“Helo?”
“Helo. Pak cu? Abang ni. Pak cu ada kat Penang tak?”
Berkerut dahi Zayn. Mengapa suara anak saudaranya
kedengaran begitu terdesak? Panik semacam.
“Ada. Pak cu memang dah dua tiga hari kat sini.
Kenapa bang?”
“Ara! Ara, pak cu!”
“Kenapa dengan dia?” Entah mengapa Zayn berasa
cemas mendengar Naim menyebut nama Azzahra. Dia sendiri
tidak tahu mengapa dia perlu rasa begitu. Tetapi rasa tidak
enak menular ke seluruh urat sendinya.
“Semalam Ara tak datang kelas. Abang ingat dia
senggugut ke, tak sihat ke. Tapi, hari ni pun dia ponteng.
Abang call, WhatsApp semua tak dapat. Abang risaulah. Shida
pulak tak tahu Ara pergi mana. Kata dia, semalam pagi-pagi
lagi Ara dah keluar, sampai lewat malam baru balik. Hari ni
pun sama. Sejak pagi dia dah lesap. Abang risaulah pak cu.
Ara tak pernah hilang macam ni.”
“Abang kat mana sekarang?”
“Abang kat kampus. Abang baru habis kelas petang.
Abang tak tahu nak minta tolong siapa. Semua tak tahu Ara
kat mana. Abang rasa dia ada masalah. Tolong abang cari dia,
pak cu, boleh?”
Tidak perlu Naim meminta dua kali. Tidak minta
pun, sudah pasti dia akan menawarkan diri untuk membantu.
Tidak kisahlah teman baik atau teman istimewa. Azzahra
penting untuk anak saudaranya itu. Kalau tidak, Naim tidak
akan panik begini.
“Abang tunggu situ. Pak cu datang,” ujar Zayn seraya
mematikan talian.
Kurang lebih dua puluh minit, Naim sudah berada
di sebelah pak ciknya di dalam kereta. Melaporkan semula
tentang kehilangan teman rapatnya itu.
“Ara tak pernah macam ni, pak cu. Dia selalu akan
cakap pada abang dia nak pergi mana. Lagipun, Ara jarang
ponteng kelas melainkan dia tak sihat. Lepas tu, kalau dia
ponteng, dia mesti beritahu abang. Ni tak! Senyap je sampai
sekarang.” Berkerut wajah Naim. Begitu bimbang dengan
keadaan Azzahra yang tiba-tiba saja buat perangai. “Dahlah
kita orang tak lama lagi nak final exam untuk sem 4 ni. Pelik
betul abang dengan dia ni.”
“Abang ada call famili dia tak?” soal Zayn.
Laju Naim menggelengkan kepala.
“Abang tak nak mak dia risau. Manalah tahu mak dia
tak tahu apa-apa pun pasal Ara ni.”
Zayn terdiam seketika. Ligat minda berfikir.
“Kat Penang ni, ada ke tempat yang Ara selalu pergi?
Tempat favourite dia ke?”
Naim cuba berfikir.
“Ara tak suka lepak kat shopping mall... tapi dia suka
makan,” gumamnya perlahan. Tiba-tiba Naim memetik jari.
Seolah-olah baru terfikir sesuatu. “Ada! Dia suka ke Teluk
Bahang!”
“Jauhnya...” sempat Zayn berbisik di hujung nafas.
Namun, dia tidak banyak bicara. Kereta sudah dikemudi ke
tempat yang disebut Naim tadi.
Kereta diparkirkan di tepi jalan. Laju Naim melompat
keluar dari perut kereta. Kaki dibawa melangkah, sambil
mata meliar ke arah pantai. Zayn turut mencari.
Terpasak mata Naim ke suatu arah. Di atas bongkah
batu-batu besar, kelihatan seorang gadis sedang duduk
bersendirian dengan kedua belah tangan memeluk lutut.
Naim hampir berlari. Zayn hanya mengekor perlahan dari
belakang.
“Ara!” pekik Naim. Perasaan lega dan marah
bercampur baur membuatkan suaranya sedikit bergetar.
Azzahra mengangkat wajah lalu berpaling sedikit.
Melihat Naim, Azzahra kembali melemparkan pandangan ke
dada laut. Tidak menghiraukan wajah Naim yang kelihatan
tegang.
“Kau ni dah kenapa? Ponteng kelas. Tutup phone.
Hilang tak beritahu orang nak ke mana! Kau ni kenapa?”
suara Naim setegang wajahnya. “Kau tahu tak, aku risau gila
bila kau dua hari tak call aku?”
Zayn berhenti melangkah di bawah bongkah batu.
Tidak mahu mengikut langkah Naim yang memanjat untuk
mendekati Azzahra.
