukan mudah.
Setiap kali dia mengenali perempuan lain, hati sering membuat
perbandingan dengan Zenia. Dia tetap inginkan kekasih yang
punya sifat, rupa, peribadi dan gaya seperti Zenia. Gila bukan?
“Hah, tu pun kawan aku dah sampai.”
Darriz Imdad tersenyum seraya menoleh ke belakang.
Namun tatkala terpandangkan seraut wajah itu, hatinya
membungkam. Fakhry? Fakhry rakan sekerja Fizi? Dan
sekarang dia perlu akui yang dunia ini terlalu kecil. Anehnya
wanita seksi tadi sudah lenyap entah ke mana.
“Fakhry, ni aku nak kenalkan kau dengan bestfriend
aku, Darriz.”
Seketika pandangan Darriz Imdad dan Fakhry berlaga.
Lelaki itu kelihatan sedikit terkejut, namun tertawa pula
dengan lagak biasa.
“Hei, aku kenallah Darriz ni. Kau apa khabar?”
Huluran salam Fakhry disambut juga oleh Darriz
Imdad dengan senyuman ala kadar.
“Aku baik, Alhamdulillah.
“Mana pulak kau kenal Darriz ni, Fakhry?” Fizi
menyoal kepada Fakhry yang kini mengambil tempat di sisinya.
“Actually Najiha bertunang dengan adik Fakhry...”
Jawab Darriz Imdad bagi pihak Fakhry. Dan dia lihat lelaki itu
mengangguk-angguk dengan sengihan di bibir.
“Oh, ye ke? Kecil betul dunia ni, pusing-pusing kau
orang kenal rupanya.”
Mood Darriz Imdad untuk berbual-bual sudah
terpadam. Dia lebih banyak mendiamkan diri biarpun Fizi
dan Fakhry masih rancak bersembang. Bagaimana dia mahu
bereaksi seperti biasa sedangkan bayangan Fakhry bersama
perempuan tadi masih terlayar jelas di ruang mata? Dan ketika
Fizi beredar ke tandas, barulah Darriz Imdad berkesempatan
untuk menuntut penjelasan daripada Fakhry. Dia mahu tahu di
mana kedudukan Zenia di hati lelaki ini.
“I saw you just now, kau dengan siapa tadi?” Soalnya
dengan nada mendatar. Fakhry yang sedang menyedut jus oren
mengerutkan kening kepadanya.
“What do you mean? Siapa apa?”
“Come on Fakhry, aku nampak kau berkepit dengan
perempuan tadi. Who is she? Adik kau?”
Fakhry tercengang, dan kemudian dia terbahak-bahak
ketawa. Wajah Darriz Imdad yang kemas dan rapi dipandang
tepat. Sakit hati pula apabila lelaki seorang ini sibuk-sibuk
mahu campur dengan urusan peribadinya.
“Adik? Kau ingat bila aku berjalan dengan adik aku,
aku berpeluk-peluk macam tu ke?” Sindirnya dengan senyuman
sinis.
“She’s my girlfriend, Melly.”
Berderau darah Darriz Imdad dengan kenyataan berani
mati Fakhry. Tanpa rasa bersalah, Fakhry berterus terang
tentang kedudukan sebenar. Jadi selama ini dia sudah silap
meneka tentang kebahagiaan rumah tangga Zenia? Siapa tahu
perkahwinan itu tidak pernah bahagia, tidak pernah damai dan
indah seperti yang dia bayangkan.
“Kau cakap apa ni Fakhry? Kau dah ada isteri, but why
you...”
“Wait, wait.” Fakhry mengangkat sebelah tangan
dengan muka bosan.
“Kau ni nak jadi ustaz ke apa? Suka hati akulah nak
buat apa pun, tak ada kena-mengena dengan kau kan?”
“Apa yang dah kau buat pada Zenia? Dia tahu semua
ni?”
“Hei bro, pandai makan, pandailah simpan...” Fakhry
tergelak-gelak sendiri.
“Oh? Tapi apa yang kau buat tu, adil untuk Zenia ke?”
Senyuman di bibir Fakhry mati. Dengan pandangan
tajam, dia meneliti wajah Darriz Imdad yang jelas kelihatan
kurang senang. Sakit pula hatinya apabila lelaki seorang ini
sibuk mahu campur tangan dalam urusan rumah tangga dia
bersama Zenia. Tak padan dengan orang luar, dasar penyibuk
dan suka berlagak hero!
“Actually, kau ni siapa nak tanya pasal keadilan rumah
tangga aku? Apa yang aku buat, dengan siapa pun aku nak
keluar, apa kaitan dengan kau?” Fakhry mula menyoal dengan
nada sedikit kasar. Pandangan masih memanah tepat ke wajah
Darriz Imdad.
“Atau sebenarnya kau yang dah mula syok sakan pada
isteri aku? Dan kalau betul apa yang aku rasa, memang perangai
kau lebih keji daripada apa yang aku dah buat. Oh man, you’re
out of your mind!”
Berderau darah Darriz Imdad dengan tuduhan tidak
berlapik itu. Kehadiran Fizi membuatkan dia tidak sempat
menafikan anggapan Fakhry. Perlahan bibir melepas dengusan.
Pandangan pula dibuang ke sisi, tidak betah untuk terus
memandang muka Fakhry yang cukup menyakitkan hati.
Sungguh! Dia berasa amat terkilan dengan sikap
Fakhry yang begitu mudah mensia-siakan pengorbanan dan
kesetiaan Zenia. Kalau dia yang berada di tempat Fakhry, dia
sama sekali tidak akan melayan Zenia seteruk ini. Dia akan
menyayangi, mengasihi dan mencintai isterinya sepenuh hati.
Sampai bila-bila, sungguh!
“Fizi, I have to go. Aku ada meeting sekejap lagi ni, lain
kali bila free kita lepak lama sikit.” Ujar Darriz Imdad seraya
mengeluarkan wallet dari poket seluar. Namun pantas pula Fizi
menegah.
“Kau tak payah susah-susah nak bayar, kau minum aje
pun. Don’t worry, aku belanja hari ni.”
Senyuman di bibir Darriz Imdad terukir biarpun sedikit
kelat. Dia menganggukkan kepala sebelum bangkit berdiri.
Salam dihulur kepada Fizi, dan kemudian berpindah pula ke
tangan Fakhry. Terasa genggaman mereka begitu kuat bersatu,
seperti saling melepaskan perasaan yang berbuku di dada. Tidak
cukup dengan itu, renungan Fakhry berubah tajam seolah-olah
memberi mesej berbaur ancaman dan ugutan. Tapi kenapa?
Fakhry takut kalau dia menyampaikan berita kecurangannya
kepada Zenia?
“I’ll see you around Darriz.”
“Yeah, you will see me again Fakhry.”

No comments:

Post a Comment