DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Janda Itu Milik Aku - Bab 10

BERADA di suasana kampung satu nikmat.
Setiap pagi halwa telinga didendangkan dengan kicauan
burung. Muzik semula jadi yang menyenangkan. Mata Mariam
bertebaran ke arah laman rumah yang luas. Bersih. Seawal
pukul 7 pagi dia sudah siap menyapu sampah di ruangan itu.
Diatur kaki ke belakang rumah. Pokok manggis
sebesar pemeluk dipandang menggoda. Buah manggis yang
sedang bergayutan dipandang ghairah. Air liur ditelan.
Benar-benar menggoda hati dan tekaknya. Musim buah
adalah satu musim yang amat dinantikannya.
Mariam pandang kiri kanan, belakang dan depan.
Sepi. Senyuman senget terlakar di bibirnya. Kain batik yang
tersarung ditarik ke atas dan dibuat cawat. Yang tinggal
seluar pendek paras paha.
Tanpa menunggu lama Mariam terus melompat
mencapai dahan yang paling bawah. Kedua kakinya diangkat
bergantungan di dahan yang sama. Matanya laju mengesan
dahan yang boleh dipijak oleh kakinya. Dia menguatkan
pegangan tangan sebelum mengimbang tubuh untuk dibawa
naik ke atas bagi memudahkannya untuk mencapai dahan
satu lagi.
Tidak sampai lima minit Mariam sudah sampai ke
puncak. Matanya meliar melihat buah manggis yang masak.
Ada yang sudah kehitaman menandakan yang buah itu sudah
ranum. Wajahnya melonjak ceria. Bahagia. Dia mengukuhkan
duduk kakinya sebelum mencapai sebiji buah manggis.
“Wah! Inilah nikmat buah segar dari pokok.
Hahaha...” Seulas isi manggis dimasukkan ke dalam
mulutnya. Mata terpejam rapat menikmati buah segar itu.
Sedap! Lepas sebiji, sebiji buah itu disantapnya. Tanpa dia
sedar yang dirinya sedang diperhatikan.
Dzulfahmi kacip gigi. Matanya masih memandang si
gadis yang masih tidak perasan akan kehadirannya. Tangan
disilang ke dada. Niat hati datang mahu berjumpa Mariam,
ada sesuatu yang hendak disampaikan. Namun, salam diberi
tidak berjawab.
Alih Dzul putuskan untuk melihat jerat burungnya
di belakang kawasan rumah Mak Senah. Ketika lalu di
bawah pokok manggis, dia terasa kulit buah manggis jatuh
menimpanya. Sangkanya ada beruk di pokok itu, rupanya
‘beruk jadian’.
Dzul masih menunggu dan memerhati. Tiada tanda
yang si gadis itu akan turun. Makin geram dengan Mariam.
Tidak malukah berperangai begini? Tahulah rumahnya di
hujung kampung, tapi laluan sini masih diguna pakai oleh
penduduk kampung. Mariam itu sudahlah perempuan.
Remaja! Hai, ikutkan hati hendak saja dia ‘lesing’ budak
seorang ni.
“Hoi, kau nak jadi beruk ke melantak atas pokok?”
sergah Dzul kuat. Tangan mencekak pinggang.
Hampir tergelincir kaki Mariam dek terkejut dengan
sergahan itu. Dia tunduk ke bawah, terpandang mata tajam
Dzul yang sedang menikamnya. Opps! Terus dikepit kakinya.
Alah, kenapa pula mamat ni yang ada kat sini? Malunya...
Sudah berapa lama agaknya Dzul berada di bawah
ini? Dzul tengok dia bercawat? Bongok! Ini semua salah diri
sendiri yang tidak mampu menahan godaan buah manggis.
Padahal boleh saja kait pakai galah tapi gatal juga mahu
panjat. Sekarang sendirilah yang malu. Melihat dia bercawat
ibarat melihat separuh dari tubuhnya. Auratnya!
“Turunlah bodoh!”
Kelam-kabut Mariam turun. Sebaik saja kaki
menjejak tanah, cawat dilucutkan. Dia betulkan ikatan
kainnya. Baju yang senget dikemaskan letaknya juga. Muka
yang berbahang dikawal sebaik mungkin. Sebal di hati
disimpan kemas supaya tidak terlihat di wajahnya.
Usahkan memandang Dzul, jeling pun dia tidak
sanggup. Inilah kali pertama lelaki itu melihat dia dalam
keadaan begini.
‘Allah, mana aku nak letak muka ni? Hal lain
bolehlah aku buat muka selamba badak, tapi hal ini...
sungguh memalukan!’
“Kau buat apa kat sini?” Akhirnya Mariam bersuara
setelah lama dirinya hanya menjadi mangsa mata helang
Dzul. Marahkah lelaki itu?
“Kau dah tak ada kerja ke Yam? Panjat pokok pakai
kain batik. Bercawat lagi! Kau ni tak ada perasaan malu ke?
Kau tu perempuan, Mariam. Kut ya pun nak panjat pokok
pakailah seluar panjang. Apa kat rumah kau dah kehabisan
seluar panjang? Nak aku belikan sedozen?” marah Dzul.
Panas pula hati Mariam mendengar bebelan Dzul.
Walaupun apa yang dikatakan lelaki itu ada benarnya, namun
hati dia tetap merasa marah. Siapakah lelaki itu untuk
menasihatinya? Kembang kempis hidung dia menahan
marah.
“Aku pakai short pants kan. Bukannya aku telanjang
bulat. Lagi pula tadi sebelum aku panjat, aku dah pastikan
tak ada sesiapa. Kau aje yang gatal nak lalu sini!” ujar Mariam
menyalahkan Dzul.
Ternganga Dzul apabila dikatakan gatal oleh Mariam.
Hai, sabar Dzul.
“Haa, mujur aku yang lalu. Kalau dibuatnya orang
lain, kau sangka kau masih boleh berdiri melawan macam
ni? Kalau aku cakap kau bangang, mesti kau marah. Gila-gila
punya marah. Tapi itulah hakikatnya, kau bangang. Lebih
dari bangang tau. Kau tu anak dara Mariam oi. Anak gadis
yang sudah mampu membangkitkan nafsu lelaki yang
memandang. Kau rasa dengan keadaan kau tadi, masih ada
ke yang hanya nak tengok saja. Ada ke?” hambur Dzul. Geram
dengan sikap sambil lewa gadis itu. Apabila ditegur ada saja
jawab balasnya.
Lagi pula bukannya Mariam tidak tahu dalam
kampung mereka ini tidak kira tua atau muda, semuanya
jenis miang keladi. Makin tua makin menjadi-jadi. Gatalnya
ya Allah... hanya Dia saja yang tahu. Umur tu dah layak pergi
masjid, duduk buat amal. Kubur kata mari, rumah kata pergi
tetapi masih juga tak insaf!
Yang paling tak menahan, boleh buat muka selamba
badak saja sedangkan semua penduduk kampung bercerita
tentang dia. Tak tahulah hilang ke mana perasaan malu itu.
Dzul teringat satu kes yang memang kecoh satu
kampung. Pak Cik Hamdan, tahap gatal dia memang tak
dapat nak ubat dah. Suatu hari, orang kampung bising dia
buat seorang perempuan mengandung. Perempuan tu pula
tak berapa cerdik, mudah mengikut. Apabila orang kampung
tanya, dia cakaplah si Hamdan gatal tu yang buat. Siap cerita
satu-satu lagi.
Itu yang Dzul bimbangkan dengan Mariam ini.
Sudahlah rumah Mak Senah jauh daripada orang sekitar,
mahu minta tolong pun payah jika terjadi apa-apa.
Mariam cekak pinggang. Berdesing telinga dia
mendengar kutukan Dzul. Sumpahan lelaki itu bagaikan
peluru berpandu tepat ke hatinya. Menghancur lumatkan
hati dia.
“Yang kau sibuk sangat kenapa? Hal aku, urusan
aku. Kau tak payah sibuk nak ‘sekolahkan’ aku. Aku masih
mampu jaga diri aku sendiri.” Angkuh bicara Mariam.
Buntang mata Dzul memandang Mariam. Senangnya
bercakap. Senanglah bercakap sebab hal itu belum terjadi
lagi. Mariam... Mariam... degil tidak pernah kenal tempatnya.
Dia tarik nafas dalam sebelum bersuara kembali.
“Mariam, aku bukan hendak menyibuk hal kau.
Aku nasihatkan kau kerana kau perempuan. Kau diciptakan
untuk kami, kaum Adam lindungi. Bukan menyakiti. Tapi
sesetengah Adam lebih memilih nafsu hingga sanggup
melukai sesuatu yang sepatutnya dilindungi. Aku tak nak kau
jadi sebahagian daripada kerakusan nafsu lelaki-lelaki yang
tak bertanggungjawab. Rambut manusia sama hitam, Yam.
Tapi hati...”
“Hati suatu yang sukar dijangka. Sukar ditelah apa
mahunya. Dan syaitan sentiasa ada untuk membolak-balikkan
hati-hati manusia ke arah kejahatan. Lagi pula kau dah akil
baligh, Yam. Dari rambut hingga ke hujung kaki, ia sudah
menjadi aurat yang wajib ditutup daripada pandangan lelaki
asing. Termasuk aku.”
“Kau tahu tak, malaikat pun tidak sudi dekat dengan
manusia yang suka berbogel. Malu! Kenapa? Aurat kau. Allah
juga malu melihat aurat kau. Inikan pula kau sendiri tak ada
rasa malu terhadap diri sendiri. Ya, aku tahu aku tak ada hak
untuk menegur lebih, sebab aku bukan alim. Aku sendiri
ada lemahnya. Cuma aku ingin kau sedar satu hakikat, yang
kau perempuan. Apa saja yang kau lakukan, ingatlah kau tu
perempuan. Itulah hakikat yang takkan pernah berubah. Yam,
apa yang kau miliki terlalu cantik untuk diperdagangkan
kepada pandangan mata syaitan di luar sana. Hargai diri kau
dengan melindungi diri kau. Bak kata pepatah, mencegah itu
lebih baik daripada merawat,” usai berkata-kata Dzul berlalu
meninggalkan Mariam yang terpinga.
Ayat Dzul meresap ke dalam hatinya. Melekat.
Kenapa dia merasakan yang ayat itu pelindungnya? Ayat itu
penuh kasih. Atau adakah Dzul menyukai dia?
‘Eh, mustahillah! Apa yang kau mengarut ni Mariam
oi. Dia ikhlas nasihatkan kau.’
‘Ya, dia ikhlas nasihatkan aku. Tapi hati aku...’
Tangannya menyentuh dada kiri. Dup dap dup dap.
Mariam menggeleng. Apa ni?
Syuh! Syuh! Jangan dekat.
Kaki diatur masuk ke dalam rumah. Segala rasa yang
cuba menumpang dihalau pergi. Tidak boleh dekat malah
menyinggah pun tidak boleh.
Jangan!

***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN MEI 2019***  

Janda Itu Milik Aku - Bab 9

MARIAM pandang Azfar yang siap dengan beg
sandangnya. Seperti yang dikatakan, malam ini abangnya
akan balik ke kolej semula. Misi kepulangan Azfar untuk
memujuk mak mereka batalkan pernikahan Mariam, gagal!
“Yam, abang minta maaf. Sebab abang...”
“Syhh, bukan salah abang. Dah takdir Yam kahwin
di usia muda. Apa kisah abang, ramai aje yang hidup bahagia
kahwin muda. Mungkin juga ini yang terbaik buat Yam atau
mak. Tak adalah nanti mak sakit mata dan telinga dengar
orang mengadu yang bukan-bukan tentang Yam,” ujar
Mariam tanpa nada.
Melihat wajah kosong si adik membuatkan rasa
bersalah Azfar makin menggunung tinggi. Keluhan berat
dilepaskan.
“Abang tak payah risaukan adik. Pergilah, kawan
abang dah lama tunggu tu. Kesian dia. Belajar rajin-rajin,
abang. Abang tu anak harapan mak.” Mariam tetap maniskan
bibirnya dengan senyuman walaupun hambar.
Sayu hati Azfar. Ditarik tubuh kecil itu ke dalam
pelukannya. Lalu mengucup lembut kepala itu. Dalam ralat
dia meninggalkan si adik.
Pemergian Azfar dihantar dengan pandangan kosong.
Kecewa? Terlalu! Walau dia tidak mengharap kepulangan
abangnya akan mengubah keputusan emak, namun jauh
di sudut hati tetap berharap. Berharap agar hati mak akan
lembut apabila dipujuk oleh Azfar. Kini dia perlu pasrah.
Segala apa yang dilakukan semuanya tidak akan mengubah
apa-apa.

MALAM ITU Dzul tidak mampu lelapkan matanya. Fikirannya
asyik memikirkan perubahan Mariam sejak dua tiga hari ini.
Apatah lagi apabila si gadis melatah ketika dibangkitkan isu
kahwin di usia muda. Kenapa? Paling ketara wajah itu kian
pudar serinya. Gelak tawa kian sepi dari bibir itu. Hanya
kata-kata serius dan matang sering diungkapkan seolah-olah
si gadis sentiasa berfikir.
Dari tidur dia bangun. Duduknya serba tidak kena.
Jam dinding dikerling sekilas, pukul 10 malam. Masih awal
bagi anak muda sepertinya untuk melelapkan mata. Malah
percayalah masih ada anak muda kampung yang sedang
melepak di kedai kopi atau mana-mana wakaf.
Bosan dengan mata yang tidak mahu lelap. Kepala
yang asyik fikirkan Mariam dia putuskan untuk keluar. Lepak
dengan Yunus lagi bagus. Sekurangnya bolehlah dia larikan
sedikit resah di hatinya ini.
Dzulfahmi keluar dari bilik. Kunci motor dicapai.
“Kamu nak ke mana ni?” tegur Mak Gayah.
“Rumah Yunus, mak. Ayah mana?”
“Surau. Mungkin ada mesyuarat atau majlis
apa-apalah tu yang sampai sekarang tak balik lagi. Kamu
pun jangan leka sangat borak dengan Yunus sampai lewat
malam,” pesan Mak Gayah sebelum Dzul keluar.
“Ya, mak!” laung Dzul dari anak tangga.
Enjin motor dihidupkan. Tanpa berlengah dia
memasukkan gear motornya. Perlahan-lahan Dzul membawa
motor Honda lampu bulat ayahnya. Di kawasan kampung
malam-malam begini tidak boleh bawa laju, bimbang ada
lembu atau kambing jiran tetangga yang terlepas dan
melintas.
Ketika melalui kawasan rimbunan buluh, hidung
Dzul disapa sesuatu. Bau yang cukup wangi. Air liur ditelan.
Teringat pesan maknya; jika terbau sesuatu yang wangi
jangan ditegur. Lidahnya digigit kuat.
‘Hai, takkanlah malam ni ‘dia’ nak menyapa aku
pula? Selalu tak pula dia menyapa.’ Keluh hati Dzul.
Entah macam mana, hati Dzul bagaikan dipaksa
menoleh ke arah rimbunan itu. Dan... matanya membulat
melihat susuk tubuh seorang gadis yang berpakaian kebaya
merah sedang melambai ke arahnya. Dengan pandangan
tajam. Meremang bulu romanya. Air liur makin laju
menuruni anak tekak. Throttle motor dipulas rapat supaya
segera meninggalkan kawasan itu.
Sampai saja di rumahnya, Dzul meninggalkan
motor tanpa sempat dimatikan enjinnya. Dia meluru ke
dalam biliknya. Diselimut tubuhnya yang menggigil. Peluh
bercucuran bagaikan dia berlari 1000 meter.
Mak Gayah terkejut melihat Dzul bergegas masuk
dengan enjin motor masih hidup. Dipandang pintu bilik
anaknya itu. Langkah diatur ke situ.
“Kenapa ni?” soal Mak Gayah pelik melihat Dzul
berselubung.
Senyap.
“Dzul!” panggil Mak Gayah lagi.
Lain pula Dzul. Panggilan Mak Gayah dirasakan
mendayu-dayu dan menyeramkan. Bergetar bibirnya.
“Hei, kamu ni kenapa Dzul?” Mak Gayah tarik
selimut Dzul. Geram apabila soalannya tidak bersambut.
“Mak... Dzul nak tidur.”
“Hah? Bukan tadi kamu nak pergi rumah Yunus ke?
Baru sepuluh minit kamu keluar dah balik. Kenapa ni? Atau
kamu...”
“Mak...” Meleret Dzul memanggil maknya. Tahu
sangat apa yang hendak disampaikan maknya itu.
Mak Gayah senyum. Sudah dapat meneka apa yang
terjadi kepada anaknya. Penakut juga anak bujangnya ini.
“Padan muka! Suka sangat merayau malam-malam.
Tu, enjin motor tu siapa nak matikan?”
“Maklah.”
“Huh! Tak kuasa mak. Kamu yang naik kamulah
yang matikan. Pergi sana,” ujar Mak Gayah sengaja mengusik
si anak.
“Alah, mak tak sayangkan Dzul ke? Mak...” Manja
suara Dzul memujuk Mak Gayah.
Menggeleng kepala Mak Gayah. Kasihan pula mahu
terusan mengusik.
“Yalah. Baca doa tu sebelum nak tidur. Karang...”
“Mak!” jerit Dzul.
‘Aduhai mak ni... sempat lagi tu kenakan aku. Huh!’