“Ara! Kau dengar tak aku tanya ni?” Zayn mendengar
Naim menyoal Azzahra dengan nada marah.
“Aku dengarlah...” Perlahan suara Azzahra meniti
di telinga Zayn. Perlahan dan... serak. Serak? Gadis itu sakit
tekak ke?
“Ara...” suara Naim sudah mengendur. Mungkin
perasan akan suara Azzahra yang tidak bermaya.
Naim mengambil tempat di sebelah temannya. Lama
dia mengamati wajah Azzahra dari tepi.
“Kau nangis? Apa masalah kau sebenarnya ni?”
Azzahra membenamkan wajah ke lutut. Masih belum
bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa pun. Lebih-lebih
lagi Naim. Teman yang tahu segala rahsianya.
“Ara... kau janganlah macam ni. Kalau kau ada
masalah pun, aku kan ada. Kau ponteng kelas dan lesapkan
diri macam ni, takkan selesaikan apa-apa,” pujuk Naim
lembut. “Kenapa kau tak cari aku? Kenapa kau lari?”
Lama Azzahra menyepi. Akhirnya, dia mengangkat
wajah namun masih tidak mahu memandang ke arah Naim.
Tidak mahu temannya itu melihat kesan air mata yang
dibazirkan sejak semalam.
“Sejak kau kenal aku, apa yang aku inginkan lebih
daripada segala-galanya dalam dunia ni?” soal Azzahra
perlahan.
Kening Naim bertaut.
“Yang aku tahu... keinginan kau selama ni hanya
satu. Nak jadi isteri kepada sepupu kau si Farouk tu.”
Merekah bibir Azzahra. Namun senyumannya begitu
sayu. Begitu tepat tekaan Naim. Tepat sekali!
“Naim... apa kau akan kata, kalau aku cakap pada
kau... apa yang aku nak selama ni dah ada dalam genggaman?”
“Maksud kau?”
Azzahra mengerling ke arah Naim.
“Aku boleh jadi isteri dia kalau aku nak...” luah
Azzahra lemah. Mata memandang kosong ke permaidani
berwarna biru di depan mata. “Peluang tu dah terbuka untuk
aku.”
“Ara... aku tak faham! Kau nak kahwin dengan
Farouk ke? Tapi... bukan ke dia dah bertunang?”
Dengusan kecil terlepas dari bibir Azzahra.
“Tunang dia dah lari. Bergaduh ke apa pun aku tak
pasti. Majlis nikah lagi dua minggu. Aku... aku kena jadi
penyelamat maruah keluarga.”
Naim terkedu. Lidahnya kelu tidak bisa berkata-kata.
Azzahra kini memandang tepat ke mata temannya.
“Ara...” bisik Naim sebaik melihat sorotan mata
Azzahra yang menceritakan seribu rasa. “Kau tak nak?”
Laju Azzahra menggeleng.
“Tapi ni yang kau nak sejak dulu, Ara. Jadi isteri
Farouk, kan?”
Kepala Azzahra mengangguk pula.
“Tapi sekarang kau tak nak, ya?” soal Naim sekali
lagi.
Angguk sekali lagi. Dan dengan itu, air mata Azzahra
terbit kembali.
“Naim... aku tak nak jadi galang ganti. Aku tak nak!”
“Jadi, apa masalahnya? Cakap jelah kau tak nak.”
Azzahra diam. Hanya bahunya yang
terhinggut-hinggut kecil.
“Kau tak boleh tolak ke, Ara?” soal Naim akhirnya.
Lembut dia bersuara.
Azzahra mengesat air mata dari pipinya.
“Aku boleh tolak... tapi... aku tak tahu sama ada
aku mampu hampakan permintaan mak long aku.” Mata
ditongkat ke wajah Naim. “Dia mengharap sangat aku setuju,”
lirih suara Azzahra.
Naim cuba memahami hati temannya. Dulu,
Farouklah nama yang sering meniti di pinggir bibir
temannya itu. Abang Farouk ini... Abang Farouk itu... Farouk
merupakan insan yang didambakan sepenuh jiwa, walaupun
lelaki itu sedikit pun tidak pernah memberikan perhatian
terhadap Azzahra. Melayannya dengan baik pun tidak. Apatah
lagi menganggap Azzahra sebagai seorang perempuan yang
istimewa.
Tapi kini... hati Azzahra sudah berubah.
“Sepupu kau tu... dia kata apa?”
“Aku tak tahu. Yang call aku, mak aku dengan mak
long je,” bisik Azzahra. “Tapi aku yakin, bumi ni dah nak
terbalik pun dia takkan nak kahwin dengan aku.”
“Jadi... apa kau nak buat sekarang?”
“Aku tak tahu... Aku buntu sangat.”
“Cakaplah kau dah ada boyfriend. Habis cerita.”
Azzahra tersenyum. Namun, senyumannya hambar
sekali.
“Kau ingat senang ke? Tu alasan kliselah Naim.
Dalam novel pun semua guna alasan tu. Alasan dah ada
kekasih supaya dapat lari daripada kena kahwin paksa dengan
pilihan keluarga, kan? Lepas tu, kau nak suruh aku cari lelaki
untuk menyamar jadi kekasih aku pulak? Tayang kat keluarga
aku?” Azzahra menggelengkan kepala. Ingat orang tuanya
mudah untuk percaya yang dia sudah berpunya sedangkan
mereka tahu dia cuma rapat dengan Naim?
“Kau ingat hidup aku macam novel ke?” soal
Azzahra hampa. “Senang-senang cari lelaki untuk menyamar
jadi kekasih aku? Lepas tu berlakon depan famili aku semua,
konon bercinta bagai!”
“Novel tak novel. Hakikatnya, kalau kau dah ada
kekasih, takkan diaorang nak paksa kau kahwin dengan
sepupu kau tu?”
“Kekasih apa, Naim? Kekasih apa? Kau ingat mak
aku nak percaya?”
“Alah... kau dah berapa tahun hidup kat Penang ni?
Mana diaorang tahu kau ada boyfriend ke tak kat sini?”
“Logiklah sikit, Naim. Mak aku tahu aku berkawan
dengan siapa. Tak lain, kau jelah yang rapat dengan aku.”
“Hah! Cakaplah kau tengah bercinta dengan aku,”
cadang Naim konon ingin membantu. Tidak perlu berfikir
dua kali. Azzahra dalam dilema ketika ini, dan Naim akan
sentiasa bersedia untuk membantu.
Terbuka mulut Azzahra. Tercengang dia seketika.
Zayn yang berdiri di belakang tanpa pengetahuan Azzahra
pun turut tergamam.
“Aku nak fikir yang aku tengah bercinta dengan
kau pun aku geli, ni nak kena cakap pada mak aku yang
aku bercinta dengan kau? Memang taklah!” gerutu Azzahra
sambil menjeling temannya.
Naim ketawa. Besar tawanya. Langsung tidak
berkecil hati dengan kata-kata Azzahra.
Dan Zayn? Seolah-olah tidak percaya dengan
pengesahan yang lahir dari bibir Azzahra. Pengesahan yang
memadamkan setiap sangkaan dan setiap anggapan terhadap
perasaan Azzahra terhadap anak saudaranya selama ini.
Berkerut dahinya. Jadi betullah mereka berdua ini hanya
berkawan? Tak logik rasanya! Persahabatan antara lelaki
dengan perempuan tanpa membibitkan perasaan lain seakan
tidak pernah bisa terjadi dalam kehidupan ini. Yang nyata,
dia sendiri tidak pernah melaluinya. Tanpa sendar, Zayn
menghela nafas perlahan. Lega!
“Lagipun... aku tak pandailah nak menipu mak ayah
aku. Berdosa tau.”
“Kau tak rasa ke kau masih terlalu muda nak kahwin?
Lainlah aku yang dah masuk 20 tahun awal tahun hari tu,
tapi kau masih 19... macam tak layak je nak jadi isteri sesiapa
pun,” usik Naim. Tidak suka melihat Azzahra menangis atau
murung begini.
“Blahlah kau!”
Naim tersengih.
Azzahra tunduk. Terasa begitu terbeban dengan
berita yang diterima awal subuh semalam, daripada si ibu
mula-mulanya, dan kemudian daripada mak longnya. Farouk
tidak jadi hendak kahwin. Dia bergaduh besar dengan si
tunang, dan tiba-tiba saja Kamelia menghilangkan diri.
Suasana panik terus saja menguasai keluarga mak longnya
dan berjangkit pula ke ibunya. Dan dia menjadi mangsa!
“Ara, tak salah menolak. Ini hidup kau. Kau yang
berhak tentukan kehidupan kau,” ujar Naim sebaik melihat
wajah Azzahra yang serba salah.
“Kau rasa... kalau aku... kalau aku cakap yang aku
dah ada kekasih, aku boleh lari ke daripada masalah ni?”
tanya Azzahra akhirnya. Tadi, dia langsung tidak fikir yang
cadangan Naim boleh diguna pakai. Namun, dia benar-benar
terdesak kini. Jika alasan itu bisa memberikan peluang
kepadanya, walaupun kecil, dia mahu mencubanya.
Laju kepala Naim mengangguk. Penuh keyakinan.
“Tapi siapa?”
Kening Naim bertaut. Cuba mencari nama-nama
calon yang sesuai.
