DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 21 January 2022

Sayangku Hanan - Bab 10


Empat tahun berlalu...

RAMBUT yang semakin panjang diikat tinggi. Topi disarung ke kepala. Rambut tadi diselitkan ke dalam topi. Mengeluh Hanan seketika. Dah bertahun dia menyimpan rambut panjang. Nak dipotong pendek, teringat janjinya kepada diri sendiri. Terpaksalah dia menahan rimas.

Dia keluar dari bilik sambil membawa beg galas. Hari ini dia mahu bermalam di rumah Mak Siti. Sudah tiga hari wanita itu demam.

“Hanan dah masak nasi dan lauk. Esok sebelum pergi kerja, Hanan hantar sarapan untuk atuk ya.” Hanan duduk di sebelah Haji Hasan.

“Tak payahlah susah-susah nak ke sini. Atuk esok nak pergi sarapan dekat warung. Teringin pula nak makan roti canai.”

Hanan berdecit perlahan. Hendak juga atuknya itu bersarapan di warung Mak Gayah.

“Ni mesti nak melepak dengan Pak Seman.”

Tergelak Haji Hasan.

“Sesekali apa salahnya. Atuk pun nak berkawan. Ni atuk nak tanya, Hanan takkan tak ada kawan? Sebelum ni ada juga atuk tengok duk berkepit dengan si Amar.”

Wajah Hanan terus berubah. Kali terakhir dia berjumpa Amar, empat tahun yang lepas. Selepas itu, langsung tiada khabar berita. Dia pun tidak pernah mencari.

“Dia kan kerja dekat Kuala Lumpur.”

“Takkan dia tak pernah balik ke sini?” soal orang tua itu penuh rasa curiga.

“Adalah juga balik. Tapi kami dah jarang berjumpa. Atuk lupa ke Hanan ni tunang Hafiz. Nanti apa pula orang kampung cakap kalau nampak kami keluar berdua.”

Haji Hasan mengangguk faham. Dia bangun sambil berdeham sedikit.

“Atuk nak berehat dulu. Mengantuk pula lepas makan nasi lemak tadi. Kirim salam dekat Mak Siti.”

Hanan bersalam dengan orang tua itu terlebih dahulu. Sempat dia berpesan kepada atuknya itu agar menghubunginya jika ada apa-apa berlaku di rumah.

Tidak sampai lima minit, dia sampai di rumah Mak Siti. Motosikal diletakkan di tepi rumah. Melihat pintu dapur terbuka, sah Mak Siti sedang memasak. Menggeleng Hanan.

Tak sihat pun masih lagi hendak membuat kerja.

Selepas mematikan enjin motosikal, dia masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.

“Assalamualaikum, mak.”

Waalaikumussalam.” Mak Siti tersenyum lemah.

Hanan segera mendekati wanita itu. Dahi orang tua itu dijamah sedikit.

“Panas lagi ni, mak. Kan Hanan dah pesan tak payah masak.”

“Hanan cuti ke hari ni?” Sengaja Mak Siti mengubah topik. Api dapur ditutup terlebih dahulu.

“Haah. Esok baru kerja. Dengan pak su, tak ada masalah nak cuti.”

“Mak bukannya sakit sangat. Boleh lagi buat kerja. Menyusahkan Hanan aje ambil cuti.”

Mereka duduk di meja makan. Sesekali Mak Siti terbatuk-batuk. Lekas Hanan menggosok belakang wanita itu.

“Hanan nak temankan mak. Kalau teruk sangat, kita pergi klinik ya.”

Mak Siti mengurut dadanya sedikit. Dicapai air masak yang berada di atas meja. Air dituang ke dalam cawan dan diminum sehingga habis.

Hanan turut menuang air ke dalam cawan. Terasa kering tekaknya disebabkan cuaca terlalu panas.

“Mak sebenarnya terkilan dengan Hafiz.”

Tersedak Hanan. Lekas dia berdeham perlahan.

“Kenapa dengan dia?” Berdebar-debar dada Hanan. Manalah tahu lelaki itu sudah menunaikan janjinya. Kononnya dah berubah hati. Jadi tak perlulah dia berlakon sebagai tunang tersayang lagi.

“Dia tangguh rancangannya nak balik ke sini. Katanya setahun lagi dia di sana.”

