BERPULUH
jam berlalu mereka tiba di Paris ketika hari sudah malam. Seorang lelaki
menanti ketibaan mereka.
“Bonsoir,
madame...” sapa lelaki itu sebaik sahaja mereka tiba di hadapan
mereka.
“Bonsoir.
Où est Vanessa?” balas Humaira saat lelaki itu mengambil
bagasi mereka.
“À
la maison. Elle vous attend, madame.”
“Allons-y...”
Humaira memandang suaminya. Fakhrul sibuk memandang sekeliling. Lengan lelaki
itu direnggut lembut sehingga lelaki itu berpaling kepadanya.
“Let’s
go,”
ucap wanita itu kepada suaminya.
Fakhrul sekadar mengangguk sebelum ikut berlalu
bersama lelaki itu. Sebastian berjalan laju di hadapan mereka. Sekali lagi
mereka terpaksa menaiki pesawat. Namun kali ini jet peribadi.
Hanya sekitar sejam perjalanan mereka tiba di
daerah pergunungan Cantal di pinggir kota Paris. Penat? Ya. Sudah terlalu penat
dengan perjalanan yang teramat panjang! Namun kepulangan mereka disambut oleh
seseorang yang teramat dirindukan.
“Mama...”
“Prince...” seru Humaira ceria. Anak berusia
10 tahun itu meluru ke arah ibunya. Wanita itu didakap erat sekali. Lama.
“Putra...”
Anak itu diam. Hanya wanita itu yang menjadi
tumpuannya. Tidak hairankan ayahnya. Lelaki itu macam tidak kelihatan langsung
di matanya.
“I’m so
tired...” ucap Fakhrul lantas meninggalkan dua beranak itu di situ begitu
sahaja.
Humairah sempat merenung langkah suaminya.
Lelaki itu menonong begitu sahaja ke arah tangga.
“Papa merajuklah,” ucap Humairah perlahan.
“My
name is Prince. Silly!”
“Shhtt!
He is your father,” tegah wanita tidak senang dengan kata-kata
anak itu. Hakikatnya nama sebenar anak itu adalah Putra. Bukannya Prince. Namun
Putra sengaja mahu menunjuk protesnya dengan berbuat begitu.
Wanita itu berbisik perlahan kepada sang
anak. Dengannya, Putra lebih senang dipujuk. Setelah anak itu ke kamar tidur,
dia mencari suaminya. Fakhrul berada di dalam kamar anak bongsu mereka.
Merenung tampang kecil yang sedang lena pulas.
“Abang...” tegur wanita itu lantas ikut
masuk. Matanya ikut merenung Jordan yang sedang lena.
“Abang rindu anak-anak abang,” ucap Fakhrul
rendah. Matanya dipejamkan sebelum dia menghela nafas perlahan. Sedar yang
jurang terlalu besar kerana dia tidak selalu bersama anak-anak. Kerana
bimbangkan keselamatan anak-anak, mereka disisihkan di sini. Jauh dari ibu bapa
kandungnya. Tidak hairanlah jika Putra selalu memberontak dengannya.
“Setiap kali abang jumpa Putra, abang selalu
jadi orang asing pada dia,” luah Fakhrul lagi.
“Masih ada masa untuk ubah keadaan itu, kan?”
ujar wanita itu lantas mengusap belakang lelaki itu.
Fakhrul menoleh kepada isterinya. Wajah itu
dipandang lama. Wanita itu tersenyum.
“Abang perlukan rehat,” ucap Humaira lembut.
Tangan lelaki itu ditarik, sama-sama meninggalkan kamar itu.
Di kamar mereka Fakhrul duduk di birai katil.
Membuka butang kemejanya satu persatu sementara isterinya bercakap dengan
seseorang melalui telefon di meja telefon. Namun kemudian wanita itu bangun
semula dari sofa lalu ke kamar mandi. Air hangat ditadah di dalam tab mandi.
Kamar itu berbau harum setelah sedikit cecair beraroma dicampurkan di dalam
air.
Ketika dia keluar, lelaki itu hanya bertuala
menayang tubuh sasanya. Tetapi mata wanita itu sekali lagi terpandangkan satu
parut berbentuk bulat di atas dada lelaki itu. Humairah mengalihkan pandangan
serta merta.
Fakhrul berlalu ke kamar mandi tanpa berkata
apa-apa kepada isterinya.
“Abang...” panggil Humairah sebelum lelaki
itu masuk ke kamar mandi. Fakhrul sekadar menoleh tanpa menyahut.
“Berapa lama kita tak jumpa sebelum abang
panggil Maira ke Kuala Lumpur?” tanya Humairah.
“Tujuh atau lapan bulan. Kenapa?” balas
lelaki itu dalam nada mendatar.
“Sesekali abang bersama dengan anak-anak dan
isteri, boleh tak kalau abang maniskan muka?”
