DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 2



Dear Husband-To-Be,
Along ni amat menyakitkan hati. Kalau you nak I happy, you jangan jadi macam along!
HAMPIR ke pukul 11.30 pagi, barulah Deja memunculkan diri. Kaki diatur laju ke dapur. Terhenti langkahnya seketika melihat Aidan sedang duduk di meja, sambil berbual dengan Irfan. Mata mereka bertaut seketika sebelum Deja kembali meneruskan langkah. Sedikit pun dia tidak menghulurkan senyuman. Hati masih bengkak dengan kejadian pagi tadi walaupun sudah dipujuk oleh Irfan.
Aidan mengerling ke arah Deja yang menarik pintu peti ais. Sedar yang Deja sengaja tidak mahu menegurnya.
Irfan sudah tersengih. Tahu rajuk Deja terhadap Aidan masih belum reda. Dia mengenyit mata ke arah abangnya.
 “Along... ada orang tu kan, macam masih marah tak dapat jumpa boyfriend dia arrr...” ujar Irfan. “Aku rasa kan, orang tu marahkan kau!”
Deja menjeling Irfan tajam sebelum kembali mengintai ke dalam perut peti ais.
Irfan menjongketkan kening ke arah abangnya sebelum menolak kerusi ke belakang. Isyarat sudah diberikan. Baik dia blah dulu sebelum si adik bongsu menunjukkan taring di hadapannya.
“Marah kat along lagi?” tegur Aidan perlahan.
Tiada jawapan. Bukan sekadar tiada jawapan, tiada reaksi langsung daripada Deja. Seolah-olah Aidan tidak bersuara sedikit pun.
I’m talking to you, Dee,” tutur Aidan lagi.
Deja mengeluarkan semangkuk kecil puding mangga dari dalam peti ais. Dia ke kabinet dapur pula. Laci ditarik ingin mengambil sudu kecil. Done! Dia mahu naik ke bilik semula. Tidak hingin mahu berbicara dengan Aidan!
Sebaik dia berpaling, tubuhnya bertembung dengan Aidan. Terkejut dia! ‘Oh mak kau! Bila pulak si along ni bangun?’
Deja menongkat mata. Dengan isyarat mata, dia bertanya, ‘ada apa?’
“Tak dengar ke along tanya apa tadi, hmmm?”
“Dengar! So?”
Aidan mengeluh.
So... marah lagilah dengan along ni ya?”
“Dah tahu nak tanya lagi kenapa?”
“Along minta maaf, walaupun along tahu along tak bersalah.”
Terjongket kening Deja. Tidak puas hati dengan ucap maaf daripada Aidan. Dah minta maaf tu, dahlah. Kenapa perlu ada sambungan yang macam tu?
“Siapa hantar Dee malam tadi?” soal Aidan. Nada suara masih lembut, masih rendah. Tidak seperti ketika di meja makan pagi tadi.
“Jazz,” balas Deja sepatah.
“Lewat malam macam tu, berdua-duaan dalam kereta dengan lelaki, tak manis, Dee. Kalau jiran-jiran nampak, papa dengan mama yang dapat malu, sebab diaorang akan kata papa dan mama yang tak pandai jaga anak. Dee takkan dengar diaorang kata, ‘tak malu Dee tu balik malam-malam buta’, tapi diaorang akan kata, ‘macam manalah Fahmi dan Shamila tu ajar anak?’”
Kelat wajah Deja. Lidahnya tidak bisa membalas.
“Along tegur sebab along risau. Risaukan Dee. Bukan along sengaja nak papa marahkan Dee.”
“Alah, along keluar dating dengan Kak Nia boleh pulak? Kenapa Dee tak boleh?” Deja masih mahu berpegang pada rasa tidak puas hati yang semakin lama semakin sukar untuk diperjuangkan.
Ada sesuatu pada sorotan mata Aidan yang masih tidak berganjak daripada sepasang mata hazel Deja.
“Along keluar dengan Kak Nia tak pernah sampai lewat malam. Paling lewat pun pukul 10.00 sebab along hormatkan dia sebagai seorang perempuan. Kalau Jazz hormatkan Dee, dia takkan keluar dengan Dee sampai lewat malam macam semalam!” Kali ini suara Aidan sedikit keras.
