DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 10

Suasana di banglo mewah petang itu
sungguh hening. Zureen membawa Haziq duduk di sebuah
gazebo yang terletak di sebelah kolam renang. Sebolehnya
dia ingin membawa abang angkatnya jauh dari Syed Redza.
Bimbang jika tercetus perang mulut antara Syed Redza dan
abang angkatnya pula.
Perang mulut antara Syed Redza dan Haziq hampir
tercetus tadi. Jika dia tidak membawa abang angkatnya
segera keluar dari bilik Syed Redza tadi, sudah pasti satu lagi
episod perang mulut akan tercetus!
Pandangan kedua-dua lelaki itu tadi amat
menggerunkan Zureen. Perasaannya yang masih membara
akibat perbalahan dengan Syed Redza tadi belum lagi reda,
kini dia terpaksa berhadapan pula dengan satu lagi situasi
yang agak tegang.
Zureen masih lagi tertanya-tanya kenapa abang
angkatnya tiba-tiba sahaja boleh berada di banglo mewah itu.
Apakah yang mendorong Haziq datang ke situ? Zureen
menyangkakan SMS daripada Haziq yang mengatakan dia
ingin ke banglo itu hanyalah satu gurauan, tetapi ruparupanya
memang benar Haziq melakukannya.
Setelah pasti tempat mereka duduk kini ‘selamat’
seketika dari Syed Redza, Zureen mula meluahkan apa yang
bersarang dalam fikirannya.
“Abang Haziq.... macam mana abang boleh sampai
ke sini?”
Haziq tidak menjawab. Sebaliknya dia merenung
tajam adik angkatnya itu. Akhirnya dia tersenyum.
Kalaulah kau tahu kenapa aku sampai ke sini,
adakah kau akan percaya? Bisik Haziq sayu.
“Orang tanya kenapa, dia senyum pula!” luah
Zureen geram apabila melihat reaksi abang angkatnya itu.
“Zureen nak tahu kenapa?” soal Haziq cuba
berteka-teki.
Zureen mengangguk.
“Sebab abang rindu kat Zureenlah....” luah Haziq
berani walaupun ada sedikit getar pada suaranya.
“Alah abang ni.... Zureen serius ni! Main-main
pula!” balas Zureen geram.
Orang tengah serabut, dia nak bergurau pula!
Getus Zureen.
“Lah... betullah apa yang abang cakap ni. Kalau
bukan sebab rindu, Zureen rasa ada sebab lain ke abang
datang ke sini?”
“Kalau abang nak bergurau macam ni, Zureen
malaslah nak layan abang! Zureen tengah stres ni, abang nak
main-main pula!” Zureen mula merajuk.
Seperti yang dijangka Haziq, Zureen memang tak
akan faham!
Haziq diam seketika. Dia sedang berfikir bagaimana
untuk membuat gadis comel di hadapannya itu sedar akan
perasaannya selama ini.
Tetapi.... Haziq tiba-tiba sahaja tersedar. Teringat
pula akan nasihat rakan baiknya tadi, Anaz.
“Aku tak boleh terlalu obvious sangat. Sekarang
bukan masa yang sesuai. Biarlah perasaan yang aku harap
dari dia itu lahir secara semula jadi dalam dirinya tanpa perlu
aku memberitahunya....” bisik Haziq sendiri.
“Okey.. Okey... Abang minta maaf. Abang gurau
aje... janganlah serius sangat. Nanti orang yang dah memang
sakit tu makinlah bertambah sakit, dah tu adik abang yang
sihat dan ceria selalu ni pun ikut sakit sama. Kalau dah
jururawat peribadinya yang sakit, macam mana nak jaga
orang sakit? Baru betul!” balas Haziq cuba menukar rentak
perbualannya tadi agar tidak kedengaran seperti dia sedang
meluahkan perasaannya.
Zureen masih menarik muka kerana dia memang
tidak suka jika abang angkatnya mengatakan sesuatu yang
melibatkan perasaan walaupun dia tahu Haziq hanya
bergurau dengannya. Namun, entah kenapa dia memang
tidak suka jika abang angkatnya bergurau begitu.
“Zureen..... Abang dah minta maaf kan? Kalau
Zureen terus nak tarik muka macam tu, baik abang balik
ajelah sekarang. Susah payah abang datang sini nak jenguk
Zureen, tapi macam ni pula Zureen layan abang....” ujar
Haziq seolah-olah merajuk dalam usahanya cuba untuk
menenangkan keadaan.
