DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 10


LENA Raiqa sedikit terganggu gara-gara wajahnya terkena kesan percikan air. Keluhan kasar terlepas dari bibirnya. Dia betul-betul mengantuk lagi.

“Janganlah kacau, mak su. Rai nak tidur lagi.”

“Sayang... bangun. Subuh dah nak habis ni.”

Terbuka luas matanya sebaik saja suara garau itu muncul. Dia terus bangun dari perbaringan. Wajahnya berubah merah saat teringat babak yang berlaku semalam. Cepat-cepat dia menutup seluruh tubuhnya dengan selimut.

Tergelak Daim melihat reaksi si isteri. Boleh tahan liat juga dia nak kejutkan Raiqa. Jam sudah hampir 6 pagi. Sengaja dia mengejutkan isterinya lebih awal untuk solat bersama.

“Bangun sekarang. Pergi mandi. Nanti kita solat bersama.”

Terkebil-kebil mata Raiqa. Dia pandang ke arah jam dinding. Macam manalah dia boleh tak terjaga. Kebiasaannya dia sudah bangun jam 5 pagi untuk membantu mak su berniaga.

“Kenapa termenung lagi? Nak abang dukung ke?”

Laju Raiqa menggeleng. Bergegas dia turun dari  katil bersama selimut yang masih membaluti tubuhnya.

Daim ketawa besar. Dia bangun sambil menghulurkan tuala.

“Jangan lupa mandi wajib, sayang.”

Makin merah wajah Raiqa. Jelingan tajam diberikan kepada si suami sebelum dia menutup pintu bilik air.

Setelah menunaikan solat subuh bersama, Raiqa ingin kembali melelapkan mata. Tubuhnya masih penat gara-gara majlis semalam.

“Eh, sayang nak tidur ke?”

Ermm... Rai mengantuk.”

“Janganlah tidur. Jom kita buat sarapan untuk mak dan abah.”

“Hah?” Raiqa tercengang.

Daim tersenyum nipis. Tangan isterinya diraih dan diusap lembut.

“Masa nilah kita nak ambil hati mak dan abah. Abang dapat rasa mak masih marahkan abang. Tapi abang yakin lama-kelamaan mak mesti boleh terima perkahwinan kita.”

Menyampah Raiqa mendengarnya. Selama 2 minggu dia duduk di sini, hanya kata sindiran yang diberi. Mentang-mentang dia hanya gadis miskin.

“Pagi ni abang temankan Rai sediakan sarapan.”

“Mak abang tu sudi ke makan makanan yang Rai masak?”

“Kenapa cakap macam tu?” Berlapis dahi Daim.

“Selama Rai tinggal dekat sini, Rai nak sentuh dapur mak, dia tak pernah bagi. Setakat kemas dapur tu bolehlah. Takut sangat dapur mak abang tu terbakar,” sindir Raiqa.

“Rai dah salah faham. Jangan-jangan dia risau nak biarkan Rai masak.” Daim cuba bersangka baik.

Tergelak Raiqa. Dah diagak yang suaminya masih mahu sebelahkan orang tua itu.

“Rai tak pandai masak. Nanti kalau tak sedap, tak pasal-pasal makanan tu dicampak dalam tong sampah.” Sengaja dia berbohong. Bukannya dia tak pandai masak. Sekadar lauk biasa, bolehlah.

“Mak abang bukan macam tu. Cuba jangan bersangka buruk.” Kali ni nada Daim sudah bertukar tegas. Dia agak terasa apabila emaknya dituduh berkelakuan jahat.

Raiqa berdeham. Bukan niat dia untuk menyakitkan hati si suami. Dia cuma tak nak perkara itu berlaku. Tak mustahil hatinya yang akan sakit jika betul orang tua itu membuang masakan yang dimasaknya nanti.

“Jom, kita ke dapur. Kalau Rai tak pandai, kita boleh tengok YouTube. Semua maklumat di hujung jari.”

Nak tak nak, terpaksalah dia menurut. Harap-harap tak adalah dapur mewah Hajah Rogayah itu terbakar.

