DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 30 November 2022

Suri Hati Sang Putera - Bab 10


“APA semua ni, Adrian?”

Helaian kertas yang memaparkan gambar-gambar diletakkan kasar di hadapan Adrian. Tengku Sofia kemudian mengambil tempat berhadapan adik lelakinya itu.

Helaian kertas-kertas di hadapannya dikerling sekilas sebelum memandang Tengku Sofia. Wanita itu kelihatan tegang. Adrian sangat tahu punca Tengku Sofia berkeadaan sedemikian.

“Ini gambar-gambar lama. Kak long pun tahu yang...”

“Kau dengan dia pergi bercuti berdua?” celah Tengku Sofia dalam nada yang kedengaran bengang.

Adrian melepaskan keluhan.

“Bukan berdua. Ada orang lain selain Ed dengan dia. Semua orang dah tahu hal ini,” jawab Adrian malas.

Dia mengingat kembali perihal dirinya bersama Camilla Leanne tahun lepas. Hal sebenarnya, dia dan Camilla bukan pergi bercuti berdua. Ada lagi rakan-rakan mereka yang lain. Cumanya, paparazi lebih mahu menyebarkan gambar-gambar mereka berdua.

Melalui gambar-gambar itulah, gosip hubungannya dengan Camilla mula tersebar. Walaupun benar, dia tak pernah mahu mengeyakan hubungan tersebut kepada media. Baginya kehidupan peribadinya adalah haknya, bukan hak rakyat.

Sungguh pun begitu, hubungannya dengan Camilla walaupun tiada pengesahan daripada pihak mereka, mendapat maklum balas yang agak baik daripada rakyat. Dia masih ingat bagaimana namanya dan Camilla menjadi carian hangat pada tahun lepas. Setiap apa yang mereka berdua lakukan menjadi bualan.

Itu belum lagi dengan pertikaian mengenai pencapaian-pencapaian Camilla. Ada gosip yang dia pernah baca, bahawasanya anugerah-anugerah yang diterima Camilla itu sebenarnya disebabkan hubungan dengannya walaupun Camilla sebenarnya layak memperoleh anugerah-anugerah tersebut.

“Perkara macam ni akan mengganggu urusan perkahwinan kau nanti. Kalau Lyssa terbaca, ia akan mengganggu perasaan dia. Dia perlu berada dalam keadaan tenang sehingga hari perkahwinan kau,” sambung Tengku Sofia.

Adrian tahu itu. Tapi, tiada apa yang dia boleh lakukan terhadap penyebaran gambar-gambar lama yang merosakkan namanya. Lagipun, pihak istana juga minta supaya dia tidak memberi reaksi terhadap isu itu. Kata pegawai hal dalaman istana, berdiam diri merupakan jalan yang terbaik. Biarkan rakyat dengan andaian-andaian mereka, kerana itu bukan satu hal yang penting perlu diuruskan.

“Bonda dan ayahanda cakap apa tentang ni?”

Minda Adrian teringatkan ibunya yang agak sukar untuk bertemu disebabkan wanita itu sibuk menguruskan perihal majlis perkahwinannya yang bakal tiba nanti. Kali terakhir dia bertemu Tengku Yuhanis adalah beberapa hari lepas. Itu pun mereka tidak sempat berbual lama. Tapi, wanita kesayangannya itu sempat menitipkan nasihat supaya bersabar dengan apa yang berlaku.

“Macam biasa. Bonda cuma cakap ni semua cerita murahan untuk merosakkan nama kau. Ayahanda pula... kau tahulah dia macam mana. Dia nak jumpa kau malam nanti.”

Adrian sebenarnya sudah mendapat arahan yang sama daripada pembantu peribadinya pagi tadi. Namun, dia masih kecut perut apabila memikirkan tujuan Tengku Izhar mahu bertemu dengannya adalah disebabkan apa yang sedang dibincangkan dengan Tengku Sofia ketika ini.

“Makin nak dekat dengan tarikh kau kahwin, makin banyak pula gosip pasal kau tersebar. Ada orang yang tak gembira dengan berita perkahwinan kau ni.” Tengku Sofia mengecilkan matanya. 

“Camilla takkan buat macam tu,” ucap Adrian tanpa sedar.

“Kak long tak sebut pun nama dia.” Tengku Sofia kerutkan dahi. Dipandang Adrian dengan tidak beriak. “Jadi, Camilla yang sebarkan gambar-gambar ni semua?”

