DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 20

DALAM perjalanan balik, mereka sempat singgah
membeli sayur-sayuran dan buah-buahan untuk ibu dan Nek
Som. Asma juga membeli beberapa pokok orkid yang dijual
oleh orang asli di tepi jalan. Melihat keadaan orang asli di situ,
Asma mengucap syukur atas nikmat rezeki yang Allah SWT
berikan kepadanya. Walaupun anak yatim, keperluan makan
minum, pakainya tetap cukup. Dia tetap dihantar ke sekolah
untuk menuntut ilmu demi masa depan. Jika dibandingkan
dengan anak-anak orang asli yang dilihatnya di sepanjang
jalan tadi, dia jauh lebih beruntung.
Sesekali Ferhad menjeling isterinya di sebelah. Wajah
berseri Asma membuatkan dia merasa bahagia. Dia mahu
wajah itu sentiasa berseri. Tiba-tiba iPhonenya berbunyi.
“Sayang... ambilkan telefon abang kat dalam poket
ni,” pinta Ferhad sambil menunjukkan dengan muncung
mulut ke arah poket jeannya.
Asma menurut lalu menyeluk ke dalam poket
itu. Namun agak susah hendak mengeluarkan iPhone itu
memandangkan seluar jean suaminya yang agak ketat. Dia
masih cuba menarik iPhone tersebut.
“Don’t tease me,” usik Ferhad.
“Mana ada.” Asma ketap bibir.
Ferhad sengih nakal. Akhirnya iPhonenya berjaya
dikeluarkan. Asma sempat pandang nama pemanggil.
‘Tiffany! Minah salih ni lagi. Tak putus asa telefon,’
rungut hati kecil Asma. Hatinya diserang ingin tahu.
‘Apa dia nak? Rindu sangat dekat Ferhad ke?’
“Hello... hey...” sapa Ferhad sebaik saja menjawab
panggilan itu.
“Okey.”
“Next week.”
“See you... same.”
“Bye.”
Hanya beberapa patah perkataan yang keluar dari
mulut Ferhad. Asma tidak dapat menilai perasaan Ferhad
ketika itu. Wajahnya beriak biasa. Dia gagal membaca
perasaan Ferhad. Tapi dari segi percakapannya tadi, dia tahu
Ferhad seboleh mungkin tidak mahu berbual panjang. Dia
cakap apa yang perlu sahaja.
“Tiffany. Kawan abang dekat sana, tanya bila nak
balik,” terang Ferhad tanpa ditanya.
“Ooo...” Asma angguk. Dia terima alasan itu tanpa
banyak soal walaupun hatinya ragu mahu percaya.
Mereka tiba di kampung dekat maghrib. Mereka
singgah di rumah Nek Som dan makan malam di sana.
Sepanjang mereka pergi berbulan madu, ibu Asma bermalam
di rumah Nek Som.
Mereka sebenarnya telah bersepakat. Lusa, Asma
akan duduk di kolej. Jadi ibu Asma akan tinggal di rumah Nek
Som. Waktu siang, ibu Asma akan balik ke rumahnya untuk
melihat kebun sayur. Malam hari pula, dia akan bermalam di
rumah Nek Som.
Asma senang hati dengan perancangan itu. Jadi dia
tidaklah merasa risau sangat meninggalkan dua orang yang
dikasihinya. Nek Som dan ibunya boleh saling menjaga antara
satu sama lain. Lagipun ada Mak Nab, pembantu rumah Nek
Som untuk menjaga makan minum mereka.
Malam nanti, Rohani bercadang hendak tidur di
rumah Nek Som. Sengaja ibu Asma hendak memberi peluang
kepada mereka untuk berdua-duaan di rumah. Namun
mendengar perancangan itu, Asma merajuk. Malam ini dia
sebenarnya mahu bercerita dengan ibunya.
“Asma dah ada suami. Jaga hati suami dulu. Nak
bercerita dengan ibu boleh tunggu esok,” pujuk Rohani.
“Lagipun kasihan dengan menantu ibu tu. Penat memandu,
mesti nak bermanja dengan isteri dia.”
Asma tunduk. Dia tarik nafas. Dia jeling Ferhad yang
buat-buat tak dengar apa yang ibu cakapkan.
“Abang...”
“Ikut cakap ibu kau tu, Asma. Biar ibu temankan
nenek. Korang berdua tidur sana. Esok-esok boleh cerita,”
sampuk Nek Som.
Asma terus terdiam. Ferhad simpan senyum. Tak
apa, kejap nanti dia pujuk isterinya itu.

