DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 30 May 2022

Pernah Benci - Bab 7


HAMPIR ternganga Raiqa mendengar permintaan orang tua Daim. Tiba-tiba dia berasa sakit hati dengan syarat orang tua Daim. Nampak sangat keluarga lelaki ini tak sudi menerimanya sebagai menantu.

“Keluarga abang memang sengaja nak kenakan Rai ke?”

“Kenapa cakap macam tu?”

“Yalah. Abang kan dah beritahu mereka yang pak su cuba nak aniaya Rai. Kalau mereka jumpa, sah keadaan jadi kecoh nanti. Satu lagi, kenapa pula abang kena keluar dari rumah tu lepas kahwin?”

Bengang juga Raiqa. Dia baru berangan untuk tinggal di rumah banglo milik lelaki ini. Sebelum ini, dia hanya mampu melihat dari jauh. Tapi angan-angannya musnah dengan syarat yang diberi oleh Haji Daus.

“Kalau abah tak bagi syarat tu, abang memang berniat nak ajak Rai tinggal di tempat lain. Itu lebih baik. Dah tentu sayang tak selesa tinggal serumah bersama ibu bapa abang. Betul tak?”

“Abang ni terpengaruh dengan drama sangat agaknya. Tak semua menantu tak suka tinggal dengan mentua.”

‘Nak-nak lagi duduk dalam rumah besar. Dah tentu kerja dalam rumah tu tak perlu buat. Hanya harapkan orang gaji.’ Namun kata-kata itu hanya diluahkan dalam hati saja.

“Abang tak nak ada masalah pada kemudian hari. Sekarang ni pun mak dan abah masih dingin dengan abang. Mungkin ambil masa untuk pulihkan hubungan kami. Abah memang marah sangat dengan abang.”

“Kenapa? Sebab abang nak kahwin dengan Rai?”

Daim tersenyum pahit. Itu hanyalah salah satu sebab. Sebab utama, dah tentu tentang pembohongan yang dia katakan semalam.

“Abang minta maaf.”

“Kenapa?” Berdebar jantung Raiqa. Janganlah lelaki ini tak jadi berkahwin dengannya.

“Abang dah buat kesilapan besar. Abang dah tak ada cara lain untuk dapatkan persetujuan daripada mak dan abah.”

Tak sedap hati Raiqa dibuatnya. Jujur dia terkejut apabila Daim memberitahu yang ibu bapanya sudah bersetuju tentang rancangan mereka untuk berkahwin.

“Abang... abang terpaksa berbohong.”

“Abang cakap apa?”

Errr... abang cakap yang kita dah terlanjur.”

Tercengang Raiqa. Tak pernah terfikir yang lelaki ini sanggup memberi alasan begitu kepada orang tuanya.

“Sayang jangan marah. Abang... abang janji. Lepas aje kita kahwin, abang akan beritahu hal sebenar kepada abah dan mak.” Tangan Raiqa digenggam erat.

“Tak apalah. Benda dah jadi. Yang penting mereka setuju untuk terima Rai.”

Memanglah dia marah. Tak pasal-pasal, maruahnya dipandang buruk oleh orang tua Daim. Tapi ada betulnya kata Daim. Bukan mudah untuk orang tua itu menerima dirinya sebagai menantu.

“Esok Rai ikut abang balik rumah. Mak dan abah nak jumpa. Rumah sewa pun abang dah dapat. Insya-Allah, lepas kita kahwin, kita akan tinggal di sana.”

Ceria wajah Raiqa. Dah tentu rumah yang disewa oleh lelaki itu sama seperti rumah yang lelaki itu tinggal sekarang. Tak sabar pula untuk dia tinggal di sana. Tiba-tiba senyumannya berubah kendur. Takut membayangkan dia bakal bertemu dengan ibu bapa Daim.

“Kenapa ni? Tiba-tiba masam.”

“Rai risau. Macam mana kalau mak dan abah abang marahkan Rai?”

“Abang kenal orang tua abang. Mereka takkan marah Rai. Bagi mereka, abang punca masalah ni berlaku. Jangan takut ya. Abang ada dengan Rai.”

“Abang janji takkan tinggalkan Rai.”

“Abang janji.”

Nafas lega ditarik. Dia yakin Daim takkan mungkir janji. Sekarang dia hanya perlu mengambil hati orang tua Daim supaya menerima dirinya sebagai menantu.