Aikk?? Siapa marah siapa ni? Siapa pula yang
tengah merajuk? Aku ke dia? Bisik Zureen agak keliru.
Bimbang jika abang angkatnya benar-benar akan
pulang, Zureen pula yang memujuk Haziq yang agak berkecil
hati dengan layanannya kerana ketika itu sememangnya dia
amat memerlukan seseorang seperti Haziq untuk meluahkan
perasaannya.
“Alah... Abang ni, sikit-sikit nak merajuk.... sikitsikit
nak merajuk. Macam budak-budaklah! Patutnya abang
yang tolong pujuk Zureen sekarang ni, sebab Zureen yang
tengah stres, tapi dah terbalik pula!” balas Zureen.
Hah, dah baguslah tu! Aku merajuk, dia pujuk. Dia
merajuk, aku pula yang nak kena pujuk. Jawabnya, sampai ke
sudah tak selesai juga masalah aku ni! Pi mai pi mai tang tu!
“Bila pula abang merajuk? Dah orang tu tak suka
kita datang sini, so lebih baik kita balik aje!”
“Ada ke Zureen cakap kat abang yang Zureen tak
suka abang datang ke sini? Zureen cuma terkejut aje tadi bila
tengok abang datang dengan Datin!”
“Maknanya Zureen sukalah abang datang sini ya?”
Haziq masih tidak berpuas hati.
“Okeylah, to be honest, Zureen rasa sayu sangat
bila tengok abang datang tadi. Zureen rasa macam nak peluk
abang aje. Kalaulah abang ni Abang Zahin, dah lama Zureen
peluk sebab masa abang sampai dengan Datin tadi, Zureen
memang tengah tension sangat dengan perangai anak
majikan Zureen tu...”
Haziq agak tersentak. Berderau darahnya apabila
mendengar kalimah Zureen seperti ingin memeluknya.
Hatinya terharu. Bukan terharu disebabkan Zureen ingin
memeluknya tetapi rasa terharu disebabkan perasaan luhur
yang lahir dari hati gadis di hadapannya itu sudah cukup
mengharukan biarpun perasaan Zureen itu bukan perasaan
seperti yang diharapkannya.
Hatinya sudah cukup gembira bila mengetahui
dirinya amat diperlukan oleh Zureen biarpun kehadirannya
hanya dianggap seperti kehadiran seorang abang sahaja!
“Okeylah... sekali lagi abang minta maaf kalau
abang dah tersalah cakap tadi. Sebenarnya, abang pun nak
beritahu Zureen satu perkara...”
“Apa dia?”
“Sebenarnya..... Abang sendiri pun tak percaya
macam mana abang boleh berada di banglo mewah ini
sekarang. Walaupun, abang tulis kat SMS tadi cakap nak
datang sini, sebenarnya abang memang tak terfikir nak
datang sini pun. Abang saja-saja cakap macam tu sebab nak
takutkan Zureen. Yalah, siapa tak risau kalau abang call tapi
langsung tak jawab. Hantar SMS pun tak reply...”
“Eh, kan Zureen reply mesej abang?” Zureen
memotong kata-kata Haziq.
“Memanglah reply tapi..... lambat!” balas Haziq
pula.
Haziq menyambung kembali kata-katanya.
“Mula-mula abang dah putuskan tak nak ganggu
Zureen, tapi abang tak tahu kenapa tiba-tiba abang rasa
macam tak sedap hati. Abang terasa macam Zureen
memanggil-manggil abang datang ke sini and who knows
that you’re really need me right now! Memang instinct
abang tak pernah salah!”
“Ya ke abang rasa macam tu? Maknanya kita ni
memang ada chemistry kan? Kita ni macam ada alpha
wavelah pula!”
“Zureen baru perasan ke? Abang dah lama notice
benda ni!”
“Kalau macam tu senanglah Zureen. Kalau Zureen
ada apa-apa masalah, tak payah susah payah nak beritahu
abang, tup.. tup.. Abang dah terpacak depan Zureen. Eee...
bestnya macam tu!”
Hai, Zureen... masih tak faham-faham lagi ke apa
maksudnya? Bisik Haziq.
“Okey, now Zureen cerita kat abang apa yang
menyebabkan Zureen tension dan stres sangat ni? Belum pun
sehari bekerja, takkan dah stres macam ni sekali?”
