DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

TUKANG MASAK CIK MAFIA - BAB 10



MACAM mana dengan budak Orked tu?”
Syed Haidar berfikir sejenak. Jarinya menekan alat kawalan jauh mencari rancangan televisyen yang menarik. Rindu rasanya hendak mengacarakan rancangan masakan sendiri. Kali terakhir dia muncul di kaca televisyen sebelum berpindah ke Malaysia. Rancangan masakan barat untuk berbuka puasa di stesen tempatan. Mencuba nasib di negara kelahiran sendiri. Namun selepas pembukaan Heaven Kitchen dia mengambil keputusan untuk mengurangkan kemunculan di kaca televisyen.
“Haidar!” Datin Hanis sedikit keras.
“Maaf ma.” Syed Haidar matikan siaran TV. “Budak Orked tu okey je. Tak ada masalah sangat. Tapi biasalah budak muda. Sikit-sikit tarik muka, sikit-sikit nak ugut orang. Dia tu pelik sikit.”
Datin Hanis mendengar cerita Syed Haidar mengenai Orked sejak hari pertama anak tirinya dan gadis itu bertemu.
Ada sahaja yang anak lelakinya ceritakan fasal Orked. Hari ini langsung tiada cerita mengenai Cik Mafia. Sebab itu dia mengasak Syed Haidar dengan soalan.
Syed Haidar berehat santai di ruang tamu. Sebentar lagi dia perlu ke Heaven Kitchen. Hari ini dijangka lebih sibuk dari hari lain memandangkan hari terakhir berpuasa. Ramai yang buka puasa di luar sebelum meneruskan perjalanan balik ke kampung.
“Pelik pun jangan ikutkan hati sangat. Dia pun manusia jugak, ada hati dan perasaan. Jangan buli dia lebih-lebih.” Datin Hanis memberikan pesanan. Dia pun tak pasti anak tirinya bercerita fasal Orked sebab suka atau sebab benci. Umur Syed Haidar sepatutnya sudah beristeri.
“Baik ma, Haidar akan ingat.”
“Haidar tak terfikir nak kahwin ke?” Datin Hanis ajukan juga soalan yang bermain dalam fikirannya. Tak pernah Syed Haidar begitu galak bercerita fasal seorang perempuan sebelum kemunculan Orked.
“Kahwin...”
“Yalah, tak teringin nak ada isteri ke? Kata dulu nak cari perempuan Melayu.”
“Haidar busylah ma. Mana ada masa nak fikir fasal kahwin ni.” Syed Haidar memberikan alasan. Alasan yang sama setiap kali soalan tentang kahwin atau isteri muncul. Dia merasakan belum masanya untuk dia mencari pendamping.
“Apa yang busy sangat tu. Restoran kat Abu Dhabi dah buka. Cawangan kat Dubai dengan London dah ada yang menjaga. Nak kata busy dengan rancangan TV, mama tengok dah tak terima tawaran lagi. Nak cari adik kandung, dah jumpa. Apa lagi alasan Haidar lepas ni. Busy nak jaga Orked pulak ke?”
Syed Haidar garu kepala. Mati kutu dia mendengar
kata-kata Datin Hanis. Walaupun hanya ibu tiri, perhatian mamanya sama macam ibu kandung sehingga nama Orked pun turut muncul. Memang dia sibuk memerhatikan Cik Mafia itu. Risau kalau-kalau Heaven Kitchen miliknya kecoh sebab ‘garang’ gadis itu.
“Kawan-kawan Haidar pun ramai yang dah berdua. Bulan depan si JD tu nak kahwin. Dapat orang Malaysia lagi.”
Syed Haidar tergelak. JD gelaran untuk Jasper Newton Daniel. Berbangga kerana namanya sama seperti pengasas jenama wiski terkenal Jack Daniels. Teman baiknya sejak dia berpindah ke London dan bakal berkahwin dengan perempuan Cina berasal dari Ipoh.
“JD tu mabuk kut waktu lamar bakal isteri dia. Dia tu mana suka bab komitmen macam ni. Kahwin tu memang tak ada dalam kamus hidup dia.”
“Manusia boleh berubah Haidar. Mungkin Cindy memang perempuan yang dicipta untuk dia.”
“Mama tahu nama bakal isteri dia?” Syed Haidar terkejut. Dia belum lagi melihat kad jemputan JD. Sebab itu nama bakal isteri kawan baiknya itu dia tak tahu. “Madam Daniel call, dia jemput kita datang. Keluarga Cindy adakan majlis kat hotel yang hidangkan makanan halal. Tapi mama tak dapat datang. Ada kenduri dekat rumah Datin Salwa. Haidar pergi ya. Ganti mama jumpa Madam Daniel.”
Syed Haidar kurang berminat sebenarnya walaupun majlis perkahwinan kawan sendiri. Kalau boleh majlis perkahwinan sesiapa pun dia tidak mahu hadiri. Memandangkan Madam Daniel dengan mama kawan baik dia terpaksa fikirkan. Lagi pula dia sudah mendapat jemputan majlis bachelor party JD. Sudah pasti kawan-kawan mereka yang lain akan datang.
