Leka pandangan Darriz Imdad menghadap suasana
yang meriah dan riuh-rendah. Empat buah kanopi jenis Arabic
berwarna krim didirikan di halaman rumah banglo yang
tersergam indah. Tetamu yang terdiri daripada sanak saudara
dan kenalan rapat ibunya mula memenuhi ruang tersebut. Ada
yang sedang menjamu selera, ada juga yang masih leka berbual
sesama sendiri.
Bibir menguntum senyuman kecil tatkala terkenangkan
kesungguhan umi menjayakan majlis pertunangan ini. Jika
bertunang pun sudah meriah dan besar-besaran, dia tidak boleh
menjangka tahap kemeriahan majlis perkahwinan Jiha kelak.
Wedding of the year mungkin.
Dari gazebo kayu yang didirikan berhampiran kolam
air terjun yang dibina di hujung laman, Darriz Imdad masih
memerhati. Dia tidak begitu berminat mahu turut sama
beramah mesra dengan para tetamu yang datang bertandang.
Bukan mahu menyombong tidak tentu fasal, cuma dia berasa
rimas setiap kali bersembang dengan rakan umi. Kalau setakat
bersembang tidak apa lagi, tapi ini ada agenda tersembunyi.
Mak cik-mak cik itu akan mula bercerita tentang kehebatan
anak gadis masing-masing. Tidak ada yang mahu kalah,
berbakul-bakul kata pujian diberikan kepada anak sendiri. Jelak!
“Laa… abang Im buat apa dekat situ? Cepatlah,
rombongan dah sampai ni.”
Tersentak lamunan Darriz Imdad apabila ada suara
halus menyapa ke telinga. Dia menoleh ke kanan, memandang
Diana yang cantik mengenakan kebaya berwarna krim, warna
tema keluarga mereka untuk majlis hari ini.
“Diaorang dah sampai ke?” Soalnya inginkan kepastian.
“Haah. Ummi suruh Abang Im sambut rombongan,
jomlah cepat.
Darriz Imdad mengangguk dan tersenyum kepada adik
bongsunya itu. Dia kemudian segera bangkit mengekori Diana
ke halaman di ruang depan untuk menyertai ahli keluarganya
menyambut kehadiran rombongan pihak lelaki.
“Wah, ramainya rombongan diaorang datang.”
“Really? Berapa kereta?” Tanya Darriz Imdad kepada
Diana yang jelas mempamerkan riak teruja.
“Hmm… nampak macam banyak aje tu, lebih tujuh
kereta adik rasa.”
Darriz Imdad menganggukkan kepalanya. Lebih tujuh
kereta? Nampaknya rombongan pihak lelaki juga menunjukkan
kemeriahan yang serupa seperti di sini. Melihat segerombolan
manusia berpakaian cantik semakin mara ke halaman, bibir
menguntum senyuman.
Ketika ummi dan saudara-mara lain sibuk bersalaman
dengan ahli keluarga pihak lelaki, Darriz Imdad turut mara
ke hadapan. Dia juga perlu menonjolkan diri kerana selepas
kehilangan arwah ayah, tugas sebagai ketua keluarga tergalas di
bahunya. Dengan penuh mesra dan ramah, keluarga bakal adik
iparnya itu disambut dan dialu-alukan sehabis baik.
Namun dalam hiruk-pikuk dan kebisingan suara,
pandangan Darriz Imdad tiba-tiba saja melekat ke seraut
wajah. Hati terhenyak kuat. Anak mata pula kaku tidak mampu
berganjak. Dalam debar, dunia ini bagaikan berhenti berputar.
Suasana juga berubah menjadi sunyi sepi. Benarkah mata ini
tidak menipu? Atau akalnya sudah tidak waras menjelmakan
bayang yang tidak sepatutnya?
Nafas dihela panjang. Dia yakin dia tidak mungkin
tersilap pandang. Mata masih mengekori langkah lembut yang
jelas tidak perasan kehadirannya di celah-celah orang ramai ini.