Zureen mula bercerita apa yang dialaminya
sepanjang satu hari bertugas dengan lelaki sejuk beku kepala
batu itu.
Haziq Daniel khusyuk mendengar luahan adik
angkatnya. Sesekali dia menarik nafas yang dalam dan
melepaskan pula suatu keluhan. Dari apa yang diceritakan
Zureen, sememangnya adik angkatnya itu sedang melalui
satu situasi yang amat sukar.
Jika diikutkan hatinya, mahu saja dipaksanya
Zureen untuk berhenti kerja dan segera meninggalkan
banglo mewah dan lelaki pelik itu. Namun, dia sudah berjanji
dengan dirinya sendiri, dia tidak mahu lagi bertindak dengan
hanya mengikut perasaannya sahaja.
Dia harus lebih matang dalam usaha membantu
Zureen menyelesaikan masalahnya atau jika tidak mampu
menyelesaikannya, cukuplah jika dia dapat membantu
meringankan bebanan yang terpaksa digalas oleh Zureen.
Baru sebentar tadi dia berazam untuk menjarakkan
dirinya dari Zureen untuk sementara waktu, tetapi ternyata
dia tidak mampu melakukannya. Hatinya meronta-ronta
ingin segera bertemu dengan Zureen.
Dia tidak sanggup menunggu walaupun sehari
untuk menemui Zureen apatah lagi harus menunggu hingga
ke hujung minggu, dan disebabkan perasaan itulah yang
telah membawanya ke banglo mewah ini.
Sangkanya apabila dia sampai di banglo itu tadi,
Zureen akan memarahi dirinya seperti kebiasaannya kerana
Zureen pasti tidak suka dia datang mengganggu tugasnya
yang baru sahaja bermula. Namun, sangkaannya meleset. Dia
cukup tersentuh dan terharu melihat reaksi Zureen terhadap
kemunculannya yang secara tiba-tiba di banglo mewah itu.
Entah kenapa, dia dapat merasakan Zureen sangat
memerlukan kehadirannya tadi. Dari renungan matanya,
sudah cukup menceritakan apa yang sedang ditanggungnya
itu dan andaiannya tepat setelah mendengar sendiri
pengakuan dari mulut adik angkatnya tadi.
Melihat pula lelaki pelik itu memberikannya suatu
renungan yang tidak menyenangkan dan kata-kata kesat yang
telah dilemparkan kepadanya tadi, dia tahu, memang tugas
adik angkatnya itu bukan mudah!
“Zureen okey tak ni?” soal Haziq sebagai respons
terhadap luahan hati dan wajah keruh Zureen.
“Abang Haziq tengok Zureen macam mana? Okey
ke?” soal Zureen pula.
“Hishh... kita tanya dia, dia boleh tanya kita balik
pula!” balas Haziq cuba berseloroh untuk meredakan
ketegangan Zureen. Tidak sanggup rasanya melihat wajah
insan yang paling disayanginya itu bersedih sebegitu rupa.
“Entahlah Abang Haziq. Mula-mula Zureen rasa
macam Zureen okey aje, tapi makin lama, Zureen makin tak
tahan pula dengan sikap si kepala batu tu! Ni baru aje sehari,
kalau lama lagi boleh gila Zureen dibuatnya...” luah Zureen.
Zureen melepaskan satu keluhan. Lega sedikit
rasanya setelah dapat melepaskan apa yang berbuku dalam
hatinya sejak tadi.
“Zureen.... kalau abang cakap sikit, Zureen nak
dengar tak?”
Zureen merenung Haziq seketika. Dia agak pelik
dengan sikap abang angkatnya itu. Kenapa tingkah laku
lelaki di hadapannya itu lain benar? Rasa-rasanya, itu
bukanlah sikap sebenar abang angkatnya! Apa kena dengan
dia ni?
“Zureen nak dengar tak?” soal Haziq lagi setelah
melihat Zureen hanya merenungnya dengan suatu
pandangan yang pelik.
Zureen tersentak.
“Kenapa abang tanya macam tu pula? Sejak bila
pula abang Zureen ni pandai minta permission dulu bila nak
cakap?” soal Zureen masih lagi pelik.
“Abang tanya ni, Zureen nak dengar tak?” soal
Haziq lagi masih tidak berpuas hati.
“Yalah... yalah... Zureen dengarlah ni. Abang cakap
ajelah.”
