DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 30 July 2015

PERMAISURI HATI - BAB 15

PERMAISURI HATI - BAB 15


Setelah Haikal menyalamiku dan Datuk Rafael, dia asyik bertanya tentang Era sebaik sahaja  masuk ke dalam kereta.
Era tersedar mendengar mulut bising Haikal. Mulalah anak kecil itu meragam. Aku pantas menyuruh Datuk Rafael ke rumahku. Susah hendak memujuk Era dalam kereta ini.
Di sofa, aku menenangkannya. Datuk Rafael sekadar menjadi pemerhati sahaja. Dia bagaikan bingung dengan sikap Era ini. Pelik pula aku melihatnya. Masakan dia tidak tahu perangai Era.
“Era.. jangan nangis lagi sayang. Kasihan mama”.
“Era tak malu nangis, kan mama”.
“Haikal…jangan kacau Era lagi.  Nanti mama cubit baru tahu”. Aku buat-buat mahu mencubit lengannya. Haikal mengelak dan pantas meluru kearah Datuk Rafael. Dia sudah memeluk leher lelaki itu. Kujeling tajam ke arah Haikal, memberi amaran supaya tidak menganggu Era
Uncle…mama nak cubit Ekal”.
Datuk Rafael tergelak. “Muka you kelakar sangat, Bashira!!”. Gelakknya lagi.
“Datuk jangan nak puji-puji sangat. Tak pasal-pasal sekali dengan Datuk saya cubit”.
“Nak cubit I.. ? Nak cubit kat mana? Silakan..”.
Mukaku berona merah. Malu dengan keterlanjuran kata-kataku.
“Saya tidurkan Era dalam bilik dulu. Lepas ni saya keluar. Kita balik pejabat”. Laju kakiku ke bilik utama.
Era mengusap pipiku sewaktu aku membaringkan tubuhnya. “Mama tidur dengan Era”.
Aku senyum. Tudung di kepala kubuka. “Cantiklah rambut mama”.
“Terima kasih sayang. Okay, kita tidur dulu ye”.
Kubaringkan tubuh mengiring ke arah Era. Aku mengusap-ngusap Era yang sudah memejamkan mata. Dan tanpa sedar, mataku layu sendiri.

AKU terpisat-pisat bangun. Aku beristighfar. Era masih lena di sebelah. Jam sudah menunjukkan pukul 5. Aku terkedu. Biar betul. Lamanya aku tidur.  Nasib baik aku uzur minggu ini. Fikiranku terus terbang kepada Haikal dan Datuk Rafael. Sebelum keluar setelah menyarung tudung, dahi Era kusentuh lagi. Sudah kebah sedikit demamnya.
Aku tersandar di dinding. Mataku bergenang melihat dua gerangan yang lena di sofa. Sudah lama aku tidak nampak pemandangan indah ini. Dulu, Haikal selalu tertidur dalam dakapan Nizam dan setelah sekian lama, aku diberi peluang untuk menatap lagi. Cuma kali ini, lelaki itu bukan Nizam tetapi Datuk Rafael. Aku sebak. Haikal begitu lena di sofa dalam pelukan Datuk Rafael. Apakah Haikal begitu rindu pada Nizam?
Kutinggalkan mereka berdua. Lebih baik aku memasak. Tentu lapar ‘keluargaku’ ini.
Aku memasak lauk ala kadar sahaja. Setelah siap terhidang di atas meja. Aku tersenyum puas.
“Berkeroncang perut I bau masakan you”. Aku terperanjat melihat Datuk Rafael yang berdiri di belakangku.
Aku menjarakkan diri. “Dah bangun?”.
“Ehmm….You masak apa ni, Bashira?”.
“Lemak sayur masak cili padi”.
“Nampak sedap je..I dah lapar ni..”.
“Datuk pergi solat dulu…nanti saya kejutkan Haikal dengan Era”.
“Bashira, boleh I buat satu permintaan dari you?”. Suara garaunya buat aku menatap anak matanya.
