DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Lafaz Cinta Di Jari Manis - Bab 10

PINTU pagar yang ternganga kala kereta yang
dipandu Qistina memasuki halaman utama banglo putih
milik Zita sudah tertutup sepenuh. Dipandu penuh cermat
enjin jenama Jerman yang cukup terkenal ini memasuki
kawasan garaj yang turut sama menempatkan sebuah
Lexus LS milik Azhar. Qistina tekan punat di tangan
sambil kaki melangkah perlahan menuju ke pintu utama
banglo yang didiami sejak kembali ke Kuala Lumpur.
BMW Zita yang terparkir ditoleh sekilas sebelum
kembali meneruskan langkah yang terhenti. Salam dilontar
perlahan sebelum tangan mencapai tombol pintu. Azhar dan
Zita juga Maisarah yang bersantai di ruang tamu utama
sambil menonton hanya disapa dengan senyuman dan
lambaian tangan. Tidak pula mahu menyertai mereka.
Tidak sekarang. Moodnya sedang tidak tentu arah
sekarang. Jiwanya sedang kacau! Tidak mahu nanti akan
dikesan Zita mahupun Azhar. Tidak, tidak! Tidak mahu nanti
akan timbul rasa bimbang di hati Zita. Sahabat baiknya ini
sudah cukup baik meladeni diri Qistina dan masalah yang
mengepung hidupnya tanpa jemu. Kaki dihayun terus
menaiki tangga. Dia mahu segera mencari katil. Mahu
merebahkan tubuh. Mahu meredakan segala beban perasaan
yang berantakan di dalam dada. Mahu melupuskan segala
yang dialaminya sebentar tadi. Mahu membuang jauh jauh
wajah itu. Mahu melupakan semua yang dilafazkan bibir itu
sebentar tadi. Mahu membenamkan renungan sepasang mata
juga senyuman manis itu dari terus menabir di jendela hati.
Pintu bilik kian dihampiri.
Sepasang mata Zita masih jeda memandang
ke arah tangga biarpun bayang Qistina sudah lama tenggelam
dan menghilang ke tingkat atas. Dadanya bergetar. Senyum
Qistina sebentar tadi kala mereka berpandangan dari
jauh sedang ditafsir. Akal sedang merangka tanggapan.
Bermacam-macam. Cuba dicari dan dipadankan dengan apa
yang terlintas di hati kecil. Zita tahu ada sesuatu yang telah berlaku.
Ada sesuatu pada garis senyum yang dilontarkan Qistina
sebentar tadi. Zita sungguh-sungguh yakin dan pasti
ada sesuatu telah menimpa Qistina. Sesuatu yang
mengganggu jiwa halus teman baiknya itu.
Azhar tenang memandang Zita yang masih tunak
merenung tangga. Kelibat Qistina sudah lama hilang. Hairan
juga dengan sikap isterinya yang masih setia memandang
ke arah tangga sejak tadi. Pasti ada sesuatu yang sedang
berputar di dalam fikiran Zita. Dibiarkan dahulu kerana Zita
pastikan akan membuka mulutnya sebentar nanti. Mata
dihala kembali ke skrin empat segi di hadapan sambil
menatap reaksi Maisarah yang ketawa melihat aksi Upin
dan Ipin. Ulas anggur di tangan dirungkai perlahan dari
tangkainya
“Har...”
“Hmm...” Mulut dinganga lantas membenamkan
seulas anggur hijau dari segugus yang dihulur Zita sebentar
tadi.
“Did you see what I see just now.” Mata Zita masih
takzim ke arah tangga dengan tapak tangan menepuk
peha Azhar perlahan. Dijengah wajah suami
di sebelah yang sedang melayan gugus anggur.
“Meaning?” Mulut Azhar masih terus mengunyah.
Hmm, manis masam pula anggur ni. Masamnya lebih
daripada manisnya. Azhar tilik gugus anggur di tangan.
Diseru nama anak gadisnya itu seraya dihulur pada
Maisarah. Laju kepala Maisarah menggeleng dengan
lidah dijelir. Jari telunjuk dihala kepada Azhar. Azhar ketawa.
