HARI ini aku pergi kerja awal dari kebiasaan.
Memandangkan Aunie mengambil cuti kecemasan disebabkan
Puan Mariam tiba-tiba jatuh pengsan, makanya dengan
jayanya aku keluar awal. Duduk rumah pun bosan juga. Nasib
baik demam aku dah surut. Kalau tak terpaksalah aku ambil
MC untuk hari ini.
Memandangkan waktu pejabat belum bermula,
jadi aku pergi bersarapan dulu. Aku pilih restoran yang
berdekatan pejabat agar senang untuk aku bergerak. Tak
perlu tergesa-gesa mengejar masa.
Tengah aku ralit menikmati roti telur, tiba-tiba
ada panggilan masuk. Melihat nombor yang tertera di skrin
telefon, aku kerutkan dahi. Nombor tak ada dalam senarai
contact aku. Nombor yang tak dikenali telefon, memang
tidaklah aku nak angkat. Panggilan itu aku biarkan mati
sendiri. Tapi beberapa saat kemudian nombor yang sama naik
lagi di skrin telefon. Nak tak nak aku jawab walaupun takut.
“Helo?” Aku lekap telefon tepi telinga apabila
panggilan bersambung. Cuba menajamkan pendengaran yang
membolehkan aku mengenal pasti gerangan yang menelefon.
“Assalamualaikum.”
Setepek kena atas muka aku. Dengan rasa malu
bertimpa-timpa, salam si pemanggil aku jawab dengan hati
mendongkol geram. Sempat pula dia nak kenakan aku.
“Awak siapa? Nak cari siapa?” Okey, itu soalan wajib
untuk pemanggil asing yang tiba-tiba telefon.
“Ni I, Erfan.”
Besar bukaan kelopak mata aku apabila si pemanggil
mengakui dirinya Erfan. Terus aku jauhkan telefon dan
pandang setiap butir nombor yang tertera. Dari mana pula
dia dapat nombor aku? Setahu aku, dia tak ada nombor aku
melainkan dia ambil dalam resume aku.
“Erfan mana?” Sengaja nak menduga.
Talian tiba-tiba menyepi sejenak apabila diterjah
soalan aku.
“Erfan mana?” Tak tahan tunggu si pemanggil
bersuara, jadi aku buka mulut bertanya sekali lagi.
Kali ini si pemanggil berdeham sekali sebelum
membalas. Mendatar saja suara yang kedengaran.
“Erfan Rayyan.”
Serta-merta aku tersedak liur. Pantas aku teguk air
Nescafe tarik membasahkan tekak. Perit tekak bila diri kalut
dek terkejut. Aku berdeham sekali sebelum membetulkan
duduk dengan lebih selesa.
“Ada apa Encik Erfan telefon saya pagi-pagi hari ni?”
dalam malu, aku tetap tertanya-tanya sebab dia menelefon
aku. Pasal macam mana dia dapat nombor aku pun aku
belum lagi tanya.
“You ada dekat mana?” Tak jawab soalan aku tapi dia
pula berikan soalan.
“Baru bersiap nak pergi kerja.” Saja aku bohong.
Malas nak cakap jujur dengan dia yang jenis hati batu macam
tu. Untuk apa aku bagi jawapan jujur? Tak ada sebab pun aku
perlu jujur dengan dia. Kalau berkaitan kerja, itu lainlah.
“Good! Lagi 10 minit I pick-up you.”
Tak sempat aku balas, dia dah matikan panggilan.
Terus aku pandang skrin telefon yang dah gelap itu. Kalut
menyerang bila menyedari Erfan akan datang menjemput
aku di rumah. Nombor dia aku dail tapi tak berangkat pula.
Okey, jangan panik Tia! Tarik nafas, hembus
perlahan. Tenang Tia, tenang.
Namun malangnya, apabila aku pandang jam di
pergelangan tangan, automatik kalut aku kembali menyerang.
Tak nak membazirkan masa, not 5 ringgit aku letak saja atas
meja. Harap sangatlah si mamak tu tak mengamuk aku buat
perangai tak beradab macam ni.