“Panggil I Rafael…no more Datuk please”.
“Tak apa..Saya dah biasa. Janggal pula nanti”. Aku menolak.
“Bashira..I tak suka panggilan tu membataskan hubungan kita berdua”.
Aku menghentikan gerakan tangan yang lincah menyusun makanan. “Antara kita berdua tak ada apa-apa hubungan melainkan sebagai majikan dan pekerja.That’s all”.
“Bashira, you tahukan I nak you jadi isteri I. Tell me apa yang you tak suka tentang I. I akan cuba berubah perlahan-lahan. I akan jadi suami yang baik untuk you”. Bersungguh benar Datuk Rafael ingin menjadikan aku suri hidupnya.
“Bashira.. I need you.. I want you. I love you..”.
Aku tergamam dengan ucapan cinta itu. Terasa kebas kedua-dua belah pipiku menahan malu. Aku membuang pandang. Tidak rela dipanah mata helangnya.
“Saya seorang janda yang tak mampu untuk..”.
“Kenapa hendak jadikan status sebagai satu masalah. That is not important to start a relationship. We both know it”.
“Datuk..”.
“I tell you, call me Rafael”. Keras suaranya membuatkan aku terkedu.
Kujongket bahu. “Saya tak cintakan awak, Rafael”. Ujarku berterus terang sedangkan aku sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya perasaan aku untuk lelaki ini. Sesungguhnya aku tidak dapat menelah debaran yang seringkali memuncak di dada setiap kali kami saling bertentang mata.
Rafael! Aku ingin memanggil dia begitu mulai hari ini… Aku mahu membiasakan diriku dengan nama yang tidak berpangkat itu. Seperti yang dimintanya.
Dia memandangku tajam, barangkali terkejut dengan apa yang aku luahkan.
“Saya tak mahu memperjudikan nasib saya. Cukuplah sekali saya merasai peritnya sebuah kehidupan. Kita belum tentu bahagia. Awak tentu faham. Rafael, kita pernah membina masjid dengan cinta, pun kecundang akhirnya. Masakan kita boleh berjaya membina dan menegakkannya sekali lagi, tanpa cinta”.
Rafael menyandarkan tubuhnya ke dinding. “Bahagia atau sebaliknya.. kitalah yang menentukan semua tu. Kalau belum cuba, bagaimana kita mahu lihat hasilnya. Tolong I Bashira.. Kita kahwin!”.
“Carilah wanita yang lebih sesuai dengan awak. I’m not the right one for you”.
“I want you. Only you”. Ujarnya tegas.
“I’m so sorry!! I can’t. Saya belum bersedia. Saya hargai perasaan yang awak ada untuk saya, tapi maaf.. saya tak mampu membalasnya. Dan mungkin juga awak cuma keliru dengan semua tu. Baik kita jauhkan diri buat seketika”.
“Larikan diri, mengelak setiap kali terserempak? Macam yang you selalu buat tu ke Bashira?  I bukan pengecut macam you”. Rafael mengherdik tiba-tiba. Mukanya sedikit bengang.
Aku menarik nafas. Aku perlu bertenang sebelum kami sama-sama bercakaran di sini.
“Kita akan kahwin Bashira, sama ada you mahu atau tak!!”. Jeritnya lagi.
Aku terpempan. Kurasakan darah panas sudah mengalir ke otak. “Hei..awak ni dah kenapa?  Kalau saya kata tak mahu tu,maknanya tak. Apa nak main paksa-paksa ni? Kita hidup dalam dunia alaf 21 sekarang ni, okey..bukan zaman dahulu kala sampai awak nak layan saya macam ni. Awak tak berhak pun. Ibu bapa dan abang-abang saya pun tak pernah berkelakuan seperti ni”.
“I percaya ada sebab lain you tak nak terima I kan.. Bukan sebab you belum bersedia or whatever. All of them are nonsense, right?”.
“Yes..memang ada!!”.