“Abang cuma nak bagi pendapat abang. Kalau
Zureen rasa boleh pakai cakap abang ni, Zureen pakailah.
Kalau tak, Zureen abaikan aje...”
Zureen hanya diam menanti apakah yang hendak
disampaikan oleh abang angkatnya.
“Zureen.... apa yang boleh abang cakap, Zureen
mesti banyak-banyak bersabar. Semua kerja ada cabarannya.
Kalau Zureen sabar mengharungi semua cabaran tu, abang
percaya itu semua akan membantu Zureen jadi lebih matang
dan seorang yang lebih kuat. Zureen tak boleh cepat
berputus asa. Bukan ke tugas Zureen sekarang ni adalah
minat Zureen? Takkanlah dengan sebab masalah kecil tu,
Zureen dah nak give up...”
Aku bermimpi ke ni? Betul ke yang duduk depan
aku ni Abang Haziq? Macam tak percaya pula! Kenapa dia
lain sangat? Atau dia ni..... dah buang tabiat? Hishh! Minta
dijauhkanlah!
Zureen memang amat pelik dengan perubahan
sikap abang angkatnya itu kerana pada awalnya dia sudah
menjangkakan pasti Haziq akan menyuruhnya berhenti dan
segera pulang sahaja ke rumahnya. Namun, kata-kata dari
mulut Haziq benar-benar tidak dijangka.
Nampaknya keadaan sekarang sudah terbalik
kerana tadi dia sudah terfikir untuk meninggalkan sahaja
banglo itu jika didesak oleh Haziq untuk berbuat begitu,
namun kata-kata yang baru sahaja keluar dari mulut abang
angkatnya amat tidak disangka-sangka.
“Abang Haziq nak suruh Zureen terus kerja dengan
lelaki angkuh tu ke? Abang tak tengok ke macam mana
perangai dia tadi tu? Zureen dah tak tahanlah bang.... ini
baru aje sehari, tapi Zureen dah kena macam-macam dengan
dia. Kalau ikutkan hati Zureen yang sakit ni, dari tadi Zureen
dah tinggalkan dia tapi Zureen tak sampai hati pula tengok
Datin yang beria-ia sangat nak minta Zureen jadi jururawat
peribadi anak dia. Lagipun, Zureen dah terjanji dengan Datin
untuk bantu dia rawat anak dia yang sakit tu...” cerita Zureen
panjang lebar.
“Betul ke Zureen yang ada kat depan abang ni
Zureen yang abang kenal?”
Zureen terdiam seketika. Pelik dengan soalan dari
abang angkatnya.
“Kenapa abang tanya macam tu?” soal Zureen pelik.
“Sebab Zureen yang abang kenal ialah seorang yang
tak mudah berputus asa. Seorang yang cekal... sukakan
cabaran.... kalau dia dah putuskan nakkan sesuatu, tak ada
sesiapa yang boleh menukar keputusannya. So, apa dah jadi
dengan Zureen yang abang kenal dulu? Takkanlah dengan
cabaran sekecil ini, Zureen dah give up??”
“Bercakap memang senang... tapi masalahnya
Zureen yang terpaksa menghadapinya. Zureen takut lamalama
nanti Zureen yang jadi tak betul sebab asyik melayan
kerenahnya saja! Zureen tak kisah kalau dia tak dapat terima
kehadiran Zureen di banglo tu, sebab Zureen dah berazam
akan cuba untuk meyakinkannya melalui tugas-tugas yang
dah diamanahkan pada Zureen, tapi sekarang ni dia telah
menghina Zureen. Dia tak habis-habis asyik merendahkan
Zureen. Kalau sekali dua, mungkin Zureen boleh bersabar
lagi, tapi nampaknya dia semakin kerap memperlakukan
Zureen sesuka hatinya. Dia layan Zureen betul-betul macam
kuli dia. Walau sekuat mana pun Zureen, secekal mana pun
Zureen, tapi kalau dah kerap sangat dilayan begitu, macam
mana Zureen nak bertahan. Zureen memang dah tak
tahan....” luah Zureen sebak. Air mata bergenang di kelopak
matanya.
Jika diikutkan hatinya, mahu saja Haziq menyuruh
Zureen berhenti 24 jam. Sedih benar hatinya bila mendengar
luahan hati adik angkatnya itu.
