DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 10



Dear Husband-To-Be,
I feel so lost without him...
Harap-harap kepulangan mama dan papa hari ni akan pulihkan semuanya...
SEMINGGU berlalu dan tiada yang berubah dalam hubungan Deja dan juga Aidan. Ucap maaf daripada Aidan dipandang sepi hingga kini dan Aidan pula seakan hilang idea tidak tahu cara untuk memujuk adiknya itu. Maka yang dingin kian membeku, dan yang retak kian kelabu. Irfan serta Nazran pun seakan buntu melihat Deja yang seakan tidak mahu mengambil langkah untuk merapatkan kembali hubungannya dengan Aidan.
Setiap pagi, Deja akan keluar awal untuk ke tempat kerja tanpa bersarapan terlebih dahulu. Pulangnya pula pada waktu senja dan langkahnya terus dibawa ke bilik, tidak keluar-keluar lagi sehinggalah rutinnya berulang
kembali keesokan harinya. Pesanan dan nasihat daripada Irfan singgah hanya di telinga, namun tidak sampai ke hati. Diri masih mahu memenangkan hatinya yang tercalar dek tuduhan Aidan yang langsung tidak berasas. Tapi... betulkah tidak berasas? Ah! Whatever! Lagipun, dengan Irfan pun Deja masih ada simpan rasa tidak puas hatinya. Tidak puas hati kerana Irfan mencanangkan perihal dirinya kepada Rina. Tambah menyakitkan hati, Irfan seakan tidak percaya dengan penceritaan Deja tentang perlakuan Rina terhadapnya.
“Dee... angah nak cakap sikit ni,” tutur Irfan beberapa hari selepas sesi perkelahan mereka di Ulu Yam sebelum ini.
“Apa?” balas Deja acuh tak acuh. Mata masih tekun melihat model-model dengan fesyen terkini dalam majalah Cosmopolitan di tangan.
Errr... angah nak minta maaf dengan Dee sebab terlepas cakap pada Reen tentang Dee.” Perlahan suara Irfan. “Along dah cerita pada angah pasal ni.”
Deja meletakkan majalah ke atas riba. Wajah Irfan yang penuh dengan riak bersalah dipandang.
“Along bukak mulut jugak nampaknya,” desis Deja perlahan.
“Tapi angah yakin Reen tak sengaja nak ungkit pasal perkara tu depan Dee,” sambung Irfan lagi.
Terjongket kening Deja. Dia menggeleng perlahan.
“Tak, ngah. Dia memang sengaja.”
“Macam mana dia cakap dengan Dee? Cuba cerita pada angah.”
Deja mengulang tayang kisah yang berlaku antara dirinya dengan Rina untuk pendengaran Irfan. Tiada yang lebih, tiada yang kurang dalam penceritaannya. Yang meluncur keluar daripada bibir Deja hanyalah yang benar dan tepat belaka. “Angah tak percaya. Takkan Reen cakap kat Dee macam tu?”
Deja menelan rasa kecewa.
“Jadi Dee ni penipulah ya? Is that what you’re saying?”
“Tak... bukan macam tu. Tapi... mungkin Dee salah faham kut,” balas Irfan. “Sebab Reen takde motif langsung nak cakap macam tu pada Dee.”
“Salah faham kut mananya ngah? Dia kata you all semua ni abang Dee atas kertas je. Jadi Dee patut hati-hati tinggal kat rumah ni dengan you all bertiga, bila mama dan papa takde kat rumah,” tegas Deja dengan nada serius.
Irfan masih menggeleng. Jelas mengisyaratkan yang dia tidak percaya dengan kesimpulan kata-kata Deja itu. Dan gelengan itulah yang membuatkan Deja sedikit terasa dengan Irfan. Sampai sudah Irfan mengatakan yang Deja telah tersalah dengar atau tersilap tafsir akan kata-kata Rina itu. Irfan menganggap Rina tiada niat buruk ketika berbalas kata dengan Deja tentang perkara itu.
Deja melepaskan keluhan berat mengenangkan perbualan antara dirinya dengan Irfan. Dia mengilas pandang jam di pergelangan tangan lalu bangun. Ringkas Deja mengemas meja. Meja yang semakin hari semakin kosong... seiring dengan rancangan syarikat untuk menghantarnya ke Kota Kinabalu. Rancangan yang hingga ke hari ini hanya diketahui oleh papa, mama dan Lisa. Dia tiada perasaan untuk berkongsi cerita dengan sesiapa pun. Biarlah dulu!
Deja mengeluarkan tas tangan daripada laci meja kerjanya. Telefon bimbit yang tiba-tiba berdeting lalu bercahaya dicapai. Deja membuka aplikasi WhatsApp yang diterima daripada Irfan.
Dee, balik awal hari ni ya.
 ‘Nak baliklah ni!’ dengus Deja. ‘Hesy!’ Telefon bimbit dicampak ke dalam beg tangan. Tiada hati untuk membalas.
Tiba di depan pintu pagar rumah, Deja perasan akan kereta-kereta lain yang terparkir di luar pekarangan rumah orang tuanya. Berkerut dahinya seketika sebelum mengarahkan kereta masuk ke kawasan garaj. Deja mematikan enjin kereta Nissan Latio berwarna merah kepunyaan Puan Shamila sebelum keluar dari perut kereta. Lemah langkahnya. Berat hatinya setiap kali mahu pulang ke rumah sejak tercetusnya pertelingkahan dengan Aidan. Tetapi entah mengapa hari ini, rasa berat yang menekan ke setiap penjuru hatinya terasa lebih membebankan daripada biasa.
Di depan muka pintu utama, Deja menanggalkan kasut. Pegun dia berdiri melihat Aidan, Irfan dan juga Nazran berada di ruang tamu seolah-olah menunggunya. Tambah memelikkan, si Rina dan Nia juga ada. Ada apa ni? Deja sudah tertanya-tanya sendiri.
Aidan menongkat kepala dan untuk seketika pandangan mereka berlaga sebelum lekas-lekas Deja melarikan mata. Aidan bangun.
“Dee...” serunya perlahan.
Deja melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Ucap salam diberi sebagai tanda hormat kepada tetamu yang ada. Sesungguhnya dia tiada angin untuk bersosial ketika ini. Lebih-lebih lagi dengan si Rina ni. Deja memaksa diri untuk bersalaman dengan Nia dan juga Rina.
“Duduk, Dee,” pelawa Aidan sebelum mengambil tempatnya semula.
Deja akur tanpa sekelip pun memandang ke arah Aidan. Dia mengambil tempat di sebelah Irfan di sofa berangkai dua. Sengaja tidak mahu duduk di sebelah Aidan yang duduk di sebelah Nazran di sofa berangkat tiga.
Pelik Deja tiba-tiba. Wajah keruh Irfan dan Nazran menimbulkan seribu tanda tanya. Suasana di ruang tamu pun seakan beku semacam.
“Kenapa ni?” soal Deja. “Kenapa masam je muka semua orang ni?”
Irfan berbalas pandang dengan Aidan. Kata sepakat sudah dicapai oleh mereka tiga beradik sebentar tadi. Hanya Aidan yang akan bersuara. Dan Irfan setia menanti abangnya membuka mulut.
Aidan berdeham bagi melegakan rengkung.
“Dee... baru sekejap tadi along dapat call daripada Puan Julia dari London. Dia wakil travel agent yang ikut rombongan melancong papa dengan mama.”
Deja diam. Menunggu Aidan menyudahkan kata.
Aidan menelan liur. Cuba mengumpul sisa-sisa kekuatan yang ada. Kekuatan yang diharapkan oleh Irfan dan juga Nazran ketika ini.
“Dee tahu yang flight papa dengan mama dari London petang tadi waktu Malaysia, kan?”
Deja mengangguk.
“Dalam perjalanan ke Heathrow airport tadi, bas rombongan papa terlibat dalam kemalangan...” Jeda. Mata Aidan berkaca. Dia memejamkan mata seketika lalu melepaskan nafas perlahan-lahan. Dan mata yang kembali tercelik memancarkan kekuatan dan keredaan.
Mata Deja sudah membesar. Riak wajah Irfan dan Nazran seakan memberi gambaran yang jelas bahawa sesuatu yang buruk telah menimpa orang tua mereka. Dan kesukaran Aidan untuk meneruskan tutur kata seakan mengesahkan telahan yang berlegar di dalam kepala Deja.
Deja berpaling mencari mata Irfan di sebelahnya “Angah?” seru Deja separuh panik. “Mama dengan papa okey, kan? Diaorang okey, kan?”
Bergetar bibir Irfan. Tangan mencari tangan Deja lalu digenggam erat.
“Dee... papa dengan mama dah takde.” Suara Aidan bagai sayup-sayup yang menyapa ke peluput telinga Deja. “They didn’t make it...”
Untuk seketika, Deja kaku tidak bergerak. Tidak lama kemudian, Deja mula ketawa. Ketawa yang kedengaran seperti dibuat-buat. Tangan ditarik kasar daripada genggaman Irfan.
“Ni lawak apa senja-senja ni hah? Lawak bodoh apa ni?” Deja sudah hampir menjerit. Tanpa sedar, tangan sudah kuat mengepal penumbuk. “Tak kelakar okey!”
Deja melabuhkan mata pada setiap wajah di sekelilingnya. Nia hanya mampu tunduk namun bahunya sedikit bergetar seolah-olah menahan tangis. Wajah Rina seperti selalu. Dingin tetap sekurang-kurangnya mulut gadis itu tidak memuntahkan racun yang sebati dengan jiwanya setiap kali berdepan dengan Deja. Dan wajah Aidan, Irfan serta Nazran masih seperti tadi. Keruh... tegang... dan bergaris pilu...
“Dee...” seru Irfan pula.
Shut up!” celah Deja hampir menjerit. Kepala sudah menggeleng laju. “Dee tak nak dengar apa-apa! Dee tak nak dengar apa-apa!” Bingkas Deja bangun dari sofa. Niat mahu berlari jauh daripada abang-abangnya yang jelas sudah tersampuk dengan roh entah siapa-siapa!
Irfan turut bangun. Tangan Deja mahu diraih tapi ditepis laju oleh Deja.
This is not funny okay! Not funny at all!”
Irfan buntu. Mata mencari wajah Aidan dengan
penuh rayuan. Dia tidak tahu cara untuk meyakinkan Deja bahawa berita yang baru diterima sebentar tadi benar-benar kenyataan.
Perlahan-lahan Aidan berdiri. Bukan sukar untuk meneka reaksi Deja sebegini. Kalau impak berita kecelakaan yang menimpa papa dan mama begitu hebat dirasakan oleh mereka tiga beradik, apatah lagi kepada Deja? Ini merupakan kehilangan besar yang kedua pernah dirasakan dalam hidup adiknya itu, sedangkan usianya masih begitu muda.
Aidan menghampiri adik bongsunya lalu berdiri rapat di hadapan Deja. Wajahnya sugul tidak terkata. Bahu Deja dicengkam.
“Dee... papa dan mama betul-betul dah takde. 5 orang meninggal dunia dalam kemalangan tadi, termasuk papa dan mama. Yang lain tercedera, dan ada yang parah...” Perlahan suara Aidan. Kalau tidak kerana Aidan sedang menyampaikan berita yang amat buruk ini, sudah pasti Deja akan berasa terbuai dengan nada suara Aidan yang begitu lunak.
Lutut Deja terlepoh tiba-tiba. Pantas Aidan menyambut tubuh Deja. Dalam keadaan darurat begini, Aidan tidak berfikir akan tekadnya untuk tidak lagi menyentuh Deja. Irfan turut menyambut lengan kiri Deja lalu ditolak kembali ke sofa.
Nazran melihat keadaan adiknya dengan mata yang berkaca. Suaranya terkunci tidak bisa dilantunkan. Sesungguhnya berita yang mengejutkan ini terasa begitu sukar untuk diterima.
Deja memandang kosong ke arah telapak tangan. Irfan mengambil tempat di sebelahnya, manakala Aidan sudah berlutut di hadapan Deja.
“Dee...” Mati kata-kata Irfan. Tiada kata-kata yang sesuai untuk disuarakan demi memujuk hati Deja. Bicara apakah yang harus diucapkan pada saat-saat begini? Sudah  
ajal papa dan mama? Ni semua takdir? Akan terpujukkah hati Deja mendengar semua itu, sedangkan semuanya ternyata suatu suratan yang sudah ditentukan sejak azali lagi?
“Mama takkan tinggalkan Dee, kan? Mama takkan tinggalkan Dee...” Deja menongkat mata. “Along... mama takkan tinggalkan Dee, kan?”
Pahit terasa liur yang ditelan oleh Aidan. Terasa sudah berkurun lamanya Deja tidak memanggilnya dengan suara lembut begitu, atau memandang tepat ke matanya.
“Along? Please say this is not happening to me again... Please along?” rayu Deja dengan mata yang berkaca. “Please? Dee janji, lepas ni Dee akan dengar cakap along. Dee takkan buat perangai lagi. Dee akan buat semua yang along suruh, tapi tolong... tolong jangan cakap yang...” Pecah suara Deja tidak bisa meneruskan kata.