Deja mencebik.
“Dee tak pernah balik lewat macam tu sebelum ni. Semalam baru first time. Kan Dee dah jelaskan tadi? Yang along nak marah sangat ni kenapa? Jazz tak buat apa-apa pun
pada Dee. Along je yang selalu buruk sangka pada dia!”
Bekas puding di tangan diletakkan saja di atas kabinet. Dia ingin berlalu. Mata sudah mula berair.
Baru dua langkah, tangannya sudah direnggut lembut dari belakang.
“Dee...” keluh Aidan.
Tangan cuba ditarik daripada pegangan Aidan. Tidak berjaya. Aidan menarik lengan Dee agar dia kembali berdiri di posisi tadi. Lengan Deja pantas dilepaskan. Sedar yang hubungan mereka wujud suatu garisan yang membatas pergaulan mereka.
“Dee...” suara sudah mengendur. Mata Deja yang berkaca sudah cukup melemahkannya. “Along tak buruk sangka pada Jazz. I’m just saying!”
Aidan mencapai kembali puding yang ditinggalkan oleh Deja tadi lalu dihulurkan ke arah Deja. Deja melangut.
“Makan puding ni. Sejukkan hati yang panas tu. Along cuma nak Dee tahu yang along marah sebab along sayang. Papa tegur sebab papa sayang. Kalau semua orang tak sayangkan Dee, nobody would bother asking you anything!”
Deja masih tidak menyambut huluran puding oleh Aidan. Telinganya masih belum mampu menghadam kata-kata Aidan yang dirasakan begitu manis. Kata-kata yang hampir sama disebut oleh Irfan pagi tadi, cuma impaknya terasa lebih kuat tatkala Aidan yang menuturkannya.
“Dee faham, kan?”
Lambat-lambat kepala Deja mengangguk. Tidak berdaya lagi menolak kebenaran. Terpaksa juga mengaku akan kesalahan sendiri. Betul kata Aidan. Sekiranya mereka tidak sayang akan dirinya, tiada sesiapa pun yang akan bertanya apa-apa atau kisah akan dirinya.
“Nak along suap ke?” soal Aidan ingin meniru
pujukan Irfan pagi tadi. Mangkuk puding diangkat tinggi sedikit. Bibirnya merekah dengan senyuman mengusik.
Deja menggelengkan kepala sebelum mangkuk puding bertukar tangan. Nafas hangat dilepaskan perlahan. Ingin digantikan dengan nafas yang baharu. Yang baharu dan yang lebih tenang.
By the way, mama dengan papa ziarah orang sakit. So mama tak masak tengah hari ni. Kita semua keluar makan okey? Along belanja... Dee pergi siap. Kejap lagi kita keluar.”
Bibik mana?”
Bibik cuti.”
“Okey...”
“Dee nak makan apa? Anything you want!” Lunak suara Aidan.
“Nak makan Western. Dee naik dulu. Nak salin baju.” Laju kaki Deja meninggalkan ruang dapur. Dia berselisih dengan Irfan di jenang pintu. Hati Deja sudah terpujuk sepenuhnya. Tak dapat keluar dengan Jazlan hari ni pun, tidak mengapalah, asalkan masih dapat keluar bersama abang-abangnya. Rimas terperap di dalam rumah tanpa sebarang aktiviti!
“Amboi, long. Power kau pujuk Dee,” komen Irfan yang masuk kembali ke dapur. Dia tersengih.
Aidan kembali mengambil tempat duduknya. Riak selamba ditayang.
“Kau ingat kau sorang je ke yang pandai pujuk dia?” Ada nada bangga pada suaranya.
Irfan ketawa lalu duduk bertentangan dengan abangnya.
“Dia tu auta je lebih. Manja tak bertempat! Aku kesian kat Jazz... atau mana-mana lelaki yang dapat dia nanti.
Haru hidup weh kalau asyik nak merajuk je kerja!”
Aidan menggelengkan kepala.
“Salah kita jugak sebab terlalu manjakan dia selama ni.”
