SHAWN Adam melangkah tenang ke pejabatnya yang terletak di tingkat paling atas bangunan SH Holdings Sdn. Bhd. Selaku pewaris tunggal syarikat talent agency yang dimiliki oleh keluarganya Seth Harrison, dia merupakan salah seorang CEO termuda dalam bidang tersebut.
Sungguhpun umurnya masih muda, namun pengalaman yang dimiliki dalam bidang perniagaannya ini amat tinggi. Semuanya berkat usaha dan tunjuk ajar kedua arwah ibu dan bapanya. Tak sia-sia dia dilatih tentang selok-belok bidang perniagaan ini semasa berusia 17 tahun.
Dia ingat lagi, usia 17 tahun merupakan kemuncak usia remajanya. Sepatutnya dia berseronok bersama rakan sebaya meneroka alam dunia remaja. Tapi, keseronokannya dibataskan dengan tanggungjawab yang perlu dia galas dalam meneruskan perniagaan keluarga.
Pada mulanya memang Adam memberontak sebab dia langsung tidak punya minat untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Dia sukakan bidang perakaunan. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang auditor yang berjaya. Tapi lama-kelamaan dia jatuh suka pula pada perniagaan talent agency yang diusahakan oleh orang tuanya. Betullah apa yang orang kata; tak kenal maka tak cinta.
Orang tua Adam terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dia berusia 23 tahun. Mujur ketika itu dia sudah mampu untuk menggalas tanggungjawab besar ini. Kalau tidak, pasti dia sedih apabila tidak mampu pertahankan aset peninggalan kedua orang tuanya.
“Morning, Encik Adam!” ucap Dayang penuh sopan sewaktu ketuanya berjalan melintasi meja kerjanya.
Kenangan lalu yang terimbas dalam fikiran Adam terus lenyap sebaik saja suara Dayang menerobos masuk ke gegendang telinga. Dia yang mendengar ucapan selamat pagi itu melemparkan senyum sambil menganggukkan kepala sekilas kepada setiausahanya.
Usai melabuhkan punggung ke atas kerusi empuk miliknya, Adam mula tekun bekerja. Semua dokumen dan fail yang berada di atas meja diteliti dengan penuh terperinci.
Dia ingin memilih profile yang paling berbakat untuk para pelanggannya demi menjaga kredibiliti dan nama syarikat yang diterajui. Bukan mudah untuk dia bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang lain. Jika tidak berhati-hati dalam persaingan ini, mudah saja dia akan jatuh tersungkur.
SH Holdings Sdn. Bhd. bertanggungjawab dalam mencari insan-insan yang berbakat dalam bidang pengacaraan, modeling, lakonan drama dan filem, pengiklanan, rancangan hiburan, atur cara dan lain-lain lagi.
Sedang dia leka meneliti profile seorang gadis, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas interkom ditekan, memanggil setiausahanya masuk ke dalam biliknya.
“Dayang, you dah beli apa yang I minta?” soal Adam sebaik saja wajah setiausahanya terjengul di sebalik pintu.
“Err... maksud bos, senarai majalah tu ke?” tanya Dayang inginkan kepastian. Kaget pula apabila disoal secara tiba-tiba begitu tanpa sempat dia menapak masuk ke bilik itu dengan tertib.
“Ya, Dayang. Mana majalah-majalah tu?” Adam meminta sekali lagi. Tak sabar ingin menilik majalah yang dipesan kepada setiausahanya semalam.
“Sekejap ya, I pergi ambil,” ujar Dayang segera berlalu. Tidak sampai 5 minit, dia muncul kembali di hadapan Adam bersama beberapa buah majalah.
“Okay, thanks! You boleh pergi,” arah Adam sebaik saja majalah-majalah itu diletakkan di atas mejanya. Tanpa bertangguh, dia pantas menyelak satu per satu helaian dalam majalah itu.
“Indah...” gumamnya perlahan apabila mata menyoroti setiap gambar Zerlindah di dalam majalah-majalah tersebut. Dia sebenarnya memesan majalah itu hanya untuk memiliki koleksi-koleksi sesi permodelan Zerlindah Jawhara untuk kegunaannya nanti.
Sedikit sebanyak, Adam sebenarnya berasa kagum dengan cara Zerlindah bekerja. Setiap sudut yang diambil, semuanya membuahkan hasil yang cantik. Pandai benar gadis itu memikat lensa kamera. Dalam diam, otaknya ligat mengatur rencana. Telefon pintar dicapai. Aplikasi WhatsApp dibuka laju.
Kau tak beritahu aku pun yang
Indah ni model.
Butang send ditekan. Mesej itu dihantar kepada seseorang. Tidak lama kemudian, telefon pintarnya berbunyi, tanda ada jawapan balas yang ditunggu. Pantas mesej itu dibuka.
Indah? ‘Indah’ betul nama yang kau
bagi kat dia. Aku ingat kau dah tahu lama.
Btw, siapa aje yang tak kenal dia? Kau CEO
SH Holdings kut. Patutnya kau lebih tahu.
Aku tak tahu sebab dia tak pernah
apply job kat syarikat aku. Model dalam
Malaysia ni ramai... bukan dia sorang je!
Aku tahu pasal kewujudan dia pun
daripada kau.
Sekali lagi mesej itu dihantar.
So now, kau dah tahu. Good luck!
Usai baca balasan mesej, Adam mengambil keputusan untuk tidak memberi sebarang jawapan balas. Perbualan antara dia dan individu tersebut ditamatkan begitu saja.
Dia termenung seketika. Berfikir bagaimana caranya untuk mendekati Zerlindah sekali lagi. Tumpuannya terganggu seketika. Kerja yang menuntut perhatiannya diabaikan. Dia hanya tersedar daripada lamunan tatkala jarum jam berdenting menunjukkan jam 10 pagi.
Tidak ingin masalah peribadinya mengganggu kerjaya, dia kembali fokus. Tetapi fokusnya tidak lama. Dia seakan-akan panasaran sendiri. Selagi rancangannya untuk memikat Zerlindah tidak terlaksana, dia tak boleh berdiam diri. Jemari dibawa ke pipi, mengelus lembut jambang nipis di tepi rahang wajahnya.
“Dayang, masuk kejap,” arah Adam melalui interkom.
Idea! Ya, dia sudah punya idea yang boleh diguna pakai. Adam bersandar santai di kerusi sambil memutarkan pen di jarinya. Sabar menanti Dayang masuk.
“Ada apa Encik Adam?” tanya Dayang lembut sebaik saja dia dipersilakan duduk.
“Okey, macam ni. I nak you carikan I semua informasi tentang model kacukan ni. Namanya Zerlindah Jawhara.” Adam memberi arahan sambil menunjukkan beberapa keping gambar kepada Dayang.
“Wow! Cantiknya dia, bos!” Dayang memuji ikhlas. Sungguh, dia sendiri terpesona melihat kecantikan model kacukan itu.
“Cantik, kan? Itulah bakal wife I kalau you nak tahu.” Adam mengukir senyum manis sambil memandang ke arah Dayang yang sudah melopongkan separuh daripada mulutnya.
“Serius ni bos?” tanya Dayang sedikit musykil.
“Kalau ada jodoh. Dah, cepat dapatkan info yang I nak. Dapat je terus bagi pada I,” arah Adam semula. Tak mahu terlalu lama membuang waktu. Banyak lagi kerja yang perlu dia selesaikan.
“Baik, bos!” Cepat-cepat Dayang berlalu bersama pen dan kertas catatan di tangan mengenai tugasannya. Dia sebenarnya rasa senang bekerja dengan Shawn Adam kerana bosnya itu bukan kuku besi seperti bos-bos syarikat besar yang lain. Oleh kerana itu, dia sangat komited dengan kerjanya.
Tok! Tok! Tok!
“Masuk!” laung Adam selepas ketukan di pintu pejabatnya terhenti.
“Bos tak pergi lunch ke?” tanya Dayang prihatin apabila melihat ketuanya masih terperap di dalam bilik setibanya waktu makan tengah hari.
Adam panggung kepala seketika. Terasa seperti baru sebentar tadi dia masuk ke pejabat dan sudah tiba waktu makan tengah hari? Jam di tangan dikerling sekilas.
“Oh, you go ahead. Kejap lagi I ada meeting dengan client,” beritahunya memberi izin kepada cik setiausaha.
Adam faham benar dengan sikap prihatin Dayang terhadap dirinya selama gadis itu bekerja di sini. Selain selesa dengan cara Dayang bekerja, dia juga menaruh kepercayaan yang amat tinggi terhadap pekerjanya itu.
Sebaik saja pintu biliknya kembali tertutup, dia terus melemaskan diri dalam kerjanya tanpa henti. Tepat jam 2 petang, Adam bergerak meninggalkan pejabatnya.
Kereta dihalakan menuju ke Shangri-La hotel. Dia akan bermalam di situ selepas perjumpaan bersama pelanggannya petang ini.
No comments:
Post a Comment