DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 9


SUASANA dalam restoran Melting Pot sibuk, namun Dato’ Hasni berjaya mencari tempat yang paling selesa untuk dia duduk dan makan tengah hari sementara menunggu kehadiran Dato’ Muktasim. Sejurus berbincang dengan Ava tentang kemahuan anak daranya, terus diaturkan pertemuan itu.
Tambah lagi, dia sudah fikirkan masak-masak percaturannya hendak berbesan dengan Dato’ Muktasim. Menimbang untung dan rugi jika anaknya berkahwin dengan anak Muktasim, pesaing niaganya.
Usai makan, dia menyedut air yang masih berbaki dalam gelas. Tidak lama kemudian, teman yang ditunggu tiba.
“Dato’,” tegur Dati’ Muktasim sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
“Sila,” pelawa Dato’ Hasni sejurus dia sambut salam lelaki itu.
Dato’ Muktasim duduk dan menentang pandangan
Dato’ Hasni. Hairan juga diajak berjumpa tiba-tiba. Tiada angin, tiada ribut dan mereka pun tidak pernah ada urusan bersama, cuma sekali-sekala bertemu apabila ada majlis-majlis keraian untuk ahli perniagaan seperti meraka.
Wonder why I called the meeting?” soal Dato’ Hasni apabila wajah kerut Dato’ Muktasim menjamah matanya.
Dato’ Muktasim hanya angguk.
“Dengar-dengar, syarikat Dato’ ada masalah?” ujar Dato’ Hasni sambil membetulkan duduknya dan memandang lelaki itu. Serius.
Baru-baru ini dia ada terdengar tentang keadaan terkini syarikat Dato’ Muktasim. Dan dia juga tahu Emerald Sdn. Bhd. banyak kehilangan projek sejak kebelakangan ini.
Dato’ Muktasim angguk sekali lagi. Hairan sebenarnya. Apakah tujuan Hasni mahu bertemu dengannya? Tak mungkin sekadar hendak bertanyakan keadaan syarikat. Atau... mungkinkah tentang anak-anak mereka? Kerana dia tahu Harraz dan Ava berkawan. Dia hanya mampu menelah dalam hati.
“Ada tujuan kenapa saya nak jumpa Dato’ hari ni,” ujarnya lagi. Kemudian dia pelawa Dato’ Muktasim untuk makan dahulu namun lelaki itu menolak kerana Dato’ Muktasim telah makan sebelum datang ke situ.
“Tentang business?” Tidak dapat tidak, Dato’ Muktasim meneka juga. Nak ditanya soal anak-anak tapi Harraz tak maklumkan apa-apa kepada dia. Kebetulan tadi Dato’ Hasni ada bertanya kepadanya tentang Emerald, mungkin saja lelaki itu ingin bercakap perihal niaga.
“Bukan... tentang anak-anak kita.”
“Anak-anak kita? Harraz?” soal Dato’ Muktasim lagi. Hanya itu saja yang bermain dalam kepalanya. Apabila menyentuh soal anak, tentu saja tentang hubungan kedua-
dua anak mereka. Serius sangatkah hubungan kedua-duanya hingga wujudnya pertemuan itu? Atau Harraz ada apa-apakan anak dara Dato’ Hasni? Ah... macam-macam telahannya.
Dato’ Hasni ketawa kecil. “Bukan Harraz tapi Haydar,” jawabnya kemudian.
Dan kali ini jawapan Dato’ Hasni membuatkan Dato’ Muktasim terpinga-pinga. “Haydar?”
“Ya Haydar.”
“Kenapa dengan Haydar? Anak saya ada buat apa-apa pada anak Dato’?” Bertubi-tubi soalan Muktasim. Tidak dapat menyusun cerita Dato’ Hasni dengan baik kerana setahunya, Haydar tidak pernah baik dengan mana-mana perempuan, khususnya anak Dato’ Hasni. Bukan dia tidak kenal Haydar, hidupnya cuma kerja dan perempuan merupakan perkara terakhir yang difikirkan oleh anak bujangnya yang satu itu.
“Tak ada. Cuma anak dara saya berkenan dengan anak Dato’. Dia nak Haydar jadi suami dia.”
Bagaikan tertelan biji nangka, Dato’ Muktasim terkejut. Haydar dan anak dara Dato’ Hasni berkahwin? Anak dara yang entahkan dara entahkan tidak, bisiknya dalam hati. Rasanya perkara itu mustahil kerana dia tahu selera Haydar, bukan gadis belen yang terkenal dengan sikap liarnya.
“Tentang tu, bukan saya yang buat keputusan. Dato’ kena tanya empunya diri. Kalau dia berkenan, bolehlah kita aturkan,” jawab Dato’ Muktasim dengan berhemah. Kalau diikutkan bibirnya, mahu saja dia tolak mentah-mentah kerana dia tahu pendirian Haydar tapi demi hormatnya kepada rakan perniagaannya, dia beritahu baik-baik.
“Dato’ bincanglah dengan dia. Kalau setuju, saya akan bantu syarikat Dato’. Saya akan usahakan sesuatu supaya Emerald Sdn. Bhd. tak gulung tikar.” Dato’ Hasni buat tawaran. Dia sudah berfikir masak-masak sebelum bersetuju dengan permintaan anak daranya. Banyak faktor
yang dia ambil kira. Walaupun sebagai seorang yang suka mengambil risiko, namun sekiranya dia membuat keputusan hendak membeli atau menyuntik modal kepada Emerald, ia tetap satu perjudian. Namun dia juga kenal siapa Haydar. Anak muda itu ada kualiti bagus yang bakal menguntungkan syarikatnya nanti.