Bahasa mudah Sarah. Tak nak, masam...papa makan
semua. Ni mama Sarahlah yang suruh papa beli ni. Mengidam
nak anggur hijau yang besar, bulat dan takde biji. Kata baby
nak makan. Puas juga Azhar mencari. Akhirnya jumpa juga di
KLCC. Tapi tulah… macam nilah rasa dia. Azhar tengok Zita
laju saja mengunyah tadi. Sedap kata isterinya itu. Siap suruh
Azhar beli lagi esok. Beli banyak sikit. Ni tak cukup. Sekali
hadap mesti Zita boleh habiskan. Azhar senyum bila Zita
selamba lontar kata. Siap ditarik hidung mancung Zita yang
comel.
Zita tatap terus wajah Azhar. Dua pasang mata kini
bertentangan.
“Khal...”
Azhar kerut dahi. Khal? Ulas anggur terakhir
dilontar masuk ke dalam mulut. Laju dikunyah. Mata terlus
ke arah wajah Zita yang sedang merenungnya. Sedang
menagih susulan kenyataan daripadanya tentang subjek
yang disebutkan sebentar tadi. Apahal pula dengan hero
handsome tidak berapa nak matang itu. Azhar hanya
tahu kisah Qistina dan Khalish daripada Zita.
Sejak mereka mula-mula berkahwin dahulu
hubungan isterinya dengan Qistina terjalin erat biar cuma di
pentas maya. Daripada Zita, Azhar diberitahu Qistina kawan
baiknya sejak di zaman sekolah lagi. Dan daripada Zita,
dia kenal Annur Qistina dan Khalish Ariq. Daripada Zita
jugalah Azhar tahu kisah hubungan antara kedua-duanya.
Segala-galanya. Manis awalnya yang dinoktahkan dengan
titik yang cukup tragis. Kisah hubungan dua hati yang
sewajarnya tidak berakhir sedemikian rupa. Bagi Azhar
hanya satu perkataan mudah untuk menyatakan tentang
lelaki itu. Khalish memang tolol!
“I didn’t get you. Why, Khal?”
Zita pusing tubuh mengadap suaminya itu.
Tangan Azhar dielus lembut.
“Har… Khal mesti dah dapat jumpa Qis. I knew it.
200% sure. Tengok muka Qis tadi I dah dapat agak.”
Oh, itu sebenarnya. Tapi Azhar macam tak rasa
itu jawapan kepada perlakuan Qistina sebentar tadi.
Senyum, lambai dan menonong sahaja naik ke atas.
“Maybe not, sweetheart. Maybe she’s tired and
wanna have a rest. Kerja sampai malam. Penat jangan
cakap. Penat otak... penat badan. Ingat nak rehat, weekend
pun kena kacau. Nak tolak tak sampai hati sebab kawan baik
dan bos yang ajak.” Zita yang beritahu Azhar tentang hal itu
bila dia bertanya di mana kereta Zita ketika dia keluar ke
garaj mahu mengambil sesuatu dari Lexusnya. Terkejut besar
Azhar bila mendapati BMW isterinya itu tiada di parkir garaj.
Zita geleng kepala. Dia cukup kenal Qistina.
Sikap dan perangai Qistina sudah cukup masak di hati Zita.
“No, Har. I knew is Khal. Maybe…maybe he had done
something to Qis. Or…he did say something bad to her. Isy, Khal
ni…menyampah betullah I.” Bibir Zita diketap. Tangan Azhar
ditepuk perlahan. “ I naik atas kejap tengok Qis ya. Maybe she
need someone to talk.” Zita bangkit daripada duduk.
Azhar menggeleng. Tangan Zita lembut dicapai.
Digenggam. Enggan membenarkan tindakan Zita. Kerut di
dahi Zita dibalas dengan kenyataan agar jangan diganggu
gadis itu. Jika apa yang disangka Zita benar, pasti Qistina
mahu bersendirian seketika. Pasti Qistina mahu
memenangkan hati dan perasaannya yang mungkin
telah terganggu atau seperti kata Zita tadi yang si dia,
‘may have done something’, kepada Qistina.