 

TIDAK BERKELIP mata Hajah Rogayah melihat hidangan di atas meja. Ada bihun goreng dan roti bakar. Banyak pula tu.

“Siapa yang masak?”

“Mestilah menantu mak yang masak,” celah Daim sambil merangkul bahu si isteri.

Raiqa sekadar tersenyum nipis. Memang dia yang masak. Mujurlah bahan-bahan masakan disediakan oleh si  suami.

“Selama ni tak pernah dia rajin masak. Ingatkan tak pandai memasak,” perli Hajah Rogayah.

Wajah Raiqa terus berubah. Masih lagi niat nak menyindir.

“Sedapnya bau. Yah masak apa pagi ni?” Tiba-tiba muncul Haji Daus di meja makan.

“Bukan Yah yang masak. Rai yang sediakan,” jawab Hajah Rogayah acuh tak acuh.

Ternaik kening Haji Daus. Dia duduk di kerusi. Melihat hidangan yang ada di atas meja, perutnya terasa lapar.

Mereka semua makan dalam keadaan senyap. Sesekali Raiqa melihat reaksi ibu dan bapa mentuanya menjamah hidangan itu.

“Bila Daim nak pindah bersama Rai?” soal Haji Daus.

Hampir tersedak Daim. Dia segera membasahkan tekak terlebih dahulu. Raiqa di sebelah masih ralit menghabiskan makanan di pinggan.

“Insya-Allah, hujung minggu Daim bawa Rai ke sana,” jawab Daim.

“Cepatnya. Abang pun satu. Tak sabar-sabar nak halau anak kita keluar,” geram Hajah Rogayah. Dia sebenarnya masih belum bersedia tinggal berjauhan dengan si anak.

“Kita dah pernah bincang sebelum ni. Abang nak Daim dan Rai berdikari selepas ni. Tak ada gunanya dia berkahwin kalau kita yang masih nak menanggung mereka,” ujar Haji Daus.

Terkesan juga Raiqa. Macamlah dia hadap sangat nak tinggal di sini. Tak sabar dia nak berpindah ke rumah baharu bersama Daim. Tak perlulah dia tadah telinga mendengar kata-kata sindiran ibu mentuanya.

“Lepas ni apa rancangan Daim?” tanya Haji Daus.

“Daim nak cari kerja,” jawab Daim.

“Kenapa susah-susah nak cari kerja? Kerja ajelah dengan abah.” Hajah Rogayah membantah keras.

“Syarikat abang tak ada kerja kosong. Nak kerja perlukan pengalaman dan kelayakan yang sesuai.” Tegas nada suara Haji Daus.

“Dengan anak pun nak berkira,” balas Hajah Rogayah.

“Itulah yang Yah silap. Abang buat semua ni supaya Daim belajar dari bawah. Bukan semuanya nak disuap,” bebel Haji Daus.

Hajah Rogayah menjeling geram. Ada-ada saja yang dibantah oleh si suami. Dia pandang ke arah Raiqa. Saat mata mereka bertemu, renungan tajam diberikan kepada si menantu.

Tertelan air liur Raiqa. Dia tunduk ke bawah. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya. Tak sanggup dia nak berdepan dengan orang tua Daim.

Selesai sarapan, Raiqa membasuh pinggan kotor di singki. Daim dan Haji Daus berada di ruang tamu. Terasa sesak nafasnya berada di ruang yang sama dengan ibu mentuanya.

“Kesian Daim. Tak ada masalah, cari masalah. Masa depan tu dah elok, sengaja nak gelapkan masa depan sendiri.”

Panas telinga Raiqa.

“Budak sebaya Daim tu sepatutnya belajar lagi. Bukannya menyusahkan diri sendiri tanggung anak orang. Kalau isteri tu perangai elok, sedaplah mata ni nak memandang.”

Pang!

Dek terlalu marah, pinggan di tangannya dihempas kasar ke singki. Nasib baik tak pecah. Turun naik nafas Raiqa menahan marah.