“Apa!!”.
“Saya mandul”. Jerkahku kuat. Air mata mengalir laju. “Saya adalah perempuan mandul yang diceraikan suami. Saya ni cacat, saya tak mampu nak melahirkan zuriat lagi. Nizam cari perempuan lain sebab saya mandul. Awak faham tak”. Dadanya kutumbuk kasar berkali-kali.
“Kalau kita kahwin, satu masa nanti awak akan bosan dengan saya, awak akan ceraikan saya macam apa yang Nizam dah buat. Awak akan tinggalkan saya, siat-siat hati saya sebagaimana yang Nizam lakukan”.
“I bukan Nizam, Bashira”. Katanya lemah. Langsung tidak menolak dijadikan sasaran tanganku.
Aku tergelak sinis. “Memang bukan. Tapi suatu masa nanti awak juga akan berperangai seperti Nizam. Semua lelaki sama! Tak pernah setia”.
“I sudah tahu Bashira”.
“Apa?”.
“You tak boleh mengandung. I dah lama tahu!!”. Ucapannya bagaikan halilintar yang singgah bertapa di gegendang telinga. Aku terkebil-kebil memandangnya. Benarkah apa yang aku dengar? Dia sudah tahu.
Tanganku digengam erat. “Bukan hari ni atau semalam.. Tapi empat tahun dulu.. I dah lama tahu..Bashira”.
“Selepas Hasif balik dari Malaysia, lawat you yang accident”.
Aku terduduk di kerusi. Rafael melutut padaku. “Segala-galanya tentang you.. I dah lama tahu”. Katanya lagi, kali ini, hatiku bergetar hebat.
“Jadi isteri I, Bashira!!”.











PERMAISURI HATI - BAB 14

PERMAISURI HATI - BAB 14



“BASHIRA!!”.
Jatuh terpelanting fail di tanganku mendengar suara garau Datuk Rafael yang menolak kasar pintu bilikku.
The rule is very simple, knock the door before you enter. Datuk tak pernah belajar ke adab ni?”. Aku bengang. Badanku direndahkan untuk mencapai fail di lantai.
“Sorry.. Bashira.. I nak minta tolong you! Era tak sihat..dia asyik panggil you. Please help me!!”. Rayuan Datuk Rafael membuatkan aku terkedu.
Aku terkejut. “Saya perlu pergi sekolah dia ke?”. Nada suaraku kembali kendur.
No! I dah ambil dia di sekolah tadi. Come with me!!  Dia di bilik I”.
“Mama..mama…”. Rengekan Era kedengaran sebaik sahaja  aku menapak masuk. Era sedang terbaring lemah di sofa. Terperanjat aku melihat keadaannya yang tidak bermaya.
“Era!!”. Tubuh kecil Era kupeluk erat. “Kenapa ni, sayang? Era tak sihat ye?”
Era mencelikkan mata. “Mama, Era rindu mama!!”. Tangisan Era kedengaran.
“Mama kat sini sayang. Era jangan nangis lagi. Mama ada..mama tak pergi lagi”. Pujukku.
“Era tak nak perempuan jahat tu. Era nak mama..perempuan jahat tu kacau Era kat sekolah”. Era memelukku lagi. Era bagaikan ketakutan.
“Perempuan jahat?”. Aku memandang Datuk Rafael.
“Nanti I explain”.
“Era, jangan sedih lagi tahu.. Perempuan jahat tu takkan buat apa-apa lagi pada Era. Tengok.. kan mama ada di sini”.
“Mama takkan tinggalkan Era lagi?”. Soalnya penuh mengharap.
Aku menggeleng. “Mama janji mama takkan tinggalkan Era lagi tapi Era pun kena janji dengan mama juga”.
“Janji apa?”.
“Janji jangan menangis lagi di sekolah. Kesian papa”.
Pantas Era mengangguk. Kusenang dengan tingkahnya yang mudah mendengar kata.
Era meletakkan kepala di ribaanku. Rambut panjangnya kuusap. Entah berapa lama begitu, aku tidak pasti. Aku rasakan kasihku sudah tertumpah pada anak polos ini.
She is sleeping, Bashira. Biar I angkat dia, you tentu lenguhkan”. Datuk Rafael bersuara. Tubuh Era diangkat dan diletakkan elok-elok di sofa. Aku berdiri, bersedia mahu keluar.
“Lea datang sekolah Era. Cikgu Era kata, Lea marah-marah pada Era, sebab tu agaknya Era menangis ni. Dia selalu dimanja, tak pernah sekalipun kena jentik”. Terang Datuk Rafael.
“Baguslah tu, Datuk”.
Datuk Rafael nampak terperanjat. “Apa yang bagus?”.
“Tindakan kurang cerdik Lea boleh dijadikan satu bukti yang kukuh masa perbicaraan nanti, I mean kalau Lea tuntut hak penjagaan Era”.
Datuk Rafael tersenyum. “Betul juga kata you tu”.
Kami membisu.
“Bashira..can we talk?”. Soalnya lagi.
Aku memandangnya.
“Tentang apa yang I cakap tempoh hari. I really mean it”.
Aku terkedu. Padahal hati mengharapkan dia menarik balik lamaran itu.
“Saya tak boleh terima, Datuk..Saya minta maaf”.
Bashira please, jangan buat I macam ni”. Hatiku terasa lain macam melihat resah di wajahnya.
“Saya betul-betul tak boleh terima!!”.
“Kenapa..you masih cintakan Nizam?”.
Aku geleng. “Tak”.
“Habis tu kenapa? You boleh jadi mama yang baik untuk Era”.
“Jadi, Datuk lamar saya hanya untuk Era” . Tebakku.
“Datuk carilah wanita lain. Saya tidak sesuai untuk jadi mama yang hebat untuk Era. Saya bukan perempuan yang baik. Saya tidak mampu menjaga rumah tangga saya sendiri”.
“Tapi kegagalan marriage you bukan kesilapan you. Sebab Nizam, is it? Kenapa nak salahkan diri sendiri pulak”.
“Saya rasa saya tak dapat bagi komitmen sepenuhnya sebagai isteri”.
“I don’t believe it. Come on..jangan bagi alasan tak masuk akal. You kahwin umur 19. You be a wife, a mother and a student at the same time. And now look who you are, Bashira..you pikul tiga tanggungjawab dalam satu masa! Tak mungkin you tak boleh bagi apa yang I nak”.
Kalaulah dia tahu bahawa sesungguhnya aku adalah perempuan mandul. Tentu dia tidak akan memujiku setinggi langit seperti itu. Tentu dia akan menarik balik apa yang dikatakan sebentar tadi.
You don’t understand…”.
“So, let me understand”.
“Ada banyak perkara yang sangat menyakitkan bila kita kongsi dengan orang lain. Semua hanya menambah sakit di dada sahaja”.
“I bagi you masa untuk fikir. Sebanyak mana pun you nak. Bashira, I betul-betul harap you sudi jadi isteri I”.
Aku menggeleng perlahan, menjawab kata-katanya sebentar tadi.


WAKTU lunch sudah tiba. Aku perlu mengambil Haikal di sekolah. Pengasuh Haikal tidak ada di rumah hari ini.Nampaknya aku terpaksa menghantar Haikal ke rumah jiran.
“Bashira, where are you heading to?”.
Langkah kakiku mati. Aku melarikan pandangan dari Datuk Rafael. “Saya nak ambil Haikal di sekolah sekejap. Pengasuh Haikal pergi bercuti”.
“I nak ikut”.
Kening kuangkat. Kenapa pulak dengan lelaki yang seorang ini? “Tak perlu. Saya lulus lesen memandu sebelum umur 20 lagi”. Sinis kataku.
Datuk Rafael tersengih.
“Datuk..anak Datuk menangis”.