My God, Dee...” Lirih suara Aidan. Luluh hatinya melihat Deja begini. “Jangan macam ni, sayang...”
Nazran mengesat air mata yang mengalir ke pipi. Nia juga begitu. Rina hanya memandang sketsa di depan mata dengan bibir yang terketap kuat.
Perlahan-lahan Deja cuba bangun. Aidan berkalih sedikit untuk memberi ruang kepada Deja.
“Dee naik dulu. Dee belum solat. Waktu maghrib dah lama masuk,” ujar Deja dengan nada yang mendatar. Langsung tiada perasaan, seolah-olah mengkhabarkan tentang cuaca yang panas pada hari itu. Kaki mula melangkah.
“Dee... along dah buat keputusan untuk jenazah papa dan mama dikebumikan kat sana je. Biar urusan pengebumian dipercepatkan dan tak ditangguh-tangguh. Nanti kita buat solat jenazah ghaib ya? Malam ni dah terlambat nak uruskan tahlil untuk mama dan papa. Kita buat malam esok je.”
Deja tidak menoleh walaupun kakinya dipaksa  
berhenti seketika. Laporan Aidan langsung tidak menarik minatnya untuk memberikan sebarang reaksi.
“Along? Nak aku naik pujuk Dee?” soal Irfan melihat tingkah Deja yang tiba-tiba berubah beku.
Aidan menggeleng.
“Biar dulu. Nanti kita tengok dia macam mana. Bagi dia ruang untuk bersendiri. Berita ni betul-betul mengejutkan bagi Dee. Kita dah ada masa untuk hadam semua ni, tapi Dee belum,” jelas Aidan.
Aidan mengerling ke arah adiknya.
“Alang, kau okey?” Perasan yang sedari tadi Nazran sedikit pun tidak bersuara.
Nazran menggeleng.
“Aku macam tak percaya je semua ni terjadi.”
Irfan menghampiri adiknya. Bahu Nazran ditepuk lembut.
“Kita semua kena kuat, lang, demi Dee. Sekarang ni, kita je yang Dee ada. Kita je yang Dee boleh harapkan. Aku harap kau kuat,” pinta Irfan. “Kau ingat pesan papa sebelum papa pergi bercuti?”
Nazran tunduk.
It’s okay, lang. Kau ambiklah masa untuk tenangkan diri kau. Aku dengan along ada untuk kau, sama macam kita ada untuk Dee...” Irfan memaut bahu adiknya.
“Ngah, lang... jomlah kita bersiap untuk solat. Lepas ni sama-sama kita contact saudara-mara dan semua kenalan papa dan mama...” ujar Aidan.
Irfan mengangguk. Dia berpaling ke arah Rina yang duduk di sebelah Nia.
“Reen, terima kasih sebab ada kat sini during our
time of need. Malam esok you datang untuk kenduri tahlil ya?” ajak Irfan.
Rina tersenyum manis. Wajahnya berona simpati.
Of course!” Dia bangun. Begitu juga dengan Nia.
“Kita orang balik dulu. Dan, sekali lagi Nia ucapkan takziah ya.” Sebak ucapan Nia. Hati ingin memujuk Aidan, ingin menawarkan bahunya untuk digunakan oleh lelaki itu semahu hati. Tetapi ada sesuatu yang menghalang.
Sejak berita tentang kecelakaan yang menimpa Puan Shamila dan Encik Fahmi diterima lebih kurang 2 jam yang lalu, Aidan seolah-olah tidak menyedari akan kewujudannya di sini, walaupun jarak yang memisahkan mereka hanya beberapa meter saja. Aidan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa kehadiran Nia diperlukan di sisi. Nia terasa... begitu terasa... tetapi mahu mengadu tentang hatinya yang tercalar ketika ini bukanlah waktu yang sesuai.
Thanks, Nia,” ucap Aidan. Ada rasa bersalah menyapa ke hatinya tatkala mendengar Nia bersuara. Sungguh! Dia lupa akan kehadiran gadis itu sejak tadi.
“Dan, esok I...”
It’s okay, Nia. I ingat. You ada company off-site meeting kat Bukit Tinggi selama 3 hari, kan? Takpe. You pergilah. Drive elok-elok ya.”
Nia tersenyum segaris.
“Apa-apa call I ya?”
