DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 1





AYAM yang sudah diperap dimasukkan ke
dalam ketuhar. Masa dan suhu kepanasan diputar ke tahap
sewajarnya. Sementara menunggu ayam dibakar, dia beralih
ke resipi seterusnya.
Puding karamel dipilih sebagai menu pencuci
mulut. Suaminya memang penggemar puding karamel.
Campak itu, campak ini akhirnya puding karamel siap dan
segera dimasukkan ke dalam peti ais.
Kini perhatiannya beralih pula ke meja makan.
Kerusi yang ada 6 buah dikurangkan menjadi 2 buah.
Cukuplah untuk dia dan Johan sahaja. Arisa dan Ariz awal
pagi lagi sudah mengikut mak long mereka balik bercuti
di kampung. Kebetulan, budak-budak sekolah sudah mula
bercuti. Bolehlah anak-anaknya itu bercuti lama sikit di
kampung halaman.
Sebagai pencinta seni reka dalaman, menghias
bukanlah satu perkara sulit bagi seorang Nur Ayana Binti
Rahman. Bunga calla lily putih yang terletak elok di dalam
pasu kristal diletak di tengah meja makan. Kemudian, pinggan
diletak kemas berhadapan dengan kerusi. Sudu, garpu dan
pisau disusun rapi di tepi pinggan. Sementara cawan turut
diletak di sudut sebelah atas kanan pinggan. Tak perlu banyak
hiasan, cukup hanya letak dua ketul lilin beraroma di setiap
penjuru bagi menaikkan lagi seri di atas meja makan.
Lesung pipit di kedua belah pipi Ayana melekuk
dalam apabila senyumannya melebar. Puas hati dengan
hiasan di atas meja. Selesai menghias, dia perlu berhias diri
pula. Lantas langkah dibawa ke tingkat atas.
Pintu wardrobe dibuka luas. Sehelai gaun merah
yang baru dibeli minggu lepas ditarik keluar. Sengaja dia
memilih gaun merah paras lutut potongan seksi tanpa
lengan itu. Sempena ulang tahun perkahwinan yang sudah
mencecah 10 tahun. Sesekali berpakaian seksi di depan
suami, apa salahnya. Tanpa menunggu lama, Ayana bergerak
ke kamar mandi yang terletak di bilik utama.
Di hadapan meja hias, dia membelek tubuh yang
sudah dibaluti gaun merah separas lutut. Sudah lama dia
tidak mengenakan pakaian begini. Sebaik sah bergelar isteri
Johan Izuddin Bin Johari, Ayana tidak lagi memakai pakaian
menjolok mata. Biarlah perhiasan yang ada pada dirinya ini
dipertonton buat suaminya sahaja. Itu yang terbaik.
Duduk menghadap cermin hias, dia kini memulakan
aktiviti menyolek wajah. Menconteng wajahnya dengan
warna-warna ceria. Solekannya tidak terlalu tebal. Cukup
sekadar menaikkan seri wajah sahaja. Tak perlu bersolek
seperti pengantin baharu.
Sebut fasal pengantin, senyuman Ayana melebar
lagi. Hari ini, 17 Ogos, genap 10 tahun usia perkahwinannya
bersama Johan.
10 tahun yang amat berharga.
10 tahun yang cukup membahagiakan.
10 tahun yang mengajar mereka hidup sebagai satu
pasukan.
Dan dia berharap mereka akan terus bersama hingga
ke akhir hayat.
Selesai merias diri, Ayana turun semula ke tingkat
bawah. Menyediakan makan malam yang amat bermakna.
Sedang sibuk dengan kerjanya itu, bunyi pintu dikuak
kedengaran. Segera dia menghentikan kerjanya. Meluru ke
ruang tamu dengan senyuman semanis gula. Menyambut
kepulangan suami tercinta.
“Abang dah balik?” sapanya sebaik kelibat Johan
kelihatan di ruang mata. Dia terus melangkah menghampiri
sang suami yang terkedu. Barangkali terkejut melihat
penampilan dirinya malam ini. Atau juga terpukau
melihatnya.
Bersama senyuman yang masih mekar di bibir, Ayana
mencapai tangan Johan. Tunduk, sebelum tangan itu dicium
sebagai tanda hormat.
Tidak berkedip mata Johan memandang isterinya.
10 tahun berlalu, malam ini Ayana mengingatkan dia pada
pertemuan pertama mereka. Ayana yang cantik. Ayana yang
manis. Ayana yang punya aura sampai dia tidak berfikir
panjang menjadikan wanita itu suri dalam hidupnya. Dia
terpanar.
Klik!
Petikan jari di depannya mengembalikan Johan ke
alam nyata.
Ayana menjongket kening sambil terus menebar
senyuman. Terserlah indah lesung pipit di kedua belah
pipinya yang halus mulus.
“Abang mesti penat kan? Pergilah mandi. Solat dan
lepas tu kita makan. Oh ya, baju abang Aya dah gantung
belakang pintu,” ujar Ayana lebih kepada satu arahan.