“Nanti Haidar fikirkan.” Syed Haidar acuh tak acuh.
“Haidar fikirkan apa? Nak cari calon isteri?” Datin
Hanis buat-buat meneka.
“Calon isteri lambat lagi ma. Tunggu siap Heaven Kitchen baru tu.”
“Yalah, ikut suka Haidarlah. Bila agaknya nak siap tu?” Datin Hanis malas nak berbahas lagi. Anaknya ini pun boleh tahan degil.
“Tunggu adik siapkan pelan...”
“Bila pulak adik nak siapkan pelan? Macam-macam alasan. Suka hati Haidarlah. Mama malas nak campur. Mama nak pergi belakang tengok rendang.” Datin Hanis bangun. Walaupun ada dua orang pembantu rumah, dia selesa masak sendiri. Pembantu rumah hanya mengemas dan membersihkan rumah.
I love you ma...”
Syed Haidar senyum sekilas. Datin Hanis sudah pun menghilang ke dapur. Bukan tiada perempuan yang cuba mendekatinya. Entah kenapa ‘si dia’ yang mampu membuatkan hatinya bergetar belum muncul.
Peaches... siapalah bakal pemilik gelaran tu.” Syed Haidar menekan butang on pada alat kawalan jauh. Jam sudah menunjukkan pukul 1 petang. Sekejap lagi masuk waktu zuhur. Sementara menanti waktu, dia mencari rancangan yang boleh ditonton. Selepas solat barulah dia akan bertolak ke restoran.
“ADA TAK makanan yang boleh tahan dua tiga hari tak payah nak panaskan?” Orked ajukan soalan kepada para pekerja dapur sedang berehat sambil berbuka puasa. Menu hari ini nasi putih dengan ayam lemon dan sayur kubis.
Hari ini mereka semua berbuka puasa di dapur, tidak di kafe seperti kebiasaannya. Untuk memudahkan waiter dan waitress berbuka puasa tanpa perlu pergi ke kafe.
“Serunding,” sahut Cef Mario.
“Sambal ikan bilis dengan kacang.” Ana pula menjawab.
Orked mengeluh. Jawapan yang sangat tak membantu. Dia perlu fikirkan perutnya untuk 3 hari akan datang. Heaven Kitchen akan ditutup sempena Hari Raya Puasa. Duit simpanan yang ada cukup-cukup untuk membayar sewa bilik bulan hadapan. Selama seminggu yang lalu dia berasa lega kerana tak perlu risau bab makan.
“Kenapa tanya?” Cef Sufi tarik kerusi dan duduk di sebelah Orked. Dua gelas berisi air sirap diletakkan di atas meja. Satu gelas ditolak ke arah Orked.
“Nak makanlah cef... 3 hari tak ada makan ni.”
“Kenapa tak ada makan?” tanya Cef Sufi lagi. Tanda soal berlegar dalam kepalanya. Orked tidak beraya ke? Tiada kampung untuk berhari raya?
“Orked!”
Orked sepetkan mata. Cef hidung seksi ni memang tak habis-habis nak buli dia. Baru nak melepak dengan Cef Sufi. Soalan Cef Sufi pun dia tak jawab lagi tadi.
“Orked dengan Aaron tolong clear table kat depan. Ada ramai lagi pelanggan nak masuk. Mario, tambah lauk.”
“Ramainya orang ini hari.” Cef Mario terburu-buru bangun. Arahan Tuan Syed harus segera dilaksanakan.
“Nanti kita borak lagi eh.” Orked senyum. Tangannya mencapai air sirap yang dibawa Cef Sufi tadi. Tiga kali teguk sahaja gelas itu sudah kosong. Gelas di tangan dibawa ke singki. Sempat lagi dia menjeling ke arah Syed Haidar.
 “Ramai sangat orang ke?” tanya Cef Sufi sebaik sahaja Syed Haidar melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Ramai... yang datang tanpa tempahan pun ramai. Kita bagi air kosong dulu untuk diaorang buka puasa...” jawab Syed Haidar. Penat sangat tapi memang seronok. Pengalaman pertama untuk dia mengendalikan Bufet Ramadan.
“Staf kat luar penatlah...”
“Sebab tu saya panggil Aaron dengan Orked cover. Ana dengan Kartika pun boleh tolong. Biar Cef Mario dengan geng bersihkan kitchen. Agak-agak lauk cukup tak?” Syed Haidar sudah dibayangi kerisauan.
“Tadi memang ada masak extra untuk 50 pax.”
Syed Haidar memicit kepala. Memang dia jangka akan menerima pelanggan lebih tapi tidaklah seramai ini. Sampai ada yang beratur menunggu tempat duduk kosong.
“Orked, tolong panggilkan Herman.” Syed Haidar memberi arahan.
Orked yang sedang membasuh pinggan menghentikan kerjanya. Dia mengelap tangan bersih-bersih dan segera keluar dari ruangan dapur untuk mencari Herman, ketua waiter. Bapak singa mood tak baik hari ni. Muka ketat dari petang tadi. Sebelum bapak singa mengaum lebih baik dia menurut perintah.  

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN APRIL 2018**  

No comments:

Post a Comment