HAYDAR DUDUK sejurus mendapat arahan masuk oleh bapanya. Muk air di tangan diletakkan di hadapannya. Tidak sempat mencicip air yang dibancuh sendiri di bilik pantri tadi, Dato' Muktasim sudah memanggilnya ke bilik. Nasib baik bapanya tidak terlalu tegas lalu dia bawa bersama untuk minum dalam bilik bapanya. Dia sebenarnya hairan kenapa tiba-tiba sahaja bapa memanggilnya dan lelaki tua itu juga kelihatan serius waktu itu.
“Dah tak ada projek yang masuk...” keluh Muktasim sejurus Haydar selesa dengan duduknya. Syarikat mereka merupakan syarikat yang mengambil tender untuk membuat projek perumahan dan lot kedai, termasuk projek perumahan individu. Namun kini, banyak pihak yang sudah tidak yakin dengan kedudukan kewangan syarikat mereka. Ditambah lagi dengan hilangnya kepercayaan oleh beberapa pihak yang menawarkan tender.
Melihatkan situasi begitu, tidak mustahil kalau sebulan dua dari sekarang mungkin mereka akan gulung tikar. Pekerja juga sudah ada yang diberhentikan kerja dari masa ke semasa bermula hujung minggu lepas. Sudah begitu runcing sebenarnya kedudukan mereka. Malah pembantu rumahnya juga sudah diberhentikan kerja sebagai langkah awal.
Haydar mengeluh nafas. Dia memang sedar akan
hal itu. Namun apabila bapanya menyuarakan perkara itu di hadapannya, dia bertambah buntu. Selama ini dia yang sama-sama membangunkan syarikat bersama Dato’ Muktasim. Malah, kadangkala dia sendiri yang bertindak sebagai peneraju bila ketiadaan Dato’ Muktasim.
“Papa mungkin ada cara untuk atasi masalah kita,” lanjut Dato’ Muktasim. Kedudukan kewangan syarikat yang meruncing tidak memungkinkan mereka membuat pinjaman lagi. Hutang pinjaman yang ada pun masih belum selesai.
Haydar angkat wajah memandang bapanya. “Bagaimana?” soalnya kemudian.
“Hujung minggu lepas, Dato’ Hasni datang jumpa papa. Dia tawarkan bantuan cuma tawarannya bersyarat,” terang Dato’ Muktasim.
“Papa maksudkan dia nak bantu kita?”
“Dia sanggup nak bantu Emerald tapi...” Kata-kata Muktasim berhenti di situ.
“Papa serius?” tanya Haydar walaupun hairan kenapa papanya gantung kata-kata.
Dato’ Muktasim angguk pendek.
“Apa syaratnya?”
Dato’ Muktasim diam seketika sebelum menyambung. “Dia nak anak dara dia jadi menantu papa,” jawab Muktasim berkias.
Haydar jongket kening. Ava dan Harraz nak berkahwin? Tapi bukankah kedua-dua mereka sudah putus? Teringat yang anak gadis Dato’ Hasni pernah datang ke rumah mereka dan memulangkan semua barang yang pernah adiknya berikan. Tak mungkin juga mereka berhubungan kembali.
“Pelik betul diaorang ni. Sekejap putus, tup-tup nak kahwin,” komen Haydar.
Dato’ Muktasim garu pelipis. Awalnya dia juga menyangka Harraz tetapi malangnya telahannya silap. Dia hanya merenung lama wajah Haydar saat anak lelakinya itu mencicip air dari muk. Bagaimana hendak dia sampaikan?
“Anak dara dia bukan nak kahwin dengan Raz, dia nak kahwin dengan Dar.” Akhirnya terluah juga.
Tersedak air yang baru dihirup Haydar. Tersembur sebahagian yang belum sempat ditelan. Kahwin dengan dia???
Minah belen tu nak kahwin dengan Dar?” Tanpa sedar terlantun kata-kata itu dari bibirnya. Pantas ditarik tisu yang tersedia atas meja dan mengelap tepi bibir dek tersembur air tadi.
“Dato’ Hasni setuju nak tolong kita kalau Dar setuju kahwin dengan anak dia.”
Haydar letakkan muk di tangan. Tiba-tiba dia rasa terkejut dengan kata-kata bapanya. Idea itu memang gila sekali. Pertama kerana dia belum pernah terfikir hendak berkahwin walaupun kursus kahwin telah lama lulus. Dan keduanya kerana dia tak pernah bercinta dengan Ava. Memang dia tahu Ava gila tapi tak disangka pula segila itu sehingga hendak berkahwin dengannya pula.
“Dar fikirkanlah, papa tak nak desak. Papa tak nak paksa Dar kahwin dengan dia.”
Haydar terkedu dengan kata-kata bapanya. Tidak memaksa tetapi hanya itu saja cara untuk menyelamatkan syarikat keluarga mereka. Bukankah memaksa juga namanya tu. Arghhh... Haydar buntu.
“Kalau Dar setuju, semua masalah akan selesai?” soal Haydar. Dia cuba bersikap profesional walaupun emosinya sebenarnya rasa berat. Berkahwin dengan perempuan seperti Ava, tidak pernah terfikir oleh akalnya.
Dato’ Muktasim angguk.


No comments:

Post a Comment