DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 13

ASMA terjaga daripada tidurnya. Dipejam
celikkan mata dan meraba jam di atas meja di sisi katil. Tak
jumpa. Dia cuba gerakkan badannya untuk bangun tetapi
sukar. Ada tangan membelit erat pinggangnya. Dalam mamai,
dia teringat semalam dia telah bernikah dengan Ferhad dan
bermalam di rumah Nek Yam. Asma cuba bergerak lagi, tapi
makin erat pula Ferhad menguncinya dalam pelukan. Dia
tiada pilihan selain mengejutkan Ferhad. Dia yakin sekarang
ini telah masuk waktu subuh.
“Abang... abang...” Ditepuk lengan Ferhad di
pinggangnya.
“Bangunlah. Dah pagi.”
“Sekejap lagi. Pagi lagi ni. Ayam je bangun pagi.
Orang bangun lewat sikit tak apa.”
Asma ketap bibir. Baik punya alasan encik suami.
“Masalahnya, orang ni memang dah biasa bangun
pagi. Mandi dan solat subuh. Lepas tu buat kerja kat dapur,”
balas Asma. Jika tadi dia dipeluk dari belakang, sekarang dia
mengiring memandang suaminya. Tangan suaminya masih
melekat erat di pinggangnya.
“Pagi ni boleh excuse sebab suami, kan?” soal Ferhad
perlahan. Matanya masih lagi ditutup.
“Dengan Allah mana boleh mintak excuse. Kena
tunaikan perintah-Nya dulu, baru boleh excuse.”
“Kalau macam tu, jom. Kita solat subuh dulu. Lepas
tu temankan abang tidur lagi. Okey?”
Asma tahan nafas. Mata Ferhad tiba-tiba terbuka
mengunci pandangannya. Bibir sensual itu singgah di puncak
hidungnya.
“Jom, bangun solat,” ajak Ferhad sambil menarik
Asma bangun.
“Biar Asma mandi dan ambil wuduk dulu. Lepas tu
baru abang masuk,” cadang Asma.
“Apa salahnya mandi dan ambil wuduk sama-sama,”
tanya Ferhad sambil sembunyi senyum.
Asma cepat geleng kepala. Mukanya dah berbahang
panas. Tambah panas dengan nafas Ferhad yang menghembus
di dahinya. Bibirnya singgah lama di situ.
“Tak boleh, nanti lambat. Lagipun subuh dah nak
habis.”
“Kalau macam tu, kita ambil wuduk dululah, mandi
kemudian. Boleh mandi sama-sama, lama-lama, kan?”
“Cepatlah, nanti subuh habis,” gesa Asma mengelak
daripada memberi jawapan.
Ferhad sengih. Dia lepaskan Asma mendahuluinya.
“Nanti tunggu abang. Kita solat berjemaah.”

BETUL-BETUL LEWAT mereka keluar dari bilik pagi ini.
Asma senyum segan. Sudah berkali-kali dia minta izin keluar
menolong di dapur tapi Ferhad enggan melepaskannya.
Sengaja Ferhad mengunci Asma di dalam pelukannya.
Sengaja menggoda sehingga Asma ikut terbuai dan terlena
semula.
“Baru bangun, pengantin baru? Ingatkan tak nak
keluar bilik lagi hari ni,” sindir Fadhilah.
“Keluar isi perut dulu, mak ngah. Kena recharge
tenaga dulu baru boleh berkurung lagi,” balas Ferhad
selamba.
Asma sudah merah muka. Dia sengaja melarikan diri
ke rak pinggan mangkuk, mengambil cawan untuk suaminya.
“Layanlah suami kamu ni Asma, kami semua dah
siap makan. Nak berkemas-kemas, nak balik dah tengah hari
nanti.”
“Awal lagilah, mak ngah. Sini dengan Kuala
Terengganu tu 3 jam je dah sampai. Petang-petang sikit pun
boleh balik.”
“Nak singgah rumah mentua mak ngah sekejap
sebelum balik. Nanti apa pula kata diaorang kalau mak ngah
tak singgah,” jelas Fadhilah lagi.
“Nanti, bila-bila senang bawa Asma datang ke rumah
mak ngah. Bawa dia pusing-pusing KT,” ajak Fadhilah.
“Insya-Allah, mak ngah,” jawab Ferhad. “Eh, nenek
mana?” tanyanya pula sambil melilau mata mencari kelibat
Nek Som.
“Ada kat dalam bilik dia. Katanya tadi sakit badan.
Itulah, bergerak sana sini semalam tak reti rehat. Bila orang
suruh rehat, tak nak dengar. Nanti kamu tengok-tengokkan
nenek. Kalau melarat sakitnya, bawa ke klinik,” pesan
Fadhilah lagi sebelum meninggalkan mereka berdua di situ.
“Mama dan papa abang balik bila? Tak nampak pun
diaorang?” soal Asma. Dia tak sempat lagi berbual dengan
mak mentuanya. Semalam selepas akad nikah mereka sibuk
bergambar dan melayan tetamu. Kemudian makan-makan.
“Entah. Mungkin tengah berkemas jugak kut.”
“Mereka dah nak balik jugak ke?” soal Asma terkejut.
Ferhad angguk.
“Papa dan mama tak dapat cuti lama. Isnin dah
kerja.”
Asma pandang wajah suaminya yang bagaikan tiada
perasaan. Sukar dia nak meneka apa perasaan suaminya
sekarang. Anak sulung baru semalam selesai kenduri kahwin.
Hari ini pula, keluarganya telah bersiap untuk pulang ke
rumah tanpa mahu tinggal lebih lama. Serta-merta Asma
merasa kasihan terhadap suaminya dan Nek Som.
“Kenapa tengok abang tak berkelip? Nak masuk bilik
semula ke?” soal Ferhad sambil angkat kening. Senyum nakal
turut menghiasi bibirnya.
Cepat-cepat Asma geleng kepala.
“Asma tak sempat pun nak berbual dan berkenalan
dengan mama,” luahnya.
“Tak apa. Lain kali boleh berbual. Asma ada masa
seumur hidup nak berkenalan dan berbual-bual dengan
mama nanti,” balas Ferhad, cuba memberikan harapan
kepada Asma.
Asma paksa senyum. Dia tidak tahu sama ada hatinya
gembira atau tidak mendengarnya. Terlintas cerita Fatin Nur
semalam membuatkan hatinya berubah rentak. Sumbing.