“Let her be alone. She need it, dear.”
Zita lepas nafas bimbang. Risau.
“But Har… I’m worried. Qis tu hati dia lembut.
Perasaan dia halus. Nampak aje kuat. Entah apa si mangkuk
tu dah buat agaknya. Jangan-jangan dia ada kata sesuatu
yang teruk kat Qis ni. Muka Qis tadi memang nampak
sedih aje walau dia cuba senyum. I kenal sangat Qis, Har.
Dia selindung macam mana pun I tahu. I tak mau Qis
bersedih lagi. Dah cukuplah lima tahun dia tanggung
semua kisah sedih dek kerja bodoh si mangkuk Khal tu.”
Mangkuk? Azhar senyum dalam hati dengan
kata spontan Zita. Isterinya ini adakala memang spontan
sungguh. Azhar paut tubuh Zita. Dielus hujung rambut
isterinya yang terbuai di lantai bahu.
“Trust me, sweetheart. She’ll speak to you on
this once she’s okay. Bagi dia peluang untuk selesaikan
sendiri. Bagilah dia masa untuk lepaskan semuanya. Bagi
dia masa untuk tenangkan diri. Dia perlukan masa untuk
bersendiri. Kita jangan ganggu dia dulu, okey.”
Zita lepaskan nafas perlahan-lahan. Dijatuhkan
kembali punggung di sebelah Azhar. Tangannya masih erat
digenggam Azhar. Bahunya dipaut dan dielus perlahan.
Bisikan Azhar di telinga cukup jelas. Let her be with
herself. She need it... she need time to be alone.
TAS tangan beg Coach dilurutkan dari bahu. Langkah
dibawa ke meja hias di tepi pintu. Diletakkan tas tangan
kesayangannya di lantai meja. Ditarik deras tudung lalu
diletakkan di bahu kerusi di hadapan meja hias. Langkah
dibawa laju ke katil. Direbahkan tubuh. Langit siling
dipandang. Kosong.
Degup nafas sudah tidak tentu hala sejak tadi.
Mata terpejam seketika. Cuba ditenangkan rasa yang libang
libur. Istighfar berulang-ulang meniti di ulas delima. Nafas
kembali beralun perlahan. Kitaran masa kembali menerjah
ruang fikir. Dia jauh dibawa ke awan masa silam. Jauh.
Mata Zita sedikit terbuntang. Tubuh Qistina
yang melintasi masuk ke dalam bilik mereka ditatap
tunak. Lontaran kata-kata Qistina yang baru pulang dari
keluar bersama Khal cukup mengejutkan.
“Khal suruh kau pakai tudung?”
Bibir Qistina menjuih muncung. Kepala diangguk
laju. Suara lembut masih terjeda.
“Apasal tiba-tiba aje suruh kau bertudung.
Selama ni elok aje dia layan kau aku tengok. Tak ada pula
dia tegur kau tak bertudung atau cakap pasal ni pun.
Bukan main puji lagi rambut kau. Cantik, seksi.” Zita terus
mengasak. Tidak puas hati. Qistina sudah sedia maklum
yang Zita memang tidak begitu setuju perhubungannya
dengan Khalish walau sudah dinyatakan dan diyakinkan
lelaki itu yang terbaik buatnya.
Sikap Khalish yang terlalu mengawal Qistina bagi
Zita amat keterlaluan. Kata Zita Khalish sewajarnya percaya
dengan sesungguhnya kepada Qistina. Hati perempuan seperti
Qistina ni kalau dia sudah kata sayang dan cinta kepada lelaki
yang satu itu, pasti dia akan kotakan. Mustahil dicurangi
lafaz janji itu. Biar dibariskan lelaki setampan bidadara
sekalipun hati Qistina akan tetap memilih Khalish.
Qistina tahu jauh di sudut hati Zita, temannya ni
sentiasa mendoakan kebahagiaannya. Bukti biar dia tidak
bersetuju dengan pilihan Qistina, biar dia tidak begitu
sukakan Khalish tidak pernah sesekali dia meminta Qistina
meninggalkan Khalish. Kata Zita dia akan mencapai bahagia
jika Qistina juga menggenggam bahagia.