“Mama..”. Era muncul dengan muka bersememeh bersama  Elly, setiausaha Datuk Rafael.
“Mama…Era nak mama!!”. Era merengek dan terus meluru ke arahku.
Terus dirinya kupeluk erat. Elly kelihatan sedikit terperanjat dengan adegan itu.
“Ya Allah..panasnya..”. Aku cemas. Telapak tangan kuletak di dahinya. Panas!
“Datuk..Era demam!!”.
Datuk Rafael bagaikan blur.
“Jom bawa dia ke klinik. Budak-budak kalau demam tak elok dibiarkan lama-lama..nanti merebak jadi benda lain pulak. Imun sistem diorang tak kuat lagi”. Jelasku lagi.
Dengan memeluk Era yang lemah terlentok di bahuku, kami menunggu giliran untuk masuk ke bilik doktor.
“Nur Shahera binti Rafael Hamdani”.
Aku dan Datuk Rafael berdiri.
“Puan boleh masuk berjumpa doktor sekarang”.
“Puan Amalina…”. Doktor Shafrina tersenyum melihatku. Inilah doktor yang merawat Haikal hampir setahun yang lalu.
Datuk Rafael turut tersenyum ke arahnya.
Your husband…?”.Soalnya lagi seraya menyentuh lembut kepala Era. Era menurut sahaja. Kalau Haikal, jangan harap la dia hendak duduk diam macam ni.
Aku dan Datuk Rafael saling bertatapan. “Tak..bos saya”.
Okay..beautiful girl. Akak nak cucuk sekejap. Jangan nangis okay”.
Muka Era berubah. “Papa!!”. Matanya membulat kearah Datuk Rafael. Sudah menghulurkan tangan minta didukung.
“Dia takut dengan jarum doktor!”.
Aku berdiri di sebelah Datuk Rafael. Memujuk Era lembut namun tangisannya mula kedengaran. Tidak mahu disuntik.
“Era…tak sakit tahu…nanti malam ni mama temankan Era tidur nak tak?”. Pujukku lagi.
Tangisan Era reda, matanya terkebil-kebil memandangku. “Mama nak teman Era tidur”.
“Ya sayang. Tapi kena suntik dulu”.
Era mengangguk. Aku menarik nafas lega.






“BIASANYA I tak bawak Era pergi klinik. I just beli ubat demam sahaja”. Ujar Datuk Raafel ketika dalam kereta. Aku mahu mengambil Haikal menaiki teksi tetapi dia menegah. Katanya, aku sudah menemannya ke klinik Era, apa salahnya dia mengambil Haikal di sekolah pula.
“Tu agaknya dia terkejut nampak jarum”.
“Haikal pun macam tu bila bawak ke klinik. Jenuh nak memujuknya. Macam-macam kena janji. Beli itulah beli inilah. Kalau tak jangan harap nak bagi badan free-free. Hai, budak-budak zaman sekarang ni bukan main jaga badan. Takut benar! ”. Era yang tertidur di ribaanku kuusap lembut.
Datuk Rafael tergelak mendengar bebelanku.
“Bila Haikal demam tu?”.
“Tahun lepas.. First time berpisah dengan ayah dia. Sampai demam panas. Dia tahu agaknya dia akan jarang berjumpa dengan Nizam selepas tu”.
Lirikan mata Datuk Rafael tajam ke arahku. “You bawa dia ke hospital sorang-sorang?”.
Aku angguk.
“I tak tahu apa yang I rasa kalau I di tempat you. Bahkan I tak boleh bayangkan apa yang I akan buat kalau I jadi you.You mesti sedihkan?”.
Aku menjongket bahu. Masakan aku tidak menjeruk rasa bila  seharusnya aku berteman menjaga dan membesarkan Haikal.
“Bukan senang untuk jadi papa dan mama at a one time. Tapi saya kena belajar. Saya tahu saya boleh buat”.