Adrian telan liur. Nampaknya, dia telah tersalah cakap membuatkan kakaknya tersalah faham dengan Camilla.

“Bukan Camilla yang buat semua ni.”

“Habis tu, kenapa kau tiba-tiba sebut nama dia?” Mata Tengku Sofia masih kepada Adrian.

“Ed cuma tak nak kak long salah faham dengan dia aje.”

“Dalam Eurovia ni... bukan dia aje yang tak gembira dengan berita perkahwinan kau. Berlambak lagi perempuan-perempuan kat luar sana yang patah hati dengan kau. Tapi, sebab kau tiba-tiba sebut nama dia, kak long terpaksa fikir semua yang berlaku ni adalah disebabkan dia. Entah-entah dia yang upah orang komen benda buruk tentang Alyssa.” Tengku Sofia memeluk tubuh.

“Camilla bukan macam tu. Ed kenal dia macam mana.”

Jauh di sudut hati Adrian, dia sebenarnya sudah mula sangsi dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi. Lebih-lebih lagi apabila Tengku Sofia mengeluarkan andaiannya.

Ayat Adrian membuatkan Tengku Sofia mengeluh berang.

I hope so. Tapi... kalau betul dia, kak long akan ambil tindakan.”

“Tolong jangan besarkan hal kecil macam ni, kak long. Kak long tak ada bukti untuk apa yang kak long cakap tadi tu.”

“Kak long memang tak ada bukti. Tapi sekarang ni, yang penting adalah apa yang Lyssa akan fikir apabila dia baca berita-berita macam ni. Dia mungkin tak cintakan kau tapi dia akan rasa dikhianati.”

“Ed akan terangkan kepada dia.”

“Tak perlu. Bonda beritahu, dia akan bercakap dengan Lyssa tentang hal ni. Kau cuma perlu bersiap sedia dan tumpukan pada kerja kau aje.” Seusai ucapkan itu, Tengku Sofia melangkah keluar dari pejabat Adrian.

Sekali lagi Adrian melepaskan keluhan. Serba salah dibuatnya apabila teringatkan tunangnya itu. Dia teringatkan perbualannya dengan Alyssa beberapa hari yang lalu.

 

MATANYA MEMERHATIKAN keadaan sekeliling kafe di hadapannya sambil menghirup minuman coklat panas di tangannya. Nasibnya baik apabila tiada sesiapa pun di kafe ini mengenalinya apabila dia mengenakan cermin mata dan topi. Itu adalah penyamarannya saat ini setiap kali dia memilih untuk mengambil angin di luar.

Minda Alyssa teringatkan kembali apa yang dibacanya tadi. Dia sebenarnya tahu dan faham tujuan artikel gosip yang ditulis. Tapi, ia masih tetap mendatangkan perasaan tidak puas hati dalam dirinya. Walaupun dia tahu, dia tidak layak untuk punya perasaan sebegitu.

Alyssa terpaksa akui, dia adalah di antara manusia-manusia yang bergelar anti-fan kepada Camilla Leanne itu. Walaupun begitu, dia memilih untuk tidak mengambil tahu perihal Camilla. Baginya, tiada sebab untuk dia mahu ambil tahu mengenai manusia yang tidak disukainya.

Cumanya, sejak bergelar tunang kepada Tengku Adrian Eiman, perasaan tidak puas hati terhadap wanita itu mula bercambah setiap kali dia membaca gosip-gosip Adrian dengan Camilla walaupun ia cuma gosip-gosip lama.

Beberapa ketika, telefon pintar miliknya bergetar menandakan ada panggilan masuk. Namun begitu, Alyssa memilih untuk mengabaikan panggilan daripada abangnya. Dia sangat yakin Megat Aiman bukan setakat mahu bertanyakan mengenai keberadaannya ketika ini. Tapi, lelaki itu juga akan menghulurkan bebelan disebabkan dia telah keluar dari rumah tanpa kebenaran, dan juga tanpa pengetahuan sesiapa.

Entah berapa banyak panggilan tidak dijawab daripada Megat Aiman, Alyssa tidak peduli. Apa yang Alyssa tahu, saat ini dia tidak mahukan gangguan. Dia mahu kekal menikmati minuman kegemarannya dengan tenang.