“Sungguh-sungguh ke ni?” Zita masih terus
mencari jawapan. Tubuh Qistina terus dipandang.
“Ya. Siap pakai sebut hukum. Bawa ayat al-Quran
bagai. Dah sama macam ayah aku juga. Ngeri tahu.”
Satu demi satu bilah kata terlompat dari bibir merah jambu
mungil Qistina. Langkahnya satu per satu dihayun perlahan ke
katil di hadapan.
Zita pusing tubuh dari duduk yang tadinya
mengadap ke dinding meja belajarnya. Buku statistik di
tangan ditutup. Dua kaki diangkat ke atas. Dilipat ke riba.
“Peliklah. Khal tu apa hal sebenarnya? Atau dia…”
Ditenung tubuh kurus Qistina yang kian menghampiri
katil. “...ada benda lain dah jadi ni? Khal tu mesti ada sesuatu
dalam kepala. Bukan aku tak kenal dia.”
Qistina hembus nafas. Langkah longlai dibawa
ke katil. Dihempaskan tubuh. Terlentang di ranjang yang
cuma berbalut cadar putih. Kaki terjuntai ke bawah.
Dibalut raut wajah dengan dua tapak tangan. Dipejamkan
mata. Dilontar hembusan sekali lagi. Kali ini lebih kencang
hingga menampar ke cuping Zita.
“Qis...” Qistina tahu Zita masih tidak puas hati. Sah
dalam kepala temannya itu akan cakap tak kira. Nak korek
juga. Qistina bukan tidak kenal sikap tidak putus asa Zita.
“Ya..”
“Takkan kau tak dapat agak sebab apa tiba-tiba dia
suruh kau bertudung ni.”
“Maybe he jealous...”
“Jealous?” Terbeliak kembali mata Zita. Dipandang
wajah Qistina yang sudah terbaring di hamparan katil.
Qistina dilihat mengangguk lesu. Dahi Zita berkerut halus.
“Sebab apa pula kau cakap macam tu?”
Qistina terjeda. Tidak memberikan apa-apa balasan
pada pertanyaan Zita. Tubuh yang berbaring kini ditegakkan.
Dilipat dua belah kaki ke atas. Dua tangan diletak di bawah
dagu.
“Zie...” Kepala Zita terangkat sikit. Kening turut
terjongket.
“Aku ni...” Mata Qistina jatuh pada wajah Zita
yang memandang tunak. “…cantik sangat ke?”
Kepala Zita dilihat mengangguk laju sambil
tersenyum. Dilihat Zita mula bangkit dari duduknya
menuju ke arah katil. Tubuh Zita dilabuhkan di sebelah
Qistina. Bahu Qistina dipaut mesra.
“Bukan cantik, Qis... tapi sebenarnya sangat cantik.
Tak berkelip mata orang yang pandang kau. Siap tertolehtoleh.
Tahu tak budak-budak mekanikal panggil kau apa?”
Qistina menggeleng. Langsung tidak tahu menahu tentang
perkara ini. Selama menjadi rakyat di universiti ini dia mana
ada masa untuk bermesra-mesra dengan rakan sefakultinya.
Usai kelas dia akan terus sahaja keluar menghabiskan masa di
perpustakaan.
Dia tidak selincah Zita yang punya skop pergaulan
yang jauh lebih luas. Dengan siapa sahaja di boleh jadi kawan.
Sebab itu agaknya dia mudah saje menerima Zita yang mesra
dan lincah sebagai temannya sewaktu di sekolah. Dan hingga
kita Zita kekal menjadi sahabat baiknya selain Layla yang samasama
dikenali di sekolah.
“Anak patung hidup.”
Qistina kerut kening. Anak patung hidup? Dia…
anak patung?! Bukankah itu juga yang dikatakan Khal tadi.
“Macam Barbie Doll?”
Zita angguk. Senyum.
“Nak sebiji pun..cuma rambut kau tu aje yang tak
blonde. Kalau tak, sah orang ingat Barbie Doll tu hidup.”
Qistina raup muka.
“Kenapa?”
