Api pelita cahayanya redup,
Supaya terang besarkan sumbu,
Hati kecewa sengsara hidup,
Supaya tenang sabar selalu.
RYAN membetulkan urat leher yang terasa tegang. Sejak pagi dia duduk di depan komputer sampai ke tengah hari, namun kerjanya masih belum selesai. Masih banyak yang perlu dilakukan dan diperhalusi. Kalau dah lama tinggalkan sesuatu pekerjaan memang ambil masa untuk serasi kembali. Mujur saja pihak sana sanggup berikan dia masa lagi.
“Kau dah makan?” tanya Qadr yang lalu di tepi meja Ryan.
“Belum. Awal kau balik hari ni?” aju Ryan. Dia memusingkan kerusi ke arah Qadr.
Qadr meletakkan bungkusan nasi di atas meja Ryan. Kemudian dia melabuhkan punggung di atas sofa. Tangan naik memicit kepala yang berdenyut.
“Hmm, aku rasa migrain aku datang balik kut. Tiba-tiba kepala aku sakit sangat. Terpaksa aku minta cuti kecemasan,” ujar Qadr dengan mata masih terpejam rapat. Tak tahu di mana silap, tubuhnya terasa lemau dan kepalanya menyengat sangat. Dia sangat menjaga kesihatan diri sebab dia kalau sakit susah nak sembuh. Dan dia paling tak suka dengan ubat.
“Kau tak cukup tidur ke?”
“Entahlah. Ni aku dah tapau nasi, kau makanlah. Aku nak tidur,” ujar Qadr seraya bangun menapak ke biliknya. Mungkin lepas mandi dan tidur dia akan rasa lebih lega.
“Kau dah pergi klinik ke?” laung Ryan.
“Dah.” Pintu bilik ditutup perlahan. Beg diletakkan di atas meja lalu kaki terus menapak ke ampaian. Mencapai tuala masuk ke dalam bilik air. Saat air menimpa kepala, dia terasa sangat lega. Usai mandi, dia terus keluar dan merebahkan tubuh di atas tilam. Hanyut membuai lena.
Ryan memandang sepi nasi di atas meja. Perut yang lapar sejak tadi semakin meluap dengan bau yang datang dari bungkusan tersebut. Sejak berpindah ke sini, dia semakin serasi dengan makanan masyarakat Turki. Untuk kenyangkan perut, dia masih boleh telan.
Selesai makan, Ryan mencapai telefon untuk memeriksa e-mel. Sudah lama dia tidak membuka akaun e-mel memandangkan dia sibuk dengan projek mereka laman web syarikat pelancongan Turki. Melihat deretan e-mel yang masuk, dia mengeluh perlahan. Malas tapi digagahkan diri juga membuka satu per satu e-mel tersebut.
Matanya menangkap satu e-mel dari alamat yang berbeza. Bila dia buka dan baca, hanya nafas perlahan dilepaskan. Ini bukan e-mel pertama dari syarikat itu, malah rasanya ini adalah e-mel yang ketiga dan isi e-mel tersebut masih sama.
Tangkai mug ditarik lalu kaki dibawa ke balkoni. Sekarang musim bunga. Di seluruh Turki mekar dengan bunga, sangat cantik. Musim ini musim yang sesuai untuk melakukan apa-apa saja aktiviti; jiwa lebih romantis. Nafas ditarik dalam menyedut udara yang terasa segar. Mungkin disebabkan musim bunga bau udara lebih menyerikan.
Di Turki popular dengan Bunga Tulip. Di taman, di jalanan akan dipenuhi dengan bunga tulip. Tempat ini dan musim ini memang sesuai untuk mereka yang gemarkan bunga seperti... si dia. Kepala perlahan menunduk ke bawah. Mengapa susah sangat dia mahu melupakan si dia sedangkan dia sedang bahagia dengan kehidupan sendiri?
Ryan ketawa kecil. Dia yang masih bodoh bergantung pada perasaan yang sia-sia. Mencintai wanita yang merupakan isteri orang bukan suatu yang remeh. Dari segi hukum agama saja ia sudah salah, apatah lagi dari segi moral. Namun bukan dia tak pernah mencuba, sudah berkali-kali dia mencuba melupakan malah berkali-kali juga dia cuba hanyutkan segala kenangan dari masa lalu tetapi ia masih sama. Tetap di situ bagaikan rantai besi yang mengikat seluruh tubuhnya.
Deringan telefon mematikan lamunan Ryan. Kaki kembali diatur ke dalam rumah. Capai telefon di atas meja, bibirnya menguntum senyum melihat nama pemanggil.
“Assalamualaikum, Mr. Ameer.”
“Waalaikumussalam, Ryan. I have seen the website and alhamdulillah I like it so much. We will lauching the website tentatively next week and if you care to join us? Do come,” ujar Mr. Ameer.
Wow! Pantas lelaki itu bekerja. Rasanya baru tadi dia e-melkan semula link web yang telah ditambah baik itu. Ryan diam memikirkan tawaran Mr. Ameer. Tak salah rasanya jika dia menerima tawaran lelaki itu. Boleh jadi ini juga akan menjadi satu peluang untuk dia kenalkan namanya kepada golongan korporat yang lain. Manalah tahu, daripada dia buat kerja sebagai sampingan boleh dijadikan perniagaan.
Bibir menguntum senyum dengan angan-angan sendiri.
“Ryan, are you there?”
“Yes. Mmm... is it okay if I bring along a company?”
“Neden olmasin (why not)? Katilmak isteyen herkese hos geldiniz ederim (everyone is welcome to join us).”
“Tamam. Davetiniz icin tesekkur ederiz (thank you for your invitation).”
“Welcome Ryan. I am so excited for this web launching. And I must tell you, I made a wise choice by asking for your favour on this. So compatible and accessible. That’s matter the most to me since I want it to be problem free and won’t affect the network coverage as well.”
Ryan ketawa kecil. Tinggi sungguh pujian yang diberikan oleh lelaki itu.
“Do let me know should there is a problem accur in future, okay?”
“Tamam (okay). Yaparim (I will). Once again, thank you, Ryan.”
Selesai berpamitan talian dimatikan. Dia kembali melabuhkan pandangan ke luar rumah. Bibir menguntum senyum nipis. Lega apabila hasil kerjanya disukai. Seketika dia hanya termenung sebelum bangun menapak ke dapur. Cuci mug kemudian dia masuk ke dalam bilik. Dengan jaket yang tersarung di tubuh berserta kamera DSLR tersangkut di bahu, dia melangkah tenang. Berhenti di depan bilik Qadr, mengetuk perlahan. Sekadar mahu bertanyakan keadaan si teman namun tiada jawapan daripada Qadr. Mungkin masih tidur. Lalu dia tulis pesanan dan tampal di pintu bilik sahabatnya itu.
Menelusuri jalan yang membawa ke taman berdekatan, mata Ryan buntang melihat deretan bunga tulip. Laju tangannya mengangkat kamera dan mengetik setiap momen yang menarik. Sudah agak lama dia tak muat naik entri terbaru di blognya. Musim bunga boleh jadi gerakan untuk blognya kali ini.
“Ryan.”
Kaki yang melangkah terus terhenti. Menoleh ke belakang kening terjongket tinggi. Langkah kanan ke kiri hari ini. Macam mana boleh terserempak dengan gadis ini pula? Bibir dipaksa senyum.
“Seorang?” aju Zenab.
“Ya. Qadr tak sihat. Awak?”
“Sorang juga. So, boleh kan kita jalan sesama?”
Ryan menjongketkan kening. Nak menolak, serba salah pula melihat raut Zenab yang mengharap. Lalu dia hanya senyum nipis seraya menggerakkan isyarat mata agar gadis itu berjalan seiring dengannya.
“Thanks,” ucap Zenab teruja. “Lama saya tak nampak awak. Ke mana?” ajunya pula.
“Tak ke mana. Ada saja di rumah,” jawab Ryan acuh tak acuh. Tangannya semakin lincah mengetik setiap momen yang tercapai dek matanya. Apa yang indah dan menarik, dia terus abadikan dalam lensa kameranya.
“Ryan.”
“Hmm,” gumam Ryan. Mata fokus pada kamera melihat kembali gambar yang telah diambilnya tadi. Serta-merta bibirnya menguntum senyum.
“Ryan!” panggil Zenab keras. Terasa yang dia diabaikan. Sejak tadi hanya dia yang bercakap tapi Ryan hanya diam dan sesekali lelaki itu menganggukkan kepala. Terlalu asyik dengan kameranya.
“Kenapa Zenab?” soal Ryan setelah melepaskan keluhan. Ini yang dia tak suka tentang Zenab. Mereka berjiran sebenarnya. Zenab ni pelajar senior di sini. Apa yang didengarinya daripada Qadr, Zenab sedang sambung master tapi tak pasti dalam bidang apa. Dia tak pernah bertanya malah tak suka nak ambil tahu apatah lagi selepas dia mendapat tahu yang Zenab menyukainya.
Suka? Ini lagilah pelik. Dia dan Zenab tak rapat. Bercakap pun hanya sesekali apabila persatuan apartmen yang mereka tinggal buat majlis atau pesta makan-makan sahaja. Apa yang dia tahu tentang Zenab? Tak ada apa-apa melainkan dia tahu gadis itu anak tempatan Turki, malah dia tahu Zenab belajar banyak bahasa termasuk Bahasa Melayu.
Ryan perasan itu hanya disebabkan Zenab fasih menggunakan bahasa Melayu apabila bercakap dengannya. Hanya itu yang dia tahu tentang Zenab dan dia yakin Zenab juga tak banyak tahu tentang dirinya. Jadi bagaimana boleh ada suka antara mereka sedangkan perkenalan mereka sangat terbatas?
“Kenapa awak mengelak daripada saya, Ryan?”
“Bila masa pula saya mengelak, Zenab?” soal Ryan.
“Awak tak mengelak? Saya dah jarang nampak awak di majlis anjuran persatuan. Sekarang pun bila saya bercakap dengan awak, awak buat tak endah saja,” luah Zenab kecewa.
Ryan menghela nafas perlahan. Dia tak suka apa yang dibuatnya dipersoalkan. Dan kini Zenab mempersoalkannya. Apa hak perempuan ini?
“Awak yang nak jalan sekali dengan saya, Zenab. Awak nampak saya ada kerja, kan? Saya bukan keluar suka-suka sekadar untuk ambil angin semata tapi saya ada urusan. Saya ni bila kerja memang fokus. Tak suka diganggu,” ujar Ryan tenang. Dalam halus dia memberikan isyarat bahawa dia tidak suka diganggu oleh Zenab.
“Jadi saya ni mengganggulah?” soal Zenab berjauh hati.
Kaki yang melangkah terhenti. Tangan yang sibuk mengetik juga turut sama terhenti. Dia menggantung kamera di leher. Pusing tubuh memandang Zenab. Gadis yang cantik, elok pemakaiannya namun masih belum cukup untuk menggetarkan hatinya. Jadi salah diakah jika dia tidak tertarik kepada Zenab?
“Maaf, andai awak terasa tapi apa yang awak nak daripada saya?” Ryan bertanya walaupun dia sudah tahu apa yang dimahukan oleh gadis itu.
“Awak! Saya nak awak, Ryan. Mustahil awak tak tahu isi hati saya?” suara Zenab terdesak. Kepala jatuh menunduk. Dia tahu! Sangat tahu tapi dia cuba elak daripada bercakap tentang itu. Dia tidak mahu ada rasa tidak selesa dengan gadis ini tapi nampaknya dia memang tak sepatutnya mengelak. Dia sepatutnya berterus terang agar Zenab tahu bahawa jangan berpegang pada tali yang palsu. Kelak kalau putus dia yang sakit.
“Saya tak boleh terima awak, Zenab.” Jujur dia menyatakan. Lebih baik begini mungkin barulah Zenab mengalah. Selagi dia tidak berterus terang tentang hatinya, Zenab akan terus mengejar.
“Kenapa?” Laju Zenab menyoal.
“Hati saya...”
“Jangan bagi alasan yang hati awak tak boleh terima saya,” sangkal gadis itu pantas. Tangan naik memeluk tubuh. Mata mencerun tajam kepada Ryan.
Melotot mata Ryan dengan bidasan laju Zenab. Memang itu kenyataannya. Kalau dah dia tak berikan alasan tu, apa lagi alasan yang boleh dia guna? Takkanlah dia nak menipu pula? Dia tak akan menipu lagi. Cukup penipuan yang dia sudah lakukan dulu ketika dia menjadi Ryan yang hina. Tidak akan sesekali dia berbohong semata-mata mahu menjaga hati Zenab.
“Awak belum cuba kenal saya pun Ryan.”
“Itu juga yang saya pelik, Zenab. Kita tak saling kenal. Maksud saya tak rapat, jadi bagaimana awak boleh sukakan saya?” Kali ini Ryan menyoal pula. Dia memandang tepat wajah gadis itu. Menanti jawapan Zenab.
“Awak tak kenal saya tapi saya... dah kenal awak lama. Sejak hari pertama awak pindah ke sini lagi. Saya nampak awak, setiap hari saya lihat awak lalu jalan ni. Awak selalu ada dengan Qadr. Ke mana saja kalian berdua. Kadang-kadang awak bermain bola di taman. Adakala awak akan sertai misi kemanusiaan. Beri bantuan kepada golongan yang memerlukan dan...”
“Cukup!” Ryan hela nafas berat. Dia mati kata untuk menyangkal bicara Zenab.
“Saya minta maaf Zenab, tapi saya tak boleh paksa hati saya sukakan awak. Awak boleh jumpa lelaki yang lebih baik daripada saya. Pasti itu!” tegas Ryan.
“Kenali saya dulu Ryan,” pinta Zenab mendesak.
“Macam mana kalau kita kenal tapi keadaan masih sama? Saya tak mampu mencintai dan awak menggantungkan harapan. Apa akan jadi nanti, Zenab?” soal Ryan tegas.
Jeda.
Berubah air muka Zenab dengan soalan Ryan. Bukan dia tidak pernah terfikirkan itu tetapi dia tetap mahu berusaha. Dia mahu buatkan Ryan nampak kehadirannya.
“Waktu itu awak akan kecewa yang lebih teruk dari sekarang. Mungkin ketika itu juga awak akan salahkan saya kerana berikan awak harapan palsu sedangkan sudah berkali-kali saya nyatakan bahawa hati saya tak mampu mencintai awak,” luah Ryan tenang. Dia jeda seketika sebelum menyambung bicara. “Awak gadis yang baik dan saya yakin awak jumpa lelaki yang lebih baik daripada saya. Yang sekufu dan sepadan dengan awak.”
Setelah itu dia mengatur langkah meninggalkan Zenab. Dia berharap gadis itu tidak akan terus berharap kepadanya. Kenapa dia? Masih ramai lagi lelaki lain yang Zenab kenal. Kenapa lelaki yang digelar gay ini juga yang Zenab nak?
Ryan geleng kepala. Zenab lupa barangkali, yang orang tua gadis itu tidak sukakan dia dan Qadr. Orang tua Zenab yang menuduh dia dan Qadr gay. Hati kalau dah suka, semuanya letak tepi, kan?
Busuk, jahat, hodoh... semuanya dipejamkan mata. Apa yang dilihat semua yang indah-indah hinggalah sampai suatu masa; ketika ujian itu datang segalanya lebur. Yang indah hilang entah ke mana, yang buruk saja yang mendepani.
Dan dia seorang Ryan Lee yang telah melalui keburukan takkan tergoda dengan keindahan yang datang. Dia terlalu takut untuk mencapai yang indah. Kelak dia yang kecewa. Sampai bila? Dia sendiri tidak tahu. Mungkin akan datang ada seseorang yang mampu berikan tenang dalam indah. Yang pasti bukan Zenab. Merintangi api yang jelas buruk padahnya, kenapa hendak diterjah juga?
No comments:
Post a Comment