DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 5

KOKOKAN ayam di kampung awal pagi raya itu
mengingatkan aku pada kata-kata Imam Al-Ghazali yang
berbunyi;
‘Tidak perlu membandingkan diri
kita dengan orang lain, cukuplah
membandingkan kepintaran diri dengan
ayam yang berkokok di pagi hari. Lihatlah
siapa yang terlebih dahulu bangun untuk
mengingati Tuhannya, maka dialah yang
lebih pintar.’
Nasib baik aku bangun lebih awal, kalah ayam pagi
ini. Aku tertawa kecil dengan kenakalan bisikan hati.
Aku mengintai ke luar jendela. Mengusik jiwa.
Bergema takbir raya ke serata alam, memuji kebesaran Ilahi.
Hari raya, hari untuk bergembira dan bersuka ria. Saling
mengeratkan hubungan silaturahim. Kami anak-beranak,
sekali dengan aku pun sudah digelar cucu opah, hari ini
bangun seawal jam 4 pagi. Menggigil setiap inci tubuhku
tatkala air melata di tubuh.
“Izzah, cepat. Apa basuh pinggan lagi tu? Dah nak
dekat solat ni.”
Aku terpinga-pinga disergah begitu oleh Mak Cik
Zainab. Hah? Cepatnya masa berlalu, dah kena pergi ke
masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Baru aku perasan, hanya beberapa orang sahaja yang tinggal
di dalam rumah.
“Zullin, tak pergi solat hari raya?” Aku sudah
ditinggal sendirian. Umi dan Syaza sudah hilang.
“Uzur kak.” Zullin berbisik malu-malu.
Nampak gayanya aku perlu berjalan seorang. Tak
apalah. Bukannya jauh sangat pun. Berjalan kaki aje.
“Sharif, mari dengan Uncle Is.”
Dalam kekalutan menyarung sandal, suara itu
menarik minatku. Terpanar aku melihat Iskandar berjubah
putih bersih dan berkopiah. Rautnya tampak suci. Terbias
ketenangan di sebalik wajahnya yang matang.
“Sharif nak pergi dengan papa.”
“Papa teman mama sekejap. Adik nangis kat atas.”
“Kan ada botol susu, adik ni manja sangatlah.”
Sharif tak mahu kalah. Jari kelengkengnya bertaut dengan
jari Iskandar.
“Dalam perut mama ada baby lagi, mama mana
sempat nak jaga adik. Mama penat sebab kena bawa baby
dalam perut. Jadi, papa kenalah tolong sekali.” Pandai dia
memujuk sehingga anak itu akur.
“Mak Cik Izzah! Mak Cik Izzah nak pergi solat juga
ke?”
Err... terkedu aku apabila Sharif tiba-tiba menoleh
dan melontarkan soalan itu kepadaku. Rumah sebelah-sebelah
begini memang tak boleh hendak mengintai. Kantoi!
Aku hilang bicara. Segan, menyedari pemilik mata
coklat cair itu tajam merenung ke arahku.
“Hah... ya... ya... Mak Cik Izzah pun nak solat juga
ni.”
“Jomlah sekali,” ajak Iskandar.
Kalau tidak kerana Sharif ada di tengah-tengah,
aku rasa nyaris aku naik kembali ke rumah opah. Lalu,
bersembunyi di dalam bilik. Gelagat lelaki ini mengundang
kejanggalan. Rasanya lebih baik aku berjalan seorang kalau
aku memang seolah-olah tidak wujud di situ.
“Encik Iskandar cuti berapa lama?” Biarlah aku yang
membuka mulut terlebih dahulu.
“Hari raya ketiga saya balik.”
“Saya pun sama. Raya keempat umi kena hantar
Syaza ke airport.”
“Okey.”
Aku membisu. Merona merah wajahku dengan
jawapannya yang acuh tak acuh. Sepatah aku tanya, sepatah
yang dijawab. Dia juga diam. Sesekali lembut membalas
pertanyaan Sharif. Sudahnya, itu sahaja perbualan kami
sehingga sampai ke masjid dan terpisah haluan.