“Kau nak pecahkan barang aku ke?”

“Apa maksud mak tadi?”

“Aku cakap apa?”

“Cepatnya mak dah nyanyuk. Tadi bukan main lagi menyindir.” Kali ini dia dah tak mampu bersabar.

“Kau terasa ke?”

Raiqa tergelak sinis. Tangannya dibasuh terlebih dahulu sebelum dia menutup paip air.

“Betul juga kata mak. Kesian abang. Dia tertipu dengan sikap baik mak.”

Bulat mata Hajah Rogayah.

“Abang cakap, mak dia seorang yang sangat baik tapi apa yang Rai tengok, perangai mak mengalahkan mak tiri yang kejam.”

“Kurang ajar!”

“Rai hanya kurang ajar dengan orang yang biadab. Mak tilik diri mak tu dulu sebelum nak hina orang lain.”

“Aku cakap benda yang betul. Kalau kau budak baik, kau takkan bawa anak aku sampai ke bilik tidur.”

“Ya, Rai memang perempuan jahat. Jangan nak salahkan Rai kalau anak mak pun sama-sama jahat.”

Tergerak-gerak rahang Raiqa. Kedua-dua tangannya dikepal kuat. Disebabkan tuduhan mak su dan penipuan Daim, dia dituduh perempuan yang tidak bermaruah. Laju dia melangkah meninggalkan dapur.

Daim yang baru muncul di dapur terkejut dengan reaksi si isteri. Dipandang ke arah emak yang masih berdiri kaku di dapur. Sah, ada sesuatu yang terjadi semasa dia berada di ruang tamu tadi.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

Pernah Benci - Bab 9


DENGAN sekali lafaz, mereka akhirnya sah bergelar suami isteri. Walaupun majlis ini diraikan secara sederhana, bagi Daim ini sudah cukup bermakna. Lebih-lebih lagi dia berjaya menjadikan Raiqa sebagai miliknya yang halal. Walaupun usianya masih 20 tahun, dia yakin untuk meneruskan perkahwinan ini.

Selepas dia menunaikan solat sunat, majlis diteruskan dengan upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali dia melihat Raiqa bertudung, dia sukar mengalihkan anak matanya ke arah lain. Kecantikan isterinya membuatkan dia terpegun.

Raiqa cuba memaniskan wajahnya. Majlis yang berlangsung hari ini tak seperti yang dia idamkan. Hanya sekadar pelamin kecil dan majlis kesyukuran saja. Malah tetamu yang dijemput ke sini, hanya mereka yang tinggal di kawasan perumahan ini. Nampak sangat keluarga mentuanya tidak ikhlas mengadakan majlis ini.

Ketika sesi bergambar, anak matanya tak sengaja terpandang seseorang di ruang tamu. Terkelu Raiqa. Dia yakin kelibat itu ialah mak su. Bergegas dia turun dari pelamin saat ternampak kelibat mak su keluar dari rumah.

“Sayang nak ke mana?” Daim sempat memegang lengan si isteri.

“Rai nampak mak su. Dia datang juga ke sini.” Ceria wajah Raiqa. Dia yakin mak su tidaklah keras hati.

“Mana mak su?” Daim mencari kelibat wanita itu.

“Dia dah keluar. Rai nak jumpa mak su kejap.” Bergegas dia keluar dari rumah itu. Tak sempat Daim nak mengikut, ada tetamu yang datang ke arahnya. Terpaksalah dia melayan tetamu sebelum mencari isterinya di luar rumah.

Raiqa berlari anak mengejar. Dari jauh dia sudah ternampak mak su sedang berjalan keluar dari pagar rumah. Makin laju dia berlari ke arah wanita itu.

“Mak su!”

Mati langkah Puan Rosmah. Matanya terpejam rapat. Dia masih tidak berpaling ke belakang.

“Mak su datang.” Dia semakin mendekati wanita ini.

