DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Google+ Followers

Wednesday, 31 December 2014

Dekat Padamu - Prolog



“KE mana pulak Shafiq ni?” soalnya sendiri apabila dilihat rumah usang peninggalan arwah ayah dan ibu mereka gelap tidak bercahaya. Beg yang dijinjing dari tadi diletak di atas tangga. Terasa lenguh tangannya membawa beg itu dari jalan besar ke rumah mereka sejauh hampir setengah batu. Bas memang tidak masuk ke dalam kampung, hanya setakat jalan besar di luar itu sahaja. Itu pun sejam satu. Asyik bersungut, tetapi situasi itu tidak akan berubah kalau tiada tindakan daripada wakil daerah di situ. Beg sandangnya dibiarkan di belakang badannya.  

Sepatutnya dia sudah sampai tengah hari tadi. Tetapi disebabkan bas yang dinaiki rosak, dia dan penumpang-penumpang lain terkandas di hentian Rehat dan Rawat Behrang.

“Shafiq... Ika dah balik ni!” pekiknya sambil memandang ke atas. Terasa pelik dengan tingkap rumah yang terbuka. Masakan abang kembarnya tidur di waktu itu. Tiba-tiba
perutnya berbunyi-bunyi. Aduh, dia masih belum makan dari tengah hari tadi. 


“Shafiq!” Lantang suaranya membelah suasana malam. 

Hening dan sepi sebaik saja dia senyap. Ada rasa takut menyelimuti hati dan dirinya. Dia memandang sekeliling. Kelam dan gelap. Hanya lampu neon di tepi jalan yang membiaskan cahaya yang berbalam-balam.

Geram pula dia apabila panggilannya tidak disahut oleh Shafiq. Dia menghela nafas dengan kasar. Penat dan lapar. Kalau Shafiq tidak memasak, bermakna terpaksalah dia yang memasak. Sekali lagi dia mengeluh berat. Beg yang diletak di tangga diangkat dan dibawa naik ke atas. 


Pintu berkeriut apabila ditolak perlahan-lahan. Kecut perutnya mendengar bunyi sebegitu. Terasa seperti memasuki suatu tempat yang agak menyeramkan. Dia menggeleng sendiri. Entah ke mana abang kembar merayap sampai pintu tidak dikuncinya. Suis lampu di buka, tetapi tiada lampu yang bernyala. 

“Kenapa pulak ni?” soalnya sendiri. Beberapa kali lampu itu dibuka dan ditutup suisnya. Agaknya Shafiq tak bayar bil elektrik? Soalnya sendiri. Melihatkan lampu di jalan bernyala walaupun suram, dia pasti sangat yang lelaki itu tidak membayar bil elektrik. Aduh! Macam mana ni? Bergelaplah mereka malam itu, gumamnya sendiri. Menggunung rasa marahnya terhadap Shafiq. Mujurlah biasan lampu dari jalan yang suram menjadi penyuluh untuknya bergerak.  


Ooo... baru dia teringat yang dia ada membawa pulang lampu membacanya yang menggunakan bateri. Segera diselongkar beg pakaiannya tadi untuk mencari lampu picit yang sering dibawa ke mana sahaja. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia suka membawa lampu picit itu. 

“Hah, jumpa pun!” ucapnya dengan nada gembira. Shafiqa menyuluh persekitaran ruang dalam rumah itu. “Ya Allah!” Gamam melihat suasana ruang tamu yang bersepah.

Almari yang menempatkan pinggan mangkuk arwah emaknya pecah dan pinggan-pinggan di situ banyak yang sudah tiada. Adakah rumah mereka dimasuki perompak? Kerusi rotan, tunggang terbalik dengan kusyen yang bersepah-sepah. Dia menerpa ke biliknya yang gelap.
“Apa ni?” soalnya sendiri. Bilik itu bersepah-sepah dengan baju-bajunya. 


Kemudian dia ke bilik Shafiq pula. Tetapi terhenti apabila terdengar seperti gerakan dari dalam bilik itu. Segera dia menutup lampu yang berada di tangannya dan berundur perlahan-lahan, menjauhkan diri dari bilik abang kembarnya. Mungkinkah itu perompak yang sedang mencari-cari barangan berharga di rumah mereka. Shafiqa cuba mencari tempat untuk bersembunyi.

“Ika...”  Dia kenal dengan suara itu. Shafiq, desisnya sendiri. Pantas dinyalakan kembali lampu picitnya dan menyuluh ke arah Shafiq sambil menghampiri lelaki itu yang berdiri tidak jauh darinya. Terkejut dia melihat keadaan Shafiq. Kenapa kurus sangat lelaki itu? Wajahnya cengkung sekali. Tiba-tiba dia menjadi kecut. Langkahnya terhenti dan segera berundur setapak ke belakang. Dia dapat merasakan yang lelaki itu akan menyerangnya bila-bila masa, melihatkan air yang meleleh dari hidung Shafiq yang sentiasa dikesat dengan pergelangan tangan. Dengan kuku yang panjang, mata lelaki itu tidak seperti dahulu; jernih dan lembut renungannya. Tetapi kini seperti jerangkung. Adakah Shafiq seorang penagih? Dadanya berdebar. Rasa takut dan cemas berkecamuk menjadi satu di hatinya. Mahu sahaja dia  terjun ke bawah saat itu. Tetapi dia membawa dirinya untuk bertenang.