Hingga begitu sekali lelaki pelik itu melayan
Zureen? Tak padan diri tu sedang sakit, masih lagi nak
menghina orang sesuka hati! Bentak Haziq dalam hati.
“Zureen dah habis fikir ke ni?” duga Haziq
Zureen tidak menjawab sebaliknya hanya
mengangguk.
“Habis tu macam mana dengan janji Zureen pada
Datin?” duga Haziq lagi.
Mendengar nama Datin Raja Fatimah disebut, dia
terdiam seketika. Itulah masalahnya sekarang ini. Datin Raja
Fatimah menjadi penghalang untuk Zureen mengikut kata
hatinya.
“Kenapa Zureen diam? Zureen tak sampai hati ke?”
Haziq terus menduga kesungguhan adik angkatnya terhadap
hasrat hatinya itu.
“Itulah masalahnya. Zureen memang tak sampai
hati nak hampakan harapan Datin. Harapannya pada Zureen
terlalu tinggi hinggakan kadang kala buat Zureen jadi takut
sangat. Abang Haziq, apa patut Zureen buat? Zureen betulbetul
buntu sangat ni!” luah Zureen lagi.
“Kalau abang, abang akan cuba sedaya upaya untuk
tidak menghampakan kepercayaan yang telah diberikan
kepada diri kita. Zureen kena ingat, bukan senang orang nak
mempercayai diri kita dalam masa yang terlalu singkat.
Zureen anggaplah tugas Zureen kepada anak majikan Zureen
tu sebagai suatu amanah. Amanah yang harus dijaga dengan
sebaik-baiknya. Biar apa pun yang dia cuba buat pada Zureen,
Zureen cuba jangan ambil pusing. Anggap dia tu orang yang
tengah sakit. Orang yang sakit ni memang macam-macam
kerenahnya. Zureen dah belajar semua tu dulu kan?”
Haziq sendiri pelik dengan dirinya. Dia tidak
menyangka dia boleh memberikan nasihat sebegitu kepada
adik angkatnya sedangkan jika dia mahu, dia boleh
memanfaatkan peluang yang ada di hadapan matanya untuk
meracuni fikiran Zureen supaya berhenti dari tugas sebagai
jururawat peribadi kerana ketika itu Zureen benar-benar
sedang bingung.
Haziq menarik nafas panjang dan melepaskannya.
Entah kenapa dia merasa amat lega setelah dapat
memberikan nasihat sebegitu rupa kepada Zureen. Suatu
kejayaan buat dirinya kerana mampu melawan perasaannya
sendiri. Perasaan mementingkan diri sendiri!
Tiba-tiba sahaja Haziq merasakan seperti ada
seseorang yang sedang memerhatikan dirinya. Matanya
meninjau di sekitar banglo mewah itu untuk memastikan
perasaannya.
Pandangan mata Haziq terhenti sebaik sahaja
matanya terpandang seseorang yang sedang asyik
memerhatikan dirinya dan Zureen dari atas balkoni. Dia
mengamati seketika untuk memastikan siapakah pemilik
sepasang mata yang sedang memerhatikannya.
Sah! Sepasang mata yang sedang asyik
memerhatikannya dengan perasaan kurang senang adalah
milik lelaki sejuk beku kepala batu, gelaran yang selalu
digunakan oleh Zureen untuk menggambarkan sikap anak
majikannya itu.
Beberapa ketika mereka saling bertatapan.
Mungkin sambungan kepada episod tenung menenung di
dalam bilik tadi walaupun kali ini jaraknya agak jauh sedikit,
namun aura kurang senang masih dapat dirasai.
Kenapa lelaki pelik itu merenung aku semacam aje?
Macam ada perasaan tidak berpuas hati. Dia tak puas hati
dengan aku ke? Apa masalah dia sebenarnya? Dia
cemburukan aku ke? Kalau benar cemburu, tapi kenapa?
Takkanlah dia dah jatuh hati pada Zureen dalam masa sehari
saja? Bisik Haziq pelik.
Haziq segera melarikan pandangannya dari lelaki
pelik itu kerana bimbang Zureen akan perasan apa yang
sedang berlaku.
“Zureen, abang nak tanya sikit boleh?” Tiba-tiba
terlintas satu soalan di benak Haziq sebaik saja terpandang
Syed Redza sedang merenung dirinya dan adik angkatnya
tadi.
“Apa dia?” balas Zureen yang masih tidak sedar
tentang satu lagi episod tenung menenung yang berlaku tadi
kerana kedudukannya yang membelakangkan balkoni,
tempat di mana Syed Redza berada.