Namun, tiba-tiba saja muncul seorang lelaki mengambil tempat di hadapannya. Air liur ditelan melihat wajah lelaki itu. Walaupun hanya mengenakan topi dan cermin mata sepertinya, Alyssa tahu siapa lelaki di hadapannya ketika ini.

Tengku Adrian Eiman!

“Kenapa... you boleh ada kat sini?” soalnya dengan nada tenang yang dibuat-buat.

“Ada orang beritahu I, you kat sini.”

“You... suruh orang ikut I?”

Adrian mengangguk.

“Untuk sekarang ni, keselamatan you sangat penting. Walaupun you terkurung di dalam rumah, ada pengawal yang akan mengawal di luar rumah you.”

“Berdasarkan arahan you?”

Seingat Alyssa, baik Tengku Yuhanis mahupun ahli keluarganya langsung tidak pernah memberitahu perihal pengawal yang akan mengawal di luar rumahnya.

“Ya.”

Alyssa diam walaupun dia sebenarnya langsung tidak gemar dengan apa yang didengarnya.

“You berkemungkinan ada kat sini sebab you nak cari ketenangan,” Adrian kembali bersuara.

Alyssa diam lagi, memilih untuk tidak memberi respons pada ayat Adrian.

“Do you find it stressful being my future wife?”

“Yes.”

Tersenyum hambar Adrian mendengar jawapan Alyssa. Terlalu jujur!

“You menyesal?”

Soalan Adrian itu membuatkan Alyssa mula melepaskan keluhan.

“You patut tahu dalam keadaan sekarang, bukan mudah untuk kita ubah keputusan yang dibuat. Semua orang dah tahu tentang kita. Dan sebab itu, kita ada reputasi yang perlu dijaga. Lagi-lagi you. Reputasi you lebih besar daripada I. You adalah...” Sengaja Alyssa tidak menghabiskan ayatnya. Dia risau jikalau ayat yang bakal dikeluarkan tadi akan membongkar identiti sebenar mereka sekarang.

Sekali lagi Adrian tersenyum hambar dengan apa yang keluar daripada mulut Alyssa sebentar tadi.

“Kenapa you datang sini? You tak ada kerja ke? Sepatutnya orang macam you ni sangat penting, sampaikan kalau ada orang perasan kehilangan you, dunia akan jadi huru-hara.”

Entah mengapa, Adrian mahu ketawa mendengar ayat Alyssa. Gadis di hadapannya mungkin sedang bersikap serius namun dia rasakan ayat Alyssa tadi kelakar.

“Janganlah risau. Radi akan uruskan semua tu nanti.”

“Radi?” Alyssa kerutkan dahi. Belum pernah pula dia mendengar nama itu keluar daripada mulut Adrian.

“Pembantu peribadi I. You belum pernah jumpa dia lagi.”

Alyssa mengangguk faham sebelum dia kembali menghirup minuman di tangannya. Keadaan menjadi sepi seketika sehinggalah Adrian kembali bersuara.

“I harap you tak terganggu dengan apa yang berlaku ketika ni. Gambar-gambar tu semua gambar lama.” Mata Adrian memanah mata Alyssa.

“Bonda you dah beritahu I benda yang sama,” Alyssa membalas pandangan Adrian. “Besides... ayah I cakap kita tak patut menilai seseorang berdasarkan masa silam seseorang. Dan I cuba buat tu.”

“Tapi?” Adrian tahu ayat Alyssa masih belum tamat.

“Tapi... tipulah kalau I cakap I tak terganggu dengan semua tu. Lagi-lagi apabila orang bandingkan dia dengan I. I rasa tercabar walaupun I tahu dia dengan I tak sama.”

You are way better than her, Lyssa.”

Bukanlah Adrian mahu membuatkan Alyssa senang hati dengan ayatnya itu. Tapi, itu adalah hal sebenar. Dia jujur dan ikhlas dengan pujian yang diberikan kepada gadis itu sebentar tadi.

Ayat Adrian membuatkan Alyssa tersenyum hambar. Dia langsung tidak senang hati dengan pujian lelaki itu.

I might agree with you, Ed. Tapi... katakanlah suatu hari nanti, bila I dah tak nak teruskan semua ni, you akan lepaskan I tak?”

Terkesima seketika Adrian dengan soalan Alyssa yang tiba-tiba itu. Air liur ditelan sebelum memaksa dirinya bersuara.

“Kenapa... you tiba-tiba tanya macam tu?”