Dengan kebaya nyonya berwarna hitam dipadankan dengan kain
batik Jawa berwarna keemasan, hati cukup terkesan dengan
penampilan yang anggun itu. Cantik… sungguh, terlalu cantik!
“Abang Im, jom. Diaorang dah nak masuk dalam
rumah.”
Rasa kagum di hati lenyap tatkala lengannya ditarik
Diana. Dalam pada melangkah, sempat juga dia mendongak ke
langit dengan perasaan keliru.
‘Tuhan, takdir apa yang telah Kau aturkan untuk aku?’
Selesai menjamu selera di bawah kanopi yang dihias indah
itu, Zenia cepat-cepat menarik tangan Aqib menuju ke kolam
air terjun yang sejak tadi menggamit perhatiannya. Landskap
kehijauan dihiasi pokok-pokok bunga pelbagai warna kelihatan
begitu menarik dan dan mendamaikan. Lagipun dia sengaja
mahu menjauhkan diri dari pandangan keluarga Fakhry.
Memang lelah dan jerih mahu terus berpura-pura
gembira di sisi lelaki itu sepanjang masa. Dan bertambah
rimas apabila dia sering saja diasak dengan soalan-soalan yang
jawapannya tidak pernah ada.
Bila mahu mengandung? Bila mahu menimang cahaya
mata? Soalan-soalan begitu membuatkan dia semakin tidak
selesa. Jika dia dan si suami tidur berkaki-kaki jauhnya, macam
mana mahu datang zuriat ke dalam rahimnya itu? Lagipun
dia tidak pernah terfikir mahu bermesra dengan Fakhry
kerana dia tahu lelaki itu sendiri tidak pernah teringin mahu
menyentuhnya.
“Aunty Jen, ada fish ke kat dalam tu? Aqib tak
nampak pun.” Aqib yang baru berusia empat tahun itu sibuk
menjenguk-jenguk ke dalam kolam.
Zenia tersenyum dengan keletah si kecil yang sejak
tadi melekat dengannya. Dari Kuala Lumpur tadi lagi Aqib
sudah merengek-rengek mahu menaiki kereta bersama dia dan
Fakhry. Mujur jugalah Fakhry tidak buat perangai atau naik
angin dengan sikap Aqib. Bimbang juga kalau-kalau Fakhry
rimas dan menengking anak saudaranya itu. Lagipun Fakhry
memang dari dulu lagi tidak pernah sukakan budak-budak.
“Hmm… entahlah Aqib, Aunty Jen pun tak nampak
ikan dalam kolam tu.” Balasnya seraya menjenguk ke kolam
yang berair jernih. Tidak ada walau seekor pun ikan yang
kelihatan, hanya batu-batu pelbagai saiz dan warna yang
menjadi penghuni kolam tersebut.
Tangan memimpin jemari kecil Aqib ketika meniti
jambatan yang merintangi kolam yang dihias indah. Memang
cantik sekali hiasan landskap yang ada di laman luas ini,
terpukau hatinya. Meneliti keindahan yang terhidang di
hadapan mata, dia yakin keluarga bakal mentua Farel memang
daripada kalangan orang berada. Untuk mendapatkan landskap
yang lengkap dan secantik ini sudah pasti ribuan ringgit
terpaksa dilaburkan.
Dia sendiri pernah meninjau-ninjau harga
perkhidmatan landskap beberapa bulan yang lalu. Namun hasrat
itu tidak menjadi kerana Fakhry tidak membenarkan halaman
rumah mereka disentuh orang lain. Memang mengada-ada,
padahal bukannya dia minta mereka berkongsi modal pun.
Dia hanya mahu memandang keindahan di laman rumah,
sebaliknya Fakhry lebih suka memandang pokok lalang!
“Aunty Jen, jom duduk dekat sana.”
Mata Zenia melirik kepada tudingan jari halus Aqib.
“Nak duduk dekat sana? Aqib nak naik buaian tu ke?”
“Haah, nak! Jom Aunty Jen, Aqib nak naik buai tu.”
Rengek Aqib mendayu.
Zenia serba salah. Dia berasa segan dengan tanggapan
tuan rumah sekiranya dia membiarkan Aqib berbuai di situ
tanpa kebenaran. Biarpun dipujuk, namun Aqib tetap juga
merengek-rengek meminta kehendaknya dituruti. Dan melihat
anak kecil itu hampir menangis, Zenia terpaksa juga mengalah
dan akur. Tidak sanggup dia membiarkan hati Aqib kecewa dan
hampa.
“Okey, jom. Tapi promise sekejap aje tau.”
Aqib tersenyum dan mengangguk.
Mata Darriz Imdad masih terkelip-kelip memandang dari
jendela rumah. Dengan jelas dia dapat melihat kelibat Zenia
di halaman bersama seorang kanak-kanak lelaki. Hati terasa
nyaman apabila melihat keceriaan pada wajah jelita itu.
Gelak ketawa Zenia membuatkan jiwa turut terhibur
tanpa sedar. Alangkah indahnya jika suatu hari nanti dia
dapat melihat Zenia bergembira di halaman rumah seperti ini
bersama anak-anak mereka. Oh!
Bibir diketap rapat. Dia tidak boleh berangan terlalu
jauh jika masih banyak misteri tentang diri gadis itu belum
terungkai. Dan siapa tahu kalau-kalau anak kecil itu ialah anak
Zenia sendiri. Bagaimana kalau perasaan indah ini jatuh kepada
orang yang salah? Terlontar kepada perempuan yang bergelar
isteri orang? Ah, masak!
Tidak mahu terus berbelit dengan teka-teki, Darriz
Imdad mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan
menegur Zenia. Mereka bekerja di bawah satu bumbung yang
sama, pasti tidak nampak canggung seandainya dia pergi
menyapa. Dan sambil-sambil itu, boleh juga dia mengorek
cerita tentang kehadiran anak kecil itu di sisi Zenia.
Langkah diatur kemas. Semakin hampir, semakin
kalut perasaan di dada. Hati mula meragam meminta kaki
berpatah balik, namun akal menegah keras. Selama ini dia
sentiasa bersikap tenang dan gentleman, namun kini perasaan
gementar kian terasa. Pelik!
“Zenia…”
Suara lunak yang menyapa telinga segera membawa
pandangan Zenia ke tepi. Mata sedikit membulat apabila
melihat lelaki yang berdiri tegak di situ mengukir senyuman.
Liur ditelan. Keliru. Dia sekarang berada di JB atau di KL? Apa
yang Darriz Imdad buat di sini?
Seingatnya dia tidak ada melihat lelaki itu di ruang
tamu ketika perbincangan keluarga sebentar tadi. Dan
terpandangkan baju melayu berwarna krim tersarung segak di
tubuh tinggi tegap itu, akal segera menghantar jawapan. Dia
yakin yang Darriz Imdad adalah salah seorang ahli keluarga
bakal mentua Farel. Ya Allah, dunia ini memang kecil!
“Why are you looking at me like that?”
Soalan dengan senyuman mengusik itu membuatkan
Zenia tertunduk. Namun sesaat kemudian dia kembali
mengangkat muka dengan riak bersahaja.
“Encik Darriz.” Tegurnya penuh hormat.
“What a small world, tak sangka I boleh jumpa you
dekat sini.” Darriz Imdad mengangguk dengan senyuman.
Bibir Zenia mengukir senyuman kelat. Tangan pula
masih sibuk mengayun buaian Aqib biarpun dia terasa seperti
mahu melarikan diri dari suasana kekok ini.
“Anak you?” Duga Darriz Imdad. Hati mula resah. Jika
benar anak Zenia, apa perlu dia katakan? Memuji anak kecil itu
comel seperti mamanya? Oh, no!
“No, he’s not my son.” Zenia menggeleng dengan
senyuman tawar. “Ini anak saudara I, Aqib.”
“Ohh…” Panjang ‘oh’ yang terlontar dari bibir Darriz
Imdad. Hati sedikit lega apabila mendapat pengesahan yang
budak lelaki itu bukanlah anak Zenia. Dan tatkala pandangan
bertembung dengan Aqib, dia sekadar mempamerkan senyuman
mesra.
“You dah makan Zenia?”
“Ya, dah Encik Darriz. Thanks.”
“Aqib dah makan?” Darriz Imdad mengalih soalan
kepada anak saudara Zenia pula. Aqib yang masih seronok
berbuai menganggukkan kepala dengan riak ceria.
“Aqib, come. Kita pergi dekat mama.” Ajak Zenia
apabila perasaan kurang selesa menjalar di hati. Dia bimbang
dengan tanggapan orang-orang yang mungkin memandang
keadaan mereka di sini.
“Aqib nak swing lagi Aunty Jen…”
“Kita pergi swing dekat tempat lain ya nanti. Jom, kita
pergi cari mama dulu.”
“No, Aqib tak nak!” Tolak Aqib menunjuk degil.
Zenia tersenyum pahit. Segan juga dengan Darriz
Imdad yang masih memerhati. Dan Aqib pula mula menunjuk
ragam dan sikap keras kepalanya.
“It’s okay, biarlah dia main lama sikit. Lagipun dah
lama buaian tu tak digunakan.”
Terdengarkan kata-kata Darriz Imdad, Zenia sekadar
mendiamkan diri. Hati mula yakin yang lelaki itu memang
tinggal di sini, barangkali abang kepada tunang Farel.
“Hmm… uncle tolakkan Aqib nak? Uncle tolak lagi laju
ya.”
“Nak uncle, nak!” Aqib mula teruja.
Reaksi Aqib berbeza dengan reaksi Zenia. Matanya
membulat apabila Darriz Imdad dengan bersahaja menghampiri
buaian yang diduduki Aqib. Dada berdebar-debar tanda kurang
senang. Apa motif lelaki ini mahu bermesra-mesra dengan
mereka? Sebab dia tetamu? Habis tu kenapa tak dilayan
tetamu-tetamu lain yang lebih ramai di depan sana?
“Aqib, no. Kita main dekat tempat lain ya, sayang.
Aunty Jen bawak Aqib pergi tempat buaian yang lagi besar.”
Tingkah Zenia menghalang. Buaian yang masih berayun
dihentikan, dia menarik tangan Aqib supaya turun. Biarpun
Aqib merengek-rengek, Zenia tetap menarik tangan kecil itu
supaya melangkah menurutinya.
Melihat Zenia tergesa-gesa beredar, Darriz Imdad
tersenyum kelat. Hati tergores dengan sikap dingin gadis itu.
Dia tahu Zenia sering mengelak dan menghindar, dan dia tidak
suka diketepikan begini.
“Do you have any problem with me, Zenia?”
Langkah Zenia terhenti, lambat-lambat tubuh
dipusingkan semula kepada lelaki itu. Dan kini buat beberapa
saat pandangan mereka bertembung seketika.
“Apa maksud Encik Darriz?”
“I tanya you, you ada masalah dengan I ke?”
Zenia terpinga tanda tidak mengerti. Dia boleh
mengagak yang lelaki itu mungkin terkesan dengan sikap
dinginnya selama ini. Bukan dia sengaja mahu bersikap begitu,
cuma kadangkala situasi membatasi tingkah lakunya.
Lebih-lebih lagi dia perlu memelihara maruah dan
statusnya sebagai isteri Fakhry. Lagipun takkanlah dia mahu
terlebih mesra dengan lelaki yang berpengaruh di syarikat
tempat dia bekerja. Memang janggal!
“You macam… macam tak sukakan I. Why? What did
I do wrong?”
Terkejut sungguh Zenia dengan soalan tidak diduga
itu. Melihat sedikit ketegangan terpamer pada wajah Darriz
Imdad, dia yakin lelaki itu serius dengan apa yang dikatakannya.
“Encik Darriz, you are my boss. Boleh ke I tak sukakan
you?”
“Tapi gerak-geri you jelas seperti you tak sukakan I.”
