DIAN berjaya menghabiskan 3 buah novel pada hari ini. Selepas selesai
menunaikan solat asar di surau yang tersedia, dia terus pulang ke rumah.
Memandangkan telefon pintarnya senyap sahaja hari ini, dia sangat yakin yang
Ariq tidak akan mencarinya. Selamat! Line clear! Roger and out!
Apabila Vespanya mahu masuk ke kawasan garaj,
dia perasan ada sebuah kereta BMW M2 Coupe berwarna putih terparkir di hadapan
rumah. Kereta siapa? Dato’ atau datin mana yang datang singgah ke rumahnya?
Bergaya betul dengan kereta mewah berpintu dua ini. Dia terintai-intai juga
bahagian dalam kereta yang bercermin gelap. Memang tak nampak apa-apa langsung.
Siapa pula yang datang?
Vespa diparkir di tepi kereta Encik Zulkarnain
sebelum dia mengatur langkah ke muka pintu rumah yang daun pintunya sudah
terbuka. Dia membongkokkan tubuh untuk membuka kasut. Baru sahaja dia mahu
merungkai tali kasut Converse di kaki kanan, telinganya sudah menangkap suara
ceria abah yang sedang berbual dengan seseorang.
“Tak
sangka yang Ariq sampai jugak di rumah pak cik ni.”
‘Kejap! Ariq???’ Terus dia berdiri tegak
dengan mata yang membulat. Ariq Huzair si mamat yang selamat bermandikan
latte miliknya pagi tadi ke? Terus degupan jantung mula tidak tentu hala
dan Dian mula berpeluh-peluh. Mampus dia kalau abah tahu yang dia sudah
menyembur calon kahwin paksa tidak jadi pilihan abahnya ini dengan latte pagi
tadi.
Tali kasut Converse yang hampir terurai diikat
dengan kemas semula sambil anak mata meliar ke kawasan sekeliling.
Red alert! Dia kena selamatkan diri sendiri secepat yang mungkin! Apalah
nasib, Ariq ada di rumah keluarganya pula.
Pandangan mata Dian terhenti pada tangga yang
sememangnya tersandar elok pada pagar batu yang memisahkan rumah keluarganya
dengan rumah keluarga Nana. Telefon pintar dari dalam poket seluar jean
dikeluarkan dan nombor telefon Nana didail. Tidak berangkat.
“Nanti ajak daddy Ariq datang pulak.
Kita buat makan-makan, meriah sikit.” Suara Encik Zulkarnain sudah semakin
jelas kedengaran.
Ah, sudah! Abahnya dan Ariq sedang berjalan ke
arah pintu masuk ke? Dian menelan liur dengan rentak jantung yang sudah tidak
tentu hala.
“Insya-Allah, pak cik.”
Suara Ariq yang semakin jelas menandakan Ariq
dan Encik Zulkarnain semakin hampir dengan muka pintu rumah.
Ini memang red alert sungguh! Tanpa
berfikir panjang, Dian memanjat tangga yang tersandar pada pagar
batu dengan niat mahu ke rumah Nana di
sebelah. Bolehlah dia menyembunyikan dirinya sebentar sehinggalah Ariq
betul-betul pulang.
Tiba-tiba dia terasa tangga yang sedang
dipanjat bergoyang-goyang. Terus dia menjerit. Jeritannya semakin kuat apabila
kaki tersilap memijak anak tangga dan tubuhnya terus melorot jatuh ke bawah.
Lebih tepat lagi jatuh seperti nangka busuk. Errr... sebenarnya jatuh
menimpa Ariq Huzair!
‘Bala apa pulaklah hari ni! Matilanakkkkk!!!’
“YA ALLAH! Dian!” jerit Puan Marina,
terkejut dia melihat si anak dara tiba-tiba terbaring di atas lantai.
Suara Puan Marina yang nyaring itu membuatkan
Dian terus bangun sambil menggosok-gosok bahagian belakang tubuh yang terasa
sengal dan sakit.
“Ariq?” Pandangan Puan Marina beralih ke arah
Ariq yang sudah terbaring di atas lantai sambil memegang tangan kanannya dengan
dahi yang berkerut-kerut.
