MALAM
kian larut. Tetapi lelaki itu masih juga belum naik ke kamar. Humairah memutuskan
untuk turun semula ke bawah. Terdengar suara orang berbual di ruang tepi rumah.
Lekas kakinya dihalakan ke bawah. Terkejut melihat Isabel berada di hadapan
pintu gelangsar, bercakap dengan Fakhrul yang sedang berada di dalam kolam
renang.
Sepupunya itu mengalihkan pandangan sebaik
sahaja terlihat Humairah mendekatinya.
“Angelina,” sapa wanita itu ceria.
“Hai...” balas Humairah lantas mendekati
wanita itu.
“Comment
ça va?” ujar Isabel sambil mendakap Humairah. Sudah lama mereka
tidak bertanya khabar.
“Très
bien. Merci,” balas Humairah biasa. Matanya mengerling
Fakhrul yang sedang bersandar di tepi kolam mandi dalam keadaan separuh
tubuhnya berendam di dalam air. Risau semacam melihat wanita ini ada di
rumahnya. Isabel sudah menjanda lagi buat kesekian kalinya!
“It’s
cold here. Come in,” ucap Humairah lantas menarik tangan Isabel.
Sengaja mahu menjauhkan wanita mata keranjang ini dari suaminya.
Isabel memandang lelaki itu seketika. Dua
jarinya dilambai dengan senyum manis sebelum dia mengekori Humairah masuk ke
dalam rumah. Namun mereka terpandangkan Putra dan Jordan menuruni tangga dengan
seluar renang dan tidak berbaju.
“Nak ke mana?” tanya Humairah agak terkejut.
“Swimming...”
“Dah malam, sayang!” tegas Humairah. Bimbang
anaknya mendapat sakit pula.
“Papa ajak bogel sama. Bonsoir, Isabel,” ujar Putra dengan muka selamba melintasi mereka
di ruang utama itu untuk ke kolam renang. Humaira terpaku mendengar jawapan
anaknya. Mujurlah Isabel tidak faham apa yang diucapkan Putra.
“Bonsoir,
darling...” balas Isabel tanpa mampu mengalihkan pandangan dari dua anak
itu.
“What
happened to them?” ujar Isabel perlahan. Sama seperti Humaira,
dia juga terpaku. Anak-anak itu ditatang bak minyak yang penuh selama ini.
Usahkan berendam di kolam renang waktu begini, terkena salji pun tidak boleh!
Bimbang mendapat sakit.
Humairah mendekati pintu gelangsar semula
setelah meminta Isabel duduk di sofa. Tidak tertahan mahu melihat apa yang
dibuat oleh anak-anak dan ayah itu. Jordan dan Putra sudah berendam di dalam
air bersama suaminya.
Tidak sedar dia terpaku di situ. Tersenyum.
Hati merasa damai sekali saat mendengar jerit pekik anak-anaknya keseronokan
bersama sang ayah.
“I
think I should leave now,” tegur Isabel tiba-tiba. Humairah menoleh
kepada sepupunya itu. Isabel tersenyum lembut saat memerhatikan kegembiraan anak-anak
itu.
“It’s
okay. I’ll come back tommorow,” ujar Isabel sebelum wanita
seorang lagi itu membalas. Tidak ingin menjadi penganggu masa terluang keluarga
ini biarpun kedatangannya untuk melawat sepupunya ini.
Isabel menjengah tiga lelaki di kawasan
riadah keluarga itu.
“Chérie,
à plus tard. Ne soyez pas méchant,” ucapnya kepada Putra dan
Jordan.
“Merci
beaucoup, Isabel. Bonsoir...” balas dua beradik itu
serentak.
Sesudah menghantar Isabel ke pintu utama,
wanita itu menghampiri ruang riadah itu semula. Jordan macam orang baru pertama
kali mandi kolam renang. Air berkocak besar dibuat dek anak itu.
Lain kesnya pula dengan Putra. Membuntang
luas mata Humairah melihat anak lelakinya sedang berdiri dalam keadaan terbalik
di dalam air. Telapak tangannya mencecah dasar kolam dan kaki ke atas. Fakhrul
bersandar di tepi kolam memandang perbuatan anaknya seolah-olah tiada apa yang
pelik dengan itu.
“Abang! Apa abang buat pada dia???” tekan
Humaira tidak senang dengan perbuatan suaminya.
“Biarlah dia...” jawab Fakhrul selamba.
“Dia baru 10 tahun! Maira tak suka abang buat
macam ni!” tegas Humaira.
“Dia anak lelaki. Abang tahu apa abang buat,”
jawab Fakhrul selamba.
“What
ever!” balas Humairah malas mahu bertekak dengan lelaki itu
tentang ini. Hakikatnya dia benar-benar tidak suka anaknya diajar menjadi
samseng. Sudahlah rambut anak itu dipotong macam askar.
“Tengah malam nanti giliran kita lemas kat
dalam kolam ni sama-sama,” ujar Fakhrul masih dalam nada selamba.
“Tak kuasa!” sambut Humairah.
Tiba-tiba sahaja anak di dalam kolam itu
bergerak lalu timbul di permukaan semula. Tercungap-cungap tidak cukup nafas.
Wajahnya disapu berkali-kali. Kemudian dia berteriak kecil.
“Your
turn, father...”
Fakhrul terus menenggelamkan diri ke dalam
air.
Humairah menggeleng melihat suaminya sengaja
menunjuk aksi berdiri terbalik di dasar kolam. Tapi hanya dengan sebelah tangan
semata.
“Show
off!” jerit Putra kepada ayahnya. Jordan menjerit seronok
melihat sesuatu seperti itu.
Melihat anak dan ayah itu sedang bertarung
masa, Humairah melabuhkan duduk di kerusi. Sengaja mahu menjadi pemerhati.
Namun setelah berlalu minit demi minit lelaki itu tidak bergerak langsung.
“Papa???” jerit Putra mula takut melihat
lelaki itu masih tidak bergerak. Malahan tidak ada gelembung udara keluar dari
mulut ayahnya lagi. Seterusnya lelaki itu tiba-tiba terapung lalu naik ke
permukaan dalam keadaan telangkup.
Humairah bingkas bangun lalu ke tepi kolam.
“Abang!!!”
Putra dan Jordan turut menjerit melihat tubuh
ayah mereka terapung seperti sudah lemas. Putra berusaha keras untuk
membalikkan tubuh sang ayah.
“Papa!!!” Putra menjerit seperti mahu
menangis. Mata ayahnya terpejam.
“Huarghh!!!”
“Argh!!!” Humairah di tepi kolam yang
menjerit paling kuat setelah disergah tiba-tiba oleh Fakhrul. Putra dan Jordan
bertempiaran akibat terkejut. Namun dua beradik itu tergelak berdekah-dekah
akhirnya. Paling lucu mendengar mama mereka menjerit tadi. Fakhrul ikut ketawa
saat memandang isterinya yang masih masam mencuka.
Akibat geram tidak tertahan, Humairah mendekati
kerusi tadi. Tuala yang masih berlipat di atas meja dicampaknya ke arah kolam
itu.
“Tuala abang, Maira!” terkedu lelaki itu
melihat tualanya sudah terapung di permukaan air.
“Padan muka!” ujar perempuan itu lantas
berpaling untuk masuk ke dalam. Tidak sedar langsung Fakhrul berlari laju
terkedek-kedek dalam keadaan kakinya licin ke arah Humairah. Dia hanya tersedar
saat tubuhnya dipaut dari belakang. Seterusnya wanita itu menjerit akibat
ditarik semula ke arah kolam itu.
Jordan dan Putra tergelak-gelak melihat mama
mereka ikut jatuh ke dalam kolam bersama sang ayah. Bukan main marah lagi
perempuan itu kepada Fakhrul. Namun lelaki itu hanya ketawa seronok.
Putra... tidak pernah kelihatan sesuatu
seperti ini di antara mereka. Kerana sering saja ibu mereka sendirian bersama
mereka tanpa kehadiran lelaki ini di antara mereka.
No comments:
Post a Comment