“Like what?”
“You selalu mengelak daripada I, Zenia. If you don’t
like me, say it to me.”
Zenia menarik nafas panjang, pandangan bertentang
tepat.
“I layan you sama macam I layan bos-bos I yang lain.
Please don’t get me wrong.”
“Zenia...”
“I minta diri dulu, Encik Darriz.”
“Wait Zenia, I’m not finished yet.” Tegah Darriz
Imdad menghalang. Dan apabila anak mata gadis itu melekat
kepadanya, hati kembali bergetar.
“Yes.”
“I just nak tahu apa hubungan you dengan tunang adik
I.”
Adik? Dahi Zenia berkerut. Jadi Farel bertunang
dengan adik perempuan Darriz Imdad? Nampaknya putaran
takdir akan lebih kerap mengatur pertemuan demi pertemuan
untuk mereka berdua.
Jujurnya dia kurang senang dengan cara Darriz Imdad
menghampiri dirinya. Jelas seperti punya niat lain di hati.
Namun belum sempat Zenia membalas pertanyaan lelaki itu,
satu suara lain tiba-tiba mencelah.
“Dekat sini rupanya you, melilau I cari!”
Darriz Imdad sedikit terkejut dengan kehadiran lelaki
segak yang muncul entah dari mana. Melihat ketinggian dan
bentuk fizikal lelaki itu, dia dapat mengagak pemuda ini yang
sering menjemput Zenia di pejabat mereka dahulu.
“Hmm… siapa ni?” Tanya Fakhry selamba.
Mata menyorot tajam ke seraut wajah tenang di
hadapannya. Hati membungkam geram. Zenia memang sengaja
mencari fasal! Kalau mama atau ahli keluarganya ternampak
drama ‘berdating’ ini macam mana?
“Oh, ini abang tunang Farel. Dan dia juga CFO dekat
kompeni I.” Jelas Zenia dengan riak sedikit resah. Bimbang jika
Fakhry tersalah sangka dan menuduh yang bukan-bukan.
“Darriz Imdad.” Darriz Imdad memperkenalkan diri.
Lelaki itu menyambut huluran tangannya, bertaut kemas
sebelum terurai.
“Fakhry.”
Tanpa menunjuk sebarang kemesraan terhadap bakal
abang ipar Farel itu, Fakhry berpaling kepada Zenia yang
masih memegang tangan Aqib. Anak mata memanah tajam,
mahu Zenia mengerti yang dia kurang senang dengan apa yang
dipandang sebentar tadi.
“Jom balik, mama kata nak singgah rumah Pak Usu
dulu before gerak ke KL.”
Zenia mengangguk tanda akur. Melihat Fakhry
menonong saja ke depan, dia tahu angin lelaki itu tidak baik.
Fakhry tidak mungkin cemburu, sebaliknya kemarahan itu
terbit kerana bimbang mama ternampak dia di sini bersama
Darriz Imdad. Dengan perasaan gusar, dia menyusuri langkah
Fakhry yang kian jauh.
“Zenia…”
Panggilan itu membuatkan Zenia berpaling semula
kepada Darriz Imdad yang masih berdiri tegak di sisi buaian.
“Ada apa Encik Darriz?”
“Fakhry tu siapa? Abang you?”
Zenia menggeleng. Bibir mengukir senyuman kelat.
“No, Fakhry tu suami I.”
Riak wajah Darriz Imdad serta-merta berubah keruh.
Suami? Fakhry itu suami Zenia?
Dan tatkala langkah gadis itu kian jauh, hati bagaikan
rebah ke bumi. Lemah, sakit, perit, semuanya ada. Memendam
perasaan memang menyakitkan.
Namun lebih pedih apabila menyedari bunga yang
didamba tidak mungkin tercapai oleh tangan. Ada duri yang
membalut, ada pagar yang menghalang. Jadi kini, ke mana nak
diadu nasib hatinya yang telah tewas?
Nafas dihela panjang. Masih sesak.
No comments:
Post a Comment