“Kenapa ni?” Muncul pula Encik Zulkarnain di
muka pintu. Berubah raut wajahnya. Baru sahaja dia berbual dengan Ariq di muka
pintu sebentar tadi dan kini Ariq sudah terbaring di atas lantai laman rumahnya
pula.
“Dian? Ariq? Apa yang dah jadi ni?” Kini Encik
Zulkarnain memandang lama wajah Dian. Berpeluh-peluh Dian memandang riak wajah
garang abahnya.
“Errr... Dian... err...” Dian
sudah tergagap-gagap memandang abahnya dan wajah Ariq yang sedang
berkerut-kerut menahan sakit. Takkanlah dia hendak berterus terang dengan Encik
Zulkarnain yang dia memanjat tangga disebabkan mahu melarikan diri daripada
Ariq. Ariq pula,
mungkin ingatkan yang dia ini mempunyai
bau-bau bacang dengan Rapunzel, maka dia pun mahu menyelamatkan Dian daripada
terus memanjat tangga. Selamatlah sangat, kan? Selamat jatuh macam nangka busuk
adalah!
“Dian panjat tangga lagi?” soal Encik
Zulkarnain sambil memandang tangga yang terbaring di lantai, bersebelahan
dengan Ariq. Tabiat suka memanjat tangga anaknya ini sejak zaman sekolah masih
tidak berubah-ubah!
“You ni adik Tarzan ke apa?” gumam Ariq
perlahan sambil tajam matanya memandang Dian. Konon-konon dia mahu surprisekan
Dian, tetapi dia yang terkejut. Pertama kali dia berjumpa dengan perempuan yang
suka memanjat.
Dian terus menjeling tajam.
“Ala, abah... Dian kan dah biasa panjat
tangga. Mamat ni haaa...” Terus Dian membulatkan biji mata ke arah Ariq
yang masih terbaring di lantai. “Mamat ni yang gatal-gatal pergi
goyangkan tangga tu. Sendiri cari pasal!” Dian menayangkan riak wajah kasihan.
Harap-haraplah abahnya bersimpati.
“Dian Eryna!”
Terus Dian senyap apabila abah sudah menyebut
nama penuhnya. Perlahan-lahan Encik Zulkarnain membantu Ariq untuk berdiri.
Berkerut-kerut wajah Ariq menahan sakit dengan tangan kirinya memangku kemas
tangan kanan.
“Pak cik rasa tangan Ariq terseliuh ni,” tutur
Encik Zulkarnain sambil memegang tangan kanan Ariq dengan berhati-hati.
Dian yang hanya memerhatikan Encik Zulkarnain
mulai bergerak perlahan-lahan menyembunyikan diri di belakang tubuh Puan
Marina.
“Kena pergi klinik ni, Ariq. Takut apa-apa
jadi dekat tulang. Bahaya!” tambah Encik Zulkarnain lagi sambil wajah
masam Dian dipandang tajam. Terus Dian
menundukkan wajah. Bukan salah dia pun sebenarnya.
“Tak apalah, pak cik. Saya boleh call Emir,
minta tolong dia jemput saya dan terus pergi klinik,” tutur Ariq sambil tangan
kiri terkial-kial menyeluk poket seluar. Berkerut-kerut dia menahan rasa sengal
dan pedih di kawasan pergelangan tangan kanannya. Pagi tadi kena sembur dengan latte;
petang ni tangan terseliuh pula. Confirm Emir akan gelakkan dia lagi.
“Tak payah call Emir. Biar Dian yang bawa
Ariq pergi klinik.”
Membulat mata Dian mendengar ayat penyata yang
keluar dari mulut Encik Zulkarnain. Dia pula yang kena? Takut bukannya dia bawa
mamat kerek ini ke hospital, tetapi ke ‘batu dua’!
“Abahhh...”
“Sendiri buat, sendiri tanggung!” balas Encik
Zulkarnain tegas.
“Tapi Dian...”
Dian terus senyap apabila Puan Marina mencubit
lengannya. Masalahnya bukan dia yang cari pasal. Kenapa dia yang kena tanggung?
“Bawa Ariq pergi klinik.”