Balik dari masjid, saat yang ditunggu-tunggu
sudah tiba. Menjamu selera. Masing-masing sudah bertukar
pakaian. Aku mengenakan busana songket dari Kelantan
berwarna kuning keemasan. Kepalaku dilitupi selendang
kosong, jingga malap.
“Wah, cantiknya Kak Izzah,” Syaza memuji setelah
aku bersiap.
“Syaza pun cantik.” Aku pandang dirinya yang
tinggi lampai dengan baju kurung Kedah. Nyata, aku seorang
yang lari daripada tema. Kuning dengan merah. Hmm...
manalah aku tahu bahawa keluarga besar mereka sudah
sepakat menggunakan tema yang sama tahun ini. Lagipun,
kepulanganku ke kampung umi tidak dirancang.
“Nanti kita jalan-jalan setiap rumah. Kalau akak
nak tahu, biasa kat kampung opah ni, setiap rumah ada
menu berbeza. Jadi, memang kena ziarah semua. Lepas
sesi bergambar nanti, kita semua turun ya. Rumah pertama
yang Syaza nak serbu, tuuu....” Mulutnya dimuncungkan ke
rumah sebelah.
“Nak minta angpau dari orang KL. Abang Sham dan
Abang Is... hehe...” Syaza gelak jahat dengan kenyitan mata.
“Kak Izzah pun ada angpau juga untuk Syaza.
Taraaaa.” Aku melayangkan sampul berisi wang itu
kepadanya.
“Wah!” Pandangannya bersinar-sinar. “Terima kasih
Kak Izzah.”
“Ini tak seberapa pun dibandingkan dengan layanan
umi, Syaza dan keluarga yang lain pada akak. Akak rasa
dihargai dan disayangi. Thank you, adik.”
Syaza memelukku. Sesungguhnya aku bercakap
daripada sekeping hati. Rasa yang jarang-jarang singgah
menjelang hari raya hadir bertapak di hati, membuai lembut
naluri dan perasaanku buat beberapa hari ini.
“Buat macam rumah sendiri, akak. Syaza ni anak
tunggal. Bila ada yang nak jadi kakak Syaza, memang Syaza
suka sangat. I’m happy meeting you. Akak lemah lembut,
baik, sopan santun...”
“Okey, bunyinya macam nak tambah sampul lagi ni,”
selorohku mencetuskan tawa mengekek Syaza.
Kami keluar dari bilik. Ruang tamu rumah sudah
dipenuhi dengan cucu menantu opah. Umi ligat di dapur.
Para lelaki menjamu selera. Aku nampak Pak Cik Ishak,
Hisham, Iskandar, Acu dan beberapa orang remaja di ruang
makan yang sama.
“Tambah, pak cik.” Satu jag tembikai susu aku sua
kepada mereka.
“Makan, Kak Izzah...” Acu menegur.
“Tengok aje tak kenyang, Izzah. Mari makan,” Pak
Cik Ishak pula yang mengajak.
“Haahlah. Tu, kat bawah pokok tu, diaorang dah
buat geng melantak tak ingat dunia, awak bila lagi nak join
sekaki?”
Aku tersenyum diusik begitu, banyak-banyak mulut
yang bersuara, lelaki bernama Iskandar itu sedikit pun tidak
mengendahkanku. Dia seakan tenggelam dalam dunianya.
Entah kenapa, aku sedikit terkilan. Tak aku fahami, kenapa
hati resah sendiri dengan perlakuannya.
“Attention please... Perhatian semua! Perhatian
okey... perhatian... TV3 ni Mak Cu Za yang punya dari jam 10
pagi sampai jam 12. Tak boleh ada yang kacau daun. Faham
tak anak-anak? Do not disturb! Thank you, Mak Cu Za love
you all.”
“Makan ajelah TV tu, Acu Za...”
“Alaa... pak ngah ni... ada ke nak disuruh makan?
Kalau Acu Za makan TV, siapa nak habiskan limas ni?”
“Huh! Budak bertuah ni tak habis-habis melalak.
Apalah yang dia minat sangat, tak faham betul mak ngah
dengan jiwa orang muda ni.” Kudengar mak ngah membebel.
“Acu Za minat siapa mak ngah? Mata dia tak berkelip
tengok TV dari tadi. Kalau iklan cepat-cepat pergi cari
makanan. Dah on balik cerita tu, ternganga depan TV.”
“Pelakon hot sekarang inilah.”
“Siapa?”
Telingaku tajam mendengar.
“Jeffry.”
Siapa tu?
“Jeffry Ishan, pelakon handsome tak ingat dunia
kononnya itulah.”
Mataku sedikit membulat. Tawaku terhambur tanpa
sempat aku tahan. Jeffry Ishan... ermm.... baru aku teringat,
dua hari ini, telefon pintarku tidak selalu di tangan. Pasti ada
khabar daripada mereka. Ah, betapa aku alpa tentang mereka.

“SELAMAT HARI raya, papa. Kirim salam Izzah pada
mummy, Jeff, Sera, nenek, dan semua,” ujarku perlahan
di corong telefon. Seperti yang aku duga, berbelas-belas
miscalled daripada papa. Tidak cukup dengan itu, papa juga
menghantar pesanan melalui WhatsApp. Belum dikira lagi
dengan pesanan WhatsApp daripada Sera dan Jeff.
“Selamat hari raya sayang. Papa rindu anak papa.
Macam mana? Seronok beraya di kampung umi?”
“Alhamdulillah, gembira sangat pa. Papa, Izzah
minta maaf. Papa call banyak kali, Izzah tak perasan. Telefon
dalam bilik. Izzah sibuk tolong kat luar.”
“Tak apa. Papa bimbang aje. Izzah tak ada reply
WhatsApp papa sejak semalam. Itu yang papa call. Masuk tak
suasana kampung tu dengan Izzah?”
“Alhamdulillah. Izzah boleh sesuaikan diri kat sini.
Keluarga umi pun baik-baik. Kat sini tenang sangat. Rasa
rugi pula tahun-tahun sebelum ni Izzah tolak pelawaan umi.”
Aku ketawa kecil.
“Pelawaan papa tak rasa rugi ke tolak?”
Lembut pertanyaan itu menusuk hati. Spontan,
bicaraku mati. Ah! Papa masih terasa.
“Papa...”
“Papa bergurau ajelah, sayang.”
“Mummy, Jeff dan Sera mana pa?” soalku mengalih
perhatian papa.
“Orang beraya, mereka semua pergi buat lawatan
pula. Papa malas nak mengekor. Yang separuh abad rehat kat
rumah. Orang muda keluar bertebaran,” ujar papa.
10 minit berbual dengan papa di bawah pohon
rambutan, aku memutuskan talian setelah Syaza melaung
namaku. Rupa-rupanya, Syaza mengajak aku untuk turut
serta dalam sesi bergambar.
“Jom Izzah, join sekaki,” gamit Aza lagi. Dia begitu
manis dalam baju mengandungnya. Mereka semua sedondon
kecuali aku dan err...
“Eh, Abang Is ada genglah. Sama-sama kuning pula
tu. Ada jodoh kut ni Abang Is,” usik Abang Mi disambut tawa
Hisham dan Acu Za.
Mukaku mula berona merah apabila dipadankan
dengan Iskandar. Hesy, sibuk pula lelaki seorang ini berbaju
kuning.
“Kerabat dirajalah kut. Eh Is, kau anak raja ek?”
Hisham menambah pula.
Iskandar tak beriak. Dia menjongket bahu, malas
hendak melayan usikan saudaranya.
“Hesy, sudah-sudahlah kamu berdua mengusik
Izzah dan Is. Izzah ni tetamu yang umi bawa. Manalah dia
nak bertema bagai,” bebel umi membuatkan Abang Mi
tersengih-sengih.
“Okey... Mi zip mulut ya umi. Tapi, Kak Izzah dan
Abang Is... kita snap gambar dululah. Buat kenangan, ada
kerabat diraja di pagi raya dating di Kampung Paya Lintah.”
Err... ketika ini, aku perasan akan sorotan tajam
Iskandar memanah pada tubuhku.