Qistina geleng kepala. Kata-kata Khalish tadi
kembali terlayar di mata. Bilah bicara daripada bibir lelaki
yang amat dia cinta itu kembali terngiang-ngiang di cuping.
Rupa dan penampilan dirinya ini rupanya menjadi satu
ancaman pada perasaan lelaki itu. Qistina masih sukar
menghadam kenapa perlu ada rasa sedemikian di dalam
hati Khalish. Bukankah selama ni sudah dikatakan kepada
Khalish agar percaya pada cintanya percaya kepada Qistina.
Di dalam hati dan jiwa Qistina hanya ada Khalish. Sampai bilabila.
Sampai mati!
Kelopak mata terbuka. Siling putih susu yang
dihiasi candelier ditatap tidak berkelip. Warna jingga
candelier itu ditenung lama. Dalam-dalam. Jingga yang
makin kelam lalu memercik bias kemerah-merahan
disegenap ruang bilik. Qistina telan air liur. Ada rasa yang
kembali menerjah di dada. Rasa yang mengumpil dari dalam
jendela jiwa. Hati bagai terhiris kembali. Dalam. Sakit.
Terlalu sakit.
Kenapa tak percayakan Qis, Khal. Kenapa?!
KHALISH capai gelas tinggi di depan. Titis dari dindingnya
yang berpeluh dibiarkan membasahi ke tapak tangan.
Pandangan Ray di sebelah dibiarkan sahaja. Disua ke bibir.
Laju aliran lemon juice terjun memasuki lorong
kerongkong. Suku sahaja lalu ditarik muncung gelas
dari bibirnya. Diletakkan kembali di hadapannya.
Bekas bakul comel berisi kacang di depan dicapai.
Dilontar laju ke dalam.
Ruang udara Ovo Live Bistro cukup meriah. Khalish lebar
senyum melihat DJ yang rancak berceloteh sambil berkata
akan memutarkan rangkaian lagu-lagu malar segar buat
pengunjung bersesuaian dengan tema Oldies-The Evergreen
untuk malam ini.
“Kau terjah masuk dalam kereta dia?”
Senyum. Dilontar lagi kacang ke dalam mulut.
“Gila kau, Khal.”
Khalish ketawa.
“Aku memang gila pun. Gilakan dia.”
Rayyan geleng kepala. Mata dilontar pada wajah
tampan di sebelah.
“Really crazy, man. Kalau dia menjerit sah-sah kau
mampus kena seret ke balai. Jangan harap aku nak jamin kau
keluar lokap. “
Ketawa lagi.
“Yup. I am. The crazy virus exist because of her.”
“Kau jangan lupa kau yang buang dia dulu.
It’s you, Khal. You start the fire.”
Angguk. Gelas jus lemon dihirup lagi. Rakus.
“Those was my bad day, Ray. Admit it.” Tangan
menggamit seorang pelayan dengan gelas diangkat
sedikit. Isyarat mahukan jus lemon yang kedua.
Rayyan geleng kepala lagi. Sah gila dah kawan
baiknya ini.
“Senang kau cakap, kan. Tapi yang pasti dia takkan
maafkan kau semudah macam ni..” Dicapai butir
kacang lalu dilontar ke dalam mulut. Khalish angguk.
Setuju. “Yup. I knew. But I knew one thing for sure…”
Rayyan terus memandang. Menanti. Mata sempat
menjelajah ke sekitar ruang Ovo yang mulai bingit dengan
suara para pengunjung yang tenggelam timbul.
Khalish senyum. Wajah Qistina sedang terlayar
di minda. Kerlingan Qistina sedang menari di mata. “She
still love me, Ray. She still. Her eyes can’t denied it.” Rayyan
tatap wajah Khalish yang tenang di sebelah. Dicapai cawan
latte di depan. Disua ke bibir. Wajah cantik dan keanakanakan
Qistina terlayar di ruang fikiran.
Qistina yang lembut. Qistina yang patuh. Qistina
yang setia. Gadis itu tidak pernah bersalah selama ini.
Qistina tidak pernah mencurangi hubungan kedua-duanya.