“Aku datang sebab tak nak malukan diri sendiri. Nanti apa pula kata orang kalau aku tak datang. Lepas ni, anggap antara kita tak pernah ada hubungan.”

Tersentak Raiqa. Kepalanya digeleng perlahan.

“Mak su masih marahkan Rai?”

“Bukan aku marah tapi aku cukup bencikan kau. Sejak kau datang dalam hidup aku, hidup aku terbeban. Selama ni aku berpura-pura ikhlas sayangkan kau. Baguslah sekarang kau dah kahwin. Sekurang-kurangnya hidup aku aman lepas kau berhambus dari rumah tu.”

Gugur juga air matanya ke pipi. Dia tak percaya selama ini mak su sekadar berpura-pura. Hanya disebabkan pak su, mak su sanggup berbohong.

“Rai minta ampun. Rai tak ada niat nak susahkan mak su. Rai sayangkan mak su. Demi Allah, Rai tak pernah buat kerja terkutuk tu.”

“Aku dah tak nak dengar. Aku datang ke sini untuk tunaikan permintaan Haji Daus. Ingat, jangan kau muncul lagi kat rumah aku! Aku haramkan kau jejakkan kaki ke sana.”Puan Rosmah segera berlalu pergi tanpa berpaling ke belakang.

Teresak-esak Raiqa menangis. Dia sangka kehadiran wanita itu untuk merestui perkahwinannya.

“Sayang.”

Raiqa menoleh ke belakang. Melihat wajah Daim yang keruh, tahulah dia yang suaminya mendengar perbualannya bersama wanita tadi. Makin menjadi-jadi tangisannya.

Daim segera menarik tubuh si isteri masuk ke dalam pelukannya. Sungguh dia terkejut mendengar kata-kata mak su. Pasti isterinya sangat terluka dengan amaran yang diberikan oleh wanita tadi.

“Mak su dah buang Rai. Rai betul-betul dah hilang mak su sekarang. Dia langsung tak nak pandang Rai.”

“Bagi mak su masa. Orang tengah marah, macam-macam yang boleh keluar dari mulut. Abang yakin, mak su sayangkan Rai. Buktinya dia datang ke sini.”

Raiqa mendongak. Pipi yang basah diseka dengan jari halusnya. Dia pandang ke arah mak su yang semakin menjauh.

“Dahlah. Jangan menangis. Hari ni majlis yang bermakna untuk kita. Jom kita masuk ke dalam.”

Raiqa sekadar menurut. Tangannya digenggam kemas oleh si suami. Sepanjang majlis berlangsung, dia cuba memaniskan wajahnya. Dia tidak mahu merosakkan kegembiraan Daim sekeluarga.

 

DAIM BERANIKAN diri untuk mendekati si abah. Sejak majlis pagi tadi, dia masih belum berkesempatan untuk berbual. Peluang ini diambil untuk berbual bersama Haji Daus.

“Abah nak minum?”

Haji Daus terkejut. Dia hanya menggeleng perlahan sambil memandang ke arah televisyen. Walaupun jam sudah pukul 11 malam, dia masih belum mengantuk.

“Kenapa tak tidur lagi? Tak elok biarkan isteri Daim seorang diri dalam bilik.”

Errr... kejap lagi Daim masuk. Daim nak cakap sesuatu dengan abah.”

Haji Daus menoleh ke arah si anak.

“Nak cakap apa?”

Daim duduk di sisi orang tua itu. Tangan Haji Daus diraih dan digenggam erat. Berkerut dahi si abah.

“Daim tahu abah kecewa dengan Daim. Daim minta ampun. Daim janji akan bertanggungjawab atas pilihan yang Daim buat sekarang.”

Haji Daus menarik nafas panjang. Tipulah kalau dia tak kecewa dengan perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Perkara dah berlaku. Tak perlu toleh ke belakang. Yang penting tentang masa depan Daim dan Rai. Apa rancangan Daim lepas ni?”

“Daim nak cari kerja.”

Tegak terus tubuh orang tua itu. “Daim tak nak sambung belajar?”