Tercengang Hanan. Setahun lagi? Kejap!

“Buat apa dia nak duduk lama-lama dekat sana?”

“Nak kerja. Dia dapat tawaran kerja dekat sana. Dia minta izin dengan mak, nak cari pengalaman dekat sana selama setahun.”

“Mak setuju?” Laju Hanan menyoal. Janganlah Mak Siti bersetuju. Tidak sanggup lagi dia terus terikat.

“Mak minta maaf. Serba salah mak nak menolak. Tapi dia janji, bila dia balik sini, majlis perkahwinan kamu berdua akan dilangsungkan.”

Tidak senang duduk Hanan. Mustahil perkara itu berlaku. Hafiz ni memang nak kena! Selama lelaki itu di sana, mereka hanya berhubung melalui telefon. Itu pun boleh kira dengan jari.

“Kepala mak pening. Bawa mak masuk dalam bilik.”

“Mak tak nak makan dulu ke?”

“Kejap lagilah.” Mak Siti bangun sambil dipapah oleh Hanan. Berhati-hati langkah orang tua itu menaiki anak tangga.

Selepas menghantar Mak Siti ke dalam bilik, Hanan duduk di ruang tamu. Gambar lelaki itu yang berada di atas rak hiasan diambil dan ditumbuk geram. Kalau ada di depan mata, memang teruk dikerjakan Hafiz itu.

Tiba-tiba terdengar deringan telefon berbunyi. Bukan telefonnya, tapi milik Mak Siti. Segera dia mendekati meja kopi. Nampak nama Hafiz di skrin, laju dia menekan butang terima.

“Assalamualaikum, mak.”

Berdebar-debar dada Hanan. Lembut pula dia dengar suara Hafiz. Kalau dengan dia, asyik nak berkasar sahaja.

“Mak...”

“Mak tidur. Kau nak apa?” Kasar dia menjawab.

Tiba-tiba suasana berubah sepi. Kan dah cakap, dengan dia, terus jadi lain.

“Hanan...”

Terkebil-kebil mata Hanan. Eh, lembut pula suara itu. Ni mesti ada yang tidak kena.

“Ehem! Akulah. Takkan tak kenal dah suara tunang tersayang?” Sengaja dia menyindir. Sakit hatinya masih bersisa dengan rancangan Hafiz. Suka-suka sahaja Hafiz membuat keputusan tanpa berbincang dengannya.

“Mak dah beritahu kau ke?” Lembut Hafiz bertanya.

“Dah. Kenapa kau kejam sangat? Kau memang nak ikat aku sampai kiamat ke?” Hampir menangis Hanan. Dia rasa sungguh tertekan. Perasaannya bercampur baur. Selagi mereka terus terikat, semakin tinggilah harapan Mak Sitidan Haji Hasan. Malah, hatinya juga sudah mula ada satu perasaan asing. Perasaan yang sukar untuk dia mengertikan.

“Aku minta maaf. Aku janji, setahun aje. Nanti aku balik, kita selesaikan semuanya.”

“Susah aku nak percaya. Janji kau satu pun tak guna.”

“Sayangku Hanan...”

Tegak terus tubuh Hanan. Ini yang dia lemah. Lelaki itu kalau mahu memujuk, suka sangat gunakan ayat itu. Walaupun telinga yang mendengar, tapi jantung cepat saja berpalu debaran.

“Aku tak boleh lama bercakap. Nanti tolong tengokkan mak aku ya. Aku tahu dia tak sihat sebab aku. Sekali lagi aku minta maaf. Jaga diri. Ada masa, aku call kau.”

Tidak sempat menjawab, Hafiz telah menamatkan panggilan. Hanan semakin keliru. Tidak tahu apa yang cuba dilakukan oleh lelaki itu. Ada masanya dia dapat merasakan Hafiz seperti menyembunyikan sesuatu daripadanya.

 

HAFIZ MEMANDANG ke sekeliling bilik kerjanya. Sebelum ini, dia pernah membuat latihan praktikal di sini. Tidak sangka hasil kerjanya menarik minat syarikat ini sehingga

ditawarkan bekerja. Tidak sedar dia sudah bekerja di sini sebulan lamanya.

