FAKHRUL keluar dari kedai makanan islam di tengah-tengah kota Yangon itu setelah selesai memenuhkan perutnya. Buat seketika dia berdiri seketika di hadapan kedai itu sambil memandang sekeliling, mencari arah tujuannya selepas ini. Mujurlah banyak juga restoran makanan halal yang berkonsepkan makanan mamak sama seperti di Malaysia. Jadi tidak susah untuk dia menyesuaikan diri dengan makanan di sini.
Dia membelek jam di pergelangan tangannya. Sudah jam dua belas tengahari. Fakhrul segera memilih untuk berlalu sahaja dari situ. Seketika kemudian dia berjalan kaki untuk ke masjid yang terletak di Sule Pagoda. Agak jauh dari tempat dia berdiri. Dia tiada pilihan lain selain dari pergi ke masjid itu memandangkan tiada kemudahan untuk bersolat yang tersedia di semua tempat.
Selesai bersolat berjemaah di Masjid Sunni Begali di Jalan Sule, dia duduk seketika di dalam masjid itu sambil membilang wirid. Sengaja dia berlama-lama di dalam masjid itu sambil menantikan ketibaan waktu asar. Lebih baik dia berada di dalam masjid ini daripada dia berpusing-pusing di luar sana seperti orang bodoh. Di Yangon ini waktu solat tiba lebih awal berbanding di Malaysia. Waktu terbit matahari juga lebih awal.
Setelah selsai berjemaah asar Fakhrul keluar dari masjid. Dia berjalan menyusuri tepian jalan untuk kembali ke hotel sambil menikmati permandangan kota itu. Namun ketika tiba di Club Road. Dia berlegar seketika di situ. Kawasan perniagaan itu lebih sinonim untuk golongan kaya dan juga pelancong.
Fakhrul terpandangkan kereta Porsche hitam itu. Ingatan yang tajam, dia mampu meneka kereta itu adalah kereta yang sama dilihatnya sebelum ini. Kereta itu sedang terparkir di hadapan restoran San Francisco.
“Ahlan wa sahlan...” Fakhrul menggumam sambil tersenyum apabila sepatah perkataan pada mercu tanda itu bagaikan telah memanggilnya untuk mendekati restoran itu. Tulisan HALAL dalam tulisan jawi terpampang jelas di papan tanda restoran itu.
Fakhrul segera menyeberangi jalan untuk mendekati kereta itu. Sambil berpura-pura melintasi tepi kereta itu matanya sempat mengerling ke dalam kereta itu. Namun tiada wanita itu di dalam sebaliknya hanya ada pemandunya sahaja yang sedang menanti tanpa mematikan enjin.
Fakhrul menyelinap masuk ke kedai yang bersebelahan dengan kedai makan itu. Dia mengintai ke kedai sebelah dari dalam kedai itu menerusi dinding cermin hadapan kedai. Sambil itu dia berpura-pura membelek barangan yang dipamirkan di hadapan kedai itu. Cepat sahaja matanya menangkap kelibat gadis itu. Angelina sedang duduk di kawasan luar restoran itu sambil berbual dengan seorang perempuan berambut pendek. Ada dua lelaki sedang duduk di meja dekat dengan Angelina. Sudah pasti pengawal peribadinya.
Buat beberapa minit itu Fakhrul memerhatikan gerak laku gadis itu tanpa jemu. Senyuman yang terbit di bibir gadis itu turut membuatkan dia juga ikut tersenyum entah kenapa.
Cantiknya dia... keluh hati lelaki Fakhrul sendiri.
Setelah puas memandang Fakhrul mula mengangkat lensa kameranya pula. Gambar gadis itu yang sedang berbual itu segera dirakamkannya berkali-kali. Setelah puas menyorok di situ, Fakhrul keluar dari kedai itu.
Namun sebaik sahaja dia masuk ke restoran mewah itu, pandangan gadis itu terus terhala kepadanya. Senyum gadis itu memudar menandakan dia kaget setelah terlihat lelaki itu lagi. Namun kemudian gadis itu buat-buat tidak peduli pula.
Fakhrul duduk berselang beberapa meja dari meja gadis itu. Kemudian dia memesan minuman pula. Tetapi gelagat Angelina sempat juga diperhatikan dengan ekor matanya.
Silau pandangannya saat melihat keindahan senyuman Angelina yang begitu manis. Gadis itu memang cantik dan bergaya. Pakaiannya kelihatan hebat namun masih sopan pada pandangan matanya. Ah! Orang kalau dah cantik, pakai apa pun memang cantik. Pendek kata pandang sekali... nak pandang lagi berkali-kali!
Tidak ingin terlalu ketara sedang memerhati, Fakhrul memandang sekelilingnya. Cantik dekorasi kedai makan ini. Kedai berkonsepkan terbuka itu membuatkan pandangan matanya sejuk dan aman. Sayangnya matanya tetap mahu kembali kepada gadis itu. Lekas sahaja pandangan mata sang lelaki ditangkap oleh si gadis di sebelah sana. Sedikit terganggu dengan pandangan sang lelaki. Gadis itu tidak mampu fokus kepada orang di hadapannya. Sekali sekala dia memandang Fakhrul.
Fakhrul cuba mengawal rentak hatinya yang mula berubah arus. Tiba-tiba sahaja dia merasakan dirinya terusik begitu mudah oleh pandangan sang perempuan. Padahal, kenal pun tidak!
Setengah kemudian dia melihat Angelina mula berlalu pergi bersama dua lelaki itu. Fakhrul hanya mampu memandang dalam perasaan sedikit hampa. Kalau boleh dia mahu mengekori sehingga ke rumahnya. Dia ingin tahu di mana gadis itu tinggal. Dia mahu tahu segala-galanya tentang Angelina. Tetapi rasanya dia tidak harus terlalu gelojoh sehingga membuatkan Angelina ketahuan yang dia sedang diekori seseorang. Tidak mengapa... esok masih ada!
*KELUARAN JUNE 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN
*KELUARAN JUNE 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN
No comments:
Post a Comment