Aidan mengangguk kecil. Entah mengapa Nia tidak rasa yang Aidan akan menghubunginya, terutamanya untuk berkongsi rasa sedih di hati. Akhir-akhir ini pun, dia yang lebih banyak menghubungi Aidan berbanding lelaki itu. Nak kata dia seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong pun, ada! Aidan tidak pernah pula melarang atau berkata yang sebaliknya. Dan Aidan tidak seperti lelaki lain yang 110 sedang dilamun cinta. Maka, di manakah letak dirinya dalam hati Aidan? Sekali lagi dia bertanya, punya ruangkah untuk dirinya di situ?

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN MEI 2018**  

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 9


Dear Husband-To-Be,
I masih benci pada along. Tapi... kenapa I marah sangat ni? I pun tak tahu!
DEJA duduk di atas batu sederhana besar sambil merendam kaki ke dalam air sungai yang dingin. Nyaman terasa sehingga ke sumsum tulang.
“Dee... you marah I lagi ke?”
Deja menggelengkan kepala. Wajah serius Jazlan yang duduk di sebelahnya dan melakukan aksi yang sama dipandang sejenak.
“Habis tu? Kenapa you diam je dari tadi? I betul-betul minta maaf pasal malam kelmarin Dee...” pinta Jazlan untuk kali yang entah ke berapa. Riak bersalah memenuhi setiap garisan di wajahnya. “I dah minta maaf pada along you jugak tadi.”
 “I dah tak fikir pasal malam tu, Jazz. I cuma takde mood. Kalau tak sebab angah, I nak cancel je outing kita hari ni. I ada banyak sangat benda kat dalam kepala I ni.”
“Tak nak share dengan I?” soal Jazlan lembut. Ingin mengambil hati Deja kembali.
Yang sebenarnya, Deja masih belum bersedia untuk berkongsi dengan Jazlan tentang hal kerjanya. Dengan papa, mama serta abang-abangnya pun dia masih belum membuka mulut. Hanya Lisa seorang yang tahu tentang hal pemindahannya ke Kota Kinabalu. Itu pun, Deja sudah meminta agar Lisa mendiamkan saja perkara itu dulu. Dia masih menanti masa yang sesuai untuk memaklumkan sendiri kepada keluarganya dan juga Jazlan.
Deja tersenyum kecil.
“Bukan sekarang, okey? Sekarang tak sesuai.”
“Dee!” jerit Irfan yang sudah pun berendam sepenuhnya di dalam air. “Tak nak mandi ke?”
Deja menggelengkan kepala.
“Tak naklah. Sejuk!” dalih Deja.
Rina yang berendam rapat di sebelah Irfan sudah mencemik.
“Dasar anak bandar. Mengharapkan water heater setiap kali nak mandi,” sindirnya. “Air sungai pun tak tahan sejuk.”
Irfan ketawa. Sindiran daripada Rina dianggap sebagai kata-kata usikan semata-mata.
“Semalam kan hujan? Memanglah sejuk. Jeram kat atas tu pun macam deras semacam.” Air dipercikkan ke wajah Rina. Sengaja. Mahu mengusik si buah hati.
“Fan!” rengek Rina manja seraya meraup wajah. “Janganlah...” Rengekan Rina disambut oleh tawa Irfan yang
semakin galak mengusik teman wanitanya.
“Dan...”
Aidan mengalihkan pandangan daripada merpati dua sejoli yang santai duduk di atas batu.
“Tak nak mandi ke?”
“Kejap lagi kut,” balas Aidan. Bekas air minuman styrofoam yang dihulur oleh Nia disambut. Sopan gadis itu duduk bersimpuh di atas tikar sambil tangan sibuk mengeluarkan makanan yang dibawa ke tapak perkelahan mereka ini.
Seketika kemudian, Nazran melabuhkan duduk di atas tikar dengan persalinan mandinya. Tuala disangkut ke leher.
“Long, nasib baik kau ingat nak bawak khemah. Senang nak salin baju,” ujar Nazran. Tangan sudah menyumbat kuih karipap ke dalam mulut.
Hmmm...” Sambil meneguk air teh-o yang sudah sejuk, mata mengerling ke arah Deja yang enak berbual dengan Jazlan. Nampaknya kedinginan Deja terhadap Jazlan yang dipamerkan pagi tadi sudah hilang. Deja kini sudah kembali mesra berbual dengan lelaki yang masih menganggur itu. Hanya dia yang masih menerima layanan dingin Deja.
