DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

MR & MRS LIAR - BAB 4


MENUNGAN Tania kian menjauh. Tiada lain... dia tetap teringatkan apa yang berlaku antara dia dan Putra dulu. Kenangan itu teramat sukar untuk dibuang. Dia merasa takut tanpa sebab. Seolah-olah ada sesuatu yang mengerikan sedang memburunya saban waktu. Diikuti dengan bermacam-macam andaian. Akibatnya fokus kepada tugas di pejabat ikut terganggu.
“Nia...”
Tania tersentak disapa suara yang sudah biasa dia dengar. Kamil sedang berdiri di ambang pintunya.
“Termenung? Ada masalah ke?” ucap Kamil sambil dia melangkah masuk ke kamar itu.
“Tak adalah.” Tania pura-pura senyum.
“Mak long marah Nia?” tanya Kamil lagi.
“Taklah. Mana ada,” balas Tania bersungguh.
“Semenjak kebelakangan ni abang nampak Nia
selalu berseorangan. Bila abang balik, Nia berkurung dalam bilik. Tak mahu makan bersama keluarga. Kenapa?”
“Tak ada apa. Nia okey aje ni,” jawab Tania mula tidak senang hati disoal siasat oleh Kamil.
Kamil merenung lama wajah di hadapan matanya itu. Cuba membaca apa yang sedang disembunyikan Tania. Paling dia bimbang gadis itu sudah punya pilihan lain selain dia.
“Nia, hari ni kita keluar lunch sama?” pelawa Kamil lembut.
Tania sekadar mengangguk sambil memandang lelaki itu memulakan langkah untuk mendekati kerusi yang didudukinya. Mula merasa tidak senang.
“Malam kita dinner bersama?” ucap Kamil lunak sambil meletakkan punggung di birai meja yang lapang.
“Malam? Err... malam Nia malas nak keluar. Nanti mak long bising.” Tania menjawab perlahan sambil mengerling gelagat Kamil.
“Keluar dengan abang mak long takkan bising. Hari tu abang dengar Nia keluar. Tapi tak cakap dengan abang. Kita dah lama tak spend masa berdua.”
Tania diam dalam pada akalnya ligat mencari idea untuk menolak ajakan berbaur dating itu. Menerima Kamil lebih daripada seorang abang dan sepupu amatlah janggal dan hatinya tidak rela sama sekali.
“Ini pasal mak long atau Nia ada orang lain?” ucap Kamil lagi.
“Hari Sabtu dulu Nia keluar dengan Vivian.” Tania tidak menjawab soalan yang baru diluahkan Kamil.
“Selain daripada Vivian?”
“Maksud abang?” Tania segera memandang Kamil.
 “Ada lelaki lain yang temankan Nia?”
“Tak ada,” jawab Tania lantas kembali mengalihkan pandangan daripada Kamil. Pertanyaan itu mengembalikan dia kepada memori hitam itu dan juga wajah Putra.
So, Sabtu ni Nia kena keluar dengan abanglah pulak,” ujar Kamil lembut.
“Kenapa Nia kena keluar dengan abang?” Kening Tania berkerut merenung wajah Kamil.
“Abang rindukan Nia.”
“Abang tahukan mak long tak suka kita ada hubungan lebih daripada adik dan abang? Kenapa nak teruskan jugak?” keluh Tania dalam keresahan yang tidak tertahan.
“Abang tak kisah. Abang yang nak kahwin. Bukan mak long,” jawab Kamil selamba.
“Senanglah abang bercakap!” desis Tania. Mula terasa muak bercakap tentang ini.
“Abang tak cukup baik untuk Nia?”
“Bukan itu masalahnya. Masalahnya mak long tak suka, abang. Abang faham ke tidak ni?” tekan Tania sedikit keras.
“Nia, pedulikan semua tu. Ini tentang hidup kita,” pujuk Kamil.
“Hidup kita semata-mata? Lepas kahwin tak payah hadap muka mak long lagi?” tempelak Tania lantas melemparkan pandangan tajam kepada Kamil.
“Mula-mula aje mak long tak terima. Lama-lama nanti dia diamlah.”
