“Ara... tiga bulan ni kau nak buat apa?” soal
Naim. Kehangatan hati Azzahra sudah sejuk sepenuhnya
memandangkan mereka sudah dalam perjalanan ke Kuala
Lumpur. Mood ceria gadis itu pun sudah kembali seperti
biasa. Satu perkara tentang Azzahra yang amat disenangi
oleh Naim ialah marah gadis itu tidak lama. Cepat panas,
namun cepat juga sejuk.
“Tidur,” balas Azzahra malas. Dia membetulkan
duduk. Tidak sedar sepasang mata yang mengerling dari
cermin pandang belakang.
“Tidur?” Naim ketawa. “Kau ni... takde kerja lain ke
hah?”
“Aku tak cukup tidur arrr sejak final exams kita ni.
Aku nak qadak balik tidur aku ni sampai puas.”
“Teruk betul kau ni. Takkan sepanjang cuti kau nak
tidur?”
“Emmm... aku mungkin tolong mak ngah aku kut.”
“Mak ngah kau yang buat katering tu ke?”
“Haah... kau pulak nak buat apa?”
“Entah! Aku pun tak tahu. Tidur jugak kut.” Naim
ketawa.
“Blahlah kau! Kata orang pandai, tapi kau pun dua
kali lima je,” dengus Azzahra tidak puas hati.
Ketawa Naim semakin besar. Dia mengerling ke arah
pak ciknya.
“Pak cu, ada kerja kosong tak untuk abang? Yang nak
pakai orang dalam dua tiga bulan.”
“Abang nak kerja ke?” soal Zayn setelah sekian lama
dia hanya memasang telinga mendengar perbualan antara
Naim dengan teman baiknya itu.
“Kerja yang senang, yang tak berat dan tak susah,”
balas Naim.
“Eeee kau ni!” sampuk Azzahra. “Nak yang senang
je. Tak nak bersusah langsung! Dasar pemalas! Memang kau
ni tak sesuai langsung nak dijadikan suami!” sindir Azzahra
mengenakan temannya. “Esok dah kahwin, kau yang duduk
goyang kaki kat rumah, dan isteri kau yang keluar bekerja!”
‘Uish! Tajam betul lidah budak ni! Selamba dia
mengenakan Naim,’ fikir Zayn.
“Ouch! Pedih gila kata-kata kau, Ara... tapi sikit pun
tak berbekas kat hati aku ni. Kau pun apa kurangnya? Kerja
asyik tidur je. Dahlah kaki tidur, kaki melantak pulak tu.
Kesian kat mana-mana lelaki yang terpaksa jadikan kau isteri
dia.” Giliran Naim mengenakan Azzahra pula. Perkataan
‘terpaksa’ itu ditekankan. Kepala sudah menggeleng
menandakan betapa teruknya dirasakan perangai gadis itu.
“Memang kesian pun,” Azzahra mengiakan kata-kata
Naim bersama suatu keluhan. Dia kisah apa? Memang
perangainya seperti yang dikata pun! Tak guna mahu
membidas. Buang karan saja.
“Abang kenal Ara ni sejak kat kampus ke?” soal Zayn
ingin tahu.
“Taklah, pak cu. Kita orang kenal sebab pergi kelas
tuisyen sama-sama masa tingkatan 3 dulu. Lepas tu buat
study group sama-sama. Tengok-tengok, lepas SPM, dapat
masuk uni yang sama. Kursus pun sama. Memang berjodoh
betul abang dengan Ara ni.” Sempat Naim mengusik Azzahra.
Sedar yang Azzahra pantang jika diusik begitu. Usikan yang
boleh menjangkau garisan persahabatan yang sekian lama
dilukis oleh Azzahra.
“Blahlah kau!” celah Azzahra. “Kau tu yang selalu
nak berkepit dengan aku. Sibuk je nak ikut orang!”
Naim ketawa. Sedikit pun tidak berkecil hati dengan
bicara Azzahra.
“Ala Ara... kalau aku takde, kau jugak yang patah
kaki nanti. Mati kutu kau tak reti nak hidup. Betul tak? Betul
tak?”
Azzahra menjulingkan mata ke atas walaupun
dia sedar tidak mungkin Naim dapat melihat ekspresi di
wajahnya. Namun ada mata yang sempat menangkap reaksi
Azzahra tanpa pengetahuannya.
“Betul sangat!!!” sinis pengakuan Azzahra.
Kedua-dua belah tangan hampir saja diangkat untuk
menyentuh bahunya.
“Tapi kalau berjodoh pun apa salahnya, kan?”
ujar Zayn. “Pak cu tengok korang sesuai je.” Suara Zayn
kedengaran tenang, namun wajahnya langsung tidak setara
dengan suaranya. Entah dimaksudkan kata-katanya itu,
entahkan tidak. Bunyi macam tidak ikhlas.
Azzahra sudah macam mahu muntah mendengar
komen daripada pak cik Naim ini. Berjodoh? Sesuai? Buta ke
apa?
“Baik-baik, pak cu. Karang tak pasal-pasal tercabut
pulak kepala abang ni dikerjakan Ara,” sindir Naim sambil
tersengih. “Lagipun, di dalam hati Ara dah ada penghuni.”
“Naim!” jerit Azzahra geram. Dari arah belakang,
tikaman mata Azzahra bagai tembus terus melalui kepala
Naim. Rasa mahu diketuk-ketuk saja kepala lelaki itu agar
penyet terus rambut pacaknya itu.
“Ala, relakslah Ara. Pak cik aku bukannya kenal pun
dengan sepupu kau tu.”
“Dia bukan di dalam hati akulah!” dengus Azzahra
kasar.
“Oh ya! Lupa pulak aku. Dia bukan di dalam hati
kau... tapi dia hanya ada dalam impian, harapan dan mimpi
kau, kan?” usik Naim tanpa henti.
Azzahra sudah hilang sabar. Dia mencapai beg
tangannya lalu menghempuk kepala Naim berkali-kali dari
belakang.
“Kau dah puas hidup ke, bro?”
“Aduh! Aduh! Ara!” Giliran Naim pula menjerit.
“Sakit arrr!” Naim menggosok-gosok kepalanya. Dia melurut
rambutnya dengan jari-jemarinya agar kelihatan kemas
semula. Hilang segaknya dikerjakan Azzahra.
“Padan muka kau! Mulut macam longkang!
Semester depan kau jangan cari aku!” rajuk Azzahra. “Kau
belajar sorang-sorang!”
Naim memalingkan tubuh. Mata Azzahra dicari.
Sedar yang usikannya kali ini sudah agak melampau.
“Ala Ara... sorrylah. Aku gurau jelah. Aku main-main
je. Kau ni cepat sangat nak sentap.”
Azzahra melipat tangan ke dada. Enggan menerima
ucapan maaf daripada Naim.
“Ara...” seru Naim.
Tiada reaksi.
Naim berpaling ke arah kanan.
“Pak cu! Kawan abang dah merajuk ni. Pak cu ada
tips tak macam mana nak pujuk?” Sengaja Naim bertanya
begitu di hadapan Azzahra. Menunggu beberapa detik untuk
hati gadis itu kembali sejuk. “Tolonglah abang, pak cu. Pak cu
kan pakar dalam bab pujuk-memujuk ni?”
Zayn ketawa kecil. Lucu mendengar perbalahan
antara anak saudaranya dengan teman baiknya ini, namun dia
bijak menyembunyikan reaksinya. Perbalahan manja-manja
gitu. Comel betul. Teringat pula ketika meniti zaman
remajanya sendiri. Zaman yang penuh keseronokan.
“Nak pujuk orang pompuan ni, senang je, abang.
Diaorang ni semua sama. Kalau nak kita pujuk, tak lain nak
hadiah yang mahal-mahallah tu. Tapi selalunya, kalau kita
bagi bunga atau hadiah lain, diaorang mesti akan termakan
pujuk punya.” Zayn menawarkan nasihat. Tanpa disedarinya,
kata-katanya berbaur sinis. Seolah-olah kaum perempuan
ini suka merajuk hanya untuk mendapatkan hadiah yang
berharga daripada kaum lelaki.
Azzahra mencemik tanda tidak setuju dengan
pendapat Zayn.
“Hah! Abang tahu!” Naim tiba-tiba memetik jari.
“Ara, kau suka kek coklat kan? Meh, aku belanja nak?”
Untuk seketika, memori semalam datang menghimpit
dada. Memori dia bertungkus lumus mempelajari teknik
membuat kek coklat daripada mak longnya, demi menambat
hati seorang lelaki yang dikejar untuk sekian lama. Azzahra
menggigit bibir. Cuba mengusir kenangan itu jauh-jauh dari
benaknya.
“Ara?” Naim bersuara.
Azzahra berdeham kecil.
“Aku tak makan rasuah kaulah, Naim. Aku tak main
dengan pujukan kau tu Lagipun, aku tak suka kek coklat.
Tapi... kalau kau nak belanja aku piza, aku on je.”
“Aku dah agak dah!” getus Naim. “Kau ni kalau bab
melantak, memang champion.”
Terletus tawa Azzahra. Tawa yang lepas tanpa kawalan.
Naim saja yang bisa menerbitkan tawanya yang sebegitu.
Tawa yang sering kali akan membuat dirinya terasa bebas dan
bahunya terasa ringan. Azzahra tahu apa yang cuba dilakukan
oleh Naim. Disebabkan dia sudah terlajak kata mengungkit
tentang Farouk, sedangkan Naim tahu betapa sukarnya dia
mahu melepaskan lelaki itu dari hatinya, lekas-lekas Naim
mahu membetulkan keterlanjuran gurauannya itu. Begitu
mudah Naim membaca hatinya. Azzahra juga sama, bisa
membaca hati Naim. Mereka sejiwa dan mereka satu kepala.
Sekali lagi Zayn mencuri pandang. Tanpa rela,
bibir turut tersungging senyuman mendengar gelak gadis
yang duduk di bahagian belakang. Nampaknya rajuk
Azzahra sudah pulih sepenuhnya. Begitu mudah? Hairan
dia. Rajuk teman-teman wanita yang pernah mengelilingi
pinggangnya selama ini begitu sukar untuk ditangani. Nak
pujuk dengan coklat, masing-masing sibuk mahu menjaga
badan. Apatah lagi makanan yang kurang sihat seperti piza?
Kalau tak belanja hadiah mahal-mahal, rajuk mereka akan
berpanjangan berhari-hari lamanya. Untung anak saudaranya
dapat seorang sahabat seperti Azzahra. Tapi... betul ke cuma
seorang sahabat?
Lebih kurang lima jam perjalanan, termasuk waktu
berhenti di R&R, kereta Naim berhenti betul-betul di hadapan
rumah teres dua tingkat lot hujung kepunyaan orang tua
Azzahra.
“Naim, terima kasih tau tumpangkan aku,” ucap
Azzahra ikhlas. Wajahnya dikalihkan pula ke arah Zayn yang
turut keluar dari perut kereta untuk membantu mengeluarkan
bagasi Azzahra dari but. “Pak cik, terima kasih.”
Terasa diri begitu berusia mendengar Azzahra
memanggilnya dengan gelaran ‘pak cik’, sedangkan selama
ini dia tidak berasa apa-apa ketika Naim atau anak-anak
saudaranya yang lain memanggilnya begitu. Jarak usia
antara dirinya dengan Naim hanya 12 tahun, kerana Naim
merupakan anak sulung kepada kakak sulung Zayn sedangkan
dia adik yang paling bongsu.
“Sama-sama,” balas Zayn jua. Aviator kembali
disarungkan untuk melindungi matanya daripada sinaran
matahari yang masih terik.
“Ara, nanti aku call kau. Aku tahu hidup kau mesti
boring punya kalau aku takde. Kan? Kan?”
Azzahra menjelir lidah ke arah Naim. Suara turut
membuat bunyi ‘wek!’ Sengal betul kawannya seorang ini!
Tawa Naim masih kedengaran walaupun pintu
kereta sudah dikatup rapat. Di dalam hati, Azzahra mengakui
bahawa dia akan merindui temannya itu. Sengal tak sengal,
Naim seorang saja yang memahami serta menerima
dirinya seadanya. Serapat-rapat hubungan Azzahra dengan
adik-adiknya, namun masih ada perkara yang tidak dapat
dikongsi bersama Iman mahupun Nurul. Dengan Naim,
seakan tiada rahsia antara mereka.
Azzahra melambai kereta Naim yang semakin
menjauh. Alah, rumah Naim bukannya jauh sangat pun.
Dia tinggal di taman perumahan yang bersebelahan saja
pun. Sepelaung saja jaraknya. Kalau rindu, esok pun boleh
berjumpa. Takde hallah!
No comments:
Post a Comment