Alyssa jongketkan bahu.

Just wondering, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan. Tapi... katakanlah hal macam tu berlaku, you... akan lepaskan I tak?”

Adrian diam seketika, memikirkan jawapan bagi soalan Alyssa yang sangat mengejutkannya.

“Kalau... betul you dah tak mampu nak teruskan semua ni... dan, you fikir penceraian adalah jalan yang terbaik, you fikir hanya dengan cara tu aje akan buat you gembira...” Adrian merenung tepat mata Alyssa. “I... akan... lepaskan you macam yang you nak.”

Bibir kiri Alyssa bergerak sedikit ke atas tatkala mendengar jawapan Adrian. Dia sememangnya sudah jangkakan itu daripada lelaki itu.

“I... akan tunggu waktu tu tiba.”

Alyssa memaksa diri ukirkan senyuman walaupun dia sebenarnya sedikit kecewa dengan apa yang didengarnya itu.

Ah, siapalah dia untuk mahukan jawapan yang berbeza daripada apa yang diucapkan oleh lelaki itu. Lihatlah situasi yang mereka alami ketika ini. Perkahwinan mereka berlaku hanya disebabkan kepentingan orang lain. Dan Adrian hanya menuruti takdir yang telah ditetapkan kepadanya.

Adrian tersenyum hambar. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang bakal berlaku pada perkahwinannya nanti. Tapi dia harap jikalau perkahwinannya punya masalah sekalipun, penyelesaian pada masalah itu bukanlah membuatkan dia terpaksa melepaskan Irene Alyssa sekali lagi.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 

011-40049752 (Admin Nina) / 019-3729676 (Admin Shida)

Suri Hati Sang Putera - Bab 9


SURAT khabar di tangan dibaca dengan senyuman hambar sebelum dia kembali meletakkan ke atas meja di hadapannya. Rancangan hiburan di skrin televisyen yang menayangkan berita yang sama seperti muka utama surat khabar yang dibacanya tadi dimatikan. Jus oren yang berada di atas meja dicapai.

“Milla dah baca berita hari ini?”

Tiba-tiba kedengaran suara nyaring yang dia sangat kenali. Seperti selalu, Camilla akan berlagak tenang dengan ketibaan wanita itu.

“Putera Mahkota akan berkahwin bulan depan!”

Kedengaran lagi suara Julia. “Kenapa jadi macam ni? Bukan ke Milla dengan Tengku Adrian ada hubungan yang baik?”

Camilla memilih untuk mendiamkan diri. Sejujurnya dia pun terkejut dengan apa yang diketahuinya sebentar tadi. Tapi, siapalah dia untuk mempersoalkan perihal keluarga diraja.

“Milla yang sepatutnya menjadi isteri dia, bukan perempuan yang entah apa-apa ni,” sambung Julia sambil memandang surat khabar di tangannya.

Gambar seorang gadis yang berada pada muka utama surat khabar tersebut diperhatikan. Walaupun gadis itu boleh dikategorikan sebagai cantik, tapi dia tak mahu akui itu. Bagi Julia, anaknya, Camilla Leanne adalah wanita yang paling cantik di Eurovia. Camilla yang paling layak menjadi isteri Putera Mahkota itu disebabkan Camilla punya segalanya yang diperlukan sebagai seorang bakal permaisuri.

Camilla melepaskan keluhan.

“Perempuan yang entah apa-apa yang mommy cakap tu adalah golongan bangsawan. Sama taraf dengan Tengku Adrian.”

Julia mendengus kasar.

“Jadi, perempuan tu dah rampas Tengku Adrian daripada Milla?”

“Tak ada sesiapa yang rampas sesiapa pun, mommy. Kalau betul Milla yang sepatutnya jadi isteri dia, dah lama pihak istana hantar rombongan meminang.” Camilla memaksa dirinya memandang Julia. “Tapi tak ada. Dan itu bermaksud, Milla tak layak.”

“Milla layak, sayang. Cuma perempuan ni mesti dah sabotaj Milla,” Julia cuba memujuk anak perempuannya.

Camilla tersenyum hambar, separa bersetuju dengan ayat ibunya itu.