“Shafiq. Kenapa ni?” soal Shafiqa sekali lagi cuba mengesahkan apa yang dilihatnya di hadapannya kini.  Benarkah ini Shafiq? Soalnya lagi.


 “Ika aku nak duit.” Shafiq menghampiri Shafiqa yang sudah mula berundur apabila dia cuba menghampiri adiknya itu. 

Mendengarkan permintaan Shafiq, dia membenarkan apa yang sedang difikirkan sebentar tadi. Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? Soalnya sendiri. Hatinya sedih.

“Ika tak ada duit, Shafiq.” Kata Shafiqa terus berundur menuju ke pintu yang masih terbuka.

Shafiq meraup rambutnya dengan kasar. Badannya mulai seram sejuk dan sesekali  mengesat hidungnya yang berair. Sudah dua hari dia tidak mendapat benda itu. 

Bohong! Kau banyak duit,” sergah Shafiq yang tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Langkahnya laju mendapatkan Shafiqa. Sempat dia mencapai beg sandang yang berada di belakang adiknya sebaik Shafiqa hendak melarikan diri. Shafiqa terjatuh dan lampu picitnya tadi jatuh bergolek entah ke mana, begitu pun lampu itu tidak terpadam.

“Ika tak ada duit. Ika balik ni pun nak cari duit.” Shafiqa cuba untuk bangun tetapi Shafiq menahannya. 


“Aku tahu kau banyak duit. Kau balik bawak duit kan?” kata Shafiq dengan kasar. Kini dia sudah pun duduk di atas perut adiknya, memandang tajam ke wajah Shafiqa. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini, rintihnya sendiri. Dia tidak tahu dan tidak dapat menjangkakan apa yang hendak dilakukan oleh Shafiq. Adakah dia akan dibunuh oleh kembarnya? Air matanya sudah bergenangan di tubir mata.

Ibu, ayah, rintihnya sendiri. Dia cuba untuk bangun. Tetapi kepalanya ditolak oleh Shafiq dan terkena kepada dulang ayan peninggalan arwah ibu mereka. Pantas sahaja ideanya menerjah fikirannya. Dicapai dulang itu dan berharap ia dapat membantunya untuk menyelamatkan diri. 


Maafkan Ika, Shafiq, pintanya sendiri lalu diangkatnya dan diketuk sekuat hatinya ke kepala Shafiq. Terpekik Shafiq kerana kesakitan dengan pukulan itu. Tergolek lelaki itu sambil memegang kepalanya yang sakit akibat dipukul oleh Shafiqa sebentar tadi. 

Pantas Shafiqa bangun dan segera melangkah laju menuju ke pintu. Dia tidak menoleh lagi. Shafiqa segera melompat turun ke serambi apabila Shafiq mula hendak mengejarnya. Dia sudah tidak peduli lagi, ditinggalkan kasut dan beg pakaian di situ. Tiba di jalan di hadapan rumah dia tidak pasti ke mana hendak dituju. Ke kiri atau ke kanan.

“Ika!” jerit Shafiq yang berada di serambi dan terkial-kial hendak menuruni tangga tetapi tergelincir kerana tidak dapat mengimbangi tubuhnya yang memang tidak berdaya.

Shafiqa menoleh, melihatkan Shafiq jatuh menggelongsor memberinya peluang untuk terus berlari. Ya, dia harus meminta bantuan. Tetapi kepada siapa? Mak longnya? Mungkin tidak! Wanita itu amat membenci mereka berdua beradik, tambahan Shafiq sudah menjadi begitu
memberi ruang untuk wanita itu terus membenci mereka. Sedih hatinya dengan ujian yang baru diterimanya itu. 


“Ika!” pekik Shafiq yang masih berusaha mengejar adik kembarnya. Dia berhenti kerana kepenatan.  

Shafiqa cuba berlari sepantas yang boleh. Sesekali dia menoleh ke belakang. Tidak kelihatan pula Shafiq yang mengejarnya. Mungkin kerana jalan itu agak gelap. Lampu jalan yang terletak agak jauh antara satu sama lain, menyukarkan pandangannya. Meskipun begitu dia tidak mahu berhenti. Dia harus meminta bantuan dan langkahnya terus menuju ke rumah tok penghulu iaitu Haji Samad yang kini hanya terletak lebih kurang 50 meter. 

“Ika!” pekik Shafiq dari belakang. 

Ya Allah, memang dia kejar aku, tangis Shafiqa sendiri. Mahu sahaja dia mati ketika itu. Apalah nasibnya yang tidak sudah-sudah ditimpa malang. Serasanya beberapa bulan yang lalu Shafiq elok sahaja, tidak seperti yang dilihatnya sebentar tadi.  

Ibu, ayah! Jerit hatinya dengan linangan air mata.  Dia tidak sangka kepulangannya membawa bencana kepada dirinya. Tetapi kalau dia tidak pulang, dia tidak akan tahu
nasib yang menimpa abang kembarnya. Macam mana boleh jadi begini? Soalan itu terus-terusan menumbuk benaknya. 