Rayyan tahu Qistina hanya berada di tempat yang salah padan
waktu yang salah. Yang pasti Qistina berada di situ atas tiket
tuntutan tugas. Bukan sebab lain. Hanya salah faham
Khalish ditambah cemburunya yang menggunung
memburukkan keadaan. Dan di saat semuanya terbongkar
Ray tahu Khalish sudah terlewat.
Qistina sudah jauh membawa diri dan hati yang
parah terluka. Tawaran dari pejabat di seberang laut tepat
pada waktu. Qistina pergi. Langsung tidak menoleh.
Dan langkah Qistina tak terdaya dituruti Khalish akibat
ego diri yang kuat memasung. Namun Rayyan tahu jauh
di lubuk hati Khalish, lelaki ini tidak pernah melupakan
Qistina. Dan hingga kini hanya nama itu yang terus
bertakhta di jiwa dan tertulis di hati Khalish.
Lelaki ini tidak mungkin boleh melupakan gadis yang
sudah menguasai hati dan jiwanya sekian lama. Nama yang
menjalar di seluruh urat nadi, meniti di setiap aliran darah,
berhembus di setiap helaan nafas, berdegup di setiap denyut
jantung.
“Pandangan mata tak semesti betul, bro. Kau kena
tau Qis sekarang bukan Qis yang kau campak lima tahun
dahulu. Qis yang dahulu mungkin dah jauh berubah, Khal.
Tak semudahnya dia akan lupa apa yang kau dah buat.
Memaafkan kau juga tak semudah itu. Hati perempuan ni
sedalam lautan, nampak tenang tapi di dasarnya kau takkan tau.
Mungkin tenang... mungkin berkocak... mungkin juga
bergelora.”
Khalish campak sebutir kacang ke dalam mulut.
Dikunyah perlahan. Kata-kata Rayyan berkumandang di kepala.
Terngiang-ngiang di cuping. Tidak dinafikan apa yang
dikatakan teman baiknya ini semuanya benar. Dia jangan
mengambil mudah. Qistina yang ditemui pagi tadi mungkin
bukan ‘Qistinanya’ lima tahun dahulu. Segala yang berlaku
antara mereka tidak akan dilupakan sebegitu mudah oleh
Qistina. Memaafkan Khalish juga belum tentu.
“Aku tahu, Ray.” Khalish mengangguk perlahan
sebelum menyambung bicara.” Aku tahu tidak mudah
untuk dia maafkan aku atas apa yang sudah aku lakukan
dahulu. Aku tahu dia memang terluka sangat. Aku memang
bodoh.” Khalish hela nafas dalam. Dihembus semula.
Hakikat cabaran untuknya meraih kembali Qistina tidak akan
semudah dahulu. Seperti kata Ray, lima tahun pasti sudah menjanjikan
sebuah perubahan diri seorang Annur Qistina.
“Tapi…” Dilepaskan bilah-bilah nafas yang
tersangkut. Payah sekali. Ada rasa keras yang menghentam
jendela hatinya. Khalish tidak mahu mengalah. Dia tahu dia
perlu berusaha gigih kali ini. “Aku akan lakukan apa
sahaja untuk menangi hati Qis semula. Akan aku lakukan
apa sahaja untuk meraih ampun maaf daripada dia. Kalau
perlu melutut di depan khalayak ramai aku akan buat. Apa
sahaja aku sanggup.” Diraup wajah dengan tapak tangan.
Khali sesaat. Rayyan hanya jeda. Memberi ruang buat
seketika. Menanti bicara Khalish selanjutnya.
Khalish melihat ke hadapan. Merenung tabir masa
depannya bersama Qistina. Dia sudah punya peluang itu
dahulu namun kerana kebodohan diri peluang itu terlepas.
Untuk meraihnya kembali, cabaran getir pasti menanti
dan Khalish sudah menanam tekad akan melakukan apa
sahaja untuk meraih kembali cinta Qistina.
“Aku tak sanggup lagi hilang Qis untuk kali kedua.