Mommy yakin, Tengku Adrian sebenarnya mahukan Milla. Tapi sebab dia terpaksa ikut kemahuan keluarga, sebab tu jadi macam ni. Selalunya perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga ni tak akan pernah bahagia.” Sambil menuturkan ayat tersebut, Julia mengharapkan ayat yang keluar daripada mulutnya tadi akan menjadi kenyataan. Dia harapkan perkahwinan Tengku Adrian Eiman tak akan pernah bahagia. Dan pasangan diraja itu akan bercerai selepas beberapa bulan berkahwin.

“Biarkan ajelah mereka, mommy. Hidup mereka tak ganggu hidup kita pun.”

“Tak ganggu apanya? Milla dengan Tengku Adrian sangat rapat. Kamu berdua pun pernah pergi bercuti sama-sama dulu. Semua orang tahu tu. Dan sekarang ni, tiba-tiba dia nak kahwin dengan orang lain? Dia dah mempermainkan Milla, tahu tak?” Nada Julia kembali tinggi seperti tadi.

Camilla hela nafas kecil.

“Biarkan ajelah, mommy.”

“Nak biarkan macam mana? Dia dah permainkan perasaan Milla. Pantang bagi mommy kalau ada orang yang buat Milla sedih macam ni.”

“Milla tak sedih. Mommy aje yang fikir bukan-bukan.”

“Milla boleh tipu semua orang. Tapi Milla tak boleh tipu mommy,” Julia tak mahu percaya ayat Camilla tadi. Tipulah kalau Camilla cakap dia tak kecewa dengan berita pertunangan Tengku Adrian itu. Dia tahu bagaimana rapatnya hubungan dua manusia itu. Bahkan dia telah memberi lampu hijau, andai kata suatu hari nanti Camilla menjadi Puteri Mahkota.

Sekali lagi Camilla mengeluh. Mommy dan sikap tahu semuanya tak pernah berubah. Kalaulah wanita di hadapannya ini tahu hal sebenar mengenai hubungannya dengan Putera Mahkota itu, tak adanya Julia bersikap agresif sebegini dengan berita pertunangan lelaki itu. Tapi itulah, Julia menaruh harapan yang tinggi untuk dia bergelar Puteri Mahkota, untuk bergelar Permaisuri kepada Negara Eurovia suatu hari nanti.

Mommy akan tuntut pembelaan atas Milla,” Julia bersuara lagi.

Camilla kerutkan dahi.

“Maksud mommy?” Dia memandang Julia dengan tidak beriak.

“Dapatkan kembali apa yang sepatutnya jadi milik Milla.”

Sekali lagi Camilla memandang hairan Julia. Belum sempat dia mengeluarkan soalan lagi, Julia telah melangkah keluar dari biliknya. Camilla melepaskan keluhan lagi. Dia harap sangat Julia tidak melakukan perkara yang bukan-bukan. Dia harap apa yang ibunya bakal lakukan bukanlah sesuatu yang bakal memusnahkan kerjayanya.

 

ARTIKEL DI laman web di hadapannya dibaca walaupun dia sebenarnya tidak mahu lakukan itu. Kemudian dia membaca pula komen-komen di bawah artikel itu. Komen-komen yang membandingkan dirinya dengan Camilla Leanne.

Ya, Alyssa sangat tahu walau bagaimana sekalipun, dia tak akan pernah mampu menandingi wanita itu. Dia mungkin punya kelebihan dari segi latar belakang keluarga. Namun, Camilla dikenali disebabkan usahanya dalam industri hiburan. Usaha Camilla itu diperkukuhkan lagi dengan beberapa anugerah yang diterima oleh gadis itu. Sama ada di dalam atau di luar negara.

Lihatlah komen-komen pada artikel yang dibacanya tadi. Majoriti masih rasakan Camilla yang sepatutnya menjadi isteri Tengku Adrian. Masing-masing mempertikaikan mengapa dia yang terpilih sedangkan sudah terangan dalam Negara Eurovia ini, Tengku Adrian dan Camilla punya hubungan mesra. Dia tidak sepatutnya menjadi pihak ketiga.

Komen yang menyebelahi dirinya?

Boleh dibilang dengan jari. Ada penulis komen tersebut yang mengatakan mengenalinya secara peribadi disebabkan mereka pernah belajar di sekolah yang sama. Dan penulis komen itu sangat bersetuju dengan pemilihannya sebagai bakal Puteri Mahkota nanti.

