DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 7

MALAM kian merangkak tua. Namun mata masih
tidak mahu lena. Bait bicara Johan kepadanya petang tadi
masih mengganggu minda. Mencuri kedamaian. Menggugat
ketenangan. Menjadikan dia manusia bisu sepanjang hari.
Matanya juga sembap akibat menangis.
Ayana berpaling ke kiri. Sebaik keluar dari bilik
selepas lama berteleku di atas sejadah tadi, kelibat Johan
sudah tidak kelihatan di rumah. Entah ke mana lelaki itu
pergi, tidak sedikit pun dia mahu ambil tahu. Hatinya sakit
dengan keinginan suami yang mahu berpoligami.
Orang lelaki... senanglah cakap poligami itu hak
mereka. Tapi isteri seperti dia, yang hendak dimadukan,
bukan mudah menerima. Madu itu memang nampak manis
tapi hakikatnya pahit apabila ditelan. Ayana tak sanggup. Dia
tak rela bermadu!
Air mata yang sudah kering kembali tumpah
membasahi pipi. Apakah salahnya sehinggakan Johan mahu
berkahwin lagi?
Soalan yang sama diulang semula. Mencuit
perasaannya yang remuk disebabkan Johan. Dia sudah cuba
menjadi isteri yang baik. Melayan Johan bagaikan seorang
raja. Segala keinginan suaminya itu dituruti. Namun
sudahnya, lelaki itu ada perempuan lain tanpa pengetahuan
dia.
Sakitnya hati cuma Tuhan sahaja yang tahu. Mujur
Arisa dan Ariz tiada ketika ini. Jika tidak, entah bagaimana
dia hendak berdepan dengan anak-anaknya itu. Kecurangan
Johan merupakan tamparan paling hebat dalam hidupnya.
‘Sampai hati abang buat Aya macam ni. Mana pergi
janji-janji abang pada Aya? Mana pergi Johan yang pernah
berikrar hanya mencintai Aya seorang dalam hidupnya?
Mana, abang? Mana?’
Tangisan Ayana memecah kesunyian malam walau
cuba dihalang air mata supaya tidak jatuh lagi. Dia tewas.
Kesakitan yang ditinggalkan sang suami tidak mampu
dilawan. Peritnya rasa apabila cinta dan kesetiaannya
dikhianati.
Johan. Dahulu lelaki itu yang tergila-gilakan dia.
Ditolak berkali-kali, namun Johan tidak pernah kenal erti
putus asa. Terus mencuba sehingga akhirnya cinta Ayana
berjaya ditakluki. Dalam usia 21 tahun, dia rela menjadi isteri
lelaki itu. Masih segar dalam ingatan, kejutan Johan sewaktu
melamarnya. Ingatannya kembali pada saat itu...
Dahi Ayana berkerut. Melihat tiga bentuk cincin
yang terletak di hadapannya, dia panggung kepala melihat
Johan. Lelaki itu masih seperti tadi. Tersenyum sambil terus
memberi fokus ke wajahnya.
“Pilihlah.” Sepatah kata Johan. Keningnya
dijongket-jongket. Sengaja mahu menyakat.
Ayana ketap bibir. Geram melihat ekspresi nakal
yang Johan pamerkan. Ikutkan hati yang mula hangat, mahu
dijentik puncak hidung Johan yang mancung. Benci melihat
riak muka lelaki itu.
“Kenapa saya yang nak kena pilih pulak?” gumam
Ayana. Berang apabila Johan memaksa dia memilih. Dia tahu
Johan hendak bertunang dengan gadis pilihan ibunya hujung
bulan ini. Barangkali disebabkan itu Johan menyuruh dia
membuat pilihan cincin pertunangannya.
“Pilih ajelah. Untuk majlis pertunangan nanti.”
Ayana mendengus. Johan yang nak bertunang, dia
pula yang dipaksa buat pilihan. Tak hingin!
“Sorry! Saya takde masa nak pilih. Minta ajelah
bakal tunang awak yang pilih.” Ayana menegaskan nada.
Tak sanggup buat pilihan. Hatinya remuk saat Johan
memberitahunya berita itu. Gembira pada Johan. Sedih pada
Ayana.
