“SAMPAI pun kau. Aku ingat aku silap dengar
masa kau call pagi tadi.”
“Lama tak jumpa kau, dude. Bila balik Malaysia?”
sapa Michael Yong sebaik sahaja Ferhad dan Asma melangkah
masuk ke bilik pameran BigBang Automobiles Sdn. Bhd.
Mereka berjabat tangan dan berpelukan seketika.
“Dah hampir sebulan aku balik, tapi aku stay dekat
kampung. Baru turun KL dua hari lepas.”
Michael Yong jeling Asma di sebelah. Dia lirik tangan
Asma yang berpaut di lengan Ferhad.
“Kenalkan isteri aku, Asma.”
Tercengang-cengang Michael dibuatnya. Dua tahun
tak jumpa, bila berjumpa terus bawa isteri. Cantik jugak.
Ingatkan kerja dekat UK bawa balik isteri rambut perang.
“Bila kau kahwin, dude?”
“Dua minggu lepas.”
“Tak jemput aku pun.”
“Majlis dekat kampung, tak sempat nak ajak. Malam
karang aku belanja kau,” ujar Ferhad.
“Ada tak stok Myvi yang aku nak tu?” soalnya terus.
Dia mahu kejar masa untuk menonton wayang pula.
“Ada. Kau nak color apa? Metallic or solid?”
Ferhad pandang Asma.
“Sayang pilih nak kereta color apa?” tanya Ferhad
kepada isterinya di sebelah.
“Sempat ke kau uruskan dalam masa seminggu ni?
Duit aku boleh transfer sekarang,” soal Ferhad sementara
menunggu Asma membuat pilihan.
“No hal. Kira settle. Letak atas nama siapa?”
“Nama isteri akulah. Dah kereta dia.”
“Boleh bagi lesen dengan MyKad. Aku nak proceed
dokumen,” pinta Michael Yong.
Asma segera memberikan lesen dan MyKadnya
kepada lelaki itu.
“Abang beli tunai ke kereta tu?”
Ferhad angguk. Dia mampu bayar, jadi tak ada apa
kepentingan untuk dia berhutang.
“Mike... aku nak kau lengkapkan kereta tu dengan
GPS dan full set accessories. Aku nak semuanya lengkap.
Isteri aku ni tak biasa jalan KL, takut dia sesat nanti.”
“No problem. Itu pun settle. Lagi apa request kau?”
“Tolong dia jika dia ada problem dengan kereta. Kau
settlekan juga service dan maintenance kereta ni. Nanti kau
claim dengan aku.”
“You loved her that much, huh...” Michael Yong
angkat kening sambil sengih. Dia tak pernah lagi melihat raut
wajah Ferhad yang penuh dengan rasa cinta itu.
“Isteri, siapa tak sayang, dude.”
“Asma nak pergi tandas kejap,” pinta Asma. Tak
betah dia terusan melihat senyum Michael Yong. Dia malu.
“Tandas sebelah kanan,” beritahu Michael Yong.
Asma angguk dan berlalu.
Kemudian Ferhad pandang Michael Yong.
“Kau tolong jaga dia bagi pihak aku. Aku tak pasti
balik bila.”
“Dua minggu kau kahwin, lepas tu kau nak
tinggalkan dia? Kalau aku, tak sanggup.”
“Terpaksa, bro. Dia baru masuk UPM. Lagipun nenek
dan ibu dia perlukan dia jugak. Aku kena korbankan dirilah.”
“Aku respect kau, dude. Tapi dia muda sangatlah.
Baru 18 tahun,” komen Michael Yong apabila meneliti MyKad
milik Asma.
“Jodoh, bro. Kita bukan boleh agak bila jodoh kita
sampai.”
“Bila pulak kau bercinta dengan dia? Dah lebih dua
tahun baru balik. Jangan beritahu aku, kau bercinta dengan
budak sekolah!”
“Hei... aku taklah desperate macam tu. Aku bercinta
dengan dia lepas kahwinlah. Dia pilihan nenek aku.”
“Nenek kau punya taste memang umphlah. Suruh
dia cari amoi untuk aku sorang. Gadis Melayu pun tak apa
asalkan lagi cun daripada isteri kau,” usik kawannya itu.
Ferhad ketawa. Dia tepuk bahu Michael Yong.
Selesai urusan kereta, Ferhad memecut ke Mid
Valley. Dia telah pun menempah tiket wayang untuk mereka
berdua secara online. Dia sengaja pilih couple seat. Asma
mengikut sahaja segala perancangan suaminya itu.
Masih ada masa setengah jam lagi sebelum wayang
bermula. Jadi Ferhad bawa Asma membeli iPhone dulu. Dia
tahu, Asma tak ada telefon pintar. Di kampung, Asma guna
telefon bimbit Nokia ibunya.