MELEDAK TAWA Yunus mendengar cerita Dzul. Hari ini dia
ke rumah sahabatnya itu apabila dimaklumkan oleh ayahnya
yang Dzul keteguran semalam. Itu pun Pak Mail yang
ceritakan hal itu.
“Sakanlah kau gelak. Kena pada batang hidung
sendiri baru kau tahu.”
Yunus jelir lidah. Ini julung kali dia dapat peluang
untuk gelakkan Dzul.
“Tapi kau kan jarang keluar malam. Kenapa semalam
kau keluar?”
“Hmm, tak ada apalah. Saja aje.”
“Ya ke?” Yunus pandang Dzul dengan riak tidak
percaya. Kemudian tawanya meletus lagi. Sungguh dia tidak
boleh lupakan cerita Dzul. Ini kalau Mariam tahu, pasti
sebulan dia bahankan si Dzul ni.
“Kau jangan berani nak buka cerita ni kat Mariam
ek,” pesan Dzul.
“Opps! Sejak bila kau boleh baca fikiran aku ni?
Jangan cakap sejak semalam. Hahaha...” Makin galak Yunus
ketawakan Dzul.
Dzul kacip gigi. Geram. Haih, ikutkan hati ada yang
makan pasir hari ini. “Kepala otak bendul kau tu tak payah
aku dapat keajaiban dah boleh baca. Otak jahat!” selar dia.
Sentap!
“Alah, sentap ke bro?” soal Yunus.
Dzul jeling maut. Lagi mahu tanya! Tercalar maruah
dia tau. Hesy, ini semua salah ayah. Kenapalah pergi cerita
pada ayah Yunus. Tak pasal-pasal dia jadi bahan usikan Yunus.
Sakit jiwa raga dia tau!
Enjin motor dihidupkan. Malas mahu layan sengal
Yunus. Lebih baik dia ke pekan. Ada sesuatu yang hendak
dicari.
“Weh, kau nak pergi mana?” Kelam-kabut Yunus
bangun mengejar Dzul yang mula menggerakkan motornya.
“Ikut suka akulah!” laung Dzul. Dia acah-acah mahu
tinggalkan Yunus.
“Nak ikutlah.” Yunus berlari ke arah Dzul. Pantas dia
mencelapak di tempat pembonceng.
Dzul simpan senyum. Tahu pun takut kena tinggal.
Senang saja nak handle mamat sengal seorang ini.
Tapi kan... bukankah nanti akan banyak soalan
daripada Yunus. Apa yang bakal dia beli nanti pasti
menimbulkan banyak persoalan lelaki itu?
Hmm... biarlah. Yunus saja pun. Yang penting misi
dia berjaya. Yang di sana lagi susah mahu dilentur berbanding
Yunus ini.

Janda Itu Milik Aku - Bab 8

MARIAM memikul guni yang berisi lada yang
dikutip di bahunya. Peluh yang merenek di dahi diseka dengan
hujung lengan baju. Nafas yang mengah ditarik perlahan.
Penat? Memang penat tapi seronok. Bukan saja dia
mendapat upah malahan kepuasan. Entah bagaimana harus
dia katakan bahawa apa yang dia lakukan walau kasar bukan
dengan niat untuk berlagak seperti lelaki. Lebih kepada
memenuhi kepuasan diri. Hanya dia yang tahu betapa dia
merasa puas dengan apa yang dilakukannya.
“Nak aku tolong ke?” Lembut bicara Dzul. Kasihan
dia melihat kesungguhan gadis itu.
“Tak payahlah. Aku masih mampu buat sendiri,”
tolak Mariam dingin. Kakinya melangkah meninggalkan
Dzulfahmi.
Dzul melepaskan keluhan kasar. Kadangkala
kedegilan Mariam menggugat kesabarannya. Dia dengan
Mariam bukanlah rapat sangat walaupun mereka berkawan
sejak kecil. Hanya sejak dua menjak ini sahaja mereka selalu
lepak bersama. Itu pun kerana Yunus. Tidak dinafikan ada
tikanya Mariam berkelakuan kasar namun ada sesuatu yang
menarik tentang si gadis itu. Sesuatu yang bisa membuatkan
hatinya bergetar.
Bibirnya mengukir senyum. Malu dengan bicara hati.
Usia masih muda sudah berbicara tentang hati. Perjalanan
hidup mereka masih jauh. Masih ada cita-cita dan impian
yang perlu digapai. Percayalah Dzulfahmi, andai Mariam yang
dijadikan untuk dia, gadis itu pasti akan menjadi miliknya.
Mariam bersandar pada batang pokok yang tinggi dan
rendang. Melepaskan lelah. Matanya tunak memandang Dzul
yang sedang melangkah mendekatinya. Dia cuba bertenang.
Hatinya sedikit keresahan dengan kehadiran Dzul. Mereka
selalu bertingkah tapi... kenapa dalam bertingkah itu ada satu
rasa yang dia sendiri sukar untuk gambarkan? Sakit hati tapi
suka. Benci tapi tidak marah.
“Kau orang dah siap ke? Dapat berapa guni?” soal
Yunus yang menyertai dia dan Dzul.
“Dua.”
Serentak mereka menjawabnya. Kemudian mata
mereka berbalas pandangan.
“Wah, sejak bila kau orang sehati sejiwa ni?” usik
Yunus dengan kenyitan mata nakalnya.
Dzul dan Mariam tengadah. Sehati sejiwa? Huh!
Sebala, semarah dan seangkatan dengannya adalah.
Fatihah labuhkan duduk di sebelah Mariam.
Kepalanya dilentokkan di bahu sahabat.
“Penat,” adu Fatihah.
“Memanglah penat Tihah oi. Kita tengah kerja bukan
main masak-masak,” sinis sindiran Yunus.
Dzul geleng kepala.
Mariam sengih.
Fatihah jeling tajam pada Yunus.
“Dah siap ke?” soal Pak Mustafa, bapa saudara Yunus.
“Dah, pak ngah,” ujar Yunus.
“Kalau dah, mari sini pak ngah timbang.” Pak Mustafa
menggamit keempat-empat remaja itu mendekatinya.
Penimbang yang disediakan tarik mendekat.
Usai menimbang dia memberikan upah mereka.
“Terima kasih sudi datang. Kalau ada masa datanglah lagi.
Dapat juga upah daripada kamu semua habiskan masa
merayau tu,” pesan Pak Mustafa yang sememangnya sudah
lali dengan budak ni semua.
“Ya, bos! Terima kasih atas upahnya.” Serentak
mereka menjawab siap tangan tabik ala-ala askar lagi.
“Lumayan juga upah ek?” ujar Yunus sambil
melayangkan not lima puluh di tangannya.
“Ya,” sokong Dzul.
Fatihah mengangguk. Hanya Mariam yang membisu.
Matanya menatap hasil usahanya yang pertama. Perasaannya?
Puas! Masihkah dia punya kesempatan untuk merasa begini?
“Yam, kau ni kan... Aku tengok sejak dua menjak ni
serius aje muka kau. Kenapa? Kau risau tak lulus SPM ke?
Apa nak susah, tak lulus kau nikah ajelah.” Selamba Yunus
mengenakan Mariam tanpa dia sedar apa yang dikatakannya
itu benar.
Langkah Mariam terhenti. Matanya mencerlung ke
arah Yunus.
Gerun Yunus melihat mata tajam itu. Dia tersilap
cakapkah? Aduh, mulut ni pun... Teringin saja dia cilikan
mulutnya sendiri.
“Kenapa eh kalau orang perempuan tak lulus dalam
pelajaran kena kahwin? Membebankan sangat ke? Kalau
lelaki yang tak lulus boleh pula dihalau bekerja. Beban sangat
ke orang perempuan ni? Sedangkan lelaki ke perempuan ke
sama aje. Ada hati dan perasaan. Ada keinginan. Tak semua
perempuan gedik nak kahwin awal.”
“Kau orang ingat kahwin ni seronok ke? Bab seks
seronoklah. Bab tanggungjawab, dosa pahala, siapa yang
tahu? Aku rimaslah. Sikit-sikit kahwin. Dunia semakin
majulah. Perempuan yang mundur dalam pendidikan pun
boleh berjaya dalam kerjaya bukan hanya dicampak ke dapur
sebagai isteri kepada seorang suami. Huh!”
Penuh perasaan Mariam meluahkan pendapatnya.
Kemudian dia berlalu meninggalkan tiga sahabatnya itu yang
mungkin tercengang dengan kata-katanya.
Perlukah masyarakat hari ini mencetekkan fikiran
dengan meletakkan anak perempuan sebagai satu bebanan?
Mariam pernah terbaca beberapa petikan dalam
talian. Pada zaman jahiliah, wanita mendapat penghormatan
yang amat sedikit sekali. Itu pun pada waktu-waktu tertentu
dan dalam kalangan sebahagian kecil bangsa Arab. Ramai
wanita dianiayai pada zaman itu.
Beberapa contoh terburuk perlakuan bahkan paling
kejam ialah menguburkan bayi hidup-hidup. Bayi perempuan
di kalangan Arab jahiliah amat menyedihkan dan sangat hina.
Banyak kes penguburan hidup-hidup bayi yang tidak berdosa.
Allah SWT ada berfirman yang maksudnya; “Dan
apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa
ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang
hari (menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan
marahnya dalam hati.” (Surah an-Nahl: ayat 58)
Mariam mengeluh lagi mengingatkan zaman
sebelum kedatangan Islam yang semakin menjadi urat dalam
kehidupan orang Islam kini.
Pada zaman Yahudi pula, sebahagian orang
menjadikan anak perempuan setaraf pelayan, dan seorang
ayahnya berhak menjualnya. Wanita boleh menjadi waris,
kecuali apabila dalam sesebuah keluarga tidak mempunyai
anak lelaki. Begitu rendahnya martabat orang perempuan
dipandang.
“Kaulah ni Yus! Cakap tak fikir dulu,” marah Fatihah
seraya mengejar langkah sahabatnya itu.
Yunus pandang Dzul.
Dzul pandang Yunus.
Masing-masing angkat bahu. Dah kenapa nak sentap?
“Salah ke apa yang aku cakap tadi? Lagipun aku
gurau ajelah. Minah tu yang sensitif sangat.”
“Datang bulan kut. Jomlah balik,” ajak Dzul. Dia
sendiri hairan dengan reaksi Mariam tadi. Bukannya mereka
tidak pernah bergurau, malah lebih kasar daripada itu pun
pernah. Tidak pula gadis itu sensitif.
Kenapa hari ini lain pula? Apakah ada kaitan dengan
dia?
Dalam kepala yang sarat dengan persoalan Dzul
mulakan langkah. Senja kian berlabuh. Berlama-lama di
hutan waktu begini, banyak balanya. Tidak pasal-pasal
muncul tetamu yang tidak diundang. Mengingatkan itu dia
melajukan langkahnya.
“Dzul, tunggulah aku!” laung Yunus yang
ketinggalan.
“Cepatlah! Nak senja dah ni,” balas Dzul seraya
membuka langkah untuk berlari.
Melihatkan Dzul yang mula berlari, Yunus juga
membuka langkahnya. Gila hendak melenggang di semak
samun ni.

