DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 19 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 18

“Naim,” bisik Azzahra.
Laju kepala Naim berpaling ke belakang. Melihat
mata Azzahra yang bulat. Ada garis-garis panik pada sorotan
mata temannya itu.
“Tu... ab... Abang Farouk...”
Spontan Naim serta Zayn menghalakan wajah ke arah
panahan mata Azzahra. Zayn sudah pun memberhentikan
keretanya di hadapan bangunan hostel Azzahra. Kelihatan
seorang lelaki sedang berdiri tidak jauh dari laluan utama
ke lobi sambil berpeluk tubuh. Wajahnya serius. Namun ada
sesuatu terdetik dalam benak Zayn. Farouk seorang lelaki
yang boleh tahan segaknya. Tidak hairan mengapa Azzahra
boleh tergila-gilakan lelaki itu.
“Dia buat apa kat sini?” soal Azzahra lagi. Dia kini
dilanda rasa gugup yang maha hebat.
“Aku rasa dia nak jumpa kau. Mungkin nak pujuk
kau supaya setuju dengan permintaan mak long kau,” tebak
Naim.
“Aku... aku...” bergetar suara Azzahra.
“Ara, sebelum kau keluar dari kereta ni, kau cakap
betul-betul dengan aku. Kau nak ke tak dengan sepupu kau
tu?” soal Naim dalam nada yang serius. “Aku tak nak kat
mulut kau kata tak nak, tapi bila kena pujuk dengan sepupu
kau tu, kau cair dan terus cakap nak.”
“Aku tak nak!” Tegas.
“Bagus! Kau jangan lupa pendirian kau tu.”
Perlahan-lahan Azzahra membuka pintu kereta.
Zayn mematikan enjin lalu berkeputusan untuk menemani
Azzahra. Naim juga begitu.
Dari jauh, suara Farouk menyeru nama Azzahra
sudah kedengaran. Bergegas dia berjalan menghampiri
sepupunya itu.
“Ara... abang ada benda nak cakap dengan Ara!”
terjah Farouk sebelum sempat Azzahra menyapanya.
Langkah Azzahra terhenti.
‘Abang? Eh! Sejak bila dia bahasakan diri dia abang?
Dah terdesak macam ni baru nak ingat kat aku?’ Hati Azzahra
dipagut sayu. Farouk belum membuka mulut lagi, tapi dia
seakan sudah tahu akan permintaan lelaki itu. Kalau tidak,
takkanlah Farouk sanggup mencemar duli mencarinya
hingga ke Pulau Pinang? Terasa diri hanya diperlukan ketika
lelaki itu berada dalam kesusahan.
“Errrr... abang nak bincang dengan Ara berdua je,
boleh?” pinta Farouk lembut. Mata mengerling ke arah Naim
dan Zayn, memberikan isyarat yang jelas lagi nyata.
“Kita ke sana kejap,” ujar Azzahra sambil melangkah.
Sempat dia menghantar pesanan melalui bahasa mata kepada
Naim agar temannya itu tidak beredar lagi. Dia tidak yakin
akan kemampuan dirinya ketika berhadapan dengan Farouk
berseorangan. Dia takut akan kelemahan dirinya.
Tidak jauh Azzahra mencari tempat. Kelibatnya
masih boleh dilihat oleh Naim dan Zayn. Dia melepaskan
suatu keluhan berat sebelum membuka mulut.
“Kalau abang ke sini sebab nak tahu keputusan Ara,
abang buang masa je. Mak dengan mak long pun tak tahu lagi
keputusan Ara.”
Berubah riak Farouk.
“Abang... abang perlukan pertolongan Ara. Memang
kalau boleh, abang nak batalkan semuanya, tapi mak tak nak
keluarga kita tanggung malu.”
Oh, okey! Tahulah Azzahra kini yang Farouk tidak
bersetuju sepenuhnya dengan rancangan ibunya untuk
menyatukan mereka. Ini semua demi mempertahankan
maruah keluarga saja.
“Takkan Abang Farouk tak boleh pujuk Kak Kamelia
tu? Pergilah cari dia. Masih ada masa,” saran Azzahra.
Farouk menyebak rambut ke belakang. Wajahnya
berserabut.
“Abang tak tahu dia menghilang ke mana. Abang dah
cuba cari, tapi...” Kata-kata Farouk mati begitu saja.
“Manalah tahu nanti nak dekat dengan tarikh nikah
dia balik semula? Mungkin dia merajuk kecik je tu.”
Laju Farouk menggelengkan kepala.
“Abang rasa dia takkan balik.”
“Takkan keluarga dia tak tahu dia pergi mana?
Macam ada yang tak kena je?”
Farouk diam. Memang dia turut merasakan ada
sesuatu yang tidak kena dengan Kamelia serta keluarga
tunangnya itu. Setelah setiap permintaan mereka
dipersetujui, tiba-tiba saja Kamelia mahu mengubah itu
dan ini. Waktu semakin suntuk. Permintaan Kamelia pada
saat-saat akhir dirasakan tidak munasabah dan amat tidak
patut. Maka Farouk mula membantah sedangkan selama ini,
dia tidak pernah mahu kata tidak kepada tunangnya itu. Dan
dia tidak mahu mengalah, justeru perbalahan mereka menjadi
semakin parah. Apabila ditanya ke mana menghilangnya
Kamelia, keluarga gadis itu boleh mengaku yang mereka
tidak tahu tanpa memberi sebarang keyakinan kepada Farouk
yang mereka akan cuba memujuk Kamelia.
Diam Farouk membuat Azzahra berasa tidak selesa.
“Habis tu, abang nak Ara buat apa?”
“Ambik tempat Kamelia. Tolong abang, Ara. Kita
kahwin. Lepas setahun, kita bercerai.” Tanpa emosi Farouk
melamarnya, dan dalam nafas yang sama, Farouk boleh
berkata akan melepaskannya.
Koyak senyuman di bibir Azzahra. Senget
senyumannya. Tiada gula.
“Abang tahu tak, yang abang dah tunaikan impian
setiap gadis kat dalam dunia ni? Kena propose, tapi pada
masa yang sama, abang cakap pasal perempuan tu yang akan
jadi janda dalam masa setahun! Wow! Bravo, abang! Well
done!” sinis Azzahra menyindir sepupunya. “A proposal of a
lifetime!”
Terpukul Farouk mendengar kata-kata Azzahra,
namun dia tidak mampu membidasnya. Mulut sudah terlajak
kata.
“Kenapa Ara patut bersetuju nak kahwin dengan
abang semata-mata untuk diceraikan? Ara masih waras lagi,
abang. Ara masih muda dan Ara tak kemaruk nak jadi janda
lagi!”
“Ara...” Farouk mencerna otak untuk mencari
kata-kata yang sesuai untuk mengambus semula keterlanjuran
kata-katanya. “Abang tahu, kat dalam hati Ara, memang Ara
nak sangat kahwin dengan abang, kan? Ara tunggu apa lagi?
Inilah peluang untuk Ara buat impian Ara jadi kenyataan.
Abang terima Ara. Tolong kahwin dengan abang, Ara...” rayu
Farouk tanpa rasa malu.
‘Tolong kahwin dengan abang, Ara...’
Suatu waktu dahulu, kata-kata inilah yang paling
ditunggu-tunggu oleh Azzahra. Kata-kata keramat yang
sering meniti dalam setiap angannya. Menanti si pemilik
hatinya menyedari betapa dia telah diciptakan oleh Ilahi
untuk menjadi pendamping kepada lelaki itu. Melamarnya
sambil mengungkapkan kata-kata cinta. Tapi kini... lamaran
yang diterima bukan kerana cintanya berbalas... bukan juga
kerana Farouk telah sedar akan perasaannya yang sebenar...
tetapi hanya kerana tidak mahu menconteng arang ke wajah
orang tuanya.
“Abang kata abang terima Ara, tapi abang nak Ara
jadi isteri abang untuk setahun je. Kalau Kak Kamelia datang
balik, ada kemungkinan yang Ara akan diceraikan dalam
masa kurang daripada setahun, kan? Maaf... Ara tak sanggup.
Kalau boleh, Ara nak beritahu keputusan Ara pada mak long
dulu, tapi memandangkan abang ada kat sini, mungkin abang
boleh sampaikan keputusan Ara ni pada mak long.”
Farouk meraup wajah. Kasar. Seolah-olah tidak
percaya dengan kata dua daripada sepupunya itu. Dia
mendengus kuat.
“Kau sengaja buat macam ni, kan? Sengaja nak balas
dendam kat aku sebab aku tak pernah balas perasaan kau!”
Hilang sudah bahasa lembutnya sebentar tadi. Kembali ke
sediakala, berbahasa kasar dengan Azzahra. “Kau nak aku
merayu? Melutut pada kau, kan? Tu yang kau nak?” bentak
Farouk lagi.
Azzahra menahan hati yang tergores. Masih tiada
yang berubah nampaknya. Farouk takkan pernah bisa
berlembut dalam bicara, apatah lagi dalam tingkah laku
terhadapnya. Benci lelaki itu akan dirinya seakan tidak bisa
disembunyikan.
“Abang baliklah. Ara nak naik ke bilik.”
Azzahra menyusun langkah, namun lengannya
direntap kasar dari belakang.
“Auw!” keluh Azzahra kesakitan. Berkerut wajahnya.
“Aku tak habis cakap lagi! Kau dengar sini, ya? Aku
tahu kau memang dari dulu lagi nak kahwin dengan aku...
gilakan aku! Siap canang pada semua orang kau akan jadi
isteri aku! Cuma sekarang ni kau sengaja jual mahal, kan?
Kau ingat aku tak tahu yang orang pompuan ni suka dipujuk
rayu? Kau dengan Kamelia sama je!” tempelak Farouk keras.
Merah matanya menikam ke mata Azzahra. Yakin yang
Azzahra sengaja ingin mendera dan menyeksanya atas semua
perlakuannya terhadap gadis itu selama ini.
Kuat cengkaman Farouk di lengan Azzahra. Azzahra
cuba melepaskan diri namun pegangan Farouk begitu kejap.
Sakit!
“Bro, aku kira sampai tiga. Kalau kau tak lepaskan
tangan dia, muka kau hancur aku kerjakan! Satu, dua...” Laju
Zayn mengira. Tidak seperti lazimnya mengikut detik satu
saat.
Terus saja Farouk melepaskan lengan Azzahra. Tidak
berani mahu mencabar kemampuan lelaki dengan wajah yang
cukup bengis yang tiba-tiba berdiri di sebelah kanan Azzahra.
Zayn melabuhkan mata ke wajah Azzahra.



