DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 2

“BABE!” panggil Syakirin.
“Hmmm...” gumam Adel. Mulutnya penuh dengan
nasi dan lauk masakan Syakirin. Sedap!
“Kenapa hang nak balik kampung? Pak ngah tak
bising ka?” duga Syakirin akan respons papa Adel. Arwah
mama Adel dan arwah ibunya merupakan sepupu yang sangat
rapat. Keakraban hubungan itu diwarisi oleh mereka berdua
pula.
“Papa tak bising. Cuma dia tak senang duduk bila
aku kata nak balik kampung,” jawab Adel apabila selesai
mengunyah. Kemudian, suapan kedua diteruskan.
“Kenapa hang nak balik kampung eh? Bosan ka stay
di rumah?” duga Syakirin lagi. Pelik dengan perangai dua
pupunya itu. Di kampung lebih bosan. Di bandar boleh saja
berjalan-jalan ke pusat membeli-belah dan juga menonton
wayang. Malah, rakan-rakan Adel pasti ramai tinggal di
bandar.
“Saja. Nak berehat dan tenangkan fikirkan. Tok dan
wan di kampung tu tak ada siapa yang tengokkan,” jelas Adel.
“Hang nak kata aku jarang balik tengok tok dan wan
eh?” Adel tersenyum apabila Syakirin terasa seperti disindir.
“Kau ni... relakslah! Aku tak sindir pun. Tapi
hakikatnya, tok dan wan sayangkan aku lagi,” ucap Adel,
sengaja hendak memprovokasi Syakirin.
“Hukkk! Hukkk!” Bazli yang semeja dengan
mereka berdua tiba-tiba tersedak. Selang beberapa saat,
senyuman senget pula terukir di bibir. Cepat-cepat Bazli
menyembunyikan senyuman itu dengan tangannya.
“Bie!” Syakirin bentak manja dengan suaminya itu.
“Dia cemburu tu.” Semakin ligat Bazli menyakat
Syakirin yang sudah memuncungkan mulut.
“Pak ngah, nak air lagi,” pinta Faiq, anak saudara
kesayangan Bazli.
“Lain kali habiskan nasi dulu baru minum air,” tegur
Bazli. Namun, permintaan Faiq tetap diturutinya.
“Aku tengok Faiq ni dah macam anak korang berdua
pula.” Adel mengalihkan pandangan ke wajah Faiq yang
berpipi tembam itu.
“Langsung tak nak berenggang dengan pak ngah
dia,” tambah Syakirin. Faiq tersengih mendengarnya.
“Tapi bie layan si kembar kita pun special jugak tau,”
kata Bazli sambil senyum dan menggenggam erat tangan
isterinya.
“Hang tengok, Adel. Macam mana aku nak marah
lama-lama? Ada aja idea laki aku ni nak pujuk aku.”
“Itu sebab kau angau!” tempelak Adel. Serentak
meletus tawa Bazli, Adel dan juga Syakirin. Manakala tiga
orang si kecil yang menyertai mereka di meja makan turut
ketawa tanpa tahu cerita sebenar.
“Time flies fast, Kirin. Kali terakhir kita berjumpa
masa zaman sekolah. Kau dengan saiz double. Aku pula
dengan saiz skinny. Lepas lapan tahun baru kita berjumpa.
Kau dah kahwin! Dah ada anak, kembar pula tu! Macam tak
percaya pula,” ujar Adel. Anak mata memandang anak kembar
Bazli dan juga Syakirin. Insyirah dan Iman.
“Kan? Itu menunjukkan hang pun kena join club
aku. You’re not young anymore, Adelia Zahra. Twenty seven
years old! I think you should have a kid by now.” Giliran
Syakirin pula membalas.
“Siapalah yang nakkan aku? Aku ni, selamba santai.
Kau lainlah, anggun!” tukas Adel yang ada saja idea mahu
menjawab.
“Anggun? Aku anggun? Hang ni buta agaknya.”
Syakirin cuba menafikan.
“Kau tengok, Bazli. Aku puji bukannya dia nak
berterima kasih. Ingat senang Adelia Zahra nak puji orang?
Lebih-lebih lagi nak puji Kirin yang sememangnya sememeh
selalu.” Adel juga tidak mengenal erti mengalah. Sengaja
mengusik dua pupunya itu.
“Sememeh? Hoittt!!!” jerit Syakirin apabila
dituduh begitu. Anak mata tajam menikam wajah Adel yang
tersengih-sengih dengan senyuman kambing.
“Ayang... behave. Depan anak-anak ni,” tegur
Bazli. Perangai isterinya secara automatik akan bertukar
keanak-anakan apabila bersama-sama Adel, sepupu isterinya
itu.
“Bie...” Syakirin membentak manja menagih
pertolongan daripada Bazli. Tetapi, Bazli hanya
menggelengkan kepala dan tersenyum nakal bersama-sama
Adel.

ADEL MEMBANTU Syakirin mengemas meja makan
dan juga membersihkan pinggan mangkuk yang kotor.
Bazli pula sedang melayani anak-anak mereka di ruang
tamu. Riuh-rendah kedengaran suara si kembar bermain
bersama-sama Faiq.
“Abang tiri hang apa cerita?” soal Syakirin, tiba-tiba.
“Okey je,” jawab Adel tanpa perasaan.
“Hang dengan dia, macam mana?” soal Syakirin lagi.
“Aku dengan dia, macam mana? Macam mana
yang kau maksudkan?” Spontan Adel berkalih memandang
Syakirin. Tangan yang ligat mengelap pinggan basah terus
terhenti.
“Hang dengan dia...” Syakirin sengaja membiarkan
kata-katanya tergantung di situ. Mungkin Adel akan
memahami ayat yang selanjutnya.
“Choiii!!!” tempelak Adel yang sudah faham maksud
Syakirin itu tadi. Macam manalah Syakirin boleh terfikir
sejauh itu akan hubungannya dengan Shah?
“Aku hormat dia sebagai abanglah, babe. Tak pernah
terlintas langsung di dalam kepala atau terniat di dalam hati
nak hubungan kami berdua lebih daripada yang sekarang ni.
Perasaan tu tak pernah wujud! Seriously, babe!” jelas Adel
akan perasaannya terhadap Shah.
“Tapi, dia sukakan hang,” ujar Syakirin. Bulat mata
Adel memandang wajah dua pupunya itu.
“Kau main serkap jarang je, kan? Mustahillah dia nak
simpan perasaan macam tu,” bidas Adel sedikit tak senang
dengan kata-kata Syakirin. Mustahillah!
“Aku tahulah! Aku makan garam lagi awal daripada
hang.” Sekali lagi mereka berdua bertekak. Gamat jadinya.
“Kirin, better kau check blood pressure,” bisik Adel.
“Dah kenapa aku kena check blood pressure pula?”
Syakirin terpinga-pinga.
“Mana tahu kau ada darah tinggi ke? Kau makan
garam banyak sangat,” seloroh Adel yang suka benar
mengusik Syakirin, tak sudah-sudah.
“Hoit!!!” Sekali lagi Syakirin geram dengan Adel
yang selalu saja menjadikannya mangsa.
“Sengetlah hang ni!” Spontan rambut Adel yang
separas bahu itu ditarik lembut.
“Arghhh...” Sengaja Adel menyeringai kesakitan
sehingga kepalanya turut terteleng sedikit dek tarikan
Syakirin itu.
Syakirin melepaskan genggamannya. Rambut
Adel segera dirapikannya semula. Selang beberapa saat,
kedua-duanya ketawa bersama-sama. Namun, tawa
mereka berdua tidak lama apabila deringan telefon bimbit
mengganggu suasana ceria itu.
Adel beralih ke meja bar. IPhone yang bergetar
dicapai. Nama ‘Abang Shah’ tertera di skrin.
‘Panjang umur!’ Adel tersenyum senget. Jari telunjuk
menyentuh skrin lalu telefon bimbit dibawa ke telinga.
“Adel...” Manja sekali suara Shah di hujung talian.
“Ya...” sahut Adel, meleret.
“Lupa eh?” duga Shah.
“Lupa? Adel lupa apa?” soal Adel semula. Apa yang
dia lupa? Dia ada janji apa-apa dengan Shah ke?
Spontan sesuatu menjengah di dalam fikiran.
Terbuntang biji mata Adel!
“Allahuakbar! So sorry, Abang Shah. Adel terlupa
sangat-sangat.”
“Abang Shah dah agak! Dah tu, macam mana? Jadi
ke tak?” Mendatar saja nada suara Shah. Tanda berjauh hati!
“Pukul berapa game?”
“Pukul empat.” Nada suara Shah masih sama.
“Sempat! Sekarang baru pukul dua. Lepas solat
zuhur, Adel terus pecut balik rumah. Okey?” Niat di dalam
hati mahu saja lebih berlama di rumah Syakirin. Tetapi,
nada suara Shah sudah berubah. Jadi dia perlu bertindak
dengan bijak untuk memujuk Shah semula. Rajuk Shah
kadang-kadang berlarutan sehingga berhari-hari. Dasar anak
manja mama!
“Promise?” Nada suara Shah sedikit berubah. Sudah
bernada ceria.
“Promise! Adel solat dulu. Then, baru Adel balik
rumah,” janji Adel.
“Okey. Take care yourself, honey,” pesan Shah
sebelum menamatkan talian.
Adel hanya mampu tersenyum dan menggeleng
kecil. Honey? Bukan boleh percaya pun. Dasar sweet talker!
Tetapi, tak ada pula awek yang melekat.
“Siapa?” soal Syakirin. Pelik dibuatnya apabila Adel
asyik tersenyum sendirian sejak dari tadi. Kena sampuk ke
apa?
“Abang Shah...”
“Panjang umur! Baru disebut dah timbul,” perli
Syakirin.
“Aku tak boleh berlamalah. Aku ada janji dengan
dia petang ni. Aku nak solat dulu sebelum balik,” ujar Adel.
Sindiran selamba Syakirin langsung tidak berbekas di dalam
hati. Sudah faham benar akan cara jenaka Syakirin itu,
walaupun kedengaran kasar.
“Okey, babe!” akur Syakirin.