“Abah juga yang cakap, lepas ni Daim perlu uruskan diri sendiri termasuk Rai. Daim dah fikir masak-masak. Daim nak kerja dulu. Bila keadaan dah stabil, Daim akan sambung belajar.”

Haji Daus mengeluh. Jujur dia masih berharap anaknya menyambung pelajaran ke universiti.

“Terpulanglah kepada Daim. Cuma satu nasihat abah. Dalam rumah tangga ni, pasti ada ujian. Jangan terlalu ikutkan hati dan perasaan. Jika isteri ada salah, bimbing dan bagi nasihat. Abah nampak Rai perlukan bimbingan. Daim faham maksud abah?”

Daim sekadar mengangguk. Dia cukup jelas dengan kata-kata nasihat itu. Malah dia sudah berjanji kepada diri sendiri untuk membimbing isterinya ke arah yang lebih baik.

“Bila dah jadi suami ni, kita perlu banyak bersabar. Jangan terlalu tinggikan ego. Bukan mudah mak dan abah bertahan sehingga ke hari ini.”

Haji Daus berkongsi pengalamannya. Ketika dia berkahwin dengan isterinya, banyak ujian yang mendatang. Hampir 5 tahun berkahwin, barulah mereka mendapat zuriat.

Mungkin sudah ditakdirkan untuk mereka hanya memiliki seorang cahaya mata saja. Pernah juga isterinya memberi lampu hijau jika dia ingin berkahwin lagi. Bagi Haji Daus, anak bukan perkara yang perlu dititikberatkan untuk mendapat kebahagiaan rumah tangga.

“Dah lewat. Abah nak masuk bilik dulu. Daim pun jangan tidur lewat sangat.”

Daim tersenyum nipis. Dia turut bangun dan naik ketingkat atas. Pintu bilik dibuka perlahan. Takut mengganggu tidur si isteri. Keadaan bilik sudah bertukar gelap. Hanya lampu dari luar bilik menerangi bilik mereka.

Sebaik saja dia menutup pintu bilik, terasa pinggangnya dipeluk dari belakang. Hampir saja dia terjerit gara-gara terkejut.

Tergelak Raiqa. Memang sengaja dia mengenakan si suami. Lama pula menghilang ke bawah. Bau wangian si suami membuatkan dia sedikit tenang.

“Kenapa tutup lampu awal sangat ni? Tunggu abang ya?” bisik Daim dalam nada menggoda.

Raiqa yang tersedar arah tuju perbualan mereka, lantas melepaskan rangkulan di pinggang si suami. Belum sempat dia melarikan diri, lengannya ditarik sehingga dada mereka saling bertemu.

Mereka saling merenung. Rambut Raiqa yang mengurai di bahagian hadapan, diselitkan ke belakang telinga. Walaupun keadaan bilik sudah gelap, dia masih mampu melihat wajah isterinya dalam keadaan samar-samar.

“Akhirnya Rai jadi isteri abang juga. Abang takkan lupa hari bersejarah ni sampai akhir hayat abang.” Dahi isterinya dicium lama.

Terpejam rapat mata Raiqa. Entah kenapa timbul perasaan asing dalam dirinya.

“Mulai hari ni, abang akan jaga Rai. Rai dah jadi tanggungjawab abang. Susah senang Rai, abang akan ada di sisi.”

Terharu Raiqa. Leher suaminya dipeluk kemas. Walaupun dia masih belum pasti tentang perasaannya sekarang, yang dia tahu, dia sudah sayangkan Daim.

“Abang cintakan isteri abang. Sayang cintakan abang juga ke?”

Raiqa meleraikan pelukan. Terasa sukar untuk dia membalas kata-kata itu. Melihat renungan menggoda si suami, Raiqa terus mengambil peluang ini dengan menyatukan bibir mereka berdua. Dia tidak mahu menjawab soalan itu.

Terpejam rapat mata Daim menikmati kucupan itu. Dan apa yang berlaku selepas itu, menjadi kenangan terindah untuk mereka berdua.