 

TIDAK BERKELIP mata Raiqa saat menapak masuk ke dalam rumah Daim. Seperti yang dijangka, keadaan di rumah ini sangat mewah. Senyumannya semakin lebar. Terbayang dalam fikirannya yang dia bakal menjadi menantu tunggal di rumah ini.

Sofa yang dia duduk sekarang, diusap lembut. Jauh berbeza dengan perabot yang ada di rumah mak su. Senyuman penuh sinis terukir di bibirnya. Tak lama lagi dia akan buktikan kepada orang tua itu yang dia mampu hidup lebih sempurna berbanding kehidupan dulu.

Tiba-tiba Daim muncul bersama ibu bapanya. Raiqa betulkan duduk terlebih dahulu. Senyuman manis dihadiahkan kepada kedua-dua orang tua itu.

“Ini ke Raiqa?” soal Haji Daus.

“Ya, abah. Panggil dia Rai pun boleh.” Daim pandang ke arah Raiqa. Isyarat mata diberikan kepada si gadis untuk bersalam dengan emaknya.

Cepat-cepat Raiqa mendekati emak Daim. Tangan dihulurkan kepada Hajah Rogayah. Mujurlah wanita ini tidak menolak.

“Ibu bapa Rai masih ada?” soal Haji Daus.

“Dah lama mereka meninggal. Sejak umur Rai 10 tahun. Lepas mereka meninggal, Rai tinggal bersama mak su,” jawab Raiqa.

Haji Daus dan Hajah Rogayah saling berpandangan seketika.

“Daim ada ceritakan kepada pak cik tentang masalah Rai. Memandangkan Rai bakal isteri Daim, nak tak nak, kami terpaksa ambil tahu. Sebelum kamu berdua berkahwin, pak cik nak berjumpa dengan mereka,” jelas Haji Daus.

Raiqa tunduk menekur lantai. Perkara inilah yang melemahkannya.

“Esok bawa pak cik ke rumah Rai. Kami nak bincang tentang perkahwinan kamu berdua.” Haji Daus berkata lagi.

Hajah Rogayah merengus kasar. Ikutkan hati, mahu saja dia memaki hamun gadis ini. Daripada cara pakaian si gadis, dia memang tak berkenan.

“Umur Rai berapa tahun?” Kali ini barulah Hajah Rogayah bersuara.

“Tahun ni, 19 tahun.” Takut-takut dia menjawab. Daripada cara wanita ini memandangnya, jelas menunjukkan wanita ini tidak suka akan kehadirannya di sini.

“Umur baru setahun jagung dah pandai bercinta. Inilah akibatnya kalau budak yang kurang didikan daripada mak ayah. Kalau mak dan ayah kamu masih hidup, dah tentu mereka malu dapat tahu anak mereka terlanjur,” sindir Hajah Rogayah.

Terkelu Raiqa. Bibirnya diketap kuat. Sedaya upaya dia cuba bersabar.

“Mak... kenapa cakap macam tu?” tegur Daim.

“Daim diam! Sebab perempuan nilah Daim sanggup musnahkan masa depan sendiri. Sampai sanggup buat perkara terkutuk!” tempelak Hajah Rogayah.

“Sudah! Kita ajak Rai ke rumah kita bukan nak bergaduh. Tak ada gunanya Yah nak marah!” Tegas nada suara Haji Daus.

Raiqa dan Daim hanya mampu berdiam diri. Terima sajalah bebelan daripada orang tua itu. Memang salah mereka kerana terpaksa berbohong.

“Lepas ni Rai tinggal di mana?” Haji Daus menyoal.

Raiqa pandang ke arah Daim. Jujur dia tidak tahu ke mana hala tujunya selepas ini. Selepas dia keluar dari hotel, dia terus dibawa oleh Daim ke sini.

“Daim dah sewakan rumah,” balas Daim.

“Sewa rumah!” Hampir ternaik nada suara Hajah Rogayah. Anak matanya tajam menikam ke wajah Raiqa.

Gugup Raiqa. Aura wanita di hadapannya sekarang, betul-betul menakutkannya.

“Ya. Daim dah sewa rumah tu untuk kami tinggal bersama selepas berkahwin. Buat sementara waktu ni, Rai akan tinggal di sana.” Daim menjelaskan hal sebenar.

“Bukan Rai tapi Daim.” Haji Daus mencelah. Masing-masing yang ada di situ tercengang seketika.

