DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 6




COME here, Dee...” gamit Puan Shamila. Tubuh Dee diraih ke dalam pelukan. “Janganlah sedih. Mama pergi 15 hari je... Pejam celik, pejam celik mama dah balik,” pujuknya seraya mengeratkan pelukan.
“15 hari tu lama, ma. Mama dengan papa mana pernah pergi bercuti lama macam ni? Selalunya kejap-kejap je,” ngomel Deja manja. “Dan selalunya, papa mesti bawak kita orang semua pergi bercuti sekali.”
“Ni kan kali pertama mama dengan papa nak pergi bercuti ke luar negara berdua. Bagilah peluang kita orang pergi holiday lama sikit... Lagipun, papa dah lama janji dengan mama nak bawak mama bercuti ke Eropah, just the
two of us.” Encik Fahmi pula bersuara. Kepala Deja yang masih dalam dakapan isterinya diusap perlahan. “Ni hadiah ulang tahun papa kepada mama.” Encik Fahmi tersenyum ke arah isterinya.
“Hesy, budak ni. Tepilah! Angah pun nak peluk mama jugak! Karang banjir pulak KLIA ni,” rengus Irfan dalam nada gurauan. Drama queen betul si Deja ni tau! Manja!
“Ma... tengoklah angah ni. Bila mama takde nanti, angah mesti suka-suka hati buli Dee!” adu Deja memancing simpati daripada mama dan papanya.
Puan Shamila merungkaikan pelukan. Wajah si anak manja diusap perlahan.
“Dee jaga diri tau. Kerja elok-elok, jangan nakal-nakal ya?” pesannya. “Jangan balik lambat!”
Kepala Deja mengangguk. Riak sedih menghiasi wajah.
“Along, papa serahkan tanggungjawab untuk jaga adik-adik semua pada along. Ingat semua yang papa pesan sebelum ni?” Encik Fahmi memandang ke setiap wajah anak lelakinya. Matanya mencari kepastian daripada mata Aidan, Irfan serta Nazran.
Masing-masing mengangguk.
“Ya, pa. Kita orang ingat,” jawab Irfan bagi pihak yang lain.
Wajah Deja sudah berkerut. Papa ada beri pesanan ke? Kenapa dia tak tahu pun? Kenapa papa tak beritahu dia apa-apa?
“Dah, jangan buat muka tak puas hati macam tu,” tegur Encik Fahmi sebaik melihat wajah Deja. “Ni, papa pun ada pesanan untuk Dee. Malam tadi papa nak bincang dengan Dee, tapi Dee dah tidur. Pagi tadi pulak, Dee dah sibuk nak pergi ofis.”
 “Oh...”
“Dee... semua yang berkenaan dengan Dee, papa dah serahkan pada Uncle Ismail, kawan yang paling rapat dengan papa kat firma tu. Papa pun dah jelaskan semuanya pada along. Dee tak payah risau tentang masa depan Dee... It’s all taken care of.”
“Pa! Apa ni? Tu semua tak penting pun pada Dee,” tangkis Deja. Bukan dia tak tahu tentang kewujudan tabung amanah yang ditinggalkan oleh arwah babanya yang selama ini diuruskan oleh Encik Fahmi. Dia tahu, tapi baginya, tu bukanlah suatu keutamaan dalam hidupnya. Kasih sayang yang dicurahkan oleh Encik Fahmi sekeluarga, dan semua tanda mata peninggalan arwah orang tuanya sudah lebih daripada mencukupi untuknya. Dia tak perlukan apa-apa lagi. Sumpah!
“Tak penting bagi Dee, tapi tu tetap amanah yang arwah baba tinggalkan untuk Dee. Semuanya akan jadi milik Dee bila Dee berumur dua puluh lima tahun nanti. Dee tahu kan?” pesan Encik Fahmi untuk sekian kalinya.
“Tahu...” jawab Deja meleret.
“Apa pun terjadi, kita orang semua dah jadi keluarga Dee. Dan kalau apa-apa terjadi pada mama dan papa...”
No!” cantas Deja sedikit kuat. “Dee tak nak dengar papa cakap macam tu. Takde apa-apa pun yang akan terjadi pada mama dan papa!”
Encik Fahmi tersenyum. Bahu Deja dirangkul lalu ditarik rapat ke dadanya.
“Dee kena dengar jugak,” desak Encik Fahmi dengan suara yang lunak. Mata Deja ditatap. “Kalau apa-apa jadi pada papa atau mama, along akan bertanggungjawab.”
Deja menggelengkan kepala. Pautan di bahunya semakin kuat. Tidak mengizinkan Deja melepaskan diri.
 Listen to me, Dee. Listen!” Nada Encik Fahmi berubah tegas.
Mata ditongkat lemah ke wajah Encik Fahmi.
“Percayakan along. Trust him! Promise me!”
“Pa?” Deja terpinga-pinga tidak mengerti.
Promise me, Dee. Trust along!” ulang Encik Fahmi sekali lagi. Matanya tidak lepas daripada mata Deja yang jelas keliru.
Deja mengalihkan mata. Terkedu dengan pandangan daripada Aidan yang memandangnya dengan begitu... begitu dalam. Tidak pernah Aidan memandangnya begitu. Dia tak mengerti. Apa semua ni?
“Dee... Dee janji, pa...” Terlafaz juga janji di bibir Deja. Demi papanya.
Encik Fahmi menghela nafas lega. Dia tersenyum lalu mengerling ke arah isterinya. Dia mencari mata Aidan pula. Pandangan mereka bertaut. Isyarat yang dihantar tanpa suara difahami sepenuhnya oleh mereka berdua.
“Pa, ahli tour group yang lain dah nak masuk tu,” Nazran bersuara. Sejak tadi dia cuma menjadi pemerhati. Mendengar papanya memberikan pesanan seolah-olah ini kali terakhir mereka akan berjumpa. Hati Nazran berbisik rasa yang kurang enak namun lekas-lekas dia menepis rasa itu.
Aidan mengutip bagasi kecil dari atas lantai. Tangkai bagasi dihulurkan kepada Encik Fahmi. Tangan kanan Encik Fahmi diraih lalu dicium. Seketika kemudian dia memeluk erat papanya. Aksi yang sama dilakukan kepada Puan Shamila. Lama Aidan memeluk mamanya.
“Jaga diri, ma. Along sayang mama.”
Deja sudah mahu menangis. Pertama kali dalam hidup dia akan ditinggalkan serentak oleh mama dan papanya untuk suatu jangka masa yang lama. Selalunya, kalau papa perlu ke mana-mana demi tugasnya, tidak pernah lebih daripada tiga hari.
Giliran Irfan dan Nazran pula menyalami dan memeluk papa serta mama mereka. Begitu juga dengan Deja.
“Jaga diri ma...” pesan Deja meniru kata-kata Aidan. “Dee pun sayang sangat kat mama dan papa!”
Puan Shamila memaut lengan suaminya. Senyumannya manis dan cahaya kebahagiaan yang terpancar daripada wajahnya nampak berseri-seri. Mereka berbalas lambaian. Deja tidak mahu berganjak dari balai pelepasan sehingga kelibat papa dan mamanya sudah hilang masuk melewati kaunter imigresen.
I miss them already...” rengek Deja.
Irfan memaut bahu Deja.
“Dah, jom balik. Esok kerja...”
Tajam pandangan yang dilontar oleh Aidan ke arah Irfan sebelum matanya berlabuh ke tangan yang melingkar di bahu Deja. Irfan mengerti. Perlahan-lahan, agar tidak begitu ketara, dia melepaskan pautannya. Sambil berjalan, Deja kini sibuk berbual dengan Nazran. Mereka berjalan menuju ke kawasan parkir. Irfan mengeluh dalam hati. Bibir sudah bergerak menyebut ‘sorry’ kepada Aidan.
Aidan mengangguk. Yakin yang Irfan masih ingat akan bicara Aidan dua malam yang lalu.