*KELUARAN MEI 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 17

“Helo?”
“Helo. Pak cu? Abang ni. Pak cu ada kat Penang tak?”
Berkerut dahi Zayn. Mengapa suara anak saudaranya
kedengaran begitu terdesak? Panik semacam.
“Ada. Pak cu memang dah dua tiga hari kat sini.
Kenapa bang?”
“Ara! Ara, pak cu!”
“Kenapa dengan dia?” Entah mengapa Zayn berasa
cemas mendengar Naim menyebut nama Azzahra. Dia sendiri
tidak tahu mengapa dia perlu rasa begitu. Tetapi rasa tidak
enak menular ke seluruh urat sendinya.
“Semalam Ara tak datang kelas. Abang ingat dia
senggugut ke, tak sihat ke. Tapi, hari ni pun dia ponteng.
Abang call, WhatsApp semua tak dapat. Abang risaulah. Shida
pulak tak tahu Ara pergi mana. Kata dia, semalam pagi-pagi
lagi Ara dah keluar, sampai lewat malam baru balik. Hari ni
pun sama. Sejak pagi dia dah lesap. Abang risaulah pak cu.
Ara tak pernah hilang macam ni.”
“Abang kat mana sekarang?”
“Abang kat kampus. Abang baru habis kelas petang.
Abang tak tahu nak minta tolong siapa. Semua tak tahu Ara
kat mana. Abang rasa dia ada masalah. Tolong abang cari dia,
pak cu, boleh?”
Tidak perlu Naim meminta dua kali. Tidak minta
pun, sudah pasti dia akan menawarkan diri untuk membantu.
Tidak kisahlah teman baik atau teman istimewa. Azzahra
penting untuk anak saudaranya itu. Kalau tidak, Naim tidak
akan panik begini.
“Abang tunggu situ. Pak cu datang,” ujar Zayn seraya
mematikan talian.
Kurang lebih dua puluh minit, Naim sudah berada
di sebelah pak ciknya di dalam kereta. Melaporkan semula
tentang kehilangan teman rapatnya itu.
“Ara tak pernah macam ni, pak cu. Dia selalu akan
cakap pada abang dia nak pergi mana. Lagipun, Ara jarang
ponteng kelas melainkan dia tak sihat. Lepas tu, kalau dia
ponteng, dia mesti beritahu abang. Ni tak! Senyap je sampai
sekarang.” Berkerut wajah Naim. Begitu bimbang dengan
keadaan Azzahra yang tiba-tiba saja buat perangai. “Dahlah
kita orang tak lama lagi nak final exam untuk sem 4 ni. Pelik
betul abang dengan dia ni.”
“Abang ada call famili dia tak?” soal Zayn.
Laju Naim menggelengkan kepala.
“Abang tak nak mak dia risau. Manalah tahu mak dia
tak tahu apa-apa pun pasal Ara ni.”
Zayn terdiam seketika. Ligat minda berfikir.
“Kat Penang ni, ada ke tempat yang Ara selalu pergi?
Tempat favourite dia ke?”
Naim cuba berfikir.
“Ara tak suka lepak kat shopping mall... tapi dia suka
makan,” gumamnya perlahan. Tiba-tiba Naim memetik jari.
Seolah-olah baru terfikir sesuatu. “Ada! Dia suka ke Teluk
Bahang!”
“Jauhnya...” sempat Zayn berbisik di hujung nafas.
Namun, dia tidak banyak bicara. Kereta sudah dikemudi ke
tempat yang disebut Naim tadi.
Kereta diparkirkan di tepi jalan. Laju Naim melompat
keluar dari perut kereta. Kaki dibawa melangkah, sambil
mata meliar ke arah pantai. Zayn turut mencari.
Terpasak mata Naim ke suatu arah. Di atas bongkah
batu-batu besar, kelihatan seorang gadis sedang duduk
bersendirian dengan kedua belah tangan memeluk lutut.
Naim hampir berlari. Zayn hanya mengekor perlahan dari
belakang.
“Ara!” pekik Naim. Perasaan lega dan marah
bercampur baur membuatkan suaranya sedikit bergetar.
Azzahra mengangkat wajah lalu berpaling sedikit.
Melihat Naim, Azzahra kembali melemparkan pandangan ke
dada laut. Tidak menghiraukan wajah Naim yang kelihatan
tegang.
“Kau ni dah kenapa? Ponteng kelas. Tutup phone.
Hilang tak beritahu orang nak ke mana! Kau ni kenapa?”
suara Naim setegang wajahnya. “Kau tahu tak, aku risau gila
bila kau dua hari tak call aku?”
Zayn berhenti melangkah di bawah bongkah batu.
Tidak mahu mengikut langkah Naim yang memanjat untuk
mendekati Azzahra.
“Ara! Kau dengar tak aku tanya ni?” Zayn mendengar
Naim menyoal Azzahra dengan nada marah.
“Aku dengarlah...” Perlahan suara Azzahra meniti
di telinga Zayn. Perlahan dan... serak. Serak? Gadis itu sakit
tekak ke?
“Ara...” suara Naim sudah mengendur. Mungkin
perasan akan suara Azzahra yang tidak bermaya.
Naim mengambil tempat di sebelah temannya. Lama
dia mengamati wajah Azzahra dari tepi.
“Kau nangis? Apa masalah kau sebenarnya ni?”
Azzahra membenamkan wajah ke lutut. Masih belum
bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa pun. Lebih-lebih
lagi Naim. Teman yang tahu segala rahsianya.
“Ara... kau janganlah macam ni. Kalau kau ada
masalah pun, aku kan ada. Kau ponteng kelas dan lesapkan
diri macam ni, takkan selesaikan apa-apa,” pujuk Naim
lembut. “Kenapa kau tak cari aku? Kenapa kau lari?”
Lama Azzahra menyepi. Akhirnya, dia mengangkat
wajah namun masih tidak mahu memandang ke arah Naim.
Tidak mahu temannya itu melihat kesan air mata yang
dibazirkan sejak semalam.
“Sejak kau kenal aku, apa yang aku inginkan lebih
daripada segala-galanya dalam dunia ni?” soal Azzahra
perlahan.
Kening Naim bertaut.
“Yang aku tahu... keinginan kau selama ni hanya
satu. Nak jadi isteri kepada sepupu kau si Farouk tu.”
Merekah bibir Azzahra. Namun senyumannya begitu
sayu. Begitu tepat tekaan Naim. Tepat sekali!
“Naim... apa kau akan kata, kalau aku cakap pada
kau... apa yang aku nak selama ni dah ada dalam genggaman?”
“Maksud kau?”
Azzahra mengerling ke arah Naim.
“Aku boleh jadi isteri dia kalau aku nak...” luah
Azzahra lemah. Mata memandang kosong ke permaidani
berwarna biru di depan mata. “Peluang tu dah terbuka untuk
aku.”
“Ara... aku tak faham! Kau nak kahwin dengan
Farouk ke? Tapi... bukan ke dia dah bertunang?”
Dengusan kecil terlepas dari bibir Azzahra.
“Tunang dia dah lari. Bergaduh ke apa pun aku tak
pasti. Majlis nikah lagi dua minggu. Aku... aku kena jadi
penyelamat maruah keluarga.”
Naim terkedu. Lidahnya kelu tidak bisa berkata-kata.
Azzahra kini memandang tepat ke mata temannya.
“Ara...” bisik Naim sebaik melihat sorotan mata
Azzahra yang menceritakan seribu rasa. “Kau tak nak?”
Laju Azzahra menggeleng.
“Tapi ni yang kau nak sejak dulu, Ara. Jadi isteri
Farouk, kan?”
Kepala Azzahra mengangguk pula.
“Tapi sekarang kau tak nak, ya?” soal Naim sekali
lagi.
Angguk sekali lagi. Dan dengan itu, air mata Azzahra
terbit kembali.
“Naim... aku tak nak jadi galang ganti. Aku tak nak!”
“Jadi, apa masalahnya? Cakap jelah kau tak nak.”
Azzahra diam. Hanya bahunya yang
terhinggut-hinggut kecil.
“Kau tak boleh tolak ke, Ara?” soal Naim akhirnya.
Lembut dia bersuara.
Azzahra mengesat air mata dari pipinya.
“Aku boleh tolak... tapi... aku tak tahu sama ada
aku mampu hampakan permintaan mak long aku.” Mata
ditongkat ke wajah Naim. “Dia mengharap sangat aku setuju,”
lirih suara Azzahra.
Naim cuba memahami hati temannya. Dulu,
Farouklah nama yang sering meniti di pinggir bibir
temannya itu. Abang Farouk ini... Abang Farouk itu... Farouk
merupakan insan yang didambakan sepenuh jiwa, walaupun
lelaki itu sedikit pun tidak pernah memberikan perhatian
terhadap Azzahra. Melayannya dengan baik pun tidak. Apatah
lagi menganggap Azzahra sebagai seorang perempuan yang
istimewa.
Tapi kini... hati Azzahra sudah berubah.
“Sepupu kau tu... dia kata apa?”
“Aku tak tahu. Yang call aku, mak aku dengan mak
long je,” bisik Azzahra. “Tapi aku yakin, bumi ni dah nak
terbalik pun dia takkan nak kahwin dengan aku.”
“Jadi... apa kau nak buat sekarang?”
“Aku tak tahu... Aku buntu sangat.”
“Cakaplah kau dah ada boyfriend. Habis cerita.”
Azzahra tersenyum. Namun, senyumannya hambar
sekali.
“Kau ingat senang ke? Tu alasan kliselah Naim.
Dalam novel pun semua guna alasan tu. Alasan dah ada
kekasih supaya dapat lari daripada kena kahwin paksa dengan
pilihan keluarga, kan? Lepas tu, kau nak suruh aku cari lelaki
untuk menyamar jadi kekasih aku pulak? Tayang kat keluarga
aku?” Azzahra menggelengkan kepala. Ingat orang tuanya
mudah untuk percaya yang dia sudah berpunya sedangkan
mereka tahu dia cuma rapat dengan Naim?
“Kau ingat hidup aku macam novel ke?” soal
Azzahra hampa. “Senang-senang cari lelaki untuk menyamar
jadi kekasih aku? Lepas tu berlakon depan famili aku semua,
konon bercinta bagai!”
“Novel tak novel. Hakikatnya, kalau kau dah ada
kekasih, takkan diaorang nak paksa kau kahwin dengan
sepupu kau tu?”
“Kekasih apa, Naim? Kekasih apa? Kau ingat mak
aku nak percaya?”
“Alah... kau dah berapa tahun hidup kat Penang ni?
Mana diaorang tahu kau ada boyfriend ke tak kat sini?”
“Logiklah sikit, Naim. Mak aku tahu aku berkawan
dengan siapa. Tak lain, kau jelah yang rapat dengan aku.”
“Hah! Cakaplah kau tengah bercinta dengan aku,”
cadang Naim konon ingin membantu. Tidak perlu berfikir
dua kali. Azzahra dalam dilema ketika ini, dan Naim akan
sentiasa bersedia untuk membantu.
Terbuka mulut Azzahra. Tercengang dia seketika.
Zayn yang berdiri di belakang tanpa pengetahuan Azzahra
pun turut tergamam.
“Aku nak fikir yang aku tengah bercinta dengan
kau pun aku geli, ni nak kena cakap pada mak aku yang
aku bercinta dengan kau? Memang taklah!” gerutu Azzahra
sambil menjeling temannya.
Naim ketawa. Besar tawanya. Langsung tidak
berkecil hati dengan kata-kata Azzahra.
Dan Zayn? Seolah-olah tidak percaya dengan
pengesahan yang lahir dari bibir Azzahra. Pengesahan yang
memadamkan setiap sangkaan dan setiap anggapan terhadap
perasaan Azzahra terhadap anak saudaranya selama ini.
Berkerut dahinya. Jadi betullah mereka berdua ini hanya
berkawan? Tak logik rasanya! Persahabatan antara lelaki
dengan perempuan tanpa membibitkan perasaan lain seakan
tidak pernah bisa terjadi dalam kehidupan ini. Yang nyata,
dia sendiri tidak pernah melaluinya. Tanpa sendar, Zayn
menghela nafas perlahan. Lega!
“Lagipun... aku tak pandailah nak menipu mak ayah
aku. Berdosa tau.”
“Kau tak rasa ke kau masih terlalu muda nak kahwin?
Lainlah aku yang dah masuk 20 tahun awal tahun hari tu,
tapi kau masih 19... macam tak layak je nak jadi isteri sesiapa
pun,” usik Naim. Tidak suka melihat Azzahra menangis atau
murung begini.
“Blahlah kau!”
Naim tersengih.
Azzahra tunduk. Terasa begitu terbeban dengan
berita yang diterima awal subuh semalam, daripada si ibu
mula-mulanya, dan kemudian daripada mak longnya. Farouk
tidak jadi hendak kahwin. Dia bergaduh besar dengan si
tunang, dan tiba-tiba saja Kamelia menghilangkan diri.
Suasana panik terus saja menguasai keluarga mak longnya
dan berjangkit pula ke ibunya. Dan dia menjadi mangsa!
“Ara, tak salah menolak. Ini hidup kau. Kau yang
berhak tentukan kehidupan kau,” ujar Naim sebaik melihat
wajah Azzahra yang serba salah.
“Kau rasa... kalau aku... kalau aku cakap yang aku
dah ada kekasih, aku boleh lari ke daripada masalah ni?”
tanya Azzahra akhirnya. Tadi, dia langsung tidak fikir yang
cadangan Naim boleh diguna pakai. Namun, dia benar-benar
terdesak kini. Jika alasan itu bisa memberikan peluang
kepadanya, walaupun kecil, dia mahu mencubanya.
Laju kepala Naim mengangguk. Penuh keyakinan.
“Tapi siapa?”
Kening Naim bertaut. Cuba mencari nama-nama
calon yang sesuai.
“Zack?”
Azzahra membuat muka. Tindakan refleks.
“Dia syok kat kau apa? Aku yakin kalau kau cakap ya
je, dia terus akan jadi kekasih kau.”
Diam. Azzahra melepaskan keluhan yang berat.
Tidak sanggup rasanya mempergunakan Zack sedangkan dia
tidak menaruh sebarang perasaan terhadap lelaki itu.
“Abang...”
Laju kepala Azzahra menoleh ke belakang. Terkejut
dia mendengar suara orang lain selain daripada Naim.
Membuntang matanya melihat Zayn tercegat berdiri di atas
pasir di belakang mereka. Dia memandang ke arah Naim.
Sorotan matanya memancarkan rasa tidak puas hati kerana
Naim tidak memberitahunya tentang Zayn yang ada bersama
mereka.
“Dah nak senja ni. Jom balik,” ajak Zayn.
“Errr Ara... sorry! Aku lupa nak beritahu yang
aku datang sini dengan pak cik aku,” tergagap-gagap Naim
bertutur. Bukan dia tidak tahu maksud pandangan tajam
temannya itu. “Kau jangan risau. Pak cik aku ni bukan bangsa
bawak mulut,” sengih Naim. Wajah bersalah tidak mampu
disembunyikan.
“Kau ni!” gerutu Azzahra. Dia malu. Malu yang
masalahnya bukan hanya telah dikongsi bersama Naim. Tapi
dengan seorang lelaki lain. Lelaki yang dia langsung tidak
berasa selesa dan yang dia tahu tidak berapa suka dengannya.
Naim bangun dari bongkah batu.
“Jom, Ara!” Naim lompat ke atas pasir.
Lambat-lambat Azzahra menurut. Agak sukar
pergerakannya memandangkan sudah lama dia dalam posisi
duduk. Terasa tegang di setiap urat kakinya.
Ketika Azzahra cuba untuk turun ke pasir, kakinya
seolah-olah tidak kuat bertahan. Lututnya membengkok
tiba-tiba dan dia rebah. Rebah terus ke dakapan Zayn. Jika
Zayn tidak menahan, tentu saja pucuk hidung Azzahra sudah
tercium pasir.
Azzahra terkedu. Dia pasti wajahnya kini sudah
merona merah. Dia cuba melepaskan pautan tangannya di
lengan Zayn, namun bukanlah mudah. Kakinya masih terasa
kejang. Dan ketika ini, bukan hanya kakinya yang terasa
kejang. Seluruh tubuhnya seakan memberikan reaksi yang
sama tatkala terpeluk lelaki itu tadi.
Tangan Zayn yang masih berada di pinggang Azzahra
menolak tubuh gadis itu agar bersandar ke bongkah batu di
belakangnya. Zas!!! Berdetup jantungnya bagaikan dipanah
halilintar. Tubuh kecil Azzahra hampir bercantum dengan
tubuhnya. Sesuatu yang tidak pernah dijangka akan berlaku.
Dia menelan liur.
“Maaf, pak cik...” tergagap-gagap Azzahra bersuara.
Zayn hanya mengangguk. Sedar yang gadis itu tidak
sengaja. Bukan dia tidak ingat betapa cepat Azzahra melenting
ketika Naim menarik tangannya dulu. Inikan sengaja mahu
memeluknya. Memang taklah! Sekuat tenaga, Zayn cuba
menenangkan kembali dada yang masih terasa sempit.
“Ara, kau okey tak ni?” soal Naim prihatin. Langsung
tidak menyedari kekakuan Azzahra serta Zayn.
“Kaki aku cramp. Mungkin sebab aku duduk lama
sangat,” balas Azzahra dengan wajah yang masih berkerut.
Naim menggeleng kepala.
“Nak aku gendong ke?”
Jelingan Azzahra tajam.
“Okey, okey... aku gurau je.” Laju Naim bersuara.
Dengan sabar mereka menunggu Azzahra bisa
menegakkan diri dan berjalan semula. Zayn hanya mendengar
Naim berceloteh tentang kuliah mereka dan kerja-kerja yang
perlu dilakukan sejak semalam. Topik yang tidak menarik
minatnya untuk mendengar. Namun, dia lebih memikirkan
tentang perbualan antara Naim dengan Azzahra tentang
lelaki bernama Farouk tadi. Lelaki yang pernah dicintai serta
digilai gadis itu suatu waktu dahulu. Apa agaknya kesudahan
belenggu yang dihadapi lelaki itu? Adakah Azzahra bakal
menjadi mangsa? Entah mengapa dadanya terasa sempit
mengenangkan Azzahra yang mungkin perlu berkorban demi
menyelamatkan maruah keluarga...

