DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 10

“ZEL! Zel!” teriak Nur kuat. Pintu bilik sahabatnya itu berulang kali diketuk dengan lantang. Ikutkan hati yang penuh dengan rasa terkejut ini, mahu saja dia menendang pintu itu sehingga roboh.

Zerlindah yang masih enak dibuai mimpi merasa sedikit terganggu dengan teriakan Nur. Dengan mata yang terpisat-pisat, dia berjalan dengan lenggok malas ke arah pintu biliknya.

“Zel!” sergah Nur sebaik saja wajah sugul sahabatnya itu muncul di sebalik pintu.

“Kenapa ni, Nur? Kau kacau aku tidurlah...” rungut Zerlindah tidak puas hati. Kejap-kejap matanya sedaya upaya dikerdipkan untuk dapatkan imej wajah Nur dengan jelas.

“Kau... kau... kau kena tangkap khalwat semalam ke Zel?” tergagap Nur menyoal tanpa lengah.

Membuntang biji mata Zerlindah apabila mendengar terjahan soalan daripada mulut Nur. Kantuknya semerta terbang melayang dalam sekelip mata.

“Mana kau dengar berita ni, Nur?” soal dia pantas.

“Tu, dah keluar kat TV tu Zel! Ya Allah, apa dah jadi ni Zel? Betul ke ni?” Nur bertanya kalut.

Zerlindah pantas berlari ke arah ruang tamu, ingin melihat sendiri berita di skrin televisyen seperti yang dikhabarkan oleh Nur tadi. Tatkala melihat wajahnya di kaca televisyen bersama tajuk berita; ‘MODEL TERKENAL DITANGKAP KHALWAT’ tersiar jelas, terus dia terjelepok ke atas lantai.

Dia terasa seperti hendak meraung, tapi tiada suara yang terkeluar daripada kotak suaranya. Terasa seperti ingin menangis, tapi air matanya seakan kering kontang. Sudahnya, dia hanya duduk kaku di lantai.

“Zel, betul ke apa yang jadi tu Zel? Bila jadi ni Zel? Dengan siapa? Kenapa kau tak beritahu aku Zel?” tanya Nur bertubi-tubi. Dia terasa ingin meraung di situ juga melihatkan wajah sugul sahabatnya itu.

“Zel!!!” teriak Nur lagi seraya menggoncangkan tubuh Zerlindah berkali-kali sewaktu gadis itu kekal membisu.

“Aku... aku tak buat salah pun, Nur. Aku masuk bilik air tu nak tukar baju je. Tahu-tahu, bila aku keluar... orang jabatan agama dah sampai. Aku tak buat benda terkutuk tu, Nur!” beritahu Zerlindah bersama genangan air mata.

Apa yang paling ditakuti telah pun terjadi. Kisahnya disiarkan secara berleluasa di media massa. Kalaulah dia punya kuasa sakti, akan diputarkan waktu supaya kisah ngeri ini kekal menjadi mimpi tidurnya di malam hari.

“Kau kena tangkap dengan siapa?” tanya Nur lagi, masih keliru dengan situasi yang dihadapi.

“Dengan Adam...” jelas Zerlindah perlahan. Wajahnya ditundukkan ke lantai. Malu hendak bertentang mata dengan sahabatnya itu.

“Adam? Adam mana?” Nur bertanya bingung.

“Adik Thor tu... Kau ingat lagi kan aku cerita pasal dia?” soal Zerlindah pula.

“Dia? Macam mana kau boleh kena cekup dengan dia pulak ni, Zel? Allah... sumpah aku tak faham hujung pangkal cerita kau ni!” keluh Nur dengan nada yang lantang.

Tanpa membuang masa, Zerlindah terus menceritakan tentang kejadian yang sebenarnya kepada Nur. Berharap sahabatnya itu faham dan mengerti. Semua yang terjadi bukan salahnya, tapi salah Adam! Namun, kerana kesilapan lelaki itu, natijahnya dia pula yang merana.

“Habis, apa kau nak buat sekarang ni?” Nur memandang wajah Zerlindah dengan dahi berkerut seribu.

“Aku tak nak kahwin dengan Adam,” putus Zerlindah.

Nur yang mendengar kata putus itu hanya mampu memandang wajah Zerlindah dengan mata yang terkebil-kebil. Dia sebagai sahabat sudah kebuntuan kata memikirkan masalah yang Zerlindah hadapi. Inikan pula tuan punya badan. Walaupun Zerlindah tampak kuat di luar, namun dia pasti hati sahabatnya itu pasti sedang galau saat ini.