Keluhan dilepaskan tanpa sedar. Alyssa sebenarnya masih belum bersedia dengan perkahwinannya yang bakal tiba beberapa minggu lagi. Dia tidak pasti apa yang membuatkannya punya perasaan sebegitu sedangkan dia telah selesai menjalani segala latihan dengan pihak istana beberapa minggu yang lalu; latihan-latihan yang memerlukan dia beretika sebagai seorang Puteri Mahkota nanti.

Matanya kembali dihalakan pada skrin tablet di hadapannya. Belum sempat dia membaca kembali komen pada artikel itu, tiba-tiba saja tablet tersebut dirampas dari tangannya. Alyssa memandang Megat Aiman di hadapannya dengan sedikit riak tidak puas hati.

“Lyssa tak patut baca benda-benda macam ni,” ucap Megat Aiman sambil membaca sekilas apa yang dipaparkan di skrin tablet di tangannya. Dia kemudian memandang Alyssa di hadapannya. “Ia akan mengganggu tumpuan Lyssa pada perkahwinan yang bakal tiba.”

Alyssa mengeluh lagi mendengar ayat abangnya itu. Sejak kebelakangan ini, perkataan perkahwinan atau yang sewaktu dengannya membuatkan dia kecut perut.

Dia risau.

Dia berdebar-debar.

“Apa yang Lyssa baca tu benda yang betul. Dia memang lebih baik daripada Lyssa.” Alyssa merampas kembali tablet di tangan Megat Aiman.

“Abang rasa Lyssa lagi layak daripada dia. Abaikan apa yang peminat dia cakap. Tengku Adrian sendiri cakap yang dia dan Camilla tak lebih daripada seorang kawan.”

“Kalau betul kawan, tak adanya pergi bercuti berdua.”

“Lyssa tak boleh percaya semua benda yang Lyssa baca. Lagi-lagi gosip hiburan. Tak semua 100 peratus betul.”

“Sejak bila abang tahu sangat tentang dunia hiburan?”

“Sejak abang tahu adik abang ni asyik baca gosip dunia hiburan aje. Abang tahu apa yang Lyssa sedang cari. Berhenti bazirkan masa Lyssa baca benda-benda tak berfaedah ni.”

Permintaan Megat Aiman itu membuatkan Alyssa melepaskan keluhan sekali lagi. 

“Lyssa patut baca sesuatu yang buat Lyssa gembira.” Megat Aiman mencapai kembali tablet di tangan Alyssa. Dia menaip sesuatu sebelum menyerahkan kembali tablet tersebut kepada adiknya.

“Baca ni. Ada orang tulis benda yang baik tentang Lyssa. Dia cakap dia junior Lyssa kat kolej dulu.”

Alyssa mula membaca apa yang ditunjukkan kepadanya. Penulis artikel itu menceritakan mengenai perkenalan mereka dan bagaimana penulis tersebut langsung tidak mempercayai dirinya adalah daripada golongan bangsawan. Semuanya disebabkan bagaimana dia mampu berdikari sepanjang empat tahun pengajian mereka di kolej dulu.

Tanpa Alyssa sedar, senyuman mula diukir seusai selesai membaca artikel tersebut.

“Feeling better?” Megat Aiman kembali bersuara. Dia turut tersenyum melihat senyuman Alyssa. “Kalau Lyssa cari nama Lyssa, Lyssa akan jumpa banyak komen yang baik. You even have your own fan club.”

“I do?”

Megat Aiman mengangguk dengan senyuman. Beberapa ketika, telefon pintar miliknya berdering. Tatkala mengeluarkan telefon tersebut dari poket seluarnya, Megat Aiman mengukirkan senyuman melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Telefon tersebut kemudian diserahkan kepada Alyssa.

“Lyssa patut jawab call ni. Adrian yang call.”

Berkerut dahi Alyssa mendengar ayat abangnya.

“Dia call abang, bukan Lyssa.”

“Dia call abang sebab Lyssa tak pernah jawab call dia. Why?”

“Lyssa tak ada apa-apa nak cakap dengan dia.” Alyssa separa jujur. Melainkan perihal perkahwinan mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi, dia tak rasakan itu menjadi penyebab Adrian mahu menghubunginya. Segala persiapan perkahwinannya telah diuruskan oleh pihak istana dan keluarganya. Dia hanya masuk campur apabila diminta.

Just pick up his call, okay?” pujuk Megat Aiman.

Dengan tidak ikhlas, Alyssa mencapai telefon yang dihulurkan kepadanya. Ikon menjawab panggilan disentuh.