“Zack?”
Azzahra membuat muka. Tindakan refleks.
“Dia syok kat kau apa? Aku yakin kalau kau cakap ya
je, dia terus akan jadi kekasih kau.”
Diam. Azzahra melepaskan keluhan yang berat.
Tidak sanggup rasanya mempergunakan Zack sedangkan dia
tidak menaruh sebarang perasaan terhadap lelaki itu.
“Abang...”
Laju kepala Azzahra menoleh ke belakang. Terkejut
dia mendengar suara orang lain selain daripada Naim.
Membuntang matanya melihat Zayn tercegat berdiri di atas
pasir di belakang mereka. Dia memandang ke arah Naim.
Sorotan matanya memancarkan rasa tidak puas hati kerana
Naim tidak memberitahunya tentang Zayn yang ada bersama
mereka.
“Dah nak senja ni. Jom balik,” ajak Zayn.
“Errr Ara... sorry! Aku lupa nak beritahu yang
aku datang sini dengan pak cik aku,” tergagap-gagap Naim
bertutur. Bukan dia tidak tahu maksud pandangan tajam
temannya itu. “Kau jangan risau. Pak cik aku ni bukan bangsa
bawak mulut,” sengih Naim. Wajah bersalah tidak mampu
disembunyikan.
“Kau ni!” gerutu Azzahra. Dia malu. Malu yang
masalahnya bukan hanya telah dikongsi bersama Naim. Tapi
dengan seorang lelaki lain. Lelaki yang dia langsung tidak
berasa selesa dan yang dia tahu tidak berapa suka dengannya.
Naim bangun dari bongkah batu.
“Jom, Ara!” Naim lompat ke atas pasir.
Lambat-lambat Azzahra menurut. Agak sukar
pergerakannya memandangkan sudah lama dia dalam posisi
duduk. Terasa tegang di setiap urat kakinya.
Ketika Azzahra cuba untuk turun ke pasir, kakinya
seolah-olah tidak kuat bertahan. Lututnya membengkok
tiba-tiba dan dia rebah. Rebah terus ke dakapan Zayn. Jika
Zayn tidak menahan, tentu saja pucuk hidung Azzahra sudah
tercium pasir.
Azzahra terkedu. Dia pasti wajahnya kini sudah
merona merah. Dia cuba melepaskan pautan tangannya di
lengan Zayn, namun bukanlah mudah. Kakinya masih terasa
kejang. Dan ketika ini, bukan hanya kakinya yang terasa
kejang. Seluruh tubuhnya seakan memberikan reaksi yang
sama tatkala terpeluk lelaki itu tadi.
Tangan Zayn yang masih berada di pinggang Azzahra
menolak tubuh gadis itu agar bersandar ke bongkah batu di
belakangnya. Zas!!! Berdetup jantungnya bagaikan dipanah
halilintar. Tubuh kecil Azzahra hampir bercantum dengan
tubuhnya. Sesuatu yang tidak pernah dijangka akan berlaku.
Dia menelan liur.
“Maaf, pak cik...” tergagap-gagap Azzahra bersuara.
Zayn hanya mengangguk. Sedar yang gadis itu tidak
sengaja. Bukan dia tidak ingat betapa cepat Azzahra melenting
ketika Naim menarik tangannya dulu. Inikan sengaja mahu
memeluknya. Memang taklah! Sekuat tenaga, Zayn cuba
menenangkan kembali dada yang masih terasa sempit.
“Ara, kau okey tak ni?” soal Naim prihatin. Langsung
tidak menyedari kekakuan Azzahra serta Zayn.
“Kaki aku cramp. Mungkin sebab aku duduk lama
sangat,” balas Azzahra dengan wajah yang masih berkerut.
Naim menggeleng kepala.
“Nak aku gendong ke?”
Jelingan Azzahra tajam.
“Okey, okey... aku gurau je.” Laju Naim bersuara.
Dengan sabar mereka menunggu Azzahra bisa
menegakkan diri dan berjalan semula. Zayn hanya mendengar
Naim berceloteh tentang kuliah mereka dan kerja-kerja yang
perlu dilakukan sejak semalam. Topik yang tidak menarik
minatnya untuk mendengar. Namun, dia lebih memikirkan
tentang perbualan antara Naim dengan Azzahra tentang
lelaki bernama Farouk tadi. Lelaki yang pernah dicintai serta
digilai gadis itu suatu waktu dahulu. Apa agaknya kesudahan
belenggu yang dihadapi lelaki itu? Adakah Azzahra bakal
menjadi mangsa? Entah mengapa dadanya terasa sempit
mengenangkan Azzahra yang mungkin perlu berkorban demi
menyelamatkan maruah keluarga...
No comments:
Post a Comment