 

SELAMA BEBERAPA hari ini, Zerlindah tidak senang duduk. Dia melilau ke sana sini bersama portfolio peribadinya yang setia diusung melalui celah jemari runcingnya itu. Puas dia menggunakan khidmat agensi permodelan untuk mendapatkan kerja, tetapi semuanya menolak.

Dia ingatkan apabila dia sendiri turun padang, sedikit sebanyak dapatlah juga membuatkan syarikat-syarikat pencarian bakat itu berlembut hati tatkala melihat pakej yang ada pada dirinya. Namun, sangkaannya meleset sama sekali.

Bukan mereka berlembut hati dengan bakat dan penampilan dia, sebaliknya hampir-hampir dia dicaci. Semuanya gara-gara berita dia ditangkap khalwat yang kecoh beberapa hari lepas.

Zerlindah panggung kepala yang mula terasa berpinar di bawah terik mentari. Pintu kereta dibuka dan menerobos masuk ke dalam. Dia memulakan pemanduan dengan fikiran yang berkecamuk. Tidak tahu ke mana hala tujunya sehinggalah matahari terbenam di ufuk barat.

 

PINTU KELAB malam itu dipandang nekad. Sejujurnya, dia belum pernah lagi menjejakkan kaki di mana-mana kelab malam sebelum ini. Tapi, hari ini bakal mencetus sejarah buat dirinya.

Sebaik saja pintu Zouk Club dikuak, bunyi bising alunan muzik menerjah masuk ke halwa telinga. Penglihatan dia pula agak berbalam-balam dek sinaran cahaya lampu di dalam kelab malam itu amat terhad.

Zerlindah membawa diri ke tengah-tengah lantai tarian. Perlahan-lahan dia menggerakkan badan, meliuk-lentok setara dengan alunan muzik yang dimainkan. Lantai tarian itu sesak dengan pelbagai ragam manusia. Sesekali, dapat dia rasakan tubuhnya bergesel dengan individu yang lain. Tapi dibiarkan saja keadaan itu.

Rupanya, inilah keseronokan yang dapat dirasai oleh individu-individu yang datang ke sini dengan masalah hidup yang memberat di kepala. Bunyi bingit muzik yang dipasang ternyata dapat mengkhayalkan minda sekali gus membuatkan dia terlupa akan masalah yang sedang dihadapi.

Zerlindah hanyut dalam alunan muzik yang berkumandang sehinggalah dia terasa ada sepasang tangan merangkul erat pinggangnya dari arah belakang. Pantas dia berkalih, cuba meleraikan pautan kemas itu. Tapi gagal!

Sorry, could you get your hands off me?” pinta Zerlindah dengan mata yang mencerlung garang. Wajah tampan lelaki yang sedang memeluknya ini tidak langsung dipedulikan. Padanya, tingkah lelaki itu sungguh biadab. Sesuka hati menyentuh tubuhnya tanpa izin!

I can’t cause you’re mine tonight!” jawab lelaki asing itu dengan riak wajah bersahaja. Tangan pula mula menjalar naik ke paha Zerlindah.

Zerlindah yang merasa berang dengan kelakuan itu terus bertindak pantas. Dia menggigit kuat lengan sasa lelaki itu sehingga tubuhnya dilepaskan.

Dalam kesamaran cahaya lampu, dia nampak lelaki itu menjerit dan menyeringai kesakitan. Dia pula hanya memberikan senyuman mengejek, kemudian berlalu pergi ke arah bar minuman. Dalam kelab malam yang ramai orang itu, dia yakin dirinya akan selamat.

“Coke!” pesan Zerlindah kepada lelaki yang menjadi bartender di situ.

Usai minuman dihidangkan di hadapannya, cepat saja dia mengangkat gelas ingin meneguk air bikarbonat itu. Haus. Tetapi, belum sempat bibirnya bersua dengan gelas, tangannya digenggam kuat. Pantas, dia menoleh ke sisi.

“Adam!” Membuntang biji matanya saat terpandangkan seraut wajah yang amat dikenalinya itu.

“Jangan minum!” tegah Adam tegas. Gelas minuman di tangan Zerlindah dirampas ganas sebelum dihempaskan kuat ke atas meja bar itu semula. Berkocak air gas itu tumpah di atas meja.