Janda Itu Milik Aku - Bab 7

MARIAM berlari ke tempat lepak mereka. Hari
ini susah untuk dia lepaskan diri daripada emaknya. Semua
gara-gara pak cik-pak cik semalam yang datang mengadu.
Kononnya mewakili orang kampung mengadu perihal dia
dan sahabat-sahabatnya.
Apa salah mereka? Berkawan dan bermain saja pun.
Bukannya buat maksiat. Bukan duduk berkumpul hisap
dadah atau ganja pun. Bukan pergi mencuri ayam, kambing
orang kampung. Huh! Dasar mulut tempayan. Suka jaga tepi
kain orang! Cemuh Mariam.
Berasap telinga dia semalam kena leter dengan Mak
Senah. Habis semua diungkit oleh maknya itu.
“Kamu ni Yam memang memalukan mak, tahu
tak? Perangai mengalahkan jantan. Apa ke jadah kamu pergi
main meriam dengan Dzul dan Yunus tu?” jerit Mak Senah.
Penyapu lidi di tangan masih kemas dalam genggaman. Kalau
bukan sebab Azfar yang menahan sudah lembik si Mariam ini
dia kerjakan.
“Dahlah tu Senah oi. Budak tu bukan buat apa pun.
Yang kamu nak marah sangat ni kenapa?” soal Pak Mud.
Kadang-kadang dia naik hairan dengan isterinya ni. Suka
sangat dengar aduan orang kampung.
“Betul tu mak. Adik main meriam aje kan. Bukannya
diaorang duduk berduaan dalam gelap dan buat benda
bukan-bukan,” bela Azfar pula. Ikutkan hati dia, hendak saja
dia ‘basuh’ orang kampung yang datang mengadu tadi. Bukan
main lagi mengutuk adiknya. Tak padan dengan kopiah atas
kepala!
Mariam tunduk. Hatinya kosong. Telinganya hanya
mendengar bebelan sang emak yang saling bertingkah
dengan kata-kata bela daripada ayah dan abangnya. Kenapa?
Hati dia terluka. Tak pun sudah lali barangkali. Cuma dia rasa
terkilan sahaja.
“Memang patut aku kahwinkan kamu ni Yam. Ada
depan mata pun menyusahkan aku aje. Huh! Apa nak jadi
dengan kamu ni? Cubalah jadi perempuan. Duduk rumah.
Jangan asyik nak melilau sana sini. Siang malam asyik keluar
aje. Patut kamu ni jadi jantan dulu,” cemuh Mak Senah lagi.
Pak Mud dan Azfar menggeleng kepala. Tidak tahu
bagaimana mahu menasihati isterinya lagi. Wanita itu
memang terkenal dengan sikap degilnya.
Mariam bangun lalu masuk ke dalam biliknya. Makin
lama dia di situ, hatinya makin terhiris. Dia bimbang hilang
segala sisa hormat yang masih ada di hati buat maknya itu.
Bunyi kicauan burung mengembalikan Mariam
daripada lamunannya. Tengah berjalan pun boleh
mengelamun. Kalau tersepak dan jatuh, malu. Hadoi!
Tergeleng kepala dia sendiri dengan senyum sinis. Sinis pada
dirinya sendiri.
Apa yang terjadi semalam menguatkan lagi tekad
emak untuk teruskan niat itu. Kahwinkan dia dengan si
Muslim mana entah. Katanya anak orang kaya. Entah ya
ke tidak kayanya. Tidak menahan, umur lelaki itu lebih tua
daripada dirinya. Jangan berpangkat datuk sudah. Memang
dia lari sungguh kali ini.
Haa, sebut pasal hal semalam, pak cik-pak cik yang
datang mengadu tu, perangai anak-anak mereka lebih kurang
Mariam juga malah lebih lagipun ada. Malaun kampung dan
setan kampung. Depan mak ayah, pijak semut tak mati.
Belakang keluarga, gajah pun mati mereka pijak.
Anak guru mengaji tu; setiap malam jumpa jantan
di hujung kampung. Ada orang kampung bercerita? Tak ada!
Anak penghulu kampung; berjudi laga ayam sampai kena
tangkap dengan polis, tidak ada pula yang mahu buat liputan.
Itu belum lagi yang suka menghendap dan kacau anak dara
orang. Huh!
Anak lelaki Pak Suh yang sama umur dengan dia,
sudah belajar hisap rokok. Dan sekarang sedang berjinak pula
dengan pil kuda. Ada mereka ambil tahu? Tidak! Inilah kata
pepatah; semut seberang laut nampak sedangkan gajah di
hadapan mata tak nampak. Inilah sikap manusia suka tengok
carik kain orang. Sedangkan kain sendiri carik dipejam mata.
Mariam lepas nafas lelah. Matanya melilau sekitar
wakaf itu. Tiada bayang Yunus, Dzul mahupun Fatihah. Aik,
selalunya kawan-kawannya tidak pernah lewat. Ke mana pula
mereka bertiga ini? Sambil menunggu, Mariam labuhkan
duduk atas simen wakaf. Matanya memandang jauh ke padang
bola yang masih lengang. Sikit masa lagi akan penuhlah
padang itu dengan anak muda dari kampung sebelah yang
datang bermain bola sepak.
Kemudian matanya beralih pula ke kawasan yang
lebih lapang namun bertanda. Lama matanya menatap
kawasan itu. Dia sedar suatu masa nanti semua manusia akan
berkampung di situ. Kembali kepada tempat asalnya. Kubur!
Ya, di wakaf tanah perkuburan inilah tempat wajib mereka
lepak.
Bibirnya mengukir senyuman. Tempat pilihannya
ini selalu disoal oleh Fatihah. Apa tidaknya, anak-anak muda
sekarang dimomokkan dengan pelbagai cerita hantu jika
melibatkan kubur. Sedangkan dalam Islam kita digalakkan
menziarahi kubur sebab ia boleh mengingatkan kita tentang
mati. Supaya sesekali manusia yang bersifat alpa ini ditampar
dengan realiti bahawa tempat kembali kita adalah tanah.
Apa yang dibawa bersama di alam sana adalah kain
putih yang membaluti tubuh, diikat dengan lima ikatan
ditemani dengan amalan. Itu pun jika dipenuhi dengan
amalan. Jika sebaliknya, menangislah merayu pada Allah.
“Kau lambat!”
Mariam berpaling sebaik saja disapa oleh satu
suara. Berkerut kening dia melihat tiga makhluk itu sedang
memandangnya dengan wajah tegang. Bukankah dia yang
datang dahulu? Kenapa pula dia dikatakan lambat?
“Eh, aku sampai dari tadi lagilah. Kau orang yang
tak ada. Kau...”
“Weh, kita orang dah sampai tadi lagi. Tapi kita
orang pergi lubuk tu sekejap. Tunggu kau punyalah lama.”
Menceceh Fatihah dengan kelewatan Mariam.
“Ooo... eh? Hehehe. Maaf.” Mariam garu kepala.
Yunus senyum senget. Dzul sudah lama duduk di
atas wakaf. Penat ikut dua budak senget itu mengintai ikan.
Konon hendak mengail. Sekali seekor ikan pun tak nampak.
Padan muka!
“Kenapa kau lambat?” soal Fatihah seraya
melabuhkan duduk di sebelah Dzul dan Yunus.
Mariam berdiri berhadapan mereka bertiga. Senyum
hambar diukirkan.
“Hmm, mak aku tak bagi aku keluar. Sebabkan hal
semalamlah. Huh! Entah apa kena dengan pak cik tu semua,
sibuk nak mengadu hal aku. Macamlah selama ini aku makan
guna beras rumah diaorang!” marah Mariam.
Ikatan rambut yang terasa longgar diketatkan.
Kedua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar kargo.
Kakinya terkangkang sedikit.
Dzulfahmi yang sedang memerhatikan Mariam
menjuihkan bibirnya. Sikap gadis itu kadang-kadang
membuatkan dia rasa geram. Keliru. Kalau sudah perempuan
mengapa perlu berlagak seperti lelaki?
“Dah, jomlah. Lambat nanti apa pun tak ada,” ujar
Yunus.
“Nak ke mana ni?” soal Mariam memulakan langkah
seiring dengan tiga sahabatnya itu.
Dzul kertap gigi. Dari tadi dia perasan yang Mariam
seolah-olah mengelak daripada menegurnya. Usahkan tegur,
pandang dia pun gadis itu tidak mahu. Halimunankah dia?
“Tangkap ikan laga nak?” usul Yunus.
Pap!
Laju tangan Mariam mengetuk kepala Yunus.
Menyeringai Yunus kesakitan. Matanya menjegil ke
arah Mariam.
“Gila!”
“Kaulah gila. Tak ada benda lain ke nak buat daripada
cari ikan laga tu?”
Fatihah simpan senyum. Padan muka. Sudah tahu
yang si Mariam ni tidak suka tangkap ikan laga, diusulkan
juga hal itu. Sengaja mencari penyakit namanya itu.
Majoriti penduduk kampung ini memang suka
akan hal ini. Tangkap ikan laga dan dijadikan pertaruhan.
Sepertinya tabiat ini sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk
kampung tidak kira golongan muda mahupun tua.
Kedengaran hal ini remeh dan seperti tidak masuk
akal. Yalah, judi melalui laga ikan. Apa yang dapat? Itulah
hakikatnya kegiatan judi dalam kalangan orang kampung.
Benda seremeh itu pun boleh dijadikan alat untuk memuaskan
nafsu.
Jika hendak dibandingkan kegiatan judi di bandar
dan kampung sememangnya jauh bezanya. Ibarat langit
dan bumi. Namun kesannya tetap sama. Hukumnya juga
tetap sama. Haram! Walaupun pertaruhannya sedikit, hatta
mempertaruhkan makanan sekalipun ia tetap digelar judi.
Hasil haram yang dimasukkan ke dalam perut hanya
membuatkan hati menjadi hitam. Daripada sekecil-kecil
judi inilah mula menjadi barah. Menjadi darah daging.
Lihatlah sekarang, bukan sahaja ikan laga dijadikan alat judi.
Kadang-kadang pertandingan wau, bola sepak dan belalang
cengkerik pun boleh dijadikan alat judi. Sungguh kasihan
mereka yang jadi hamba perjudian. Menjadi hamba penyakit
hati!
Dalam Surah al-Maidah; ayat 90-91, Allah berfirman;
Hai, orang-orang yang beriman,
sesungguhnya arak, judi, berhala dan
mengundi nasib adalah perbuatan keji
termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah
perbuatan itu agar kalian mendapat
keberuntungan. Sesungguhnya syaitan
itu bermaksud menimbulkan permusuhan
dan kebencian di antara kalian dengan
khamr dan judi, menghalang kalian
dari mengingati Allah dan solat. Maka
berhentilah kalian dari mengerjakan
pekerjaan itu.
“Kau nak laga ikan pula ke Yus?” soal Mariam.
“Suka-suka aje,” jawab Yunus dengan tangan
menggaru pelipis. Muka Mariam tak dipandang.
“Yalah sangat tu. Macamlah aku tak kenal kau.
Mudah sangat ikut ajakan orang. Hei, kau tak takut halal
haram ke? Tak takut ke nanti kau mati, ikan tu pula lagakan
kau. Kau ingat dia tak sakit dibuat macam tu? Kalaulah Allah
bagi dia mulut bercakap macam kau, mahu dia maki hamun
kau orang, tahu!” tempelak Mariam dengan perasaan geram
yang membuku.
“Jangan mulakan Yus. Nanti akan jadi nadi
dalam hidup kau. Judi ni ibarat penyakit berjangkit dan
umpama barah. Sekali berjangkit takkan mudah untuk
kau tinggalkannya. Susah nak ubatnya nanti. Jadi, jangan
mulakan sesuatu yang kau sudah tahu hasilnya nanti apa.
Macam mana hidup kau jika terlibat dengannya? Memanglah
kau anggap ini bukan apa-apa tapi percayalah sekali kau
terlibat ia akan jadi biasa. Sebab kau mula rasa seronok dan
nakkan lagi. Malah hati apabila seiring dengan nafsu dia
akan mula menyukai keseronokan apa yang nafsu inginkan,”
sambung Mariam lembut.
Yunus terkedu dengan apa yang dikatakan Mariam
itu. Tidak percaya yang apa yang didengarinya itu dari mulut
seorang gadis yang nakal. Yang tidak pernah serius dalam
kata-kata.
Fatihah ukir senyum. Itulah Mariam. Jangan
menyangka sahabatnya itu tidak punya ilmu di dada. Tidak
petah bicaranya. Mariam gadis biasa yang mempunyai prinsip
yang ringkas. Tidak perlu menonjol pada suatu hal yang tidak
perlu. Itu sahaja!
Dzul mencebik namun kagum. Hatinya gatal ingin
menduga si gadis.
“Yang kau sentuh Yus tu tak haram ke? Ingat sikit
kau tu perempuan dan Yus ni lelaki. Batasan antara kau
orang, kena berpada-pada. Nak menegur orang, diri sendiri
pun tak betul,” sinis ayat Dzul bagaikan pedang menusuk ke
dalam telinga Mariam.
Kaki yang melangkah terhenti. Tangan dicekak ke
pinggang. Nafasnya turun naik. Sindiran Dzul benar-benar
menggoncang kesabarannya. Salahkah dia berniat baik
menegur sahabat sendiri? Jika Dzul ingin menegur dia,
dengan senang hati dia terima. Tapi bukan dalam bentuk
sindiran begini. Menyakitkan!
Agama itu nasihat! Agama itu kelembutan! Agama
itu kesopanan!
“Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku ni?”
Wajah menyinga ditayangkan.
“Bukan tak puas hati. Aku cakap apa yang betul,
kan? Kau tegur Yus tapi kau pun sama. Berlagak macam
lelaki. Buat semua benda yang lelaki buat. Aurat kau tak
tutup sempurna. Diri sendiri tak sempurna ada hati nak
tegur orang!” ujar Dzul tanpa rasa bersalah. Dari niat mahu
menduga, lain pula jadinya.
Makin radang hati Mariam. Tajam anak matanya
mencerun kepada Dzul. Bak mata helang yang sedia mencarik
mangsanya.
Fatihah dan Yunus yang menjadi pemerhati garu
kepala. Tidak tahu hendak buat apa dengan dua makhluk ini.
“Ooo, jadi inilah pemikiran kau selama ini? Sempit.
Kolot. Disebabkan pemikiran beginilah, orang Melayu tak
maju. Disebabkan pemikiran beginilah, orang Melayu tak
mampu berjaya. Tak boleh menjadi yang terbaik. Kerana apa?
Kerana sikap pentingkan diri. Kerana sikap berpegang pada
prinsip yang salah.”
“Hanya orang yang baik mampu menegur kepada
kebaikan. Sedangkan pendosa hanya kekal pendosa. Untuk
menegur malah untuk berbicara tentang kebaikan pun
dipandang serong. Sedangkan dalam Islam tak pernah
membataskan hak dalam memberi nasihat sesama sendiri.
Yang mana baik ambil jadikan teladan. Apa yang buruk
jadikan sempadan. Itu pun tak boleh fikir ke?” selar Mariam
dengan dada yang berombak laju.
“Lagi satu, nak menegur orang tu jaga nada. Dalam
Islam sudah menggariskan cara-caranya. Jangan main bedal
aje bila nak cakap. Aku ni walaupun kasar, belum lagi buta
hati nak terima teguran orang kalau kena caranya. Aku ni
juga, bukannya sampai ke mati nak begini. Sampai masa dan
ketika aku akan berubah juga.”
“Ajal tu nak datang tak tunggu tua atau muda,” selar
Dzul lagi.
“Hmm, tahu pun kau ajal nak datang tak tunggu
tua atau muda. Makanya, jangan sibuk mengata orang tapi
diri sendiri pun sama aje. Ambillah masa yang ada ini untuk
menilai diri masing-masing. Menjadi manusia yang terbaik
bersama-sama. Ada faham Encik Dzulfahmi?”
“Oi, dahlah... Sudah-sudahlah tu bertikam lidah kau
orang ni. Lupakan semua tu. Jom ikut aku pergi kebun lada
pak cik aku. Boleh ambil upah kutip lada. Ada juga faedahnya,”
ujar Yunus seraya menyambung langkah yang terhenti tadi.
Tanpa menunggu lama Fatihah dan Mariam
mengatur langkah mengikut Yunus. Hanya selepas beberapa
saat barulah Dzul turut mengikut.
Hatinya? Ada rasa kagum yang bertamu. Ada satu
rasa yang lain mula menyapa hati. Senyuman terukir di
bibirnya.
Mariam unik! Hehehe...