“Tak apalah...” tolakku segan. Namun, Abang Mi buat
tak dengar. Dia dah bersedia dengan kamera di tangan. Nak
tak nak, Iskandar berjalan perlahan ke arahku dan beberapa
minit kemudian, gambar kami terakam. Menjadi kenangan.
Selesai sesi bergambar, Aza mengajak aku menziarahi
rumah ke rumah seperti yang dijanjikan.
Rumah sebelah dituju.
“Naiklah Syaza.”
“Abang Is, Syaza nak duit raya.” Dengan muka tidak
malunya, Syaza berlagak bagai menagih hutang. Spontan,
Iskandar tergelak.
“Tak menyempatlah adik sepupu abang ni. Makanlah
dulu, baru boleh duit raya. Ni korang nak berjalan ke mana
lagi lepas ni?”
“Rumah Abang Is rumah pertama. Jadi, perjalanan
kami masih panjang. Datang sini pun sebab dah janji nak
ziarah sekali dengan Kak Aza.”
“Ehhh, sampai sudah dia. Naik, naik, naik!” Meskipun
langkahnya agak perlahan, Aza masih gagah bersuara.
“Aku sediakan makanan dulu, Aza.” Iskandar
memandangku. “Naiklah, Izzah.”
“Mana semua orang?” soalku sekadar berbasi-basi.
Sememangnya, hanya ada aku, Iskandar dan si comel yang
aku lihat di R & R Tapah dulu, anak kedua Aza yang sedang
tidur pulas di atas tilam bayi di sebelah sofa. Syaza dan Aza
menghilang ke dapur.
“Semua dah pakat turun ziarah. Awak terlambat
sampai ni.”
“Encik tak ikut sama?”
Dia tersenyum kecil seraya menggeleng.
“Malas, saya jaga rumah aje. Cik Izzah nak apa, sate?
Laksa Penang? Nasi minyak?” soal Iskandar berkira-kira
mahu menghidangkan makanan kepadaku.
Segera aku menggeleng.
“Saya cuba kuih sajalah. Perut masih sendat makan
di rumah opah tadi.”
“Diet ya?” Terkesima aku melihat kerlingan nakalnya.
Bermimpikah aku? Adakah lelaki ini sedang bercanda
denganku? Dua hari di sini, mana pernah aku melihat dia
begitu. Serius memanjang. Kadangkala, dia seolah-olah
sengaja tidak menegurku. Tingkah yang membuatkan aku
kurang selesa. Hanya dengan dia. Ya, hanya dengan Iskandar.
Tetapi, gayanya pagi raya ini membuatkan aku mula
terasa seperti sukar bernafas. Agaknya, di hari yang mulia
ini, dia mahu menjalinkan silaturahim. Mungkin. Soalan itu
terbiar sepi.
“Cik Izzah.” Gemeresik suaranya memanggil
sepotong namaku. “Saya macam pernah terjumpa awak,
tetapi tak ingat di mana.”
Keningku terjongket sedikit. Tart nanas kugigit
lembut.
“Encik salah orang agaknya. Dalam dunia ni, ada
tujuh orang yang mukanya mirip. Agaknya yang encik jumpa
tu, salah seorang kembar seiras saya tak?”
Jejaka itu tersenyum.
“Mungkin kut. Saya betul-betul tak dapat nak
ingat. Oh, ya... tak perlu berencik dengan saya. Pelik pula
saya dengar ada yang panggil saya encik di kampung. Boleh
panggil saya Iskandar.”
Bibirku menguntum senyum.
“Saya pula, Izzah!”
Iskandar ketawa. Terbuai aku melihat manisnya
senyuman dia. Bukan kepalang rasa gembira di hatiku
dengan perubahan layanannya. Mesra. Bibit-bibit kemesraan
bagaikan baru berputik antara kami. Biarpun beberapa hari
lepas pernah aku merasakan dirinya sombong, hari ini sedikit
demi sedikit persepsiku terhadap Iskandar berubah. Tidaklah
seratus peratus kerana naluri hati yang pertama jarang sekali
tersilap.
