SEKALI lagi Najib buat perangai. Kali ini dia mabuk di kelab
malam pula. Jika tidak kerana panggilan telefon daripada ibu Najib dua jam
lepas, tidak ingin Haydar jejakkan kakinya ke kelab itu. Namun nada merayu
wanita yang melahirkan Najib itu membuatkan hati anaknya lirih lalu dia
mengiakan saja apabila wanita tua itu meminta bantuannya supaya mengambil Najib
di kelab malam.
Liar mata Haydar memerhati
sekeliling. Dia mencari kelibat Najib. Tidak sampai 10 minit, dia sudah nampak
tubuh kurus tinggi milik lelaki itu. Terhuyung-hayang menari tak ingat dunia di
pentas tarian. Haydar hanya geleng kepala. Macam mana lelaki yang cukup kasih
sayang ini boleh jadi begini? soalnya kepada diri sendiri.
“Jib, Jib... ” tegur Haydar sambil
menepuk belakang Najib. Terpaksa dia kuatkan suara hendak melawan bunyi kuat
lagu yang sedang berkumandang.
“Hei Dar! Kau buat apa kat sini? Nak join
aku?” soal Najib sambil menjerit.
‘Join kepala hotak kau!’ Sumpah Haydar
dalam hati.
Nak saja Haydar menyumpah Najib, dia
bukan datang hendak menyertai tapi dia datang nak ajak Najib pulang. “Mak kau call
aku, suruh tolong ambik kau.” Sambut Haydar lagi.
“Oh okey, kejap lagi... aku nak
menari kejap.” Terhuyung-hayang tubuh Najib bergoyang, sudah tidak seperti
orang menari lagi gayanya. Memang mabuk teruk gamaknya.
“Jomlah Jib...” ajak Haydar lagi. Dia
dah mula malu apabila ada beberapa mata sudah memandang dia lain macam,
terutamanya apabila dia mula meraih tangan Najib. Nak mengelakkan tanggapan
buruk orang terhadapnya, Haydar cuma senyum. “Ini adik saya...” katanya.
Sejurus dia berkata begitu, terus dia
menarik kasar tangan Najib kasar menuju ke keretanya. Malu muka hanya Tuhan
saja yang tahu.
“Macam-macam hallah kau ni Jib,”
ujarnya sejurus menolak tubuh Najib ke dalam kereta. Nampak saja kurus,
beratnya... masya-Allah!
Haydar hidupkan enjin sejurus masuk
ke kereta lalu terus dipecut menuju ke rumah ibu Najib. Dah besar panjang
begini pun masih menyusahkan ibu bapa, bebel Haydar dalam hati.
Sejurus tiba di rumah Najib, Haydar
memapah tubuh sahabatnya keluar sehingga masuk ke dalam rumah.
“Terima kasih nak...” ucap ibu Najib
kepadanya.
“Sama-sama mak cik,” jawab Haydar
sopan. Kenapalah Najib buat perangai walaupun ada ibu sebaik ini. Kalau dialah,
pasti dia akan sedaya upaya membahagiakan ibunya.
“Tolonglah nasihatkan anak mak cik.
Mak cik pun tak tahu nak buat apa dengan perangai dia yang satu ni...”
keluh ibu Najib lagi.
“Insya-Allah mak cik. Esok masuk
ofis, saya jumpa dia.” Janji Haydar dan berjalan menuju ke pintu hadapan.
“Dar...” panggil Najib yang separa
sedar.
Haydar dan ibu Najib berpaling
serentak.
“Kau tolong ambil balik dompet dengan
phone aku tertinggal kat kaunter tadi.” Kata Najib antara dengar dan
tidak.
Hesy! Dalam mabuk pun sempat lagi
ingatkan telefon dan dompet. Haydar geleng kepala.
“Tolong ya nak, maafkan anak mak
cik.” Haydar jadi tidak sampai hati. Dia yang tidak pernah merasai kasih sayang
seorang ibu, terus lembut hati. Tambahan lagi dengan mata sayu wanita tua itu,
makin lemah jadinya. Kalau tak difikirkan wajah lembut itu, nak saja dia debik
sekali wajah Najib.
“Saya ambilkan.” Haydar senyum,
berharap agar ibu Najib tidak perlu risaukan apa-apa. “Esok saya pulangkan pada
dia di ofis.” Sambungnya.
“Terima kasih banyak-banyak nak...”
Kesal dengan sikap anak sendiri sehingga terpaksa menyusahkan orang.
“Sama-sama.” Angguk Haydar lalu
berjalan ke kereta.
“Esok, siap kau Jib...” gumam Haydar
sejurus dia pecut keretanya ke kelab malam semula.
Tiba saja di kelab malam, Haydar
terus pergi ke kaunter. Usai mendapatkan dompet dan telefon Najib yang
kebetulan disimpan oleh penjaga kaunter, Haydar terus berjalan menuju pintu
keluar. Namun sebelum sempat dia sampai, dia terdengar suara perempuan meminta
tolong. Pantas Haydar berpaling. Kecil betul dunia ini. Lagi-lagi perempuan ini
yang dia jumpa
“Excuse me, boleh saya tahu kenapa ni?”
soal Haydar apabila dia datang mendekat. Seorang lelaki sedang memegang tangan
Ava dan enggan melepaskan.
“Perempuan ni degil. Aku dah bayar,
dia tak nak ikut aku balik.” Kata lelaki itu sebagai jawapan kepada Haydar.
“Hei, tolong sikit! You cuma belanja
I minum saja tadi okey!” marah Ava apabila lelaki itu memaksanya mengikut
pulang setelah membayar minumannya tadi.
“Ya, aku belanja minum sebab nak ajak
kau balik. Kau ingat kalau aku tak ada niat macam tu, aku nak belanja?” Sinis
nada lelaki itu dengan tangan yang masih memegang tangan Ava.
“Setakat belanja tak sampai 50
ringgit, kau nak ajak aku teman kau tidur?” Kali ini Ava pula memulangkan paku
buah keras. Hilang sudah bahasa sopannya. Direntap tangannya sampai terlucut.
“Habis tu kau nak berapa? Seribu, dua
ribu?”
Menyirap darah Ava mendengar
penghinaan lelaki itu. Terus diangkat tangannya tinggi, hendak menampar wajah
lelaki itu. Namun belum sempat tangannya mencecah pipi kasar lelaki itu, ada
tangan kekar yang menghalangnya.
Haydar pegang erat tangan Ava. Nasib
baik sempat sebelum gadis itu bertindak menampar lelaki di hadapannya ini.
Kalau berlarutan, dia tidak pasti apa jadi pada nasib Ava. Dari tadi dia jadi
pemerhati saja.
“Lepaslah! Biar I ajar sikit mulut
lancang jantan ni!” Ava meronta-ronta bila Haydar masih tidak melepaskan
tangannya. Tadi lelaki itu, sekarang Haydar pula.
Nyata lelaki tadi tergamam. Tidak
menyangka barangkali Ava akan jadi segarang ini.
“Kau nak tampar aku?” Lelaki itu
ingin mendekat dengan tubuh Ava. Mana-mana lelaki pun pantang dicabar
dan dia tidak takut dengan tamparan
seorang perempuan. Cuma dia lega lelaki yang masih memegang tangan Ava ini
menggagalkan rancangan perempuan itu. Jika tidak perlulah dia mengajar Ava.
“Relaks bro, biar saya uruskan
perempuan ni...” Enggan melanjutkan konflik itu, Haydar masuk campur. Kalau
dibiarkan bukan gadis ini yang menang. Silap-silap hari bulan Ava yang pengsan
dikerjakan lelaki ini. Dia perhatikan saja wajah garang Ava. Garang tak
bertempat! kata Haydar dalam hati.
Haydar mendekati lelaki itu dan
membisik sesuatu di telinganya. Seketika kemudian, lelaki itu tersenyum sinis
sambil menjeling Ava.
“Good luck!” Katanya dalam
senyum sinis lalu meninggalkan Haydar yang masih memegang tangan Ava.
Ava yang kehairanan sudah memandang
wajah Haydar. “You cakap apa pada dia?”
“Adalah,” jawab Haydar pendek. Tangan
Ava ditarik supaya mengikutnya ke kereta. Tidak penting apa yang dia katakan
kepada lelaki tadi. Apa yang penting, dia bawa Ava pulang. Tak elok perempuan
seperti Ava menghabiskan waktu lewat malam di tempat begini. Kalau tidak kenal
gadis itu, dia tidak hairan tapi sudah beberapa kali dia bertemu dengan Ava.
Entah kenapa, hatinya ini mula mengambil berat biarpun gadis itu nampak seperti
gadis liar yang tidak layak mendapat perhatian begitu.
“You cakap apa pada dia?” soal Ava
lagi. Terdorong tubuhnya mengikut langkah Haydar.
Haydar tidak menjawab, sebaliknya dia
hidupkan alarm kereta, membuka pintu dan mendorong tubuh Ava supaya
masuk.
Ava tidak puas hati. Dia tahu ada
sesuatu yang Haydar ucapkan sehingga lelaki tadi melepaskannya. Dia pasti
sangat
tadi, lelaki itu hendak menerkamnya
tetapi tidak jadi apabila Haydar berbisik sesuatu.
“Haydar, I tahu you ada ucap sesuatu
pada dia tadi. Apa yang you cakap?” Ava elus lengan Haydar yang sedang memegang
stereng kereta. Tidak dapat dengan cara keras, dia cuba cara halus.
Haydar sebenarnya baru hendak masuk
gear namun melihatkan telatah Ava, dia layankan dahulu.
“Saya cakap, saya akan bawak awak
ke tempat sunyi, rogol awak. Lepas tu tikam awak dan buang mayat awak dalam
sungai,” jawab Haydar dalam jelingan tajam. Yang sebenarnya dia menyimpan
senyum dalam hati. Ava nak sangat menguji dia kan... sekarang siapa yang kena
uji?
Keras
kejung tangan yang tadinya mengelus lengan Haydar. Ava tarik segera tangannya
lalu mengecilkan tubuhnya di tempat duduk sebelah. Takut! Haydar yang
disangkanya mudah ditebak, rupanya cukup sukar dibaca!
No comments:
Post a Comment