DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 8


MORNING, long...”
Aidan mengangkat mata daripada surat khabar yang dibaca.
Morning, lang. Awal bangun? Bukan malam tadi kau berniaga kat bazar ke?” Selalunya, pukul 5 pagi baru Nazran pulang ke rumah. Dan sudah tentu batang hidungnya takkan kelihatan pagi-pagi seperti ini, melainkan Nazran tidak ke bazar, tetapi pekerjanya saja yang menjaga gerai.
“Aku balik pukul 1.00 pagi tadi. Dah ada dua orang yang jaga gerai, aku pun ciao la...”
“Oh...”
Morning!” sapa Irfan yang tiba-tiba menyertai Aidan serta Nazran di meja makan. “Dee mana?”
“Entah. Tidur lagi kut,” teka Nazran.
Aidan mengilas pandang jam di pergelangan tangan.
“Kau pergi klinik ke pagi ni, long?” soal Irfan.
 “Haah...”
“Esok jadi ke kita pergi piknik?” Irfan bertanya lagi.
Maybe...” balas Aidan.
“Eh, kenapa maybe pulak?” celah Nazran. “Bukan dah confirm ke?”
“Ada orang merajuk dengan along,” sindir Irfan sambil mata mengerling ke arah Aidan. “Siap dapat penampar baik punya!”
Membulat mata Nazran.
“Kau biar betul, ngah! Dee tampar along atau along yang tampar Dee?”
Aidan meluku kepala Nazran.
“Lelaki sejati takkan pukul seorang perempuan, lang. Dalam apa jua keadaan. Kau ingat tu baik-baik!” tegur Aidan keras. Mengungkit pesanan yang sering dibuat oleh papa mereka.
Nazran menggosok kepala yang menjadi habuan tangan Aidan tadi.
“Oh... maknanya kaulah yang kena tampar ya?”
Melihat Aidan tidak membalas pertanyaannya, dia mencari mata Irfan. Irfan mengangguk sekali saja, bersama isyarat, ‘aku akan cerita kemudian’.
“Tapi... esok jangan tak jadi pulak. Aku dah ajak Siti,” tutur Nazran menyebut tentang teman wanitanya.
“Aku pun dah ajak Reen. Kau dah ajak Nia?”
Lambat-lambat Aidan mengangguk.
“Kalau tak silap aku, Dee pun dah ajak Jazz. Cukup kuorum kita esok,” sambung Irfan lagi. “Speaking of Dee, mana budak ni?”
Bik, oh bik!” panggil Nazran. Muncul pembantu rumah Puan Shamila dari dapur.
“Ada apa tuan?”
“Boleh tolong kejutkan Dee tak?”
“Eh, neng Dee sudah keluar awal pagi tadi.” Riak hairan menghiasi wajah Bibik Sumati. Takkan mereka tak tahu?
Tergamam wajah si abang-abang.
“Keluar? Ke mana?” Irfan bertanya.
Bibik Sumati menjongket bahu tanda tidak tahu.
“Pukul berapa dia keluar, bik?” soal Aidan.
“Dalam jam 7.00, tuan.”
“Awalnya,” bisik Irfan. “Hari ni Sabtu. Dee tak kerja. Dia pergi mana?”
“Merajuk betul dia dengan kau, long,” ujar Nazran.
Aidan mengeluh. Sekali lagi dia mengilas pandang jam di pergelangan tangan. Sudah tiba masa untuk dia bergerak ke klinik.
“Aku kena pergi klinik dah ni. Korang tolong call Dee tanya dia kat mana ya? Apa-apa roger aku.”
Irfan sudah mencapai telefon bimbitnya.
Takde nada dering langsung! Dee off phone dia ni.”
Aidan yang baru berdiri kembali duduk.
Off phone?”
“Haah, aku WhatsApp dia pun ada satu tick je ni,” komen Nazran pula. “Maknanya dia belum terima WhatsApp aku.”
“Kau ada nombor telefon Lisa?” Aidan bertanya pula.
Irfan dan Nazran sama-sama menggeleng.
 “Nombor Jazz?”
Geleng lagi.
“Hesy!” dengus Aidan.
“Cari kat FB atau IG. Aku dah lambat ni. Aku gerak dulu.” Dengan hati yang masih diselubungi rasa bimbang yang amat sangat, Aidan angkat kaki.
Di atas motosikal, Aidan cuba menutup rasa gelisah yang melanda jiwanya. Dia mencapai telefon bimbit dari dalam kocek seluarnya lalu menaip pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada Deja.
Along minta maaf pasal malam tadi.
Benar kata Nazran. Mesej Aidan tidak diterima oleh Deja. Jelas adiknya itu telah mematikan telefonnya. Bersama suatu keluhan yang berat, Aidan menghidupkan enjin motosikal dan meluncur keluar dari pekarangan rumah.
Dear Husband-To-Be,
I benci along. Kalau you nak I happy, jangan jadi macam along!
“DEE... JAZZ nak cakap dengan kau.”
“Lis, aku takde mood arrr. Aku tak nak cakap dengan dia,” tolak Deja.
Deja mendengar temannya Lisa menyampaikan pesanan kepada Jazlan melalui telefon bimbitnya. Bijak juga Jazlan menghubungi Lisa. Nak menelefonnya, sah-sahlah takkan dapat.
Lisa mematikan telefon.
“Jazz sampaikan ucap maaf dia pada kau. Lepas tu dia tanya, outing esok jadi ke tak?”
Deja menongkat bahu.
“Aku rasa tak. Aku malas nak pergi.” Dia bersandar di dada sofa tunggal di ruang tamu pangsapuri Lisa ini.
“Lis, kalau kau nak keluar, kau pergi jelah ya. Aku tak nak kacau rancangan kau. Aku datang sini pagi ni pun, secara mendadak je.”
“Habis tu, kau?”
“Kalau kau izinkan, aku nak tumpang rehat kat sini kejap. Kau tak kisah, kan?”
“Masalah kau takkan selesai kalau kau lari, Dee.”
“Aku tahu... aku bukan nak lari... aku cuma nak bersendirian untuk sementara waktu ni. Kepala aku serabut ni. Dengan kerja aku, dengan Jazz, dengan along aku... Aku nak tenangkan fikiran aku je...”
“Bila kau kena pindah ke KK?” soal Lisa yang sudah dimaklumkan tentang hal pinjaman Deja ke pejabat kawasan syarikat.
“Kalau ikutkan surat tu, aku kena pindah cukup bulan ni.”
Terbeliak mata Lisa.
“Eh helo! Cukup bulan maknanya kurang dua minggu okey! Ada berapa hari je yang tinggal?”
“Aku tahulah!”
“Habis tu, bila kau nak beritahu Jazz dengan famili kau?”
Bahu Deja terjongket lagi.
“Entahlah... nanti-natilah!”
 “Kau rasa Jazz okey tak?”
Deja mencari mata Lisa.
“Kenapa tak okey pulak? Aku dengan dia bukannya ada hubungan istimewa pun. We’re just friends!”
“Aku tak rasa Jazz berfikiran sama macam kau, Dee. Aku rasa dia dah anggap kau lebih daripada seorang kawan.”
“Tu bukan salah aku. Aku dah cakap pun yang aku masih belum bersedia nak serius dengan dia. Dan Jazz kata dia terima pendirian aku. Alah, aku pergi bukannya lama pun... 3 bulan je.
Deja menatap wajah temannya seketika.
“Lagipun... aku tahu kau ada hati pada Jazz...” ujarnya perlahan.
Berubah riak Lisa.
“Dee! Mana ada?”
Koyak senyuman di bibir Deja melihat reaksi temannya.
“Kau tak payah nak terkejut sangatlah! Aku tahu...”
Errr... errr...” Lisa kehilangan kosa kata.
“Lis, aku tahu kita ni berkawan tak lama. Baru setahun, macam tu. Kita kenal pun melalui Jazz. Tapi, aku perempuan. Aku boleh tahu daripada cara kau pandang dia...” Sejak Jazlan memperkenalkan Lisa kepada Deja, Deja boleh lihat betapa akrabnya hubungan antara Lisa dengan Jazlan. Mereka memang berkawan baik.
“Dee,” potong Lisa. “Aku kenal Jazz dah lama. Sejak sekolah menengah lagi. Tapi aku sedar yang dia hanya anggap aku sebagai kawan baik dia je. Aku tak berharap apa-apa pun. Tapi kau... Jazz cerita kat aku yang dia minat kat kau dah lama. Tapi, dia berani nak dekati kau pun masa korang dah tahun akhir. Sebelum tu, dia hanya mampu pandang kau dari
jauh je...”
Deja tidak membalas. Dia tidak tahu pula yang Jazlan sudah lama menaruh perasaan terhadapnya, sedangkan mereka mula rapat akhir-akhir ini saja. Walaupun mereka sudah mula berkawan lebih kurang setahun yang lalu, namun hanya benar-benar rapat dalam 3 bulan terakhir ini.
“Kau tahu Jazz tu player?” soal Lisa.
Lambat-lambat Deja mengangguk.
“Tapi dengan kau, aku tengok dia dah berubah.”
“Entahlah, Lis. Aku memang rapat dengan Jazz sekarang ni, dan aku selesa berkawan dengan dia. Tapi... aku masih belum bersedia nak serius dengan dia. Aku malas nak fikir.”
“Bukan sebab dia playboy ke?”
Deja tidak bereaksi. Sejujurnya, walaupun dia senang berkawan dengan Jazlan, namun untuk jadikan Jazlan suaminya sesuatu perkara yang perlu difikirkan dalam-dalam. Sesungguhnya dia tahu, Jazlan bukanlah lelaki yang akan mudah diterima oleh papa dan mamanya, melainkan Jazlan berubah menjadi lelaki yang lebih bertanggungjawab.
Lisa mengeluh.
“Dia mengharapkan kau.”
“Lis... kenapa kau tak pernah berterus terang pada Jazz tentang perasaan kau?” Deja ingin tahu.
Sayu senyuman yang singgah di bibir Lisa.
“Sebab aku tak nak kehilangan dia sebagai kawan aku. Persahabatan kita orang berdua lebih penting untuk aku.”
“Aku dengan dia belum ada apa-apa ikatan, Lis. Kalau kau nak, aku boleh back off...” tawar Deja. “Tak guna kau nak mengalah kalau Jazz memang takkan pandang aku macam mana dia pandang kau.”
Deja serba salah. Sedar yang Lisa sudah lama menyimpan perasaan terhadap Jazlan, dan kehadirannya seakan-akan memusnahkan harapan serta impian Lisa.
“Hei! Tak payah nak buat muka monyok macam tu. Aku okeylah. Aku dah biasa...” ujar Lisa ingin menyejukkan hati Deja.
“Aku tak suka jadi orang yang...”
Please!” potong Lisa laju. “Kau bukan perampas okey. Lainlah kalau Jazz dengan aku memang sedang bercinta. Tapi hakikatnya, Jazz memang pandang aku sebagai kawan rapat dia je.”
Lisa mengangkat telefon bimbitnya yang berdeting dari atas meja kopi.
“Eh, siapa ni?”
“Kenapa?”
“Ni angah kau PM aku kat FB. Tanya sama ada engkau ada dengan aku ke tak.”
Deja menayang wajah cemberut.
“Tak payah balas!” arah Deja.
Lisa menongkat mata.
“Dee... aku tahu kau marahkan along kau, tapi jangan lampiaskan pada orang lain. Angah kau tak bersalah,” tegur Lisa.
Betul kata-kata Lisa. Dia sakit hati pada Aidan, bukan pada Irfan.
“Kau cakap kat dia aku ada. Tapi, kalau dia minta alamat kau, jangan bagi.”
Lisa akur. Pantas Irfan membalas.
 “Dia tanya kau nak balik rumah pukul berapa.”
“Aku tak tahu.”
Jari-jemari Lisa menaip lagi.
“Dia kata, jangan balik lambat sangat. Esok nak pergi piknik.”
“Cakap kat dia aku tak nak pergi!”
Lisa menjadi posmen sekali lagi.
“Dia kata kalau kau tak pergi, dia akan call papa kau dan cerita kat papa pasal malam tadi.”
“Hesy!” Kuat Deja mendengus. Sakit hati betul! “Sikit-sikit nak repot... sikit-sikit nak repot. Menyampah!” gerutu Deja.
Seketika kemudian telefon Lisa berbunyi.
“Dia Messenger call akulah!” Lisa menghulurkan telefonnya ke arah Deja. “Nah! Kau jawab!”
Masam wajah Deja, namun dia tetap menyambut telefon yang dihulurkan.
“Helo!” ucapnya kasar. Diam. Lama.
Pelik Lisa jadinya. Nampak sangat hanya Irfan yang bersuara dan Deja hanya mendengar.
Hmmm... one hour!” ujar Deja akhirnya sebelum mematikan panggilan.
“Kenapa?” soal Lisa.
“Angah ajak makan. Aku keluar jumpa dia kejap lagi.”
Lisa tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Dah terpujuk nampak?”
Like you said, aku marahkan along, bukan angah. Dah dia nak belanja aku makan, aku setuju jelah.”
Lisa ketawa.
“Kau nak join aku?” tanya Deja.
No thanks! Aku dah ada plan untuk lunch.”
Thanks, Lisa sebab bagi aku lepak kat sini dari pagi,” ucap Deja.
Small matter,” balas Lisa.
Mereka saling berpandangan lalu berbalas senyuman. Deja menghidupkan telefon bimbitnya semula. Bertali arus pesanan yang masuk ke dalam peti inboxnya. Mesej tunggal daripada Aidan dibuka dahulu. Dia mengeluh perlahan. Hati masih terluka dengan tuduhan yang dibuat oleh abangnya malam semalam. Tak mampu dilupakan hanya dengan ucap maaf daripada Aidan.
Mesej daripada Jazlan pula dibuka. Seperti Aidan, Jazlan juga meminta maaf daripadanya kerana tidak menepati janjinya untuk menghantar Deja pulang tepat pada masanya. Dia turut menyatakan rasa kesalnya kerana telah berkasar dengan Deja malam semalam.
Tiada satu pun mesej yang dibaca itu dibalas. Telefon dicampak saja ke dalam tas tangan. Dia tiada mood untuk menangani isu bersama Aidan, mahupun Jazlan. Hati masih sakit... masih panas... Biarlah dulu. Tunggu Irfan sejukkan hatinya dulu.

No comments:

Post a Comment