DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 April 2017

Sweet & Dangerous - Bab 6


PETANG itu sebelum pulang ke Kem Bukit Jugra di Banting, Fakhrul sempat singgah di rumah Syahirah. Mujur sahaja Pak Ayob sibuk dengan pekerja-pekerja di ladangnya. Kalau tidak jangan haraplah dia dapat bertemu dengan Syahirah dengan aman. Silap-silap dia akan dihalau seperti pengemis seperti yang selalu berlaku sebelum ini.
Di dalam pertemuan itu topik perbincangan mereka tidak lain tidak bukan, masih lagi berkisar tentang kahwin.
“Kalau abang tak nak, abang cakap aja terus terang. Jangan bagi seribu satu alasan!” bentak Syahirah mula naik angin. Bengang apabila Fakhrul banyak beralasan apabila dia meminta lelaki ini masuk meminang segera.
“Abang tak ada kemampuan sekarang, Ira. Tolong faham masalah abang. 35 ribu tu terlalu besar nilainya pada abang. Mana abang nak cari? Gaji abang bukannya banyak sangat..” ujar Fakhrul masih mahu berlembut dengan pujaan hatinya itu.
“Pinjamlah dengan sesiapa, bang. Ira tak nak kahwin dengan Kahar. Ira sayangkan abang. Ira nak kahwin dengan abang,” rayu Syahirah dalam keresahannya. Apa tidaknya, keluarga Kahar akan datang hujung minggu ini. Jika Fakhrul lambat bertindak, alamat hujung bulan ini dia akan dipaksa bertunang dengan Kahar. Manalah dia mahu!
“Kalau seribu dua bolehlah abang pinjam. Tapi kalau sampai berpuluh ribu siapa nak bagi abang pinjam? Itu baru duit hantaran belum masuk belanja yang lain. Kalau dapat pinjam pun, lepas kahwin nanti macam mana? Alamat duit gaji abang habis bayar hutang. Apa abang nak bagi Ira makan?” ujar Fakhrul rendah namun nadanya sudah menggambarkan betapa besarnya beban masalahnya kini.
“Tapi Ira tak nak kahwin dengan Kahar, bang. Lama Ira tunggu abang, tengok-tengok ayah paksa Syira kahwin dengan orang lain pulak,” ucap Syahirah dalam kesayuan.
“Ayah Ira tak suka abang. Bukan senang untuk abang ni, Ira. Lagipun minggu depan abang dah nak kena pergi. Setahun aja, sayang. Lepas tu abang janji abang akan cepat-cepat masuk meminang.” Fakhrul membalas sambil merenung lembut wajah ayu di hadapannya ini. Pedih hatinya kalau dia terpaksa melepaskan Syahirah setelah lama mereka menyulam kasih bersama.
“Abang.. setahun tu lama sangat. Ayah dah desak Ira, suruh kahwin cepat dengan Kahar. Tak payahlah pergi sana, bang. Kalau abang tak ada kat sini macam-macam ayah boleh buat. Susahlah Ira kalau macam ni,” tekan Syahira cuba memujuk Fakhrul agar tidak berpergian jauh hingga ke luar negara. Dia lebih memerlukan Fakhrul di sini berbanding orang-orang di Beirut sana.
“Mana boleh macam tu. Abang kerja terikat dengan tanggungjawab. Abang bukannya pergi suka-suka. Ira cubalah pujuk ayah. Setahun aja lagi yang abang minta. Lepas tu abang akan usahakan untuk kita akan kahwin.” Fakhrul sedaya upaya cuba menenangkan Syahirah dengan janjinya itu. sesungguhnya dia tidak tahu apa yang lagi yang boleh dikatakan. Dia buntu.
“Kadang-kadang Ira geram betul dengan ayah. Lagi kita tak suka, lagi tulah dia nak paksa. Ira bencikan Kahar. Tapi dengan Kahar jugak ayah nak buat menantu. Ira tak tahu macamana nak hadapi semua ni,” bebel Syahirah. Meluat benar dengan perangai ayahnya itu. Sakit hati mendengar ayahnya mendewa-dewakan Kahar. Lebih sakit hati mendengar ayahnya mencerca lelaki yang dipujanya.
Fakhrul diam mendengar itu. Beruntungnya dia, ibu dan ayahnya tidak pernah memaksanya mengahwini orang lain untuk sesuatu kepentingan. Ayahnya memberi dia adik beradik hak untuk memilih pasangan hidup sendiri.
Saat itu perbualan mereka terputus apabila terlihat kelibat kereta Toyota Corolla berwarna krim memasuki kawasan rumah itu. Fakhrul dan Syahirah berpandangan seketika. Wajah masing-masing jelas berubah. Fakhrul cuba bertenang namun dalam hatinya hanya Allah yang tahu apa yang sedang bergolak.
‘Habislah aku. Makan caci makilah jawabnya...’ detik hatinya sendiri.
“Ayah Ira dah balik. Abang pergi dulu ya?Abang nak balik ke Banting ni. Esok abang kena kerja,” ucap Fakhrul lembut. Dia tahu Pak Ayob tidak suka melihat dirinya apatah lagi kalau dia berbual-bual dengan Syahirah.
“Kamu nak apa datang sini??” Pak Ayob menjerkah sebaik sahaja keluar dari kereta. Keretanya dihentikan di tengah halaman itu semata-mata untuk menemui Fakhrul.
“Apak...” desis Syahira tidak senang dengan ayahnya.
“Kamu tu masuk dalam! Jangan nak tertebeng aje dengan jantan depan ghomah. Dia ni bukannya bukan boleh bagi kamu senang. Aku pun pelik apa yang kamu pandang sangat dengan dia ni!” Pak Ayob mengherdik keras anak perempuannya itu. Geram melihat Syahirah tidak mahu mendengar kata.
“Pergilah masuk..” Fakhrul memujuk lembut.
“Ira sayangkan abang,” rayu Syahirah enggan mempedulikan arahan ayahnya.
“Abang tahu... tapi ayah Ira tak suka abang. Apa abang boleh buat?” balas Fakhrul teramat rendah nadanya.
Pak segera Ayob bercekak pinggang. “Kamu tak payah nak buat ayat mintak kesian kat sini! Tak ade aku sior ke kamu. Berambus dari ghomah aku ni!” jerkah Pak Ayob.
“Masuk aku kata! Aku tampo juge kamu ni karang!” tengking Pak Ayob lebih kuat kepada anaknya itu.
Syahirah terkedu dengan jerkahan ayahnya. Gagal mengawal luka hatinya dia segera berlari masuk ke rumahnya. Terhiris hatinya dengan perlakuan ayahnya yang langsung tidak berhati perut. Fakhrul hanya mampu menghela nafas panjang.
Serentak itu Pak Ayob meluru kepada Fakhrul.
“Kamu ni tak reti bahase, iye? Aku dah kabor jangan datang sini, kamu datang juge. Dah tak ade perempuan lain yang kamu nak himpit? Anak aku tu juga yang kamu cari. Tak sedar diri betul!” lantang suara Pak Ayob menjerkah sekalian tangannya ditundingkan kepada Fakhrul.
“Pak Ayob, saya..”
“Ira akan aku kahwinkan dengan orang lain. Kamu jangan cari dia lagi. Putuskan hubungan kamu dengan dia. Aku dah pilihkan Kahar untuk Ira..” Pak Ayob terus memotong tanpa menunggu untuk menyakitkan hati anak muda itu. Matanya melotot garang memaparkan kebencian yang tidak tersukat kepada Fakhrul.
“Tapi saya sayangkan Ira, Pak Ayob. Saya nak kahwin dengan dia...” sekali lagi Fakhrul mencuba nasib. Merayu. Manalah tahu kali ini Pak Ayob sudi menimbang semula keinginannya untuk bermenantukan Kahar.
“Hei! Hei! Kamu tu kalau tak ade duit, buat cara takde duit. Jangan berangan nak menikah kalau tak ada berduit. Kerja pun tak tentu hala, ada hati nak kahwin dengan anak aku. Sekejap kamu ada. Sekejap lagi bertahun-tahun kamu tinggalkan anak aku. Aku tak mahu anak aku hidup sengsara dengan jantan rupe kamu ni! Dahlah tak berduit! Keluarga kamu tu semua masih nak kena ditanggung! Ayah kamu tu harap tua aja tapi tak berguna!” cemuh Pak Ayob. Tangannya terus ditundingkan tepat ke wajah Fakhrul. Malah hanya tinggal setengah inci sahaja lagi tangannya itu akan menunjal wajah anak muda itu.
Tersirap darah Fakhrul mendengar Pak Ayob membahasakan ayahnya seperti itu. Kalau ikutkan hatinya sudah ditamparnya mulut lelaki tua ini. Namun mengenangkan Syahirah, dia bersabar lagi. Malah masih sempat dia meluahkan kata.
“Ini soal saya dan Ira. Jangan kaitkan ayah saya, Pak Ayob.”
“Kamu ingat cinta boleh kenyangkan perut anak aku? Cinta kamu tu boleh buat dia senang? Esok kalau dah susah dah tak ada duit nak makan, nak beli lampin anak... baru masa tu kome nak menyesal. Dah tak guna lagi nak menyesal!” herdik Pak Ayob semakin berang.
Fakhrul terkebil-kebil seketika dalam pada matanya memandang kosong wajah Pak Ayob. Lelaki itu sudah seperti singa lapar. Dikuatkan lagi hatinya untuk menelan setiap cemuhan lelaki tua itu. Hatinya bagaikan dilapah-lapah. Sakitnya seolah-olah tidak terperi!
“Berambus sekarang! Jangan kamu berani nak jejak kaki kamu ke sini lagi. Kalau kamu degil aku jumpa mak ayah kamu nanti, baru kamu tahu! Dasar tak tahu diri! Ada hati nak dekat dengan anak aku. Kamu ingat kamu ni siapa? Walaupun sepuluh kali muka kamu lawa pun... tapi kalau poket kamu kosong tak ada gunanya! Bukannya kamu boleh dapat barang di kedai free kalau kamu tayang muka kamu tu,” sambung Pak Ayob lagi.
“Pak Ayob, setahun aja lagi yang saya minta. Lepas tu saya akan pinang Ira. Berapa aja yang Pak Ayob minta saya akan sediakan...” rayu Fakhrul dalam kehampaan. Janji yang diukirnya entahkan boleh dikotakan entahkan tidak. Dia sendiri tidak tahu.
“Hmm.. aku dengar kamu nak ke Iraq ya? Kamu sibuk nak pergi berperang di sana tu, nak buat apa? Itu hal negara orang!” soalan itu kedengaran rendah namun memerli di pendengaran Fakhrul.
“Mak ayah saya tak pernah tanya apa tugas saya setiap kali saya ke luar negara, pak Ayob...” kata Fakhrul dalam nada mendatar.
“Tapi tempat tu bahaye. Kalau kamu mati tertembak nanti menjanda pulak anak aku tu. Koje macam kamu ni memang tak tentu masa... tak tentu selamat. Kalau kami mati kena tembak sekalipun duit pencen kamu tu tak cukup nak senangkan anak aku. Sudah! Aku tak mahu kamu harapkan Ira lagi. Kamu pun tak mampu nak sediakan duit hantaran yang aku mahu. Tak payahlah kamu nak berangan lagi.”
Fakhrul terdiam memandang lelaki di hadapannya itu. Hatinya teramat sakit. Terasa maruahnya dipijak oleh lelaki ini selumat-lumatnya tanpa belas kasihan. Dia tahu bukan mudah untuknya melembutkan sekeping hati yang dilitupi oleh kebongkakkan itu. Dia bukanlah orangnya yang tepat untuk melembutkan hati itu.
Dengan penuh kehampaan Fakhrul menghidupkan enjin motornya. Untuk apa lagi dia menanti jika dia hanya menadah dirinya untuk dicaci cerca seperti ini? Namun sempat dia memandang rumah mewah itu sebelum pergi. Di dalam hati terbias satu tekad. Tidak selamanya dia rela dirinya terus dihina. Tidak selamanya dia sanggup membiarkan maruahnya diinjak-injak oleh lelaki tua ini.
Dia tidak rela terus diperendahkan seperti ini. Sampai suatu masa dia akan membuka mata lelaki ini untuk melihat siapa dirinya.
‘Aku akan kembali!’ Itulah kata hatinya. Suatu hari nanti dia akan datang lagi tetapi dengan wang ringgit yang akan menimbus lelaki tua ini sewaktu di liang lahadnya nanti.
Itulah janjinya!

MAAFKAN Ira, abang..”
Ucapan Syahirah itu kedengaran tegar. Tanpa sedar dia sudah melapah-lapah sekeping hati sang lelaki yang datang membawa segunung impian kepadanya. Hari ini dia menghidangkan nestapa kepada lelaki itu. Sungguh, dia sudah tidak berdaya lagi untuk mempertahankan kasih sayang mereka. Desakan sang ayah dan kerapuhan perasaannya membuatkan dia nekad. Kahar diterima dengan kehendak hatinya sendiri.
“Ira dah nikah dengan Abang Kahar. Ira dah tak tahu apa lagi yang harus Syira buat. Maaf. Abang dah terlambat,” sambung Syahirah perlahan. Matanya memandang sang lelaki yang hanya tenang di hadapannya.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa retaknya hati lelaki itu mendengar permohonan maaf itu. Betapa sengsaranya dia menahan luka mengenangkan impiannya sudah pun berkecai seribu.
Alangkah terhinanya dia... setelah pulang dari jauh, dia dihadiahkan dengan hakikat ini. Fakhrul terkaku seketika di situ. Matanya terpejam seketika bagi menahan tekanan di dada yang seperti mahu pecah. Terasa mahu meraung namun suaranya bagaikan tiada saat itu. Malahan menelan pun dia seperti sudah tidak mampu. Namun sebagai seorang lelaki yang waras dia menarik nafas dalam-dalam agar segala yang ditahan tidak pecah saat itu.
“Abang...”
“Kenapa Ira tak beritahu abang?” ucap Fakhrul sedikit tenggelam suaranya. 
“Waktu tu abang di luar negara. Lagipun Abang Kahar baik. Ira tak sampai hati nak lukai hati dia.”
Bicara itu benar-benar menghancurkan jiwa sang lelaki. Dia baik dan kaya, makanya kau rela hancurkan hati aku? Kau kata dia baik, akhirnya kau pilih dia... detik hati lelaki itu.
“Tak apalah. Abang terima kalau inilah suratannya, Ira. Apa boleh buat.” Suara lelaki itu kedengaran teramat lirih saat itu. Mengungkapkan kenyataan itu memang mudah. Namun jiwanya yang menelan terasa amat sengsara.
Adakah sia-sia aku dihina selama ini? Hati lelaki itu menyoal sendiri.
“Kenapa abang pergi juga dulu? Ira dah..”
“Cukuplah!” pintas Fakhrul pantas. Syahirah terdiam memandang tampang yang sudah berubah keruh itu.
“Cukuplah. Tak perlu lagi kita pertikaikan apa-apa lagi, Ira. Anggap ajalah yang kita memang tak ada jodoh. Kalau abang jawab soalan Ira beribu kali pun, itu takkan mengubah hakikat ni. Hakikatnya abang memang tak pernah memiliki tempat dalam keluarga Ira. Abang memang bodoh! Tak pernah cermin diri selama ni!” pintas Fakhrul sedikit keras. Sedih hatinya saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Abang, jangan cakap macam tu. Ira tahu abang memang sayangkan Ira. Tapi Ira dah tak sanggup terus menanti lagi, bang. Mungkin pada abang, Ira ni kejam. Tapi Ira perlukan kehadiran abang di sini dengan Ira. Sayangnya waktu tu abang takde untuk menghadapinya bersama-sama Ira. Dengan Abang Kahar, Ira takkan selalu ditinggalkan begini. Mungkin inilah yang terbaik untuk kita. Lagipun Ira tahu abang takkan mampu menunaikan kehendak ayah Ira.” Syahirah segera menjelaskan kelogikan perbuatannya. Mungkin di mata lelaki itu, dia kelihatan kejam. Tetapi kali ini dia harus memilih yang terbaik untuk dirinya. Dia sudah penat menanti. Janji Fakhrul hanyalah janji. Tetapi Kahar adalah permulaan realiti. Itulah yang dilihatnya selama ini.
Bicara itu membuatkan Fakhrul membuang pandang. Kata-kata Syahirah sekadar menambah lagi luka di hatinya. Ya! Dialah yang gagal kini. Sebagai kekasih dia gagal mempertahankan kekasihnya disaat hubungan mereka sedang dilambung badai. Dia pergi jauh saat Syahirah memerlukan dirinya. Janjinya selama ini hanya mampu diluahkan di mulut sedangkan hakikatnya dia tidak mampu memiliki Syahirah. Dia tidak berkemampuan dari segi wang ringgit.
Kini... mata Syahirah sudah terbuka dengan luas untuk melihat hakikat itu.
“Tak apalah. Abang pergi dulu.” Fakhrul sudah tidak sanggup lagi untuk terus berada di situ. Sebelum segala kekecewaannya terhambur di situ lebih baik dia pergi sahaja. Penjelasan Syahirah yang selebihnya tidak lago diperlukannya.
“Abang... maafkan Ira.” Sekali lagi permohonan itu kedengaran.