Sejak Deja pulang ke rumah malam tadi, hinggalah kini, tiada sepatah kata pun yang diucapkan oleh adiknya itu. Ucap maaf daripada Aidan pun seperti angin lalu yang menyapa di telinga. Langsung tiada kesan kepada Deja.
“Long,” seru Nazran lagi. “Kau dengan Dee tak baik lagi ke?”
Kaku seketika tangan Nia yang baru mahu membuka bekas Tupperware berisi sandwic.
“Dan, you gaduh dengan Dee ke?”
 Just a small misunderstanding.” Ringkas balasan Aidan. Mata sudah mencerlung ke arah Nazran. Tidak suka hal keluarga dibincang untuk pendengaran orang luar.
Nazran mengerti. Raut sudah mempamerkan riak kesal. Dia terlepas kata nampaknya.
“Oh... padanlah I tengok Dee macam tak semesra selalu...” komen Nia.
“Alah... biasalah gaduh adik-beradik ni, kan?” celah Nazran. Nia tersenyum seraya mengangguk.
Melihat Siti sudah keluar dari khemah, Nazran bangun.
“Okey, aku nak mandi.” Kaki dibawa ke bahagian tengah sungai yang terbentuk seperti kolam yang besar. Temannya, Siti hanya mengekor dari belakang. Gelak tawa mereka bersabung dengan suara-suara pengunjung lain, terutamanya kanak-kanak kecil, yang ligat melompat masuk ke dalam sungai.
“Tu boyfriend Dee ke Fan?” soal Rina. Entah mengapa, mata asyik mahu melihat ke arah Deja serta lelaki yang diperkenalkan sebagai Jazz kepadanya tadi.
Hmmm...”
“Kerja apa? Muda-muda lagi dah bawak kereta BMW?” ujar Rina.
Irfan mengerling ke arah Rina. Telinganya seakan menangkap nada tidak puas hati pada suara buah hatinya, namun dia tidak tahu sebab Rina perlu merasa begitu.
“Anak orang kaya, biasalah...”
“You pun anak orang kaya jugak, tapi tak drive BMW pun?”
Terjongket kening Irfan.
Errr... maksud I, you taklah pulak nak beli kereta
BMW, walaupun you anak orang kaya.” Tergagap-gagap Rina cuba membetulkan kata-kata yang kedengaran agak sinis tadi.
“Reen, I tak rasa I anak orang kaya. Cuma famili I mampu. Tu je,” tangkis Irfan. Kaya? Seperti tak tepat. Walaupun kehidupan mereka serba-serbi mencukupi, namun Irfan tidak merasakan yang mereka berlebih-lebih dalam segala hal. Papa dan mama pun tidak pernah memanjakan mereka dengan kebendaan. Semua yang mereka inginkan, perlu diusahakan sendiri. Malah, sejak mereka dalam alam persekolahan sehinggalah ke peringkat universiti, setiap kali cuti sekolah atau semester, setiap mereka akan disarani agar mencari kerja sambilan untuk mendapatkan duit poket. Daripada usia yang muda, papa mereka sudah mengajari mereka tentang erti usaha dan berdikari. Tak semua yang mereka inginkan akan datang bergolek tanpa sebarang usaha.
“You ni humble sangat arrr, Fan.” Mata Reen melirik manja. Alah! Macamlah dia tak tahu betapa besarnya nama papa dan juga mama Irfan dalam dunia perundangan, dan betapa berjayanya firma Ali & Partners yang sudah berusia lebih 30 tahun itu. Mama Irfan dulu pun merupakan seorang daripada rakan kongsi firma sebelum dia memilih untuk bersara daripada profesionnya, tetapi masih menjadi penasihat kepada firma itu.
“Kenapa you tanya pasal Jazz?” soal Irfan.
“Saja. Nampak sesuai dengan adik you tu,” balas Rina bersahaja.
She deserves someone better,” komen Irfan.
Berkerut dahi Rina.
“Kenapa?”
“Dee tu perlukan sorang lelaki yang akan jaga dia dengan baik. I tak nampak Jazz tu boleh jaga Dee macam mana I, along dan alang jaga dia selama ni.”
Rina sudah membuat muka. ‘Eleh! Menyampah aku!’
“Kalaulah Dee nak kahwin dengan Jazz, I la orang pertama yang akan tentang, kut,” tambah Irfan. Tidak sedar yang kata-katanya membuat Rina semakin meluat.