Berharap suaminya sudi memakai baju yang dia beli.
Namun, Johan tidak mengendahkan arahannya
itu. Pergelangan tangan Ayana ditarik sehingga tubuh dia
terdorong ke sisi sang suami. Pandangan mereka bersatu.
“You look so pretty tonight,” puji Johan tanpa
berselindung. Kagum melihat kecantikan isterinya. Meskipun
sudah 10 tahun berkahwin, namun Ayana bijak menjaga
kecantikan diri. Luaran dan dalaman.
Pujian Johan kedengaran gemeresik di telinga.
Membuatkan dada Ayana tiba-tiba dilanda debar. Pelik kerana
ini bukan pertama kali lelaki itu memujinya begitu. Sudah
acap kali dia mendengarnya. Namun kali ini, ia kedengaran
berbeza sekali.
Dalam senyum, Ayana merapatkan dada ke tubuh
Johan. Deru nafas sang suami terasa menampar kulitnya.
Sengaja dia bermain-main di dada bidang lelaki itu.
Perlahan-lahan, butang baju kemeja yang melekat di tubuh
Johan dibuka satu per satu.
“Sebab malam ni istimewa.” Sambil terus membuka
butang baju si suami, Ayana berbicara mesra.
Dahi Johan tiba-tiba berlapis tiga. Malam istimewa?
Sumpah! Dia tidak ingat.
Kerutan di dahi Johan jelas menunjukkan bahawa
dia lupa tentang malam istimewa ini. Ayana sedikit kecewa.
Namun dia tidak mahu perasaan yang menular mengganggu
rancangan yang telah diatur. Dibuang jauh perasaan yang
mengganggu.
“Abang pergilah mandi dulu. Nanti Aya beritahu
apa yang istimewanya malam ni. Okey?” Tidak mahu
berlama-lama di sisi suami, Ayana mula mengatur gerak. Ada
kerja yang perlu diselesaikan sebelum suaminya itu turun
semula.
“Sayang tak nak mandi sama ke?”
Soalan Johan berjaya memaku langkah Ayana di atas
lantai. Dia berpaling. Ada senyuman nakal terlukis pada ulas
bibir suaminya itu.
“Abang mandilah sorang. Aya dah mandi. Lagipun
kalau mandi berdua nanti, takut kerja Aya di dapur tu tak
siap-siap,” balas Ayana. Turut melempar senyuman penuh
makna.
“Alah... tak seronoklah mandi sorang. Sejuk.”
Hesy, macam budak-budak! Mengada-ada lebih!
“Apa susah? Abang gunalah pemanas air. Hangatlah
air tu nanti.”
“Tapi tak sama hangat kalau sayang ada sekali.”
Johan kenyit mata. Terserlah kenakalannya.
Ayana geleng kepala. Makin dilayan, semakin
menjadi pula nakal suaminya itu. Tidak mahu melayan
kenakalan Johan, dia bergerak ke dapur. Menyudahkan kerja
yang tergendala. Dibiarkan Johan mendaki anak tangga
seorang diri.
20 minit kemudian, Johan turun ke bawah dengan
baju kemeja yang telah dipilih si isteri buatnya. Butang
baju bahagian atas dibiarkan tidak terkatup. Menyerlahkan
bahagian dada yang berotot. Kalau Ayana kelihatan seksi
dengan gaun merah paras lutut tanpa lengannya itu, dia juga
tidak mahu mengalah.
Ayana tersenyum. Melihat Johan menuruni anak
tangga, masa dirasakan bergerak begitu perlahan. Suaminya
itu tampak menggoda dengan auranya yang tersendiri. Untuk
sekali lagi, dia jatuh cinta pada lelaki yang sama berulang kali.
“Hmmm... sedapnya. Sayang ke yang masak?”
Melabuhkan duduk di atas kerusi, Johan bertanya. Mata
melekat ke arah hidangan yang terdapat di depan mata. Perut
mula terasa lapar.
“Mestilah Aya yang masak. Khas untuk abang,” balas
Ayana.
Sejak awal perkahwinan mereka, dia memang tidak
perlukan khidmat pembantu rumah. Segala urusan kerja
rumah dilakukan sendiri. Walau sibuk dengan perniagaan di
kafe, tetapi itu bukanlah satu halangan untuk dia menjalankan
tugas sebagai seorang isteri.
Johan kalih pandangan memerhati segenap ruang di
dalam rumah. Terasa ada yang kurang. Baru sedar rumah ini
terasa sunyi tanpa suara Arisa dan Ariz. Tidak seperti selalu,
kepulangannya pasti akan disambut suara dua beradik yang
banyak celoteh itu. Di manakah anak-anaknya? Soalan yang
berlegar dalam kepala diluah kepada Ayana.