HONDA JAZZ diparkir di belakang kereta Honda Civic yang
selalu dipandu oleh Shah. Tergesa-gesa Adel keluar dari perut
kereta. Apabila Adel melangkah masuk ke dalam rumah,
kelihatan Shah sudah pun sedia menunggunya sambil
menikmati semangkuk aiskrim di hadapan TV.
“Adel tukar baju dulu,” ujar Adel. Tanpa menunggu
jawapan daripada Shah, laju Adel mendaki anak tangga
menuju ke tingkat atas.
Tidak lama kemudian, Adel kembali turun ke tingkat
bawah. Kali ini, Shah sedang memakai kasut pula. Malah,
kasut Adel sudah pun dikeluarkannya dari almari. Adel
berlabuh di sebuah kerusi kayu untuk menyarung kasut.
“Pakai kasut outdoor tu. Tak tergelincir nanti,” ujar
Shah. Adel hanya mengangguk saja.
Setengah jam kemudian, mereka berdua tiba di
tempat yang dituju. Kelihatan ramai anak-anak muda
berkumpul di situ. Anak mata memandang papan tanda yang
tertera besar nama tempat itu.
Mudtrekker Paintball Park!
Tempat Adel dan Shah melepaskan tension.
Walaupun penat, tetapi mereka akan memperolehi sebuah
kepuasan.
“Lepas geram! Lepas ni Abang Shah dah tak ada
peneman nak datang sini. Peneman nak balik kampung,”
rajuk kecil Shah apabila memikirkan ketiadaan Adel nanti.
“Abang Shah ni, Adel bukannya tak balik terus,”
sangkal gadis itu.
“Mana tahu kalau Adel tersangkut dengan mamat di
kampung tu ke? Terus tak nak balik.”
“Hesy! Ke situ pula Abang Shah ni. Tak payah
merepeklah.” Cepat-cepat Adel membidas. Jauh sungguh
abang tirinya itu berangan. Lagipun... ada ke mamat di
kampung tu yang sukakan dirinya? Seorang lelaki yang jujur
dan menerimanya kerana dirinya, bukan kerana apa yang
dimilikinya?

No comments:

Post a Comment