“IPhone ni untuk sayang. Modelnya sama dengan
model abang. Abang dah masukkan sim card lama abang kat
dalam tu. Siap ada mobile data. Jadi Asma boleh guna untuk
layari Internet, Facebook dan WhatsApp. Senang nanti kita
nak berhubung.”
“Perlu ke, bang? Beli telefon biasa-biasa pun okey
dah bagi Asma. Lagipun Asma tak guna sangat Internet ni.”
“Sekarang ni memanglah Asma tak guna. Tapi
bila dah masuk kuliah, Asma akan tahu betapa pentingnya
Internet sekarang ni. Nanti minggu depan abang belikan
laptop dengan printer pulak. Senang sayang nak buat
assignment nanti.”
Asma terdiam. Dia tak terfikir pula begitu. Tapi ada
betulnya apa yang dikatakan suaminya itu. Di sekolah pun
dah kena guna Internet sebagai alternatif mengulang kali
pelajaran, inikan pula di universiti.
“Balik nanti abang ajar Asma fungsi-fungsi asas
iPhone ni. Sekarang kita masuk. Tengok wayang.” Ferhad
terus tarik tangan Asma menuju ke eskalator untuk naik ke
tingkat 4.
Ferhad ambil tiket di kaunter ekspres dan terus
menuju ke pintu masuk panggung wayang. Di dalam
panggung wayang, lampu sudah pun ditutup. Asma pegang
kejap tangan Ferhad. Berdebar pula hatinya apabila dengar
bunyi iklan sedang dimainkan. Kuat sangat sampai rasa
berdengung telinganya.
Ferhad tarik tangan Asma, suruh duduk apabila dia
sudah jumpa tempat duduk mereka. Ferhad duduk di sebelah
kemudian tarik tubuh Asma agar bersandar di dadanya.
“Dalam wayang memang tempat duduk macam ni
ke?” soal Asma lurus.
“Taklah, sayang. VIP je macam ni. Yang biasa
memang tempat duduk satu-satu. Kita dah kahwin jadi halal
nak duduk rapat begini. Sayang nak duduk atas riba abang
pun boleh. Lagi abang suka. Senang sikit abang nak sentuh,
nak cium... hmmm.”
Asma geleng. Dia rasa malu tapi teruja. Ini kali
pertama dia masuk ke panggung wayang. Dengan suami pula
tu. Dia pandang pasangan di sebelah. Duduk rapat sambil
berbisik-bisik. Begitu juga dengan pasangan di hadapan
mereka. Nampak intim dan dilamun cinta. Kemudian dia
pandang Ferhad yang telah menumpukan perhatian pada
layar di hadapan mereka.
“Abang suka tengok wayang?” soal Asma berbisik di
telinga Ferhad.
“Suka tapi bila dah kerja ni jarang tengok. Layan
Netflix je dekat sana.”
“Netflix?”
“Web online movies dan drama.”
Asma angguk walaupun tak berapa faham lagi.
“Nanti kalau sayang nak tengok wayang, datang
dengan kawan perempuan sahaja. Lelaki abang tak benarkan.
Kecuali dengan abang.”
“Kenapa pulak?”
“Abang tak suka. Kalau boleh, masa belajar tak payah
rapat sangat dengan kawan lelaki, nanti abang susah hati.
Takut hati sayang kena kebas nanti.”
Asma ketawa perlahan.
“Abang ni kelakarlah. Abang dengar ni, seorang
gadis bila dia dah kahwin, secara automatik pintu hatinya
tertutup. Mata hati hanya nampak suami dia sahaja. Dia akan
setia kepada suaminya sehinggalah ke akhir hayat. Dia akan
jaga maruah diri dan harta suaminya sebaiknya. Dia akan
menunggu dengan penuh sabar dan setia suaminya kembali.”
“Abang tahu orangnya adalah sayang, kan?”
“Asma sayang abang. Asma akan menanti dan setia
pada abang walau jauh dan lama mana abang pergi. Kecuali
abang dah tak perlukan Asma dan buang Asma, barulah Asma
berhenti menanti abang,” ucap Asma, ada nada sendu pada
kata-kata itu.
“Isteri abang hanya satu iaitu Asma sahaja. Janji
dengan abang, walau lama mana pun abang pergi, Asma
tetap tunggu abang kembali,” pinta Ferhad sekali gus
menghindarkan perasaan ragu isterinya itu.
“Asma janji.”
Ferhad senyum lega. Dan mereka terus tumpukan
perhatian pada cerita yang sedang ditayangkan.
No comments:
Post a Comment