“Abang, Nia sayang abang macam abang kandung. Nia tak pernah terfikir kita akan pergi lebih jauh dari itu. Tolonglah jangan paksa Nia. Mak long tak akan marah abang tapi dia akan marah Nia! Nia dah tak tahan lagi hidup macam
ni... Nia ni anak angkat, bang! Setiap tindakan yang Nia nak buat, Nia kena ikut apa yang mak long tentukan. Kalau dia kata tak boleh, maka tak bolehlah!” dengus Tania.
Kamil diam pula. Nafasnya dihela panjang.
“Tunggu abang tengah hari nanti,” ucap Kamil sebelum dia menjauhi meja itu untuk keluar.
Tania menyandarkan tubuhnya di kerusi setelah bayang Kamil menghilang dari pandangan matanya. Dia tahu abang sepupunya itu baik kepadanya selama ini. Tetapi dia tidak mahu menjadi anak yang tidak kenang budi. Sudahlah dia dibela dari kecil oleh ibu saudaranya itu. Diberikan pelajaran dan kerja di dalam syarikat. Mampukah dia mengikut kehendak Kamil begitu sahaja?
“Cik Tania...”
Tania menuntaskan pandangan ke pintu. Seorang wanita berdiri memegang bakul buah.
“Untuk you,” ucap wanita itu lantas masuk.
“Ha?” Tania tercengang memandang sebakul buah oren yang sudah berhias cantik itu. Ada kad terselit di atasnya. Setelah wanita itu berlalu, Tania mencapai kad itu.
‘Liar! I dah tau you kerja di mana. See you soon, baby...’
-Your Charming Prince-
Tania mendengus sambil meramas kad itu. Terpandangkan buah oren itu, mulalah dia rasa nak campak sahaja buah itu ke luar. Dia tahu Putra menyindirnya.
“Malang betul hidup aku semenjak jumpa mangkuk ayun ni,” kutuk Tania seorang diri.
TENGAH HARI itu Tania memaksa diri mengikut Kamil keluar makan tengah hari di luar. Lega sedikit perasaannya setelah dibawa agak jauh dari pejabat. Tidak mahu Puan Sri Karmila terlihat dia berdua-duaan dengan Kamil.
Tetapi kelegaan itu hanya seketika. Ada mesej masuk ke aplikasi WhatsAppnya.
I nampak you dengan seorang lelaki, sayang. I tak suka macam ni.
Tersirap darah Tania membaca mesej itu. Tatkala Kamil sibuk membaca menu, dia pula sibuk memandang sekeliling. Seketika kemudian sampai lagi satu mesej.
Can I join you?
Lekas-lekas Tania memicit papan kekunci untuk membalas.
Jangan!!! Dia abang I! Jangan datang dekat!
Ready to order, Nia?” tegur Kamil setelah mengangkat pandangan. Sambil itu tangannya melambai pelayan. Tania memandang sekeliling. Kebetulan dia terlihat tanda arah tandas restoran itu menuju ke satu sudut yang agak terlindung.
“Abang orderlah apa-apa untuk Nia. Nia ada hal penting sekejap. Sekejap aje. Sorry ya?” ucap Tania lantas menyengih sambil menuding ke satu arah.
Kamil tercengang. Namun setelah dipandang apa
yang ditunjukkan Tania, dia tersenyum pula.
“Pergilah,” jawab Kamil lantas bersandar.
Di hadapan kawasan tandas restoran itu dia membelek semula telefonnya. Nombor Putra segera didailnya.
“You menghendap I ke apa?” tekan Tania dalam bisikan keras.
“Janganlah marah...” balas suara di hujung talian. Seterusnya talian dimatikan oleh orang di sana dan Putra muncul di situ. Terbeliak mata Tania memandang lelaki itu.
“You ni memang dah gilalah!” marah Tania geram.
I miss you,” ucap lelaki itu selamba.
“Putra, berhentilah ganggu I. Buatnya Kamil nampak I dengan you, mati I nanti!” tekan Tania. Betapa dia benar-benar takut dengan keberanian lelaki ini mendekatinya ketika dia berada di kalangan ahli keluarganya.
“Kenapa dia nak marah pulak? Dia cemburu adik kesayangan dia ni keluar dengan lelaki lain?” ujar Putra selamba.