Hmmm... yang tu aku tak nafikan. Tapi... kau tak ingat ke macam mana rupa dia masa mula-mula papa mama bawak dia balik ke rumah ni dulu? Aku tak boleh lupa, long. Mata dia... muka dia... sebiji macam anak patung!” Irfan tersenyum melayan memorinya. Masih jelas dalam ingatan titik permulaan Deja menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Seolah-olah baru semalam semuanya berlaku.
“Aku ingat...”
“Aku tak tahu kenapa, tapi aku cair terus hari tu. Semakin dia membesar, semakin aku tahu yang aku sanggup buat apa saja untuk dia, long! Apa saja!”
Aidan menjongket kening. Irfan ketawa.
“Kau jangan salah sangka, long. Otak kau ni, boleh tak jangan nak fikir yang bukan-bukan? Dia adik aku dan akan selamanya jadi adik aku. Tak lebih, tak kurang!” tutur Irfan. “Cuma aku tak boleh tengok dia sedih, hati aku sakit kalau ada orang marah-marah dia, long. Walaupun untuk kebaikan dia...”
Suatu keluhan terlepas daripada hidung Aidan.
“Aku risau dia tu lembik sangat sebab kita terlalu manjakan dia. Sikit-sikit nak merajuk. Sikit-sikit nak nangis. Minggu depan dia dah nak mula kerja. Kau takde, alang takde, aku pun takde kat depan dia kalau dia ada masalah kat ofis nanti. Macam mana dia nak hadap dunia luar tu nanti? Takkan setiap kali kena marah atau kena tegur dengan bos dia, dia nak nangis? She needs to toughen up!”
Irfan mengangguk tanda setuju dengan pendapat abangnya.
 “Betul. Apa kau cakap tu betul, tapi... entahlah long. Aku takut aku akan tumbuk muka sesiapa je kat ofis dia yang buat dia nangis nanti.”
“Kau ni!” tegur Aidan. Irfan, Irfan... Macam manalah si adik bongsu bisa berdikari seandainya Irfan tidak mampu membiarkan Deja berhadapan dengan seribu macam dugaan di luar sana? Itu yang paling Aidan risaukan. Deja perlu diajar betapa mencabarnya kehidupan setelah memegang gelaran seorang pekerja nanti. Alam pekerjaan langsung tidak sama dengan alam ketika di universiti. Aidan risau akan kemampuan Deja. Sungguh dia risau!
Irfan ketawa kecil. Rambut pacaknya dielus ke belakang. Suatu tindakan yang ternyata sia-sia. Rambutnya kekal pacak seperti tadi. Tiada yang berubah.
“Kau dah buat background check syarikat tu?” soal Aidan.
“Dah,” balas Irfan sambil mengangguk. “Mestilah okey. Syarikat tu besar gila kut! Reputasi pun bukan main lagi. Takkan kau tak tahu? Macam mana si Dee boleh dapat kerja kat situ pun aku tak tahu. Harap result je bagus kut, sebab kalau ikut perangai, memang taklah!”
Aidan ketawa kecil mendengar omelan adiknya.
“Jazz?”
“Macam yang mama cakap tadi, dia tu masih belum dapat kerja. Tak puas enjoy lagi, kut!” Irfan menjawab.
“Mama tak suka dengan Jazz. Sebenarnya, kalau kau tanya aku, aku pun tak suka!” komen Aidan.
Hmmm... aku pun, tapi aku tak berani nak cakap apa-apa pada Dee. Macam papa cakap tadilah. Lagi kita larang, lagi dia nak buat!” dengus Irfan.
I’m ready!” laungan suara Deja dari ruang tamu membuat Aidan dan Irfan terdiam seketika. Tak sempat Aidan
membalas kata-kata Irfan tadi.
“Hesy, dia ni!” getus Irfan. “Menjerit mengalahkan Tarzan!” Kerusi ditolak ke belakang. Begitu juga dengan Aidan. Mereka melangkah ke ruang tamu.
“Alang mana?” soal Deja sambil mengusap skirt labuh berwarna merah di bahagian pahanya. Rambutnya yang lebat serta bergulung-gulung dibiarkan lepas begitu saja. Cantik! Aidan menelan liur sebelum mengalihkan mata.
“Dia pergi main tenis pagi tadi. Tak balik lagi,” jawab Irfan.