“Kenapa pulak?”
“Sebab I sayang sangat pada adik I tu. She is my princess, dan I tak nak lepaskan dia pada mana-mana lelaki yang I rasa tak dapat nak bahagiakan dia.” Penuh emosi Irfan menyuarakan pendapat hatinya.
Mulut Rina sudah mencebik. Pleaselah! Adik angkat je kut! Yang nak lebih-lebihkan sangat tu kenapa?
“Esok-esok I dah jadi isteri you, I la akan jadi princess you kan?” duga Rina.
Irfan tersengih.
“You akan jadi the queen of my heart. Title princess tu akan selama-lamanya dipegang oleh Dee.”
Sedaya upaya Rina menahan diri untuk tidak membuat aksi nak termuntah.
We’ll see about that!’ Rina tidak puas hati. Iri yang datang bertimpa-timpa terhadap perasaan kasih dan sayang Irfan yang dirasakan agak melampau terhadap Deja membuat dia tidak mahu hanya berpeluk tubuh. Dia akan pastikan dirinya seorang saja yang akan bertakhta di hati Irfan. Hanya dia seorang! Mata sempat menjeling ke arah Deja.
“Dee, I laparlah. Jom makan?” ajak Jazlan.
Deja mengerling ke arah tapak perkelahan mereka. Aidan masih tidak berganjak daripada tikar. Hesy! Bila abang sulungnya itu nak turun mandi?
“I tak breakfast lagi sebenarnya ni. I lapar,” rengek Jazlan lagi.
“Yalah! Jom!” Deja beralah. Dia melompat turun dari
batu lalu berdiri ke dalam sungai sebelum berjalan ke tepi kemudian memanjat batu menuju ke daratan.
“Nak makan, Dee?” soal Nia mesra.
Deja menghulurkan senyuman. Dalam minda, dia terfikir akan kata-kata Lisa semalam. Dia marah akan Aidan, jadi tidak perlu untuk melampiaskan pada orang lain. Nia tak bersalah.
“Jazz yang lapar,” balas Deja. Pinggan plastik diambil dari dalam bakul. “You nak makan apa, Jazz? Ada mihun goreng, sandwic, kuih...”
“Mihunlah,” jawab Jazlan. Pinggan yang diisi mihun dihulur kepada Jazlan.
Jazlan tersengih. Suka dia dilayan begitu oleh Deja. Layanan yang diharapkan akan berterusan sehingga ke akhir hayat.
Nia mengerling ke arah Deja dan kemudian ke arah Aidan yang seakan terpaku memandang ke figura Deja tanpa berkelip. Apa agaknya yang menjadi isu antara Aidan dengan Deja ni ya? Selalunya, hubungan mereka empat beradik ini begitu baik dan mesra. Tentu ada sesuatu yang membuat Deja begitu terasa hati dengan Aidan.
“Sedapnya! Dee, you ke yang masak ni?” puji Jazlan antara kunyahan.
“Hesy you ni! I mana pandai masak? Bibik I yang masak,” terang Deja. Dia tidak segan mengaku perkara yang benar. Dan tiada guna dia menipu. Lambat-laun, Jazlan akan tahu perkara yang sebenarnya pun.
“Macam mana nak jadi isteri kalau tak reti masak?” sampuk satu suara tiba-tiba.
Deja melangut. Melihat Rina yang sedang mengibas-ngibas rambutnya yang basah. Bibir gadis itu tersungging senyuman sinis.
Sakit hati Deja. Sejak pagi tadi, ada saja komen-komen daripada si Rina ini yang menghangatkan hatinya. Ada saja isu yang digunakan untuk menyindirnya. Bersiap lambat sedikit pun kena sindir. Padahal, bukannya lama sangat mereka menunggunya pun. Awal-awal lagi dia sudah menyuruh mereka bertolak dulu dan dia akan menyusul dengan Jazlan kemudian. Tapi abang-abangnya semua tidak bersetuju. Tengok-tengok si Rina pula yang berlebih-lebih. Deja betul-betul tidak mengerti. Apa masalah Rina dengannya? Aura tidak suka seakan terpancar dari segenap rongga gadis itu.
Takpe. Tak pandai masak pun takpe. I boleh gajikan tiga orang bibik untuk you, Dee. Takkan orang cantik dan berkerjaya macam you ni nak duduk kat dapur, kan?” sengih Jazlan sambil mengenyit mata ke arah Deja.
