LAMA lelaki itu berdiri mendengar bicara ibu dan anak itu.
Sayangnya dia tidak memahami apa-apa pun kerana dua beranak itu bercakap dalam
Bahasa Perancis. Kadang kala mereka berbisik. Berkali-kali si ibu memeluk anak
itu, mengusap bahunya agar dia terpujuk.
Fakhrul menghela nafas perlahan. Semenjak siang tadi,
Putra tidak ingin bersua muka dengannya. Bercakap dengannya apatah lagi. Kini
Humaira pula yang terpaksa menggunakan kelembutan seorang ibu untuk memujuk.
Hanya dengan mamanya Putra mahu berbual.
Perlahan lelaki dewasa itu menolak pintu kamar itu. Dua
beranak itu menoleh. Seperti yang dijangka, Putra mengubah air wajahnya. Dia
berpaling namun Humaira lekas memegang tangan sang anak. Wanita itu menggeleng
sambil merenung tepat ke dalam mata Putra.
“Please let me
go!” Putra berusaha keras menarik tangannya dari si ibu.
“Please,
don’t! He is your father,” ucap wanita
itu separuh merayu.
“Pardonnez-moi...” balas Putra lantas menggeleng enggan.
Humaira menghela nafas panjang sambil memandang suaminya
yang datang mendekat. Putra mengalih duduk. Tidak mahu memandang wajah sang
ayah lagi.
Fakhrul duduk dekat dengan sang anak. Namun saat dia cuba
menyentuh anak itu, Putra menepis keras tangannya.
“Please, don’t
touch me!” Putra menjeling tajam.
“Papa minta maaf.”
“What for?” balas Putra dalam nada jengkel. Betapa dia cukup benci
mengenangkan hakikat yang dia adalah anak kepada seorang pembunuh upahan.
“Papa pernah tersilap arah, Putra. Tapi demi itulah papa
bertemu dengan mama,” ujar Fakhrul lembut. Putra hanya pegun. Entahkan peduli
entahkan tidak. Namun melihat anak itu hanya berdiam, Fakhrul menyambung semula
bicaranya.
“Sebelum papa jumpa mama, papa orang susah. Papa pernah
berkenalan dengan seorang perempuan. Tapi papa ditolak kerana papa bukan orang
kaya. Papa cuma seorang pegawai tentera dengan gaji yang sedikit.”
Humaira tunduk mendengar cerita suaminya. Fakhrul berdiam
seketika sambil memandang sang anak. Putra masih seperti tadi. Membisu tanpa
sepatah kata.
“Papa jumpa sorang
lelaki. Papa pernah tolong dia. Dia tawarkan papa pekerjaan lain dengan gaji
yang lebih lumayan. Papa pernah merasa dihina orang kerana tak berduit. Papa
nekad terima kerja tu.”
“Kerja apa?” tanya Putra setelah dia menoleh.
Fakhrul memandang isterinya. Agak sukar untuk menjawabnya
kerana kisah itu juga pahit.
“Kerja apa?” tanya Putra lagi.
“Lelaki tu mahu mama mati,” ujar Fakhrul rendah.
Berubah habis wajah Putra mendengar itu. Kemudian dia
memandang mamanya. Humaira segera memegang lengan sang anak.
“Keadaan tu tak sama seperti yang Putra fikirkan. Papa
tak sejahat itu, sayang. Kalau bukan kerana papa, kita semua mungkin tak ada di
sini,” ujar Humaira lembut.
“Tapi kenapa? Kenapa orang tu nak bunuh mama? Kenapa papa
setuju untuk buat kerja tu?”
“Papa tak setuju. Kerana papa tak setuju kita berada di
sini sekarang. Kerana papa tak setuju, kita hidup berpisah, Putra. Papa tak
sayangkan anak-anak? Papa buat semua ni demi mama dan anak-anak!” ucap Fakhrul
bersungguh.
“Tipu!”
“Papa cakap yang benar. Perjalanan hidup mama dan papa
tak sama macam orang lain. Waktu tu... salah dan betul bukan lagi satu pilihan.
Papa cuma nak mama terus hidup macam orang lain. Kadang kala papa kena pergi
jauh dari mama supaya dia dapat hidup macam orang lain.”
“Kenapa? I want to know,” ujar Putra bersungguh.
Humaira memandang suaminya. “Ceritalah. Supaya dia tahu
siapa abang sebenarnya. Tak sama seperti yang dia sangkakan.”
“Putra, papa tak mahu anak-anak lelaki papa jadi macam
papa. Tapi papa mahu anak-anak papa jadi pelindung mama sekiranya papa dah tak
ada lagi dengan keluarga ni,” ucap Fakhrul perlahan.
Anak itu bungkam serta merta. Bicara itu menyentak
sekeping hatinya yang terlalu mengharapkan sebuah keluarga yang sempurna
seperti orang lain.
PETANG itu Fakhrul kembali menapak mendapatkan motorsikalnya di
hadapan kedai serbaneka seven eleven. Namun sedang dia bersiap sedia untuk
menghidupkan motornya dia dikejutkan dengan tepukan di bahu. Sepantas kilat dia
menoleh. Kini kelihatan seorang lelaki berkemeja putih berdiri di belakangnya.
“Badrul...” lelaki itu memberitahu namanya sambil
menghulurkan tangan kepada Fakhrul.
Fakhrul segera menyambut huluran tangan lelaki itu dengan
rasa hairan. Cara lelaki ini menyapanya lain macam benar. Membuatkan dia
tertanya.
“Kau Fakhrul, kan?” soal Badrul.
Fakhrul mengangguk agak lambat sambil terus meneliti
lelaki itu. Bagaimana lelaki itu mengetahui namanya? Rasanya dia tidak pernah
melihat lelaki ini.
“Aku berkerja dengan Tuan Arman. Kau masih ingat dia,
kan? Ada pesanan untuk kau,” kata Badrul lagi.
“Pesanan apa?” soal Fakhrul dengan rasa pelik yang kian melaut.
tg
“Tuan Arman arahkan kau ke rumahnya sekarang. Dia ada
bagi alamat dan nombor telefonnya. Dia nak jumpa kau. Penting katanya,” ucap
Badrul serius.
Fakhrul memandang Badrul dengan rasa hairan. “Apa hal
pulak aku nak kena pergi jumpa dia?” soal Fakhrul tanpa terus mahu menurut
arahan lelaki ini atau Tuan Arman itu.
“Itu aku tak tahu. Aku hanya sampaikan pesanan dia aja.
Ini ada alamatnya. Kau kena ke sana hari ini. Kalau tak dia akan terus cari
kau. Walaupun sampai ke kampung kau.” Badrul menjawab serius sambil menyerahkan
sekeping kertas yang diambil dari kocek bajunya.
Fakhrul terdiam sambil memandang sahaja kertas di tangan
Badrul itu. Namun seketika kemudian dia mengambilnya juga. Ada sebahagian
hatinya mahu dia menuruti kehendak lelaki itu. Sebahagian lagi agak sangsi
dengan tujuan dia dipanggil ke sana. Dah macam orang suruhan pulak rasanya di
arah ke sana ke mari.
Badrul tersenyum kepada Fakhrul. Sebelum berlalu dia
sempat menepuk bahu anak muda itu. Fakhrul memerhatikan lelaki itu sehingga dia
menghilang dengan keretanya yang diparkirkan tidak jauh dari situ.
Buat seketika Fakhrul termenung di atas motor. Ada
sesuatu telah mengusik hati kecilnya. Beberapa minggu lalu motornya yang rosak
akibat kejadian samun malam itu telah dibiayai kos pembaikannya oleh seseorang
yang dia tidak tahu. Pembayar itu masih misteri. Kini dia sudah mula dapat
meneka orang itu adalah Arman. Cuma dia hairan, bagaimana Arman tahu pergerakannya?
Tanpa menunggu lagi Fakhrul menggerakkan motor yamaha RXZ
miliknya ke alamat yang diberikan. Sambil mengisi minyak di pam stesen, dia
membelek lagi alamat yang tertera di atas kertas putih itu. Selain alamat
terdapat juga nombor telefon lelaki itu. Mengikut alamat yang telah diberikan,
rumah Tuan Arman terletak di Sri Hartamas.
Setelah sejam mencari Fakrul akhirnya diketemukan juga
dengan rumah yang dicarinya. Buat seketika dia memandang dari luar pintu pagar.
Rumah itu rupanya bukanlah rumah teres biasa-biasa yang selalu dilihatnya.
Tetapi rumah seperti istana itu terletak di satu kawasan
yang siap dikawal rapi oleh pengawal keselamatan. Luas kawasan rumah itu boleh
jadi lebih sepuluh hektar agaknya, mungkin juga lebih. Mungkin juga lebih. Di
hadapan pintu masuk ke rumah itu Fakhrul terpana seketika menatap keindahan landskap
kawasan itu.
‘Macam ni rupanya rumah orang kaya. Jauh beza dengan
rumah aku kat kampung...’ bisik hati Fakhrul terus dibaluti kekaguman sendiri.
Sedang dia asyik memerhati persekitaran rumah mewah
melalui tirai besi itu tiba-tiba pintu pagar di hadapannya itu terbuka dengan
sendirinya. Fakhrul tersentak lantas menjauhkan diri daripada pintu pagar besi
yang setinggi pintu pagar penjara itu. Takut tersepit!
Lelaki itu gugup seketika kerana tidak tahu apa yang mahu
dilakukan di situ. Namun matanya segera melihat kehadiran seorang lelaki yang
bersut kelabu tanpa tali leher.
“Muhammad Fakrul Iman?” soal lelaki itu seolah-olah sudah
menjangka akan kedatangannya itu. Dia menyambut Fakhrul dengan senyuman
mesranya.
“Err... ya, saya.” Fakhrul menjawab dengan sedikit gugup.
Hairan. Lelaki itu tahu namanya.
“Nama I Fernand, ketua sekuriti kat sini. Tuan Arman sedang
menunggu kedatangan you. Do come in,” ucap Fernand setelah memperkenalkan
dirinya.
Fakhrul mengangguk tetapi dia lantas teringatkan
motorsikalnya. “Err... motor saya kena tinggal kat sini ke?” soal Fakhrul
kembali. Canggung dia dengan persekitaran rumah orang berada seperti ini. Layakkah
motornya yang bertayar dua itu itu dibawa masuk bersama?
Fernand ketawa perlahan dengan gelagat Fakhrul. “Kalau
you larat nak jalan kaki ke dalam, tinggallah motor you kat sini. Tapi I nak
ingatkan, kawasan rumah ni luasnya lebih dari sepuluh hektar,” jawab Fernand
dalam tawanya. Dia perasan akan kecanggungan Fakhrul saat itu.
Ya! Fakhrul perasan Fernand sendiri tidak berjalan kaki
sewaktu datang kepadanya. Lelaki itu menaiki sejenis kereta yang selalu dilihat
di padang golf.
“Welcome,
lieutenant. He is waiting for you,” ucap
Fernand lembut. Seketika kemudian dia ke keretanya dan mengisyaratkan agar
Fakhrul mengekorinya.
Fakhrul hanya akur dengan mengekori lelaki itu ke laluan
yang sama setelah pintu pagar kembali tertutup. Kemudian dia diminta menunggu
di hadapan pintu utama rumah sebesar istana itu.
Sekali lagi Fakhrul diserang oleh rasa kagum. Di hadapan
rumah itu kelihatan beberapa jenis kereta yang berharga jutaan ringgit diletakkan
berderet dan yang paling suka dilihatnya ialah porch kereta dibina di bawah
tanah. Unik. Berapa biji pulak kereta yang ada di dalam tu agaknya? hati
Fakhrul berkata sendiri. Orang kaya.. bolehlah buat porch bertingkat macam tu.
‘Aku? Mangkuk tandas bertingkat pun aku tak mampu nak
buat...’ detik hati Fakhrul sendikit cemburu.
Kemudian lelaki itu berjalan ke arah sebuah taman. Dia
ternampak seperti ada sangkar besar di dalam taman itu. tanpa sedar, Fakhrul
mendekat. Jaring yang memagari sangkar itu dipaut sambil memandang ke dalam.
Betapa dia terpaku melihat dua ekor harimau sedang berkeliaran di dalam sangkar
itu. Terlihat dia, salah seekornya datang mendekat. Fakhrul menapak ke belakang
semula.
“Dia bela harimau di laman rumah?” tanpa sengaja ucapan
itu terkeluar dari ulas bibirnya.
“Kau rasa aku gila ke?” sapa seseorang dari belakang.
Fakhrul pantas berpaling ke belakang. Tuan Arman tersenyum sambil mendekati
Fakhrul.
“Ini harimau betul ke atau palsu?” tanya Fakhrul dalam
nada lugu.
“Aku boleh beri peluang untuk kau cari jawapan tu. Kau
nak aku buka pintu sangkar ni?”
“Eh! Tak payahlah. Tak penting pun jawapan tu.” Terkulat-kulat
Fakhrul saat memandang aksi binatang itu. Kaki hadapannya disandarkan ke jaring
sangkar sambil berdiri dengan kaki belakang. Fakhrul mengerut kening. Binatang
itu menggesel kepalanya ke jaring sangkar.
‘Kau ingat kau comel ke bila buat macam tu?’ Kutuk hati
Fakhrul kepada binatang berwarna hitam itu.
Arman tersenyum sambil mendekat. Dengan selamba dia
menghulur tangan lalu menyentuh kepala binatang itu. Perbuatannya cukup
membuatkan Fakhrul tersentak. Binatang itu jinak!
“Panthera pandus ni salah satu spesis harimau yang dah
pupus di negara kita. Binatang ni diselamatkan di salah satu hutan di Pahang.
Binatang seperti ini penjagaannya memerlukan dana yang besar setiap tahun.
Jadi, ini cara aku untuk bantu mengekalkan spesis harimau ni. Tapi sekarang dia
dah jinak dengan aku. Aku hanya perlu pastikan dia sihat dan kenyang sentiasa.”
Fakhrul hampir ternganga mendengar penjelasan Arman.
Arman terus mengusap kepala binatang itu.
“Man...” laung seseorang dari hadapan parkir kereta.
Mereka berdua menoleh serentak. Fakhrul terpandangkan seorang wanita beraut
jelita melambai Arman.
“Tunggu sekejap,” ucap Arman perlahan.
Fakhrul sekadar memandang lelaki itu mendekati wanita
itu. Mereka berdua berbual seketika di tepi sebuah kereta sebelum wanita itu
masuk dan berlalu. Ingin benar ditanyakan siapakah gerangan wanita itu. Tetapi
hati berkata... tak payah sibuk hal orang!
“Mari masuk. Aku
dah lama nak ajak kau makan bersama aku,” ajak Arman setelah dia kembali semula
ke situ
Fakhrul diam mendengar itu. Sikap Arman yang mesra masih
belum mampu untuk menghalau pergi rasa canggungnya. Dia tidak rasa lelaki ini
memaksa dia ke sini semata-mata untuk makan bersama.
Setelah masuk ke dalam rumah, Fakhrul ternganga lagi. Seperti
mimpi pula rasanya saat memandang bahagian dalam rumah mewah itu seperti orang
jakun. Hiasannya cukup melambangkan kemewahan si pemiliknya.
Arman terus membawa tetamunya ke ruangan makan. Dia mempersilakan
Fakhrul duduk di kerusi yang paling hampir dengan kerusi di hujung meja. Meja
makan itu boleh menempatkan seramai dua belas orang. Tetapi rumah ini kelihatan
sunyi sahaja. Benaknya lantas diserbu tanda tanya. Pelik! Macam ada yang tak
kena.
“Cantik rumah ni.” Fakhrul sempat juga meluahkan pujian
tentang rumah besar itu.
“Ini rumah peninggalan orang tua.” Arman menjawab
ringkas. Tiada yang hebat untuk rumah sebesar ini jika dalamannya hanya
dipenuhi dengan kekosongan dan kesepian.
Fakhrul terdiam mendengar jawapan itu. Rumah ini rumah
peninggalan orang tua? Jadi, Tuan Arman sudah tiada ibu dan ayah. Di mana ahli
keluarganya yang lain? Adik beradik? Isteri? Anak-anak? Namun
persoalan-persoalan itu hanya disimpannya sendiri.
Seketika kemudian ada dua orang pembantu menghampiri
mereka di meja itu. Seorang segera membalikkan pinggan di atas meja buat Arman
dan seorang lagi melakukan untuk Fakhrul. Fakhrul terpinga-pinga sedikit.
“Err... saya boleh buat sendiri,” ucap Fakhrul. Agak kekok
dengan layanan pembantu itu. Biasanya dia makan di rumah, ambil pinggan sendiri,
basuh pinggan sendiri. Tiada pembantu rumah atau pelayan seperti ini yang
menghidangkan makanan untuknya. Siap cedokkan nasi lagi.
Pembantu rumah wanita itu hanya tersenyum sahaja tanpa
menjawab. Dia tetap melakukannya biarpun Fakhrul menegah perbuatannya. Perbuatannya
amat tertib seolah-olah telah biasa melayan tetamu-tetamu yang datang ke rumah
ini.
“Biarkan diri, Fakhrul. Kau tetamu aku. Itu dah tugas
mereka,” kata Arman kepada Fakhrul. Dia tersenyum melihat gelagat tetamunya
itu. Jelas melihat reaksi Fakhrul tidak rela atau mungkin tidak biasa dilayan
seperti itu.
Pembantu itu berlalu setelah menyendokkan nasi ke dalam
pinggan majikannya dan tetamu majikannya itu. Fakhrul kembali memandang tuan
rumah itu. Segala pelakuan Arman dipandangnya lama.
“So, kau mesti tertanya-tanya mengapa aku ajak kau datang
ke rumah aku ni.” Arman memulakan perbualan dengan nada yang agak serius sambil
mengerling Fakhrul sekilas.
Fakhrul mengangguk sambil memandang Arman.
“Jemput makan,” pelawa Arman.
Fakhrul mengangguk lagi. Terkebil-kebil matanya seketika
melihat hiasan di atas meja itu tidak ubah seperti restoran lima bintang.
“Ada perkara yang aku nak bincangkan dengan kau. Tapi
kita makan dulu. Selepas dah kenyang nanti barulah kita boleh bercakap,” ujar
Arman masih lagi memonopoli suasana.
Fakhrul mengikut sahaja rentak lelaki itu. Perutnya juga
mula terasa lapar setelah melihat hidangan udang galah yang dimasak sambal di
hadapannya itu. Gelagat Arman yang cukup selamba melayannya, mula membuatkan
dia tanpa malu-malu makan apa sahaja yang dihidangkan di atas meja itu. Sambil
makan Fakhrul terus mendengar apa sahaja yang dibualkan Arman. Sesekali dia
menjawab soalan lelaki itu yang berkisar mengenai tugasnya sebagai tentera.
Selesai makan Arman membawanya ke sebuah bilik yang
kelihatan seperti perpustakaan. Ada meja yang agak besar dengan komputer di
atasnya dan rak-rak buku yang tersusun kemas. Arman mempelawa Fakhrul duduk di
sofa di tengah ruangan itu sementara Arman mendekati meja itu dan mengambil
sampul surat yang terletak di atas meja itu. Kemudian dia mendekati Fakhrul
yang memandangnya. Arman duduk setentang dengan Fakhrul di sofa itu.
“Dengarnya beberapa bulan dulu kekasih kau berkahwin
dengan lelaki lain.” Arman segera memulakan mukadimahnya tentang apa yang mahu
dibincangkan nanti.
Fakhrul tersentak apa mendengar apa yang Arman luahkan
itu. Seperti mahu tercekik dia mendengar hal peribadinya meniti di mulut lelaki
yang masih belum begitu dikenalinya ini.
Arman membalas dengan senyuman selamba kepada reaksi
Fakhrul itu. Matanya menatap Fakhrul dengan tenang. Sememangnya dia sudah
merangka dengan baik apa yang mahu dilakukan kepada lelaki ini semenjak sebelum
ini lagi. Pertemuan ini bukannya saja-saja. Ada agendanya.
“Dari mana kau tahu pasal ini semua?” ujar Fakhrul yang
masih begitu terkejut dengan apa yang didengarinya tadi.
Arman sempat ketawa perlahan tanpa terus menjawab. Dalam
diam dia cuba menyusun kata yang paling sesuai sebelum meneruskan bicara. Arman
tahu bukan semua orang suka dengan apa yang dilakukannya ini. Namun untuk
dirinya... dia lakukan apa sahaja sehingga apa yang dihajati diperolehi.
“Apa yang aku tahu mengenai kau... kau ni memang baik
orangnya. Ramai orang tak faham kau. Mungkin kerana kau ni agak pendiam.
Mungkin juga mereka tak tahu keupayaan kau yang sebenarnya. Pandang rendah. Aku
ajak kau datang sini bukannya untuk berterima kasih atas apa yang kau dah buat
hari tu sebab kau sendiri yang kata kau berada di situ bukan kerana nak tolong
aku. Tapi aku ada perkara lain yang nak aku bincangkan.” Arman meluahkan bicara
dengan tenang. Namun wajahnya serius.
Perbualan terhenti seketika apabila salah seorang
pembantu rumah itu masuk dengan membawa air minuman buat mereka.
“Kau tak alah dengan kopi, kan?” soal Arman sebaik sahaja
pembantu itu menghidangkan kopi tanpa susu buat mereka berdua.
“Tak. Saya memang suka kopi.” Fakhrul menjawab agak
perlahan. Matanya tidak henti-henti memerhatikan perbuatan pembantu rumah itu
yang menghidangkan air kopi hitam bersama dengan gula dan susu segar buat
mereka. Aroma kopi ini agak berlainan dari kopi yang selalu dinikmati di
kampung. Kemudian dia kembali memandang Arman dengan kerutan di kening.
“Aku masih tak faham. Apa sebabnya aku disuruh ke mari?”
Fakhrul akhirnya memberanikan diri menyoal lelaki itu. Terlalu lambat pula
Arman mahu meneruskan bicara. Mata Fakhrul memandang tajam Arman yang sedang
mengacau kopi di atas meja itu dengan sudu kecil.
“Minta maaf... aku arahkan orang-orang aku siasat tentang
kau. Aku tahu serba sedikit tentang latar belakang kau. Aku tahu tentang orang
tua kau di kampung, aku tahu sebahagian dari kisah lalu kau dengan Syahirah,”
ucap Arman selamba tanpa mengira mungkin apa yang diucapkannya itu akan
mengakibatkan ketidakselesaan Fakhrul kepadanya.
Berkerut dahi Fakhrul mendengar itu. Matanya mula
mencerlung tajam memandang lelaki di hadapannya. Apa yang didengarinya tadi
membuatkan darahnya bagaikan mahu menggelegak pula. Siapa lelaki ini yang
berhak menyiasat tentangnya? Apa gunanya lelaki ini berbuat begini?
“Ada apa dengan aku ni sampai nak disiasat-siasat?” soal
Fakhrul masih cuba untuk bertenang namun nadanya sudah berubah tajam.
Arman mengangguk seketika bagaikan amat menantikan soalan
itu. Dia lantas menyorong sampul surat yang ada di hadapannya ke arah Fakhrul.
“Bukalah. Tengok apa yang ada kat dalam tu.Aku akan
jelaskan sebabnya nanti,” nada Arman sudah kedengaran seperti arahan pula.
Kemudian dia bersandar tenang di kerusinya sambil memandang Fakhrul yang masih
tertanya-tanya.
Fakhrul membuka sampul surat itu lambat-lambat. Bukan
lantaran arahan Arman yang membuatkan dia berbuat begitu sebaliknya dia keliru
dengan teka teki yang dimainkan Arman.
Sebaik sahaja isi kandungannya berada di tangan dia
membelek satu persatu gambar yang berada di tangannya. Spontan mulutnya terbuka
sedikit. Dadanya bagaikan berhenti berdenyut apabila melihat gambar-gambar itu.
Gambar-gambar itu ada yang cukup mengerikan. Mayat bergelimpangan sana sini dengan
dipenuhi darah. Gambar sebuah kejadian pembunuhan. Mungkin juga pembunuhan
beramai-ramai di suatu tempat.
Akhirnya pandangannya kembali bersabung dengan lelaki di
hadapannya itu. Dia tidak faham apa pula kena mengena dirinya dengan kejadian
di dalam gambar itu.
“Siapa dia orang ni semua?” Fakhrul menyoal dalam
perasaan yang sudah tidak aman lagi.
“Ada perkara yang akan aku ceritakan pada kau. Aku minta
kau dengar dengan teliti apa yang aku nak katakan.” Suara Arman mula kedengaran
teralun lembut.
Fakhrul sekadar mengangguk akur. Pandangan Arman
kelihatan sayu di matanya. Lelaki itu menghela nafas perlahan sebelum kembali
bersuara.
“Sudah lama cerita itu tesimpan di dalam lipatan
kenangan. Tetapi kali ini aku harus membukanya semula walaupun amat payah. Aku
tak pernah lupa dengan peristiwa yang itu. dan aku nak menggalinya semula untuk
mendapatkan keadilan untuk aku!”
“Keadilan yang macam mana?” tanya Fakhrul.
“Keadilan yang berhak diterima oleh pembunuh ibu dan ayah
aku!”
Fakhrul bungkam. Kini jawapan yang dinanti sudah
terbentang luas untuk dihadapnya!
No comments:
Post a Comment