Aku tak sanggup hilang dia lagi dalam hidup aku, Ray. Qis
segala-galanya buat aku...buat hidup aku selama ini. Aku
tau ego aku selama ni memakan diri. Depan kau… depan
yang lain aku cuba berbohong… tapi aku tak boleh tipu
diri aku sendiri, Ray. Aku tak boleh. Masa kau cakap dia dah
balik hati aku ni macam nak melompat keluar. Tak
tergambar gembira. Aku rasa doa aku selama bertahun-tahun
Allah sudah makbulkan.
Akhirnya dia balik juga. Dan aku akan tebus khilaf
aku pada dia walau apa cara sekalipun Ray. Kalau Qis hendak
jatuhkan hukuman pada aku, aku sanggup. Dia sudah balik...
dia sudah ada depan mata dah cukup buat jiwa aku kembali
bernafas.” Tapak tangan Ray singgah di bahu. Ditepuk
penuh semangat. Tanda sokongan. Tanda dorongan. Tanda akan
sentiasa bersama di sisi biar apa pun juga keputusan Qistina
nanti.
“WHO?” Qistina angkat muka. Anis yang berdiri dipalang
pintu ditatap. Fail di tangan masih dipegang. Tadi saat
di tengah leka meneliti dokumentasi baharu yang
diberikan kontraktor pintu biliknya diketuk oleh Anis;
setiausaha Kamal memberitahu ada seseorang mahu berjumpa
dengannya. Wajah Anis dirasakan seperti lain sahaja.
Pelik sungguh. Anis kan kecoh apabila tiba-tiba dia jadi
seperti budak yang baharu memulakan alam darjah satu
Qistina memang rasa begitu pelik.
“Err.. actually Qis…he is...”
Dan belum pun habis pertanyaannya dijawab oleh
setiausaha ketuanya itu, mata menangkap jelas sekujur
tubuh berkemeja biru dengan tali leher warna sedondon
dengan rona yang lebih gelap tiba-tiba muncul di belakang
Anis dan berdiri di depan pintu biliknya yang ternganga.
Qistian tersentak namun cuba dikawal diri agar bertenang.
Dia tidak akan sesekali tewas kepada insan di hadapannya
ini. Lontaran nafas dikawal. Degup jantung dibawa meniti
perlahan.
Etika dan integritinya sebagai profesional di
syarikat ini harus dijaga. Tetamu harus dilayan dengan
baik sekali! Kerdipan mata dihala kepada Anis yang jelas
memapar riak risau, gusar, dan bimbang. Seperti biasa
senyum dilontar. Anis tidak harus dibebani rasa bimbang.
Qistina tidak mahu Kamal diberitahu. Makin haru nanti.
Isyarat senyum manis itu mudah difahami Anis. Qistina tahu
itu. Ia menyatakan dia okey. I can handle him, Anis!
Mata dilontar pada wajah yang takzim bersandar di
pintu.
“Do you have an appointment, sir?” Sengaja
ditekan perkataan ‘tuan’ itu. Sah, mesti si Shim yang bagi dia
naik ni. Shim, what have you done, girl…
“Well… you just did miss...” Dan tanpa dipelawa
susuk tubuh tampan dan segak itu bersahaja pula
melabuhkan duduk di hadapan Qistina. Nafas dihela
perlahan. Cuba bertenang walau hakikat sebenar Qistina
rasa jantungnya mahu melompat keluar! Tidak menyangka
seberani ini lelaki yang sedang duduk di hadapannya ini
bertindak. Mata dihumban lagi ke arah raut tampan di
hadapan. Qistina sedang sedaya upaya mengawal debaran di
dada. Mata mereka saling bersabung pandang.
“What can I do for you, Mr. Khalish Ariq?”
Khalish lontar senyum manis pada wajah cantik
bertudung biru di hadapan yang jelas sedang mengawal rasa
terkejut yang teramat dengan kemunculannya yang tiba-tiba.
Sedondon mereka hari ini. Macam berjanji pula, kan. Hati
sedang tersenyum lebar.
“It’s not what you can do for me, dear. It’s suppose to
be what I want from you. And my answer is…I want you. Only
you, Annur Qistina. No matter how...like it or not.”
Qistina ketap bibir. Gila!

No comments:

Post a Comment