Deja mengangguk kecil.
Aidan mencapai kunci kereta dari atas meja kopi.
“Jom!”
DEJA MENOLAK pinggan yang sudah hampir licin. Hanya tinggal sayur brokoli yang tidak berusik. Dia melepaskan sendawa. Agak kuat bunyinya. “Alhamdulillah... Kenyangnya!”
“Hesy!” Irfan menolak lengan Deja. “Buruk betul perangai anak dara sendawa macam tu. Tak ayu langsung!”
Uwek!” Lidah dijelirkan. “Tolong sikit ya! Kalau depan Jazz, confirm Dee tak buat perangai macam ni.”
“Tu maknanya Dee tak selesa dengan Jazz,” celah Aidan. “Sebab Dee tak tunjukkan diri Dee yang sebenar pada dia...”
Laju kepala Irfan mengangguk.
“Betul tu! Maknanya, he hasn’t seen the real you! Kalau dia tahu perangai Dee macam ni, alamat cancellah nak buat bini!” usik Irfan. Wajah cemberut Deja menghiburkan
hatinya.
Giliran Deja menyondol lengan Irfan di sebelahnya. Aksi mereka tidak lepas daripada pandangan Aidan. Dia mengeluh dalam hati. Tidak suka dengan perlakuan Irfan yang terlalu bebas terhadap Deja. Seolah-olah mereka mempunyai pertalian darah. Namun ingin membantah, mungkin sudah sedikit terlambat. Kalau nak tegur, mungkin seharusnya dari awal-awal lagi. Dulu pun, Aidan tidak pernah membatasi tingkahnya terhadap Deja, sama seperti Irfan dan juga Nazran. Semuanya berubah ketika Deja menginjak remaja. Ketika itu, Aidan mula sedar... dan dia mula mencipta sempadan dalam pergaulan antara dirinya dengan adik perempuannya itu.
Pleaselah! Dee muda lagi kut! Dee nak kerja dulu. Nak bina kerjaya, nak kumpul duit... lepas tu baru nak fikir pasal kahwin!” bantah Deja.
“Maknanya Jazz tu belum seriuslah?” Irfan ingin tahu.
Emmm... entahlah... Jazz pernah cakap nak serius dengan Dee, tapi Dee malaslah nak fikir. Yang Dee tahu, Jazz sekarang ni lelaki yang paling rapat dengan Dee...” Senyuman manis terbit di hujung bibir. Mungkin terkenangkan si Jazlan yang sedang disebut-sebut. “Tapi Dee belum tahap serius dengan dia.”
“Hai...” sapa suatu suara dari arah tepi. Tiga kepala melangut.
“Eh, Kak Nia,” sambut Deja mesra. “Apa Kak Nia buat kat sini?”
Tanpa berdiri, Aidan menarik kerusi di sebelahnya untuk Nia. Riaknya sedikit terkejut melihat kehadiran Nia di sini. Nia melabuhkan duduk.
“Kak Nia jumpa kawan tadi. Nak balik, tapi ternampak you all bertiga kat dalam restoran ni. Naz mana?” Nia mengerling ke arah Aidan. Senang melihat si buah hati
berada di depan mata. Sememangnya hari ini mereka tidak membuat rancangan untuk berjumpa. Kebetulan pula mereka terserempak begini. Hati sudah berlagu riang.
“Naz ada hal,” jawab Aidan ringkas. Dia membalas senyuman yang dihulurkan oleh Nia.
Tatkala itu, telefon di tepi pinggan Deja berbunyi. Bibir sudah menyengih melihat nama si pemanggil terlayar di skrin. Deja menjawab panggilan yang diterima dengan suara yang ceria.
Nia memulakan perbualan dengan Aidan. Bertanya itu dan ini dalam suara yang perlahan. Matanya tak lepas daripada wajah si idaman hati. Aidan cuba menumpukan perhatian pada butir bicara Nia, namun matanya seakan mahu menilik riak si adik bongsu dan telinganya seakan degil mahu mencuri dengar perbualan Deja. Aidan pasti Deja sedang berbual dengan Jazlan.
Deja mematikan talian.
“Angah, jom tengok wayang? Kita tinggalkan along dengan buah hati dia nak?” Deja memalingkan wajah ke arah Irfan. Riak mengusik terpampang di muka.