“Bashira, bagi I peluang. Insyallah I boleh ganti kekosongan dan kerinduan Haikal pada Nizam”. Rayunya lagi.
Aku tidak senang duduk. Aku tidak suka bicara ini diutarakan.
“Saya rasa Datuk dah dengar jawapan saya tadikan”.
“Fikir dulu, Bashira. You tak perlu bagi keputusan terburu-buru”. Tenang dia menjawab. Jalan raya agak sibuk pada tengah hari ini.
“Sudahlah..Saya penat dengan semua ni. Saya tak faham atas dasar apa Datuk lamar saya. Kalau Datuk buat begini sebab mahu Era punya mama,tanpa sebarang ikatan pun saya boleh menjadi mama untuk Era”.
“Tapi tak sama,Bashira! Apa orang kata nanti?”.
Aku merenungnya. “Jadi betullah, Datuk buat semua ni hanya untuk Era”. Desakku. Sebenarnya dari awal lagi aku sudah merasakan ini adalah tujuan sebenar dia melamarku. Dia hanya simpati pada Era lantaran dia tahu sebesar mana pun kasih sayang yang dicurahkan untuk Era, semua itu belum cukup untuk mengubat kerinduan Era pada seorang ibu..
Datuk Rafael tersentak. “Itu adalah salah satu sebabnya tapi I ..”.
“Setahun saya hidup menjanda. Macam-macam orang mengata saya. Tapi apakah saya peduli? Tidak! Kerana kalau saya ambil kira dan terasa dengan semua apa yang orang hendak kata, saya tidak mampu berdiri untuk ke tempat kerja pun. Kita tahu apa yang kita buat Datuk, biarkan mata yang buta menilainya sendiri. Hanya orang yang pandang dengan mata hati  tahu kebenarannya”.
“Dengar dulu cakap I..”
Stop it.. Asas perhubungan yang Datuk ingin bina sangat rapuh. Saya tidak mahu ambil sebarang risiko pada sesuatu yang belum pasti”.
“ Kita kena cuba dulu Bashira… “.
“No way!!”.
Datuk Rafael membisu dengan ketegasanku. Kami diam sehingga sampai ke perkarangan sekolah Haikal.










PERMAISURI HATI - BAB 13

PERMAISURI HATI - BAB 13



Aku termenung di pangkin di laman rumah. Boleh gila aku kalau berterusan begini. Sudah sehari aku bertapa di Johor ini, dan semalaman juga aku tidak mampu melelapkan mata angkara Datuk Rafael. Masih terngiang-ngiang lamarannya di telingaku. Aku rasa dia tidak cukup sihat kelmarin, sebab itulah dia tiba-tiba mengeluarkan permintaan tak berasas itu.
Aku masih ingat riak mukaku yang kebingungan setelah mendengar lamarannya. Aku hanya membisu sebelum mengambil handbag dan keluar dari bilikku. Datuk Rafael pula terpacak di bilikku sehingga aku hilang dari pandangannya. Mungkin dia juga pelik kerana aku bertindak sedemikian. Tidak sepatah pun kata-kata keluar dari dua ulas bibirku.
Kurasakan Datuk Rafael  mungkin kasihan padaku dan tiba-tiba sahaja ayat itu meluncur keluar darinya.
“Lina…apa yang termenung kat situ. Tunggu orang datang meminang ke?”. Emak sudah menyarung selipar dan melabuhkan punggung di sebelahku. Kukir senyum buat dirinya.
‘Tak adalah mak…Lina tak buat apa-apa pun”.
“Mak nak cakap sikit dengan Lina”.
Muka serius Emak buat hatiku resah. “Pasal apa mak?”.
“Jenab, kawan mak di Pontian tu bertanyakan Lina”.
“Hah..tanya kenapa?”. Aku terkejut.
“Dia mahu masuk meminang Lina untuk anak lelakinya”.