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 16

“Zayn...”
Zayn yang duduk bersendirian di ruang tamu
mengangkat wajah.
“Dah lama sampai?” soal Puan Mashitah seraya
mengambil tempat di sebelah adiknya.
“Baru je, long. Epul yang bukakkan pintu. Kak long
tengah solat katanya,” balas Zayn mesra. Namun hati tidak
berapa senang melihat wajah sugul kakaknya.
“Kenapa, long?”
Puan Mashitah menghela nafas panjang.
“Dato’ Herwan datang jumpa kak long dengan
abang long kelmarin.” Perlahan suaranya. Matanya lembut
memandang ke arah Zayn.
Berubah riak Zayn. Sekelip mata garis-garis tegang
muncul di serata wajah.
“Orang tua tu nak apa?”
“Dia datang nak meminang Zayn untuk Su,” lemah
balasan Puan Mashitah.
“Huh! Anak dengan bapak sama je tak faham bahasa!”
dengus Zayn kasar.
“Dato’ ada cakap yang dia dah jumpa Zayn sebelum
ni. Dia minta kak long pujuk Zayn untuk terima Su kembali.”
“Zayn hairanlah, long. Kenapa tiba-tiba dia ni
macam terdesak sangat nak satukan Zayn dengan pompuan
tu? Macam tak logik. Tak lama lepas bercerai, terus cari Zayn.
Macam ada yang tak kena je dengan diaorang anak-beranak
ni.”
Puan Mashitah diam seketika.
“Sebab ni ke kak long panggil Zayn balik?”
Lambat-lambat Puan Mashitah mengangguk.
“Kak long macam tak sedap hatilah, Zayn. Dato’
Herwan macam terlalu bersungguh-sungguh cuba nak
yakinkan kita yang dia dah sedar kesilapan dia tolak pinangan
Zayn dulu dan kahwinkan Su dengan anak kawan dia. Lepas
tu cakap nak Zayn jadi menantu dia. Kak long rasa sama je
macam Zayn. Kenapa tiba-tiba?”
Giliran Zayn pula mengunci suara.
“Dato’ tu berpengaruh orangnya. Kak long hairan
kenapa cari Zayn sedangkan dia boleh dapatkan ramai lelaki
lain yang kaya-raya untuk anak dia.” Jeda. “Diaorang tahu ke
status kewangan Zayn?”
“Entahlah, long. Zayn ni kerja freelance. Software
yang Zayn cipta sebelum ni pun, tak ramai yang tahu siapa
pemilik hak ciptanya.” Takkan sebab Zayn sudah berjaya
dalam kariernya, maka kini dia diterima oleh Dato’ Herwan?
Memang Zayn amat berhati-hati tidak terlalu menonjol akan
status diri. Kondominiumnya biasa-biasa saja. Kereta pun
sekadar Honda CR-V. Namun hakikatnya, duit yang masuk
ke dalam poket memang tidak pernah putus. Selain menjadi
konsultan untuk syarikat-syarikat perisian serata Malaysia,
duit yang diterima sebagai yuran pelesenan yang dikenakan
ke atas penggunaan perisian komputer yang diciptanya
membuatnya mampu untuk duduk sambil bergoyang kaki
saja kalau dia mahu.
“Syarikat Dato’ Herwan tengah bermasalah ke Zayn?”
“Zayn langsung tak ambik tahu hal diaorang, long.
Malas.”
“Tapi sekarang kak long rasa, Zayn perlu ambik tahu.
Dato’ Herwan tu nak jumpa kak long minggu depan. Dia nak
tahu sama ada kak long berjaya pujuk Zayn untuk terima
Su atau tak,” ujar Puan Mashitah dengan wajah yang serius.
“Kak long tak rasa yang Dato’ tu akan terima je penolakan
daripada kita macam tu je.”
“Boleh pergi mampuslah dia, long! Zayn tak kisah
dia nak buat apa. Dia tolak peminangan kita boleh. Kita tolak
peminangan dia tak boleh pulak? Banyak cantik! Kak long
jangan layan permintaan dia yang entah apa-apa tu. Mati
hidup semula pun Zayn takkan terima pompuan tu dalam
hidup Zayn! Tapi kak long jangan risau, Zayn akan cuba cari
maklumat tentang syarikat Dato’ Herwan.”
Puan Mashitah mengangguk.
“Zayn tahu kenapa Su bercerai?”
Laju Zayn menggeleng.
“Diaorang ada anak?” soal Puan Mashitah lagi.
Kali ini Zayn menjongket bahu.
Puan Mashitah mengeluh.
“Kalau Zayn tolak, apa yang diaorang boleh buat
untuk paksa Zayn? Kak long tak nak keluarga kita terancam
dalam apa juga keadaan.”
“Diaorang tak boleh paksa Zayn, long. Zayn
bukannya budak-budak. Kak long jangan risau, ya?” Zayn
cuba menenangkan hati kakaknya yang jelas bimbang.
“Kak long taklah risau sangat, tapi kan senang kalau
Zayn dah kahwin... atau nak kahwin dalam masa terdekat ni.”
Tiba-tiba Puan Mashitah meluahkan rasa. “Takdelah diaorang
sibuk nak pinang Zayn.”
Zayn ketawa.
“Ke situ pulak kak long ni.”
“Betullah apa yang kak long cakap ni. Gelak pulak
dia. Orang tengah serius ni, dia boleh gelak!” gerutu Puan
Mashitah.
Zayn melabuhkan tangan ke atas lutut kakaknya.
“Kak long jangan risau, ya? I will settle this,” janji
Zayn.
Lama Puan Mashitah menatap wajah adiknya. Adik
yang sering beralasan setiap kali dia mengutarakan soal
kahwin. Terlalu terlukakah dia dengan kisah lalu sehinggakan
dia seolah-olah serik untuk bercinta lagi? Terlalu dalamkah
sakit yang ditinggalkan oleh Suraya di dalam hati adiknya
itu? Dia mengeluh sekali lagi. Kesian Zayn. Wujudkah
seorang gadis di luar sana yang bisa merawat hati adiknya?
Semoga dia bisa melihat adiknya mendirikan rumah tangga
sekurang-kurangnya sebelum dia menutup mata. Amin...
Kembali ke kondominiumnya, Zayn mula menyumpah
di bibir. Melihat figura yang tercegat di depan pintunya
mengundang rasa benci yang takkan pernah padam untuk
perempuan itu.
“Kau nak apa?” soal Zayn kasar. “Tang mana yang
kau tak faham bila aku kata aku tak nak tengok muka kau
dah, hah?”
“Zayn... I just need five minutes of your time, please!”
rayu Suraya dengan wajah yang berkerut. Dia terpaksa
menebalkan kulit setelah berkali-kali ditolak oleh lelaki ini,
demi menambat kembali cinta pertamanya.
“Shoot! Your time starts now!” Zayn sengaja
mengilas pandang jam di pergelangan tangan.
Suraya tergamam seketika. Tidak menyangka yang
Zayn akan memberinya peluang untuk bersuara. Tiba-tiba
saja segala skrip yang dihafal sedari tadi terbang begitu saja.
Dia kehilangan kosa kata.
“Kalau kau nak habiskan masa kau dengan tenung
muka aku macam tu, baik kau blah!” terjah Zayn. Sabarnya
semakin menipis.
Suraya tersedar. Bergetar bibirnya ingin mencari
mukadimah yang sesuai untuk membentangkan usul untuk
membeli simpati daripada Zayn.
“I... I tahu you ingat I perdayakan you, dan tipu you,
tapi I ada penjelasan kenapa I buat semua tu, Zayn. I bukan
sengaja nak mainkan hati dan perasaan you. I... I terpaksa!”
Terjongket kening Zayn. Dia tergelak di dalam hati.
Terpaksa? Ni lawak! Sungguh lawak!
“You kena mengaku yang hubungan kita pada masa
tu memang tengah bermasalah. I tak pernah tipu tentang
perasaan I pada you, Zayn. I memang cintakan you, tapi you
jarang ada masa untuk I,” tuduh Suraya.
“So now it’s my fault?”
“I was lonely, Zayn. I perlukan perhatian, dan
Redza... Redza...”
“Aku sibuk bina kerjaya untuk cari duit supaya kita
boleh kahwin! Supaya daddy kau boleh terima aku! Tapi masa
aku sibuk cari duit, kau sibuk sedekah badan kau kat jantan
lain!” hambur Zayn tepat ke wajah Suraya. “Jadi, tu semua
salah aku?”
Suraya tunduk. Tidak mampu melawan panahan
mata Zayn.
“I mengaku I lemah, Zayn. Tapi Redza terlalu pandai
puj...”
“Oh shut up!” potong Zayn laju. “Jangan nak salahkan
orang lain bila kau sendiri jenis pompuan yang tak reti nak
jaga maruah kau! Sebelum ni kau salahkan daddy kau. Tadi
kau salahkan aku. Sekarang kau nak kata salah Redza pulak?
Kat mana kau letak kesalahan kau sendiri?”
Suraya menongkat mata.
“Zayn, I tahu I salah. Tapi I nak tebus balik semua
kesalahan I pada you. Tolong bagi I peluang Zayn...” rayu
Suraya sepenuh hati.
Zayn sudah menggeleng kepala.
“Why should I? Aku tak boleh lupa macam mana
kau berlakon kononnya kau mangsa rancangan daddy kau,
sedangkan kau memang tak pernah bantah nak kahwin
dengan jantan tu. Kat depan aku, kau cakap lain, tapi
hakikatnya... Kau memang penipu! Pengkhianat yang
memang patut digantung je!”
Berair mata Suraya. Dia cuba bertahan, namun
hatinya seakan tidak mampu lagi menerima aura benci yang
terbit dari setiap rongga lelaki itu.
“Zayn... I terpaksa... demi syarikat daddy, I terpaksa
terima Redza. Famili Redza je yang boleh selamatkan syarikat
daddy,” luah Suraya akhirnya.
“Bullshitlah! Kau ingat aku boleh percaya alasan
bodoh kau ni? Kau ni jenis pompuan apa agaknya ya? Kepala
berbalut. Kaki berbalut. Solat tak pernah tinggal, tapi kau
boleh pulak main jantan! Imej muslimah kau ni sekadar nak
menutup perangai busuk kau je, kan? Hei! Pompuan macam
kaulah yang buat orang beranggapan buruk pada pompuan
bertudung, kau tahu tak?”
“I masih manusia biasa, Zayn. I bukan malaikat! You
ingat perempuan yang pakai tudung macam I ni, semuanya
maksum ke? Tak, Zayn. I perempuan yang lemah dan pernah
buat salah, tapi I dah berubah. I dah sedar kesilapan I.”
“Sudahlah! Depan aku pijak semut pun tak mati. Aku
dah bosan dengar alasan kau. Lagipun, your five minutes is
up! Aku dah bagi peluang untuk kau bercakap. Tapi lepas ni,
jangan buang masa aku lagi! Kau cakap apa pun, kau buat apa
pun, peluang untuk kau dah mati! Kau faham tak? Dah mati!”
Nada suara Zayn naik satu oktaf. Tajam matanya. “Kau pergi
beritahu daddy kau, jangan nak kacau kakak aku. Takkan ada
apa pun yang boleh ubah fikiran aku!”
“Zayn...” seru Suraya bersama esak tangis. “I still
love you. I tak dapat lupakan you. Please...”
“Huh! Cinta konon! Cinta kau tak bernilai langsung
pada aku. Baik kau blah sekarang sebelum aku panggil
pengawal untuk angkut kau dari sini!” dengus Zayn. Cinta?
Yalah tu! Cinta Suraya untuknya, namun pada masa yang
sama, tubuh gadis itu boleh pula diserahkan kepada lelaki
lain. Cinta? Tapi boleh pula perkahwinannya dengan Redza
bertahan hingga enam tahun lamanya! Yalah tu cinta! Boleh
blahlah!
Suraya semakin terdesak. Hati Zayn begitu keras,
sukar untuk dilenturkan. Lafaz cinta sudah juga dilaungkan,
namun Zayn masih tidak berganjak daripada pendiriannya.
Takkan tiada lagi secebis cinta yang masih berbaki untuknya?
Mustahil Zayn bisa membunuh setiap rasa kasih, setiap rasa
sayang yang dulu begitu mendalam terhadapnya. Atau Zayn
sengaja menduganya? Mungkin lelaki itu sekadar mahu
menghukumnya... atau melunaskan dendam yang terpahat
kukuh di dalam hatinya.
“Zayn... hukumlah I. I sanggup terima apa pun
hukuman you, tapi... I... I tak dapat lupakan you, Zayn. You
cinta pertama I.”
“To hell with your cinta pertama! Aku bukan budak
belasan tahun yang masih berpaut pada cinta pertama. Ada apa
pada cinta pertama? Big deal sangat ke?” sinis nada Zayn. Dia
mengeluarkan kunci berupa kad akses dari kocek kemejanya.
“Baliklah. Kau buang masa je kat sini. Aku takkan berganjak
daripada keputusan aku. Hidup aku langsung takde ruang
untuk kau.” Dengan itu, sekelip mata Zayn meloloskan diri
masuk ke dalam kondominiumnya. Panggilan serta rayuan
daripada Suraya langsung tidak dihiraukan. Telinga Zayn
sudah tuli, sudah kalis daripada perempuan bernama Suraya!
Dan Suraya hanya mampu tersandar lemah di balik
dinding. Dia kecewa! Terlalu kecewa!