Kelam-kabut aku mendekati kereta. Saat macam ni
pula aku nak gugup. Allah! Setakat Erfan tu aku tak perlu
kelam-kabut sangat. Tapi bila aku sedar masa berlalu, aku tak
dapat bendung kegugupan yang melanda diri aku. Terus aku
memandu ke rumah dengan kadar segera.
Dengan jayanya, aku menempah rekod paling baik.
Dalam masa 7 minit aku sampai tepat depan rumah aku. Dan
nasib baik Erfan tak sampai lagi. Nafas aku tarik panjang.
Semput aku kalau macam ini hari-hari. Tak apa, Tia! Hari ini
hari dia. Esok mana tahu hari kau pula.
Keluar dari perut kereta, baju yang sedikit berkedut
aku betul-betulkan. Takkan nak tunjuk selekeh depan Erfan.
Nanti apalah tanggapan dia pada aku. Perempuan selalunya
sinonim dengan perkataan cantik dan pembersih. Aku pun
naklah juga tergolong dalam lingkungan cantik tu.
Apabila nampak kereta Erfan dari jauh, cepat-cepat
aku berdiri tegak. Hari ini aku pakai baju kurung pemberian
arwah ibu. Walaupun dah lama, tapi baju inilah satu-satunya
baju yang aku paling sayang. Entah kenapa aku tergerak hati
nak pakai baju ini. Selalunya bila ada sesuatu yang penting
saja aku akan pakai baju ini. Namun hari ini, aku teringin nak
pakai baju pemberian arwah ibu.
Sebaik saja keretanya berhenti di tepi aku, dia
turunkan cermin tingkap. Ray-Ban yang menutupi matanya
ditolak ke bawah. Cukup dapat lihat aku yang tiba-tiba
diserang debaran tak menentu. Cepat-cepat aku tarik nafas.
Memberi pernafasan pada jantungku yang dah bertukar
rentak lain macam.
“Masuk.” Dia beri isyarat sekali dengan kepala. Tak
ada mukadimah. Tak ada salam. Tak ada menyapa. Terus dia
keluarkan arahan.
“Encik Erfan nak apa sebenarnya?” Tak menurut
permintaan, aku hanya berdiri statik sambil merenung sisi
wajahnya.
“Perlu ke I jawab?” nada Erfan nampak sangat
menjengkelkan. Susah sangat ke nak jawab?
“Kalau Encik Erfan nak tumpangkan saya ke
pejabat, tak perlu. Saya ada kereta dan saya dah sihat untuk
memandu ke pejabat sendiri.” Penuh berhemah aku menolak
permintaan dia dengan menggunakan alasan logik.
“You nak I ajar you cara masuk kereta ke?” Tiba-tiba
Erfan menoleh pandang ke arahku. Tajam matanya boleh
buat separuh tubuh aku lumpuh. Dia ni memang suka tunjuk
muka tak siap macam tu ke?
“Macam inilah Encik Erfan. Saya bukan tak nak
tumpang Encik Erfan. Yalah, saya tahu kereta mewah Encik
Erfan ni tak mampu saya beli. Memanglah saya teringin
nak naik lagi kereta Encik Erfan. Tapi maaflah Encik Erfan,
saya bukan jenis suka menyusahkan orang.” Panjang lebar
aku bentang hujah. Serius wajah aku menunjukkan aku tak
main-main. Tak suka apabila Erfan tunjuk sikap macam ni.
Nampak macam dia ambil berat pasal aku. Dan aku tak nak
salah faham. Tak nak buat hati aku jatuh cinta lagi. Cukuplah
pengalaman pertama yang telah gagal itu.
“I rasa you ni banyak cakaplah, Tia.” Pintu kereta
dibuka dan Erfan meloloskan tubuh keluar. Dia berdiri rapat
dengan aku hingga memaksa aku mengundur langkah.
“Encik Erfan nak buat apa ni?” Aku dah resah apabila
Erfan makin marakan langkah. Sudahlah belakang aku ada
longkang. Buatnya aku jatuh, tak ke nampak macam nangka
busuk?
“Rasanya I dah bagi arahan tadi, kan?” Setapak Erfan
mendekat, setapak aku mengundur. Bau haruman tubuh
Erfan menyapa rongga hidungku.
“Boleh tak Encik Erfan jangan terlampau dekat
dengan saya?” Kedua-dua tangan aku angkat separa dada,
memberi isyarat agar dia jangan menghampiri lagi.
Erfan berhenti melangkah dan sebelah tangannya
menyeluk poket seluarnya. Baru aku perasan baju yang
tersarung di tubuhnya nampak kasual. Tak ada kot. Tak
ada kemeja lengan panjang. Hanya berkemeja-T mengikut
bentuk tubuh dipadankan dengan jean menutupi penampilan
bergayanya.
“Jadi, jangan membantah arahan I.” Matanya
bersinar garang namun tetap terselit keredupan di dalam
sepasang matanya itu.
“Encik Erfan siapa nak arah-arah saya?” Tubuh aku
peluk dan mata tak berganjak pandang dia. Sedikit geram
apabila dia sesuka hati mengarah aku. Dia fikir aku ini isteri
dia?
“I kan ketua you.”
Terkejip-kejip aku berlawan pandangan apabila dia
menundukkan wajahnya menyamai paras kedudukan aku.
“Dan, I berhak arah you selagi tak melanggar
undang-undang Islam.”
“Undang-undang Islam? Apa yang Encik Erfan
merepek ni?” Dahi aku berkerut. Pening memikirkan sikap
aneh Erfan hari ini.
Daripada berdiri santai, Erfan bercekak pinggang
pula. Dah gaya pesalah pula aku ini. Padahal waktu pejabat
tak mula lagi. Tapi dia dah dera aku macam aku buat salah
besar.
“I tak suka cakap banyak, Tia.” Keras ton suaranya
sudah menunjukkan Erfan dalam mood tak berapa baik.
Kalau aku rasa nak kena maki lagi, silalah buat tak layan
dengan permintaannya.
“Saya...”
Ayat aku tergantung apabila Erfan mencelah.
Tergamam aku seiring dada berdegup kencang.
“I perlukan you, Tia. Sangat perlukan you.”
Dan pandangan mata Erfan buat aku mengalah.
Dalam nak tak nak, akhirnya elok aku duduk dalam
kereta Erfan. Ketika ini kereta Erfan membelah jalan menuju
ke arah yang aku sendiri tak tahu. Mulut ni sebenarnya ringan
aje nak tanya pada dia. Ke mana dia nak heret aku sekarang?
“Encik Erfan tak kerja ke hari ini?” Ayat mukadimah
aku apabila terasa sunyi mengusai keadaan kami. Tak seronok
duduk diam-diam macam ni. Rasa janggal sangat-sangat.
“Ambil leave.” Ringkas jawapan Erfan bagi.
Aku diam, berpuas hati mendengar jawapan dia.
“You dah sihat?” Kali ini, dia pula ajukan soalan.
Matanya masih fokus pada pemanduan.
“Dah. Encik Erfan tengok saya dah sihat, kan?”
“I tak nampak you macam sihat. Cuba buktikan yang
you dah sihat.”
“Nak bukti macam mana?” Aku dah pandang pelik
dekat dia.
Sekilas anak mata aku menangkap bibirnya
tersungging senyuman sinis. Tiba-tiba meremang bulu roma
aku menengok.
“Bukan ke kalau doktor check, kita kena naked?”
Serta-merta kelopak mata aku membesar saat
mendengar. Aku jauhkan tubuh hingga melekat ke pintu
kereta. Seram pula dengar soalan dia yang di luar silibus
seorang manusia.
“Encik Erfan cakap apa ni?” Sumpah rasa nak lari
saja sekarang ini.
“Apa yang I tanya tu tak betul ke Tia?” Anak matanya
mengerling makin buatkan tubuh aku mengecil.
Diserang gugup, aku buang pandangan ke luar
tingkap. Mengabaikan soalan yang mampu buat tahap
denyutan jantung aku naik mendadak. Soalan dia tu dah
tahap merbahaya!
“Kita nak ke mana sebenarnya? Waktu pejabat tak
lama lagi nak bermula.” Saja aku ingatkan dia. Yalah, dari tadi
dia memandu tanpa kata apa-apa pada aku.
“Hari ni I tak masuk pejabat.”
“Ya, saya tahu Encik Erfan tak kerja. Tapi saya kerja.”
Sekali lagi aku ingatkan dia perihal aku. Kutlah dia lupa yang
aku ni nak pergi kerja.
Anak matanya mengerling sekilas ke arah aku
sebelum kembali menumpu tumpuan pada jalan raya. Pagi
hari begini, jalan seperti biasalah sesak bukan main.
“I dah apply leave untuk you sekali.”
“Oh, okey!” Mulanya aku angguk tapi apabila
menyedari sesuatu, anak mata aku terus melekat ke arah
Erfan yang tayang riak tak bersalah sebab dah buat keputusan
untuk diri aku.
“Apa? Leave saya? Maksud Encik Erfan?” Kalut aku
bertanya.
“Dan leave you dah diluluskan.” Tak menjawab
soalan aku, dia cakap ayat lain.
Terus aku mendekat wajah dan menghadap Erfan.
Rasa nak marah tapi tak berani nak luah terang-terang.
“Ada apa sebenarnya? Sampai Encik Erfan buat
keputusan tanpa tanya pada saya dulu.” Aku cuba pupuk
kesabaran. Bertindak melulu pun tak ada guna juga. Sebab
perkara dah pun berlaku.
Namun malangnya, dia lebih suka mendiam diri
daripada menjawab soalan. Mulalah kemarahan yang aku
cuba padam kembali membara. Mulalah aku nak bertindak
bukan-bukan. Tak sedap hati bila dia tak beritahu tujuan dia
buat keputusan macam tu. Akal mula nak fikir bukan-bukan.
Mana tahu dia nak culik aku. Biarpun nak jual aku dekat
sempadan Thailand? Eh, tak salah aku beranggapan negatif
sebab dia dan aku bukan saling kenal rapat pun. Setakat kenal
di pejabat saja.
Berfikir dua tiga kali, aku akhirnya buat keputusan
nak buka pintu kereta. Lebih baik aku berusaha daripada
duduk diam tanpa usaha. Baru saja tangan aku mencapai
pemegang pintu, dia dah mengunci pintu.
Terus aku bawa mata pandang dia. Tiba-tiba aku
takut. Takut apa yang aku fikirkan terjadi betul-betul. Apa
patut aku buat?
“Berhentikan kereta Encik Erfan. Sekarang!” Aku
kuatkan nada suara.
Tapi dia pula tayang renungan tajam macam nak
tembus kepala aku. Sekali lagi aku mencuba tapi kali ini dia
lebih tangkas bertindak menarik lengan aku hingga tubuh aku
terdorong kepadanya. Kemudian dengan wajah tak bersalah,
jemari aku dia sauk dan digari dalam genggamannya.
“Eh, apa ni Encik Erfan?” Luas bukaan kelopak mata
aku apabila tengok tindakannya. Aku meronta-ronta minta
dilepaskan. Tapi kudrat aku tak sekuat kudrat genggaman
tangannya dijemariku.
“Duduk diam Tia. Kalau tak nak, I cium you.”
Amaran keras Erfan berjaya menghentikan rontaan
aku. Terkebil-kebil aku pandang dia yang beriak biasa itu.
Dalam keadaan gawat macam ni, ada baiknya aku duduk
diam-diam. Nanti kalau ada peluang aku cuba lari.
Akhirnya aku bekukan tubuh namun pegangan
tangannya masih utuh dijemariku.
No comments:
Post a Comment