DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 22

SUASANA di kolej 14, UPM sibuk dengan para
pelajar dan ibu bapa. Asma sengih gembira. Akhirnya dia
menjadi warga UPM. Dia dongak tengok suaminya di sebelah.
Wow... handsome dan segaknya, alahaiii...
Biliknya berada di tingkat empat. Sampai di bilik,
Nek Som dan ibu terduduk. Penat naik tangga.
“Hari-hari turun naik tangga ni, Asma tak perlu nak
berkebun dah, gerenti kurus,” omel Nek Som.
Asma ketawa.
“Baguslah, nek. Tak perlu Ferhad hantar dia pergi
gim nanti.”
“Isy... kau ni. Isteri badan dah sekeping, nak hantar
gim lagi? Kau nak peluk tulang je ke?”
Ferhad garu kepalanya yang tidak gatal. Dia
sengih-sengih. Sesekali kena jugak dia dengan neneknya.
Asma angkat kening sambil sembunyi tawa. Dia
sibukkan diri mengemas barang-barangnya. Dia ambil katil
single memandangkan dia orang pertama sampai. Ferhad
turut membantu Asma membersihkan habuk di dalam almari.
“Assalamualaikum...”
“Waalaikummussalam... Asma, ni kawan sebilik dah
datang.” Nek Som jawab salam.
Asma pandang pintu bilik. Dia hulur senyum. Ferhad
juga ikut senyum. Tangannya pegang pinggang Asma.
“Masuklah.” Mereka bersalaman.
“Mak cik ni teman cucu mak cik hantar isteri dia
masuk belajar.” Nek Som ramah bercerita.
“Saya datang hantar anak sulung saya ni hah.
Syarifah namanya. Kami dari Perak.”
“Yang sorang lagi ni orang mana?” tanya Nek Som.
“Saya Muna, nek. Kami datang dari Penang.”
“Ooo...”
“Baguslah. Lain negeri, sama-sama pakat kawan.
Nenek suka nasi Kandar Ahmad dekat Simpang Ampat, dekat
dengan Batu Kawan nun. Orang kita, Melayu yang masak.”
“Ha... dekat dah tu dengan rumah saya Kampung
Melayu. Saya pun tiap-tiap minggu makan kat kedai tu.”
Muna layan bual Nek Som dengan mesra.
“Mak tak datang ke?” tanya Nek Som kepada Muna.
“Mak dah tak ada, nek,” jawabnya yang masih tak
lekang tersenyum.
“Tak apalah. Dia tunggu kau dekat syurga tu. Kena
selalu sedekahkan ayat suci al-Quran dekat dia tanda kita
sentiasa ingat dekat dia. Nenek ni pun walaupun dah tua,
tetap rindukan mak dan ayah nenek yang berpuluh tahun
pergi. Mereka tengah tunggu nenek di sana.”
Mereka terus rancak bercerita. Sesekali Asma
menyampuk perbualan yang banyak didominasi oleh Nek
Som.
“Nenek, saya dah siap kemas.”
“Nasib baik dah siap. Perut nenek ni dah bernasyid
minta isi nasi ni,” seloroh Nek Som.
“Jadi nenek nak balik dululah. Nanti kawanlah
baik-baik. Saling ambil berat dan bantu-membantu. Muna
dan Syarifah kena tengok-tengokkan Asma ni. Nenek dan ibu
dia jauh kat Kelantan nun, suami dia pula minggu depan dah
nak balik UK. Takut nanti demam rindukan suami dia. Baru
nikah kena berpisah pulak,” pesan Nek Som kepada Muna dan
Syarifah.
“Nenek!”
Wajah Asma dah membera merah. Wajah Ferhad pun
turut merah tapi dia pandai menyembunyikannya dengan
sengihan.
Rohani ketawa mendengar usikan nenek mentua
anaknya itu. Hatinya lega melihat keintiman anak dan
menantunya itu. Jadi keputusan menikahkan Asma adalah
tepat.
Masing-masing yang berada di situ turut tersenyum
mendengar kata-kata Nek Som. Keramahan Nek Som
menjadikan pertemuan pertama ini penuh harmoni dan
mesra. Melihat kemesraan pengantin baru itu, mereka tahu
Asma dan suaminya masih lagi hangat memadu asmara.
Nampak seperti tidak mampu berpisah jauh.
“Nanti tolong tengok-tengokkan anak mak cik ni
ya,” pinta Rohani pula.
“Ibu ni... Asma pandailah jaga diri. Selama ini
Asma yang jaga ibu kan?” celah Asma. Dia bimbang rakan
sebiliknya kata dia mengada-ada pula. Siap kena pesan itu ini.
Pandai-pandailah dia jaga diri nanti. Lagipun selama ni dia
memang dah pandai berdikari.
“Yalah. Tapi kalau ibu tak suap nasi kat mulut tu,
seharianlah Asma tak makan kalau dah duduk bersimpuh kat
kebun tu.”
Asma peluk bahu ibunya. Tak menafikan perkara itu.
Melihat situasi itu, Ferhad terharu. Keakraban Asma
dan ibunya nampak hangat dengan kasih sayang. Sedangkan
dia, jauh dari kasih sayang dan pelukan mamanya. Dia terasa
bertuah berkahwin dengan Asma, seterusnya mendapat
mentua yang baik seperti Rohani.