Aku bungkam. Mak cik Jenabkah? Kawan baik emak yang selalu datang beraya. Kenapa dia mahu melamar aku untuk anaknya pula? Tidak ada perempuan lainkah yang mahu dibuat menantu. Aku ini janda. Dan aku punya kekurangan yang akan membuatkan kaum Adam bosan padaku.
“Mak..mak faham masalah Linakan. Lina dah malas nak fikir pasal semua benda ni. Biarlah Lina hidup sendiri dulu”.
Emak mengusap lembut bahuku. Rasa sedih bertamu di hati. Kasih sayangnya membuatkan aku berasa diri begitu dihargai. “Mak faham Lina..dan mak pun sudah tolak secara baik lamarannya”.
Kuukir senyum hambar. Tanpa aku khabarkan pun, emak sudah mengerti  perasaan anaknya yang seorang ini.
“Haikal ke mana Lina?”.
“Oh…Along bawa budak-budak tu berkelah. Malas Lina nak ikut”.
“Nizam ada lawat Haikal?”.
Soalan Emak menyentakkanku. “Ehmm..katanya ada pergi sekolah Haikal hari tu tapi tak jumpa pulak Haikal”.
“Jangan berdendam dengan dia, Lina..Apa pun yang berlaku, Haikal tetap anak Nizam”.
“Lina tak berdendam mak, tapi masih susah Lina nak buang rasa sengsara ni”.
“Mak tahu, sekali terluka, susah hendak sembuh Lina..tapi tak semestinya tidak berjaya. Satu masa nanti, parut tu, Insyallah akan terhapus sendiri”.
“Lina cuba mak!!”.
“Ehmm…mak naik atas dulu la..”.
Sejurus Emak menghilang, telefonku berbunyi. Nama Abang Hasif tertera di telefon bimbitku.
“Lina…apahal Nizam telefon Alang nak jumpa Haikal pulak ni?”.
Aku tersentak. Baru sekejap tadi Emak menyebut nama Nizam, kali ini aku terpaksa menadah telinga mendangar namanya lagi dari mulut Abang Hasif.
“Bila dia telefon Alang?”.
“5 minutes ago”.
“Lina bagi alamat apartment Alang pada dia sebab dia desak Lina nak jumpa Haikal. Kalau dia nak jumpa Haikal, Lina bawa Haikal ke apartment Alang. Lina tak nak dia tahu rumah Lina. Nanti karang menyemak sahaja di rumah Lina tu”.
“Habis tu macam mana ni? Dia kata nak Haikal hari ni juga”.
“Macam mana apa lagi? Linakan  dekat rumah Mak ni. Alang suruh dia call lain kali”. Balasku sedikit bengang.
Okay..okaylah! Aduh! Kenapa Alang kena masuk campur urusan Lina dengan Nizam ni? Kalau tau dek Along, mengamuk punya”.
Aku hanya membisu. Talian ditamatkan beberapa minit selepas itu.
Aku menarik nafas panjang. Kurasakan kepalaku makin berserabut.Datuk Rafael dan Nizam. Kedua-dua lelaki ini benar-benar menyesakkan keamanan hidupku.

SUARA Abang Rehan, anak-anaknya serta Haikal kedengaran kecoh di ruang tamu. Aku sedang membasuh pinggan, mengambil tugas selepas selesai makan malam. Ayah dan emak pula berada di luar rumah. Entah apa yang dilakukan.
 Kak Zaleha berkursus di Pahang selama dua hari,esok baru pulang. Kak Zalehaku itu seorang guru disiplin. Kali pertama Abang Rehan mengkhabarkan pada kami adik beradik tentang tugas kakakku sebagai guru, kami tergelak. Masakan tidak, wajah lembut dan keibuan  kak Zaleha langsung tidak kena dengan tugasnya.
“Mak Su…jomla main dengan kami”. Mior, anak sulung Abang Rehan memanggilku. Haikal turut mengangguk. Abang Rehan tersengih memandangku
“Mak Su mana main benda ni. Dah, anak-anak papa main dulu okey...Papa nak cakap dengan Mak  Su dulu”.
Abang Rehan duduk di meja makan manakala aku menarik kerusi di sebelahnya. “Along nak cakap apa?”.
“Lina okay ke ni? Abang tengok berangan je sejak semalam”.
Aku menggaru kepala. Terlalu menonjolkah sikapku?  “Lina okay je.. Along jangan risau”.
“Nizam ada ganggu Lina tak?”.
Aku menggeleng. Kalau aku bercerita padanya, mahu Abang Rehan menelefon dan menjerkah Nizam malam ini juga.
“Lina jangan risau.. Along, Angah, Alang…kami selalu ada untuk Lina. Tak kiralah  apa yang orang lain hendak kata tentang Lina.. kami adik beradik tak pernah abaikan Lina. Everytime you need to share something, just give us a call”.
Hatiku jadi rapuh. Sunggguh…sekalipun Abang Rehan agak panas baran orangnya, dialah abang yang paling memahami diriku. Nasihatnya membuatkan aku tahu betapa dia mengambil berat. Betapa walaupun sudah berkeluarga, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai abang sulung.
Air mataku bergenang. Kupeluk Abang Rehan erat. Aku sangat menyayanginya. Abang Rehan mengusap kepalaku. Seakan memberi semangat kepadaku. “Along…ada orang lamar Lina..”. Ujarku melepaskan pelukan.
Abang Rehan mengerutkan dahi. “Anak Mak Cik Jenab..?”.
Aku geleng. “Bukan..Bos Lina!!”.
Abang Rehan terus terlopong memandangku. Dia bagaikan terkejut dengan berita itu.
Are you sure!!?”.
“Bos Lina dah beristerikan.?.Dah tua!”.
“Tak…bos Lina dah bertukar!!”. Aku tahu dia tentu menyangka Datuk Razif yang aku maksudkan.
Abang Rehan menarik nafas lega. “Lina setuju?”
“Tak tahu…Lina keliru.. Kami baru kenal.. Lina belum cakap apa-apa lagi pada dia”.
Abang Rehan membisu.
“Tak ada orang lain tahu pasal ni. Along jangan cakap dengan sesiapa tahu terutamanya Alang. Bos Lina tu kawan Alang!!”.
“Kawan Alang? Siapa?”.
“Datuk Rafael!”.
Kening Abangku bercantum dua. “Did you mean Rafael Hamdani Musa?”.
Aku tersentak. Kali ini aku pula yang terlopong dan baru aku ingat Abang Rehan juga berkawan dengan Datuk Rafael. Astagfirullah.. Aku tidak memberitahu Abang Hasif kerana dia adalah kawan Datuk Rafael dan kini nampaknya aku tersilap kata.
 “Rafaelkan? The one who has a daughter named Shahera”. Gesanya.
Aku angguk.
“Along tak tahu nak cakap apa”.
“Lina pun tak tahu, Along. Lina tak sanggup nak tengok muka dia lagi. Lina rasa macam nak berhenti kerja”.
“Lina..jangan campuradukkan kerja dengan urusan peribadi. Be professional”.
“Along tahu Lina masih terluka dengan apa yang Nizam dah buat tapi Lina juga kena faham, Lina perlu cari teman hidup Lina sendiri. Suatu masa nanti, Lina juga perlukan seseorang yang boleh jaga Lina”.
“Lina mandul, long”. Suaraku bertukar sayu. Setitik air mataku jatuh.
Abang Rehan terkedu. Agaknya dia sudah lupa tentang kekuranganku yang satu itu. Tapi tidak bagiku, setiap saat, kurasa ‘kecacatan’ itulah yang memburuku, menghalang kebahagiaan yang ingin aku kecapi. Kerana sewaktu orang lain boleh merasai indahnya membawa nyawa lain, peluang untukku merasai kemanisan itu sudah lama tertutup. Alangkah hibanya hati.
Aku menangis perlahan. Abang Rehan menarik aku ke dalam dakapannya.