Berkerut dahi Aidan. Nia sudah tersipu malu. Suka mendengar Deja menggelarnya begitu. Walaupun Aidan masih belum berbicara tentang masa depan, Nia yakin, saat itu akan tiba tak lama lagi. Pasti tiba! Yalah... mereka sudah berhubungan secara eksklusif selama 4 bulan. Takkan selamanya mereka akan kekal status quo, bukan?
Irfan sudah rakus meneguk minuman yang masih berbaki. Mahu menurut permintaan Deja.
“Dah! Jangan mengada-ada.” Aidan menahan. “Takde maknanya! Papa tak bagi Dee keluar hari ni, kan? Papa dah pesan, lepas makan, along kena bawak Dee balik rumah!”
Deja menayang muncung. Wajah penuh mengusik
tadi pantas bertukar kelat.
Nia menelan rasa kecewa. Ingatkan dapat mencuri masa untuk bersama dengan Aidan buat seketika, namun harapannya tidak kesampaian.
“Bencilah along ni! Tak sporting langsung!” gerutu Deja. Suatu jelingan dihadiahkan kepada Aidan. Rancangan Jazlan tidak menjadi nampaknya. Ingatkan kehadiran Nia akan membuat Aidan tidak mahu lekas-lekas pulang ke rumah, justeru membentangkan peluang untuknya berjumpa dengan Jazlan. Rupa-rupanya, Aidan masih tidak mahu membenarkan dirinya berseronok di luar rumah hari ini. Tension betul!
“Nia, I tak boleh lama kat sini. Papa dah kenakan perintah berkurung pada adik I yang degil ni,” sindir Aidan. “I gerak dulu, ya?”
Nia mengangguk.
It’s okay.”
“Kesian, Kak Nia. Mesti Kak Nia boring dapat kekasih macam along Dee ni, kan?” Deja mahu memulangkan paku buah keras. Nak sindir sangat kan? Dia pun bolehlah!
Nia ketawa kecil. Tangan menekup mulut. Comel saja aksinya.
Garisan di dahi Aidan bertambah dalam. Kekasih? Mahu ditidakkan, dia tahu dia akan menggores hati Nia. Bukannya dia tidak dapat membaca bahasa tubuh dan juga bahasa lisan daripada Nia sepanjang mereka menjalinkan hubungan. Tetapi mendiamkan seolah-olah mengiakan. Dan mengiakan seperti tidak kena. Perkataan kekasih itu menyimpan maksud yang dalam... begitu dalam... Dan Aidan masih belum bersedia untuk menganggap Nia kekasihnya.
“Kak Nia okey je... Dah biasa pun dengan perangai Dan...” ujar Nia manja. Kerlingan penuh makna dilemparkan
ke arah Aidan.
Aidan mengunci mulut. Kata-kata yang ingin diluahkan terpendam dalam hati.
Chewah! Dah biasa ya?” usik Deja lagi. “Mestilah dah biasa, kan? Kak Nia dengan along dah couple berapa lama?”
“Dah 4 bulan... Kak Nia...”
“Okey, I think we should leave now,” potong Aidan. Wajah sudah ketat. Tidak suka Deja membicarakan tentang dirinya dengan Nia.
Mata Nia membulat seketika sebelum senyuman kembali terukir di pinggir bibir. Dia mengangguk.
“Okey, I pun nak balik jugak. Malam karang I call ya?” Sorotan mata Nia penuh mengharap.
Aidan mengangguk sebelum bangun. Dia ke kaunter pembayaran.
Irfan melabuhkan mata ke wajah Nia. Manis teman wanita Aidan ni. Berkulit kuning langsat serta bertudung rapi. Memang stok gadis yang sesuai untuk dijadikan isteri. Namun di hati kecilnya, ada sesuatu perasaan aneh yang membuat dia sendiri berasa tidak senang. Perasaan yang kuat menyatakan bahawa Nia tidak akan menjadi kakak iparnya. Entah mengapa perasaan itu begitu terasa. Kenapa ya? Mungkin kerana layanan Aidan terhadap Nia? Entahlah...

No comments:

Post a Comment