RIUH keadaan kafe dengan kedatangan mereka
berempat. Cuma mereka berempat kerana Vincent dan Fikri
tidak dapat ikut serta. Ada hal yang perlu diselesaikan kata
mereka berdua. Ceria wajah mereka bersembang tanpa
mempedulikan mata-mata yang memandang. Gaya seperti
sudah lama tidak berjumpa padahal tinggal serumah.
“Lepas tu, kau blah macam tu aje?”
Kevin angguk dengan ketawa yang masih belum
habis. “Aku tak faham pun dia cakap apa sebenarnya. Boleh
tahan berbelit juga ayat dia. Sampaikan tersembur-sembur
macam air terjun.”
Pecah lagi ketawa mereka mendengar cerita Kevin.
Sedang mereka beria bergelak ketawa, Isa datang menghantar
minuman yang dipesan.
“Pecal lele... Pecal lele...” Arief memanggil Faisal
dengan mata yang bersilih ganti memandang Faisal dan Isa.
Senyum dikulum.
“Apa kau ni?” Berkerut muka Faisal memandang
pelik ke arah Arief. Kevin dengan Jinhai pula sibuk dengan
minuman masing-masing.
“Budak ni kan panggil kau Abang Pecal. Dah macam
pecal lele dah aku dengar.” Meletus lagi ketawa Arief diikuti
oleh Kevin dan Jinhai yang sempat mencuri dengar kata-kata
dia.
Faisal menjeling Isa yang masih tegak di sisi meja
mereka.
“Kau panggil aku macam tu ke Isa? Dah kenapa
depan aku elok aje kau panggil nama aku?”
Belakang kepala digaru dengan sengihan serba salah.
“Alah, Bang Arief kantoikan saya pula dah. Saya
saja-saja aje hari tu.”
“Bang Arief pula dah. Macam orang Jawa aje
bunyinya.” Giliran Faisal pula membahan Arief. Kevin dengan
Jinhai apa lagi, sambung ketawa sajalah kerja mereka.
“Eloklah abang berdua ni. Seorang pecal lele,
makanan Indonesia. Yang seorang lagi tu pula Bang Arief
Jowo.” Berdecit Isa melarikan diri sebelum sempat Faisal dan
Arief membalas.
“So guys, macam mana rancangan kita? On ke tak
on?” Jinhai mula mengubah topik.
“Aku on aje, Jinhai. Lagipun tak rasa nak balik
Malaysia awallah.”
Kevin angguk setuju. “Aku pun sama. Tapi memang
pasti ke nak tour Europe?”
“Aku tak kisah mana-mana pun. Nak lebih thrill, kita
tour Amerika. Pergi semua ceruk sampai ke Kanada sana,”
tambah Faisal lagi.
“Tak mahal ke?” Baru Arief mencelah.
“Lebih kurang aje. Tapi tak apalah, kita backpacking
nanti kan. Banyak kos yang boleh potong nanti.”
Semua angguk faham.
“Jadi macam mana? On tak on?” soal Jinhai lagi.
“On!” jawab mereka serentak.
Rancangan mereka, setelah habis peperiksaan akhir
nanti mereka mahu berjalan di tempat orang sebelum pulang
ke Malaysia. Berjalan bersama teman serumah yang sudah
bertahun tinggal bersama. Kalau dulu rasa tak sabar mahu
balik Malaysia, namun saat dah hampir ke penghujung, rasa
sayang pula nak tinggalkan semua. Apabila dah berpisah
nanti entah bila pula dapat mereka berjumpa semula. Macam
dekat Malaysia tak boleh jumpa kan?
Selesai berbincang mereka bangun untuk pulang.
Sempat mereka mengangkat tangan ke arah Isa sebelum
berlalu. Tengah berjalan pun mereka bersembang. Ada saja
perkara nak dibualkan. Kemudian mulalah pecah ketawa
apabila ada perkara yang melucukan bagaikan hidup tiada
masalah. Yang memandang juga turut tercuit senyuman
sama.
Sedang mereka leka berjalan sambil berbual begitu,
telefon dalam poket Arief berbunyi. Nombor yang tidak
dikenali tertera pada skrin. Tanpa banyak soal dia terus
menjawab.
“May I speak to Mr. Arief?”
“Yes, speaking.”
“Amboi, seronoknya dia bergelak ketawa dengan
member.”
Langkah Arief terhenti. Skrin telefon dipandang
buat seketika sebelum kembali dilekapkan ke telinga.
“Nessa?”
Kedengaran orang ketawa di sebelah sana.
“Pusing belakang.”
Arief terus berpusing dan jelas kelihatan Nessa
yang tegak berdiri tidak jauh daripadanya dan gadis itu tidak
keseorangan. Di sebelah Nessa turut tersenyum seorang gadis
yang tidak bertudung. Mungkin sahabat Nessa. Bibir Arief
mula terhias dengan senyuman. Panggilan dimatikan dan
telefon diselit semula ke dalam poket.
“Arief!” laung Kevin yang berada jauh di belakang
Arief. Faisal dan Jinhai turut memandang ke arah Arief yang
tegak memandang gadis yang tidak mereka kenali.
Arief menoleh ke arah teman serumahnya.
“Korang balik dulu, aku ada hal.” Tanpa banyak soal,
teman serumahnya terus berlalu meninggalkan dia di situ.
Arief tersenyum memandang Nessa yang juga turut
tersenyum ke arahnya. Tanpa dipaksa kaki mula melangkah
mendekati Nessa yang masih tegak di situ.
“Akhirnya... 3 hari saya tunggu.”
“Really?” soal Nessa tidak percaya. “Maaf dah buat
awak tertunggu.”
“Tak apa. Sekurang-kurangnya awak hubungi saya
juga.” Mulut kata tak apa, padahal dalam hati tu dah kecewa
tahap merajuk sendiri dah.
“Saya ternampak awak sebab tu saya call.”
“Jadi, kalau tak nampak tak calllah?”
“Eh, bukan itu maksud saya.” Muncung tudung
dibetulkan. “Nampak awak baru teringat nak call,” jawab
Nessa jujur siap dengan pakej sengih melebar. Terus tidak jadi
mahu berkecil hati Arief yang memandang.
“Saya-awak? So, sopan.” Aimi yang berdiri di sebelah
Nessa mula mencelah. Tak sanggup dah nak jadi tiang lampu
dekat sebelah ni oi!
“Eh, maaf Aimi. Awak, kenalkan rakan sebilik saya.
Aimi.” Aimi angkat tangan dan tersengih ke arah Arief. Tanda
salam perkenalan.
“Hai Aimi, saya Arief.”
“Aduh, patutlah roommate I boleh jadi sopan macam
ni. Gentleman sangat you ni, Arief.” Tersenyum-senyum Aimi
melihat Arief. Persis lelaki budiman. Siap tundukkan kepala
sewaktu mereka diperkenalkan. Tak adanya nak hulur tangan
bersalam macam lelaki-lelaki lain. Melting, okay!
Berkerut dahi Arief walaupun bibirnya lebar
dengan senyuman. Tidak faham sebenarnya apa yang Aimi
maksudkan. Entah apanya yang gentleman sangat dia pun
tidak pasti.
Nessa pula dari tadi asyik tersenyum saja. Makin
melebar senyumannya itu apabila Aimi memuji Arief. Eh, dia
pula yang terlebih seronok ni dah kenapa?
“Awak berdua nak ke mana?”
“Nak teman Aimi beli barang.”
“Eh, tak apa babe, you tak perlu teman. I boleh pergi
sendiri.” Kemudian Aimi memandang Arief pula. “Apa kata
you teman kawan I ni. Bosan duduk dekat rumah kata dia
sebab itulah I ajak dia keluar.”
“Boleh, takde hal.”
“Great!”
Suka betul Aimi apabila Arief bersetuju dengan
cadangannya. Alah, lagipun bukan dia tak perasan yang budak
berdua ni macam teruja sangat apabila berjumpa.
Nessa tu bukan main seronok lagi semasa
terpandangkan Arief walaupun dari belakang. Beria-ia
keluarkan telefon untuk menghubungi lelaki itu. Arief pula,
mata tu dari tadi tak lepas daripada memandang Nessa. Dia
nampak semuanya dan dia faham sangat isi hati keduanya.
Tunggu masa yang sesuai saja tu. Hati kecil Aimi berbisik
nakal.
“Tapi Aimi...”
“No buts! Takpe babe jangan risaukan I. I can have
‘me time’ today. Lagi pula...” Aimi tunduk dan berbisik
di tepi telinga Nessa, “I kasi chance you dating berdua
dengan superhero you.” Mengekek dia ketawa apabila Nessa
menyenggol lengannya.
“Okeylah, I gerak dulu. Jaga kawan I elok-elok dan
jangan lupa hantar dia balik in one piece okay!” Sempat dia
berpesan dan acah gengster di hadapan Arief.
“Baiklah Aimi, jangan risau.” Tergelak Arief dengan
gelagat sahabat Nessa itu.
Aimi terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Arief dan Nessa saling berpandangan.
“Ke mana kita ni?”
Nessa angkat bahu tanda tidak tahu.
“Saya ikut aje ke mana awak nak bawa. Lagipun, awak
nak jadi pembimbing saya, kan?” Perlahan saja suara Nessa di
hujung kata. Pipi bertukar merah. Konon nak mengusik Arief
tapi dia pula yang malu.
Hujung bibir Arief mula tercuit dengan senyuman
senget.
“Jom, jalan.” Arief mula melangkah dan Nessa setia
mengikutnya di sisi.
TALI GITAR dipetik lagi. Kali ini entah lagu apa pula yang
dimainkan dia sendiri pun tidak tahu. Main petik saja ni.
Kemudian dia mendongak memandang Nessa. Tersenyum
lagi. Sejak tadi begitulah keadaan mereka; saling berbalas
senyuman saat mata saling memandang.
“Bosan?”
Laju Nessa menggeleng.
“Awak memang suka main gitar ya?”
“Tak juga. Saya takde gitar pun.”
“Tapi tahu main.”
“Yang kawan punya. Belajar main gitar pun macam tu
saja, takde bersungguh sangat. Petik sikit-sikit tu bolehlah.”
“Oh, macam tu. Sama macam saya. Saya boleh main
piano.”
Piano yang berada tidak jauh daripada mereka
ditekan-tekan. Ditekan asalkan keluar bunyi. Kemudian Nessa
mula fokus dan piano dimainkan sehingga mengeluarkan
bunyi yang indah. Arief diam mendengar. Terbit rasa
kagumnya dengan kebolehan gadis itu.
Arief kembali memetik gitar mengikut irama piano
yang dimainkan oleh Nessa dan dengan suara yang perlahan
Nessa mula menyanyi.
Terhenti nafasku berlari,
Dibelai lembut seindah mimpi,
Berlagu berbisik hatimu,
Semula jadinya aku jatuh...
Buat sesaat Nessa dan Arief saling berpandangan
sebelum lagu ditamatkan. Bibir masing-masing tidak lekang
dengan senyuman. Arief bangun dan Nessa turut tegak di
hadapannya. Lama mereka saling berpandangan sebelum
dikejutkan oleh pemilik kedai.
“Such a nice song.” Tersengih tuan kedai memandang
Arief dan Nessa silih berganti.
Tiada arah tujuan, Arief mengajak Nessa masuk ke
dalam kedai alat muzik yang terdapat di situ. Yang seronoknya
kedai muzik di sini, pengunjung boleh mencuba peralatan
yang dijual sebelum membeli dan bagi yang suka jamming,
mereka boleh menggunakan alat muzik yang telah disediakan
di satu ruang penjuru kedai. Salah satu cara pemilik kedai
menarik pelanggan untuk ke kedainya.
“Sedap suara,” kata Arief saat mereka melangkah
keluar dari kedai muzik tersebut.
“Takdelah, biasa aje. Tapi Arief, kita macam boleh
jadi partner aje. Awak main gitar dan saya main piano.
Menarik tak?”
Arief jongket kening.
“Lepas tu nak perform dekat mana?”
“Dekat rumah sendiri aje.”
Arief tergelak. Beria-ia sungguh Nessa bagi cadangan.
Ingatkan nak ajak dia jadi penyanyi ke apa tadi.
“Kita nak ke mana pula ni?” soal Arief yang kembali
hilang arah tuju.
“Hyde Park, jom! Lepak macam hari tu.”
Arief cuma angguk setuju.
“JADI AWAK dah rancang nak tour Europelah nanti?”
“Tak pasti. Tapi kalau ikut perancangan macam
itulah. Mungkin nanti akan berubah. Who knows, kan?”
Nessa angguk faham.
“Kalau orang lain, tamat aje belajar terus nak
balik Malaysia. Sejak datang ke sini, berapa kali awak balik
Malaysia, Arief?”
“Never,” jawab Arief tanpa berselindung.
“Tak pernah balik?”
“Tak. Saya bukan kaya macam orang lain boleh fly
balik Malaysia selalu. Buat Malaysia-UK macam KL-JB.”
“Ouch!”
Pantas Arief menoleh.
“Kenapa?”
“Rasa tersindir.” Kemudian Nessa ketawa.
Arief berpaling supaya berhadapan dengan Nessa.
Begitu, lebih senang untuk dia memandang wajah manis
di sisinya itu. Pipi Nessa nampak berisi tetapi kurus sahaja
orangnya. Tudung yang memuncung membuatkan pipi berisi
itu kelihatan kurus. Dagu juga jadi lebih runcing. Pandai
betul gadis itu menggayakan tudungnya, sesuai dengan
bentuk muka. Buatkan dia... semakin jatuh cinta!
“Selalu balik Malaysia?”
Nessa menggeleng.
“Dua kali aje. Dalam masa dua tahun, saya akan balik
sekali. Kalau tak balik mama dengan baba bising.”
“Mama dengan baba aje yang bising?”
“Ya, ibu bapa saya kan mestilah bising. Kenapa?”
Arief kembali ke kedudukan asal.
“Manalah tahu kut ada orang lain juga yang bising.”
Hujung matanya menjeling reaksi Nessa.
Nessa mencebik.
“Nak tahu saya ada someone special ke taklah tu.
Kan?”
“Obvious sangat ke?” Arief tergelak dan Nessa hanya
sengih sebagai jawapan.
“Apa rancangan awak selepas tamat belajar nanti?
Dah fikir tentang soal kerja semua?” tanya Arief.
“Itulah, yang sebenarnya saya tak fikir apa pun
lagi. Baba dengan mama pun dah tanya apa rancangan saya.
Making plans for your life is not easy you know. Sekejap nak
macam tu, sekejap nak macam ni. Sebab itulah saya rasa lebih
senang follow the flow. Ikut sahaja takdir bawa saya ke mana.”
“Tapi kita tetap perlu merancang. Lepas tu baru
boleh ikut takdir kita ke mana.”
“Tapi saya bukan sejenis yang suka merancang. Sejak
dulu saya memang tak suka rancang kehidupan saya. Belajar
dekat sini pun, a spontaneous decision.”
“Hmm...” Arief urut dagu sendiri. “Nak kata rumit,
tak juga. Tapi saya rasa betullah, awak memang perlukan
seseorang untuk bimbing awak. Tolong awak merancang
kehidupan.”
“And that person is you?” Nessa jongket kening ke
arah Arief.
“Well... maybe.” Tak nak nafikan langsung.
Nessa hanya mampu tersenyum. Mati akal untuk
membalas kata-kata lelaki itu.
No comments:
Post a Comment