OLEH SEBAB program minggu orientasi bermula pada
sebelah malam, Ferhad heret Asma sekali mengikutnya
menghantar nenek dan ibu mentuanya ke hotel. Berat hatinya
nak berpisah. Lagipun Ferhad hendak membawa isterinya itu
ke dua buah tempat sebelum menghantarnya semula ke kolej.
“Hantar nenek dan ibu kau ke hotel. Kami pesan
room services je. Lagipun lepas zuhur nanti, nenek nak ajak
ibu kau berurut kat spa. Bila lagi nak manjakan diri macam
ni,” ucap Nek Som. Dia sedar keadaan Rohani yang semakin
tak bermaya. Dia juga tahu Rohani seboleh mungkin tidak
mahu Asma tahu kondisi kesihatannya itu.
“Okey, nek,” balas Ferhad dengan senyum lebar.
Tentu sekali Ferhad gembira dengan kata-kata neneknya itu.
Nanti sempatlah dia hendak mengajak Asma ke panggung
wayang. Menonton sambil buat ‘wayang’ sendiri. Hatinya dah
tergelak nakal. Dia rasa seolah-olah remaja yang dilamun
cinta. Membara cinta dan amat sukar untuk berjauhan
dengan kekasih hati.
“Tapi nanti jangan lupa pula hantar Asma ke kolej.
Jangan nak kurung dia dalam bilik sampai ke pagi pulak.
Isteri kau tu dah kena masuk belajar.” Nek Som memberi
peringatan.
Asma angkat kening sambil bibirnya senyum senget
dekat suaminya. ‘Padan muka kena sound dengan nenek.
Hahaha! Nenek Som ni memang best. Sporting pulak tu,’
ucap Asma dalam hati.
Selepas meninggalkan Nek Som dan Rohani di hotel,
Ferhad memecut laju menuju ke pusat bandar.
“Kita nak pergi mana?” soal Asma.
“Makan, lepas tu tengok kereta dan beli handphone
untuk Asma. Lepas tu tengok wayang.”
“Tengok kereta? Abang nak beli kereta ke?”
Ferhad angguk.
“Untuk sayang.”
“Buat apa? Student tahun pertama kena naik bas kat
dalam UPM. Mana boleh bawa kenderaan sendiri.”
“Abang tahu, tapi kereta tu untuk back up sayang
kalau ada apa-apa.”
Asma dah jatuh terharu dengan sikap Ferhad yang
mendahulukan kebajikannya.
“Abang nak sediakan kemudahan untuk kesenangan
Asma nanti. Jadi bila abang jauh, senang Asma nak berdikari.
Lagi satu, Asma kena kuatkan semangat, setiap hari adalah
ujian bagi kita.”
Terkejut Asma mendengar kata-kata suaminya itu.
“Setiap hari juga adakalanya akan terjadi tidak sama
apa yang kita rancangkan. Jadi abang dah sediakan back up
siap-siap walaupun setiap hari abang akan call sayang nanti.”
“Abang...” Asma dah rasa tak sedap hati. Seolah-olah
suaminya meninggalkan wasiat terakhir pula.
Ferhad senyum.
“Abang risaukan sayang, tahu tak? Sebab tu abang
buat macam ni.”
“Tapi abang seolah-olah tinggalkan wasiat pulak,”
getus Asma perlahan. Dia buang pandang ke luar tingkap.
Dari lebuh raya, dia nampak samar-samar Menara Berkembar
Petronas.
“Kan abang dah cakap tadi, setiap hari mungkin
takkan jadi seperti apa yang kita rancang. Sebab itu abang
buat back up siap-siap,” tekan Ferhad.
Asma hilang kata. Selebihnya dia tidak mahu
mindanya fikirkan perkara yang negatif.

No comments:

Post a Comment