“Hah?” Dian memandang lama wajah Encik
Zulkarnain, cuba meminta simpati. Dia mana berani bawa kereta. Takkan nak
merempit dengan mamat ni dengan Vespanya pula? Confirm pagi esok
dia akan famous dalam kalangan mak-mak jemah Taman Sentosa. Memang hidup
dia takkan sentosa nanti!
“Abahnya...” pujuk Puan Marina lembut. Kasihan
pula melihat wajah Dian yang sudah berubah pucat. Bukannya Encik Zulkarnain
tidak tahu yang anak dara mereka ini tidak
berani untuk memandu kereta walaupun mempunyai
lesen kereta.
“Kita pergi klinik sekarang. Tunggu sekejap,
abah ambil kunci kereta.”
Dian terus menarik nafas lega. Kita? ‘Kita’
itu bermaksud dia, Ariq dan abah dia, kan?
DISEBABKAN PERGELANGAN tangan kanan Ariq sudah membengkak, doktor di klinik menyarankan
supaya Ariq dibawa terus ke hospital.
Dian memandang lama riak wajah selamba Ariq
yang sedang berdiri menyandarkan tubuh pada dinding ruang menunggu Hospital
Ampang Puteri. Punyalah beria-ia abahnya menguruskan pendaftaran Ariq dan dia
juga yang dipaksa supaya menemani mamat ini. Berjumpa dengan doktor
pakar tulang pun dia yang kena temankan.
“You tahu tak betapa pentingnya kedua-dua
belah tangan I ni?” soal Ariq dengan sinis. Memang nasibnya dengan calon kahwin
paksa tak jadi dia ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Terus anak mata Dian jatuh pada tangan kanan
Ariq yang sudah berbalut kemas.
“Untuk makan,” jawab Dian pendek.
Berkerut-kerut dahi Ariq.
“Basuh apa yang patut lepas awak buat ‘business
besar’ dekat bilik air,” balas Dian selamba sambil menjongketkan kening.
Dia cuba menahan gelak apabila menyedari riak wajah Ariq sudah berubah kelat.
“Gila punya perempuan!”
Ewahhhhh... jujurnya panggil dia gila!
“I ni F1 racer. Macam mana nak pegang
stereng kereta kalau tangan kanan dah terseliuh?” Wajah Dian dipandang tajam
sehinggakan Dian mengundurkan langkah kaki ke belakang.
Anak mata Dian terus meliar mencari abahnya.
Mana pulalah abahnya pergi ni?
“Tangan kiri kan ada. Allah ciptakan tangan
kita ni sepasang. Drive sebelah tangan pun cool apa,” jawab Dian
berani sambil anak mata masih meliar mencari kelibat abah. Segarang-garang
abah, dia tahu yang abah sayangkan dia tapi segarang-garang mamat di
hadapannya ini, belum tentu lagi.
Kedengaran bunyi Ariq mendengus. Tulang rahang
pipinya kelihatan bergerak-gerak. Marahlah tu!
“Tak cukup-cukup pagi tadi you sembur I dengan
latte? Now disebabkan you, tangan I terseliuh.”
Terus Dian bercekak pinggang memandang Ariq
yang sedang berdiri bersandar pada dinding.
“Eh, eh! Awak yang cari pasal. Sebab tu tangan
awak tu terseliuh. Pernah tak dengar peribahasa Melayu yang berbunyi, kalau
takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut tangan
terseliuh, jangan gatal-gatal sibuk bila saya memanjat!”
Terus Ariq terdiam. Amekaw! Senyap
terus.
Tiba-tiba, Ariq cuba menarik keluar telefon
pintarnya dari dalam poket seluar dengan susah payah. Dengan menggunakan
sebelah tangan, dia menyentuh skrin telefon pintarnya sebelum melekapkan
telefon tersebut di telinga.
“Emir, please proceed with the legal action.”
Anak mata Ariq difokuskan ke arah Dian walaupun jelas dia sedang bercakap
dengan Emir yang berada di hujung talian.
“Legal action? Apa pulak ni?”
soal Dian pantas.
“Allah ciptakan satu je otak dengan
akal untuk kita berfikir. Jadi, fikirlah wahai Cik Dian Eryna!”
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN APRIL 2018**
*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN APRIL 2018**
No comments:
Post a Comment