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 15

Farouk berkira-kira sama ada ingin keluar dari
perut kereta atau tidak. Kalau ikutkan kata egonya, tentu
sekali dia tidak mahu menjejakkan kaki ke rumah Mak Su
Sakinahnya ini. Namun rajuk si ibu sudah berlarutan ke lebih
seminggu lamanya. Kata dua daripada si ibu seakan tidak bisa
untuk tidak diendahkan lagi. Dia perlu berbaik-baik dengan
ibunya demi kelancaran majlis yang kian rancak dirancang.
“Hesy! Tak pasal-pasal aku kena minta maaf dengan
budak tu!” dengus Farouk sambil menghentak tangan ke
stereng kereta. Tapi hendak dikatakan apa lagi? Sudah
memang salahnya menerjah dan menuduh tanpa usul
periksa. Tidak sangka pula sepupunya itu boleh berbudi
kepadanya dengan cuba memujuk ibunya agar menerima
saja kesemua kemahuannya serta Kamelia. Gadis yang sekian
lama mengejar dan mendambakan perhatiannya boleh
berubah sedemikian rupa? Sukar untuk diterima akalnya.
Pasti ada udang di sebalik batu ni!
Entah apa agaknya muslihat sepupunya kali ini.
Farouk yakin Azzahra sekadar berpura-pura bersikap baik di
hadapan keluarga mereka. Dia pasti Azzahra takkan begitu
mudah menerima keputusannya untuk berkahwin dengan
Kamelia. Tentu ada yang direncanakan oleh sepupunya itu.
“Apa pun yang kau nak buat, aku akan bersedia.
Kali ni kau menang, Ara. Aku akan minta maaf. Demi mak,
aku akan minta maaf, tapi jangan ingat aku bodoh. Aku akan
bersedia dengan apa saja rancangan kau!” desis Farouk dengan
nada marah sebelum membuka kasar pintu keretanya. Pintu
utama rumah orang tua Azzahra dihampiri.
Tercengang Iman melihat gerangan orang yang
mengetuk pintu rumah. Riak sudah mencemik sebelum
kedua belah tangan dilipat ke dada.
“Ayah dengan mak takde,” ujar Iman tanpa
menunggu Farouk memulakan bicara. Farouk langsung tidak
dijemput masuk.
“Abang nak jumpa Ara. Dia ada?” soal Farouk.
“Kenapa nak jumpa kak long?” Iman bertanya tanpa
menjawab soalan Farouk. Dia bersikap defensif. Tidak mahu
kakaknya mengalirkan air mata menerima ketajaman lidah
Farouk lagi. Cukup-cukuplah!
“Siapa yang datang, ngah?” Azzahra menyoal dari
arah dapur. Selendang dililit ala kadar di kepala.
Farouk berbalas pandang dengan Iman seketika
sebelum melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Iman
mendengus geram dengan perlakuan Farouk yang menerjah
masuk tanpa dipelawa.
Azzahra muncul di ruang tamu sebelum langkah
kakinya tiba-tiba terhenti. Bulat matanya melihat kelibat
Farouk di depan mata. Bergegas Iman menghampiri dan
berdiri di sebelah kakaknya. Lagak seorang pelindung.
“Ara... aku... aku...” Tergagap-gagap Farouk cuba
mencari kata.
Terjongket kening Azzahra. ‘Dia ni dah kenapa?’
“Aku nak minta maaf,” ujar Farouk dengan wajah
yang tegang. Tiada keikhlasan langsung yang terselit daripada
ucap maafnya itu.
“Minta maaf? Untuk apa?” soal Azzahra sengaja
mengambil pendekatan tidak tahu.
“Untuk hari tu,” balas Farouk ringkas.
“Hari yang mana satu, bang? Setahu Iman, abang
banyak berhutang maaf dengan kak long,” sampuk Iman
penuh sindiran.
Farouk menjeling ke arah Iman. Adik-beradik ini
sama saja perangai. Suka buat hatinya panas!
“Masa kat rumah mak minggu lepas. Aku dah salah
sangka dengan kau,” jelas Farouk masih cuba mengekalkan
nada suaranya.
“Macam tak ikhlas je?” Iman bersuara lagi.
Menambah bara di dalam hati Farouk.
“Eh, kau boleh diam tak?” sergah Farouk keras.
“Tak payahlah abang nak marah kat Iman. Kalau
abang nak minta maaf sebab kena paksa dengan mak long,
tak payahlah abang datang,” perlahan Azzahra bersuara.
Bukan sukar untuk membaca hati Farouk yang jelas tidak
rela menghadapnya begini. Lebih-lebih lagi ingin mengucap
kata maaf kepadanya, orang yang mungkin tidak punya ruang
langsung di dalam hati Farouk.
“Apa masalah korang ni? Aku datang ni pun dah
cukup baik tau! Tak kisahlah aku datang sebab mak atau
sesiapa pun. Yang penting aku dah minta maaf!” Cukup
sombong lagak Farouk.
Koyak bibir Azzahra. Tawar senyumannya.
“Okey! Abang dah minta maaf. Jadi kalau abang dah
puas hati, abang boleh balik.”
Mencerlung mata Farouk menusuk ke dalam anak
mata Azzahra. Mata yang sekian lama tidak ditatap sedalam
begini. Mata yang sedari dulu cuba untuk tidak dipandang.
Dup!!!
Eh? Apa yang berlaku tadi? Kenapa dengan
jantungnya? Pantas Farouk melarikan mata. Tidak pernah dia
bereaksi begini, terutamanya di hadapan Azzahra.
Farouk menegakkan tubuh.
“Aku balik dulu!” Dia ingin berlalu.
“Abang...” seru Azzahra.
Farouk berpaling. Dia menelan liur melihat Azzahra
memandangnya dengan pandangan merayu.
“Tunang boleh bertukar ganti, abang. Tapi mak...
mak ada sorang je dalam dunia ni. Takkan ada orang lain yang
boleh ambik tempat mak kita. Tolong jaga hati mak long,
abang. Kalau abang tak nak dengar cakap mak long pun, tak
perlu abang nak berkasar atau tinggi suara dengan dia. Abang
nak marah kat Ara, abang marahlah, tapi tolonglah, abang...
jangan sekali-kali buat mak long menangis.”
Entah mengapa, rayuan daripada Azzahra dengan
mata yang berkaca membuatkan Farouk terkelu. Lama
matanya berlabuh ke wajah Azzahra. Seolah-olah ini kali
pertama dia melihat wajah sepupunya itu. Wajah yang
bersih tanpa sebarang solekan... yang sedikit berminyak,
mungkin kerana terlalu lama di dapur... dan yang kelihatan
begitu... begitu polos... Terserlah kecomelan sepupunya itu.
Kecomelan yang sedari dulu memang wujud, namun tidak
pernah menambat hatinya hinggalah ke saat ini.
Iman berpeluk tubuh.
“Haah! Abang jangan nak keras kepala sangat. Abang
patutnya tunjuk contoh yang baik pada kita orang yang masih
muda-muda remaja ni. Tapi ni tak! Kita orang pulak yang
kena buat damage control akibat perbuatan abang!” luah
Iman geram.
“Angah...” Azzahra menggeleng kepala ke arah
adiknya. Mengisyaratkan agar Iman tidak menyambung
kata-katanya. Mesej yang ingin disampaikan sudah pun diberi.
Cukup! Farouk bukannya bodoh. Keras kepala, memang ya!
Tapi bukan bodoh.
Farouk meraup wajah. Terkena syarahan berjemaah
nampaknya dia. Dia sebagai abang sepupu yang jauh lebih
tua, terpaksa berdiri di hadapan dua orang gadis belasan
tahun sambil menadah telinga mendengar teguran yang tidak
mampu dibidas.
Tajam mata Iman menjeling Farouk. Rasa seperti
mahu disekeh saja kepala abang sepupunya itu. Umur dah
nak masuk 30 tahun. Belajar dah sampai ke peringkat sarjana.
Kerja sebagai pensyarah di salah sebuah universiti terkemuka
di tanah air. Tapi perangai? Tak semenggah langsung! Huh!
“Aku balik dulu,” suara Farouk sudah mengendur.
Laju dia menapak ke luar pintu masuk. Azzahra serta Iman
tidak menahan langkahnya.
“Hesy! Datang konon nak minta maaf, tapi lagak
macam nak cari gaduh je!” gerutu Iman. “Ni sah-sah kena
paksa dengan mak long. Kalau tak, mesti dia takkan datang
ke sini.”
“Biarlah dia, ngah...” Azzahra sudah mahu kembali
ke dapur.
“Macam dia sorang nak kahwin dalam dunia ni,”
sambung Iman masih tidak puas hati. Langkah si kakak
diekori. “Bajet artis sangat! Blahlah!”
Azzahra diam tidak membalas.
“Macamlah cantik sangat tunang dia tu!”
“Angah... tak payahlah nak libatkan tunang dia
pulak,” tegur Azzahra. “Tak payah kutuk rupa orang macam
mana. Tak baik.”
Iman mencebik.
“Dah. Tak payah nak buat muka macam tu. Pergi
masak nasi. Kejap lagi mak dengan ayah balik, mesti nak
makan.”
“Yalah!” dengus Iman. Masih tidak puas hati dengan
semua yang berlaku sekejap tadi. Kalau dia jadi Azzahra,
sudah pasti mulutnya akan melepaskan berdas-das tembakan
kepada Farouk tadi. Sekadar menyindir sikit-sikit, terasa
seperti tidak mencukupi. Tidak puas hati dia!

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 14

Pagi yang dingin. Sepanjang malam hujan tidak
berhenti mencurahkan rahmat ke muka bumi. Enak Azzahra
meringkuk di dalam selimut namun tidurnya tidak lena.
Semuanya kerana terlalu mengenangkan perbualan antara
dirinya dengan Iman malam tadi.
“Eloklah kak long dah cuti ni. Pergilah ziarah mak
long tu. Hiburkan hati dia sikit. Kita orang dah cuba, tapi
mak long masih macam tu jugak.” Iman membuka bicara.
Azzahra mengeluh.
“Takkan tak settle lagi? Dari sebelum kak long exam,
sampai kak long dah mula cuti ni, isu masih sama ke?”
Laju Iman mengangguk.
“Abang Farouk tu degil. Tak nak dengar cakap mak
long dengan pak long. Eei! Geram angah ni tau! Rasa macam
nak sekeh-sekeh je kepala dia!” gerutu Iman. “Menangkan
sangat tunang dia tu!”
Rungutan Iman dibiarkan sepi, namun tidak mampu
diletakkan jauh dari mindanya. Pagi ini dia bangun bersama
dada yang berat. Rasa kasih, rasa sayang yang tidak berbelah
bahagi terhadap mak longnya membuat dia membulatkan
tekad. Niat pada mulanya untuk tidak masuk campur terpaksa
diketepikan buat sementara waktu. Hati mak longnya mahu
dipujuk terlebih dahulu.
Pukul 10.00 pagi, dia sudah tercongok di pintu
dapur rumah Puan Habsah. Berubah riak wajah wanita itu
melihat anak saudara kesayangannya ada di depan mata.
Tubuh Azzahra dirangkul erat.
“Rindunya mak long pada Ara,” bisiknya.
Seperti biasa, di dapur inilah mereka berbual serta
berkongsi rahsia. Azzahra cuba menyelami hati mak longnya
yang terluka dek perbuatan anak kandung sendiri. Sedetik
pun Azzahra tidak mencelah. Membiarkan saja Puan Habsah
meluahkan segala-galanya. Tekun dia mendengar.
Tangan Puan Habsah di atas meja digenggam erat.
“Mak long, apa salahnya diaorang nak majlis yang
gah? Diaorang kahwin kan sekali je seumur hidup, jadi
mungkin diaorang nak jadikan majlis diaorang nanti suatu
kenangan yang takkan dilupakan sampai bila-bila,” lembut
tutur bicara Azzahra.
“Tapi semua tu membazir Ara. Mak long tak suka
membazir.”
Azzahra tersenyum hambar.
“Mak long, Ara selalu dengar ayah cakap pada mak
yang duit boleh dicari, tapi kebahagiaan anak-anak takkan
boleh ditukar ganti. Tu bukan bermaksud ayah manjakan kita
orang adik-beradik dengan kebendaan, tapi sekali-sekala ayah
dan mak akan beralah kalau permintaan kita orang sesuatu
yang kita orang rasakan penting.”
Puan Habsah melepaskan keluhan yang panjang.
“Mak long... Abang Farouk kan berduit. Mak long
pun bukannya tak mampu nak buat majlis yang besar-besaran.
Tak salah kalau mak long beralah demi kebahagiaan Abang
Farouk, kan? Kalau Ara tengah sibuk nak buat persiapan
kahwin, mesti Ara rasa tak seronok kalau Ara bergaduh atau
bermasam muka dengan mak atau ayah. Mood nak kahwin
pun mesti lari entah ke mana,” pujuk Azzahra lagi. “Abang
Farouk pun mesti tengah rasa macam tu.”
Azzahra berhenti bertutur buat seketika. Sedih
melihat wajah Puan Habsah yang jelas terluka.
“Mak long... beralahlah... tak payah pening-pening
kepala, okey?”
Lama Puan Habsah diam. Cuba menghadam
kata-kata anak saudaranya. Sukar untuk dia melepaskan rasa
kecil hatinya itu. Farouk secara terang-terangan menolak
segala nasihatnya dan menitikberatkan setiap permintaan
tunangnya, Kamelia. Hati ibu mana yang tidak terluka?
Anak sendiri seakan membelakanginya. Dia mengeluh lagi.
Wajahnya masih begitu. Sugul serta tidak bermaya.
“Mak long... janganlah macam ni. Kita orang semua
susah hati tau tengok mak long asyik monyok, asyik murung
je. Sepatutnya, mak long kena happy happy sebab tak lama
lagi mak long akan dapat menantu. Entah-entah, pejam celik
pejam celik, mak long dah dapat cucu.”
Koyak senyuman di bibir Puan Habsah. Azzahra
ni ada-ada je! Takkan begitu mudah hati tuanya dipujuk?
Adik-adik sendiri sudah cuba menyejukkan hatinya. Suaminya
pun sudah mati akal tidak tahu cara untuk memujuk. Datang
si Azzahra, sekelip mata dia bisa tersenyum.
Bibir Azzahra turut tersenyum lebar. Lega melihat
wajah mak longnya sudah kembali bercahaya.
“Amboi, mak long! Sebut cucu je terus suka ek?”
usik Azzahra.
Puan Habsah ketawa. Tawa yang berjangkit terus ke
hati Azzahra.
Perbualan mereka kini tidak lagi menyentuh perihal
Farouk atau majlis perkahwinannya yang dirancangkan
kurang lebih tiga bulan lagi. Banyak yang dibualkan
mereka. Sama seperti dulu, di dapur inilah Azzahra sering
menghabiskan masanya bersama Puan Habsah, dan di meja
inilah, Azzahra berkongsi impian ingin membina bahagia
bersama Farouk. Kini, bicara Azzahra tidak lagi berputar
tentang lelaki itu. Banyak lagi yang masih bisa dikongsi
bersama mak longnya itu.
“Cuti sebulan ni Ara nak buat apa?”
“Apa lagi? Kacau mak ngahlah,” balas Azzahra sambil
tersengih. Menolong mak ngahnya, tentu saja dia akan dapat
duit poket.
Sedar tidak sedar sudah sejam lebih Azzahra
bertenggek di rumah Puan Habsah. Masa begitu pantas
berlalu.
“Eh, mak long! Ara kena balik ni. Ara kena tolong
mak masak.”
“Ya tak ya. Mak long pun kena masak jugak ni. Kejap
lagi pak long balik dia mesti nak makan. Selalunya balik
daripada main golf, dia akan terus angkat tudung saji,” ujar
Puan Habsah pula.
Azzahra bangun. Dia bersiap sedia untuk pulang ke
rumah. Menghampiri ke pintu dapur, langkahnya terhenti.
Wajah tegang Farouk menyapa anak matanya.
Melihat Azzahra bersama ibunya, secara automatik
hati Farouk sudah berfikir yang bukan-bukan. Dan yang
bukan-bukan itu, sudah semestinya negatif. Tiada satu pun
yang positif.
“Hah! Buat apa kat sini?”
Azzahra mengetap bibir. ‘Amboi! Cantiknya bahasa!’
“Waalaikumussalam. Ara sihat. Abang sihat?” sindir
Azzahra.
Kasar Farouk menanggalkan kasutnya sebelum
melangkah masuk ke dalam dapur. Dia mendengus keras.
“Ni takde lain, kau datang sini nak tabur racun
kat telinga mak la ni kan? Dah takde kerja lain ke? Asyik
nak bawak mulut je?” tuduh Farouk tanpa usul periksa.
Hati memang sudah lama panas mengenangkan perbalahan
yang seakan tidak mahu sudah dengan kedua-dua ibu bapa
sendiri. Ingatkan kepulangannya hari ini ingin memberi
kata putus kepada ibunya yang berdegil tidak mahu menurut
kemahuannya serta si tunang. Dan nampak saja kelibat
Azzahra di rumah orang tuanya membuat hati yang panas
seakan menggelegak.
“Abang!” jerit Puan Habsah terkejut dengan
kelantangan kata anak sulungnya. Mengerling ke wajah
Azzahra, dia sedar yang anak saudaranya itu turut terluka.
Berubah riak Azzahra yang ceria sebentar tadi.
“Yang mak ni pun satu! Layan kan sangat budak yang
otak tak berapa betul ni. Apa yang dia cakap pada mak, hah?”
Farouk menuding jari tepat ke muka Azzahra. “Kau jangan
nak kata tunang aku macam-macam pada mak, ya? Kau ingat
aku akan benarkan kau rosakkan rancangan aku macam tu
je? Kau boleh mimpi jelah!”
Azzahra menelan sendu. Sampai hati Farouk
berfikiran buruk begitu sekali tentangnya. Sampai hati
Farouk!
“Mak long, Ara balik dulu.”
“Ara!” Puan Habsah cuba menahan.
“Takpe, mak long. Nanti Ara singgah lagi.” Azzahra
meminta diri. Dia melangkah ke jenang pintu.
“Tak payah datang pun takpe! Menyemak je!” gerutu
Farouk di hujung nafas. Namun masih bisa ditangkap dek
telinga Azzahra.
Sekelip mata tangan Puan Habsah terlepas hinggap
ke pipi Farouk. Tergamam Azzahra di muka pintu, tidak bisa
berganjak dari tempat dia berdiri. Farouk apa lagi, terkedu
dengan perlakuan tidak diduga oleh ibunya. Tidak pernah
ibunya memukulnya. Menjentiknya pun tidak pernah. Tapi
kini? Hanya kerana Azzahra, ibunya tergamak melabuhkan
tangan ke pipinya?
“Mak!”
“Mak tak pernah ajar abang biadab macam tu pada
sesiapa pun! Selama ni, abang tak nak dengar cakap mak,
mak diamkan. Abang tolak semua permintaan mak, mak
masih diamkan. Tapi bila abang tuduh Ara macam-macam,
mak takkan diamkan lagi. Mulai hari ni, mak takkan masuk
campur lagi dalam urusan abang. Abang nak buat majlis yang
macam mana, abang buatlah! Abang ikutlah apa yang abang
nak. Mak cuci tangan!” luah Puan Habsah dalam nada yang
cukup kecewa dan terkilan.
“Mak long...” Bulat mata Azzahra.
“Kalau abang nak tahu, Ara datang sini untuk pujuk
mak supaya mak ikutkan semua kemahuan abang,” celah
Puan Habsah tidak membenarkan Azzahra bersuara. “Tapi
abang tuduh dia bukan-bukan! Mak kecewa dengan abang.
Belajar je tinggi-tinggi, tapi sayang... ilmu tak menjadikan
abang orang yang lebih baik. Tapi orang yang lebih sombong
dan kurang ajar!” sinis Puan Habsah memuntahkan rasa
kesal yang menyelubungi segenap jiwanya.
Terdiam Farouk mendengar kata-kata ibunya. Terasa
seperti pipinya bukan ditampar sekali, tetapi berkali-kali.
“Pergi balik, Ara. Jangan risau lagi pasal mak long.
Mak long masih ada lagi dua orang anak lain yang masih
anggap mak long ni sebagai mak!” Puan Habsah meninggalkan
ruang dapur dengan hati yang bengkak.
Melihat kelibat Puan Habsah yang sudah menghilang,
lambat-lambat Azzahra menyusun langkah untuk pulang ke
rumah. Sepupunya yang masih tercegat di ruang dapur tidak
dipandang. Dia berbelah bahagi sebenarnya. Sudah tentu
ibu saudaranya itu sedang melayan hati yang terluka. Baru
sebentar tadi Azzahra sudah berjaya memujuk perasaan Puan
Habsah. Tapi kini, hati ibu saudaranya seakan remuk kembali.
Takkan mahu dibiarkan saja begitu?
Kesian Puan Habsah. Dan marahnya terhadap Farouk
kembali berleluasa. Sampai hati Farouk melayan ibunya
begitu hanya kerana mahu menurut kemahuan tunang
sendiri. Takkan tiada ruang untuk mereka saling mengalah
dan berkompromi? Isu tentang majlis perkahwinan je kut!
Akhirnya, Azzahra memutuskan untuk pulang ke
rumah dahulu. Mungkin dia boleh menantikan peluang
yang lebih baik untuk memujuk mak longnya itu. Biarlah
hati mak longnya sejuk dahulu. Yang penting, dia tidak
sanggup berhadapan dengan Farouk yang nampak begitu
membencinya ketika ini!