“Untuk apa minta maaf lagi? Abang reda, Ira. Abang doakan Ira bahagia,” ucap Fakhrul sekadar dalam nada hambar sambil menghidupkan motornya.
Syahirah tidak terkata melihat gelagat lelaki itu.
Tanpa memandang lagi, Fakhrul segera memecut pergi. Namun akhirnya dia memberhentikan motorsikalnya setelah agak lama dia memecut selaju-lajunya tanpa arah tujuan. Di hadapan hamparan sawah padi yang terbentang luas, di situ akhirnya dia menumpahkan apa yang terkurung di jiwanya. Air matanya jatuh ke pipi. Satu persatu mengalir di wajahnya tanpa satu pun dapat disekanya. Dibiarkan sahaja agar suatu masa nanti dia tidak akan terlupa betapa sakitnya dia dengan setiap hakikat diberikan kepadanya hari ini.
Hari ini buat pertama kalinya setelah 26 tahun dia dilahirkan sebagai seorang lelaki, dia menangis kerana seorang wanita. Buat pertama kalinya sebagai lelaki, dia lemah dan kecewa kerana cinta seorang perempuan yang terlalu mahal untuk dimiliki.

Di keheningan malam yang hitam pekat..
Semua jemaah sudah pulang setelah selesai berjemaah untuk solat Isyak. Selesai bermunajat, Pak Wan bersama jemaah yang lain bangun untuk pulang ke rumah. Namun dia sempat terpandangkan anaknya itu masih berteleku di tempat yang sama. Tiada tanda-tanda Fakhrul mahu berganjak dari situ. Pandangan Fakhrul sedari tadi tidak berubah-ubah, hanya kepada mimbar di hadapan mereka itu.
Langkah Pak Wan terhenti. Dia terpaku seketika memandang Fakhrul yang masih bersila rapat di karpet itu.
Akhirnya Pak Wan mula mendekat, lalu berdiri di sebelah anaknya itu. Fakhrul hanya membisu seolah-olah tidak sedar akan kehadiran ayahnya di situ.
“Rul... mari balik, nak.” Ajakan itu hanya mendapat gelengan sahaja daripada Fakhrul. Dia hanya berteleku memandang kosong mimbar di hadapannya. Hatinya kosong sama sekali dan fikirannya melayang entah ke mana.
Pak Wan menghela nafas perlahan. Gelengan anaknya itu langsung tidak memuaskan hatinya.
“Jangan macam ni. Yang dah berlaku tu biarlah. Terimalah dengan hati yang reda. Semua ni ketentuan Allah. Allah tahu apa yang lebih baik untuk kita,” pujuk Pak Wan. Simpati dia melihat anaknya itu yang menderita kerana kecewa.
“Saya nak duduk sini sekejap, abah. Nanti saya baliklah. Abah jangan bimbanglah. Saya cuma nak bersendirian di sini,” balas Fakhrul lembut tanpa menoleh kepada ayahnya itu. Di rumah Allah ini dia mendapat sedikit ketenangan.
Namun saat itu Fakhrul terasa bahunya dipegang oleh tangan tua itu. Dia menoleh memandang abahnya itu. Matanya ditadah dengan renungan lembut sang ayah kepadanya. Dia tahu ayahnya bimbang dengan keadaan dirinya. Kemudian Pak Wan mula duduk bersebelahan dengannya.
“Mintalah kekuatan dari Allah untuk bersabar. Adukanlah kepada DIA akan kesakitan yang kamu rasakan di hati kamu. Allah lebih tahu tentang segalanya, Fakhrul. Ada sebab mengapa kita mendapat dugaan seperti ini. Percayalah... apa yang Allah sediakan untuk kamu kemudian nanti, tentunya lebih baik daripada pilihan kita sendiri. Banyakkan bersabar,” nasihat Pak Wan lembut.
Fakhrul mengangguk. Ya! Tiada apa lagi yang mampu dilakukan selain itu.
“Abah yakin... jodoh kamu pastinya dengan orang lain. Yang lebih baik dan sudah tentu perempuan tu dapat membahagiakan kamu melebihi dari apa yang pernah kamu rasakan sewaktu bersama dengan Ira. Redakanlah. Tak ada ujian yang Allah beri pada kita melebihi dari apa yang kamu mampu tanggung. Soal jodoh dan pertemuan, ini semuanya kerja Allah. Berbaliklah pada Allah,” tambah Pak Wan lagi.