Ika!” pekik Shafiq. Langkahnya semakin lemah. Dia hanya mampu memandang Shafiqa yang sudah berada jauh di hadapannya. Dia sudah tidak berdaya untuk mengejar Shafiqa yang begitu tangkas berlari menuju ke rumah tok penghulu, Haji Samad. 

“Setan kau!” jerit Shafiq. 

Shafiqa terus berlari tanpa mempedulikan jeritan Shafiq. Dia benar-benar takut, takut kalau diapa-apakan oleh Shafiq. Lelaki itu sudah dikuasai syaitan. Terus dia menerpa ke pintu rumah Haji Samad sambil mengetuk pintu rumah itu bertalu-talu.

“Pak Samad, Mak Kiah!” pekiknya dengan kuat. Hilang sudah rasa sopan dan malunya terhadap kedua suami dan isteri itu. Dia menoleh ke belakang apabila Shafiq masih menjerit memanggil namanya. Dia menangis sambil terus mengetuk pintu rumah Tok Penghulu bertalu-talu. 

Terkejut Haji Samad apabila melihat Shafiqa menangis di hadapan pintu rumahnya. Apa yang berlaku? Soalnya sendiri. Pasti Shafiqa baru pulang dari Pulau Pinang untuk menghabiskan cuti semesternya di kampung. 

“Kenapa Ika?” soalnya cemas dan bimbang melihat wajah pucat gadis itu dan air mata yang bergenangan di tubir mata. 

“Kenapa bang?” soal Hajah Zakiah yang tiba-tiba muncul di belakang suaminya.  Memandang ke pintu. Gamam dia melihat Shafiqa yang berdiri di luar. 

Ika... Kiah.” Haji Samad memberi laluan kepada isterinya.

“Kenapa Ika?” soal Hajah Zakiah memandang wajah pucat anak gadis arwah Halim dan Fauziah. Dipegangnya tangan Shafiqa yang menggigil dan berpeluh-peluh. Apa yang
berlaku


“Shafiq...” terhenti kata-katanya dalam esakan dan rasa cemas dan berdebar-debar dikejar oleh Shafiq sebentar tadi. “Shafiq kejar Ika, Mak Kiah,” adu Shafiqa dengan suara terketar-ketar sambil menahan nafasnya yang turun naik. Jantungnya seakan larian kencang seekor kuda. Tangannya yang sejuk memegang lengan wanita separuh abad itu.
 

Haji Samad dan Hajah Zakiah berbalas pandang. Faham dengan apa yang dikatakan oleh gadis itu. 

“Kiah, bawak Ika masuk...” arah Haji Samad sambil melangkah menuju ke tangga. Matanya meliar memandang sekitar. Tiba-tiba hatinya tidak tenang dengan khabaran yang dibawa oleh Shafiqa tadi. Dia sudah dapat mengagak yang perkara sebegitu akan berlaku. Ini semua gara-gara Helmi. Samseng kampung. Dia mengeluh berat dengan masalah demi masalah yang melanda kampung mereka sejak akhir-akhir itu.

“Mari masuk Ika...” ditarik tangan gadis itu. Dia sangat pasti Shafiq cuba mengapa-apakan Shafiqa, kalau tidak Shafiqa tidak akan berlari ke situ meminta bantuannya
suami isteri. 


Ika?” tegur Sahlan. Terkejut dia melihat gadis itu berada di rumahnya dan sedang dipimpin oleh ibunya. Shafiqa yang mengetuk pintu rumah orang tuanya seperti hendak roboh dipendengarannya tadi. Ketika itu dia sedang bersolat isyak. Pandangannya dihalakan kepada Hajah Zakiah yang memandangnya. 

“Lan, kau pergi tengok ayah kat luar sana,” suruh Hajah Zakiah, bimbang dengan keselamatan Haji Samad. Sahlan akur dan melangkah tangkas menuju ke pintu yang terbuka. “Kenapa ayah?” soal Sahlan menghampiri Haji Samad.

“Shafiq buat hal lagi,” tegas Haji Samad dengan rasa cuak. 


Sahlan mengeluh berat. Barulah dia faham dengan kedatangan Shafiqa sebentar tadi. Apa pula yang dilakukan oleh Shafiq terhadap adiknya? Dia berharap tiada perkara buruk berlaku kepada gadis itu. Melihatkan beg sandang yang masih terlekat di belakang tubuh gadis itu, dia pasti yang Shafiqa baru sahaja pulang ke situ. Pandangan dihalakan ke halaman rumah yang diterangi cahaya lampu spotlight yang baru sahaja dibuka oleh Hajah Zakiah. 

“Dia kejar Ika sampai ke sini. Ika pulak baru balik tak tahu akan hal ni,” dia menggeleng sendiri. Terasa kesal dengan kejadian sebentar tadi. “Agaknya si Shafiq tu minta duit daripada Ika nak beli benda haram tu daripada kuncukuncu Helmi,” dengusnya. Mengapa perkara itu boleh berlaku di dalam kampungnya? Pihak berkuasa kerap melakukan serbuan tetapi masih juga kes itu bermaharajalela di kampung mereka. 

Sahlan sekali lagi mengeluh berat. “Shafiq tu kita tak boleh simpan ayah.” Sahlan memandang Haji Samad seperti meminta cadangan. 