“Kenapa?” soal Zerlindah, keliru. Wajah tampan Adam diratah sayu dengan anak matanya.

“Apa you buat dekat sini, Indah?” Adam bertanya garang. Wajahnya merah padam, seakan benar benci melihat gadis itu di kelab malam ini.

“I haus...” Entah mengapa jawapan itu pula yang muncul dari oles bibirnya.

Adam menggigit bibirnya kuat. Cuba menelan sabar yang semakin berterbangan pergi. Ketika matanya menangkap susuk tubuh Zerlindah di dalam kelab itu sebentar tadi, jantungnya seakan direntap pergi. Dia gusar akan ada lelaki gatal yang mengambil kesempatan terhadap gadis itu.

“Jangan bagi I jawapan bodoh! Haus you cakap? Kalau haus, pergi balik rumah! Minum sepuasnya air-air yang ada dalam peti sejuk you tu, bukan datang menagih air kat sini!” marah Adam lagi.

Zerlindah lihat rahang lelaki itu jelas bergerak-gerak tanda amarah yang nyata.

“Apa yang I buat, bukan urusan you!” Usai berkata, dia bangun daripada duduknya. Tidak dipedulikan wajah menyinga Adam.

“Hei, perempuan!”

Sebaik saja Zerlindah ingin berlalu pergi menjauhi Adam, dirinya diseru oleh lelaki asing tadi. Lengannya dicengkam kuat.

“Lepaslah!” ronta Zerlindah cemas. Adam yang masih berada di sisi dikerling sekilas seakan-akan memberi isyarat meminta pertolongan daripada lelaki itu.

“Lepas? Tengok ni, lebam tangan aku kau kerjakan! Kau ingat, kau boleh lepas macam tu je? Jangan harap selagi aku tak puas ratah tubuh kau yang cantik ni...” kata lelaki itu lagi seraya jemarinya naik mengusap wajah Zerlindah dengan renungan yang penuh nafsu.

“Kurang ajar!” Zerlindah mengangkat tangan ingin menampar pipi lelaki itu. Tetapi tangannya terlebih dahulu dicekup dengan kasar. Zerlindah cuak!

“Adam...” panggil Zerlindah cemas. Matanya sedikit berkaca. Risau dirinya diapa-apakan oleh lelaki asing ini. Masuk kali ini, dua kali dia meminta pertolongan secara tidak langsung kepada Adam. Namun, lelaki itu hanya memandangnya dengan pandangan beku dan kaku.

“Apa yang you buat, bukan urusan I,balas Adam bersahaja.

Zerlindah tergamam apabila kata-katanya sendiri sebentar tadi memakan dirinya semula.

“Jom!” Lelaki asing itu menarik kuat lengan si gadis. Dia memaksa Zerlindah membuntuti langkahnya keluar dari kelab malam tersebut.

Menyedari dirinya dalam bahaya, Zerlindah menjerit-jerit sambil meronta meminta pertolongan. Malangnya, jeritannya tidak didengari oleh sesiapa pun kerana muzik yang bising kecuali Adam yang galak memerhatikan setiap adegan itu dalam diam. 

“Menyusahk­­­­­­­an!” dengus Adam bersama penumbuk yang dikepal geram. 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JULAI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH *** 

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah) 

Lara Cintamu - Bab 9

SEBAIK saja Zerlindah buka pintu bilik air, matanya disimbahi kilauan cahaya yang menyilaukan mata. Lantas, kepala dikalihkan ke sisi seraya sebelah tangannya diangkat menutup separuh penglihatannya.

Klik! Klik! Klik!

“Adam, this is not a joke! Please...” pinta Zerlindah, masih gagal mengangkat muka dari kilauan cahaya itu. Adam mengambil gambarnya? Kegilaan apakah lagi yang lelaki itu sedang lakukan saat ini?

“Cik, tolong berikan kerjasama. Keluar sekarang!” arah satu suara asing.

Zerlindah terpanar. Kepala terus dihalakan ke hadapan. Mata yang sedikit silau dipicingkan kecil. Melalui imej yang terbias di kornea matanya, dia dapat melihat ada beberapa orang lelaki separuh umur memakai serban di kepala.

“Kami dari jabatan agama Islam,” kata salah seorang daripada mereka.

Prang! Dunia Zerlindah seakan berhenti berpusing. Dadanya berdetak hebat. Peluh dingin merecik di dahinya. Secara automatik, kakinya longlai ke bumi. Apakah yang sudah jadi ini?

“A... Adam?” panggil Zerlindah bersama juraian air mata di pipi. Nanar fikirannya kala ini. Musibah apakah yang menimpa dirinya hari ini? Anak matanya melilau mencari kelibat Adam di celah keramaian itu.

“Indah... I’m sorry,” pinta Adam lembut. Dia kembali berdiam hanya mampu melihat keadaan Zerlindah yang kelihatan amat rapuh saat ini. Silapnya kerana berani membawa gadis itu pulang ke kamar hotel. Tapi, nasi sudah menjadi bubur.

Zerlindah menangis semahunya di situ. Di sebalik matanya yang terpejam rapat, dia dapat bayangkan kariernya sebagai seorang model bakal hancur begitu saja selepas berita penangkapan khalwatnya ini tersebar di media massa.

“Indah...” panggil Adam lembut. Zerlindah yang sedang duduk berdiam di sisinya diberikan sepenuh perhatian. Tak dapat dinafikan, dia gusar melihat gadis itu diam mengalahkan patung cendana semenjak tubuh itu masuk ke dalam keretanya.

Adam tahu dia yang bersalah sehingga menyebabkan mereka ditangkap khalwat sedemikian. Dia tahu, dia telah meranapkan hampir keseluruhan masa depan gadis itu. Tapi rasa simpati seolah-olah tidak wujud dalam kamus hatinya saat ini. Yang dia tahu, dia punya misi untuk dilaksanakan.

 

“INDAH,” PANGGIL Adam sekali lagi. Asyik benar gadis itu merenung jauh ke luar. Entah sudah sampai di mana agaknya lamunan gadis itu.

“I nak balik.” Zerlindah bersuara secara tiba-tiba. Kepalanya masih disandarkan di kerusi penumpang.

“We need to talk. About us!” pintas Adam laju. Dia tidak mahu melepaskan Zerlindah pergi selagi tiada kata sepakat yang dicapai antara mereka.

“Tak ada apa yang nak dibincangkan, Adam. I nak balik,” putus Zerlindah lagi. Jujur, matanya hanya merenung kosong ke luar tingkap. Otaknya beku, tidak mampu berfikir. Tubuhnya lesu setelah seharian menguruskan hal penangkapan mereka di pejabat agama.

“Kita kahwin!” Adam buru-buru membuat keputusan. Dia tidak boleh alpa walau sesaat sekalipun dalam cubaan memiliki Zerlindah.

“Tak perlu,” bidas Zerlindah pendek.

“You tahu kan, kerjaya you bakal hancur kalau berita ni tersebar nanti?” provoke Adam lantang. Dia tahu kerjaya adalah segala-galanya bagi Zerlindah. Masakan Zerlindah boleh berdiri teguh jika satu-satunya mata pencarian gadis itu selama ini musnah begitu saja.

“I tahu. Tapi dengan mengahwini you, kerjaya I akan tetap hancur. Tak mengubah apa-apa pun Adam,” tutur Zerlindah lemah. Saat ini dia seakan-akan telah berputus asa.

“You silap! Kahwin dengan I dan berita penangkapan ni akan lenyap macam itu aje. I boleh selamatkan kerjaya you dan you boleh tolong selamatkan reputasi syarikat I daripada jatuh merudum,” pujuk Adam bersungguh-sungguh.

Berkerut dahi Zerlindah. Lelaki itu punya syarikat? Perlahan-lahan dia berkalih pandang ke sisi kanannya. Merenung wajah tampan itu dengan riak keliru.

Adam melirik senyum senang, sedar kata-katanya tadi berjaya menarik perhatian Zerlindah.

“You ada syarikat? Syarikat apa? Kalau betul you berkemampuan untuk lenyapkan berita buruk ni, kenapa you tak buat aje? Tak perlu utarakan hal kahwin dengan I,” soal Zerlindah penuh hairan.

“Tak semudah tu, Indah. I tak boleh tutup mulut semua orang walaupun I mampu. Please, just agree with me!” Adam separuh merayu. Sedikit sebanyak, hatinya mula geram dengan kedegilan yang Zerlindah tunjukkan.

“Sama macam I, tak semudah tu untuk I kahwin dengan you Adam,” tolak Zerlindah sekali lagi. Lelaki ini bercakap soal perkahwinan seperti membeli ikan di pasar.

“Kenapa you degil sangat ni?” soal Adam geram. “You tak rugi apa-apa pun kalau kahwin dengan I! I boleh tanggung you! You tak perlu risau pasal kerja lagi,” tambah Adam lagi sedikit berang.

“Kahwin ni satu perjudian, Adam. I akan hilang semuanya kalau I kahwin dengan you! I tak kenal you, asal usul you. Kerjaya I, kebanggaan I! I tak perlukan duit you untuk suap nasi ke mulut I, Adam. Susah macam mana pun, I percaya... I boleh berjaya,” luah Zerlindah lantang.

“Kerja dengan I!” tegas Adam memberi usul. Zerlindah dipandang tajam. Ini idea terakhirnya untuk mengikat gadis itu di sisi. Jika cara ini pun tidak membuahkan hasil, dia perlu menjadi lebih agresif.

“Hantarkan I ke hotel semula, please. I nak balik,” pinta Zerlindah buat sekian kalinya. Dia memilih untuk diam daripada bersetuju dengan tawaran gila Adam.

Adam menghidupkan enjin kereta bersama kepala yang tergeleng-geleng dengan sendirinya. Tak sangka Zerlindah boleh jadi sekeras ini sedangkan masa depan gadis itu sudah kelam kelabu.

Lara Cintamu - Bab 8

ADAM menarik senyum nakal di bibir saat melihat Zerlindah berjalan dengan malu-malu ke arahnya usai sesi photoshoot itu tamat. Pareo dan kardigan kimono yang tersarung elok di tubuh Zerlindah tidak berjaya menutupi tubuh menawan itu sepenuhnya.

Pakaian itu masih seksi! Lebih-lebih lagi dengan keadaan pareo dan kardigan kimono yang telah lencun, basah dengan air kolam renang. Kombinasi pakaian itu membuatkan gadis itu kelihatan seksi dan mengghairahkan di mata lelakinya.

“You datang ke sini semata-mata untuk peraga tubuh?” soal Adam lancang. Zerlindah yang baru hendak menggapai bathrobe di gazebo yang terletak di belakang Adam, terkedu seketika.

Mind your words, Adam! Jangan menilai orang sesuka hati you,” bentak Zerlindah tegas. Dia tak suka dengan tuduhan yang Adam lemparkan.

“Bila pulak I menuduh? You memang peraga tubuh dengan pakaian seksa ni tadi, kan?” Adam menyoal galak. Kini dia sudah berdiri bertentangan dengan Zerlindah.

“I peragakan pakaian sebagai model, bukan tubuh I!” terang Zerlindah bersungguh-sungguh. Cukup dia tak suka digelarkan seperti perempuan yang tidak punya harga diri.

“Oh model...” kata Adam sambil menganggukkan kepalanya. Lagak seperti baru tahu akan kerjaya Zerlindah padahal sudah lama dia tahu. Siap beli koleksi majalah lagi.

Berkurangan sedikit bahang kemarahan Zerlindah ketika melihat Adam terangguk-angguk sedemikian. Mungkin lelaki ini tak tahu yang dia model agaknya. Detik Zerlindah dalam hati tanpa ketahui hal yang sebenar. Mungkin atas sebab tidak tahu itulah menjadikan Adam memandangnya hina sebentar tadi.

“You model bikini ke?” tanya Adam polos. Hampir sahaja Zerlindah melambakkan tawanya mendengarkan soalan lelaki itu.

Of course not! Ini je photoshoot yang paling gila pernah I buat. Sebelum ni I tak pernah pakai pakaian seksa macam ni,” terang Zerlindah lagi. Ingin menepis salah sangka terhadap dirinya.

“Seksa? You nampak selesa, tapi I yang terseksa tengok imej you macam ni...” bisik Adam lembut ke telinga Zerlindah. Mula! Adam menjiwai watak kasanova yang sudah sebati dengan dirinya.

Zerlindah terkelu mendengar bicara Adam yang seakan menggoda di halwa telinganya. Dia seakan hanyut melayan perasaan bersama debar di dada.

“Tapi... cara you posing tadi I rasa macam you gembira, suka kelihatan seksi dan ghairah,” komen Adam memberikan pandangan. Matanya tidak lepas memerhatikan segenap inci tubuh Zerlindah.

Dum! Berdetak hebat jantung Zerlindah mendengar komen yang keluar dari mulut lelaki itu.

“Nampak gembira? Tolong sikit ya. Saya terima photoshoot ni bersebab!” tegas Zerlindah sambil menentang pandangan nakal Adam yang meliar di segenap tubuhnya.

You should have rejected the offer of you hated it so much! Tapi bila you terima tawaran ni, nampak sangat you memang suka dipandang murah!” tuduh Adam lagi. Dia merenung tajam ke dalam anak mata Zerlindah.

Ya ampun... Kenapa dengan lelaki ini? Kejap nampak memahami, kejap nampak macam saja cari pasal! Zerlindah tertawa halus. Kepalanya digeleng laju.

What is wrong with me? Kenapalah I layan lelaki annoying macam you ni?” Zerlindah berang dengan dirinya. Patutnya, dia tak perlu peduli pun dengan pandangan Adam.

“Kita bukan sesiapa, Adam. Jadi, I tak perlukan keizinan you untuk buat apa yang I suka dan perlu.” Usai berkata dia terus berpaling ke belakang, menapak menuju ke bilik persalinan.

“Jom! Salin dalam bilik I!” tegas Adam setelah menyaingi langkah Zerlindah. Digenggam kemas lengan gadis itu dengan kuat.

“Apa you buat ni Adam? Lepaskan I!” marah Zerlindah. Mencerlung tajam matanya memamah wajah kacak Adam dengan penuh rasa terkejut.

Jemari Adam yang melekap kemas di lengannya, ditampar berkali-kali dengan kuat. Geram rasa hati apabila dilakukan sebegitu. Genggaman lelaki itu menyakitkan dirinya! Dia juga dipaksa berjalan dengan laju seiring dengan rentak kaki Adam.

Since you’re cheap, why don’t you just change in my room? You boleh selamba tayang tubuh depan semua orang tadi, kali ni you cuma tunjuk pada I seorang aje. Apa salahnya, kan?” selamba Adam berkata.

“Jangan kurang ajar dengan I Adam!” marah Zerlindah lantang. Kuat dia meronta, tapi tenaga lelaki Adam membatasi kekuatannya. Leka bercakaran tanpa dia sedar kini mereka telah pun berada di dalam lif.

Banyak mata yang memandang tapi tiada seorang pun yang datang menerpa ke arah mereka berdua. Mungkin semua ingat mereka berdua ini pasangan kekasih yang sedang bercakaran.

“Siapa yang kurang ajar dulu, sweetheart? You yang peraga tubuh, I yang dikatakan jahat?” sinis Adam.

“Bila I peraga tubuh? You menuduh tanpa bukti!” sangkal Zerlindah dengan suara yang tinggi.

“You nak bukti? Dah cukup bukti depan mata I tadi, you masih nak nafikan? Atau you nak tunggu sampai gambar ghairah you tu tadi ditayangkan dalam majalah, baru you mengaku itu sebagai bahan bukti?” marah Adam.

Photoshoot tadi untuk majalah negara luar, bukan majalah tempatan! Seriously, what is wrong with you? Siapa you nak kongkong I!protes Zerlindah lantang. Dia betul bingung dengan keadaan ini. Tiba-tiba sahaja dirinya diburu oleh Adam.

“I tak suka bakal isteri I tayang tubuh depan orang lain! You milik I!jerkah Adam kuat. Cengkaman di lengan Zerlindah dikemaskan dengan sekuat tenaganya.

“Bakal isteri? I tak kenal you pun, Adam...” tutur Zerlindah keras.

Adam memekakkan telinga.

“Adam... sakitlah!” Zerlindah separuh merayu apabila lengannya dicengkam hebat mengalahkan kekuatan besi.

Adam hanya diam mematungkan diri. Matanya kekal merenung pintu yang tertutup rapat, seakan tidak sabar hendak keluar dari perut lif tersebut.

Puas Zerlindah meronta minta dilepaskan, namun cengkaman lelaki itu semakin kuat. Wajah tampan yang kelihatan menyinga itu direnung bingung.

Tekanan lif yang membawa mereka naik ke tingkat atas dengan laju membuatkan Zerlindah berasa sedikit pening. Dengan keadaan baju yang basah memberat di tubuh dan juga situasi yang tidak masuk akal dalam fikirannya, dia berhenti memprotes. Dia cuba menarik nafas yang terasa sempit di dada.

Adam melirik ke arah Zerlindah. Dilihatnya gadis itu diam membisu seakan kebingungan. Tidak lagi meronta-ronta minta dilepaskan mahupun melawan bicaranya. Sekali lagi dia tayang senyuman penuh sinis.

Sebaik saja pintu lif terbuka, Zerlindah pantas menggigit lengan Adam dengan sekuat hatinya sehingga lelaki itu mengerang kesakitan. Secara automatik, cengkaman di lengannya terlerai. Dalam sekelip mata juga, dia bertindak pantas memboloskan diri keluar daripada lif dan berlari dengan sekuat hati menuju ke pintu kecemasan.

“Indah!”

Zerlindah terdengar namanya dilaung dengan kuat dari arah belakang, namun sedikit pun dia tidak menoleh. Dia pasti Adam sedang mengejarnya.

Pyscho!” getus Zerlindah dengan nafas yang tercungap-cungap. Kini, dia mengesyaki Adam sebagai pesakit mental yang berselindung di balik wajah yang tampan.

Adam mempercepatkan lariannya mengejar Zerlindah. Tidak mahu gadis itu terlepas dari pandangan.

Arghhh!” jerit Zerlindah kuat. Tubuhnya terlentang ke belakang selepas berlanggar dengan tetamu hotel yang keluar dari bilik secara tiba-tiba.

“Zel!” Terbeliak mata Zafeeq melihat bekas kekasihnya itu terlentang di atas lantai koridor hotel dengan pakaian renang yang amat seksi.

Zerlindah tergamam dalam kesakitan. Tubuhnya terasa begitu sakit sekali saat ini. Kepalanya juga terasa berat dan berdengung dek hentakan yang kuat ke lantai tadi.

Malu? Tak usah cakaplah tahap malu yang dia rasakan saat ini. Terasa mahu menyorok di bawah katil saat menyedari lelaki yang dilanggarnya tadi ialah Zafeeq.

“Zel, you tak apa-apa ke?” Zafeeq bertanya cemas. Baru saja dia ingin menarik gadis itu bangun, tiba-tiba ada tangan kekar lain yang menyambar tubuh Zerlindah ke dalam pelukan. Zafeeq terkesima.

Its okay. I got her, bro. Thanks,” ucap Adam laju lantas berlalu pergi.

Zafeeq hanya memandang dari jauh. Zerlindah yang masih bingung, kekal diam dalam kendongan Adam.

Pintu kamar dibuka dengan kad akses yang dimiliki. Dengan berhati-hati Adam meletakkan tubuh Zerlindah di atas katil tapi bingkas Zerlindah bangun dari perbaringan. Tidak selesa berkeadaan begitu di hadapan Adam.

“Indah, you okey tak?” Adam menyoal dengan penuh prihatin. Laju tangannya menyelongkar beg pakaian yang masih belum dikemas di atas sofa.

Apabila pertanyaannya tidak dijawab, Adam menoleh sekilas ke arah Zerlindah. Bimbang pula jika gadis itu pengsan gara-gara telentang teruk di atas lantai sebentar tadi. Bukan niatnya untuk menyakiti gadis itu.

“I okey...” jawab Zerlindah lemah. Sungguh, kepalanya masih terasa sengal akibat hentakan yang kuat sebentar tadi. Namun, sesakit mana pun tubuhnya saat ini dia terpaksa berlagak kuat di hadapan Adam. Tak mahu lelaki itu mengambil kesempatan ke atas dirinya yang nampak lemah.

“Nah, ambil baju ni. Pergi tukar baju you,” arah Adam seraya menghulurkan sehelai tuala dan t-shirt labuh miliknya kepada Zerlindah.

Zerlindah mendongakkan wajah ke atas, mencari sepasang anak mata milik Adam. Dia kematian diksi. Pelbagai persoalan bermain dalam mindanya saat ini. Tapi, dia tidak tahu di mana harus dia mulakan.

Enggan berlengah, baju yang dihulurkan oleh Adam dicapai. Bingkas dia menuju ke arah bilik air di sudut kamar itu. Namun, langkahnya terhenti tatkala mendengar pintu bilik hotel tersebut diketuk bertalu-talu.

“You ada tetamu?” tanya Zerlindah separuh menoleh ke arah Adam yang sedang duduk di birai katil. Lelaki itu leka dengan telefon di tangan.

Nope! Pergi salin baju you sekarang!” arah Adam sekali lagi. Tajam pandangannya dihadiahkan kepada Zerlindah yang kelihatan sedang teragak-agak di tengah bilik.