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 13

Tajam mata Zayn menikam ke wajah lelaki yang
berusia dalam lingkungan lewat 50-an di hadapannya. Di
sebelah lelaki itu, duduk perempuan yang kalau diikutkan
hati, mahu dicencang-cencang saja sampai lumat. Biar puas
hatinya.
“Apa uncle cakap?”
“Uncle bersalah kahwinkan Su dengan anak kenalan
lama uncle dulu. Uncle dah sedar. Uncle nak pulangkan Su
pada Zayn,” perlahan Dato’ Herwan bersuara.
“Pulangkan? Kenapa nak kena pulangkan? Anak
uncle ni tak pernah jadi milik saya pun,” sindir Zayn. ‘Nak
pulangkan konon! Bila orang lain dah tak nak, dah buang,
baru sekarang terhegeh-hegeh nak offer kat aku? Macamlah
aku nak. Tapi, kenapa agaknya Dato’ Herwan berubah hati,
ya?’
“Lagipun... you’re six years too late, uncle!” sinis
muntahan kata-kata Zayn.
“Uncle tahu dulu Zayn bercinta dengan Su. Dari
zaman universiti lagi. Tapi uncle yang halang niat Su untuk
kahwin dengan Zayn. Semuanya salah uncle. Bukan salah
Su.” Dato’ Herwan membela anaknya. “Jadi tak salah kan
kalau uncle nak satukan korang berdua sekarang?”
Zayn memaksa mata untuk berkalih ke arah Suraya
yang diam menekur paha.
“Licik betul kau ni, kan? Bila aku tak layan WhatsApp
kau, tak jawab panggilan kau, kau suruh daddy kau datang
pujuk aku pulak? Kau ni memang tak tahu malu!” tegang
suara Zayn. Setegang wajahnya.
Hesy! Kenapalah dia tidak bermalam di rumah
kakaknya hari ini? Kalau dia menerima pelawaan kakaknya,
pasti dia tidak akan bertembung dengan dua orang makhluk
ini yang menunggunya di luar pintu kondominiumnya. Nak
tak nak, terpaksa dia menjemput mereka berdua ini masuk.
Ada hajat besar konon! Pigi dah!
“Zayn... I...” Suraya menongkat wajah. Sorotan
matanya penuh merayu. Meraih simpati daripada seorang
lelaki yang pernah jatuh kerananya. Jatuh ke suatu tempat
yang sangat dalam. Jatuh, dan nyaris-nyaris tidak mampu
bangkit.
“Saya rasa uncle boleh balik sekarang,” potong Zayn
laju. Sedikit pun tidak mahu mendengar suara perempuan
itu. “Saya dah dengar semua yang uncle cakap tadi. Thanks,
but no thanks!” tolak Zayn.
Berubah riak Dato’ Herwan.
“Fikir baik-baik, Zayn. Dulu, anak uncle ni jugak
yang Zayn gila-gilakan. Sampaikan Su ni sanggup nak
belakangkan uncle. Ni Su dah available semula. Zayn tunggu
apa lagi?”
“Oh, really uncle? Betul ke anak uncle ni macam
yang uncle cakapkan tu, atau dia sememangnya kemaruk nak
kahwin dengan anak kawan uncle tu? Apa nama dia? Redza?
Bukan diaorang dah terlanjur sebelum kahwin lagi ke?”
Laju Suraya mengangkat wajah. Dia berbalas
pandang dengan daddynya.
“Saya respect uncle sebab uncle sanggup take the
blame for everything. Sedangkan saya tahu hakikat yang
sebenar. Uncle tak perlu buat macam ni, sebab pandangan
saya terhadap anak uncle ni, sikit pun takkan berubah. She
is still the sly, manipulative and deceitful person she used to
be.” Zayn melontar pandangan penuh benci ke arah Suraya.
Tidak sangka Suraya sanggup mempergunakan daddynya
sendiri demi mendapatkan apa yang didambakan.
“Uncle, saya tak bermaksud nak burukkan anak
uncle depan uncle sendiri. Tapi uncle sendiri tahu apa yang
saya cakap ni betul. Saya buta dulu, uncle. Tapi saya muda
sangat lagi masa tu. Sekarang ni, saya bukan Zayn yang uncle
kenal dulu. Dan saya bukannya bodoh nak lihat penipuan
yang uncle cuba buat sekarang ni. Saya dah lama tahu perkara
yang sebenar tentang anak uncle ni, jadi uncle tak perlu nak
berpura-pura depan saya.”
“Zayn... I tahu you masih sayangkan I. The fact
that you’re still single proves that I’m right! I tahu yang you
sebenarnya...” rayu Suraya.
“Cut the crap! Kau tak tahu apa-apa pun pasal aku!”
Kasar bahasa Zayn. Tapi untuk orang seperti Suraya, dia tidak
perlu berlembut. Buang karan saja. “Jangan ingat aku macam
ni, aku masih mengharapkan kau!”
Membulat mata Suraya. Terkejut dengan perwatakan
Zayn kini. Selama ini, tidak satu pun pesanan WhatsApp yang
dihantarnya dibalas oleh Zayn. Panggilannya pun hanya
dibiarkan mati begitu saja, atau dimatikan terus oleh Zayn.
Namun, tidak terlintas di dalam hati Suraya yang Zayn sudah
berubah sehingga begini sekali. Bukan sekadar kasar bahasa
yang dilontarkan oleh Zayn, aura benci yang amat sangat
yang terbit dari setiap rongga lelaki itu pun begitu ketara.
Sehingga bisa terasa menampar ke pipinya.
“Uncle, sementara saya masih ada rasa hormat
pada uncle, saya minta sangat uncle bawak anak uncle ni
balik,” ujar Zayn dengan suara yang tertahan. Dia bangun.
Menghantar isyarat yang terang lagi jelas.
Dato’ Herwan bangun. Wajahnya benar-benar
kecewa.
“Uncle tak sangka Zayn begini keras orangnya.
Uncle datang ke mari untuk beri peluang pada Zayn... untuk
kembalikan cinta Zayn. Tapi ini balasan yang uncle dapat. I’m
so disappointed with you!”
Koyak senyuman di bibir Zayn. Penuh sinis.
“Peluang? Cinta? Saya lebih rela membujang sampai
ke mati daripada bersatu dengan anak uncle ni. Pompuan
macam dia tak layak nak saya angkat untuk jadi isteri saya.
Saya berterima kasih pada uncle sebab tolak pinangan
daripada pihak saya dulu. Terima kasih sangat-sangat! Tu
tindakan terbaik yang uncle pernah buat untuk saya! You
really did me a huge favour, uncle!”
Kuat dengusan Dato’ Herwan. Terhina dia dengan
penolakan dan kata-kata Zayn, seolah-olah Zayn dapat meneka
setiap penipuan dan helah yang mereka cuba lakukan. Merah
wajahnya. Merah dengan tanda marah dan juga tanda malu.
Lambat-lambat Suraya bangun. Tali beg disandang
di bahu.
“Zayn... I...”
“Please leave!” potong Zayn sekali lagi. Matanya kini
mencerlung memandang ke wajah Suraya. “Dan lepas ni,
kau tak payah menggatal nak call atau WhatsApp aku lagi.
Sila sedar diri yang aku takkan terima pompuan macam kau
dalam hidup aku! Jangan buat rasa benci aku ni bertambah
berlipat ganda lagi! Faham?” hambur Zayn keras.
Jatuh air mata Suraya. Terkesan betul dengan
kata-kata Zayn. Sesungguhnya, dosa-dosa yang pernah
dilakukan, yang seingatnya dapat disembunyikan daripada
Zayn, rupa-rupanya sudah lama diketahui oleh lelaki itu.
Tiada apa-apa lagi yang bisa dikatakan untuk menutup
kecurangannya. Beban kesalahan yang diletakkan di atas bahu
daddynya pun tidak menjadi. Sememangnya, tiada paksaan
daripada kedua-dua orang tuanya untuk dia berkahwin
dengan Redza dulu. Tiada langsung! Yang ada cuma rasa
tamak dan rasa tidak sabar untuk menunggu Zayn berjaya
dalam kerjayanya yang baru sangat bermula.
Sedikit pun Zayn tidak terusik dengan air mata yang
menitis di pipi Suraya. Sah-sahlah air mata palsu! Huh!
Tanpa sepatah kata lagi, Dato’ Herwan terus
angkat kaki. Terkedek-kedek Suraya mengejar langkah kaki
daddynya.
Dan Zayn tidak tunggu lagi. Daun pintu dihempas
kuat. Sengaja. Ingin menghantar suatu mesej yang terang
lagi jelas. Yakni, kunjungan mereka berdua langsung tidak
dialu-alukan!
Zayn menghenyakkan tubuh kembali ke sofa. Muka
diraup kasar. Sesungguhnya kedatangan Dato’ Herwan serta
Suraya tadi telah membangkitkan seribu macam kenangan.
Kenangan yang disangkanya telah dikuburkan berkurun
lama dahulu.
Suraya... gadis yang dicintai separuh mati.
Gadis sopan, bertudung litup dan amat menjaga tutur
kata, rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia. Gadis
muslimah yang sering menjaga tingkah lakunya ketika
bersama Zayn, rupa-rupanya menyimpan nafsu rakus
mengalahkan binatang. Pandai gadis itu berselindung di
sebalik pakaiannya yang sentiasa menutup aurat, sehingga
stoking pun tidak pernah lekang dari kakinya. Namun, bak
kata pepatah, bangkai gajah tidak mampu ditudung oleh
nyiru. Begitu jugalah dengan Suraya.
Zayn ternyata terkejut dengan penolakan yang
dibuat oleh keluarga Suraya akan peminangan yang
dilakukan daripada pihaknya sedangkan percintaan mereka
sudah direstui oleh kedua-dua belah keluarga. Sekelip
mata semuanya berubah. Satu demi satu drama yang tidak
dirancang bermain di depan mata. Mula-mula peminangannya
ditolak, kemudian selang beberapa minggu, Zayn mendapat
berita Suraya telah mengikat pertunangan dengan lelaki lain.
Rayuan daripada dirinya mengundang tangis yang
seakan tiada hentinya daripada Suraya. Konon dia turut
menderita akibat perpisahan mereka. Janji untuk memujuk
keluarganya agar menerima Zayn menjadi debu di angin lalu.
Sehingga ke hari pernikahan Suraya, gadis itu masih curi-curi
bertemu dengannya, memujuknya untuk membawanya lari
daripada pangkuan keluarga.
‘Licik kau Suraya! Kau permain-mainkan hati dan
cinta aku! Kau perdayakan aku dan aku macam orang bodoh,
percaya pada semua janji kau!’
Akhirnya Suraya sah menjadi milik lelaki lain.
Dan dirinya? Pada mulanya Zayn hampir menjadi gila
mengenangkan nasib Suraya yang bakal hidup terseksa
dipaksa menjadi isteri kepada lelaki yang konon dibencinya.
Simpatinya mencurah-curah. Rancangan demi rancangan
berlegar dalam minda untuk menyelamatkan Suraya,
walaupun dia harus mempertaruhkan nyawanya sendiri.
Namun, semuanya ternyata sia-sia.
Melihat kebahagiaan Suraya di depan mata ketika
berjalan beriringan dengan suami baharunya membuatkan
Zayn tertanya-tanya sendiri. Apakah matanya tidak buta tika
menyaksikan Suraya bergurau senda dengan Redza? Apakah
dirinya masih waras tatkala melihat Suraya berpelukan
dengan lelaki itu? Apakah?
Yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun jua, Allah
itu Maha Kaya. Kebenaran yang cuba diselindung, tersingkap
satu per satu. Kejahatan yang mahu disembunyikan,
terbongkar tanpa terhijab lagi. Mata Zayn yang dulu buta,
menjadi celik secara tiba-tiba dan minda yang dulu tertutup,
kini bisa melihat kaca yang dulu disangka intan permata.
Jika sebelum itu dia hampir gila akibat kehilangan
Suraya, namun pengkhianatan dan pembohongan gadis itu
menjadikan hati serta jiwanya mati dengan serta-merta.
Rupa-rupanya, Suraya telah terlanjur dengan Redza kerana
tidak dapat menolak godaan daripada lelaki itu. Dan Redza
bijak menggunakan kelemahan Suraya itu untuk memaksa
Suraya agar berkahwin dengannya. Maka Suraya tiada pilihan
lain. Jari dituding ke serata arah demi menutup kesalahan
sendiri. Di mata Zayn, Suraya merupakan seorang mangsa
yang tersepit. Bodohnya dia!
Tiada lagi Zayn yang berlembut lidah setiap kali
berbicara dengan kaum Hawa. Sikapnya yang dulu setia dan
penyayang berubah menjadi seorang lelaki yang mendampingi
wanita hanya untuk menurut kemahuan bersosial dalam
masyarakat. Pada mulanya, Zayn seakan serik dengan
perempuan dan memilih untuk hidup bersendiri. Tetapi,
gara-gara pernah dituduh seorang lelaki homoseksual, Zayn
terpaksa mengubah gaya hidup demi menjaga nama serta
reputasi keluarganya.
Kaum wanita kembali digauli. Mereka didampingi
dan dilayan penuh hormat. Namun kemesraan yang lahir,
hanya pada luaran saja, bukan dari hati. Setiap kali didesak
agar hubungan yang terjalin menjadi lebih serius, Zayn akan
laju angkat kaki.
“Dammit!” jerit Zayn tiba-tiba. Rosak terus moodnya
hari ini.
Ting!!!
Zayn mencapai iPhone 7 dari dalam kocek seluarnya.
Aplikasi WhatsApp dibuka.
Sayang, I lapar... jom temankan I
makan.
“Hesy, ni sekor lagi! Dah lapar tu pergilah masak.
Yang ajak aku tu kenapa? Ni takde sebab lain nak makan
freelah ni!” dengus Zayn kasar. Jari-jari laju menaip balasan.
Sorry dear. I am too tired to even
move a muscle. Next time ya?
But I miss you, Zayn. Sejak you
balik dari Penang, you tak dtg jumpa
I pun!
“Aku tak datang sebab aku malas nak layan kau. Tu
pun tak faham ke?” Zayn bercakap sendirian.
Esok I datang jumpa you. Promise!
Oklah kalau macam tu. Esok tau!
Yes.
Bye sayang. See you tomorrow...
Tanpa membalas pesanan terakhir itu, Zayn
mencampakkan saja telefon ke atas meja kopi. Sayang konon!
Sejak bila mereka menjalinkan hubungan kasih sayang pun
dia tidak tahu. Sesungguhnya, dia penat mahu melayan
gadis-gadis kota yang rata-ratanya mempunyai objektif dan
niat yang sama. Terlalu mudah memanggil kaum lelaki
dengan panggilan ‘sayang’. Dia penat. Penat dan rimas!