PERTAMA KALI dia masuk ke bilik Asma, hatinya tenang.
Bilik ini tidak sebesar biliknya di rumah Nek Som. Tapi bilik
ini ada bau Asma yang membuatkan dirinya tenang. Wangian
lavender menyapa deria baunya. Patutlah Asma teruja di
Cameron Lavender Garden hari tu. Ferhad alih perhatian
pada lukisan di dinding di belakang kepala katil. Laut dan
persisiran pantai dilukis dengan begitu indah seolah-olah
mereka akan tidur di tepi pantai.
“Cantik. Siapa yang lukis tu?”
Asma melihat lukisan yang dimaksudkan Ferhad. Itu
adalah hasil seni terakhir peninggalan ayahnya. Dia senyum
sebaik saja teringatkan ayahnya.
“Ayah yang lukis. Ini lukisan terakhir ayah sebelum
meninggal,” beritahu Asma. ‘Tapi ayah tak sempat nak
siapkan. Hari ayah kemalangan, dia sebenarnya dalam
perjalanan balik dari membeli cat untuk siapkan lukisan ini,’
sambung Asma dalam hati.
Melihat lukisan itu, dia seperti melihat ayah sedang
berjalan di tepi pantai sambil berpimpin tangan dengan
ibunya. Dia dan adiknya pula bebas berlari di hadapan mereka.
Sebab itu, dalam lukisan itu ada empat orang sedang berjalan
di tepi pantai.
“Ayah memang berbakat. Lukisannya nampak hidup.
Abang yang arkitek ni pun tak dapat lukis macam ayah lukis,”
puji Ferhad.
Asma angguk. Dia setuju dengan pujian suaminya.
Walaupun sebenarnya dialah yang sambung menyiapkan
lukisan itu.
“Abang rasa macam duduk dalam syurga. Bilik yang
cantik dan berbau harum. Ada pula bidadari yang cantik dan
seksi temankan abang.”
Asma mencebik.
“Nak pujuk Asmalah tu. Asma tak makan pujuklah,”
cemik Asma. Dia berjalan ke almarinya. Diambil tuala dan
diserahkan kepada suaminya.
“Abang pergi mandi dulu.”
“Malaslah. Abang penat sangat ni. Tapi...” Ferhad
rebahkan tubuhnya di atas katil. Semuanya ada bau isterinya.
Membuatkan nafsunya bangkit.
Asma pandang suaminya. Dia tahu Ferhad sengaja
nak mengada-ada dan manja-manja. Dia kan tengah merajuk
dengan suaminya.
“Kalau Asma nak tolong mandikan, terus hilang
penat abang.”
Huh... dah agak.
“Asma pun penat. Nak tidur jugak.”
“Okey, jom kita tidur sekarang.”
Ferhad tarik tangan Asma sehingga dia jatuh ke atas
badannya. Sengih nakal Ferhad sampai ke telinga.
Asma cebik mulut. Dia tolak badan Ferhad lalu cuba
untuk bangun, tapi Ferhad bertindak pantas menguncinya ke
dalam pelukan.
“Abang... mandilah dulu,” rengek Asma. Dia dah tak
jadi merajuk kalau begini Ferhad memujuknya.
“Okey, jom... kita mandi sama-sama.”
“Tak nak. Malulah.”
“Laaa... takkan malu lagi? Asma dah jadi selimut
abang. Abang dah jadi pakaian Asma. Dah tak ada rahsia pun
kita ni.”
Asma geleng kepala. Dia tetap berkeras.
“Okey, tak payah mandi. Kita tidur dulu. Tapi
sebelum tu, abang nak ‘supper’ dulu sebelum tidur.”
Asma mengeluh. Badannya melekit. Takkan nak
layan suami dengan badan melekit? Lagipun ibu awal-awal
lagi dah pesan. Kena sentiasa wangi apabila bersama suami.
Dia jarakkan badannya sedikit. Ditatap wajah Ferhad.
Lelaki inilah cinta hatinya kini. Dia tidak mahu suaminya
kecewa dengannya.
“Baiklah. Kita mandi dulu. Asma mandikan abang.
Lepas tu kita ‘supper’ dan tidur. Okey?” cadang Asma.
“Inilah isteri abang. Yang abang sayang...” Ferhad
kucup kening Asma sebelum bangun dan mendukung Asma
ke bilik air.

No comments:

Post a Comment