“Abah nak Rai yang tinggal di sini selagi kamu berdua tak berkahwin. Biar Daim tinggal di sana. Hanya cara ini abah boleh pastikan Daim tak berjumpa dengan Rai sehingga majlis berlangsung. Abah tak nak kamu berdua buat kesilapan yang sama.” Haji Daus bersuara tegas.

Daim berdeham sambil mengusap belakang lehernya. Tahu sangat perkara yang dimaksudkan oleh si abah.

“Kenapa pula orang asing ni nak tinggal dalam rumah kita?” soal Hajah Rogayah tidak puas hati.

“Dia bakal menantu kita. Yah hilang ingatan ke?” Haji Daus mengingatkan isterinya.

“Yah tak lupalah, abang. Selagi dia tak berkahwin, dia tetap orang asing dalam rumah ni.” Hajah Rogayah menjeling tajam ke arah Raiqa.

“Jadi Yah sukalah kalau anak kita pergi ke rumah sewa untuk jumpa Rai senyap-senyap,” ujar Haji Daus.

Terdiam orang tua itu. Malu Raiqa dan Daim. Nampak sangat Haji Daus sudah masak dengan perangai Daim.

“Daim,” panggil Haji Daus.

“Ya, abah,” jawab si anak.

“Hujung minggu ni kamu berdua pergi kursus kahwin. Abah dah daftarkan. Selesai saja urusan di sana, majlis kamu berdua berlangsung hujung bulan ni.” Haji Daus memberi arahan.

Terkebil-kebil mata Raiqa. Hujung bulan ni dah tidak sampai 2 minggu. Cepatnya dia bakal berkahwin.

“Memandangkan Daim tak bekerja lagi, abah hanya buat majlis ringkas saja. Cukuplah kenduri kesyukuran,” terang Haji Daus.

“Eh, abang ni. Daim ni satu-satunya anak kita. Takkan abang tak nak buat majlis besar-besaran,” bebel Hajah Rogayah.

Nak tergelak Daim. Tadi bukan main lagi emak tak sukakan Raiqa. Sekarang boleh pula nak buat majlis besar-besaran untuk mereka.

Raiqa di sebelah sudah semakin gelisah. Takkan nak berkahwin sekadar buat majlis ringkas. Kata orang kaya. Kedekut sangat orang tua Daim.

“Kalau dia nak buat majlis besar-besaran, tunggu anak kita dah ada duit sendiri. Biar mereka cari duit sendiri untuk majlis mereka. Buat yang wajib sudah. Betul tak Rai?” tanya Haji Daus.

Tersentak Raiqa. Lambat-lambat dia mengangguk.

“Sekarang Daim pergi kemas baju dulu. Malam ni Daim bermalam di sana. Kalau nak datang ke sini, beritahu abah. Ingat, selagi kamu berdua tak berkahwin, abah tak benarkan kamu berdua berjumpa selain soal urusan perkahwinan.”

“Baik, abah.” Terpaksalah dia akur dengan arahan itu. Bergegas dia naik ke tingkat atas untuk mengemas pakaiannya untuk ke rumah sewa.

“Yah, pergi tunjukkan bilik tetamu kepada Rai. Biar dia guna bilik tu sepanjang tinggal di sini,” arah Haji Daus.

Masam mencuka wajah Hajah Rogayah. “Ikut mak cik.” Dia berkata tegas.

Bergegas dia mengikut langkah wanita ini ke sebuah bilik yang berada di tingkat bawah.

“Ini bilik tetamu. Bilik air pun dah ada dalam bilik. Dah tinggal di sini, jangan nak berangan buat rumah sendiri. Rajin-rajin tolong buat apa yang patut dalam rumah ni.”

“Baik, mak cik.” Raiqa masih memaniskan wajah.

Hajah Rogayah terus beredar sebaik saja pintu ditutup rapat.

Senyuman Raiqa mati saat kelibat orang tua tadi menghilang. Bibirnya diketap geram. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia melawan kata-kata sindiran bakal ibu mentuanya.

“Sombong. Kau tengoklah nanti. Daim pasti takkan biarkan aku hidup susah. Rumah ni, tetap akan jadi tempat tinggal kami.”

Punggung dihempas kasar di atas katil. Hatinya masih panas dengan sikap orang tua Daim. Terutamanya Haji Daus. Walaupun lelaki itu tidak marah, tapi jelas kata-kata

orang tua itu sangat pedas. Seolah-olah Haji Daus tahu selama ini dia hanya ingin jadikan Daim sebagai batu loncatan dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment