DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 4

2 tahun lalu...

“ABANG nak apa lagi?” Baizura menjeling
lelaki kacak di hadapannya. Garu kepala sambil pandang
dengan wajah senyum tak mahu senyum. Dia tahu ada benda
yang berbekam di dada lelaki itu.
“Kalau Zura kerja dekat KL tak boleh ke? Lagi banyak
audit firm boleh minta. Tak pun abang boleh rekomen.”
“Tak payah!” jawab Baizura kasar. Dia tidak faham
dengan lelaki ini. Beria-ia tidak mahu dia bekerja di Kuantan.
“Kuantan dengan KL jauh, sayang. Tak dapat abang
nak tengok Zura hari-hari. Nanti rindu,” pujuk Akashah.
Huh! Baizura menjeling lelaki itu. Masih lagi resah
dan cuba memujuknya untuk menukar fikiran. Tapi peduli
apa dia. Macamlah dia ni teman wanita Akashah.
Eee... bilalah Akashah ni nak faham perasaannya?
Sedikit rasa pun tiada buat lelaki itu.
“KL-Kuantan hanya 3 jam naik kereta, Abang Shah.
Tak jauh mana pun. Lagipun Zura nak belajar berdikari.
Takkanlah asyik nak bergantung dengan abang setiap masa.”
Takkanlah setiap benda dia nak buat kena beritahu lelaki ini.
“Kerja dekat KL pun boleh juga berdikari. Abang
janji takkan kacau Zura selalu,” pujuk Akashah. Tidak
rela dia berjauhan dengan Baizura. Rindunya nanti tentu
membuatkannya tidak tentu arah.
“Tak payah! Janji orang munafik bukannya boleh
pakai pun,” sinis Baizura.
Akashah sengih. Dia garu kepala. Hilang kata-kata
sebab apa yang Baizura katakan itu betul. Tapi mana boleh
tahan. Setiap detik kalau boleh dia mahu gadis itu sentiasa
berada di depannya.
“Jom kahwin!” Tanpa sedar bibirnya melontar
lamaran.
Terhenti tangan Baizura mengemas
barang-barangnya. Dia pandang lelaki itu, tak percaya.
‘Gila! Macamlah aku ni kekasih dia.’
Akashah tarik muka serius. Dahinya berkerut dan
matanya tajam menusuk pandang ke dalam mata Baizura saat
mata mereka bertentang. Alang-alang terlajak kata, biarlah
sampai dapat jawapan ya.
“Sahlah abang ni dah sewel. Baik pergi jumpa doktor
jiwa.” Renungan mata itu membuatkan dia kaku seketika.
Namun cepat matanya dilarikan. Denyutan jantungnya laju.
Bukan kerana terharu dengan lamaran itu tetapi sebal dengan
sikap tak faham bahasa lelaki ini.
“Abang serius ni, Zura. Zura cakap ya je, abang terus
jumpa mak tok.” Bersungguh Akashah cuba meyakinkan
gadis itu. Dia serius mahu jadikan Baizura miliknya yang sah.
“Jangan nak buat kerja bodohlah, bang. Zura anggap
abang macam abang Zura.” Baizura sudah mula bosan. Tidak
habis-habis lagi Akashah memujuk rayunya. Sedangkan lelaki
itu tahu hatinya milik siapa.
“But I’m not. I was in love with you the moment I
saw you! It was love at first sight!” ujar Akashah tak mahu
kalah. Mahu Baizura faham, dia ikhlas mencintai gadis itu
pada pandangan pertamanya.
Rambut panjangnya terasa rimas. Lalu sepit rambut
diambil dan diikat tinggi, mendedahkan leher jinjangnya.
Baizura picit pelipisnya. Dia tidak tahu bagaimana lagi cara
mahu terangkan kepada Akashah. Buat ketika ini dia tidak
berminat untuk berkahwin lagi. Dia mahu bebas dan mencapai
setiap impian yang dipasang sejak kecil. Tak bolehkah lelaki
ini bersabar sedikit? Kalau jodoh mereka, di akhirnya tetap
berkahwin juga.
Akashah telan liur, kesat. Leher putih mulus
itu benar-benar menggodanya. Dia tahu, Baizura tidak
sengaja dan sikit pun tidak ingin menggodanya. Tapi dia
sudah tergoda. Bibir merah jambu itu pun nampak sangat
menyelerakan. Kalau sekali diberi peluang tentu sekali
dia takkan sia-siakannya. Akan dicecap sehingga hilang
dahaganya.
“Pergilah kalau berani jumpa mak tok!” cabar
Baizura. Jika itu sahaja caranya mampu membuatkan
Akashah berhenti mendesaknya, jadi dia akan biarkan lelaki
itu buat apa yang dia mahu.
“Zura setuju?” Cerah mata Akashah mendengarnya.
“Jawapan mak tok adalah jawapan Zura,” tegas
Baizura. Bibirnya terjongket sinis.
Akashah pula terdiam. Sudah beberapa kali dia
berkunjung ke kampung Baizura dan berjumpa dengan Puan
Aminah. Setiap kali itulah hatinya tidak pernah rasa diterima.
Puan Aminah seorang yang baik dan mesra tapi
apabila melibatkan cucu kesayangannya ini, sikap mesranya
akan hilang. Dia teramat tegas dalam hal yang berkaitan
dengan Baizura. Setiap katanya, Baizura kena ikut tanpa
bantahan.
“Ada berani?”
“Abang berani bila Zura sanggup bersama abang.”
Baizura ketawa sinis.
“Penakut! Zura tak suka lelaki penakut. Mak tok tu
tak pernah lagi makan orang. Dia makan nasi dengan budu
je.”
“Apa hal ni?” Zamri muncul di pintu pejabat.
Aizat berada di belakangnya. Mereka baru sahaja pulang
dari mahkamah. Ternampak dan terdengar nama mak tok
disebut-sebut.
Baizura buat-buat tak dengar.
“Abang tanyalah apa yang kawan baik abang nak ni.
Rimaslah Zura!”
Aizat maju ke depan. Mendekati Baizura yang sedang
mengemas mejanya. Ditarik sepit rambut yang menyepit
tinggi rambut hitam lebat itu.
Baizura tergamam. Merah mukanya apabila melihat
wajah kering Aizat. Tahu lelaki itu sedang menahan geram.
Dia lupa!
“Encik Shah ajak Zura kahwin. Dia tak mahu Zura
kerja di Kuantan, Encik Zamri.” Jasmin tolong jawabkan.
Dari tadi lagi dia menjadi pemerhati setiap drama Akashah
dan Baizura.
Zamri geleng kepala.
“Zura ni dah 23 tahun, Shah. Dah habis degree. Dah
sampai masanya dia berdikari. Cari kerja dan belajar hidup
sendiri,” jelas Zamri. Dia pun risau mahu melepaskan anak
buahnya ke Kuantan. Tapi Baizura perlu belajar untuk hidup
berdikari.
“Kerja dekat KL ni pun boleh juga berdikari. Tak
semestinya ke Kuantan, Zam. Kalau jadi apa-apa dekat
dia di sana, kita tak ada nak tolong,” Akashah menyatakan
kebimbangannya.
“Allah Taala ada. Kau kena ingat tu,” ujar Zamri.
“Dan Baizura ni ada tali pinggang hitam tekwando.
Dia boleh jaga diri dia sendiri. Risau kau tu tak berasas,” bidas
Aizat pula.
“Aizat, takkan kau nak biarkan Zura kerja sana?”
Akashah masih lagi tidak puas hati.
“Dah dia nak pergi, buat apa nak halang. Biarlah,”
jawab Aizat tenang.
Baizura ketap bibir. Sakit pula hati tengok wajah
beku itu. Sama sahaja dengan Zamri. Tak kisah langsung!