Deja ketawa. Sedar yang Jazlan hanya bergurau. Dalam hati, dia berterima kasih kerana Jazlan mempertahankannya di hadapan Rina. Rina diam tiada balasan.
Irfan mengambil tempat di antara Deja dengan Jazlan. Sengaja dia menyelit di situ.
“Apa angah ni? Basahlah tikar ni! Hesy! Pergilah keringkan badan dulu!” dengus Deja sambil menolak bahu Irfan.
Irfan buat bodoh. Tangan yang masih basah dipercikkan ke wajah Deja.
Sejuk! Sekali lagi Deja meninggikan suara.
“Angah!!” Tangan sudah memukul bahu Irfan bertalu-talu.
Nia menekup mulut untuk menutup tawa yang ingin terlepas. Lucu betul melihat gelagat Irfan yang menyakat Deja. Lain pula ekspresi di wajah Rina. Air sungai yang dingin tidak mampu menyejukkan hati yang terbakar melihat kemesraan si kekasih hati dengan adik angkat yang tak sedar
diri ni. Mengada-ada!
Koyak senyuman di bibir Aidan. Begitu juga dengan Jazlan.
“Dee... you ni comel arrr...” puji Jazlan. Pujian yang secara automatik mematikan senyuman manis di bibir Aidan. Dia mengerling Jazlan tajam.
Suara Nazran yang mencelah mengadu dirinya lapar merubah suasana buat seketika. Masing-masing sibuk melayan kehendak perut. Sambil makan, Deja berbual dengan Jazlan. Tidak langsung mengambil peduli akan perbualan antara abang-abangnya dengan pasangan masing-masing.
Sudah 3 jam mereka menghabiskan masa di kawasan Air Terjun Ulu Yam ini. Tiada yang berubah antara Deja dengan Aidan. Deja masih beku dan hanya melayan Jazlan yang pandai menghiburkan hatinya. Ketika waktu sudah menginjak ke jam 3 petang, masing-masing berkeputusan untuk bersurai saja.
Aidan hanya memandang si adik bongsu yang membuntuti langkah Jazlan menyusuri laluan menuju ke tempat letak kereta. Tikar dari atas tanah dikutip lalu dikibas kuat. Lebih kuat daripada yang seharusnya.
Rina sudah mendengus tidak puas hati. ‘Orang lain sibuk kena kemas, dia boleh berlenggang-lenggang kangkung balik macam tu je!’ Namun rasa hati yang ingin dihamburkan hanya mampu disalurkan ke rengkung dan tidak bisa disuarakan secara lantang. Lebih-lebih lagi dia perasan akan layanan tidak-begitu-mesra yang diterima daripada Aidan dan Nazran sejak pagi. Dia perlu lebih bijak menyembunyikan perasaannya agar tidak terlalu ketara. Dia sedar yang Deja bukan saja merupakan orang kesayangan Irfan, tetapi mempunyai takhta yang istimewa di hati Aidan dan juga Nazran.
“You okey? Jauh termenung?”
Tersentak Rina jadinya. Hampir terlepas bekas air di tangan. Dia membalas renungan Irfan lalu tersenyum.
“I okey. Penat sikit je...” rengeknya.
“Jom, I hantar you balik,” pelawa Irfan.
Rina mengangguk.
“Jom...”
Langkah Irfan serta Rina diikuti rapat oleh Nazran dan juga Siti. Meninggalkan Aidan serta Nia yang masih memastikan mereka tidak meninggalkan sebarang sampah di tapak perkelahan mereka.
“Dan? You tak banyak cakap hari ni. You okey ke?” soal Nia penuh prihatin.
“I okey, Nia.”
“You masih upset pasal Dee ke?”
“Taklah... semuanya akan baik-baik je. Dah sejuk nanti, Dee mesti akan rapat semula dengan I,” balas Aidan.
“Boleh I tahu apa isu you berdua?”
Tawar senyuman di bibir Aidan.
Takpelah, you. Small matter je.”
Nia menelan rasa kecewa. Tiada perkembangan positif nampaknya daripada Aidan dalam hubungan mereka. Aidan masih tidak mahu bercerita tentang hal keluarga dengannya, seolah-olah dia bukan sesiapa pun di hati lelaki itu. Nia mengeluh dalam hati. Ke mana agaknya hala tuju hubungan mereka ya? Nampak seperti tidak berkembang sedikit pun dari dua bulan yang lalu. Adakah tempat di hati Aidan buat dirinya?