Janda Itu Milik Aku - Bab 6

SETIAP pagi lena Mariam akan dikejutkan
dengan bunyi kokokan ayam jantan. Perlahan-lahan dia
membuka matanya. Nafas berat dihela perlahan sementara
selimut ditolak ke tepi.
Mariam bergerak ke arah jendela lalu dikuak jendela
itu berhati-hati. Spontan bibirnya mengukir senyum mata
sepasang matanya menangkap daunan yang masih cantik
dihiasi embunan pagi. Dia tarik nafas dalam, menghirup
udara yang masih berbau hujan yang menyegarkan.
Hembusan angin pagi menampar wajahnya terasa
nyaman dan menyenangkan. Sekurangnya kedamaian pagi
ini bisa menghilangkan resah di hati walau cuma seketika.
Semalaman dia berfikir mengenai hajat itu dan dia masih
tidak mampu merelakan hatinya untuk menerima. Malahan
hatinya makin memberontak. Mariam kelemasan dengan ini
semua.
Jika diikutkan hati remajanya, dia mahu pergi jauh
daripada semua ini. Dia mahu hilangkan diri biar mak tidak
jumpa dirinya lagi. Walau begitu, dirinya sebagai seorang
anak tidak sanggup melukai sekeping hati milik si ibu. Dia
masih belum mahu menempah neraka di atas talian anak
derhaka.
Setelah puas menenangkan diri, Mariam berjalan ke
satu sudut bilik. Bilik tidurnya tidaklah seluas mana, hanya
memuatkan sebuah katil kelamin dan sedikit ruang untuk dia
bergerak sana sini. Tuala dan kain batik dicapai lalu menuju
ke bilik air. Dia melajukan langkah kakinya agar tidak
terserempak dengan maknya.
Pili air dibuka. Tangannya menyentuh air. Sejuk!
Menggigil tubuh. Gigi dikacip rapat. Tanpa menunggu lama,
dia terus mencebok air dan menjirus ke tubuhnya. Tiga kali
jirusan Mariam naik ke biliknya.
Usai solat subuh dia masih berteleku atas tikar
sejadah. Lidahnya basah berzikir memuji Allah. Semoga
dengan itu hatinya tenang. Dia akan reda. Rasa sakit hati
pada maknya berlalu seperti air hujan. Senakal dia, dia masih
tahu di mana kedudukannya sebagai seorang anak. Dia juga
tahu sebanyak mana pun dia mencipta alasan untuk menolak,
pengakhirannya dia harus terima juga.
“Yam tak keluar lepak dengan Fatihah ke pagi ni?”
ujar Azfar selanjur duduk di sisi si adik yang sedari tadi
termenung. Sejak semalam dia tidak mendengar suara ceria
itu. Dia merindui adiknya yang dahulu. Yang periang, petah
berbicara bercerita tentang aktiviti sehariannya dengan
Fatihah, Yunus dan Dzul.
“Petang kut abang. Pagi-pagi macam ni anak dara tu
berlingkar dalam kain selimut lagi,” kutuk Mariam.
Azfar sengih. Biasalah anak dara zaman sekarang.
Kerja rumah semua mak yang lakukan. Mereka apa lagi naik
lemaklah.
“Abang lama ke balik ni?” soal Mariam setelah lama
mereka berdiam.
“Hmm, taklah lama pun. Petang atau malam nanti
abang balik kolej balik. Tumpang kawan abang. Yang Yam
ni, tak nak cari kerja ke? Timba pengalaman,” ujar Azfar.
Dia pandang wajah muram si adik. Simpati dia dengan
nasib adiknya. Puas dia memujuk mak semalam, namun
jawapannya tetap sama. Degil sungguh hati emaknya ni.
“Hahaha, macamlah abang tak kenal mak abang tu,”
sinis suara Mariam.
Azfar kerut kening. Dia kurang senang dengan ayat
‘mak abang’. Dia boleh bau nada jauh hati di sebalik kata-kata
itu. Rasa bersalah menghimpit malah makin kuat sementelah
ini semua terjadi kerana dirinya. Malahan dia rasa kerdil
sangat sebagai seorang abang kerana tidak mampu membela
nasib adik sendiri. Emak melebihkan dia hanya kerana dia
anak lelaki sulung yang bakal menjadi tonggak keluarga.
Azfar mengeluh. Berat tanggungjawab itu!
“Mak Yam juga, kan.” Lembut suara Azfar seakan
memujuk.
Senyum sinis terukir di bibir Mariam. Pandangan
ditebar ke dada langit. Matahari kian galak memunculkan
diri. Mak dia? Ya, betul Mak Senah mak kandung dia, cuma
layanan mak padanya tidak menggambarkan yang mereka itu
anak dan mak kandung.
Kadang-kadang dia sendiri tertanya-tanya, kenapa
emak selalu lebihkan Azfar daripadanya? Kenapa dia perlu
berkorban hanya kerana dia anak perempuan? Namun di
hujungnya, Mariam hanya mampu menghadapi kenyataan
ini dengan pasrah. Dia selalu memujuk hati sendiri dengan
berkata; ‘tidak ada mak yang tidak sayangkan anak.’
“Yam, apa pun yang mak buat mesti ada sebabnya.
Pasti semua yang terbaik untuk anak-anak. Jangan pernah
salah faham dengan mak. Yam, anak yang mak kandung dan
lahirkan. Sama macam abang. Anak yang dilahirkan dengan
nyawa yang menjadi galang ganti. Jadi jangan ragu dengan
kasih sayang mak,” pujuk Azfar. Dia tahu tidak adil untuk
dia berkata begitu sedangkan semua ini terjadi kerana dia.
Namun, Azfar tetap mahu katakan. Dia tidak mahu ada benci
atau sakit hati di hati adiknya pada mak.
Mariam tersenyum ke arah Azfar. Hambar. “Entahlah
abang.”
Ya, dia akui apa yang dikatakan oleh abangnya itu
ada benarnya. Tiada seorang ibu yang mahukan keburukan
buat anak mereka. Setiap ibu di dunia ini akan membuat
keputusan yang mereka fikir itu yang terbaik buat anak-anak.
Sedangkan mereka terlupa sesuatu; buruk dan baik itu akan
ada tidak kira bagaimana hidup ini diputuskan. Dan, tidak
semestinya percaturan orang tua itu adalah yang terbaik.
Sejujurnya, jika ditanya akan perasaannya kala ini dia
tidak tahu. Marah atau sudah reda sepenuhnya kah? Apakah
salah dia dilahirkan sebagai perempuan? Salah diakah jika dia
punya impian untuk digapai? Tidak normalkah begitu?
Kenapa emak perlu berfikiran sekolot ini? Anak
perempuan akhirnya di dapur juga! Huh! Walaupun zaman
ini bukan semaju era 2020 akan datang tapi sudah berapa
ramai perempuan yang berjaya dalam pelajaran, pekerjaan
dan juga perkahwinan.
‘Ah, kenapa aku terjebak dalam hal sebegini?
Perlukah aku lupakan semua impian aku? Sudahlah
dijodohkan dengan lelaki yang tak pernah aku kenal. Entah
kan gay ke... bapuk ke... Hesy, simpang malaikat 44!’
“Assalamualaikum.” Muncul Dzulfahmi bersama
dengan Yunus di hadapan rumah Mariam.
Lamunan Mariam terhenti dengan kehadiran dua
sahabatnya itu. Dia lemparkan senyum nipis.
“Waalaikummusalam. Dzul, Yus. Nak ke mana ni?”
tegur Azfar ramah.
“Datang sinilah. Nak jumpa adik kesayangan abang
ni,” ujar Yunus.
“Ooo, nak ke mana?” soal Azfar lagi. Matanya perasan
renungan Dzulfahmi yang sekejap-sekejap singgah di wajah
adiknya. Dia kerling Mariam yang masih membatu.
“Tak ada ke mana. Ingat nak ajak Mariam cari buluh.
Nak buat meriam buluh. Dah lama tak buat, gian pula,”
ramah Yunus menjawab soalan Azfar. Sengih.
“Wah... seronok tu.” Teruja suara Azfar. Dia pun
merindui permainan yang sudah lama ditinggalkannya itu.
“Tapi bahaya tau. Kamu tak dengar dalam berita
berapa ramai budak-budak yang hancur tangan, kaki dan
melecur tubuh kerana main mercun. Inikan pula meriam
buluh tu,” sambung Azfar lagi.
“Hehehe...” Yunus menyengih. Dia garu kepala
mendengar kata-kata Azfar.
“Nak pergi tak?” Dzul pula bersuara mengajak
Mariam. Dalam hati dia kehairanan. Riak wajah gadis itu saat
ini seperti ada sesuatu telah terjadi. Semalam bukan main
suka lagi apabila diajak buat meriam buluh. Pagi ni, lain pula
riaknya. Kenapa?
“Bolehlah. Tunggu kejap.” Mariam bangun berlalu
ke dalam rumah. Seminit kemudian dia keluar dengan topi
di kepala.
“Jom. Abang, beritahu mak yang Yam keluar dengan
diaorang ek.” Laju kaki Mariam melangkah meninggalkan
kedua makhluk itu.
Azfar hanya menggelengkan kepalanya. Dia hanya
menghantar pemergian adiknya dengan pandangan kasihan.
Dunia Mariam masih panjang untuk diterokai. Adiknya masih
muda untuk bergelar isteri. Tidak nampakkah emaknya akan
semua ini?

DIA BERNYANYI kecil menghiburkan hati. Tangannya laju
memilih batang buluh yang hendak dibuat meriam nanti.
“Kau nak buat kat mana ni?” Mariam menyoal sambil
tangannya menebang batang buluh yang sudah berkenan di
hati. Menepati syarat untuk dijadikan meriam.
“Kat depan rumah kaulah. Tak adalah nanti kena
jerkah. Hahaha,” ujar Yunus.
“Okey.”
Dzul menolong Mariam menarik buluh tersebut
untuk dibawa keluar. Sesekali dia pandang wajah kosong
gadis itu. Entah kenapa dia dapat merasakan ada sesuatu
yang disorok kawannya itu. Ingin bertanya tapi Yunus ada
sama pula. Terasa ini bukan masa yang sesuai. Nantilah dia
bertanya.
Peluh yang merenek di dahi dilap kasar. Akhirnya
siap juga meriam buluh mereka. Masing-masing tersengih
puas hati. Malam ini akan bermula malam pesta meriam
buluh.
“Wah, nak cuba tak?” soal Yunus dengan wajah
teruja.
“Gila kau! Nak kena hambat dengan batang kayu ke?
Siang hari ni orang nak tidurlah,” marah Dzul.
“Alah, malam pun orang nak tidur juga,” pangkah
Yunus tidak puas hati kerana keinginannya ditolak.
“Malam lain. Kalau kena hambat pun kita boleh lari.
Menyorok kat mana-mana, tak ada orang nampak,” ujar Dzul
menjelaskan niatnya.
“Haah, betul juga kan.” Yunus garu kepalanya.
“Dahlah, aku nak balik makan. Laparlah. Malam
nanti lepas maghrib tau, jumpa kat sini. Jangan lupa ajak si
Fatihah tu juga,” pesan Mariam.
“Fatihah? Kau tahu kan dia tak suka benda alah ni.
Penakut!” cemuh Yunus.
“Lantaklah dia. Janji aku nak dia ada sekali.”
Yunus dan Dzul bertukar pandangan. Ini mesti
Mariam ada niat mahu mengenakan sahabat baiknya itu.
“Beres!” Serentak itu keduanya menjawab.
Mereka berpisah tengah hari itu membawa haluan
masing-masing.
Mariam melangkah dengan semangat baharu. Apa
pun yang akan jadi pada masa depan, bukanlah urusannya. Itu
adalah urusan Allah. Dia akan berusaha, berdoa dan belajar
menerima. Bersangka baik. Ya, bersangka baik mungkin ada
sesuatu yang Allah telah persiapkan untuknya.

MALAM ITU seperti yang dijanjikan mereka berkumpul di
bawah pokok manggis itu. Pelita, obor dan meriam buluh
sedia menanti. Semangat Mariam berkobar malam ini. Sel-sel
otak jahat dia bergabung dengan elok. Dia pandang Fatihah
dan Dzul dengan pandangan yang penuh makna. Mangsa dia
yang utama.
“Jom,” ajak Mariam. Kedua tapak tangannya digosok.
Tidak sabar.
Dzul pandang Mariam. Gadis itu hanya
berpenampilan ringkas sahaja. Dengan tracksuit dilipat
sampai betis. T-shirt lengan pendek dan rambut diikat tocang
kuda. Haa, inilah satu kelebihan Mariam walaupun dia lasak.
Perangai mengalahkan jantan, tapi suka simpan rambut
panjang. Tidak pernah lagi dia melihat gadis itu berambut
pendek.
“Ehem.” Yunus berdeham. Keningnya diangkat saat
matanya bertembung dengan anak mata Dzul.
Kelam-kabut Dzul berpaling ke lain. Alahai,
terkantoi pula dengan Yunus.
Fatihah sudah membulat mata melihat objek di
hadapannya itu. Gila! Kenapa Mariam boleh buat balik
perangai gila ini? Dia berundur ke belakang. Seram!
“Weh, tak payah nak lari ek.” Tangan Fatihah pantas
Mariam tarik.
“Alah, aku tak naklah. Ni kalau ayah aku tahu, satu
kampung dia hambat aku tau.” Fatihah geleng kepala. Dia
cuba tarik tangan yang dipegang kejap oleh Mariam.
“Ooo, siapa yang dah jejak sini jangan harap boleh lari
ek. Wajib setiap orang main sekali. Tak ada alasan!” Mariam
tersenyum senget. Matanya bersilih ganti memandang
Fatihah dan Dzul. Muka berkerut mereka berdua mencuit
hatinya.
Dum! Satu...
Dum! Dua...
Dum! Tiga...
Fatihah lembik lutut. Telinga dipekap dengan kedua
tapak tangannya. Benci! Dia boleh ikut tangkap ikan, lastik
burung tapi tidak yang satu ini. Dibuatnya masa meletup tu,
buluh tu pecah bagaimana? Menggeletar tubuhnya. Tidak
dapat dia bayangkan jika apa yang dia fikirkan itu menjadi
kenyataan.
Yunus dan Mariam tersenyum puas hati. Puas hati
dengan tahap bunyi letupan yang bergema. Seronok? Terlalu
seronok! Selalunya mereka bermain meriam ketika musim
raya sahaja. Yang pasti Mariamlah insan yang paling seronok
dan puas hati. Seolah-olah setiap letupan itu mewakili
perasaannya ketika ini. Dilepaskan bersama dengan setiap das
letupan yang bergema.
Mariam beri isyarat mata kepada Yunus supaya
mengajak Dzul bermain sama. Dari tadi lelaki itu hanya
duduk memerhati. Sebutir perkataan pun tidak keluar dari
bibir si Dzul.
Yunus balas isyarat Mariam dengan menyuruh gadis
itu yang mengajak. Kalau dia yang ajak pastinya berbagai
alasan yang diberikan oleh Dzul nanti. Setahunya, Dzul
memang tidak pernah bermain meriam buluh ini.
“Nah, kau pula.” Mariam menghulur obor-obor itu
kepada Dzul. Selamba habis riak wajahnya.
“Hah?” Bulat mata Dzul memandang Mariam.
Bingung. Kenapa beri dia obor itu?
“Apa hah-hah? Cepatlah. Aku nak juga tengok
kau main benda alah ni,” ujar Mariam sambil mengunjuk
obor-obor itu.
“Err... Kenapa aku?” Dzul telan liur. Kesat. Dia hanya
mahu tengok sahaja, bukannya main. Hesy!
“Lah, takkanlah aku nak suruh Fatihah yang
memang sah-sah dah kejung muka macam nampak hantu
raya aje.”
Pap!
Fatihah tampar bahu Mariam. Sudahlah mereka
duduk di tempat yang keliling mereka semak samun. Boleh
pula mulu cabul si Mariam ini menyebut cik hantu tu. Hendak
saja dia letak mulut minah ini pada muncung meriam tu.
Huh! Cakap tak pandang kiri kanan sungguh.
“Apa?” marah Mariam.
Fatihah kunci mulut. Malas mahu berbahas dengan
Mariam.
“Cepatlah!” gesa Mariam.
Teragak-agak Dzul mendekat. Dalam hati sudah
gerun. Dengar bunyi letupan meriam ni pun jantungnya
bagaikan hendak tercabut dari tangkainya. Inikan pula dia
yang main. Perutnya mula memulas.
“Cepatlah! Penakut betul kau nikan. Kalau aku
panggil pondan kau marah. Ajak mandi sungai air pasang pun
banyak dalih. Suruh main meriam ni pun...”
“Yalah, yalah... aku nak cucuhlah ni. Sabarlah!”
marah Dzul. Pantang mak nenek dia cabar-mencabar ni.
Dia pandang geram pada Mariam. Silap hari bulan mulut
longkang gadis itu yang dia cucuh dengan api obor ni.
Kerjanya menyelar orang sahaja!
Mariam tersenyum senget. Tahu sangat yang lelaki
itu takut. Sengaja. Jadi lelaki kenalah berani. Ini baru ajak
main meriam dah kecut. Macam mana nak hadapi hidup
kalau cubaan kecil ini sudah kecut?
“Hoi! Kau orang buat apa ni?” jerkah satu suara.
Lintang-pukang Mariam dan Fatihah lari. Yunus
tarik tangan Dzul yang terpanar dengan jerkahan itu. Tanpa
sengaja pegangan obor terlepas dan jatuh atas sumbu meriam
lalu...
Dum!
“Opocot kau meletup! Apa meletup!” Kedengaran
satu suara yang melatah.
“Ya Allah, budak-budak ni!” marah seorang lagi.
Menggeleng kepala jemaah surau itu. Mereka dalam
perjalanan hendak ke rumah Pak Mud. Sekali terserempak
dengan budak-budak yang rasanya bukan budak lagi dah.
Apalah hendak jadi dengan anak muda kampung ini?

Janda Itu Milik Aku - Bab 5

“KAU rasa orang perempuan macam aku ni tak
layak ke sambung belajar? Ada impian? Ada cita-cita? Adakah
hidup kami hanyalah untuk berumah tangga saja? Apakah
kesudahan kami hanya di ceruk dapur sahaja?” Tiba-tiba
Mariam bersuara memecah kesunyian antara mereka.
Pertanyaan Mariam dan nada suara gadis itu
membuatkan hati Dzul resah. Ada sendu di sebalik pertanyaan
itu. Apakah gadis ini punya masalah?
“Kau kenapa ni?” Teragak-agak Dzul bertanya.
“Tak ada apalah.” Mariam tarik nafas dalam. Dia
bangun berdiri di atas dahan pokok ara yang sebesar betisnya
sahaja. Dia meregangkan kaki dan tangannya. Kain dilurutkan
lalu dicampak ke atas tebing sungai berdekatan Dzul duduk.
“Eh, jangan salah faham tau! Tadi masa aku jatuh,
ada seluar kat dalam kain kan. Jangan sangka aku bogel
depan ‘lapah’ ni pula.”
“Weh, kau nak buat apa tu?” cuak Dzul melihat
aksi Mariam yang tiba-tiba itu. Dalam kepalanya sudah
bermacam-macam bayangan datang. Tersampuk ke? Sewel
ke? Ah, tapi kalau dah namanya Siti Mariam, setiap perbuatan
dia tidak pernah logik. Otak gadis itu sentiasa di luar alam.
“Dzul...” Mariam pandang wajah resah Dzul. Geli
hati dia.
“Nyum, kau nak buat apa tu? Kau jangan
macam-macam nyum,” pesan Dzul.
Mariam kembali memandang air sungai yang deras
mengalir. Kedalamannya? Tidak pasti. Selalunya kalau
air pasang paras paling dalam setara dadanya. Dan untuk
pengetahuan, Mariam tidak pandai berenang.
“Mariam! Kau jangan... Kau tak tahu berenang,
kan?” Makin kalut Dzul apabila Mariam sedang lakukan aksi
mahu terjun ke dalam sungai.
“Kau kan ada.” Mariam kenyit mata selanjur itu dia
terus terjun ke dalam sungai.
Ternganga mulut Dzul. Sudah namanya Mariam
mana mahu dengar nasihat orang. Lama dia menunggu
Mariam muncul namun hampa. Dari duduk Dzul bangun.
Terjenguk-jenguk kepalanya ke arah tempat yang gadis itu
terjun tadi.
“Yam! Yam! Timbullah. Kau jangan buat aku cuak
Yam!” jerit Dzul di muara sungai.
Jantungnya sudah berdetak laju. Hati dia mula
berasa tidak enak. Kebimbangannya sukar dibendung lagi.
Dzul masuk ke dalam air. Perlahan-lahan. Di sekitar pokok
ara ini, terlalu banyak akar-akar pokok.
‘Hesy, aku dah cakap jangan terjun dia pergi terjun
juga.’
“Yam! Mana kau?” Bergetar suara Dzul memanggil.
Ketika itulah tubuh Mariam timbul di permukaan
air. Terkejut melihat Mariam yang kaku, pantas Dzul menarik
gadis itu ke tebing sungai. Dia membaringkan Mariam atas
tanah.
“Yam!” panggil Dzul. Dikocak tubuh kecil itu. Senyap.
Hanya tubuh kaku itu sahaja tanpa sahutan panggilannya.
Dzul resah. Apa yang dia harus lakukan ini? CPR!
Tapi mana dia tahu? Hanya sekali saja dia diajar tentang
rawatan kecemasan itu ketika Bengkel Pertolongan Cemas
dan CPR yang dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah
sekolah mereka dulu. Dan... itu sudah bertahun lamanya.
Lagi pula dia tidak pernah mempraktikkannya.
Tapi sekarang... Mariam perlukan dia. Apa yang harus
dia lakukan ini? Dzul pandang wajah Mariam yang bersih
tanpa sebutir jerawat pun. Cantik! Mariam memang seorang
gadis kampung yang cantik. Weh, Dzul! Nak berkasihan pun
nanti-nantilah. Sekarang ni kena fikirkan nyawa Mariam ni.
Perlahan-lahan Dzul tundukkan kepalanya. Dia
sudah buat keputusan untuk melakukan CPR. Lebih baik dia
mencuba daripada tidak, kan? Hanya tinggal seinci sahaja
lagi untuk bibirnya jatuh di bibir Mariam, saat itulah Mariam
membuka matanya.
Sesaat...
Dua saat...
Kedua-duanya terpaku. Kelu. Bulat mata Mariam
menentang mata Dzul yang terkebil-kebil.
“Kau dah gila ke?” Dzul yang tersedar akan keadaan
itu bersuara untuk menutup rasa getar di dada.
Mariam bangun. Berbahang pipinya. Tidak pernah
dia sedekat itu dengan lelaki. Bukan dalam versi ini. Kalau
versi ‘jantan’ dia sudah biasa. Kenapa jantungnya berdebar?
Kenapa rasa marah tiada tapi sebaliknya...
Dia pandang wajah Dzul yang kerisauan.
“Aku dah cakap jangan terjun, kan? Yang kau pergi
terjun juga tu kenapa? Nak sangat mati lemas? Hah?” jerkah
Dzul. Geram dengan kesenyapan Mariam.
“Relakslah Dzul. Aku okey kan ni.” Lemah suara
Mariam. Nafas yang tersekat cuba diselarikan.
“Relaks? Hoi, nyum! Kau tahu tak apa yang akan
jadi kalau kau tak timbul tadi? Kau tahu tak? Apa aku nak
jawab dengan orang tua kau? Bodoh! Inilah orang kata, orang
bodoh yang ditegur tak boleh. Diajar tak nak!”
Dzul cekak pinggang. Geram. Paras kerisauannya
amat tinggi sekarang. Sungguh dia takut melihat wajah pucat
Mariam tadi. Bagaikan sebahagian daripada hidupnya terbang
melayang. Kalaulah Mariam tahu isi hatinya bagaimana?
“Kau dah kenapa lapah? Emo pula.” Panas pula hati
dia dengan bebelan lelaki ini.
“Kau tanya aku kenapa? Weh, nak luruh jantung
aku panggil kau tak timbul-timbul. Kut ya pun ada masalah,
janganlah sampai nak bunuh diri. Nabi tak mengaku umat
tau,” ujar Dzul.
“Hoi, kau dah lebih ni. Bila masa pula aku nak
bunuh diri? Drama betullah kau ni Dzulapah. Aku... aku
saja aje nak uji kau tadi. Tak sangka aku, kau akan risaukan
aku. Yalah, kita berdua ni pantang jumpa asyik nak bercekau
saja kerjanya.” Perlahan suara Mariam. Rambut yang basah
dikeringkan dengan kain yang dia pakai tadi.
“Apa???” Naik beroktaf-oktaf suara Dzul. Matanya
mencerlung menikam wajah selamba gadis itu. Uji? Kepala
otak dia uji!
“Aku balik dulu Dzul. Terima kasih selamatkan aku.”
“Mariam!” laung Dzul.
Langkah Mariam terhenti. Dia berpaling ke arah
Dzul yang masih menatap wajahnya. Jelas riak wajah itu
risaukan dia. Terharu hatinya dengan keprihatinan lelaki itu.
Sebenarnya Mariam hampir kelemasan. Ketika dia terjun tadi
kakinya tersangkut pada akar-akar kayu pokok itu. Syukur
nyawa ini masih dipinjamkan oleh Allah padanya.
Tanpa menunggu lagi Mariam berlalu pergi.
Meninggalkan Dzul yang masih tertanya-tanya.

MALAM ITU, suasana di rumah Pak Mud sunyi sepi. Tiada
suara riuh Mariam menonton televisyen. Tiada suara kecoh
Mariam mengusik ayahnya. Malah bayang Mariam pun tidak
kelihatan di ruang rumah itu.
Sejak pulang dari sungai tadi, Mariam hanya
berkurung dalam bilik. Protes. Dia bergolek-golek atas
katil. Matanya masih segar. Memanglah segar, jam baru
menunjukkan 8 malam. Selalunya waktu begini dia akan
melepak di hadapan televisyen ataupun melepak di luar
rumah sambil tengok bulan.
Cuma malam ini mood dia jauh dibawa angin.
Semua gara-gara perkhabaran emaknya siang tadi. Tiba-tiba
telinga Mariam menangkap suara riuh di luar rumah. Hati
terusik ingin tahu tapi dikuatkan hatinya supaya tidak keluar.
Manalah tahu dengan protes begini maknya akan berubah
fikiran. Sekeras hati seorang ibu masih juga seorang ibu,
kan? Itulah kata-kata untuk sedapkan hati sendiri.
Selimut di sisi kiri diambil lalu ditebar menutup
kakinya. Dia membaringkan tubuh atas tilam. Tangan kanan
diletakkan atas dahi. Kata orang tua; tidak elok letak tangan
atas dahi. Katanya darah tidak berjalan dengan baik. Entah
kan betul atau tidak. Yang dia tahu sekarang fikirannya kusut.
Baru saja Mariam berkira mahu menutup
mata, kedengaran ketukan di pintu biliknya. Mulanya
tidak diendahkan ketukan itu namun ketukan itu masih
kedengaran. Dengan malas dia bangun membuka pintu.
Terjengul wajah Azfar, abang sulungnya. Satu-satu abangnya.
“Eh, abang!” Terkejut Mariam melihat batang tubuh
abangnya di kala itu. Sangkanya abangnya tidak jadi balik.
“Ya. Dah tidur ke?” ujar Azfar seraya melangkah
masuk ke dalam bilik si adik.
“Hmm, baru nak tidur. Bila abang sampai?”
soal Mariam yang masih setia di muka pintu. Badannya
disandarkan ke dinding kayu biliknya.
“Baru aje sampai. Kawan abang hantar. Ayah telefon
abang suruh balik.” Pandangannya tunak memandang si
adik. Wajah mendung itu menunjukkan yang si adik sedang
resah. Kasihan Mariam.
Keluhan kesal dilepaskan perlahan. Dia sendiri
hairan dengan cadangan maknya itu. Pelik! Dan itulah
tujuan dia balik hari ini. Ayah merayu dia supaya memujuk
mak. Sebelum ini pun dia sudah beritahu mak supaya
abaikan sahaja pertolongan Datin itu. Dia mampu uruskan
kehidupannya. Dia tidak mahu menggadaikan masa depan
adiknya untuk kepentingan dirinya sendiri.
“Ooo...” Panjang ooo terbit di bibir itu. Dia turut
melabuhkan punggung di sebelah Azfar.
“Abang akan bincang dengan mak. Adik jangan risau
ek,” pujuk Azfar cuba menaikkan kembali semangat si adik.
Mariam yang di hadapan ini bagaikan orang asing. Adik dia
bukan begini. Adik dia seorang yang ceria. Kalau nampak
sahaja dia, Mariam akan meluru memeluknya. Tapi kini...
usahkan wajah, nada suara itu pun tidak bernada. Hambar.
“Nak ke mak dengar cakap abang? Tak apalah abang.
Adik terima saja takdir adik ni.” Lemah suara Mariam.
“Adik...”
“Keluarlah abang. Adik nak tidur. Penat.”
Azfar mengeluh. Kasihan.
“Sampai hati halau abang.” Azfar cuba menarik
simpati Mariam dengan suara sendunya.
“Bukanlah abang. Betullah Yam penat. Hari ni
berendam kat sungai sepetang. Tolong, abang...” Nada merayu
diguna kali ini.
Bukan dia tidak gembira melihat abangnya di rumah
tapi kala ini hatinya sedang luka. Kecewa. Demi masa depan
abangnya, masa depan dia terpaksa dikorbankan. Kenapa?
Takkanlah hanya kerana dia anak perempuan?
Penat! Sungguh Mariam penat. Melepaskan impian
yang terkubu lama amat menyakitkan. Dia sudah putuskan
mahu mengikut saja kehendak Mak Senah andai itu mampu
membahagiakan wanita tua itu.
Dalam terpaksa Azfar berlalu meninggalkan si adik.
Rasa bersalah kian menggunung tinggi. Kenapa mak buat
macam ni? Setahunya mak sedia maklum akan cita-cita si
bongsu itu.
“Mak, kalau mak masih dengan keputusan mak nak
nikahkan Yam, Far sanggup berhenti belajar mak. Tapi Far
tak nak mak gadaikan masa depan Yam. Dia masih muda,
mak. Masih kurang ilmu rumah tangga. Macam mana kalau
diaorang kahwin, lepas tu bercerai? Mak nak ke anak dara
mak jadi janda awal?” ujar Azfar dengan harapan dapat
membuka mata hati maknya. Apa yang dirancangkan oleh
maknya itu berisiko.
“Tak payahlah kamu nak pujuk mak. Sama ada kamu
teruskan pengajian kamu atau tidak, Mariam tetap akan
kahwin dengan Muslim tu. Muktamad!”
Mariam yang berada di dalam bilik bungkam. Sudah
dia agak jawapan si emak. Matanya panas. Air mata hanya
tunggu masa untuk turun.
Ah, lupakan semua tu. Tidur lebih baik. Dalam hati
remuk-redam, Mariam pejam mata. Berharap lena yang
datang mampu mengembalikan ketenangan dalam hidupnya.
Berharap apa yang dikhabarkan hari ini hanyalah satu mimpi
di siang hari.

Janda Itu Milik Aku - Bab 4

MARIAM membelek tubuhnya dalam cermin.
Terdapat sikit calar di mukanya. Semalam mereka pulang
tanpa burung. Sepanjang perjalanan pulang dia dan Dzul
diceramahkan oleh Yunus dan Fatihah sampai naik bengkak
telinganya.
Hailah, tubuh dilabuhkan atas katil. Buku tebal
seinci itu diambil lalu dibuka muka surat yang bertanda. Baru
saja mula membaca, ketukan di pintu bilik membatalkan niat
hatinya. Baru saja mahu berehat. Namun tidak pula Mariam
menyahut. Dia berdiam diri sahaja.
“Esok ajelah Senah. Yam dah tidur kut.” Kedengaran
suara Pak Mud melarang isterinya.
Mariam sengih. Nasib baik ayah ada. Dia tarik selimut,
lebih baik dia tidur sebelum mak serbu biliknya. Entah
kenapalah semakin dekat keputusan SPM keluar, semakin
mak mendesak dia. Memujuk dia mengikut kehendaknya.
Alasan yang diberikan tidak munasabah langsung.
Malas mahu memikirkan hal itu, Mariam pejam
mata. Tanpa sedar lenanya hingga ke pagi.
Mak Senah di hadapan bilik anak gadisnya tadi,
melabuhkan duduk di sebelah suaminya. Dikerling si suami
yang sedang menggulung daun rokok. Tenang sahaja.
“Boleh abang tenang ek? Bila nak cakap dengan
Yam tu?” Mak Senah bertanya. Tidak puas hati dengan sikap
selamba si suami.
“Senah, biarkanlah Mariam tu. Kenapa nak dipaksa
anak dara kita sorang tu? Mesti dia ada cita-cita dia juga,
Senah,” pujuk Pak Mud.
Walaupun anak daranya itu tidak menyatakan
apa-apa kepadanya, tapi selaku ayah dia yakin Mariam punya
cita-cita. Bukan hanya Mariam, setiap manusia punya cita-cita
dan keinginan dalam hidup.
Tegarkah dia mahu memaksa anaknya itu mengikut
kehendak isterinya? Ya, dia tak sanggup. Ini bukan zaman
mereka dahulu, yang orang tua boleh tentukan kehendak
anak-anak. Remaja sekarang tidak seperti mereka dulu.
“Tapi, abang... Azfar lagi perlukan kita abang,” pintas
Mak Senah.
“Habis tu, takkanlah awak nak gadaikan anak gadis
awak kerana anak lelaki awak pula? Saya masih mampu,
Senah. Tulang empat kerat saya ni masih boleh digunakan.”
Keras suara Pak Mud tidak suka apabila si isteri berdegil.
“Dah ada orang nak tolong ni kita terimalah.
Abang pun bukannya muda lagi. Lagi satu, Datin tu dari
dulu lagi dah berkenan dengan Mariam tu,” ujar Mak Senah
mengingatkan. Dia pun tidak bersungguh kalau bukan sebab
Datin Rukiah bersungguh. Hendak menolong Azfar hanyalah
satu alasan sahaja.
Pak Mud jeling. “Pertolongan ada makna! Dan awak
kena ingat Senah oi, anak Datin tu budak bandar. Hendak
ke dia dengan anak kita tu? Budak kampung yang berendam
dalam selut, hutan... Anak kita tu kasar mengalahkan lelaki.
Abang tak nak nanti kemudian hari kita yang sesal kalau jadi
apa-apa kat Mariam tu,” luah Pak Mud.
Itulah kegusaran yang bersarang dalam hati sejak
isterinya menyatakan hajat majikan merangkap sahabat
isterinya itu. Bukan dia mahu bersangka buruk pada orang
kaya, tapi dia yakin sangat yang budak bandar seperti anak
Datin itu punya pilihan sendiri. Pak Mud tidak sanggup
merisikokan masa depan Mariam. Walhal begitu, dia juga
tahu untuk mematahkan keputusan isterinya bukanlah
sesuatu yang mudah.
“Susahlah cakap dengan abang ni. Tak kira! Apa yang
jadi, Mariam kena ikut cakap saya!” putus Mak Senah. Dia
angkat punggung lalu masuk ke dalam biliknya.
Pak Mud mengeluh. Kan dia sudah cakap, bukan
mudah mahu membuat isterinya ini faham. Dia pandang sayu
pintu bilik Mariam. Tidak adil jika dia korbankan Mariam
hanya kerana Azfar.
Pak Mud bersandar pada dinding rumah. Penat
memikirkan si isteri. Apabila dia usulkan untuk menjual lot
bendang, isterinya menolak. Katanya itulah satu-satu punca
pencarian mereka yang kekal. Memandangkan itu harta
peninggalan arwah ayah dia selain daripada kerja menoreh
getah yang berkongsi hasil jualan dengan pemilik tanah itu.

USAI MAKAN tengah hari, Mariam berbaring di tangga
rumah sambil kaki disilang. Kedua tangannya diletak di
bawah kepala. Dia pandang zink yang sudah uzur itu. Ada yang
bertampal dan tidak. Memikirkan kehidupan dan kesusahan
yang dilalui orang tuanya, membuatkan dia menanam tekad
untuk mengubah kehidupan mereka.
Kehidupan mereka sekeluarga bukanlah terlalu daif.
Tapi masih dalam kategori kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang. Lagi pula, orang tuanya sudah berusia. Hanya
dia dan Azfarlah harapan mak dan ayah.
Sedang Mariam merangka masa depan, terasa
bahunya ditepuk seseorang. Dia berpaling sekilas ke kirinya.
Matanya menyapa wajah mak yang serius memandangnya
tanpa senyuman. Eh, kenapa pula dengan mak ni? Semalam
okey saja. Tadi masa makan pun okey lagi. Ini sudah tukar
mood perang. Kenapa?
“Keputusan peperiksaan kamu bila keluar?” soal Mak
Senah.
“Err, dalam dua minggu lagi mak. Kenapa?” Sedikit
cuak Mariam dengan reaksi Mak Senak yang serius. Dia ada
buat salahkah?
“Ooo, tak lama dah. Hmm, ni mak nak cakap sesuatu
dengan kamu ni.”
“Apa mak?” Mariam bangun dari perbaringan. Dia
duduk bersila berhadapan emaknya.
Mariam cuak. Debaran yang mengetuk dada kian
memuncak. Jarang sekali hendak lihat wajah serius Mak
Senah melainkan sememangnya perkara itu benar-benar
penting. Dan perkara apakah yang penting mengaitkan dia?
Dia ada buat salahkah?
Andai mahu dikira salahnya, memang banyak.
Mak tidak bagi dia berkawan dengan Yunus dan Dzul, tidak
diendahkan. Mak Senah marah dia masuk hutan, ke sungai,
tangkap ikan, lastik burung dan banyak lagilah senarai
panjang perkara yang mak tidak suka. Dan tak ada satu pun
daripada senarai panjang mak itu yang dia ikut. Jadi, memang
dia sentiasa buat salah.
“Mak nak... selepas keputusan SPM keluar, kamu
menikah!” Senafas, sepotong ayat itu terluah dari dua ulas
bibir tua Mak Senah. Tanpa ragu-ragu.
Lain pula bagi Mariam yang sudah ternganga. Apa
yang diberitahu maknya bagaikan letupan lahar gunung
berapi. Sesak dadanya. Menikah? Kenapa tiba-tiba? Dengan
siapa? Persoalan yang bermain di minda ingin diluahkan lisan
tapi lidahnya bagaikan beku.
Pak Mud yang baru balik dari sawah, duduk di atas
tangga melepaskan lelah. Matanya jatuh pada susuk tubuh si
anak gadis yang sedang menunduk itu. Wajah keruh Mariam
membuatkan hatinya meneka yang si isteri telah menyatakan
apa yang dihajati. Kenapa kejam sangat isterinya ini? Dia
mahu membantah namun sikap degil sang isteri sudah sebati
dengan dirinya.
“Kenapa mak? Mak pun tahu kan, yang Yam ada
impian dan cita-cita yang hendak dicapai. Bagilah Yam
peluang untuk rasa belajar hingga ke menara gading.” Lirih
suara Mariam memujuk.
“Yam, orang perempuan macam kita ni, belajar
setinggi mana pun ke dapur juga akhirnya. Binalah impian
sebanyak mana pun, sampai masa kamu kena lepaskan juga.
Kalau sudah tahu begitu kesudahannya buat kamu nak
belajar? Cukuplah ilmu pelajaran yang kami bagi selama ini,”
ujar Mak Senah tanpa sekelumit pun rasa bersalah.
Terlopong Mariam. Bingung. Berjauh hati? Itu
sudah pasti. Apa yang dia rasakan ketika ini bukan disebabkan
kata-kata mak tapi reaksi wanita itu. Tak ada sedikit pun rasa
bersalah pada wajah itu. Rasa simpati jauh sekali.
“Mak, macam nilah. Mak bagi Yam belajar sampai
dapat ijazah. Selepas tu apa aje yang mak minta, Yam akan
ikut. Dengan senang hati Yam akan buat apa aje suruhan mak
selagi tidak melanggar hukum Allah,” pujuk Mariam lagi.
“Tak payah! Keputusan mak muktamad! Lepas
keputusan SPM keluar kamu nikah!”
Bertimpa-timpa rasa bersalah Pak Mud melihat riak
kecewa di wajah anak gadisnya. Setiap usulannya dibantah
keras oleh isterinya.
Jatuh bahu Mariam mendengar suara tekad si mak.
Kenapa kolot sangat pemikiran Mak Senah? Zaman sekarang
berapa ramai anak gadis yang berjaya dalam kerjaya jua
rumah tangga. Kenapa dia yang jadi mangsa? Sudahlah dia
tidak tahu dengan siapa dia mahu dijodohkan.
Usia Mariam baru 18 tahun. Usia yang ditetapkan
untuk meneroka dunia yang tanpa sempadan ini. Untuk
meneroka lebih banyak pengalaman hidup. Dia juga
ingin merasa manis dan pahit hidup di dunia luar. Kenapa
kesempatan itu dirampas daripadanya?
“Apa salah Yam pada mak? Yam pun anak mak. Yam
ada hak yang sama dengan abang!” jerit Mariam meluahkan
sakit di hati. Bukan niat mahu menjadi anak derhaka, tapi dia
lemas dengan keputusan maknya itu.
“Sebab kamu anak maklah, mak buat keputusan
begini. Hei, kamu tahu tak yang orang kampung sibuk
menjaja kisah hidup kamu yang suka melepak dengan Yunus
dan Dzul tu. Masuk hutan dengan lelaki. Apa yang kamu buat
dalam hutan dengan lelaki, ha? Kamu rasa hati mak ni suka
bila dengar orang bercerita perihal keburukan anak mak?
Anak gadis mak pula tu!” selar Mak Senah.
Kali ini dia kaitkan pula kenakalan si anak. Apa yang
dia cakap adalah kebenaran. Telinganya sudah mahu pekak,
mendengar mulut-mulut orang kampung yang bercerita
perihal anak daranya itu. Kalau yang baik tidak mengapa
juga. Ini... hmm. Ini jugalah salah satu sebab Mak Senah
setuju untuk menikahkan Mariam. Mana tahu mulut orang
kampung akan diam setelah Mariam menikah.
Lidah Mariam kelu sekali lagi. Tidak percaya yang
mak lebih percayakan orang lain daripada anaknya sendiri.
Anak yang dibela dari dalam perut hingga melihat dunia.
Kecewa? Sudah pastinya Mariam kecewa. Dia bukan
tidak tahu yang perbuatannya sering menjadi buah mulut
orang kampung, namun dia ambil sikap tidak peduli. Kerana
dia tahu apa yang dia lakukan. Dia tidak pernah melepasi
batas antara lelaki dan perempuan.
“Mak, kami keluar berempat. Fatihah pun ada sama,
mak. Kami dah berkawan baik sejak kecil lagi mak. Ya Allah,
mak sedar tak yang mak sedang bercakap tentang anak mak
yang mak kandung 9 bulan 10 hari? Anak yang mak bela
selama 18 tahun! Tapi mak boleh percayakan cakap orang
kampung yang berpuaka tu.” Lirih suara Mariam. Kecewa.
Terlalu kecewa dengan tanggapan mak kandungnya. Jika mak
sendiri tidak percayakan anaknya, apatah lagi orang luar.
“Pokok takkan bergoyang tanpa angin. Orang takkan
bercerita kalau tak betul, Yam. Dah! Mak tak nak cakap banyak
lagi. Keputusan mak muktamad. Keluar saja keputusan SPM,
kamu akan kahwin dengan anak kawan mak!”
Terasa perit dadanya. Hendak menangis tapi
dikuatkan semangatnya supaya air mata itu tidak mengalir.
Pandangan sayu dilontarkan ke arah Pak Mud dengan harapan
si ayah akan menolong. Namun hampa apabila wajah tua itu
menunduk. Ini membawa maksud yang walau suka atau tidak
dia perlu terima takdir yang dicoretkan oleh mak untuknya
ini. Tidak adil!
Mariam bangun meninggalkan kedua orang tuanya.
Mulutnya berkumat-kamit membebel tanpa suara. Tangan
terhuyung-hayang ke depan dan belakang. Sakit hati terasa
amat sakit kala ini. Hancur lebur.
Sedang ralit melayan hati yang sakit, entah macam
mana kakinya tersepak pelepah kelapa. Dan...
Dum!
Berlakulah aksi buah nangka jatuh. Dengan tangan
mendepang ke atas tanah. Kaki terkangkang. Kain yang
dipakai terselak hingga ke lutut. Mujur saja dia pakai seluar
panjang di dalam.
Lekas-lekas Mariam bangun. Matanya meliar
kiri kanan, kut-kut ada yang memandang. Tangan sibuk
membuang pasir yang melekat di baju. Mata Mariam jatuh
pada sebatang tubuh yang sedang bersandar di sebatang
pokok manggis dengan senyuman yang tertahan-tahan. Cis!
Itu pasti sedang tahan mahu gelakkan dia.
Hailah, dalam ramai orang kampung, kenapa muka
ini juga yang nampak dia jatuh tadi? Malu!
“Kau jangan nak cari pasal Dzul. Aku tengah angin
puting-beliung ni,” ujar Mariam mengingatkan Dzulfahmi.
“Patutlah kau jatuh, rupanya berat bawa angin.”
Terhambur tawa Dzul. Lucu sungguh dia tengok aksi Mariam
mendarat atas tanah tadi. Mesti sakit.
“Isy, kau ni kan!” Mariam kertap gigi. Dia berlalu
meninggalkan Dzul dengan sisa tawa yang masih kedengaran.
Menyakitkan telinga dia sahaja.
“Kau nak ke mana tu?” soal Dzul.
“Sungai.”
“Buat apa?” soal Dzul dengan dahi berkerut.
Takkanlah minah ni tidak tahu yang air sungai sekarang
tengah pasang?
“Pergi tanam tebu,” sinis jawapan Mariam. Sudah
tahu lagi mahu tanya ke?
Dzul kacip gigi. Loyar buruklah pula.
“Air pasang sekarang ni. Bahaya tau,” ujar Dzul.
“Alah, aku bukan nak mandi. Nak lepak atas pokok
ara aje. Jomlah!” ajak Mariam.
“Gila kau! Pokok ara tu kat tebing sungai weh. Kalau
air pasang, paras air tu sampai ke pokok tulah ngok,” marah
Dzul.
“Pondanlah kau. Setakat air pasang dah kalut. Huh!”
Mariam berlalu meninggalkan Dzul yang mungkin sedang
berasap saat itu. Ada dia kisah nak berasap atau naik hantu?
Hakikat lelaki itu penakut!
‘Erk, dia panggil aku apa? Pondan? Woo, pantang mak
nenek aku panggil pondan. Karang aku tunjuk kejantanan
aku baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah.’
Dzulfahmi pandang tubuh Mariam yang kian
menjauh. Kaki kanan diangkat, acah-acah mahu menyepak
gadis itu.
“Dayus pukul perempuan walaupun dalam
angan-angan!” laung Mariam dari kejauhan.
Ternganga Dzul dengan jeritan Mariam itu. Si nyum
nyum ni bela hantu raya ke? Seram dibuatnya. Apa yang dia
fikir pun gadis itu boleh tahu. Hesy! Namun dalam membebel
dia mengikut juga langkah Mariam.
Sampai sahaja di sungai, Dzul sudah dapat melihat
Mariam yang sedang bertenggek di atas dahan pokok ara.
Kakinya berjuntai ke bawah. Mencapai air sungai. Kocakan
yang terhasil dari gerakan kaki Mariam dipandang sepi.
Wajah mendung Mariam masih dipandang.
Seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu gadis itu. Jelas
kelihatan yang wajah itu sedikit terganggu. Hendak bertanya,
dia tidak tahu harus bagaimana.

Janda Itu Milik Aku - Bab 3

MARIAM bermalasan di atas katil. Novel Ramlee
Awang Mursyid yang dia pinjam daripada Fatihah sudah lama
dikhatamkan. Sekarang dia sedang menghadap buku ilmiah
pula. Kisah kehidupan para Nabi dan rintangan mereka dalam
menjalankan tanggungjawab sebagai utusan-Nya menjadi
pilihan dia kali ini.
Buku setebal satu inci itu diletakkan atas katil.
Jendela yang terbuka menarik perhatiannya. Dia merenung
ke luar dengan tangan menongkat dagu. Biliknya yang
terletak berdekatan dengan dapur, bermakna dekat juga
dengan hutan.
Hmm, tidak sesuai kut dipanggil hutan. Kebunlah.
Sebab kat sini terdapat pokok manggis, durian, langsat,
rambutan dan bermacam lagi. Contohnya, jendela biliknya
ini. Sekali dikuak matanya akan disapa oleh pokok manggis
yang menghijau.
Sekarang musim buah. Matanya ralit meneliti
pokok manggis. Sebetulnya dia sedang meneliti sama ada
buah manggis sudah ada yang masak atau belum. Kaki dan
tangannya sudah gatal mahu memanjat.
“Mariam!” panggil Pak Mud.
“Apa, ayah?”
“Fatihah datang ni. Dengan Yunus,” ujar Pak Mud.
Kening Mariam ternaik sedikit. Eh, kata tiada
apa-apa hubungan tapi makin kerap pula muncul bersama
macam belangkas. Apa-apa sajalah Fatihah oi.
Rambut yang lepas disisir sebelum diikat ekor
kuda. Seluar kargo atau dalam bahasa orang kampungnya,
seluar poket banyak, dilipat hingga paras betis. T-shirt
lengan pendek warna biru dikemaskan. Setelah merasakan
penampilannya kemas, laju kakinya diatur ke luar rumah.
Tidak mahu membiarkan teman-temannya menunggu lama.
“Wah! Apa mimpi kau orang berdua datang cari aku
ni?” soal Mariam seraya duduk di atas anak tangga. Matanya
tidak lepas daripada memerhatikan keduanya. Tak ada yang
pelik pun.
Mungkin betul kata Yunus hari tu yang mereka ni
kawan baik. Ah, bukankah mereka bertiga kawan baik? Cuma
yang peliknya, Fatihah dan Yunus ni jarang sependapat
sama macam dia dan Dzul. Bezanya, tidaklah sampai 24 jam
bergaduh.
“Mimpi bulan jatuh ke langit.” Fatihah loyar buruk.
“Bijak kau. Kalau kau cakap mimpi bulan jatuh ke
riba, tangan aku dah sedia nak lempang kepala kau kasi betul
fius tu.” Mariam gosok tapak tangannya.
Fatihah menyengih. Sudah tahu sangat perangai
kawannya itu. Tidak suka loyar buruk yang tak logik. Tapi
kalau nak difikirkan, dah nama pun loyar buruk mana ada
logiknya?
“Kenapa kau orang ke mari?” soal Mariam lagi.
“Jom!” ajak Yunus. Matanya meliar ke dalam rumah.
Risau juga takut orang tua Mariam muncul.
“Ke mana?” soal Mariam, dahinya berkerut. Tiba-tiba
saja jom.
“Hutan!”
Serentak Fatihah dan Yunus menjawab.
“Buat apa?” Makin dalam kerutan di dahi Mariam.
Yunus keluarkan sesuatu dari belakangnya. Hanya
sekejap sebelum dia masukkan kembali ke dalam bajunya
sebelum ditangkap oleh orang tua Mariam. Bukan dia tak
tahu mulut Mak Senah. Dia dan Dzul sudah banyak kali kena
sound dengan Mak Senah sebab cari Mariam.
Alah, orang tua mana tahu. Sekaranglah masa untuk
bersuka-ria sepuasnya. Masa untuk menghargai zaman
remaja yang takkan datang dua kali dalam hidup.
Bersinar mata Mariam. Wah! Ini ajakkan yang baik.
Kepalanya menoleh ke dalam rumah. Ibu jari diangkat tanda
deal. Dia berjalan ke bawah rumah. Rumah kampung kan
rumah tinggi. Mariam seluk tangan menggagau tempat
simpanan ‘barang’ dia.
Lama menggagau barulah dia jumpa. Yes! Risau
dia jika ‘barang’ dia tu dijumpai oleh maknya. Jawabnya
semalamanlah dia kena bambu dengan mak nanti. Benda
yang bercabang dua dengan getah diikat pada dua cabang itu
itu diselit dalam seluar di belakang.
“Mak, ayah! Yam keluar dengan Tihah dan Yunus ni!”
laung Mariam dari tangga rumah sebelum berdesup lari.
Fatihah dan Yunus yang terpinga-pinga ini hanya
mampu memandang larian Mariam yang tinggal habuk.
Mereka pusing ke muka pintu. Saat terpandang sahaja wajah
Mak Senah, keduanya terus cabut lari. Patutlah minah tu
berdesup. Sayup-sayup kedengaran bebelan Mak Senah.

TERCUNGAP-CUNGAP FATIHAH dan Yunus. Terkebil-kebil
mereka memandang Mariam dan Dzul yang sedang berbalah.
Apa lagilah diaorang ni?
“Woi, nak bergaduh ke nak lastik burung ni?” soal
Yunus.
“Lastik burunglah,” jawab Mariam perlahan dalam
nada geram.
“Yang kau ajak nyum nyum ni, apa kes? Kejap lagi
habis semua burung lari.”
“Eh, tengok kakilah, bro. Aku ni setakat nak lastik
burung tu, sebelah mata pun dapatlah.” Mariam tepuk dada.
Bangga.
Dzulfahmi mencemik.
“Okey, kita tunggu dan lihat!”
Fatihah geleng kepala melihat dua makhluk di
hadapannya itu. Tidak penatkah asyik bercakar sahaja?
Yunus memulakan langkah malas mahu mendengar
debat mulut dua makhluk itu. Ada saja topiknya. Kejap lagi
burung lari bukan sebab Mariam tapi sebab keduanya.
Selepas seminit berjalan masuk ke dalam hutan
belakang rumah Mariam, kedengaran kicauan burung. Yunus
letakkan jari di mulut meminta semua berdiam diri. Mata
mereka saja bergerak liar mencari dari mana datangnya bunyi
burung itu.
Mariam mencium lastiknya. Matanya sudah
menangkap seekor burung atas dahan pokok. Sedang dia siap
menarik getah lastiknya...
Zasss! Bagai angin lalu sesuatu melintas sasarannya.
Burung itu terbang melarikan diri.
Mariam pusing maut ke arah Dzul. Tangannya
mencekak pinggang. Dzulfahmi berpaling ke arah lain.
Berpura-pura tidak tahu dan meneruskan mencari mangsa
lain.
Sekali lagi mata Mariam menangkap seekor burung
yang baru saja hinggap di ranting kayu. Dia senyum senget.
Perfect! Getah lastik ditarik namun belum sempat dia
lepaskan ada satu libasan lain yang laju menuju ke arah
burung tersebut. Kali ini tahap kegeraman dia sudah naik ke
kepala.
Mariam pusing ke arah Dzul yang sedang
membelakanginya. Biji getah dalam poket seluar dikeluarkan
menggantikan anak batu. Kalau dia lastik pakai anak batu
ni, pasti mati mamat ni. Ditarik getah lastik sekuat hatinya
sebelum melepaskan tepat pada betis lelaki itu.
“Auch!” Melompat Dzulfahmi apabila terasa sakit dan
pedih di betisnya. Laju tangan dia menggosok pada tempat
yang terkena ‘sesuatu’ itu. Merah! Dia pandang Mariam yang
sedang tersengih. Ini mesti kerja minah tu!
“Kau dah kenapa???” jerkah Dzul. Hilang sudah
pertimbangannya. Di hadapannya ini bukan lagi Mariam si
gadis tapi Maniam yang mencabar dirinya. Ah, ada dia kisah
Mariam ke Maniam!
“Apa?” Mariam tayang muka blur.
“Sakitlah bodoh! Kau lastik kaki aku tadi,” marah
Dzul.
“Opps, kaki kau ke? Aku ingatkan kaki burung.
Itulah keding sangat.” Selamba saja Mariam membakar hati
panas Dzulfahmi.
Dzul kepal penumbuk. Betulkah nyum nyum ni
perempuan? Mulut dia... Argh! Dzul geleng kepala beberapa
kali. Nafas ditarik sedalam-dalamnya cuba meraih ketenangan
yang kian susut.
“Cakap ajelah tangan kau kayu plus mata rabun.
Sebab itu tak dapat beza betis aku dengan kaki burung,”
balas Dzul selamba. Dia berpaling daripada Mariam. Puas hati
dapat lihat muka bengang gadis itu.
Apa? Mariam tunjuk dirinya sendiri. Dzul cakap dia
rabun? Huh, ini sudah lebih ni. Mariam berlari ke arah Dzul
sejurus menendang belakang lelaki itu. Mahu cakap dia gila
pun cakaplah. Dia tidak kisah.
Dzul telentang atas tanah. Di kesempatan itulah
Mariam menindih belakang Dzul. Telinga lelaki itu digigit
kuat. Bergema suara tempikan Dzul. Tidak cukup dengan itu,
rambut lelaki itu dicekak kuat sebelum ditarik. Sudah serupa
orang kerasukan.
Fatihah yang melihat adegan itu kaku. Yunus pula
ternganga. Otak mereka tidak dapat mencerna apa yang sudah
terjadi. Tengok-tengok sahaja dua ekor itu sudah bergomol
atas tanah.
Yunus menerpa ke arah Mariam dan Dzul. Digaru
kepala mahu menolong yang mana. Kejap Mariam kat atas,
kejap Dzul kat atas. Aduh!
“Tihah! Marilah tolong aku ni,” panggil Yunus.
“Hah!” Terpinga-pinga Fatihah. Tidak pernah dia
tengok Mariam naik gila.
“Cepatlah. Kau tarik Yam, aku tarik Dzul,” cadang
Yunus menangkap tubuh Dzul sebaik saja tubuh lelaki itu
menindih Mariam.
Secepat kilat juga Fatihah menarik tubuh kecil
Mariam yang bangun untuk menerkam Dzul. Yunus geram.
Habis sakit tangan dia melawan Dzul daripada meronta.
Begitu juga dengan Fatihah berkerut dahi dia menahan sakit.
Tiada jalan lain, Yunus dan Fatihah menolak
tubuh kedua sahabatnya itu ke tanah. Nafas mereka
tercungap-cungap. Begitu juga dengan Dzul dan Mariam.
Keduanya terduduk atas tanah dengan dada yang berombak
laju. Rambut mereka usah cakaplah, serabai.
“Kau orang gila ke?” jerkah Yunus. Dia terduduk.
Penat. Bukan penat cari burung tapi penat dengan kerenah
dua budak biul ni.
“Entah! Kau Yam, ingat sikit kau tu perempuan.
Bergomol dengan Dzul macam kau tu lelaki. Apa masalah
kau orang ni? Sewel? Biul? Nak aku beritahu mak kau orang
supaya hantar kau orang ke Tanjung Rambutan!” selar
Fatihah kegeraman. Tangannya yang sakit digosok. Kuat
sungguh tenaga Mariam ini. Kalau tengok orangnya kurus
sahaja.
Mariam mendengus.
Dzul merengus.
Jatuh bahu Fatihah dan Yunus. Pening!

Janda Itu Milik Aku - Bab 2

MASAKAN tengah hari sudah siap. Dapur
pun sudah kemas. Pakaian kotor semua sudah didobi. Tiba
masanya untuk aktiviti dirinya sendiri. Pinggan dicapai, nasi
yang baru masak disenduk ke dalam pinggan. Ikan sardin
goreng, kubis masak lemak turut diletakkan dalam pinggan.
Surat khabar diambil lalu ditutup pinggan berisi nasi tadi.
Tuala dicapai sebelum dia melangkah keluar ikut
pintu belakang. Bibir Mariam mengoyak senyum. Melihat air
sungai yang mengalir perlahan membuatkan dia teruja untuk
terjun ke dalam sungai. Memandangkan air tidak pasang, jadi
paras kedalaman air hanya di paras lututnya sahaja.
Surat khabar dibuka dan dibentangkan di atas tanah.
Dia pandang nasi yang masih panas itu dengan berselera. Ini
bukan kali pertama dia makan di sungai. Percayalah makan
nasi di sini sungguh menyelerakan. Ditemani angin sepoi
bahasa. Bunyi sungai yang mengalir. Bunyi burung berkicau.
Itu merupakan elemen yang membuka selera. Silap hari
bulan seperiuk nasi pun dia boleh habiskan.
“Hah!” sergah satu suara tiba-tiba.
“Uhuk! Uhuk!” Mariam tepuk dadanya. Perit tekak
dan dadanya dek tersekat nasi.
‘Siapalah yang biul sergah aku macam ni. Nak juga
aku selam dalam sungai ni!’
Dzulfahmi mencangkung di hadapan Mariam tanpa
rasa bersalah. Ikan sardin goreng dicubit masuk ke dalam
mulut. Kemudian sayur kubis pula dicuit sedikit. Lapar
pula perut dia tengok nasi Mariam. Terangguk-angguk dia
menikmati. Muka bengang Mariam diabaikan. Pandai juga
Mariam masak ek. Sedap!
Tanpa berfikir panjang, Mariam betulkan kakinya
menolak Dzul sehingga tergolek ke dalam sungai. Dia
tersenyum puas hati.
“Weh!” Muka tidak puas Dzul tayang. Alah, dia bukan
nak mandi pun. Tadi saja-saja ambil angin intai burung.
Ingatkan mahu asah skill melastik hari ini. Tapi lain pula
jadinya. Habis lencun baju dan seluar. Haih!
“Apa weh-weh? Padan muka kau! Datang tak
bersalam, main sergah aje. Kalau aku mati tercekik tadi
macam mana? Lepas tu makan makanan aku tak minta izin.
Huh! Betul ke kau ni anak Mak Gayah dengan Pak Mail? Jauh
beza perangai kau dengan orang tua kau,” kutuk Mariam
selamba lalu menyambung kembali suapan yang terhenti
tadi. Lagi sikit nasinya mahu habis.
“Ikan masin pun boleh makan. Sayur keras tawar.
Huh! Ini kalau kahwin mahu suami lari cari lain,” bidas Dzul.
Sebab geram ditolak Mariam itu yang dituturkan. Ingat tadi
mahu memuji, tapi lain jadinya apabila sudah geram.
Pergh... berdesing telinga Mariam mendengar
kutukan Dzulfahmi. Pinggan di tangan dipegang kemas.
Sebelah lagi mencekak pinggang. Matanya mencerlung ke
arah Dzulfahmi yang sedang berendam dalam sungai.
Dzul menjeling manja. Muka tak bersalah ditayang.
Langsung tidak terkesan dengan muka bengang gadis itu.
Lagi dia suka adalah.
Mariam angkat pinggan. Mata kiri ditutup. Fokus
kepada sasaran di hadapan. Apa nak jadi, jadilah. Yang dia
tahu sakit hatinya ini perlu dilepaskan. Baru sahaja dia
hendak lempar pinggan itu, muncul Fatihah dan Yunus
meluncur laju ke arahnya.
“Mariam!” jerit Fatihah dengan nafas
tercungap-cungap.
Terangkat kening Mariam. Dari mana minah ni
datang?
“Lufahmi!” jerit Yunus pula.
Mariam kemam bibir. Lagi dahsyat panggilan Yunus
untuk sahabat sehidupnya itu.
Dzulfahmi menjeling maut.
‘Nasib baik kau kat atas aku kat bawah, kalau tidak
memang habis lidah kau aku sental.’ Itulah syarat jelingan
maut Dzul.
Yunus tutup mulut. Alahai, terlepas cakap der...
“Kau orang ni kenapa? Kena kejar dengan hantu
ke?” tegur Mariam. Pinggan tadi diletakkan atas tanah.
“Cabulnya mulut kau. Kita kat sungai ni.” Fatihah
memeluk tubuhnya. Seram. Sudahlah sungai ni banyak
pokok buluh. Bukan ke...
Menggigil tubuh Fatihah. Jelingan tajam dihadiahkan
buat sahabat. Biul punya Mariam!
Mariam sengih. Geli hati dengan tingkah sahabatnya
itu. Penakut! Anak matanya kembali memandang alur sungai
yang mengalir tenang. Ketenangan itu menggoda hatinya.
Terasa dirinya dipanggil untuk melompat ke dalam sungai
tersebut.
“Saja aje. Suka-suka. Hahaha...”
Jawapan Yunus yang tidak berapa nak lawak tu
disambut senyum senget oleh Dzul. Matanya beralih kepada
Mariam yang seperti sedang bersedia. Untuk apa? Itu
yang dia sedang analisa ketika ini. Senyuman di bibir itu
mencurigakan.
Tanpa mempedulikan bebelan Yunus dan Fatihah,
Mariam berlari dan...
Boom!
“Yahoo!” Mariam melompat masuk dalam sungai.
Betul-betul di hadapan Dzul. Percikan air yang besar
melimpah hingga ke atas darat. Dan yang paling kasihan
Dzullah. Terpaksa menghadap percikan air bak bah itu.
“Uhuk! Uhuk!” Dzulfahmi batuk. Air yang masuk ke
dalam mulut dan hidungnya membuatkan dia lemas. Merah
hidungnya.
Mariam menjauh. Gila nak dekat, cari penyakit
namanya! Yunus dan Fatihah pula sudah melambak tawa.
Giginya dikacip kuat. Boleh tak kalau dia mahu
selam nyum nyum ni dalam sungai ni? Hesy, benci betullah!
“Kau orang ni kan, asal jumpa aje gaduh. Macam
panjang aje jodoh kau orang,” komen Yunus sebelum masuk
ke dalam sungai diikuti Fatihah.
“Betul,” sokong Fatihah dengan kepala
terangguk-angguk.
“Hah? Aku dengan Dzulapah ni? Huh! Jauh panggang
dari apilah. Simpang malaikat 44, tahu!” Mariam mencemik.
Jodoh? Sepanjang hidupnya tidak pernah dia serius
tentang itu. Buat apa mahu serius? Dia masih muda kut.
Impian dan cita-citanya masih jauh lagi.
Setakat untuk bersuka ria menambah stok koleksi
teman tapi mesra itu berlambaklah. Bukanlah nak perasan
tapi itulah hakikatnya. Boleh dikatakan dialah ratu di
kampung ini. Sebahagian daripada anak muda kampung ini
pernah ‘cinta monyet’ dengannya.
Pengalaman bercinta pada usia yang muda ini,
banyak! Ada manis dan ada pahitnya. Pengalaman! Yang indah
tentang ini adalah pengalaman. Bak kata orang; pengalaman
adalah guru terbaik untuk seorang insan. Untuk manusia
yang sering lupa dan lalai.
“Helo! Kalau kau tak ingin aku sejuta kali tak ingin
tau!” Dzulfahmi menyelam kemudian dia timbul kembali.
Terasa hatinya dengan kata-kata gadis itu. Simpang malaikat
44? Jahat sangatkah dia ini? Nakal saja lebih tapi hati dia
baiklah!
“Weh, kau orang jangan jual mahal tau. Tu, kau
tengok Kak Ana dengan Abang Mie. Dulu diaorang bukan
main lagi tahu bercekau aje. Depan mata aku diaorang
wrestling tau. Tup-tup sekarang... haa, anak dua kau! Itulah,
orang tua selalu sangat cakap, jangan terlalu benci nanti
bertukar sayang.” Panjang lebar Yunus bermukadimah. Erk,
ya ke mukadimah?
“Betul tu, aku sokong. Aku pun dah selalu sangat
dengar ayat tu. Klise tapi hakikat kut. Banyak bukti yang
sudah jelas kita dapat lihat,” celah Fatihah pula.
Buntang mata Dzul dan Mariam pandang dua
sahabat baik mereka itu. Tidak percaya yang kata-kata itu
semua keluar dari mulut dua manusia yang sama bengong
dengan mereka. Dan yang paling tidak percaya, Fatihah ni
boleh saja menyokong apa yang dikatakan Yunus. Musykil!
“Tak payah nak pandang kita orang macam tu. Aku
dengan Fatihah tak bercinta pun. Kita orang kawan baik,”
tekan Yunus di hujung ayatnya.
“Sejak bila?” Serentak Dzul dan Mariam bertanya.
“Dah lama. Weh, kau orang ingat kita orang ni gila
ke nak ikut perangai biul kau orang? Yang biul cukuplah kau
dan Dzul saja,” selar Fatihah tanpa belas.
Pergh... ayat biul Fatihah menusuk ke jantung
Mariam. Sahabat diakah ni?
Yunus ketawa besar. Padan muka keduanya.
Muka Dzul kelat.
‘Suka hati aje cakap aku ni biul. Huh!’

Janda Itu Milik Aku - Bab 1

MARIAM bingkas bangun. Biasan matahari yang
mula masuk dari celah-celah dinding rumah mengganggu
lenanya. Nama pun rumah papan, beginilah fenomena setiap
kali pagi menjengah. Dan fenomena inilah yang akan dia
rindui suatu masa nanti.
Dia menggeliat malas. Jam telefon diintai; terbeliak
matanya melihat jarum jam yang sudah menginjak ke angka
10 pagi. Pergh, lama gila dia tidur! Lepas solat subuh tadi
dia kembali lena. Mengantuk! Macam mana tak mengantuk,
berjaga tengok TV sampai jam 2-3 pagi.
Katil yang bersepah dikemaskan. Bantal yang jatuh
sana sini, diambil dan diletak elok-elok atas katil. Inilah
Mariam, dia memang suka tidur dengan bantal yang banyak.
Kata orang; mereka yang suka tidur dengan kadar bantal yang
banyak ini bijak. Ehem... ehem... Jadi dia ni dalam kalangan
yang bijaklah? Hahaha...
Setelah puas hati dengan keadaan dalam bilik,
Mariam keluar ke ruang tamu untuk melakukan rutin biasa
yang dia lakukan setiap hari. Malah lebih tepat rutin wajib
yang dia perlu lakukan. Tanpa basuh muka atau sarapan dia
memulakan kerjanya. Ruang tamu disapu dan dikemas apa
yang perlu.
Selesai mengemas, matanya menyapa kain yang
diangkat dari jemuran semalam. Banyaknya! Aduh. Dengan
langkah longlai dia mulakan kerja melipat kain. Kenapalah
tak ada mesin lipat kain? Dalam merungut tangan lincah
melipat semua kain di dalam bakul. Selepas ini kerja di dapur
pula menantinya. Setiap hari beginilah rutinnya, sementara
menunggu keputusan peperiksaan SPM.
Sedang ralit melipat kain, tiba-tiba muncul langau
yang tersesat entah dari mana. Pasti sangat tujuan kedatangan
itu untuk menyakitkan jiwa raganya. Huh! Mariam jeling
lelaki di hadapannya siap mimik muka menyampah
ditayangkan. Tanda dia tidak suka akan kedatangan lelaki itu.
Hadoi, silap dia juga lipat kain di muka pintu utama. Konon
nak ambil angin sekali. Haa, ini memang angin yang datang.
Umur mereka sebaya tapi untuk jadi kawan, jauh
panggang dari api. Ada sahaja fi’il budak ini yang menyakitkan
hati dan matanya. Eh, nak kata budak, bukanlah budak dah si
mamat selenga seorang ni. Umur dah nak masuk 18 tahun,
budak apanya lagi. Kerja lelaki ini hanya mengejek dia sahaja.
Entah apa yang dinantikan sangat oleh lelaki ini pun dia tidak
tahu.
“Nyum... Nyum. Rajinnya lipat kain. Kat tangga
rumah kau lipat ek. Sengaja nak tunjuk rajinlah tu,” perli
budak lelaki itu.
“Tak boleh panggil aku elok-elok ke? Mak ayah aku
punyalah susah letak nama cantik, kau... ikut suka kau aje
panggil aku!” marah Mariam.
Dzul juih bibir.
“Macamlah kau panggil nama aku dengan panggilan
yang elok,” sinis Dzul.
“Tapi selalu kau yang mulakan dulu,” pangkah
Mariam tak puas hati. Memang itu yang terjadi. Pergaduhan
akan tercipta antara mereka berpunca daripada lelaki ini.
“Tak kiralah! Hei, ni kau lipat kain kat sini buat apa?
Kenapa tak kau bentang tikar kat atas tanah tu terus! Boleh
buat jualan bundle sekali,” ujar Dzul dengan tawa lepas.
Berasap telinga mendengar sindiran budak lelaki itu.
Kain yang berada dalam tangan ditarik kasar. Jelingan maut
dilemparkan.
‘Kenapalah dia ni kan, suka sangat sakitkan hati aku?
Apalah dosa aku pada dia?’
‘Sabar Mariam. Ingat apa yang Pak Mud cakap. Nama
kau adalah nama ahli sufi yang penyabar orangnya. Biarpun
dihina dan dilemparkan kata-kata keji masih tetap bersabar.
Kau ni baru sikit. Setakat budak sewel yang menjengkelkan
ni saja yang kau kena hadap. Tenang. Sabar.’
Mariam r.a. seorang wanita yang suci. Yang hidupnya
hanya beribadah kepada Allah. Setiap masa dia hanya sujud
kepada Sang Pencipta. Tidak pernah dia keluar dari tempat
dia bermaksiat (beribadat) kepada Allah. Makan minumnya
dijaga oleh malaikat. Begitu sekali Allah memuliakan seorang
wanita ahli ibadah seperti Mariam.

Namun sebagaimana yang firman Allah:
“Adakah kamu mengira kamu bahawa
kamu akan masuk syurga, padahal
belum datang kepadamu (ujian) seperti
yang telah berlaku kepada orang-orang
terdahulu sebelum kamu? Mereka
ditimpa malapetaka dan kesengsaraan,
serta digoncangkan (dengan bermacam
cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman bersamanya:
“Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah
itu amat dekat.”

(Surah al-Baqarah: ayat 214)

Maka didatangkan Mariam dengan ujian yang maha
hebat. Ditiupkan ke dalam rahimnya benih zuriat yang bakal
menjadi nabi yang mulia. Namun, bagaimana seorang wanita
yang hidupnya hanya pada Allah bisa mengandung?
Bermula dari saat itu pelbagai kata keji didengarkan
kepadanya. Tapi dia hanya sabar. Berdiam diri. Kesabaran
yang ada padanya terlalu hebat. Keyakinan Mariam kepada
Allah yang disujud terlalu tinggi.
Mariam tarik nafas. Mengingatkan kisah Mariam r.a.
hatinya sering berasa kerdil. Dan kisah itulah yang dijadikan
pegangan hidupnya agar bersabar. Juga melatih dirinya
agar bertenang dan yakin pada Allah. Dia juga sering kali
mengingatkan dirinya akan sebaris ayat suci itu, agar dirinya
sentiasa kekal tenang saat dilanda ujian.
“Ikut suka akulah nak lipat kain kat mana. Rumah
aku kan.” Lembut tutur kata Mariam tapi dingin.
Dzul tarik sengih. Tahu sangat yang gadis itu sedang
menahan rasa. Lagi Mariam tahan rasa nak meletup tu lagilah
dia suka menyakat. Dia mahu tengok sejauh mana kesabaran
gadis bernama Mariam ini bertahan.
“Yalah, rumah kau kan. Tiap hari aku lalu tak pernah
nampak pula kau lipat kain kat sini. Ataupun kau tunggu si
Meor tu? Aku dengar dia dengan geng dia nak pergi sprong
(menyelam) ikan kat sungai,” ujar budak lelaki itu dengan
senyuman sinisnya.
Tegak badan Mariam.
‘Apa hal pula masuk sampai Meor ni? Eh, kejap!
Yang dia ni melepak depan rumah aku ni apa hal? Nampak
dek Pak Mud dan Mak Senah mahu bernanah telinga aku ni
mendengar bebelan diaorang.’
“Yang kau asyik menempel dengan aku ni kenapa?
Kat sekolah pun macam ni, kat rumah pun macam ni. Dah
tak ada kerja sangat ek? Tak pun otak kau biul sebab tak dapat
tengok aku yang lawa ni?” Mariam senyum bangga.
“Bluwek... Muntah hijau aku dengar perkataan lawa
tu. Kau dan lawa memang tak ngam.” Budak lelaki tu buat
muka loya.
Argh! Bergegar bahu Mariam tahan geram. Mujurlah
anak orang. Kalau adik beradik dia, memang makan kaki dah
mulut tu.
“Weh, aku kan... kadang terfikir. Nama kau klasik.
Mariam! Nama tu kan lawa sangat. Aku suka sangat. Sebab
tulah aku terfikir, agak-agak suami kau nanti nama apa ek?
Mesti klasik juga macam nama kau. Macam nama Leman,
Mail. Tak pun Seman.” Muka yang serius tadi bertukar tawa
terbahak-bahak.
Jatuh rahang Mariam. Tadi bukan main kembang
lagi hati dia mendengar pujian budak lelaki itu. Sekarang
kaki dia yang kembang mahu bagi penyepak. Harap muka saja
handsome, tapi perangai mengalahkan Ali Setan!
“Eloklah nama dia Leman, Seman, Mail daripada
nama kau tu. Dzulpah... lapah... lapah. Urghh! Punyalah
susah nama nak sebut. Terbelit bisu terus bakal isteri kau nak
sebut.” Selamba Mariam membidas.
Kain yang sudah siap dilipat dibawa ke dalam rumah.
Tinggallah Dzulfahmi dengan muka merah kerana geram.
Ada pula nama dia dilapahkannya.
‘Huh! Jagalah kau Mariam. Nanti kau kenalah
dengan aku. Huh!’ Dzul bangun lalu berjalan menuju sungai
yang terletak di belakang rumah Mariam.
Rumah Mariam terletak sedikit ke dalam, jauh
daripada rumah penduduk kampung yang lain. Di sekitarnya
hanyalah rumah saudara-mara mereka sahaja. Di belakang
rumah Mariam terdapat sebatang sungai. Di situlah salah
satu tempat lepak Mariam dan kawan baiknya Fatihah.
Haa, ini baru intro. Fatihah bukanlah satu-satunya
kawan baik Mariam. Segala aktiviti Mariam hanya di rumah.
Opps, itu hanya apabila Mak Senah lancarkan bom atom.
Kalau tidak jangan haraplah mahu tengok Mariam lekat dekat
rumah.
Siapa yang tidak kenal anak Pak Mud ni? Hutan mana
yang dia tidak masuk? Sungai mana yang dia tidak redah?
Denai, baruh, usah cakaplah. Sampaikan kadang-kadang Mak
Senah keliru, adakah Mariam ini anak perempuannya yang
menghidapi penyakit kecelaruan identiti?