Haji Samad turun ke bawah. “Lan tolong ambilkan lampu suluh.” Pintanya sambil memandang Sahlan yang masih berada di serambi rumah. 

“Tak payah ayah. Kita panggil polis aje, tak guna simpan dia...” tegas Sahlan lalu melangkah masuk ke ruang tamu. Serasanya dia tidak tahan melihat mayat hidup berlingkaran di sekitar kampung mereka. Entah esok atau lusa ada pula yang mati disebabkan mereka.
 

Haji Samad senyap. Langkahnya menuju ke jalan di hadapan rumah, matanya melilau ke kiri dan kanan jalan. Lama dia memerhati jalan yang kelihatan berbalam-balam dari cahaya lampu jalan yang agak suram. Bagaimana Shafiqa boleh berlari dalam keadaan begitu? Soalnya sendiri. Tetapi alhamdulillah, gadis itu selamat sampai ke rumahnya sebentar tadi. Nampaknya dia perlu menghantar Shafiq ke pusat pemulihan untuk menyelamatkan lelaki itu daripada berterusan hidup begitu. 

“Kejap lagi polis akan datang...” tegas Sahlan kepada Haji Samad. Dia tidak peduli, sama ada Haji Samad setuju atau tidak, Shafiq perlu dihantar ke pusat pemulihan. Haji Samad hanya mengangguk sendiri membenarkan tindakan Sahlan.Sarnia Yah

Tuesday, 30 December 2014

Mr. Secret Admirer - Bab 1



JURURAWAT PERIBADI DIPERLUKAN.”  BERMINAT? SILA HUBUNGI...

 

Zureen tersenyum. Gembira bukan kepalang. Apa yang dicarinya selama ini akhirnya diketemui. Dia harus cepat bertindak sebelum jawatan itu disambar orang. Semenjak sebulan yang lalu, dia menjadi penunggu setia di depan Internet gara-gara sibuk mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan yang dimiliknya. Hampir dua bulan dia menjadi penganggur terhormat semenjak menamatkan pengajiannya. 

Zureen terus sahaja mencatatkan butiran tentang jawatan yang ingin dipohonnya. Setelah membaca perincian mengenai jawatan itu, Zureen sangat berpuas hati kerana merasakan dia memenuhi syarat yang diperlukan untuk jawatan itu. Kebetulan alamat yang tertera tidak jauh dari rumahnya dan apa yang lebih menarik perhatiannya adalah jumlah gaji yang ditawarkan. Empat angka

Zureen segera mencapai telefon bimbitnya dan cuba mendail nombor telefon yang tertera di iklan tadi. Berdebar-debar hatinya sementara menunggu panggilannya diangkat kerana dia tidak pasti sama ada pengiklan itu berbangsa apa. Ini kerana tidak dinyatakan pula di dalam
iklan itu. Zureen tekad ingin mencuba. Jika bukan Melayu, dia akan membatalkan saja niatnya itu. Tidak lama selepas itu, kedengaran suara seorang wanita yang menyambut
panggilannya


“Helo.” Agak serius suara wanita itu. Bertambah berdebar hati Zureen.

“Assalamualaikum...” ucap Zureen lembut. Sekadar menduga.

“Waalaikumusalam,” jawab wanita itu. 


Alhamdulillah. Islam dan rasa-rasanya berbangsa Melayu daripada cara wanita itu bercakap.

“Maafkan saya... err... puan.. sebenarnya tujuan saya telefon ni sebab saya nak bertanya berkenaan jawatan jururawat peribadi yang diiklankan di Internet...” 

“Oh, ya... ya memang betul saya ada iklankan jawatan tu di Internet. So, awak berminat  untuk memohon ke?” Tiba-tiba suara wanita yang serius tadi bertukar girang. 

Ya puan... saya berminat ingin memohon jawatan ini.” 

Ooo... ya ke? Bagus... bagus. Err... siapa nama cik?” 


Saya Zureen.” 

“Okey, Cik Zureen. Bila Cik Zureen boleh datang untuk interview?” 

“Bila-bila pun boleh. Terserah pada puan,” jawab Zureen dengan penuh teruja.


“Kalau macam tu, hari ni boleh?” Wanita itu turut 
berasa teruja.  

Alamak! Hari ini? Okey sajalah. Nanti melepas pula. Zureen terus sahaja bersetuju.

Boleh puan. Puan nak saya datang pukul berapa ya?”

“Pukul 3 petang ni. Cik Zureen tahu ke alamatnya di mana?”

Ya puan. Saya tahu tempatnya di mana.”

Baiklah. Kita jumpa petang nanti ya. Assalamualaikum..”

Waalaikumussalam...” 

Zureen menarik nafas lega. Dia segera berlalu ke biliknya.  Dikeluarkan semua sijil-sijil yang dimilikinya dan dimasukkan dalam satu fail. Setelah berpuas hati, dia membuka pula almari pakaiannya dan memilih pakaian yang sesuai untuk dipakai. Dia memilih untuk  mengenakan seluar denim biru tua dan blaus ungu muda  lengkap dengan tudung bercorak warna sedondon dengan blausnya. Tidak perlu terlalu formal kerana sesi temu duga hanya akan dijalankan di rumah wanita itu. 

Zureen berlalu pula ke dapur untuk menjenguk uminya yang sedang menyediakan hidangan makan tengah hari. Bau asam pedas mengundang rasa lapar. 

“Hmm..... umi, sedapnya bau asam pedas umi ni. Terus lapar perut Zureen.” Zureen mencapai senduk dan mengacau-ngacau kuah asam pedas itu. 

Dicedoknya sedikit kuah asam pedas itu dan merasanya. Memang sedap! Hingga terpejam matanya. Memang tiada siapa yang boleh menandingi asam pedas uminya, Hajah Aminah.

“Kalau dah lapar sangat, pergilah hidangkan. Boleh panggil sekali baba kamu makan. Dia pun dah lapar tu. Baba kamu tu bukannya boleh lewat makan,” arah Hajah Aminah.

Ligat tangan Zureen menyusun pinggan dan cawan di meja makan. 

“Umi petang ni Zureen ada temu duga.” Zureen memberitahu uminya sambil mencedok lauk-pauk ke pinggan.

“Temu duga? Kerja apa?” 


Jururawat peribadi.” 

Jururawat peribadi? Amboi, mesti orang kaya. Kalau tak, takkan sampai cari jururawat peribadi? Kat mana tu?”


Kat Ledang Height.” 


Ledang Height? Wah, kawasan orang kaya tu Zureen... maknanya Zureen nak bekerja di rumah orang kaya tu ke?” 

Entahlah, umi... Zureen pun tak tahu lagi. Nantilah tunggu masa temu duga nanti baru Zureen tahu.” 

“Kalau setakat di Ledang Height tu bagus juga. Taklah jauh sangat dari rumah kita. Senang sikit Zureen nak berulang-alik.”

“Itu la yang Zureen risaukan, mi. Kawasan tu rasarasanya tak ada pengangkutan awam. Kalau ada bas pun cuma berhenti kat luar aje.”


Apa nak risau. Baba kan ada. Nanti baba boleh tolong hantar kalau Zureen dapat kerja tu.” 

“Kalau boleh Zureen tak naklah susahkan baba. Baba tu matanya bukan tajam sangat.”

Alah... tak payah risaulah pasal tu. Yang penting Zureen pergi temu duga tu. Kalau dapat kerja tu, nanti kita fikirkanlah sama-sama macam mana. Dah, pergi panggil baba makan.” Akhirnya uminya memutuskan. 

SEPERTI yang dijanjikan, tepat pukul 3 petang, Zureen sudah terpacak di hadapan banglo mewah itu. Dia terus menekan loceng di pintu pagar batu. Sementara menunggu dipanggil, Zureen sempat memerhatikan kawasan sekitar banglo itu. Memang sangat cantik. Sesuai dengan harga hartanahnya. Sememangnya Ledang Height yang terletak di Nusajaya adalah kawasan elit. Hanya orang kaya saja yang mampu membeli tanah di situ kerana harganya mencecah hingga jutaan ringgit. Kebanyakan penghuni di situ adalah terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan warga Singapura. 

Khayalan Zureen mati serta-merta apabila tiba-tiba pagar automatik itu terbuka. Dia teragak-agak untuk masuk kerana tiada sesiapa di situ yang menjemputnya masuk. Dia melangkah juga memasuki pekarangan banglo mewah itu. Dua buah kereta mewah diparkir di pekarangan banglo itu. Sebuah kereta sport dan sebuah lagi MPV. 

Kedatangannya disambut oleh seorang wanita Indonesia. Daripada pakaian dan caranya bertutur, Zureen dapat mengagak mungkin wanita itu adalah pembantu rumah. 

“Embak Zureen ya?” tegur wanita Indonesia itu. 

Zureen hanya mengangguk dan tersenyum. 

Silakan Embak Zureen. Datin sedang menunggu di dalam,” sambungnya lagi.

Datin? Zureen menuruti langkah pembantu rumah itu. Hatinya sedikit berdebar-debar. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu, langkahnya terhenti. Matanya terpaku melihat kecantikan hiasan dalaman banglo mewah itu. Sungguh menakjubkan! Zureen merasakan dia seolah-olah berada di dalam istana. 

Bagaikan mengerti perasaan Zureen, pembantu rumah banglo itu tersenyum memandang Zureen.

“Silakan duduk Embak Zureen. Sebentar lagi Datin akan turun. Saya mohon permisi dulu,” tuturnya dengan sopan dan segera berlalu meninggalkannya terkulat-kulat di situ.

“Betul ke aku nak kerja kat banglo ni?” Zureen berbisik. 


Zureen terus leka mengamati keindahan ruang tamu itu. Tiba-tiba matanya tertarik untuk melihat bingkai gambar yang disusun di atas piano. Dia memberanikan diri melangkah ke arah piano itu. Diperhatikan satu persatu gambar-gambar itu. 

“Yang mana satu tuan rumahnya? Yang ni kut? Kalau yang ni, memang cantik.. tapi... siapa yang sakit? Aku tengok semuanya sihat walafiat aje..”  gumam Zureen sambil terbongkok-bongkok mengamati gambar-gambar itu. 

Tiba-tiba Zureen disapa dari belakang. Zureen terkejut dan hampir terlepas bingkai gambar yang dipegangnya tadi. 

“Cik Zureen..” sapa wanita itu. Zureen menoleh

Sekali lagi dia terpana. Dia terpana sebaik sahaja melihat wanita yang sedang berdiri di hadapannya. Cantik! Mungkinkah wanita ini yang menyambut panggilannya pagi tadi? Zureen terpegun melihat penampilan wanita di  hadapannya. Orangnya kelihatan muda disebabkan cara penampilannya.


“Assalamualaikum... err... Datin,” sapa Zureen dengan hormat untuk menutup perasaan  malu dan gemuruhnya.


Waalaikumussalam... Silakan duduk Cik Zureen.” pelawanya lembut. Mujurlah perwatakan wanita itu lembut, kalau tidak bertambah gemuruhlah darah Zureen.


“Terima kasih Datin..”


Datin Raja Fatimah..” pintas wanita itu.


“Datin Raja boleh panggil saya Zureen saja.” Wanita itu tersenyum bila mendengar cara Zureen memanggilnya.


“Tak payahlah berDatin-Datin. Panggil auntie saja lagi senang. So... inilah Zureen ya.  Hmm... cantik orangnya. Berapa umur Zureen ni?” Lembut sungguh suara wanita itu
memuji Zureen.


Zureen tunduk tersenyum. Malu dipuji begitu. Makin kuat hasrat Zureen untuk bekerja di situ kerana semenjak dari rumah tadi, Zureen sudah terbayangkan dia akan berhadapan dengan seorang wanita yang serius dan sombong. Dari cara percakapannya di telefon pagi tadi yang menyebabkan Zureen berfikiran begitu. Ternyata dia tersilap.


“22 tahun, Datin... err.. Auntie.”


Hmmm... muda lagi.” 


Pembantu rumah yang menyambut Zureen tadi keluar sambil menatang dulang yang berisi dua gelas air dan sepiring kuih. 

Silakan Zureen. Jangan malu-malu,” pelawa Datin Raja Fatimah.

“Kenapa Zureen berminat untuk memohon jawatan ni?” Wanita itu memulakan bicara. Mungkin sesi interview sudah bermula.

Sebenarnya Datin.... sudah hampir dua bulan saya menganggur sebab masih tak dapat lagi kerja yang sesuai dengan kelulusan saya. Kebetulan pula bila saya cari di Internet, terbaca pula iklan jawatan ini. Saya terus mencuba disebabkan saya rasa saya memenuhi kriteria yang ditetapkan,” lancar Zureen menerangkan.


Apa kelulusan Zureen?”


Saya ada Diploma Kejururawatan. Ini sijil-sijil saya.” Zureen terus sahaja menghulurkan failnya walaupun tidak diminta. Wanita itu terus sahaja melihat sijil-sijil yang berada di dalam fail Zureen.


“Kenapa Zureen tak bekerja di mana-mana hospital atau klinik? Biasanya selepas tamat saja pengajian, bukan ke akan terus sahaja dipostingkan?”


“Saya belajar di kolej swasta Datin... err.. Auntie. Saya perlu memohon terlebih dahulu sebelum posting.” 


“Zureen ada pengalaman menguruskan orang sakit?” tanya wanita itu lagi.

Zureen terdiam seketika. Memang dia tiada pengalaman secara rasmi tetapi pengalaman semasa menguruskan arwah neneknya yang diserang strok dulu adalah.


“Pengalaman secara rasmi memang tak adalah auntie tapi pengalaman menjaga arwah nenek saya saja tapi selepas SPM dulu saya pernah bekerja sekejap di sebuah klinik swasta..” 


“Arwah nenek sakit apa?”

“Angin ahmar. Dia diserang strok kerana tekanan darahnya terlalu tinggi. Lepas itu terus lumpuh satu badan,” balas Zureen. Masih segar diingatannya saat dia membantu uminya menyalinkan lampin, memandikan dan memberi makan. Memang itulah tugasnya setiap kali dia cuti semester. 

Zureen tertanya-tanya dalam hatinya. Adakah dia terpaksa menjaga orang tua yang sakit seperti arwah neneknya? Kalau benar, mampukah dia bertahan. Ini kerana menjaga orang yang sakit seperti arwah neneknya memerlukan kesabaran yang tinggi. Dia dulu pun sentiasa merungut dengan uminya apabila terpaksa membersihkan najis neneknya. Asyik ‘terwek-uwek’ saja setiap kali membersihkan. Mujurlah ketika itu, arwah neneknya sudah
tidak mengenali sesiapa pun. Kalau tidak mungkin neneknya sudah terasa hati dengan kelakuannya. 


“Zureen boleh bersabar ke melayan kerenah orang sakit?” Soalan Datin Raja Fatimah itu makin menguatkan firasatnya yang dia akan disuruh menjaga pesakit strok. Alamak! Macam mana ni? Nak terima atau tidak? Tapi kalau tak terima, dia berasa rugi pula disebabkan gaji yang ditawarkan agak lumayan. Tambahan pula dia sudah jelak menjadi penganggur.

Dah jadi tanggungjawab saya, auntie. Kalau dah itu tugas saya, saya kenalah banyak-banyak bersabar. Lagipun saya dah biasa menguruskan pesakit-pesakit sebegini. Masa belajar dulu, saya dah didedahkan dengan pelbagai jenis penyakit,” jawab Zureen untuk cuba meyakinkan Datin Raja Fatimah.

Zureen bertanya dirinya sendiri. Betul ke aku dah biasa? Dia sekadar tersenyum dalam hati kerana jawapannya 
itu memang kontra dengan apa yang dirasa. Namun, demi pekerjaan ini, dia harus berkorban. Sampai bila dia harus menganggur? 


“Kalau dimarah atau diherdik pun Zureen boleh bersabar?” Soalan Datin Raja Fatimah menambah goyah hati Zureen. Semakin kuat hatinya meronta ingin tahu dengan
siapa dia harus berkhidmat. Pesakit mental ke


“Saya akan cuba, auntie...” jawab Zureen dengan yakin walaupun hatinya agak goyah.

“Err... Auntie.. kalau tak keberatan, boleh auntie beritahu saya, siapa yang sakit? Siapa yang harus saya jaga?” Zureen memberanikan diri untuk bertanya setelah bosan berprasangka.


Datin Raja Fatimah tidak menjawab soalan Zureen, sebaliknya dia hanya tersenyum lalu bangun.


Jom... mari auntie tunjukkan siapa yang harus Zureen jaga.” 

“Err.. Auntie... saya sudah diterima bekerja ke?” soal Zureen walaupun soalan itu kedengaran bodoh sambil mengekori langkah Datin Raja Fatimah menaiki tangga menuju ke tingkat atas banglo itu. 


“Kalau Zureen boleh bersabar....”

Lagi-lagi itu yang diungkapkan Datin Raja Fatimah. Teruk sangat ke pesakit tu? Siapa pula pesakit itu dengan Datin Raja Fatimah? Biasanya yang memerlukan kesabaran yang tinggi bila merawat pesakit strok atau pesakit mental. Yang mana satu ni


Ketika perasaan Zureen terus berteka-teki, akhirnya mereka sudah berada di hadapan sebuah bilik. Datin Raja Fatimah menoleh sekilas ke arah Zureen sambil tersenyum.

“Are you ready?” Zureen tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk. Debarannya semakin kencang. Dia sudah membayangkan, sebaik sahaja pintu itu dibuka, kelihatan
seorang tua yang sedang terlantar di atas katil atau pesakit mental yang sedang diikat di katil! 


Datin Raja Fatimah mengetuk pintu tanda meminta kebenaran sebelum memasuki bilik itu. Zureen sedikit pelik. Kenapa perlu ketuk pintu kalau pesakitnya sedang terlantar di atas katil? Kalau pesakit mental pula, sudah tentu Datin Raja Fatimah yang memegang kunci bilik itu. Sudah tentu bilik itu harus sentiasa dikunci. Kalau tidak, pesakit mental itu pasti mengganggu orang-orang di dalam rumah. Ah! Bingungnya!

“Masuk!!” Kedengaran suara garau lelaki yang menjawab ketukan pintu Datin Raja  Fatimah. 

Datin Raja Fatimah menolak perlahan-lahan pintu bilik itu. Melihat Zureen masih terpaku di hadapan pintu bilik tidak bergerak, Datin Raja Fatimah segera menegur.

“Mari Zureen.... Auntie nak kenalkan pesakit yang Zureen nak kena jaga tu..” 

Dengan debaran yang masih belum reda, Zureen melangkah masuk ke bilik itu. Matanya  terpaku melihat seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi roda di balkoni menghadap pemandangan luar membelakangkan mereka. Ternyata andaian Zureen silap. Bukan orang tua yang strok atau pesakit mental kerana kelihatan lelaki itu tenang duduk di atas kerusi rodanya. 

Datin Raja Fatimah melangkah ke arah lelaki itu. Sebaik sampai, dia terus memeluk bahu lelaki itu dan mencium kepalanya. Zureen seperti patung bernyawa berdiri tegak dan  memerhatikan kedua-dua mereka dengan perasaan pelik. 

Zureen... mari sini,” panggil Datin Raja Fatimah. Seperti robot yang dikawal, Zureen menghampiri kedua-dua mereka. Lelaki di atas kerusi roda itu seolah-olah tidak mempedulikan kehadiran Zureen, sebaliknya terus diam merenung ke luar.


Redza... mama kenalkan, ini Zureen, jururawat peribadi Redza yang baru.” Yang baru? Dah berapa jururawat sebelum ni? Ooo... anak bujang Datin Raja Fatimah rupa-rupanya.
Agaknya, apalah sakitnya ya? 


Lelaki itu hanya menolehnya sekilas dan menyambung semula memandang ke luar. Memang dia sedikit pun tidak menghiraukan kehadiran Zureen. Zureen dapat melihat sekali imbas wajah lelaki itu. Handsome! Memang patut wajahnya kacak. Melihat ibunya saja sudah jelita. Tidak hairanlah kalau anak bujangnya kacak. Tapi sayang, wajah tidak terurus. Berjambang sana berjambang sini! Entah-entah sakit jiwa. Hishh!! Kalau muka handsome
pun tak guna kalau sakit jiwa. 


“Boleh ke aku jaga dia ni?” gumam Zureen.

Zureen... ini Syed Redza. Anak bujang auntie. Mulai hari ni, Zureen akan jadi jururawat peribadi kepada Redza,” terang Datin Raja Fatimah sambil mengusap-usap bahu anak bujangnya. Huh! Menyampah! Mengada-ada betul. Dah tua-tua macam ni pun nak dibelai lagi. 


Redza... mama keluar dulu ya. Mari Zureen.” Lelaki itu... err siapa nama dia? Syed Redza... ya Syed Redza masih terus kaku dan beku di atas kerusi rodanya. Tiada reaksi dan ekspresi. Zureen bimbang. Mampukah dia bekerja dengan manusia sejuk beku begitu? Patutlah tak habis-habis Datin Raja Fatimah bertanya dia boleh bersabar atau tidak? Zureen duduk semula di ruang tamu tadi bersamasama Datin Raja Fatimah.

“Macam mana Zureen? Boleh jadi jururawat peribadi anak auntie?” Zureen tidak terus menjawab sebaliknya bertanya.


“Auntie... boleh saya tahu. Anak auntie tu sakit apa?” 


Tiba-tiba wajah Datin Raja Fatimah berubah. Dia kelihatan muram dan amat berat untuk bercerita. 

Dia kemalangan jalan raya lima bulan yang lalu. Kaki kanannya patah. Koma selama tiga bulan. Baru lebih kurang sebulan dia sedar. Sebaik saja dia sedar, dia minta pulang ke rumah. Dia tak mahu tinggal di hospital kerana bosan katanya. Terpaksalah auntie panggil doktor peribadi kami merawat Redza di rumah. Sebab tu, auntie perlukan jururawat peribadi untuk menjaganya 24 jam. Auntie akui, sebelum ni sudah beberapa orang  jururawat yang auntie ambil, tapi semuanya tak tahan lama. Mungkin mereka tidak
dapat bersabar dengan perangai Redza...” 


Datin Raja Fatimah berhenti seketika. Dia kelihatan sebak. Dia menarik nafas seketika dan menyambung ceritanya lagi.

“Semenjak sedar daripada koma, perangai Redza sudah jauh berubah daripada dulu. Dia mudah naik angin dan mengamuk. Sebab itulah dua orang jururawat sebelum
ini berhenti. Mungkin tidak tahan dengan sikap Redza.” Zureen diam dan tekun mendengar cerita Datin
Raja Fatimah. Mendengar ceritanya, Zureen juga merasa bimbang. Jika jururawat- ururawat sebelum ini tidak tahan, sanggupkah dia berhadapan dengan lelaki itu. Melihat
keadaan Redza yang dingin tadi, dia dapat mengagak akan sikap lelaki itu. 



“Macam mana, Zureen? Boleh ke Zureen tolong auntie rawat Redza?” Soalan Datin Raja Fatimah agak sukar untuk dijawab oleh Zureen. Dia jadi takut setelah mendengar kisah lelaki itu. Rasa-rasanya belum terlambat jika dia hendak menarik diri tetapi kasihan pula melihat Datin Raja Fatimah yang seolah-olah sangat mengharapkan khidmatnya. Zureen
sendiri pelik, jauh di sudut hatinya dia merasa ingin berkhidmat dengan lelaki itu.


“Insya-Allah auntie. Saya akan cuba bantu merawat anak auntie dan saya akan cuba bersabar.” Datin Raja Fatimah meluru ke arah Zureen lantas memeluknya. Dia menitiskan air mata. Zureen terkaku di situ.


“Thanks Zureen... Auntie tahu, Zureen la orang yang paling layak merawat Redza. Auntie yakin dan sangat yakin. Zureen cakap saja berapa gaji yang Zureen mahu, auntie sanggup bayar asalkan Zureen sudi bantu auntie untuk merawat Redza.”


Zureen turut sayu. Kata-kata Datin Raja Fatimah seolah-olah telah mengikat dirinya untuk bekerja di situ. Bukan disebabkan habuan yang dijanjikan walaupun pada awalnya Zureen tertarik untuk mencuba jawatan itu disebabkan gaji yang ditawarkan, tetapi perasaan belas

terhadap Datin Raja Fatimah. Walaupun belum sejam dia di situ, namun Zureen dapat merasakan keakrabannya dengan Datin Raja Fatimah. 

“Tapi....” Kata-kata Datin Raja Fatimah terhenti sebentar sebaik sahaja dia meleraikan pelukannya.

Tapi apa auntie?” Zureen pelik

“Zureen terpaksa duduk di rumah auntie sebab Redza perlu dirawat tidak kira waktu.”
Zureen tersentak mendengar kata-kata Datin Raja Fatimah. Tinggal di sini?


“Macam mana, Zureen? Boleh?” 


Entah kuasa apa yang datang, tiba-tiba sahaja Zureen mengangguk tanda setuju walaupun sebenarnya dia perlu bertanya pendapat orang tuanya terlebih dahulu.


“Thanks sayang...” Zureen dipeluk lagi. Sayang? Datin Raja Fatimah memanggilnya sayang?
Kenapa Datin Raja Fatimah memanggilnya sayang? Dia sengaja atau tidak sengaja? Pelik!