DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 4

JAM tangan Guess bertali emas yang melingkar di
pergelangan tangan kanannya dikerling sekali imbas. Sudah
2.50 petang. Kelibat Johan masih juga tidak kelihatan. Dua
keping tiket yang berada di tangan dikipas ke muka. Menanti
dengan kesabaran yang kian menipis bukannya mudah.
Sudah setengah jam Johan lewat untuk janji temu mereka.
Sekali lagi Ayana mencuba. Nombor Johan didail.
Kecewa apabila yang menjawab masih lagi suara wanita yang
telah diprogram. Satu decitan dilepas keluar. Perhatiannya
beralih pula ke aplikasi WhatsApp. Melihat mesej yang dititip
kepada Johan masih bertanda satu tick. Dia yakin suaminya
terlupa janji mereka petang ini.
Ayana mengeluh. Anak mata dibuang ke arah tiket
di tangan. Lalu disumbat masuk ke dalam tas tangan yang
dijinjit sedari tadi. Tidak mahu terus menanti, langkahnya
dibawa keluar dari TGV Cinemas. Tak guna menunggu kerana
Johan pasti takkan muncul tiba.
Kecewa. Itulah Ayana rasa ketika ini. Tanpa alasan,
suaminya langsung tidak menitip pesan kepadanya. Sia-sia
saja dia beria keluar awal dari kafe. Semata-mata mahu
berjumpa si suami. Akhirnya, Johan lupa janji temu mereka.
Akibat rasa kecewa yang memberat dalam jiwa, tanpa
sedar Ayana telah melanggar seseorang. Sehingga tubuhnya
yang kurus sedikit terpelanting. Mujur dia tidak tersungkur
jatuh apabila ada satu tangan kekar menyambar pergelangan
tangannya.
“Maafkan saya,” ujar satu suara garau.
Ayana menarik tangannya dari pegangan lelaki itu.
Tidak manis bersentuhan dengan lelaki bukan mahram.
Kepalanya yang masih menunduk segera digeleng. Bukan
salah lelaki ini tapi dia yang salah kerana jalan tidak pandang
ke depan. Terlalu mengikut hati yang kecewa.
“Cik tak apa-apa ke?”
Ayana menggeleng lagi. Tiba-tiba jadi berat mulut.
Langsung tidak mengucap kata maaf dan berterima kasih.
Selamba saja dia mengatur langkah. Baru selangkah dibuka,
namanya kedengaran meniti di telinga.
“Ayana?”
Kepala dipanggung.
“Aya!” Senyuman lelaki itu mekar sehingga
menyerlahkan lesung pipit di pipi.
Jeda.
“Hei Aya, ini akulah. Zayn. Zayn Mikael.”
Bagai baru tersedar daripada tidur, Ayana
mengerdip-ngerdipkan matanya. Menatap paras yang berada
di depan mata.
“Zayn?”
Lelaki itu mengangguk. Mengiakan.
“Ya Allah... Zayn!” Ayana menebar senyum. Tak
sangka bertemu Zayn di sini. Banyak soalan mula berlegar
di kepalanya.
Bilakah Zayn balik ke Malaysia? Kenapa Zayn tidak
pernah telefon dia selama ni? Kenapa Zayn tidak beritahu dia
dah balik? Zayn, kau memang kejam!
“Okey, sebelum kau tuduh aku kejam, aku tahu kau
banyak perkara nak tanya aku, kan? So, apa kata kita keluar
minum?” Seperti Nujum Pak Belalang, Zayn tahu apa yang
berlegar dalam minda Ayana ketika itu.
Terlepas tawa Ayana mendengarnya.
“Kau ni... macam tahu aje apa yang aku tengah fikir.”
Zayn menjongket bahu. Dengan aksi lagak, dia
membalas.
“Well... you know me.”
Cis! Berlagak betul. Ayana menjeling saat Zayn
tayang muka lagaknya itu. Membesar bersama. Sekolah
bersama. Buat dia cukup masak perangai lelaki satu ini.
Nampak kerek tapi Zayn seorang lelaki yang baik. Amat baik.
“Aya! Menung apa lagi? Jomlah. Kata nak tanya
banyak soalan. Kalau dah termenung aje, tak terjawablah
soalan kau tu nanti.”
Ayana tarik senyum. Tanpa berfikir panjang, dia
mengatur gerak kaki mengekori Zayn yang sudah berjalan di
depan. Memilih Starbucks sebagai tempat pertemuan mereka
setelah sekian lama berpisah.
“So... bila masa kau balik?” Itu soalan pertama Ayana
kepada Zayn setelah pesanan dibuat. “Kenapa tak beritahu
aku? Kau memang dah lupa aku, kan? Pastu, kat sana kau
langsung tak call aku. 10 tahun Zayn, bukan masa yang
sekejap tau. Sampai hati kau tak ingat aku.” Sungguh, ada
rasa kecil hati ketika Zayn langsung tidak menghubunginya.
Langsung tidak menghantar khabar berita dan bertanya
tentangnya. Zayn seolah-olah melupakan persahabatan
mereka.
Zayn lepas tawa. Ayana masih tidak berubah. Masih
seperti Ayana yang dia kenali dahulu. Banyak tanya dan
banyak celoteh.
“Zayn, aku serius tau! Bukan buat lawak,” gumam
Ayana. Geram apabila lelaki itu membalas dengan gelak tawa
yang menyakitkan telinga. Namun semakin menjadi pula
tawa Zayn mendengar amarahnya itu.
“Zayn!” Baru nak sambung marah, barista
meletakkan segelas white chocolate mocha dan green tea
latte di atas kaunter di hadapan mereka.
“Masih tak berubah!” komen Zayn saat anak matanya
jatuh pada gelas yang tertulis nama Ayana.
“Kau mengata aku eh?” Terasa pula Ayana dengan
ayat Zayn itu.
Zayn angkat bahu.
“Terasa ke?”
Huh! Ayana mendengus. Berjalan laju di depan
mencari tempat duduk kosong. Green tea latte dihirup
perlahan. Dia tahu Zayn mengata fasal minuman
kegemarannya ini. Kata Zayn, dia sudah kurus. Tak perlu
nak minum teh hijau lagi. Tapi apa nak kata, dia memang
penggemar teh hijau. Dulu, kini dan selamanya.
“Soalan aku kau tak jawab lagi? Kenapa balik tak
beritahu? Sampai hati kau!”
Zayn meletakkan gelasnya di atas meja. Nafas dilepas
perlahan sebelum soalan Ayana dijawab.
“Aku bukan tak nak beritahu kau. Cuma aku tak
naklah susahkan kau. Kau kan dah ada suami dan anak-anak.
Takut kalau aku beritahu kau nanti Johan salah sangka pulak.
Kau tahukan dia tak berapa sukakan aku?”
Ayana sedia maklum fasal itu. Suaminya memang
kurang berkenan dengan Zayn. Semua disebabkan cemburu.
Tapi hubungan dia dengan Zayn hanya sekadar sahabat baik.
Tidak lebih daripada itu. Lagipun mereka berteman sudah
lama, sejak kecil. Cuma Johan enggan memahami situasi itu.
Cemburu tak kena tempat.
“Itu aku tahu. Tapi takkan sampai nak putus kawan
pulak? Zayn... kau tu sahabat aku tau. Kau hilang macam
tu aje, aku sedih tahu tak?” Jujur itulah yang dirasakan saat
Zayn hilang tanpa khabar berita.
Zayn cuba mekarkan senyuman. Bukan Ayana
seorang merasa kehilangan. Dia juga turut merasainya. Cuma
demi kebaikan semua, dia terpaksa menjauhkan diri. Tidak
mahu rumah tangga Ayana dan Johan yang baru dibina masa
itu bergolak kerananya.
“Sorry, Aya. Aku tak bermaksud nak putuskan
persahabatan kita. Kau masih sahabat aku. Best friends
forever.”
Ayana hela nafas. Tidak berniat mahu lelaki itu serba
salah pun. Dia tahu Zayn sahabat yang baik. Sanggup beralah
demi melihat dia bahagia.
“Aku yang patut minta maaf. Sebab lepas kahwin
dengan Johan aku dah jarang ambil tahu fasal kau. Sampai
kau pergi tinggalkan Malaysia pun aku tak tahu. Nasib baik
abang ipar aku beritahu. Kalau tak, sampai ke sudah aku
takkan tahu apa-apa.”
Disebabkan terlalu sibuk dengan kehidupan
baharunya masa itu, Ayana lupa pada Zayn. Dia sampai tidak
tahu Zayn terima tawaran sambung belajar di Istanbul.
Apabila Abang Badrul beritahu yang Zayn nak berangkat ke
Istanbul, bergegas dia ke lapangan terbang bersama Johan.
Namun dia terlambat, Zayn sudah pun berlepas sebelum
sempat dia sempat mengucap selamat tinggal. Teresak-esak
dia menangis di lapangan terbang pada hari itu.
“It’s okay, Aya. Aku tak salahkan kau pun.
Maklumlah... orang baru kahwin masa tu. Sibuk dengan
honeymoon. Mana nak ingat fasal aku, kan?”
“Zayn...” lirih suara Ayana. Rasa bersalah yang amat.
“Aya, kita jangan cerita perkara lama boleh tak? Yang
penting sekarang aku dah balik. Aku nak tinggal terus kat
Malaysia. Tak nak balik Istanbul lagi.”
Bersinar mata Ayana.
“Really Zayn?”
“Yup! Aku dah resign kat tempat kerja lama aku.
Sekarang ni pun aku dah mula kerja dekat klinik pergigian
ayah aku. Kau tahu ajelah ayah aku tu. Dia mana nak bagi
aku kerja kat klinik lain. Klinik dia tu jugaklah tempat aku ni
bekerja. Adalah dalam dua bulan aku dah mula kerja.”
“What? 2 bulan??? Huh! Dah lama kau balik. Sampai
hati tak beritahu aku langsung!” Niat nak merajuk lagi. Tapi
cepat saja Zayn pujuk.
“Alah, janganlah buat muka tapai basi tu depan aku.
Aku tahulah aku salah. Tapi sekarang kan kita dah jumpa.
Bolehlah jumpa lagi lepas ni. Aku janji Aya, lepas ni aku
takkan tinggalkan kau lagi. Kau sahabat aku dunia akhirat.”
Senang hatinya mendengar ayat itu. Macam dia
kata tadi, Zayn memang lelaki yang baik. Sahabat dia dunia
akhirat.

No comments:

Post a Comment