“Tengok? Abang Shah sorang sahaja yang
terhegeh-hegeh mahukan Zura kerja dekat sini. Kawan
abang dua orang tu, tak kisah pun. Entah-entah hati mereka
dah berjoget lambak. Suka sangat, tak ada pengacau hidup
mereka. Aman dunia,” bebel Baizura.
Jasmin sengih. Tadi Baizura marahkan Akashah.
Sekarang membebel pula pasal dua orang lagi itu. ‘Hailah
Zura... tak tahu dah akak nak cakap apa. Padahal awak juga
yang nak kerja di Kuantan tu.’
“Tengah bikin drama ke tu Kak Min?”
“Haah, drama tanpa pengarah. Pelakon air mata,”
jawab Jasmin.
Terdengar ketawa memenuhi ruang pejabat.
“Zura, masuk bilik!” arah Aizat di muka pintu
biliknya. Wajahnya tenang, tapi dalam hati jangan sangka
setenang itu. Akashah yang memandangnya dibuat tidak
tahu, sebal dengan sikap tak reti berputus asa alongnya.
Baizura buat tak dengar. Tahu Aizat tidak suka
melihat Akashah bertenggek di mejanya.
“Now!” Tinggi suara Aizat mengarah.
Baizura buat muncung itik.
“Eh, kau nak marahkan dia kenapa pula?” Akashah
masuk campur.
Baizura menjeling Akashah. Semuanya sebab lelaki
itu. Tak pasal-pasal dia pula yang kena. Kalau kena kurung
dalam bilik itu, mati kebosananlah dia.
Zamri pula buat tidak hirau, sebaliknya menghilang
ke dalam biliknya. Sudah biasa dia mengalami situasi ini
apabila melibatkan Baizura. Tak habis-habis, sampaikan dia
pun rasa terperangkap. Ada baiknya juga Baizura menerima
tawaran kerja di Kuantan itu.
“Zura, ikut abang,” ajak Akashah pula.
“Kak Min, jom! Zura dah siap kemas. Hari ni kan
Zura janji nak belanja piza.” Baizura dah berdiri di sebelah
Jasmin. Menarik tangan wanita itu supaya mengikutnya. Dia
cukup tidak suka apabila kedua-dua beradik itu berebutkan
perhatiannya. Lebih baik dia cabut lari dahulu.
Aizat terus menutup pintu biliknya sebaik sahaja
mendengar Baizura mengajak Jasmin keluar. Lebih baik
begitu. Akashah pula masih tidak berganjak duduk di kerusi
di depan meja Baizura.
Baizura tidak mahu menegur lagi. Lantak Akashahlah
nak berumah tangga di situ sampai esok pagi pun.
“Belum lunch hour lagilah Zura,” bisik Jasmin.
“Tak apa, Kak Min. Hari ni saya bebas nak lunch
pukul berapa,” beritahu Baizura.
“Tapi bukan Kak Min,” balas Jasmin pula. Tak berani
dia mahu keluar makan tengah hari awal walaupun yang
mengajaknya adalah gadis kesayangan bos-bosnya.
“Saya yang ajak, jadi Kak Min boleh ikut lunch hour
saya,” tekan Baizura. Gerenti abang-abangnya tak marah.
Lagipun sebaik sahaja Zamri dan Aizat masuk, terasa aura
harimau dan singa mahu keluar taring. Jadi, lebih baik dia
keluar makan.
“Cepatlah Kak Min. Tak naklah jadi mangsa harimau
singa bergaduh pula,” gesa Baizura. Sebab itulah dia tidak
hiraukan arahan Aizat tadi. Tidak mahu kena ngap!
Jasmin ketawa. Ada-ada saja si Baizura ni. Perasan
pula gadis itu seperti kancil comel tersepit di tengah-tengah
harimau dan singa. Tapi memang betul pun. Baizura ni, entah
ilmu apa yang dipakai, bos-bosnya berebut mahu memiliki
hati gadis itu.

No comments:

Post a Comment