Dulu memang dia bencikan lelaki itu. Benci
perangai Johan yang perasan kacak dan hebat itu. Tapi
melihat keikhlasan dan kesungguhan Johan memikatnya,
hati yang benci bertukar sayang. Akhirnya dia jatuh cinta.
Cuma belum sempat mengakui perasaannya, Johan datang
pula memberitahu dia bakal bertunang tidak lama lagi.
Kecewa. Itulah yang Ayana rasa. Betapa rapuhnya
cinta Johan. Baru beberapa kali dia menolak, lelaki itu sudah
berputus asa. Sanggup mengikut pilihan orang tuanya.
Mudah sang lelaki mencari pengganti.
“Ayana, please... choose one,” rayu Johan. Berharap
sangat gadis di hadapannya ini tidak menolak permintaannya.
Pilihan Ayana amat diperlukan.
Ayana mendengus. Kedipan mata Johan yang
merayu buat hatinya cair. Dalam terpaksa, dia membuat
pilihan. Membuat perbandingan di antara tiga bentuk cincin
di depannya. Jurujual yang setia melayan kerenah mereka
sedari tadi begitu sabar menunggu.
Setelah ditambah, ditolak, dibahagi dan didarab,
akhirnya Ayana membuat pilihan. Sebentuk cincin bertatah
satu batu berlian kecil dipilih dan dihulurkan kepada Johan.
“Are you sure?”
Nafas dilepas kasar. Kepala diangguk. Jika ikutkan
dia, itulah pilihannya. Tapi tidak tahu pula cita rasa bakal
tunang si Johan. Mana tahu bakal tunang lelaki itu sukakan
batu berlian besar gedabak?
“Nah!” Johan hulur cincin kepadanya.
“Buat apa?”
“Pakailah.”
“Takde makna!” Suka hati Johan saja mahu suruh
dia pakai. Bukannya saiz jari dia sama dengan bakal tunang
Johan pun.
“Ayana, please...” Johan merayu lagi.
Ini yang Ayana tidak suka. Setiap kali Johan merayu,
dia tidak mampu untuk menolak. Terpaksa juga dia menurut.
Cincin yang menjadi pilihannya tadi disarung ke jari manis.
Elok saja cincin itu melekat di jarinya. Tiba-tiba Ayana rasa
teruja. Rasa tak nak tanggalkan cincin yang kini melekat elok
di jari manis.
“Dah cuba kan? Bagi balik.”
Baru mahu berangan, suara Johan sudah
merencatkan anganannya. Laju Ayana menarik keluar cincin
dari jari manisnya. Dengan kasar dihulur benda itu kepada
Johan.
“Huh! Saya pun tak hingin nak simpan cincin awak.”
Johan buat selamba. Cincin pilihan Ayana diserahkan
kepada jurujual. Dia memilih cincin itu. Setelah membuat
bayaran, mereka keluar dari kedai.
“Saya nak balik,” ujar Ayana. Hatinya sudah mati
mahu keluar bersama Johan. Buat apakah mahu keluar
berdua? Sedangkan lelaki itu bakal menjadi tunangan orang
tidak lama lagi. Lagipun tidak manis jika ada yang pandang.
Dia tak nak digelar penyondol hak orang.
“Okey. Jom saya hantar.” Baru nak sambar tangan
Ayana, ayat daripada mulut gadis itu menghentikan
perbuatannya.
“Eh... takpe. Saya boleh call Zayn minta dia ambil.”
“No!” Ton suara Johan naik seoktaf. Pantang baginya
jika nama itu disebut-sebut. Apatah lagi daripada mulut
Ayana. Cepat saja darahnya mencanak naik.
Ayana tersentak. Ini apa kes? Tiba-tiba nak marah
pula?
“Awak keluar dengan saya, so balik pun saya yang
hantar. Bukan orang lain.”
“Tapi...”
“Keputusan saya muktamad. Jom!” Johan terus
sambar tangan Ayana. Diheret gadis itu mengikut langkahnya.
Wajah cemberut Ayana langsung tidak diendahkan. Dia tidak
rela membiarkan Ayana keluar bersama Zayn.
Sepanjang perjalanan pulang, Ayana diam membisu.
Tidak puas hati dengan tindakan Johan yang memerintah
mengalahkan seorang diktator.
Manakala Johan selamba menyanyi mengikut lagu
yang ke udara melalui corong radio. Langsung tidak hiraukan
gadis di sebelahnya yang mula hangat dengan perbuatan
pentingkan dirinya itu.
Kereta dipandu menuju ke arah lereng bukit. Dahi
Ayana berkerut. Tadi Johan kata mahu hantar dia pulang,
tapi sekarang lain pula arah tuju lelaki itu. Mahu tak mahu,
mogok tak nak bercakap dengan Johan terpaksa dibatalkan.
“Awak nak pergi mana ni?” tanya Ayana sebaik kereta
yang dipandu lelaki itu berhenti di bahu jalan.
Tanpa menjawab soalan Ayana, Johan keluar daripada
perut kereta. Bersahaja.
Geram pula Ayana melihat tingkah lelaki itu. Dengan
kasar, dia mengikut rentak Johan. Wajahnya masam kala
pandangan berlaga dengan Johan yang masih tersenyum.
“Saya nak balik. Yang awak bawa saya ke sini kenapa
pulak? Hantar saya balik sekarang! Saya takde masa nak
teman awak lepak.”
Johan tidak mengendahkan Ayana. Selangkah
demi selangkah dia menapak. Hingga akhirnya dia berdiri
betul-betul di depan Ayana.
“Aw... awak nak apa?” Gugup Ayana melihat tingkah
laku Johan itu. Dalam hati berdoa, semoga Johan tidak hilang
akal. Melihat keadaan yang sunyi sepi, dia diserang rasa
takut. Berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram di sini, itu
bukanlah tindakan yang bijak.
Tiba-tiba Johan melutut. Betul-betul di hadapannya.
Terkedu Ayana melihat tingkah lelaki itu.
“Nur Ayana Binti Rahman...”
Nama penuh Ayana disebut. Kemudian sebuah kotak
baldu dibuka di hadapannya. Sebentuk cincin bertatah berlian
yang dipilihnya tadi berada di depan mata. Dada tiba-tiba
dilanda debar. Apakah maksud semua ini?
“Sudi tak awak jadi isteri saya, suri hati saya, tulang
rusuk saya? Sehidup semati dengan saya? Sudi tak awak,
Ayana?”
Jeda.
Betulkah apa yang dia dengar? Atau cuma sandiwara
Johan sahaja? Sengaja mahu mempermainkan dia.
“Saya tak bergurau, Aya. Saya serius. Saya nak
jadikan awak isteri saya. Hak saya yang halal.”
Ayana diam tanpa kata. Raut Johan terus ditilik.
Mencari kesungguhan di situ. Dan dia melihatnya. Cuma hati
masih dipalu rasa waswas.
“Ini bukan gurauan Johan,” pintas Ayana. Tidak rela
menjadi bahan permainan. Dia bukannya tidak tahu perangai
Johan yang suka bermain-main. Tak puas main masa kecil
agaknya.
“I’m not kidding, Aya. I’m serious. I want to marry
you.”
“Tapi macam mana dengan Dira, pilihan ibu awak?”
Setahu Ayana, ibu Johan mahu Dira menjadi
menantunya. Maklumlah, jika dibandingkan dia dengan
Dira, bagai langit dengan bumi. Dira itu bertudung labuh
dan berjubah. Ustazah pula. Sedangkan dia, masih belum
sempurna tertutup. Masih banyak yang kurang untuk
menjadi wanita solehah.
“Saya takde hubungan istimewa dengan Dira. Kami
cuma sepupu. Saya cintakan awak. Bukannya Dira. Saya nak
sehidup semati bersama awak. Jadi isteri saya, Aya. Saya janji
akan jaga awak seumur hidup.”
Ayana pejam mata. Terasa berat dadanya
mengenangkan kenangan lalu. Mengingatkan janji Johan
terhadapnya 10 tahun lalu, hati bagai dihiris sembilu. Kini
janji Johan hanya tinggal janji.
Johan... tegarnya lelaki itu menghiris perasaannya!

No comments:

Post a Comment