“KITA TAK sempat nak bermesra lagi, Asma. Mama harap
Asma tak ambil hati. Majlis Asma dan Ferhad ni tiba-tiba
sahaja. Sebab itulah mama dan papa tak dapat nak ambil cuti
panjang,” ujar Mariana. Dia usap bahu Asma.
“Tak apa. Asma faham, mama,” balas Asma sambil
mengangguk. Dia senyum ikhlas.
“Jangan ambil hati juga dengan kata-kata opah.
Nanti-nanti bila dah lama kenal, Asma akan faham opah. Dia
tu nampak je keras dan suka laser orang tapi hatinya baik.”
Asma senyum lagi. Kemudian dia bersalaman dengan
ayah mentuanya.
“Jaga anak papa baik-baik.” Itu saja pesanan Fakrul
sebelum masuk ke dalam kereta.
Farah Nur pula bersalam dan peluk Asma erat.
“Farah suka Asma jadi kakak ipar Farah. Kita geng.
Nanti bila daftar masuk universiti jangan lupa telefon Farah,
nanti Farah bawa Asma pusing-pusing KL.”
“Insya-Allah...”
Fatin Nur salam cuma bersentuh hujung jari sahaja.
“Ingat apa yang aku cakap semalam. Kau sebenarnya
dah tewas sebelum berjuang. Jangan berangan nak jadi isteri
abang aku untuk tempoh yang lama. Jadi sementara abang
aku ada depan mata kau ni, baik kau layan dia baik-baik. Bila
dia balik London nanti, dalam mimpi pun belum tentu kau
akan jumpa dia.”
Asma tetap ukir senyum mendengar bisikan Fatin
Nur. Hatinya sakit tapi dia tetap berlagak biasa. Dia tidak
akan sesekali membiarkan adik suaminya itu merasa dia akan
termakan kata-katanya. Biar sakit dalam hati tapi jangan
terukir di wajah.
“Terima kasih atas ingatan penuh kasih sayang
Fatin tu. Saya tak akan ambil hati. Sebab apa yang baik atau
buruk itu, Allah SWT yang tentukan. Bahagia atau derita hati
saya nanti biar sahaja saya tentukan. Sekarang ni hati saya
bahagia kerana dapat membahagiakan orang-orang yang saya
sayang,” balas Asma tenang.
Fatin Nur ketap gigi tahan marah. Dia terus masuk ke
dalam kereta. Manakala Mariam, opah Ferhad pula langsung
tidak menyalami Asma.
“Biarkan sahaja mereka tu. Jangan ambil hati sangat.
Orang tua tu, doakan suatu hari nanti ada nur meresap masuk
ke dalam jiwanya,” nasihat Nek Som kepada Asma.
Ferhad datang memeluk bahu isterinya setelah
kereta yang membawa keluarganya bergerak pergi.
“Apa yang Fatin cakap dekat Asma?” soalnya.
“Tak ada apa-apa. Pesanan kasih sayang seorang adik
ipar,” balas Asma tenang.
Ferhad berkerut dahi.

No comments:

Post a Comment