Anganku tidak lama kerana sesudah itu hanya
keheningan antara kami. Ceria yang berputik kembali kuncup
tanpa sempat memekar sepenuhnya di segenap ruang jiwa.
Iskandar membisu. Aku pula bungkam tanpa suara. Tidak
lama kemudian, Syaza dan Aza muncul. Iskandar meminta
diri.
Tidak mahu terlalu melayan lara di hati, aku
cuba mengembalikan keceriaanku dengan ‘masuk’ dalam
perbualan bersama Syaza dan Aza. 20 minit kemudian,
mereka mempelawa aku ke rumah yang seterusnya. Iskandar
langsung tidak menghantar pemergian kami. Ralat aku
rasakan. Lebih geram dengan perasaanku yang berbolak-balik,
terkenangkan Iskandar.
Rumah demi rumah kami ziarahi. Betullah kata
Aza, sampai rasa nak tercabut kaki. Masalahnya, aku tidak
nampak Syaza mengalami masalah kejang kaki. Lebih
menghairankan, Aza yang membawa perut itu seperti anak
dara yang melenggang-lenggok sahaja. Tidak putus-putus
mereka bercerita dan makan. Aku yang melihat ini sudah
tidak larat hendak makan. Bukan tidak terliur tetapi mungkin
kerana aku tidak terbiasa dengan suasana raya yang meriah
begini. Tidak dapat aku sembunyikan rasa syukur kerana
diterima baik dalam keluarga umi.
Aku pandang rumah berwarna biru lembut di
hadapan. Sipi-sipi sahaja pada pandanganku. Rumah yang ke
berapa sudah ni, aku pun tak tahu. Tetapi laluan di tembok
jalan itu begitu penuh dan agak sesak dengan kereta dan
motosikal.
‘Ada juga yang buat kenduri kahwin pada hari raya
pertama ke?’ otakku menyoal penuh panasaran.
“Sebelah rumah Mak Temah ni ada kubur, Izzah.
Itu yang kereta banyak. Tambah pula, anak-anak Mak
Temah ni memang ramai. Dulu, masa kami kecil-kecil, kami
belajar Al-Quran dengan Mak Temah. Lepas tu, nak balik
malam-malam riuh sekampung sebab konon takut hantu
kubur kejar. Sadis betullah bila ingat waktu jadi kanak-kanak
Ribena dulu.” Laju sahaja Aza menjawab persoalan yang
bermain di mindaku.
Syaza di sebelah tergelak-gelak. Barangkali, dia juga
membayangkan kisah dahulu.
Aku berdiri di birai jalan. Mataku tertancap pada
kawasan kubur yang luasnya hanya sekangkang kera. Pukul
12 tengah hari begini, kubur itu tiada pengunjung. Matahari
terik di kepala. Namun, hanya sedetik cuma, bebola mataku
jatuh pada seseorang di situ. Aku mengecilkan anak mata,
betulkah orang itu? Hairan sungguh aku melihat kelibat
‘tetamu’ di kubur pada jam sebegini, ketika sinar mentari
hangat membahang. Kenapa tidak menziarahi awal pagi
sahaja atau petang nanti? Bukankah lebih selesa? Tidaklah
terbakar dek mentari.
Aku terus memerhati. Tidak aku sedari Aza dan
Syaza sudah melangkah meninggalkan diriku. Aku masih
pegun bak tiang di situ. Lelaki itu sedang tunduk menadah
tangan. Lama. Bahang mentari yang aku yakin sedang
memancar dan menyilaukan pandangan serta peluh yang
pastinya membasahi tubuhnya seakan tidak menjadi kudis
buat lelaki itu. Dia masih khusyuk dalam doa yang panjang.
Tidak terkesankah dia dengan bunyi ngauman motor yang
lalu-lalang di sekitar? Tidak bingitkah telinga lelaki itu?
Siapakah dia? Hatiku melonjak mahu menatap.
Permintaan hati kecilku dimakbulkan Tuhan tatkala
lelaki itu mendongak.
Aku tersentak. Mulutku terlongo tidak menduga
akan bertemu dia di sini.
Iskandar!

LEWAT MALAM itu, aku bersendirian di dalam bilik. Perlahan
aku pejamkan mata. Lena yang aku harapkan tidak kunjung
tiba. Hendak menonton televisyen di sana, malu pula mahu
menjengah keluar. Apatah lagi, memikirkan aku perlu
berjalan melalui anak-anak yang tidur pulas di ruang tamu
itu. Fikirku, ada baiknya aku di sini sahaja sementelah jam
pun sudah menginjak ke angka 1. Syaza pula masih di luar.
Aku bergerak ke tingkap. Selak pintu aku buka.
Lantas, jendela yang berhadapan dengan tingkap bilik yang
aku diami ini terbias di mata. Bilik itu bilik Iskandar. Aku
tahu kerana beberapa kali aku terpandangkan dirinya dua hari
ini di balik tingkap itu. Bukan niatku hendak menghendap
anak teruna orang, cuma terpandang sahaja. Kerana itu juga,
tingkap ini tidak selalu aku biarkan terbuka. Bimbang andai
terpandang sesuatu yang tidak sepatutnya.
Bayangan Iskandar dengan kelopak mata yang basah
menghiasi kotak fikiranku. Sejak tengah hari tadi, figura
lelaki itu tidak pernah lelah berlegar-legar dalam minda.
Apa kena dengan aku? Sudah terasukkah aku dengan wajah
pilunya? Benar, hati terasa hanyut dengan kesedihan biarpun
aku tidak pasti sedih dia kerana apa.
Kubur siapakah yang Iskandar ziarahi? Ibunya,
ayahnya? Saudara-maranya mungkin?
Bagiku, tidak dapat menahan kepiluan tika
menziarahi pusara mereka yang telah pergi meninggalkan
kita itu perkara biasa. Malah, aku yang sekadar menatap wajah
mama melalui kepingan gambar sahaja selalu menangis jika
pergi menziarahi pusara mama.
Namun, bukan... bukan itu yang aku kenangkan. Aku
begitu terkesan melihat air mata di pipi Iskandar. Sungguh,
matanya bagai menanggung beban yang berat sekali. Sayu dan
redup pandangannya menyentuh sanubariku. Seolah-olah
ada sesuatu dalam jiwa. Terlalu payah untuk dilepaskan,
hanya mampu membiarkan jernihan air daripada kelopak
mata membasahi lekuk-lekuk di pipi.
Iskandar terlalu leka dalam dunianya, sehingga tidak
sedar aku begitu lama memerhatinya siang tadi.
Mata kupejam lagi. Ah, Iskandar... Sengsara apa yang
engkau tanggung wahai lelaki, sehingga begitu sekali engkau
berduka?
Hati merengus memikirkan aku terlalu hanyut
membiarkan figura Iskandar memenuhi sudut jiwa.
“Kak Izzah... haiyaaa... tak tidur lagi? Syaza nak
pengsan dah ni.” Syaza sudah bergolek di sebelahku. “Bestlah
melayan movie malam raya ni kak. Tambah pula kalau
pelakonnya Jeffry Ishan.” Syaza buat muka gatal. “Handsome
sangatlah dia, kak. Tak bolehlah kalau tengok dia berlakon.
Memang melekat depan TV. Rasa nak cium-cium aje TV tu.”
Alahai, muncul lagi nama lelaki seorang itu.
Nampaknya Jeffry Ishan memang terkenal di kampung ini.
“Tahun ni dia beraya di Switzerland, kak. Kalaulah
Jeffry tu buat rumah terbuka... Syaza nak call PA dialah,
Syaza nak pergi juga. Selfie sekeping pun jadilah.” Lumrah
dunia hiburan, artis beraya di mana pun boleh menjadi topik
hangat bualan, dan Jeff tidak pernah ketinggalan.
Kasihan juga aku melihat Syaza dan Acu Za ni
bersungguh-sungguh mahu bermimpikan Jeff. Hmm...
agaknya kalau aku ceritakan kisah seorang Jeff yang selalu
bangun lambat dan makan tanpa gosok gigi itu, mahu hilang
minat mereka kepada Jeff. Hatiku tertawa mengingatkan
kenakalan Jeff. Agaknya, apalah reaksi mereka jika aku
katakan bahawa Jeffry Ishan itu, aku kenal benar? Kenal
sangat! Jalan selamat, lebih baik aku berdiam dahulu.
“Syaza...”
“Ya...”
“Akak nak tanya.”
“Ada apa kak?” Syaza pandang aku.
“Iskandar tu sepupu Syaza juga ke? Dia anak siapa
ya?” Seingat aku, aku sudah diperkenalkan dengan satu per
satu anak-beranak opah. Tetapi, Iskandar itu tidak termasuk
dalam list keluarga ini. Mungkinkah mereka tercicir atau aku
tersalah dengar? Setahu aku, Iskandar sekadar diperkenalkan
sebagai kawan Hisham, dan kawan Aza juga.
“Eh, kenapa akak tetiba tanya fasal Abang Is ni?
Terkenan eh?” Ada nada mengusik di situ.
Aku tergelak menyembunyikan rasa hati.
“Apa ke situ pulak Syaza ni? Akak saja nak tahu.”
“Taklah. Abang Is tu bukan sepupu Syaza. Abang Is
dari kampung sebelah, Kampung Laneh. Dia kawan Abang
Hisham dari tadika lagi. Mak dan ayah Abang Is dah meninggal
masa dia kecil. Lepas pak cik dia masuk penjara, rumah tu
dijual. Jadi, kalau nak beraya di kampung, Abang Is memang
beraya kat sini. Hah, lagi satu... rumah kat sebelah ni Abang
Is dah beli 2 tahun lepas. Pak Cik Salleh yang duduk sebelah
rumah ni pindah ke kampung isteri dia di Negeri Sembilan.
Dijualnya rumah, Abang Is beli tanah tu. Syaza adalah tanya
umi, macam mana Abang Is boleh sampai beli tanah tu, bukan
murah Pak Cik Salleh tawar harga. Rupa-rupanya, Abang Is
jual tanah peninggalan arwah ayah dia, dia beli tanah sebelah
ni. Lebih luas. Untung!”
“Lagipun dia memang baik dengan opah dan arwah
tok. Kami pun dah anggap dia macam keluarga sendiri.
Mungkin sebab memang kenal dari kecil. Zaman kecil-kecil
dulu, Abang Is selalu lepak sini. Kalau kena marah dengan
pak cik dia yang jahat tu, rumah inilah dia tidur.”
Aku mengangguk-angguk tanda mengerti dengan
penjelasan Syaza. Panjang lebar gadis ini bercerita kepadaku.
Fahamlah aku kini, mungkin tangisan lelaki itu kerana rindu
kepada kedua ibu bapanya. Hatiku belas.
“Pak cik dia kena tangkap, kenapa?” Terasa
melebih-lebih pula aku bertanya, tetapi aku begitu kepingin
untuk tahu.
Soalanku dibalas dengan jongketan bahu.
“Tak pasti pula. Masa tu Syaza kecil lagi. Memang
jadi isu besarlah fasal pak cik dia tu. Kesian Abang Is. Malu
dia, orang duk sebut fasal keluarga dia.”
“Dia macam sombong aje.”
Kali ini Syaza tergelak kecil dengan omelanku.
“Sikitlah. Kalau akak kenal dia lebih rapat, mungkin
pandangan akak pada dia berbeza. Syaza pun biasa-biasa aje
dengan Abang Is ni. Bukan selalu bertemu pun. Kalau raya ni
tak ada dalam kalendar Malaysia, tak jumpalah kami, kak. Apa
pun, kawan baik Abang Is tu memang Abang Sham sorang.
Yang lain, dia tak pandang,” getus Syaza mengundang
ketawaku.
Geli pula tekak aku mendengar. Rapat sangat ke
mereka itu? Janganlah rapat yang pelik-pelik pula.
Buat sedetik dua, nama Iskandar terpahat di hatiku.
Entah kenapa, bayangan dia mengesat lembut air mata di pipi
tidak mampu lari daripada mindaku. Lelaki itu... aku pasti
punya cerita luka yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment