DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 7

“SIAPA partner baru abang nanti?”
“Nik Rizal.”
“Tak kenal pun.”
“Buat apa nak kenal?” sampuk Zamri di belakang.
Baizura tarik muncung. Tanya pun tak boleh. Takkan
nak kenal pun tak boleh juga? Bercakap dengan dua orang
lelaki ini kadangkala payah! Tak faham apa yang mereka
fikirkan. Soalan senang pun kadangkala dijawab sinis.
“Abang demam ek?” Terus tangan Baizura naik ke
dahi lelaki yang sedang memandu di sebelahnya.
“Ehem, jangan nak melebih pula. Abang ada dekat
belakang ni.” Zamri memberi amaran.
“Kadangkala kan, Uya rasa Abang Zam ni melampau.
Sikit-sikit tak boleh. Bukannya Uya buat apa pun!” getus
Baizura geram. Dia kembali duduk bersandar ke tempat
duduknya. Rasa panas dan rimas dalam kereta dengan dua
orang lelaki ini. Beria-ia mahu menghantarnya ke Kuantan.
Alasan mereka sebab nak tengok sekali cawangan yang akan
dibuka nanti.
“Handsome tak Nik Rizal tu?” Tiba-tiba Baizura
bersuara. Kereta meluncur laju menuju ke Kuantan. Saja
tanya, padahal dia kenal siapa Nik Rizal.
“Handsome. Dia kacukan Arab dari sebelah ibunya.”
“Jadi bolehlah Uya berkawan dengan dia.” Sengaja
mahu menguji.
“Buat apa? Bidang kerja Uya tak ada kaitan langsung
dengan dia. Jangan sesekali ada niat nak kawan dengan dia.”
Aizat memberi amaran.
“La, apa salahnya? Dia kan kawan abang juga. Jadinya
secara tak langsung, dia tu jadi kawan Uyalah.” Sengaja dia
membakar lelaki di sebelahnya.
“Abang pun tak galakkan Uya berkawan dengan dia.
Dia lain sikit. Lagipun dia dah nak bertunang. Jadi tak elok.”
“Abang faham tak maksud K-A-W-A-N tu?” Baizura
mula rasa bengang.
“Biarlah dia nak buat apa yang dia suka, Zam. Kita
larang sekali pun bukannya nak dengar,” sinis Aizat.
“Kalau abang tak nak Uya kawan dengan dia, kenapa
lantik dia sebagai partner abang dekat cawangan tu?”
“Tak ada kena-mengena langsung hal dia dilantik
sebagai partner dengan Uya. Kenapa Uya selalu suka menyibuk
dalam hal yang tak patut Uya masuk campur?” bidas Aizat.
“Salah ke? Secara tak langsung, Uya tukang jaga
akaun cawangan Kuantan ni kan?”
“Tak!” Serentak Zamri dan Aizat menyahut.
“Abang nak Uya tumpukan pada kerja-kerja Uya. Soal
firma abang ni, biar kami berdua yang uruskan.”
“Abang dah tak percayakan Uya ke?”
“Tak! Bukan itu maksud abang. Belum masanya
Uya ambil tahu hal yang berkaitan dengan firm. Tugas Uya
sekarang timba pengalaman dan pastikan tempoh 2 tahun
berada di sini cukup untuk Uya belajar tentang selok-belok
audit dan akaun. Tahu jenis-jenis akaun dan syarikat. Itu
lebih penting.”
Baizura terdiam.
“Kenapa abang ni cakap macam mak tok? Tak boleh
ke biarkan Uya tentukan apa yang Uya nak buat? Uya tahulah
apa yang perlu dilakukan. Tak payah nak ingatkan banyak
kali!” dengus Baizura, geram. Dia tidak puas hati.
Aizat dan Zamri saling berpandangan. Zamri angkat
tangan.
“Kali ini aku bagi kau peluang pula. Sampai nanti
aku nak berehat. Penat.”
Baizura pejam mata. Dia tidak ingin tahu
bagaimanakah reaksi buah hatinya.

2 jam kemudian...

“Uya, wake up!”
“Dah sampai?” Terpisat-pisat Baizura pandang
keliling.
“Dah. Mana alamat rumah sewa?” Aizat pandang
Baizura yang sedang membetulkan rambutnya. Dia geleng
kepala. Kalau pakai tudung kan senang. Tak adalah berserabai
rambut tu, membuatkan dia pula tergoda.
“Cepat. Mana alamat rumah sewa tu?”
“Kejaplah!” dengus Baizura. Rambut disisir dengan
tangan dan diikat ekor kuda. Rimas. Kemudian, ditarik
telefon dari poket seluar.
“Nah.” Ditunjukkan telefon bimbit itu kepada Aizat.
“Taman Hong Lee?”
“Buka Waze.”
Baizura pandang belakang. Zamri sudah tiada.
“Abang Zam mana?”
“Dah check-in hotel. Abang hantar Uya ke rumah
sewa. Lepas maghrib nanti abang datang ambil. Kita pergi
makan ikan bakar dekat Tanjung Lumpur.”
Baizura angguk saja. Dia tiada mood untuk bercakap.
Rajuk tadi masih bersisa. Selesai buka Waze dan taip alamat,
dia berikan telefon bimbitnya kepada Aizat.
“Uya cakaplah ambil jalan mana. Abang ikut.”
Baizura mencebik. Nak memujuklah tu!
“Kat simpang tu ambil kiri.”
“Abang minta maaf, okey. Abang tak maksud nak
marahkan Uya pun.”
Baizura masih lagi diam.
“Nik Rizal tu bukannya jenis lelaki yang boleh dibuat
kawan. Silap kawan nanti, Uya yang susah. Abang pun tak
percaya dekat dia bab perempuan ni. Dia tu playboy.”
“Bukannya Uya nak bercinta dengan dia pun. Nak
kenal je. Lagipun dia kan partner abang. Apa-apa hal nanti
Uya boleh cari dia.”
Aizat geleng kepala.
“Tak perlu, Uya. Apa-apa hal cari abang. Untuk Uya
24 jam abang selalu ada.”
“Tapi Uya dekat Kuantan, abang dekat KL. Bukannya
dalam masa setengah jam boleh sampai bila Uya perlukan
abang.”
“Zamri cakap ada orang yang akan jaga Uya dekat
sini. Apa-apa hal Uya cari je dia.”
Mimik muka Baizura masam. Tahu dah siapa yang
akan menjaganya nanti. Kalau bukan busu dan Pak Cik
Khalid, siapa lagi? Di sini pun dia tidak akan terlepas daripada
pengawasan pengawal peribadi tak bertauliah mak tok. Nama
saja jauh dari KL, padahal sama saja.
“Tak payah cari, ada depan mata. Setiap hari boleh
jumpa,” omel Baizura.
“Siapa? Abang kenal?” Aizat ingin tahu. Dijeling
sekilas Baizura sebelum pandang ke depan semula.
“Entahlah pernah jumpa ke tidak,” jawab Baizura
sambil lewa.
“Siapa?” tekan Aizat lagi.
“Busu dan Pak Cik Khalid.”
“Mereka tu siapa?” Lain nada suara Aizat.
Wajah Aizat dijeling dengan ekor mata.
“Busu tu pak cik saudara Uya dan Pak Cik Khalid tu
bakal mentua Uya.”
“Apa???” Aizat brek mengejut. Nasib baik tak ada
kereta mengekori rapat di belakang.
Baizura kemam bibir. Saat ini, wajah Aizat kelihatan
lucu sekali. Tahu pun cuak. Biar lelaki itu rasa!
“Uya!” Aizat menggelabah seketika. Kemudian
wajahnya kembali tenang apabila menangkap Baizura cuba
tahan senyum.
“Hahaha... abang cemburu?” ejek Baizura.
“Tak! Baguslah ada orang jaga. Tenang sikit hati
abang.”
“Konon!” cemik Baizura. Dia pula yang rasa sakit.
Lelaki ni memang tak ada perasaan langsung!
“Okey, okey... abang mengaku risau nak tinggalkan
Uya sorang-sorang dekat Kuantan ni,” akui Aizat apabila
melihat wajah Baizura kembali masam. Dia bimbang
sebenarnya.
“Abang dah biasa Uya sentiasa ada di depan mata.”
Sebab itu, apabila Zamri memberitahu bahawa Baizura kena
kerja di Kuantan, dia bantah.
“Aku pun risau juga. Tapi arahan mak aku tak boleh
dibantah!”
Itulah yang Zamri beritahu, membuatkan dia
terdiam. Setiap kata-kata Puan Aminah perlu diikut tanpa
sebarang bantahan.
“Uya dah biasa berdikarilah, bang. Buat apa nak
risau. Uya okey. Jangan bimbang.”
“Rindulah abang nanti.”
“Abang Shah pun rindukan Uya juga.” Sengaja
Baizura mengaitkan Akashah. “Uya rasa mesti dia akan datang
tiap-tiap minggu jumpa Uya dekat sini.”
“Kalau dia datang, jangan layan. Kalau boleh, jangan
bagi dia datang.”
“Macamlah Abang Shah tu nak dengar cakap Uya.
Perangai abang dengan Abang Shah tu sama je. Suka ikut
kepala sendiri,” cemik Baizura.
Aizat terdiam.
“Tapi hati Uya ni ada satu je. Itu pun dah serahkan
dekat orang. Jadi sesiapa sahaja yang datang pun takkan
berjaya ambil hati tu. Sebab orang tu dah bertahun simpan.
Entah sampai bila nak buat pekasam.”
Aizat ketawa. Sempat lagi Baizura mengenakan
orang!

No comments:

Post a Comment