“Kenapa waktu saya di luar negara, abah tak bagi tahu yang Ira dah kahwin? Kenapa selepas saya sampai semula ke sini, semua orang menguncikan mulut tetap tak mahu beritahu saya apa sebenarnya yang dah berlaku?”
Lelaki tua itu sempat menghela nafas perlahan sebelum menjawab kepada anaknya.
“Abah bukannya tak mahu bagitahu tapi abah tak sampai hati. Abah tak bagitahu sebab abah tak mahu kamu tertekan. Dan abah takut kerana hal itu kamu hilang arah. Soal Ira, abah mahu kamu dapatkan jawapan yang sahih dari mulut Syira sendiri. Sebab tu abah diamkan aja.”
Fakhrul diam sambil menunduk mendengar penjelasan sang ayah. Dia terasa mahu menangis. Rasa sebak kian mencucuk-cucuk dadanya. Namun berkali-kali dia menghela nafasnya agar dirinya tenang. Beginilah rupanya sakit setelah cinta tidak kesampaian. Alangkah payahnya dia untuk menahan dirinya daripada dikecewakan. Namun itu juga yang berlaku. Dia bertahan dengan kebencian Pak Ayob kepadanya sehingga sepuluh tahun lamanya. Namun akhirnya apa yang dipertahankan menyembah bumi juga penghabisannya. Dia yang nanar menahan rasa kecewa sedangkan Syahirah seolah-olah gembira meletakkan kesalahan itu dibahunya.
“Anggaplah ini sebahagian dari perjalanan hidup, nak...”
“Saya dah puas dihina, abah! Dia pandang rendah pada saya sebab saya hanya orang biasa-biasa! Saya bukan orang berduit. Saya sabar!” Tiba-tiba anak muda itu tunduk. Sebak mencengkam dada membuatkan dia sukar untuk berkata-kata. Pak Wan memegang bahu anak bujangnya erat-erat.
“Bersabar. Bersabar! Allah tahu itu, nak. Setiap takdir yang datang itu ada sebab, ada hikmahnya. Sabar,” ucap Pak Wan bersungguh.
Fakhrul menyeka air matanya setelah reda sedikit kesedihannya. Perlahan dia menarik nafas dalam-dalam. Berkali-kali dia beristighfar. Namun setiap kali itu dia terus ditekan oleh rasa terhina. Kata-kata Syahirah siang tadi juga telah membuatkan dia merasa diperbodohkan.
“Fakhrul, manusia sesama manusia memang suka memandang luaran. Itu lumrah. Kerana hanya Allah yang dapat melihat dalam seseorang. Apa yang penting kamu percaya diri kamu tidak rendah nilainya buat orang lain. Kamu seorang pegawai tentera. Kamu berjuang untuk orang lain. Itu satu kebanggaan pada abah yang membesarkan kamu selama ni. Abah tak pernah membayangkan kau jadi hebat supaya orang lain akan tunduk pada kehebatan kau. Tapi jadilah manusia yang mampu dibanggakan oleh diri kau sendiri. Orang lain tak akan pernah puas, nak. Orang lain tak akan faham kita begitu saja,” ujar Pak Wan perlahan.
Fakhrul diam. Namun sedikit kata-kata itu memberikan dia satu suntikan baru kepada jiwa yang sedang terumbang ambing. Pak Wan menepuk bahu anak lelakinua itu perlahan.
“Lupakan Ira. Dia bukanlah yang terbaik untuk kamu,” ujar Pak Wan lagi.
“Saya tak ada pilihan selain dari itu, abah.”
“Iya. Tapi jangan sesekali kau kesali semua ini. Seolah-olah Allah tak sayangkan kau. Apa yang terbaik untuk kau, Allah lebih tahu berbanding diri kau sendiri,” sambut Pak Wan.
Fakhrul mengangguk perlahan. Seketika kemudian wajahnya diraup dengan helaan nafas panjang. Mereka berdua bangun bersama.
“Hidup tak akan berhenti selagi Tuhan memberikan kita nyawa. Abah tak mahu kau berubah jadi orang lain supaya kau dapat membalas semula setiap kesakitan yang kau rasakan sekarang. Kau tak perlu buktikan apa-apa kepada sesiapa, Fakhrul. Kerana Allah tahu siapa kau sebenarnya,” ujar Pak Wan sebelum mereka memulakan langkah untuk pulang.







No comments:

Post a Comment