DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

MR & MRS LIAR - BAB 8


Kompang dipalu pengantin baru.
MERIAH! Majlis berinai pada petang hari sebelum upacara akad nikah. Rumah pusaka yang selama ini hanya didiami oleh Wan Basyariah, penuh dengan kehadiran jiran-jiran. Anak-anak dara jiran sebelah ikut membantu Tania mengenakan inai di jari. Sepanjang masa itu, Tania hanya termenung. Fikirannya melayang entah ke mana.
“Kaki pulak,” pinta Aina setelah selesai mengenakan inai di semua jari tangan Tania. Tania segera menghulurkan kakinya memandangkan kedua-dua tangan sudah berbungkus.
“Kak Nia...” Satu suara memanggil dari pintu utama ruangan anjung.
Tania menoleh.
“Ada abang nak jumpa,” ucap remaja itu.
 “Abang mana?” tanya Tania dengan kerutan di kening.
“Abang yang pakai spek itam ri tu ler,” ujar Syafiq lantas menyeringai.
Tania ketawa kecil dengan jawapan anak kepada jiran itu. Sudah tahu siapa yang dimaksudkan oleh Syafiq.
“Kakak tengah pakai inai ler. Kamu kabor ler ke abang tu, mane boleh nengok bakal pengantin tengah berinai! Nanti hilang ler seri nyee,” jawab si kakak kepada adiknya.
Syafiq yang sedang berdiri di tengah ambang pintu memandang ke arah tangga.
“Kak Nia tengah pakai inai! Deme tak bagi nengok,” ujar Syafiq.
Tetapi seketika kemudian muncul Putra di ambang pintu itu. Selamba saja dia masuk ke dalam rumah itu. Lebar senyumannya saat mendekati Tania yang sedang berlunjur di ruangan anjung.
“I tak ada pakai inai pun?”
“Orang lelaki tak pakai inai. Pompuan aje,” sampuk Aina yang sedang menempek inai di jari kaki Tania.
“Ya ke?” balas Putra sedikit terkejut.
“Berdosa orang lelaki pakai inai, bang. Pengantin perempuan aje.” Salah seorang gadis itu pula bersuara.
“Ya tak ya jugak, kan? Selalu kita main bedal aje,” balas Putra lantas tersenyum memandang bakal isterinya. Hanya tersandar pada dinding anjung, reda diapa-apakan oleh gadis-gadis itu.
“Bila you sampai? Dah makan ke?” tanya Tania biasa.
“I sampai pagi tadi. I dah makan di bawah tadi. Ramainya orang. Mummy dengan daddy pun ada,” ujar Putra lembut. Teruja. Tidak terasa debar hendak menghadap tok
Mr. And Mrs. Liar
kadi selepas isyak nanti.
Daddy you okey ke?” tanya Tania agak perlahan.
“Biasalah dia. Orang pelawa makan, dia makan jugak,” jawab Putra juga perlahan, seolah-olah tidak mahu orang lain terdengar bicaranya. Ayahnya walaupun tidak merestui pernikahannya, tetap juga hadir bersama ibunya. Memadailah untuknya.
Baru lima belas minit meluangkan masa bersama tunangnya, Wan Basyariah muncul di anjung itu.
“Oi! Kamu tu pergi balik. Kejap lagi Opah Miah datang. Nia ni nak mandi,” ujar wanita itu kepada Putra.
“You belum mandi ke?” tanya Putra terkejut.
“Mandi bunga,” bisik Tania perlahan lantas ketawa kecil. Macam-macam upacara pelik-pelik yang terpaksa dilaluinya. Kononnya supaya berbau harum dan berseri nanti. Mujurlah tiada mak andam yang diupah. Dia sekadar berhias sendiri.
“Nak tengok, boleh tak?” bisik Putra kemiangan.
“Tangan I ni penuh dengan inai. Kalau tidak you memang dah kena cubit,” balas Tania geram. Sempat mengerling ke arah dua gadis dekat dengannya. Mujurlah mereka tidak dengar apa yang diucapkan Putra.
Putra tersenyum lebar sebelum dia bangkit. “I balik dululah kalau macam tu. Jumpa malam nanti. Senyum sikit, sayang. Jangan stress sangat. I tak akan makan you,” balas Putra separuh berbisik.
Tania hanya mengangguk sambil dia memandang lelaki itu berlalu ke ambang pintu. Lupa hendak tersenyum kerana dia sedang menahan perasaan.
Setelah selesai mengenakan inai, Tania hanya pegun sendiri. Lenguh juga terpaksa duduk diam tidak mampu berbuat apa-apa. Inai ditanggalkan setelah Opah Miah yang
dinanti hadir di rumah itu.
“Alhamdulillah... elok merah ni,” ucap Aina puas hati dengan inai yang mereka tumbuk sendiri semenjak pagi tadi. Wanita tua itu naik ke anjung untuk melihat Tania.
Ai... ini tak payoh mandi bunge pon tak ngapee. Udoh lawo pengantinnyee,” usik wanita tua itu membuatkan Tania tersipu-sipu.
Udoh siap berinai?”
“Dah, opah.” Aina menjawab.
Moh ler deras. Kamu siapkan kain batik. Aku siapkan ayor mandinyee,” jawab wanita tua itu lembut.
Berdebar dada Tania. Maklumlah, tidak pernah melalui perkara seumpama ini. Terpaksa mandi di bilik air luar rumah memandangkan di dalam rumah ada ramai orang. Kawasan itu ditutup dengan kain agar orang lelaki tidak melihatnya. Umur dah sebanyak ini, dia dimandikan oleh orang lain dengan air yang dibancuh dengan bermacam-macam jenis bunga. Baunya memang harum.
“Sapu ke moke kamu tu tujuh kali. Niatlah apa yang kamu nak. Nak cantik depan suami ke... nak suami terpikat ke. Jangan kamu niat yang bukan-bukan udoh ler,” suruh Opah Miah setelah memberikan segayung air yang dipenuhi bunga.
Beberapa ketika bersama Opah Miah di dalam kamar mandi, banyak petua yang diberikan. Dan tubuh Tania terasa amat segar. Hilang segala tekanan yang melanda semenjak semalam. Entah apa mentera yang dipakai oleh wanita tua itu, dia pun tidak tahu.
“Bolehlah kamu bersiap lepas ni. Jangan turun-turun buat koje dapur lagi,” ucap Opah Miah sambil memberikan kain persalinan kepada Tania.
“Terima kasih, opah.”
 “Elok-elok ler kamu jadi bini orang tu nanti ye. Dengo cakap suami. Sorge kamu tu.”
Tania sekadar angguk dan senyum kepada wanita itu. Setelah Opah Miah berlalu dia mula tertinjau-tinjau ke luar bilik air biarpun sudah bertutup penuh. Bukan main lagi mata kaum ibu memandangnya setelah dia masuk ke rumah. Tidak cukup mulut hendak senyum dibuatnya. Malu!
Selepas maghrib, ruang rumah itu kian sesak dengan orang ramai. Bertambah gentar melihat ruangan akad nikah sudah siap disediakan. Selesai solat maghrib, Tania mengenakan persalinan akad nikah. Persalinan itu ditempah oleh emak saudaranya. Jadi, tidaklah dia dapat mengenakan persalinan yang ketat dari atas ke bawah, melainkan hanya baju kurung Johor serba putih.
Dia bersolek sederhana sebelum dikenakan selendang di kepala. Sejuk kaki tangan apabila terdengar suara lelaki-lelaki dewasa mula naik ke anjung. Suara keramat adalah suara tok kadi memberi salam. Makin riuh kedengaran senda gurau orang kampung sebaik sahaja lelaki berjubah itu tiba.
Tania memejamkan mata rapat-rapat. Nafas ditarik dan dihembus melalui mulutnya berkali-kali agar dirinya tenang. Namun ketakutan makin teruk setelah riuh suara memberitahu keluarga Putra sudah tiba di situ. Mulalah rasa hendak ke tandas, hendak lari dari rumah segera datang. Kaki macam tidak jejak di bumi.
“Mana ke bakal empuannya? Cer panggil keluworr. Biyo ler deme pandang memandang. Apa dibuat menyorok dalam bilik? Nak dapat anak esok pun nak kena ade empuan nyee. Baru ler menjadik! Jadi akad nikoh ni, biyo empuannya dengo sekali. Baru adil. Aku pun nak kenal jugak mane ke ghope anak sedare Wan Basyariah ni,” seloroh tok kadi agak lantang.
Tania seperti hendak rebah di lantai mendengar
ramai orang ketawa. Putra ketawa kecil mendengar jenaka lelaki itu.
Pucat wajah Tania saat langsir kamar itu diselak oleh seorang wanita. “Kadi panggil dah tu. Mari...” ajaknya lembut.
Tidak tentu arah berjalan ke arah ruangan yang disediakan untuknya dekat dengan Putra. Macam nak pengsan menahan debar. Tambah pula tok kadi itu sedang memandang kepadanya.
Ate... lawo benor empuan kamu ni ye? Patut ler dari jauh pun sanggup datang!” ucap tok kadi kepada Putra. Putra menyeringai mendengar pujian lelaki itu.
Ape ke name empuan kamu ni?” ucap Kadi itu lantas mengangkat kaca matanya untuk melihat nama Tania.
“Tania Idayu Binti Kamarul,” jawab Putra tatkala kadi itu sibuk membaca nama bakal isterinya.
“Pendek aje namanya. Nama kamu?”
“Irham Putra Bin Zainuddin,” balas Putra.
“Kamu, yong...” tegur kadi itu kepada Tania.
“Jangan kamu takut dengan aku ni. Diye ni yang buat kamu bunting besok,” usik kadi itu lantas menuding kepada Putra. Tania tunduk menekup mulut saat lelaki-lelaki di sekeliling itu ketawa. Nak ketawa melihat Putra terkejut. Kadi itu ikut ketawa sambil menepuk bahu Putra.
“Tania Idayu Binti Kamarul... sudi atau tidak aku nikahkan kamu dengan Irham Putra Bin Zainuddin? Tiada paksaan daripada mana-mana orang untuk kamu menikahi lelaki ini?”
“Saya sudi,” jawab Tania perlahan.
“Dia cakap sudi, siap ler diye besok. Siapa suruh cakap sudi,” ucap kadi itu kepada Putra. Mengilai lagi orang sekeliling dibuat oleh gelagat kadi itu. Putra tunduk lantas ketawa. Tania tersipu-sipu malu diusik oleh lelaki tua itu.
“Wali mana satu?” tanya kadi itu kepada dua saksi di tepinya.
“Ni walinya... Tok Amit,” balas salah seorang saksi itu lantas menuding kepada seorang lelaki tua di sebelahnya.
Kadi itu memandang borang nikah yang terselit di celahan bukunya. Lama dia memandang borang itu.
Ape hubungan dengan pengantin perempuan?” tanya kadi itu dengan kerutan di kening.
“Aku ni tok sedare ke pengantin ni. Aboh diye udoh lama meninggal. Aku adik-beradik dengan tok diye,” jawab Tok Amit lantas menuding kepada Tania.
Lelaki tua itu segera mengangguk. Setahunya bapa dan datuk kepada pengantin perempuan sudah lama meninggal dunia. Jadi, wali ab’ad digunakan dalam hal seumpama ini.
Moh ler deras...” ucap kadi lantas kembali serius untuk memakbulkan hasrat dua manusia ini untuk hidup bersama.
“Istighfar...”
Putra tunduk lalu membisikkan istighfar dan diikuti selawat. Berdebar dada tidak keruan setelah tangannya dijabat kadi. Sempat dia menarik nafas panjang agar dirinya tenang.
“Irham Putra Bin Zainuddin...”
“Saya.”
“Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Tania Idayu Binti Kamarul, yang telah berwakil wali akan walinya Ahmad Bin Taha kepada aku, dengan mas kahwinnya satu ribu ringgit tunai!”
“Aku terima nikahnya Tania Idayu Binti Kamarul dengan mas kahwinnya satu ribu ringgit tunai,” sambut
Putra tenang.
“Sah?” Kadi itu memandang ke arah dua saksi yang menelinga lafaz kabul itu.
“Sah!”
“Al-Fatihah...” sambut kadi itu.
Tania tunduk menadah tangan sambil mendengar bacaan al-Fatihah dibaca beramai-ramai. Seperti mimpi... beberapa minggu lalu dia meminta lelaki itu menikahinya. Hari ini lelaki itu telah pun menunaikan janjinya. Dia seperti mahu rebah menelan hakikat itu.
“Nia...”
Tania mengangkat pandangan. Lelaki itu hadir di hadapannya, membawa dulang mas kahwin kepadanya. Sebentuk cincin disarungkan di jari manisnya terlebih dahulu sebelum mas kahwin diberikan kepadanya. Putra memandang raut Tania seketika saat merasakan jemari isterinya amat dingin sekali.
Tania sedikit teragak-agak saat tunduk mengucup tangan suami. Putra tersenyum memandang Tania. Lengkaplah hidupnya kini. Diberikan suri hidupnya oleh Tuhan. Dia ingin menerima seadanya. Menjaganya selagi ada nyawanya.
This is my wife...” bisik lelaki itu berbaur bangga dan syukur sebelum dahi sang isteri dikucupnya lembut. Kelopak mata Tania terpejam rapat. Cuba merasakan keindahan yang ada. Namun yang ada hanya ketakutan.
“I akan jaga you baik-baik, Nia. Ini janji I sebagai lelaki yang bertanggungjawab melindungi you,” ujar Putra lembut.
Thank you so much.” Hanya itu yang terdaya diucap oleh Tania dicelah kesibukan orang memerhatikan mereka. Mungkin sedikit masa lagi dia akan pengsan saja!
Putra melarik senyuman manis buat isterinya itu. Selesai sudah upacara penting itu. Hanya yang tinggal kini, gadis ini ingin dibawa ke dalam kehidupannya. Hanya itu!
‘Atas pelamin berseri, dihias intan baiduri sebagai raja sehari.’
SEHARI YANG terasa amat panjang buat Tania.
Malam tadi selesai upacara akad nikah. Hari ini walimah diadakan di rumah emak saudaranya. Semenjak awal pagi sudah ramai orang berada di rumah itu. Satu tekanan yang amat besar kerana dia tidak suka berada di celahan keramaian. Memaksa diri tersenyum setiap kali orang datang melihatnya bersiap di bilik pengantin.
Tanpa sedar, dirinya kepenatan menahan perasaan dalam keadaan malam tadi dia langsung tidak dapat lena.
Jam 11 pagi, halaman rumah itu sudah bingit dengan kehadiran tetamu. Tambah pula pembesar suara sudah mula memainkan lagu Selamat Pengantin Baru bagi menghiburkan tetamu. Sayangnya dia langsung tidak merasa teruja dengan semua itu.
“Senyum sikit, babe. It’s your wedding day,” bisik Vivian kepada Tania.
Tania hanya mampu tersenyum hambar.
Beautiful,” puji Vivian puas hati dengan hasil solekannya.
Bertambah teruk rasa tidak tenteram yang dialami Tania setelah dia dipanggil untuk menyambut kedatangan keluarga suaminya. Tidak mampu mengangkat pandangan di kalangan orang ramai yang sedang menumpukan perhatian
kepadanya. Rasa hendak lari biarpun dia melihat dari jauh, Putra segak dengan persalinan songket sedang berdiri memandang kepadanya. Menanti suri hidupnya datang kepadanya. Mata dipejamkan rapat sebelum Tania mula melangkah ke gerbang kehidupan yang baru. Dia kini isteri orang.
“Cium tangan suami dulu,” tegur Wan Basyariah kepada Tania setelah mereka berada di hadapan lelaki itu. Putra tersenyum memandang isterinya yang menggelabah semacam. Tidak tahu apa yang hendak dibuat.
Bukan main keras reaksi wajah Tania. Namun kemudian perasaan tidak aman itu sedikit mereda setelah dia terasa jemarinya yang dingin digenggam suaminya sebelum mereka diapit ke arah rumah kampung itu. Sungguh! Kalau dia diberikan pilihan, dia tidak ingin melalui semua ini. Harapannya biarlah masa lekas berlalu.
Ketika makan bersama tetamu, Putra sempat menilik isterinya. Tania masih juga tidak begitu tenang.
Are you okay?” bisik Putra kepada isterinya.
“I sakit kepala,” balas Tania perlahan.
Lama Putra memandang isterinya itu. Jelas tampak Tania tidak begitu masuk dengan suasana sekeliling. Agaknya mungkin benar dia tidak sihat. Mungkin juga isterinya tidak selesa dengan perhatian orang ramai kepada mereka. Seolah-olah ada seksaan yang amat besar sedang ditanggung Tania saat ini sedangkan hari ini seharusnya hari yang amat membahagiakan untuk mereka berdua.
“Senyum sikit. I tak mahu orang kata you kena paksa kahwin dengan I,” pujuk Putra lembut.
Tania menoleh kepada suaminya. Putra hanya selamba menghadap hidangan di atas meja. Ketika tetamu datang mahu bersalaman dipaksa dirinya untuk tersenyum.
Menjelang petang, sakit kepala Tania makin teruk. Tidak lagi berdaya mengangkat tubuhnya sedangkan dia terpaksa menayang wajah kepada tetamu yang hendak pulang.
“Putra...” bisik Tania sambil memicit kepala. Spontan dia memegang lengan suaminya.
“Nia?” balas Putra lantas cuba melihat wajah isterinya. Dalam sekelip mata Tania rebah namun sempat dipeluk oleh Putra. Suasana mula kecoh setelah pengantin perempuan pengsan tiba-tiba.
Ape kene pulak tu?” Seru kaum-kaum ibu yang sibuk mengemas.
Ape hal nye ni?” tanya Wan Basyariah setelah mendekati Putra.
“Dia penat, wan. Saya bawak dia naik atas dulu,” ujar Putra lantas mencempung isterinya.
Wan Basyariah ikut mengekori Putra ke anjung rumah. Putra meletakkan isterinya di atas katil di dalam bilik. Tania dilihatnya langsung tidak sedarkan diri.
“Nia...” panggil Putra.
Biyo ler diye tido kejap. Tak tido malam tadi gamoknyee,” ujar Wan Basyariah.
Putra pegun memandang raut isterinya itu. Hairan. Dilihat Tania lain macam benar hari ini. Sesudah menyalin baju, Putra turun semula dari rumah itu. Ibu ayahnya akan pulang sebentar lagi. Keluarga Vivian juga sudah mula meminta diri. Vivian melambai kepada Putra setelah terpandangkan lelaki itu.
How is she?”
Not really good. Tired,” jawab Putra perlahan.
Vivian memandang sekeliling sebelum dia kembali kepada Putra. “You should know something about her,” ujar
Vivian perlahan.
What?”
“Pernah tak dia beritahu you dia pernah cuba bunuh diri sebelum ni? Dua kali!”
Putra terpaku memandang raut Vivian. Terkejut. Itu sesuatu yang dia tidak pernah tahu selama ini.
“Waktu kami di Aussie, dia terpaksa bergantung pada ubat. Baru dia boleh study. Bila dia sudah empty, dia akan rasa lost. Dia suka duduk seorang dalam bilik. Waktu tu you kena jaga dia baik-baik. Dia nampak okey tapi sebenarnya tak okey. Dia cepat panik bila berada di tengah orang ramai. Macam tadi. Kalau ada suara lelaki menjerit dekat dengan dia, dia akan jadi takut.”
“Maksudnya?” tanya Putra perlahan. Bersungguh mahu tahu tentang itu.
“Tania tak suka berada dalam keramaian orang macam ni. Dia akan fikir macam-macam! Tak tentu arah. Dia tak tahu apa nak buat,” cerita Vivian.
I can see that,” jawab Putra. Itu yang dia lihat semenjak tadi.
“Dia pernah cerita tentang ibu bapa dia?”
“I tahu tentang itu.”
“Bila dia tak mahu bercakap dengan sesiapa, itu waktu yang paling bahaya kalau you biarkan dia seorang. Trust me. Kalau tidak, you akan menyesal nanti. Dia pernah cuba bunuh diri ketika di Aussie dulu. Mak long dia marah dia. Tak faham apa yang dia alami tu sebenarnya bukan main-main.”
Depression?”
Post traumatic stress disorder... something like that,” jawab Vivian perlahan. Tidak mahu orang lain 101
terdengar tentang itu. Dia tahu Tania tidak suka orang lain tahu sisi kelemahan dirinya diketahui orang. Ironisnya, Tania tidak suka orang memberi simpati kepadanya.
“Susah nak tidur malam, selalu mimpi buruk... itu biasa bagi Tania.”
Putra mengangguk sedikit. Dia harus bersiap sedia dengan keadaan itu. Isterinya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Setelah keluarganya dan keluarga Vivian pulang, Putra kembali mencari isterinya. Melihat Tania masih lena, Putra mencapai telefonnya. Segera mencari artikel tentang penyakit PTSD yang dihidapi Tania. Masih punya jalan untuk sembuh sekiranya mereka mengambil jalan keluarnya secara konsisten.
Setelah itu Putra duduk di sisi isterinya. Lama dia memandang Tania. Hatinya sayu entah kenapa. Wajah itu tampak tenang tetapi menyimpan duka yang banyak. Perlahan lelaki itu tunduk. Dahi sang isteri dikucupnya lama.
You’ll be fine, baby...” bisik Putra perlahan. Yakin. Setiap masalah itu akan ada jalan keluarnya.

No comments:

Post a Comment