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 12

“Terima kasih pak cik, tumpangkan saya
balik,” ucap Azzahra. Rasa amat janggal dengan keheningan
suasana. Ini kali kedua Zayn menghantarnya pulang. Sekali
di Kuala Lumpur dan sekali di Pulau Pinang. Tidak enak pula
mengenangkan dirinya yang sudah termakan budi dengan
pak cik Naim ini.
“Kenapa tiba-tiba kau kena balik?” Zayn menyoal.
Tidak dapat menyembunyikan rasa ingin tahu yang mengetuk
hatinya.
“Errr... ada masalah keluarga sikit. Saya nak kena
call mak saya kejap lagi,” teragak-agak Azzahra bercerita.
“Tak sedap pulak nak call dalam keadaan bising-bising kat
sana tadi.”
“Oh... mak sakit ke?”
“Tak, tak... mak sihat. Alhamdulillah... Ada hal lain.”
Zayn terdiam. Sedar yang Azzahra tidak mahu
berkongsi masalah dengannya. Tentu saja terlalu peribadi,
dan dirinya pun bukan sesiapa bagi gadis itu.
“Boleh aku tanya sesuatu?”
Azzahra menoleh ke arah kanan. Hairan dengan
soalan yang diutarakan oleh Zayn.
“Apa dia?”
Zayn mengilas pandang ke wajah Azzahra.
“Si Shida tu ada hati dengan Naim ke?”
‘Eh? Dia perasan ke?’
“Hmmm... dah lama...” Azzahra tidak
menyembunyikan hakikat yang sebenar. “Dari sem 1 lagi.”
“Kenapa Naim tak layan dia?”
“Saya pun tak berapa pasti. Bila saya tanya, dia kata
Shida tu bukan taste dia,” jawab Azzahra.
Senget senyuman yang diukir oleh Zayn. ‘Bukan
taste Naim? Memanglah bukan taste dia. Taste dia nak orang
macam kau, kut!’ dengus Zayn di dalam hati. Masih yakin
dengan rasa hati.
“Shida tu orangnya macam mana?” Zayn ingin
mendengar pendapat Azzahra tentang Shida secara berdepan
begini. Daripada pemerhatiannya, Shida dengan Azzahra
saling tidak mesra. Mungkin juga mereka saling membenci.
Maka Zayn mahu menduga Azzahra. Adakah Azzahra akan
memburuk-burukkan gadis itu? Mahu melihat sendiri
perangai Azzahra yang konon sangat baik itu.
“Shida? Dia tu pandai orangnya. Bangsa yang tak
payah study pun boleh score. Jealous betul dengan orang
macam ni,” keluh Azzahra. “Tak macam saya dengan Naim.
Kena pulun baru boleh score. Tu pun kadang-kadang
cukup-cukup makan je.”
Laju kepala Zayn menoleh ke arah Azzahra. Betul
telahannya. Gadis itu sedang tersenyum.
“Bertuah kan orang macam tu? Shida ni sepatutnya
dapat biasiswa untuk belajar ke luar negara. She’s so smart.
Tapi sayang, dia tak dapat tawaran mana-mana biasiswa.
Sudahnya dia kena belajar kat dalam negara je.”
“Sebagai teman sebilik, how is she?”
Lama Azzahra terdiam.
“Okey je.”
“Macam tak okey je?” sindir Zayn.
“Kita orang berdua biasa-biasa je. Taklah rapat
sangat, tapi taklah pernah bergaduh. Lagipun not everybody
can get along well with each other, kan?” Bukan dia tidak
cuba untuk rapatkan diri dengan Shida, tapi mereka tidak
sekepala langsung. Dengan Shida yang tidak suka akan
hubungan rapatnya dengan Naim, membuatkan apa-apa
cubaan daripada pihak Azzahra tidak akan pernah berjaya.
“Hmmm...” dengus Zayn.
“Nak jumpa ramai kawan memang senang... tapi nak
jumpa dengan orang yang betul-betul boleh ngam dengan
kita, sebenarnya susah...” luah Azzahra.
Ada kebenaran di sebalik kata-kata Azzahra. Tidak
dapat untuk Zayn menafikannya. Kawan kala waktu senang
ada di mana-mana, tapi pada waktu susah? Hanya orang yang
pernah diuji akan tahu siapa yang layak digelar teman sejati.
“Mengaku jelah yang dia tak suka kat kau sebab dia
nampak kau sebagai penghalang untuk dapatkan Naim, kan?”
desak Zayn.
“Mungkin.” Itu saja yang terbit dari mulut Azzahra.
Dia tidak akan sekali-kali memburukkan sesiapa pun
termasuk Shida, terutamanya di depan orang yang boleh
dikatakan tidak dikenalinya. Gelaran ‘pak cik’ kepada Naim
tidak menjadikannya setaraf dengan Naim. Rambut mungkin
sama hitam tapi hati sudah tentu lain-lain.
“Kenapa? Dia tak percaya kau dengan Naim takde
apa-apa hubungan ke?”
Azzahra mengangguk. ‘Bukan Shida seorang yang
tidak percaya, pak cik oi! Ramai lagi yang masih tak percaya.’
“Aku pun tak percaya!” gerutu Zayn keras.
“Terpulang...” keluh Azzahra.
Zayn mengetap bibir. Segala desakan serta asakan
nampaknya tidak menjadi. Azzahra masih kekal tenang. Tidak
masuk langsung dalam perangkapnya.
Bukan sekali dua Azzahra berhadapan dengan
masalah ini. Teman-teman dari pusat tuisyen yang sama
dulu pun tidak percaya Azzahra dan Naim sekadar berkawan.
Inikan pula rakan-rakan dari fakulti mereka. Kalau Shida
sendiri tidak percaya, tidak hairanlah jika orang lain pun tidak
percaya. Dan Azzahra sudah malas untuk asyik memperjelas
kepada orang sekeliling. Prinsipnya sekarang mudah saja.
Nak percaya, percaya... Tak nak, sudah! Dia tidak berhutang
penjelasan kepada sesiapa pun. Cukup dia, Naim dan keluarga
mereka saja yang tahu akan hubungan mereka.
“Kalau kau nak mengaku pun aku tak kisah,” cuba
Zayn sekali lagi. “Aku bukan nak halang hubungan kau
dengan Naim pun.”
Azzahra memilih untuk tidak menjawab. Tiada
gunanya. Kalau sudah tidak percaya tu, memang sukar untuk
meyakinkan orang itu.
Tidak lama kemudian, Azzahra membuka mulut
untuk memberitahu arah yang perlu diikut oleh Zayn untuk
ke tempat penginapannya sebaik saja kereta Zayn melepasi
pagar utama universitinya ini. Zayn diam tetapi tetap
menurut arahan yang diberikan. Dia masih ingat sebenarnya
tempat penginapan Azzahra kerana pernah mengikut Naim
sekali dulu. Pertemuan mereka yang pertama kali.
Zayn memberhentikan kereta. Azzahra
menanggalkan tali pinggang keledar.
“Terima kasih,” ucap Azzahra sekali lagi.
Hanya anggukan di kepala menjadi balasan pada
ucap terima kasih daripada Azzahra. Hati tidak enak
memikirkan yang Azzahra tidak mengiakan atau menidakkan
kata-katanya tadi. Ah! Biasalah perempuan. Bukan nak
mengaku. Macamlah dia tidak dapat meneka balasan sebenar
yang ingin dituturkan oleh Azzahra pada rumusannya tadi.

Cinta Asma & Ferhad - Bab 32

“SAYA minta maaf, nek.”
“Bukan minta maaf dengan aku. Tapi isteri kau.
Jangan cakap boleh balik kalau kau memang tak boleh balik,”
marah Nek Som. Tak sangka cucu kesayangannya boleh buat
begitu. Dia mengeluh kesal.
“Yang sakit dan meninggal tu, ibu mentua kau. Kau
satu-satunya menantu dia, patutnya kau uruskan semua yang
berkaitan dengan arwah.”
“Kau juga sepatutnya ada di sisi isteri kau. Pujuk dia.
Kau tak tengok keadaan dia bila tahu ibunya sakit.” Nek Som
tahan sebak. Mengingatkan keadaan Asma yang hampir hilang
semangat, dia sangat sedih. Apabila Asma dapat menerima
kenyataan, dilihat gadis itu berusaha kuatkan semangatnya
dan tabah menjaga ibunya sehingga ke saat-saat akhir.
“Saya akan cuba balik secepat mungkin, nenek.”
“Tak guna dah kau balik sekarang ni. Semuanya dah
lepas. Ibu mentua kau dah selamat dikebumikan. Dah tak
ada apa lagi,” kata Nek Som. Kecewa benar daripada nada
suaranya.
“Lepas kau kahwin dengan Asma, nenek selalu
doa semoga hati kau berubah dan jatuh cinta dengan isteri
sendiri. Kau akan sayang dan jaga dia sebaik mungkin. Jaga
hati dan perasaannya. Jadi dahan tempatnya berpaut, jadi
pohon tempatnya berteduh. Tapi hati kau memang hati
kering. Sikit pun tak ada belas kasihan pada isteri sendiri.
Aku tahu kau dah bagi duit secukupnya kepada Asma supaya
dia boleh hidup lepas kau pergi. Tapi takkan sikit pun tak ada
hati perut? Dia kehilangan ibu. Tahu tak? Mesti dia nakkan
suaminya.”
“Nenek... ah...” Ferhad kehabisan kata. Bela diri
sekarang pun tidak mampu menenangkan hati neneknya.
Nek Som tetap akan menyalahkannya.
“Kalau aku mati esok-esok, kau jangan balik tengok
aku. Kau carilah duit banyak-banyak kat sana, buat masuk
kubur!” Talian diputuskan. Marah benar Nek Som dengannya.
Ferhad tarik nafas. Dia cuba pula menelefon
isterinya tapi tetap tidak berjawab sejak semalam. Hatinya
tidak tenteram. Jika dia ada sayap, tentu tanpa membuang
masa, dia akan terbang mendapatkan isterinya sekarang.
‘Buat masa ini abang hanya mampu titipkan doa agar
Asma tabah dan meredai pemergian ibu. Abang tahu sayang
seorang wanita yang kuat semangat, tabah dan sabar. Please
be strong, sayang.’
“Saya minta maaf. Disebabkan saya, awak terlepas
penerbangan,” pinta Tiffany dari belakang. Agak lama dia
berdiri dan memerhatikan tingkah laku Ferhad ketika sedang
bergayut di telefon. Dia tahu Ferhad susah hati. Dia nampak
Ferhad jentik air mata di hujung matanya.
Ferhad tersenyum tawar.
“Hari ini saya kehilangan ibu. Walaupun hanya
sekejap saya mengenalinya, kasih sayangnya membuatkan
saya rasa telah mengenalinya seumur hidup saya,” luah
Ferhad.
“Saya betul-betul minta maaf. Saya tak tahu...”
Tiffany teresak. Dia datang memeluk Ferhad. Ferhad
membiarkan sahaja dirinya dipeluk tanpa membalasnya.
‘Maafkan saya sebab pentingkan diri sendiri. Saya
buat begini sebab saya tak nak kehilangan awak. Saya tidak
boleh kehilangan awak,’ bisik hati kecil Tiffany.
“Saya okey. Saya reda dengan pemergian dia.
Tapi untuk memahamkan orang yang saya sayang, saya
tidak mampu. Mungkin masa akan tolong saya agar saya
dimaafkan...” bisik Ferhad penuh erti. “Awak pergilah berehat.
Saya nak buat kerja,” ucap Ferhad lagi.
“Temankan saya. Biar saya ubati kesedihan awak tu,”
bisik Tiffany. Matanya sayu menggoda.
Ferhad geleng sambil meleraikan pautan Tiffany.
“Kesedihan saya ni tak mampu diubati di atas katil,
Fany. Lagipun saya nak berubah. Mengadakan hubungan seks
bukan perubahan yang saya inginkan. Saya... saya...” Tanpa
menghabiskan kata, Ferhad berpaling dan terus masuk ke
dalam biliknya.
Tiffany terpaku melihat pintu bilik Ferhad yang
tertutup rapat.

“KENAPA TAK jawab?” tanya Aida kehairanan.
Asma diam. Buat ketika ini dia mahu sendirian. Dia
tidak ada keinginan untuk menjawab panggilan suaminya.
Biarlah dia mengubat hatinya dengan cara sendiri. Dia
kecewa. Dia sedih. Asma gigit bibir bawahnya. Mengawal hati
supaya tidak menangis lagi. Saat ini hanya pelukan suami
yang diperlukan, bukan kata-kata pujukan. Tapi apakan
dayanya, suaminya jauh beribu batu.
Kehilangan ibu, dia hilang lebih separuh
semangatnya. Dia kini sebatang kara. Yatim piatu. Tiada
saudara-mara yang dikenalinya di sebelah ibu ataupun ayah.
Hanya ihsan penduduk kampung dan Nek Som, dia mampu
menguruskan pengebumian ibunya.
“Asma... kau dengar tak aku tanya ni?”
“Dengar... Aku tak nak dia tahu aku tengah bersedih.
Aku tak nak suami aku susah hati. Nanti-nantilah aku telefon
dia balik,” jawab Asma.
Meskipun sekarang dia amat perlukan suaminya,
namun dia tidak mahu membuatkan Ferhad susah hati. ‘Aku
boleh lalui semuanya ini. Aku kuat. Aku boleh hadapinya.
Ibu telah lama menderita. Sudah cukup kesakitan yang ibu
tanggung selama ini. Aku reda dia pergi. Semoga ibu dan
ayah berjumpa di sana. Aku akan selalu mendoakan mereka,
menyedekahkan ayat-ayat suci al-Karim kepada mereka.
Walaupun aku tidak dapat berbakti ketika mereka ada di
dunia ini, aku akan usahakan agar mereka dapat kemuliaan
di sisi-Nya.’
Asma tarik nafas. Dia pandang telefon yang masih
berkelip-kelip. WhatsApp entah berapa banyak tidak dibaca.
Dia biarkan. Saat ini dia mahu mengenang kenangan manis
bersama ibu dan ayahnya. Saat ini dia mahu sendirian di
dalam pelukan memori ibu dan ayahnya. Rumah ini banyak
kenangan ditinggalkan untuknya. Dia akan tetap berada
di sini. Dia akan tinggal di sini bersama kenangan manis
mereka. Sesaat pun dia tidak akan lupa.
“Aku risau. Kau dah dua tiga hari tak makan. Kau tak
boleh macam ni. Kalau ibu tahu, tentu dia sedih.”
“Aku tak lapar, Aida. Aku dah makan sikit. Cukuplah
alas perut. Lagipun aku nak habiskan baca al-Quran ni untuk
ibu.”
“Jangan paksa diri sendiri. Ibu tentu tak suka kau
seksa diri kau.”
“Aku okey. Aku tak rasa terseksa pun,” tekan Asma.
“Tinggalkan aku sendirian. Tolonglah...” pinta Asma
kepada sahabatnya itu.
Aida mengeluh. Dia pandang Asma seketika sebelum
keluar dari bilik ibu Asma.
Asma meneruskan bacaan yang tergendala tadi.
Dalam tersengguk-sengguk menahan sendu, dia teruskan
juga. Rindu dalam hati semakin mencengkam jiwanya.
Sejak dua bulan lepas, bila rindu dan teringatkan
ibunya, pantas tangannya menghubungi ibunya. Tak kira
siang atau malam, pagi atau petang. Mendengar suara ibu
sudah terubat rindunya. Dia menyesal, kalaulah dia rakam
setiap kali berbual dengan ibu, tentu hari ini dia masih dapat
mendengar suara ibu.
‘Ibu... Asma rindu...’

“FERHAD TAK jadi balik ke Nek Som?” Bulat mata Aida
mendengarnya.
“Dasar lelaki dayus! Pentingkan diri sendiri.” Tanpa
sempat ditahan, Aida maki Ferhad di depan Nek Som.
Muna cubit lengan Aida supaya Aida sedar diri. Di
depan mereka ni nenek Ferhad. Tentu sekali Nek Som turut
terasa dengan makian Aida tu.
Aida ketap bibir. Keningnya bertaut. Menyesal tapi
lidah dah terlepas cakap.
“Hmmm... Nek Som malu ada cucu tak guna macam
Ferhad tu. Mak bapak dia pun sama tak guna. Ali... kalau
apa-apa jadi pada aku nanti, kau jangan beritahu mereka. Aku
tak nak mereka balik masa aku sakit ke mati ke. Biar mereka
hidup dalam dunia mereka. Tak payah ambil tahu pasal aku
lagi.”
Semua yang berada di situ terdiam. Ibu Aida
mencerlung mata memandang anaknya. Pak Ali dan Jamilah
terdiam. Muna dan Syarifah masing-masing menikus. Takut
melihat kemarahan di wajah Nek Som.

*KELUARAN APR 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

Cinta Asma & Ferhad - Bab 31

ASMA terduduk. Dunianya gelap. Dia pandang
kakak sebiliknya dengan pandangan kosong. Dia pandang
Aida dengan pandangan kosong. Fikirannya kosong.
“Asma... dengar tak apa yang aku cakap ni?” tanya
Aida.
“Asma...” Aida goyang tangan Asma untuk
menyedarkannya. Namun Asma masih lagi dalam dunianya
sendiri. Aida berasa takut.
“Macam mana ni, kak?” soal Aida panik. Dia hampir
meraung tatkala melihat Asma hanya tegak tidak bergerak.
“Jangan panik, Aida. Kita kena kuat. Asma perlukan
kita. Tenang. Tenangkan diri kau,” pinta Syarifah.
“Kita kena gerak sekarang. Jika tak nak terlepas
kapal terbang.” Muna segera mengingatkan mereka.
“Tapi Asma ni...” Aida masih risaukan keadaan Asma.
“Kita papah dia. Cepat. Muna, kau pandu...” cadang
Syarifah.
“Okey, cepat,” pinta Muna.
Macam lipas kudung mereka bertiga berkejar ke
kereta sambil memapah Asma. Asma macam orang bingung.
Dia ikut ke mana sahaja mereka bawa.
“Mengucap dan beristighfar, Asma. Kau kena kuat.
Ibu kau tengah tunggu kau sekarang. Jadi kau kena kuatkan
diri. Tunjuk yang kau tabah.” Tidak putus-putus Aida
meniupkan kata-kata semangat kepada Asma. Dia tidak mahu
melihat Asma yang beku dan blur begini. Dia mahu Asma
yang sentiasa senyum dan berfikiran positif.
Tiga jam kemudian, mereka sampai di wad unit
rawatan rapi, USM. Asma masih lagi membisu.
Pap! Aida terpaksa tepuk pipi Asma dengan agak
kuat. Dia mahu Asma sedar.
Pedih. Itulah yang Asma rasa. Namun sakit dan nyilu
lagi hatinya. Dia seolah-olah baru dapat bernafas walaupun
payah. Dicengkam dadanya kuat. Dia tengok sekeliling.
Bagaikan baru tersedar.
“Aku kat mana?” tanya Asma.
“Asma dekat HUSM. Cepat masuk tengok ibu...” ujar
Nek Som. Wanita tua itu cuba untuk tidak menangis. Melihat
wajah Asma yang bingung, rasa kasihan dan simpatinya
melaut. Dia tidak sampai hati tapi sudah sampai masanya
Rohani pergi berjumpa Pencipta-Nya.
“Kenapa dengan ibu?” soal Asma lagi. Bingung. Dia
lupa dengan berita yang diterima beberapa jam lepas.
“Masuk tengok dulu, nanti kau tahu,” gesa Aida
sambil heret tangan Asma supaya mengikutnya.
Asma rentap tangan Aida.
“Aku tak nak masuk. Ibu ada dekat rumah tunggu
aku. Bukan dekat dalam tu,” keras Asma membantah. Dia
berganjak ke belakang.
Pak Ali, Jamilah, Nek Som, Muna dan Syarifah
mengesat air mata masing-masing. Mereka tidak sanggup
melihat keadaan Asma.
“Ibu kau tengah nazak sekarang. Dia tengah tunggu
kau. Nak jumpa kau buat kali terakhir.”
“Tipu... ibu aku ada dekat rumah!” bantah Asma lagi.
Dia kesat air matanya kasar dengan lengan baju. Dia geleng
kepala tidak percaya.
“Asma... apa yang Aida cakap tu betul. Ibu Asma ada
dekat dalam. Dia sebenarnya dah lama sakit,” pujuk Nek Som.
Dia mendekati Asma dan memaut Asma ke dalam pelukan.
“Asma tak boleh macam ni. Asma kena sabar dan
terima berita ini dengan reda.”
Asma peluk Nek Som erat.
“Asma tak percaya. Ibu mana boleh sakit. Ibu kena
sentiasa sihat. Asma tak nak kehilangan ibu. Asma nak ibu...”
ngongoi Asma di dalam pelukan Nek Som.
“Sabar, sayang... Asma kena kuat. Pergi jumpa ibu
dulu. Tiupkan semangat kepada ibu supaya ibu tabah melawan
penyakit.” Nek Som cuba meniupkan semangat ke dalam jiwa
cucu menantunya itu.
“Betul tu, sayang. Ibu tengah tunggu Asma...” pujuk
Jamilah pula. Mata dan wajahnya merah.
Lama Asma berada di dalam pelukan Nek Som.
Dirinya semakin tenang. Berkali-kali dia beristighfar dan
berselawat dalam hati.
“Mari Asma, aku temankan kau jumpa ibu,” ajak
Aida lagi.
Nek Som lepaskan pelukannya. Dia renggangkan
tubuh mereka. Diusap air mata yang mengalir di pipi Asma.
“Pergi jumpa ibu dulu. Dah lama ibu tunggu Asma.
Kami semua tunggu Asma kat sini,” suruh Nek Som.
Asma teragak-agak mahu mendekati katil yang
menempatkan ibunya. Dia masih belum dapat menerima
kenyataan. Dia selalu berdoa agar ibunya selalu ada di
sampingnya, dipanjangkan usia agar dia dapat berbakti dan
mengutip pahala kerana berkhidmat untuk ibunya. Tapi...
melihat di hadapannya, ibu terbaring lemah dengan wayar
berselerakan, dia macam bermimpi.
‘Kenapa? Mengapa ibu sakit. Kenapa ibu diberi ujian
dengan sakit ini?’
Aida tarik Asma mendekati ibunya.
“Kau jangan nangis, kesat air mata kau. Jangan bagi
ibu tengok rupa sedih kau ni,” bisik Aida perlahan.
Dengan langkah berat, Asma ikut Aida. Mendekati
katil ibunya, dia mahu meraung. Dia tidak sanggup tengok
ibunya terlantar sakit.
“I... ibu...” pecah juga suara dan esakannya. Dia tidak
mampu tahan sebak di dada.
Perlahan, kelopak mata Rohani bergerak. Jarinya
juga bergerak sedikit. Matanya terbuka perlahan-lahan.
Bibir keringnya cuba mengukir senyum. Akhirnya dia dapat
melihat wajah anak kesayangannya buat kali terakhir. Tenang
hatinya. Dia mampu pergi dengan tenang.
“Ibu...” Asma menyembamkan mukanya di lengan
ibunya. Dia genggam erat lengan ibunya. Dia tidak mampu
berkata.
Perlahan tangan kanan Rohani bergerak perlahan
dan singgah di atas kepala anaknya. Dia usap perlahan dengan
kudrat yang semakin menyusut.
“Ma... maafkan ibu...” bisik Rohani.
Aida tidak sanggup melihat situasi dua beranak ini,
terus keluar. Dia tidak mampu melihat mereka tanpa teresak
sama.
“Ke... kenapa ibu tak cakap ibu sakit? Kenapa nak
tinggalkan Asma? Kenapa, ibu...” soal Asma bertalu-talu. Dia
angkat wajah, pandang wajah ibunya yang tersenyum.
“Ibu tak nak Asma patah semangat. Ibu nak Asma
sentiasa kuat dan positif kejar cita-cita Asma...” balasnya
lambat-lambat. Dia mencari nafas.
Cepat-cepat Asma usap dada ibunya.
“Tapi Asma tak nak ibu sakit. Asma nak ibu sentiasa
bersama Asma,” tekan Asma lagi.
Bibir kering Rohani mengukir senyum. Dia ingin
berkata lagi tapi suara dan kekuatan telah semakin kurang.
Dia kehabisan tenaga. Namun dia tetap berusaha.
“Suami Asma akan gantikan tempat ibu. Ibu...”
Rohani menarik nafas dalam kepayahan.
“Ibu... yakin dia akan sentiasa berada di sisi Asma.
Dia akan bahagiakan Asma lebih daripada ibu...”
Asma geleng kepala. Dia meraung memanggil nama
ibunya. Namun ibunya terus kaku.
Jururawat dan doktor terus menerpa ke katil itu.
“Adik keluar dulu...”

“SEL-SEL KANSER telah merebak ke semua organ dalaman.
Sekarang ni kita perlu berserah kepada Allah SWT. Banyakkan
berdoa dan baca Yasin. Semoga dipermudahkan urusan beliau
di dunia ini.” Itulah kata-kata terakhir doktor yang merawat
ibunya.
“Saya nak bawa balik ibu ke rumah, doktor,” putus
Asma. Dia tahu masa ibu sudah hampir sampai. Jadi dia patut
bawa ibu pulang ke rumah. Biarlah ibu pergi ketika berada di
rumah bukan di hospital.
“Tapi...”
“Saya nak jaga dan berbakti kepada ibu untuk
saat-saat akhir ibu di dunia. Selepas ini saya tak akan dapat
lagi menjaga dan membahagiakan ibu saya. Jadi benarkan
saya bawa balik ibu ke rumah, doktor.”
Doktor Azizi angguk. Itulah sebaiknya. Lagipun
Rohani sudah tidak ada harapan lagi untuk sembuh.
“Baiklah jika itu yang awak mahukan. Awak kena
ingat, setiap yang hidup pasti akan mati. Jadi tabahkan hati
dan terima takdir ini dengan penuh reda. Insya-Allah, urusan
ibu awak di dunia telah pun selesai. Sebagai anak, awak
hendaklah reda dengan pemergiannya nanti. Doakan dia
supaya berada dalam kalangan orang-orang yang soleh dan
beriman,” pesan doktor itu lagi.
Asma angguk. Dia kesat air matanya. Dia akan tabah.
Dia janji akan tabah mengharungi hidup ini.

Cinta Asma & Ferhad - Bab 30

“SIAPA yang telefon, bang?” soal Mariana.
“Mak.”
“Dia nak apa?”
Fakrul bersandar di sofa. Dia termenung seketika.
Dia tak ingat sangat rupa besannya. Malah bercakap pun
tidak. Kali pertama dan terakhir berjumpa pada malam
pernikahan Ferhad.
“Dia nak apa?” soal Mariana sekali lagi setelah
melihat suaminya diam mengelamun entah ke mana.
“Dia beritahu, besan kita tengah nazak di hospital.
Tak nak balik tengok ke?”
“Hmmm... esok saya ada seminar di Royal Hotel.
Tiga hari berturut. Tak boleh nak batalkan sebab saya salah
seorang panel,” beritahu Mariana.
“Esok abang ke Singapura... hmmm...”
“Minggu depan jelah kita balik kampung,” cadang
isterinya.
“Ferhad dah tahu? Dia balik?” tanya Mariana pula.
Fakrul angguk.
“Mak cakap dia akan balik secepat mungkin.”
“Betullah tu. Isteri dia perlukan dia saat-saat seperti
ini.”
“Siapa nak balik, mama? Papa?”
Fatin Nur hempas tubuh di sofa. Dia baru balik dari
tengok wayang dengan Iskandar, kekasihnya.
“Ferhad. Mak mentua dia sakit tenat. Ada kat
hospital.”
Terbuka luas mata Fatin Nur yang hampir tertutup.
“Balik? Buat apa abang balik?” soal Fatin Nur tidak
puas hati. Tidak ada kepentingan pun dia balik. Orang sakit
nak mati tetap akan mati walaupun balik beribu batu pun.
Jadi biarlah dia mati. Buat apa nak susahkan diri orang lain?
“Mak mentua dia sakit. Mestilah dia kena balik.
Isteri dia perlukan dia,” tekan Mariana. Memang patut anak
lelakinya itu balik.
“Tapi mama, abang tu tak sayang pun isteri dia tu.
Kahwin pun terpaksa. Jadi Fatin rasa buang masa dan duit je
kalau dia balik. Bukan dekat, beribu batu tu.”
“Terpaksa ataupun tidak, itu tetap mentua dia.
Lagipun Ferhad satu-satunya menantu. Jadi dia patut
bertanggungjawab menguruskan ibu mentuanya,” beritahu
Mariana.
“Betul apa yang mama cakap tu. Ferhad patut balik.
Dia ketua keluarga sekarang. Itu tanggungjawab dia.”
Fatin Nur pandang mama dan papanya silih
berganti. Tidak percaya apa yang keluar dari mulut mereka.
Pelik dengan sikap tiba-tiba mengambil berat orang tuanya.
Sedangkan selama ini mereka pentingkan kerja dan mengejar
harta dunia semata-mata tanpa menitikberatkan soal
keluarga.
Fatin Nur geleng kepala dan sengih sinis. Dia bangkit
duduk bersandar di sofa.
“Selama ni mama dan papa tak pernah ambil kisah
pun siapa yang sakit atau mati. Mereka yang ada kepentingan
dengan mama dan papa sahaja yang papa ambil kisah. Atuk
meninggal dulu pun mama dan papa tak balik. Jadi kenapa
tiba-tiba ambil kisah tentang orang sakit yang tak ada
kepentingan tu?” luah Fatin Nur.
Terdiam Fakrul dan Mariana mendengar kata-kata
anaknya itu. Menilai semula sikap mereka. Dalam diam
mereka mengakuinya. Terlalu banyak perkara mereka abaikan
semata-mata mengejar dunia. Perkahwinan mengejut Ferhad
mula membuka mata mereka. Sekelip mata barulah mereka
sedar, anak-anak mereka telah dewasa. Sudah terlambat untuk
mereka mengambil peranan dalam kehidupan anak-anak.
Melihat kedua-dua orang tuanya terdiam, Fatin Nur
bangun menuju ke biliknya. ‘Aku perlu buat sesuatu. Abang
tak patut balik semata-mata kerana budak kampung tu.’

“FANY, AWAK kena lakukan sesuatu. Buat apa sahaja asalkan
jangan bagi Ferhad balik ke Malaysia.”
“Tapi...”
“Jika betul awak cintakan dia dan tak mahu
kehilangan dia, awak kena pastikan dia tak balik ke Malaysia.”
“Tapi...”
“Awak cintakan dia atau tidak?” tanya Fatin Nur
dengan suara yang tegas.
“Sudah pasti saya cintakan dia. Tanpa dia, saya
macam tak boleh bernafas lagi,” akur Tiffany.
“Jadi awak kena halang dia balik,” arah Fatin Nur.
Talian diputuskan. Tiffany berpaling melihat Ferhad
yang sudah bersiap sedia mahu berangkat ke lapangan
terbang.
‘Fikir!’
‘Cepat. Fikirkan sesuatu. Aku tak boleh biarkan dia
balik.’ Tiffany ketap bibir. Wajahnya pucat dan dia amat takut
kehilangan Ferhad.
Tiba-tiba dia sesak nafas. Tercungap-cungap dia
menarik nafas, mencari oksigen. Tapi seolah-olah oksigen di
udara telah kehabisan. Dia panik.
“Fer... Ferhad...”
“Tiffany...”
“Fany... kenapa dengan awak ni?” Ferhad menerpa
Tiffany yang hampir terjatuh. Dia sempat menangkap tubuh
Tiffany dari terjatuh ke atas lantai.
“Fany... buka mata... Fany...” Ferhad tepuk-tepuk
pipi Tiffany untuk menyedarkannya. Tiffany terkulai lemah.
Ferhad segera mengangkat Tiffany ke dalam biliknya.
“Please... jangan tinggalkan saya...” rayu
Tiffany. Tangannya memaut tangan Ferhad yang ingin
meninggalkannya.
“Syyy... saya tak akan tinggalkan awak. Saya nak ke
dapur. Ambil air untuk awak,” beritahu Ferhad.
Tiffany geleng kepala dengan melihat Ferhad
sayu. Tidak. Sedikit pun dia tidak mahu Ferhad hilang dari
pandangan.
Ferhad tidak jadi melangkah. Di duduk di sisi katil.
Tangannya masih dipegang erat. Dia melihat sekilas jam di
tangan kirinya. Dia sudah terlewat.
Tiffany bangkit dan peluk Ferhad erat. Dia perlukan
pelukan panas lelaki itu untuk redakan perasaan paniknya.
Dia perlukan belaian dan pujukan lelaki itu untuk meleraikan
rasa yang semakin membuat dirinya hilang. Dia perlukan
lelaki itu sebagai penyebab untuk terus hidup dan bernafas
di bumi ini.
“Jangan pergi. Saya perlukan awak,” bisik Tiffany di
telinga Ferhad. Dia paut leher Ferhad. Dia cium leher dan
sekitar wajah Ferhad.
Ferhad tarik dan cuba leraian pelukan Tiffany. Dia
pegang tangan Tiffany dan menjarakkan tubuh mereka.
“Awak ni kenapa? Apa yang dah terjadi? Kenapa awak
berkelakuan macam ni?” soal Ferhad bertalu-talu.
Tadi, dia tahu yang Tiffany kena panic attack. Sebab
itulah Tiffany hampir jatuh dan pengsan. Tapi apa puncanya?
Apa penyebabnya?
“Siapa telefon awak tadi? Kenapa awak tiba-tiba
terkena panic attack?”
“Tak ada sesiapa. Saya... saya takut awak pergi dan
tak kembali lagi.”
Ferhad geleng kepala. Tingkah laku Tiffany semakin
tidak masuk akal. Semakin pelik.
“Saya kena pulang sebab keluarga saya perlukan
saya. Saya perlu pergi sekarang. Jika tidak, saya terlepas kapal
terbang,” jelas Ferhad.
“Tak! Awak tak boleh pergi tinggalkan saya sendirian.”
Pantas Tiffany membalas dan pegang tangan Ferhad erat.
Matanya sayu meminta dikasihani.
“Tolonglah... jangan tinggalkan saya. Saya... saya
sakit.”
Ferhad mendengus. Masanya semakin suntuk.
Dia cuba telefon daddy Tiffany tetapi tidak berjawab.
Terlepas kapal terbang hari ini, maka dia perlu tunggu
minggu depan pula untuk penerbangan seterusnya. Dia
mengeluh kesal. Berkali-kali dia menghubungi daddy Tiffany
namun masih tidak berjawab.
Ferhad raup wajahnya. Melihat Tiffany tidak bermaya,
dia tidak sampai hati. Lagipun dia sudah tidak sempat sampai
dalam masa yang ditetapkan di lapangan terbang. Dia telah
terlepas penerbangan ini.
“Rehatlah... saya tak akan tinggalkan awak. Lagipun
penerbangan saya dah berlepas.”
“Temankan saya,” pinta Tiffany.
Ferhad mengeluh namun dia tetap ikut berbaring di
sisi Tiffany. Matanya terkebil-kebil memandang siling.

Cinta Asma & Ferhad - Bab 29

“ANI tu dah tak ada masa lagi. Kita kena
beritahu Asma. Suruh dia balik secepat mungkin,” gesa Pak
Ali.
“Mak Som! Dah tak boleh tangguh lagi. Doktor pun
cakap Ani dah nazak. Tunggu masa sahaja ni,” gesa Pak Ali
lagi.
“Aku tahu, tapi aku tak tahu nak cakap macam mana.
Aku takut jadi apa-apa dekat Asma pulak. Kalau Ferhad ada,
senang sikit nak bagi tahu.”
“Asma tak tahu ibu dia ada kanser selama ini?” soal
Pak Ali terkejut. Dia pandang isterinya.
“Masya-Allah... Kenapa tak bagi tahu dia? Dia patut
tahu yang ibu dia sakit,” ujar Pak Ali.
Nek Som mengeluh.
“Ani tak sanggup nak tengok Asma bersedih dan
hilang semangat.”
“Asma lagi sedih kalau dia tahu saat-saat akhir. Saya
takut dia tak kuat terima kenyataan nanti,” sela Pak Ali.
“Ferhad!” Nek Som bagaikan tersedar. Ferhad perlu
balik secepat mungkin. Hanya Ferhad yang mampu memujuk
Asma nanti.
“Aku kena telefon Ferhad suruh balik sekarang.
Kalau dia naik flight hari ni, esok dah sampai,” beritahu Nek
Som. Dia cepat-cepat mengeluarkan telefon pintarnya. Dicari
nama Ferhad.
“Ferhad, nenek nak kau balik sekarang,” ujar Nek
Som tanpa tangguh sebaik sahaja mendengar suara Ferhad
di hujung sana.
“Kenapa, nek?” soal Ferhad terpinga-pinga di hujung
sana.
“Ibu mentua kau tengah nazak sekarang ni. Dah tak
ada banyak masa lagi. Kau kena balik. Isteri kau perlukan
kau.”
“Asma dah tahu?”
“Belum. Sebab itu nenek nak kau balik sekarang.
Bila kau dah ada kat sini, baru kita beritahu dia pasal keadaan
ibu dia. Sebab hanya kau je yang boleh pujuk dia nanti.”
Ferhad menarik nafas panjang.
“Nenek takut dia tak dapat terima kenyataan. Kau
kena balik jugak walau macam mana pun. Kena usahakan.
Nenek tak beritahu lagi dia. Nenek takut dia tak dapat terima.”
“Saya cuba dapatkan tiket untuk balik hari ni jugak.
Saya akan beritahu dia. Nenek jangan risau. Insya-Allah dia
tabah dan kuat terima kenyataan nanti.”
Setelah berbual beberapa ketika, Nek Som
memutuskan talian. Dia termenung di luar wad ICU HUSM,
Kubang Kerian.
Saat ini, Pak Ali bersama dengan isterinya, Jamilah
turut berada di samping Nek Som.
“Sama-sama kita doakan agar Allah SWT
permudahkan urusan Ani di dunia ni, Mak Som. Kita doakan
agar dia dapat bertahan sehingga Asma sampai nanti,” ujar
Jamilah.
“Mak Som pun harap begitu juga. Bila jadi macam
ni, Mak Som jadi serba salah. Kalau Asma dah tahu pasal sakit
dia tu, senang sikit kita nak khabarkan tentang keadaan dia.
Ni tidak, anak dia tu tak tahu langsung. Pandai dia sorokkan.”
Pak Ali dan Jamilah angguk setuju. Setahun lepas,
Rohani pengsan di pasar. Ketika itu Asma mengikuti kem
insentif SPM di Aman Resort, Tok Bali selama seminggu.
Rohani paksa mereka supaya merahsiakan penyakitnya
daripada Asma. Dia tidak mahu menjejaskan tumpuan Asma
untuk menghadapi peperiksaan SPM. Jadi sebaik mungkin dia
menahan sakitnya supaya tidak dapat dihidu oleh anaknya.
Dia selalu memberikan alasan semput sebab asma. Dia juga
tidak mahu melakukan rawatan kemoterapi.
Keadaan Rohani semakin kritikal sejak sebulan lepas,
namun dia masih juga berkeras tidak mahu memberitahu
anaknya. Alasannya, anaknya baru saja belajar di universiti.
Dia tidak mahu tumpuannya terjejas. Apatah lagi Asma
terpaksa berjauhan dengan suaminya. Dia tidak mahu Asma
tertekan dan terbeban dengan perkara yang tidak sepatutnya
dia pikul. Oleh sebab itu, mereka terpaksa ikut merahsiakan
tentang penyakitnya.
“Mak Som nak ke surau, baca Yasin. Mari, Milah.
Kita pakat baca Yasin sama-sama. Malam nanti minta Imam
Mat buat bacaan Yasin kat surau, Ali.”
“Insya-Allah, nanti saya beritahu dia. Asma macam
mana, Mak Som?” tanya Pak Ali gusar.
“Ferhad cakap nanti dia akan beritahu Asma. Dia
juga akan balik secepat mungkin.”
Mereka berdua angguk. Lebih baik suami Asma
sendiri yang menyampaikan berita sedih ini. Mudah-mudahan
dia dapat terima.

DI SEBERANG lautan sana, Ferhad termenung setelah
panggilan daripada neneknya ditamatkan. Dia teringat
perbualan terakhirnya dengan ibu Asma. Masih dia ingat
amanat Rohani yang memintanya menjaga Asma dengan
sebaik-baiknya terutama setelah pemergiannya kelak.
“Awak kenapa, Ferhad? Awak nampak risau,”
tegur Tiffany setelah melihat Ferhad termenung dan tidak
menyentuh makan malamnya.
“Siapa yang telefon tadi?”
Ferhad senyum hambar.
“Nenek saya. Ada masalah famili kat sana. Saya perlu
balik ke Malaysia secepat mungkin,” beritahunya.
Ferhad letak sudu dan garpunya. Makanan di
hadapan nampaknya sudah tidak menyelerakan. Yang ada
dalam kepalanya sekarang adalah Asma. Dia perlu berada di
samping isterinya secepat mungkin.
“Tapi awak baru balik beberapa bulan lepas.”
“Saya tahu. Tapi ini melibatkan soal hidup dan mati.”
“Awak tak boleh balik. Inilah masanya awak
kukuhkan kedudukan awak di dalam bidang ini.”
“Itu semua tak penting bagi saya. Keluarga saya
paling penting sekarang. Mereka perlukan saya.” Ferhad
berkeras. Terbayang wajah Asma yang basah dengan air mata.
Dia tidak sanggup wanitanya menangis lagi tanpa dia di sisi.
“Ferhad!”
Tiffany terkejut. Ferhad sudah banyak berubah. Jika
dulu, dia seorang yang mementingkan kerjaya, sekarang
tidak lagi. Dia telah berubah setelah balik ke Malaysia.
Hatinya mula takut, bagaimana nanti jika Ferhad balik dan
tidak kembali?
“Saya kena balik sekarang. Beli tiket online dan
kemas pakaian saya.”
“Tunggu saya,” pinta Tiffany yang baru saja hendak
menikmati makanan yang dipesan tadi.
“Awak balik sendiri. Saya ada tempat lain lagi nak
singgah sebelum balik.”
Terpanar Tiffany mendengarnya. Hatinya menangis.