Fakhrul berpaling semula tanpa membalas
kata-kata isterinya. Humairah terus memandang sehingga lelaki itu menghilang.
Masa telah banyak berlalu semenjak mereka bertemu dan jatuh cinta. Sikap lelaki
itu juga sudah sedikit berubah. Agak keras. Namun dia tahu... lelaki itu masih
terlalu sayang kepadanya.
Melihat lelaki itu lebih banyak berdiam,
Humairah juga ikut berdiam. Namun setelah dia berbaring untuk merehatkan
sebatang tubuhnya ini, tiba-tiba dia terasa ada seseorang mendekatinya. Fakhrul
terus mengiringi menghadap isterinya.
“Kita tak jumpa dah tujuh atau lapan bulan,
kan?” ucap lelaki itu lembut.
“Bila ada keinginan nak panjat isteri... ada
pulak suara tu,” perli Humairah selamba. Berubah wajah Fakhrul. Sakit telinga
disebat perlian isterinya.
“Tak mahu tak apalah,” ucap lelaki itu lantas
berpaling ke arah lain. Bantal golek diambilnya lalu dipeluk.
“Sensitif betul abang sekarang ni,” tegur
Humairah perlahan.
“Suami akan kecil hati kalau isteri perli
waktu dia berkehendak,” jawab lelaki itu selamba. Wanita itu tersenyum lalu
mendekatkan tubuhnya kepada lelaki itu. Lengan Fakhrul dipautnya sebelum
bibirnya dilekapkan di pelipis sang suami dengan penuh kelembutan.
“Maafkan Maira. Maira tak berniat nak
kecilkan hati abang,” ucap Humairah rendah.
Fakhrul diam pula sambil menghela nafas
panjang. Entah kenapa dia merasa tertekan saat ini. Hatinya tidak tenang. Tidak
seharusnya dia melepaskan tekanan itu kepada Humairah.
“I’m so
sorry. Kita dah tak macam dulu,” bisik wanita itu lunak.
Fakhrul kembali memandang isterinya. “Macam dulu?”
tanya Fakhrul perlahan.
Humairah mahu menjawab namun bunyi telefon di
meja menganggu perbualan mereka dinihari itu. Dia bangun semula untuk mencapai
ganggang.
“Allo?”
Wanita itu berdiam seketika sebelum menjawab
dalam Bahasa Perancis kepada seseorang di hujung sana. Fakhrul tidak ambil
endah. Tidak faham sangat apa yang diucapkan isterinya. Namun tidak sampai
seminit Humairah kembali mendekati suaminya.
“Siapa?” tanya Fakhrul.
“Vanessa. Dia tanyakan kita. Maira minta dia
datang esok pagi,” ujar Humairah lembut.
Fakhrul sekadar mengangguk. Namun kemudian
dia kembali memandang ke atas.
“Maira tahu abang tak happy dengan keputusan
yang abang buat. Maira sedar agak mustahil untuk Maira paksa abang jadi orang
lain demi Maira dan anak-anak abang,” ujar Humaira perlahan.
“Abang happy,” ucap Fakhrul perlahan.
“Really?
Semenjak kita tinggalkan KL, abang nampak terlalu stress. Kenapa?”
Fakhrul diam pula. Daripada seorang pegawai
tentera dia berakhir sebagai pembunuh upahan. Bagaimana dengan pandangan Tuhan
kepadanya? Bagaimana jika anak-anak mereka tahu apa sebenarnya kerja ayah
kandung mereka? Di kala ini usianya akan mencecah ke angka 40, tidakkah ini
waktu yang tepat untuk dia cuci tangan?
“Abang memang nak bersara,” ucap Fakhrul
rendah. Tubuh perempuan itu dipautnya sehingga tiada ruang di antara mereka.
“Abang nak kita macam dulu semula,” ujar
lelaki itu lagi. Matanya merenung tunak wajah sang perempuan yang teramat dekat
dengannya. Perempuan ini masih terlalu cantik di matanya. Terlalu baik
kepadanya. Tidakkah dia juga seharusnya mengorbankan sesuatu buat sang isteri?
“Macam dulu yang macam mana?” tanya Humairah
selamba.
“Dulu kita buat apa saja yang kita suka.
Waktu kita baru kahwin,” ujar Fakhrul lantas tersenyum.
Humairah juga ikut tersenyum. Dahi lelaki itu
dikucup berkali-kali. Usapan lembut lelaki itu mula bertukar liar. Dia tidak
peduli. Pernah suatu masa dulu ketika hati terlalu cinta, cinta jugalah yang
membuatkan mereka menjadi buta. Dia percaya Fakhrul juga tidak pernah lupa kisah
itu. Terlalu indah. Terlalu hangat. Dan hubungan itu cukup membara bersulam
asmara.
Seperti mana hangat dan membaranya sentuhan
lelaki itu kepadanya saat ini.
No comments:
Post a Comment