“Siapa nama lelaki pelik yang Zureen jaga tu?”
Zureen tersenyum sebaik sahaja mendengar soalan
dari Haziq. Itu ke soalannya?
“Syed Redza...” balas Zureen pendek kerana
sebolehnya ketika itu, dia tidak ingin langsung menyebut
nama lelaki sejuk beku kepala batu itu!
“Hmmm.... patutlah handsome. Keturunan Arab
rupa-rupanya!” jawab Haziq selamba dengan nada suaranya
kedengaran kurang senang!
“Handsome pun tak guna kalau perangai buruk
macam tu!” balas Zureen geram.
“Zureen... tak baik cakap macam tu!”
“Alah... betul apa Zureen cakap ni. Muka handsome
sampai ke langit pun, kalau perangai tak sehandsome muka,
tetap buruk juga!” balas Zureen lagi.
Haziq tersenyum mendengar respons Zureen.
Oooo... maknanya, kalau perangai dia sehandsome
wajahnya, Zureen akan sukalah ya? Jerit Haziq dalam hati
sahaja kerana dia tidak berani untuk meluahkan soalan itu
terus kepada Zureen kerana dia sudah mengagak respons
Zureen. Pasti marah dan tarik muka!
“Kalau abang cakap, Syed Redza tu sebenarnya
sukakan Zureen, macam mana?” duga Haziq walaupun dia
amat takut dengan soalan itu.
“What??!!” tanpa sengaja Zureen terjerit sedikit
sebaik saja mendengar soalan daripada abang angkatnya.
“Zureen! Cuba control sikit suara tu. Kalau Datin
dan Syed Redza dengar macam mana?” balas Haziq juga agak
terperanjat dengan respons tiba-tiba Zureen itu. Tambah
membimbangkannya, apabila dia dapat melihat Syed Redza
semakin galak merenungnya setelah terdengar jeritan
Zureen tadi.
“Ooppss!! Sorry... Zureen tak sengaja. Apalah punya
soalan abang tanya ni? Tak logik langsung!” jawab Zureen
sambil menutup mulutnya dengan tapak tangannya.
“Kenapa pula tak logik?” Haziq semakin berminat
untuk tahu setelah melihat respons dari Zureen terhadap
soalannya tadi.
“Yalah... memang tak logik langsung. Kalau dia
sukakan Zureen, dia tak akan layan Zureen macam tu sekali!
Dia punya layanan pada Zureen baik sikit aje dari layanan
firaun pada hamba abdinya!” balas Zureen lagi.
“Apa pula sampai sebut fasal firaun ni? Tak baik tau
Zureen,” balas Haziq pula kurang senang.
“Tak adalah.... Zureen cuma nak menggambarkan
betapa teruknya dia layan Zureen!”
“Mungkin itulah cara dia nak tackle Zureen.
Zureen kena ingat... ada sesetengah lelaki gunakan
pendekatan membenci untuk tackle perempuan!”
“Ah! Mengarutlah.... Zureen tak percaya langsung
kalau nak tackle dengan pendekatan macam tu. Zureen tak
tahulah kalau perempuan lain boleh terima cara macam tu,
tapi kalau Zureen, sorry to saylah, memang Zureen tak akan
jatuh hati dengan cara macam tu. Makin benci adalah!”
“Zureen.... jangan cakap besar. Nanti kalau jadi
terbalik, macam mana?”
“Minta dijauhkanlah! Kalau Zureen dapat bertahan
dengan tugas Zureen ni dah kira bagus sangat! Okeylah
Abang Haziq, Zureen tak boleh sembang lama sangat. Zureen
tengah kerja lagi ni. Kalau abang nak sembang panjang lebar,
tunggu hujung minggu ni bila Zureen balik rumah. Nanti
kita sembang panjang-panjang ya?” balas Zureen seraya
berdiri tanda untuk menyambung semula tugasnya.
“Hmmm.... maknanya hasrat nak bagi notis 24 jam
pada Datin tadi dah tak jadilah ya?” soal Haziq tersenyum.
“Zureen dengar nasihat Abang Haziq. Sekarang ni
Zureen cuma fikirkan Datin aje. Kalau setakat lelaki angkuh
tu, memang Zureen dah ikut abang balik sekarang juga!”
