DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 9

Keluar dari perpustakaan, telefon Azzahra
di dalam poket baju kurung bergegar tanpa henti selama
lebih kurang lima saat. Siapa pula yang menghantar pesanan
bertali arus kepadanya ni? Azzahra menyeluk poket. Pesanan
melalui aplikasi WhatsApp dibuka.
Daripada Iman? Satu per satu pesanan daripada Iman
dibuka. Gambar-gambar yang terpampang diamati. Wajahnya
berubah serta-merta.
“Kau kenapa, Ara?”
Mata yang diangkat dari skrin telefon tergaris luka.
“Gambar Abang Farouk bertunang.” Azzahra
menyerahkan telefonnya kepada Naim. “Aku lupa yang dia
bertunang semalam. Ni Iman kirim gambar.”
Naim jatuh simpati melihat gambar yang dikirim
oleh Iman. Dia menyerahkan kembali telefon Azzahra kepada
pemiliknya.
“Kau okey tak?” soalnya lembut.
Azzahra mengangguk.
“Aku okey...” Senyuman kecil dipaksa hadir di
pinggir bibirnya. “Baguslah dia dah bertunang. Aku memang
tak layak untuk dia.” Kaki dibawa berjalan. Naim mengekor
langkah temannya itu.
“Tapi kenapa aku tengok tunang sepupu kau tu
macam tak ceria je dalam semua gambar tu ek? Senyum pun
macam plastik je. Lagi satu, aku rasa dia nampak lagi tua
daripada sepupu kau tu.” Naim bukan sekadar bermanis mulut
demi menjaga hati temannya. Tapi itulah yang dirasakannya
tatkala melihat gambar-gambar yang dikirim oleh Iman.
“Ya ke?” soal Azzahra. “Aku tak perasan pun.” Yang
dia perasan, tunang Farouk begitu jelita. Seorang wanita
yang jelas elegan dan sofistikated. Wanita berkerjaya. Tidak
sepertinya langsung!
“Takpelah, Ara. Takde jodoh kau dengan dia,” Naim
cuba menghulurkan sokongan. “Lagipun dia yang tak layak
untuk kau, bukan sebaliknya.”
“Thanks, Naim. Aku tahu dia bukan jodoh aku. Dah
lama aku berhenti mengharap. Tapi tipulah kalau aku kata,
aku tak rasa apa-apa bila tengok gambar diaorang berdua
tadi.” Perlahan suara Azzahra.
“Aku faham, Ara.” Kesian Azzahra. Orang yang
dicintai sejak sekian lama, kini akan menjadi milik orang lain
tidak lama lagi.
Azzahra melabuhkan duduk di suatu bangku
panjang di padang terbuka tidak jauh dari bangunan yang
menempatkan perpustakaan di kampus mereka ini. Naim
mengambil tempat di sebelah Azzahra dengan jarak yang
tidak akan menimbulkan gosip kurang enak tentang mereka.
Cukuplah suara-suara yang berterbangan di serata fakulti
tentang mereka. Tidak perlu untuk mereka menokok fitnah
yang giat berleluasa.
“Aku hairan macam mana kau boleh suka kat dia.
Sedangkan seingat aku, dia tak pernah layan kau dengan baik
pun.” Naim ingin tahu.
Azzahra tersenyum hambar.
“Aku pun tak pasti. Yang aku tahu, sejak aku
dilahirkan, dunia aku hanya ada dia. Dia yang rajin layan
aku, manjakan aku sebab dia takde adik perempuan. Tapi...
dia baik dengan aku macam tu tak lama. Aku pun tak tahu
apa yang buat dia berubah. Bila dia dah tak suka, aku masih
terhegeh-hegeh kat dia. Ikut je dia ke mana dia pergi. Kalau
jadi kat kau pun, mesti kau rimas kan?”
Wajah Naim dikerling sekilas. Perasaan segan datang
menyapa secara tiba-tiba.
“Aku tak tahu macam mana aku boleh cerita semua
pasal dia kat kau, Naim. Malu aku!”
“Small matterlah...” balas Naim. Seingat Naim,
Azzahra mula ringan bercerita dengan dia tentang Farouk
pun bukan ketika awal-awal perkenalan mereka. Nak dekat
peperiksaan SPM barulah Azzahra membuka mulut. Itu pun
kerana Naim perasan akan perubahan Azzahra yang tiba-tiba
lebih banyak mendiamkan diri. Ketika Naim bertanya akan
keadaan Azzahra ketika itu, tiba-tiba saja Azzahra berkongsi
segala-galanya. Seolah-olah melepaskan semua yang terbeban
di bahunya.
“Kita kan kawan dah lama. Tapi kita ni kelakar, kan?”
soal Naim. “Aku ni dari sekolah rendah sampai menengah,
sekolah aku semuanya budak lelaki. Sekolah kau pulak
semuanya pompuan. Bila masuk kelas tuisyen, macam
culture shock tiba-tiba ada student perempuan.” Naik ketawa.
“Kau pun sama, kan?”
Azzahra ketawa sambil mengangguk.
“Boleh pulak kita berkawan, kan? Padahal masa
mula-mula tu, nak bertegur sapa pun punyalah payah!”
Naim melihat wajah temannya yang kembali
berwarna.
“Kau nak dengar nasihat aku tak?”
Laju kepala Azzahra mengangguk. Sesungguhnya,
dia amat menghargai buah fikiran serta nasihat Naim.
“Kau tak payahlah nak simpan gambar-gambar yang
Iman hantar tu. Delete je. Move on Ara.”
Ya! Betul kata Naim. Azzahra mengeluh. Telefon
bimbitnya dibelek semula.
“Done!” luahnya.
Naim mengangguk tanda bersetuju dengan tindakan
Azzahra. “Good. Jom makan!”
Azzahra tersenyum. “Jom!”
Hati yang sedikit terusik sebentar tadi mampu
dirawat, Azzahra yakin akan kekuatan diri. Farouk yang
sedikit masa lagi akan menjadi milik perempuan lain sudah
lama dilepaskan. Cuma ada cebisan kecil di dalam hati yang
masih berdegil, mengada-ada mahu menerbitkan rasa sakit,
rasa pedih dan rasa terkilan. Dada terasa berat, namun
Azzahra yakin ia takkan terjerut lama. Esok-esok yang
menanti pasti menjanjikan hari yang lebih indah buat insan
yang tabah sepertinya. Insya-Allah...
Farouk tersenyum puas. Pemilik hatinya kini sudah
diikat. Cincin yang sudah tersarung di jari manis Kamelia
mengumumkan kepada semua yang gadis itu sudah tidak bisa
disentuh. Majlis gilang-gemilang yang diadakan semalam
indah sekali, walaupun orang tuanya masih tidak sudah-sudah
mengomel tentang betapa membazirnya berbelanja begitu
sedangkan mereka berdua masih belum halal.
Ah... bukan keluarganya tidak mampu pun! Kamelia
mahukan majlis yang mewah sebagai kenang-kenangan,
apa salahnya? Lagipun, upacara pertunangan yang diadakan
hanyalah sekali seumur hidup, maka tidak salah untuk
berbelanja lebih daripada yang sewajarnya. Farouk tidak
mengerti mengapa ibu serta ayahnya tidak memahami
kemahuan hati anak-anak muda seperti mereka.
Dia menghitung hari. Mungkin enam bulan,
mungkin juga setahun, Kamelia akan menjadi isterinya!
Majlis yang diidamkan oleh Kamelia akan diturut dengan
apa-apa cara sekalipun. Itu tekadnya!

No comments:

Post a Comment