“Helo?” Alyssa bersuara sambil memandang Megat Aiman di hadapannya.

Megat Aiman kemudian bangun sebelum beredar. Dia mahu memberi ruang kepada Alyssa untuk berbual dengan bakal adik iparnya itu.

“Lyssa?” Kedengaran suara Adrian di hujung talian.

Yes. It’s me.”

“I call you tapi you tak pernah nak jawab. Sebab tu I minta tolong abang you.”

“Kenapa you call?”

“I nak tahu keadaan you aje. I fikir I patut tahu keadaan you sebelum kita kahwin.”

“I dalam keadaan baik, Adrian.”

“I dengar macam you bukan dalam keadaan baik aje. You nak keluar berjanji temu dengan I?”

“Sekarang?”

“Ya.”

“I ingatkan kita tak dibenarkan berjumpa sehingga hari perkahwinan kita.”

Right! I lupa tentang peraturan tu.” Kedengaran tawa kecil di hujung talian. “Tapi, tak salah pun kalau kita tak ikut peraturan tu. I cuma...”

“I tak fikir kita patut keluar berjumpa dalam keadaan sekarang, Ed. Probably ada banyak orang yang sedang perhatikan kita.”

“You risau kalau ada orang akan apa-apa kan you?”

“Salah satu sebab. I masih belum bersedia dengan penerimaan rakyat.”

“You tak perlu risau tentang itu. Majoriti rakyat sukakan you.”

“Bagaimana pula dengan yang tak suka I? Yang asyik bandingkan I dengan teman wanita you tu?”

Kedengaran pula keluhan kecil di hujung talian.

“You pun tak perlu risau dengan yang tu juga. Apa yang mereka cakap, kutuk atau apa-apa sajalah, you tak perlu ambil peduli. Lagi you ambil peduli, lagi akan buatkan you berada dalam keadaan tertekan, Lyssa.”

“I tak berada dalam keadaan tertekan, Adrian.”

“Abang you cakap you berada dalam keadaan tertekan sejak kebelakangan ni. Dia cakap you bukan Lyssa yang dulu. You lebih banyak diam dan suka mengasingkan diri.”

Alyssa diam, tiada keinginan untuk mengeyakan apa yang dikatakan oleh Adrian. Sejujurnya, makin dekat dengan tarikh perkahwinannya, makin dia rasa tidak selesa. Kadangkala dia rasakan dia telah membuat keputusan yang salah.

“I faham situasi you, Lyssa. You tak pernah jadi tumpuan macam ni. You hate being the centre of attention. Tapi, I tahu you boleh hadapi semua ni. You are stronger than you think, Lyssa.”

Ayat terakhir Adrian sebentar tadi membuatkan Alyssa terkesima seketika. Ayat ‘motivasi’ lelaki itu membuatkan dia tiba-tiba saja teringatkan Aariz. Bekas teman lelakinya juga pernah mengeluarkan ayat sedemikian kepadanya suatu ketika dahulu.

Deja vu apakah ini?

“Lyssa?” Kedengaran lagi suara Adrian apabila tiada ayat balasan daripada Alyssa.

I’m just speechless with your words, Adrian. Thank you for that.”

“Feeling better right now?”

Yes,” Alyssa berbohong. Dia bukannya makin baik mendengar ayat Adrian tadi. Makin membuatkan dia keliru adalah!

Glad to hear that. Kalau you ada apa-apa masalah, beritahu I. I akan cuba cari masa untuk you.”

“I tak nak susahkan you, Ed. I boleh uruskan masalah I.”

“You berada dalam situasi macam ni pun disebabkan I. I perlu bertanggungjawab dengan apa yang I dah buat.”

“Macam yang you cakap tadi, I boleh hadapi semua ni. I tak fikir I perlukan you untuk masalah yang I hadapi sekarang ni.”

“Lyssa... I...”

“I nak berbual lama dengan you, tapi I perlu bersiap untuk jumpa bonda you nanti.” Sengaja Alyssa mencari alasan untuk menamatkan perbualan yang tiba-tiba saja membuatkan dirinya tidak selesa.

Sekali lagi kedengaran keluhan di hujung talian.

Okay. See you in a few weeks then.”

Tanpa mengucapkan selamat tinggal, Alyssa mematikan talian. Keluhan berat dilepaskan. Kenapa dia masih belum dapat melupakan Aariz sepenuhnya?