“Zureen... walau apa pun, Zureen kena ingat etika
seorang jururawat. Walaupun pesakit yang dirawatnya adalah
musuh ketatnya, Zureen tetap kena merawat dia sebaik
mungkin. Ingat, jangan sesekali terpengaruh dengan emosi
sendiri masa tengah jalankan tugas!” balas Haziq juga turut
berdiri untuk beredar meninggalkan banglo mewah itu.
“Yes!! Doktor Haziq,” jawab Zureen sambil
tangannya diangkat dan diletakkan di tepi telinganya seperti
sedang memberi tabik hormat.
Seperti biasa, tanpa sengaja Haziq akan menarik
hidung Zureen sekuat hati sebagai cara untuk melampiaskan
perasaan cinta dan sayangnya pada gadis comel itu.
“Aduh! Abang Haziq... sakitlah! Suka tau buat
Zureen macam ni...” Zureen sedikit terjerit sambil tangannya
meraba-raba hidungnya. Mesti merah ni!
Mereka berjalan beriringan meninggalkan kawasan
kolam renang itu. Ketika berjalan, Haziq sempat mengerling
seketika ke arah balkoni. Kelihatan Syed Redza masih di situ
tetapi renungannya kali ini lebih tajam. Mungkin tidak
senang dengan kemesraan dirinya dan Zureen.
Haziq sempat melemparkan sebuah senyuman ke
arah Syed Redza. Sebuah senyuman yang sukar untuk
ditafsirkan akan maksudnya. Hanya sesama lelaki yang akan
faham maksudnya!
Zureen menghantar kepulangan abang angkatnya
sehingga ke pintu pagar utama. Setelah kelibat kereta Haziq
hilang dari pandangan matanya, dia kembali masuk semula
ke banglo mewah itu.
Tiba-tiba sahaja, entah kenapa langkah kaki Zureen
kembali terarah ke arah kolam renang tempat dia dan abang
angkatnya duduk berbual tadi. Zureen terasa seperti ingin
duduk seketika bersendirian di tepi kolam renang sebelum
kembali menyambung tugasnya kerana tugas yang sedia
menunggunya selepas ini pasti lebih mencabar apabila dia
harus mengambil tekanan darah Syed Redza pula.
Dia perlu menenangkan dirinya seketika sebelum
kembali berhadapan dengan lelaki angkuh itu. Hatinya terasa
tenang seketika setelah dapat mencelup hujung kakinya ke
dalam kolam renang itu. Sejuk air kolam itu dapat
menyejukkan sedikit hatinya yang membara tadi.
Seronok pula dapat membasahkan kaki! Kalau
diikutkan hatinya mahu sahaja dia terjun terus ke kolam
renang itu. Tentu boleh release tension!
Terasa tidak puas pula apabila hanya merendam
hujung kaki. Zureen melipat sedikit seluar uniform
jururawatnya dan terus duduk sambil merendamkan keduadua
belah kakinya. Dia menyanyi-nyanyi kecil untuk
menghiburkan hatinya yang lara sambil kakinya dihayunhayunkan
di dalam air.
Sedang dia seronok bermain air sambil bernyanyinyanyi
kecil, tiba-tiba matanya terpandang ke arah balkoni.
Berderau darahnya!
Ya Allah... Syed Redza sedang merenungnya dengan
pandangan yang amat menakutkan Zureen.
Zureen panik! Rasanya ingin sahaja dia terjun ke
dalam kolam renang itu untuk menyembunyikan diri dari
renungan tajam Syed Redza itu, namun mana mungkin.
Relaks Zureen.... relaks!
Seperti ada suara halus yang berbisik ke telinganya
supaya dia bertenang. Entah macam mana, dalam keadaan
yang panik sebenarnya, dia boleh berlagak selamba seolaholah
tidak hairan langsung dengan renungan maut Syed
Redza.
Zureen selamba bangun dari kolam sambil
menurunkan semula lipatan seluarnya, menyarungkan
semula sandal dan terus berjalan meninggalkan kolam tanpa
mempedulikan Syed Redza yang masih merenungnya di
balkoni walaupun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang
tahu.
Terasa seperti jantungnya sudah lama melompat
keluar meninggalkannya terkontang-kanting seorang diri.
Aduh! Matilah aku kali ni. Mesti aku kena lagi
dengan dia lepas ni! Ya Allah tolonglah hamba-Mu ini.

No comments:

Post a Comment