Tania menghela nafas perlahan. “You nak apa sebenarnya, Putra?”
“Bila baru I ada peluang untuk luangkan masa dengan you?” jawab Putra.
Tania menjengah seketika ke arah meja yang didudukinya tadi. Kamil dilihatnya sedang ralit membelek telefon sendiri.
“I tak boleh keluar rumah sesuka hati. Apatah lagi dengan you!”
“Kenapa dengan I?” sambut Putra cakna tidak cakna.
“Putra, you tak faham...” keluh Tania bersungguh.
“Buat I faham, Nia.”
 “Okey... waktu I pergi kelab malam tu, I curi-curi keluar. Keluarga I tak macam orang lain. Keluarga I kawal pergerakan I. Diaorang tahu dengan siapa I berkawan, dengan siapa I keluar,” jelas Tania bersungguh.
I see. Anak perempuan seorang, kan?”
“Mana you tahu I anak perempuan seorang?” Serta-merta wajah Tania mula berubah riak.
“You ingat I tak kenal siapa Tan Sri Falaq dan Puan Sri Karmila tu?”
Tania terpaku memandang raut Putra. “Jadi you kenal Kamil?”
“Kenal! Dia sekolah di Victoria Institute, sama dengan I dulu. Tapi kami tak rapat pun. Kenal macam tu aje.”
“Buang masa ajelah bercakap dengan you ni!” desis Tania bengang. Belum sempat dia berlalu dari situ, Putra terlebih dahulu mencapai jemarinya.
“Nanti dulu, sayang. I’m not finish yet!”
“Janganlah!” Tania menarik semula tangannya daripada pegangan Putra. Tetapi lelaki itu berkeras sebelum menolaknya ke dinding. Putra mengandang Tania dengan menekan kedua-dua tangannya ke dinding dan tubuhnya sengaja didekatkan kepada Tania agar gadis itu tidak dapat lari daripadanya.
Tania terkunci di situ tanpa dapat melakukan apa-apa. Hanya wajahnya dipalingkan apabila Putra mendekatkan wajah kepadanya.
“Nia, I bersungguh ni,” rayu Putra.
“I takut, Putra. Tolonglah jangan ganggu I lagi,” rayu Tania.
“I tak akan biarkan Kamil rampas perempuan yang I suka, Nia. You’re mine. Jangan lupa apa yang berlaku pada
kita malam tu!”
“Apa you cakap ni? Sanalah sikit! Orang nampak nanti!” tempelak Tania lantas menolak dada lelaki itu agar menjauhinya. Tetapi tidak berjaya.
Putra tersenyum pula. Namun aneh senyumannya. Perlahan pipi Tania dibelai dengan jemarinya.
“Apa maksud you?” soal Tania lagi. Putra tidak menjawab sebaliknya hanya bola matanya liar meratah seluruh wajah gadis itu.
“Nia, do you know that you’re so beautiful? I can’t stop thinking about you. I’ll do anything for you. Bagilah I peluang. I want to be with you,” keluh Putra perlahan.
Serta-merta Tania terdiam menatap pandangan lelaki itu. Lunak, lembut. Tidak menggambarkan dirinya yang kasar dan pendusta. Lain yang hendak dibuatnya, lain pula yang berlaku sekarang.
I’m not who I used to be. Please, just give me a chance,” ujar Putra tatkala Tania terleka merenungnya.
“You ni memang dah gila!” desis Tania.
Yes! It is because of you,” sambut Putra tanpa membiarkan sedikit ruang antara mereka.
“Putra, dahlah. Apa yang patut I buat? I takut, Putra!” keluh Tania. Bimbang Kamil muncul di situ dan melihat dia bersama lelaki ini.
“You jangan lari daripada I lagi, Nia. Jangan! I akan buat apa saja untuk dapatkan apa yang I nak. Ingat tu baik-baik.”
“Putra, nanti dulu!” Tania terpaku memandang lelaki itu berlalu begitu sahaja. Membiarkan dia dibaluti persoalan. Lambat-lambat dia kembali ke mejanya.
“Lamanya?” tegur Kamil.


No comments:

Post a Comment