Sebenarnya ada sebab lain dia bekerja di sini. Dia mahu memastikan sesuatu sebelum pulang ke Malaysia. Paling lama masa yang diambil, mungkin setahun. Tentang Hanan, dia sedar dirinya terlalu kejam mengikat gadis itu sebagai tunangannya. Nafas ditarik sedikit berat. Harap-harap, gadis itu sabar menunggunya pulang. 

Ohayo!”

Lenyap terus ingatannya terhadap Hanan. Dia menoleh ke pintu. Tersenyum dia melihat gadis yang berdiri di situ.

“Selamat pagi.” Sengaja dia membalas dalam bahasa ibunda. Lagipun mereka berasal dari negara yang sama. Apa yang membezakan mereka, gadis itu berpindah ke sini sejak 10 tahun yang lepas. Walaupun dia kini semakin fasih berbahasa Jepun, namun dia lebih selesa berbahasa Melayu dengan rakan senegara. Hanya sesekali dia akan bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Jom makan. Lapar.”

Err... saya ada kerja lagi.”

Panjang muncung gadis itu. Dia duduk di kerusi yang terletak di hadapan meja Hafiz.

“Sekarang masa rehat. Jomlah makan. Zati belanja.”

Hampir seminggu lelaki yang diminatinya dalam diam bekerja di sini. Sejak dia bertemu dengan Hafiz, hatinya sudah jatuh cinta. Walaupun Hafiz muda tiga tahun daripadanya, dia nampak sisi matang lelaki itu. Tidak hairanlah mamanya selalu memuji hasil kerja Hafiz.

Hafiz tersenyum kekok. Malu apabila ditenung oleh gadis cantik itu.

“Saya sebenarnya tak lapar.”

“Hesy, awak ni sengaja ke nak mengelak daripada saya?”

“Eh, bukan macam tu.” Serba salah Hafiz.

“Kalau bukan, jom kita ke kafe. Temankan saya pun tak apa,” sekali lagi Zati cuba memujuk.

Nak tak nak, terpaksalah Hafiz bersetuju. Dia menutup komputer ribanya terlebih dahulu. Mereka berjalan bersama-sama menuju ke kafe. 

Selepas mengambil makanan, mereka duduk bersama di meja makan.

“Mama awak tak masuk bekerja ke hari ni?”

“Tak. Dia sibuk uruskan dokumen. Mungkin tahun depan kami nak balik Malaysia.”

Tidak jadi Hafiz mahu menyuap makanan ke dalam mulutnya.

“Kenapa?”

“Mama cakap, dah sampai masanya kami balik ke sana. Salah sebuah syarikat arwah daddy ada di Malaysia. Mungkin mama nak uruskan syarikat tu pula.”

Terdiam Hafiz. Sebenarnya sudah lama dia cuba merungkai satu persoalan. Mungkin inilah peluang yang dia ada untuk bertanyakan kepada gadis itu.

“Awak ada adik?”

“Saya?”

Hafiz mengangguk sedikit. Tiba-tiba gadis itu ketawa.

“Saya ni anak tunggallah. Arwah mummy meninggal selepas lahirkan saya. Memang mustahillah saya ada adik.”

Tergamam Hafiz.

“Mesti awak pelik lihat hubungan saya dengan mama, kan?”

Sekali lagi Hafiz mengangguk.

“Saya dah anggap dia macam mama saya sendiri. Lepas daddy meninggal 15 tahun yang lalu, dia yang jaga saya sejak kecil.”

“Jadi, mama awak tak pernah...”

“Tak. Dia tak pernah berkahwin dengan daddy. Kenapa awak berminat sangat nak tahu pasal keluarga saya?” Zati melirik nakal.

Hafiz berdeham perlahan. Cepat-cepat disuapkan makanan ke dalam mulut.

Zati masih merenung wajah lelaki kacak itu. Kedua tangannya menongkat ke dagu.

“Awak pernah bercinta?”

Tersedak Hafiz. Mulutnya dikesat dengan tisu yang berada di atas meja. Hanya gelengan yang diberi sebagai jawapan.

“Nak bercinta dengan saya?”

Kaku tubuh Hafiz. Terkejut dengan permintaan gadis itu. Tiba-tiba dia teringatkan janjinya kepada Hanan. Perlukah dia menggunakan Zati untuk menguji perasaannya yang sebenar?

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)