“Arisa dengan Ariz mana? Baru perasan diaorang
takde.” Pertanyaan Johan menghentikan potongan ayam di
atas pinggan Ayana. Anak mata mendarat ke wajah suami
yang sedang tercari-cari kelibat anak-anak.
“Arisa dengan Ariz kan ikut kak long sekeluarga
balik kampung. Kan Aya dah beritahu abang semalam yang
anak-anak nak balik kampung cuti sekolah ni. Nak duduk
lama sikit dengan mak di kampung. Abang tak ingat ke?”
Pap!
Johan tepuk dahi. Baru teringat tentang itu.
Sibuk sangat dengan kerja sampai tidak ingat langsung
anak-anaknya balik bercuti di rumah mak mentuanya di
Melaka. Ikut kakak ipar dan suami serta anak-anaknya siang
tadi.
“Banyak sangat ke kerja sampai abang tak ingat apa
yang Aya cakap?” soal Ayana. Sedikit berjauh hati dengan
sikap Johan sejak kebelakangan ini. Kalau sibuk dengan kerja
sekalipun, takkan hal begitu suaminya tidak ingat?
“Sorry sayang... abang sibuk sangat kebelakangan ni.
Sampai tak ingat sayang dah beritahu Arisa dan Ariz ikut kak
long balik kampung.”
Disapa rasa bersalah, jari-jemari Ayana diraih. Tidak
mahu wanita itu merajuk. Salahnya kerana sering terlupa
sejak kebelakangan ini.
Ayana hela nafas. Cuba memahami. Perasaan
jauh hati yang tadi mengetuk, dibuang jauh-jauh. Sebagai
Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat menjual kenderaan
mewah, sudah tentu suaminya itu tidak lepas daripada
kesibukan yang terus membebankan. Masanya juga berbeza
dengan Ayana yang menguruskan perniagaan sendiri.
“Oh ya, sayang kata malam ni malam istimewa. Apa
yang istimewa?”
Sedari tadi dia mencari, apakah yang istimewanya
malam ini? Sampaikan Ayana beria menelefonnya siang
tadi menyuruh dia balik awal. Itu pun dia tidak dapat balik
seawal yang boleh. Kesesakan lalu lintas membuatkan dia
terperangkap di atas jalan raya.
“Betul abang tak ingat?”
Kepala digeleng.
“Sikit pun tak ingat?”
Beria pula kepalanya diangguk.
Ayana hela nafas. Tak guna terus memaksa. Suaminya
itu memang tak ingat walau sikit pun hari bersejarah mereka.
Malas bermain tarik tali, Ayana berterus terang.
“Hari ni, 17 Ogos, 10 tahun yang lepas, tarikh inilah
abang memperisteri Aya. Jadikan Aya suri hidup abang yang
sah. Sampai bila-bila Aya takkan lupa tarikh perkahwinan
kita. Selamat ulang tahun perkahwinan, abang. I love you so
much.”
Jeda.
Tak terluah kata-kata Johan. Lidahnya kelu
mengungkap kata. Rasa bersalah kerana terlupa tarikh
penting itu. Dihambat rasa bersalah, dia bangun daripada
duduk dan melangkah mendapatkan Ayana. Lalu dia melutut
di hadapan isterinya itu.
“Maafkan abang, sayang. Maafkan abang sebab lupa
tarikh penting kita. Abang tak patut lupa. Teruknya abang
sebab lupa tarikh penting kita. Abang memang suami yang
tak ba...”
“Syhhh...” Laju Ayana tekap jari telunjuknya ke bibir
Johan. Kepala turut digeleng sama. Tidak mahu suaminya
meneruskan ayat itu. Padanya, Johan merupakan suami
dan ayah yang terbaik. Mungkin kesibukan membuatkan
suaminya lupa tarikh bersejarah ini. Tidak sedikit pun dia
menyalahkan Johan.
“Aya tahu abang sibuk. Abang penat sampai lupa
tarikh ulang tahun perkahwinan kita. Takpe... Aya maafkan.”
Ayana terlalu memahami. Cuma Johan saja yang
sudah kurang memberi tumpuan kepada wanita itu sejak
kebelakangan ini. Sibuk dengan urusan yang entah apa-apa.
Bukan dia tidak cuba mengelak, tapi dia tak mampu. Hatinya
mendesak dan dia terus terperangkap dengan urusan satu itu.
“Terima kasih sayang kerana menjadi isteri yang
baik. Mama yang hebat kepada anak-anak kita. Abang bertuah
memiliki isteri seperti sayang.”
Jari-jemari Ayana disulam ke jemarinya. Satu
kucupan dibenam di situ. Kemudian kepalanya dipanggung
menentang anak mata sang isteri yang cantik bersinar.
Ayana tersenyum. Kedua belah tangan ditekap ke pipi
suaminya. Kepalanya didekatkan ke kepala Johan. Bersatu.
Dengan rasa kasih dan sayang, dia lafaz kalimah cinta.
“I love you, abang.”
“I love you too, sayang.”

No comments:

Post a Comment