“Kau cakap pada Rina pasal Dee?” terjah Aidan pada malam itu. Walaupun Deja telah melarang dirinya untuk berkata apa-apa tentang perkara ini pada Irfan, namun larangan itu tidak mahu diendahkan. Dia perlu tahu sebab Irfan bermulut tempayan tiba-tiba, sedangkan selama ini mereka amat prihatin dalam menjaga hati Deja, terutamanya yang berkaitan dengan isu sensitif seperti ini.
Berubah riak Irfan. Keluhan berat dilepaskan.
“Aku tak sengaja, long... Aku terlepas cakap.”
 Talk!” arah Aidan inginkan penjelasan adiknya.
“Reen nampak gambar famili kat dalam phone aku. Dia tanya kenapa Dee lain sangat daripada kita tiga beradik? Kita bertiga kulit Melayu, tapi Dee putih melepak. Hidung mancung semacam. Takde rupa mama atau papa pun. Lepas tu... lepas tu aku terlepas cakap yang dia anak angkat papa dan mama.” Irfan menguatkan ‘ter’ ketika mengungkap perkataan ‘terlepas’ itu.
Aidan mempamerkan riak kecewa.
“Tapi, long... aku yakin dengan Reen. Dia takkan cakap pada sesiapa pun. Aku percayakan dia.”
“Yakin? Percaya?” Aidan mendengus. “Dia dah ungkit pun pasal Dee. Kau tahu tak?”
“Aku tak percaya. Kau dengar sendiri ke, long?” soal Irfan.
“Tak. Aku tak dengar sendiri. Tapi malam semalam, dia ada cakap sesuatu pada Dee. Lepas tu Dee macam nak nangis.”
“Dee tak cerita pada kau ke?”
Aidan menggeleng.
“Aku yang tanya Dee sendiri.”
“Mungkin Dee salah faham. Reen tu takkan cakap apa-apa untuk sakitkan hati Dee sebab Reen tahu aku sayang gila pada Dee.” Bersungguh-sungguh Irfan mempertahankan si buah hati.
“Ngah... jangan butakan mata kau dengan cinta. Aku tahu kau dengan Rina dah serius, tapi tolong jaga rahsia keluarga kita. Jaga hati Dee!”
“Aku tahu, long. Aku tahu. Aku terlepas cakap. It won’t happen again. Nanti aku minta penjelasan daripada Reen.”
Aidan mengangguk sekali. Berpuas hati dengan Irfan yang tidak menidakkan kesalahan sendiri.
“Lagi satu aku nak cakap kat kau...” keluh Aidan berat. Agak sukar untuk dia menyuarakan apa yang tersemat di hati. “Patutnya dari dulu lagi aku cakap pasal ni, tapi aku tak sampai hati...”
“Apa long?”
“Walaupun kita tak pernah nak cerita pada orang luar tentang siapa diri Dee yang sebenar, dia sebenarnya bukan adik kandung kita. Haram untuk kita sentuh dia, ngah, apa lagi kalau peluk dan cium dia...”
Berubah riak Irfan.
“Aku tahu, long... tapi aku tak boleh... Aku tak boleh kalau tak peluk dia sebab aku sayang sangat kat dia. Dalam hati aku ni, dia adik aku dunia akhirat. Demi Allah, long, aku tak pernah bernafsu setiap kali aku peluk dia. Tak pernah!” Beria-ia Irfan menuturkan kata.
“Tapi apa yang kita buat selama ni tak betul, ngah... Aku dah lama berhenti...” tutur Aidan perlahan.
Irfan mengangguk. Dia perasan akan perubahan Aidan suatu ketika dahulu, namun tidak pernah mahu bertanya. Takut jawapan Aidan akan menghenyak segunung beban kesalahan ke bahunya... seperti yang dirasakan kini.
“Aku tengok papa pun masih macam dulu. Jadi aku pun buat-buat tak tahu...” Irfan beralasan. “Bukan aku tak perasan kau dah tak mesra macam dulu dengan Dee, tapi aku pilih untuk tak nampak... sebab aku tak nak kehilangan kemesraan yang dah terjalin sejak Dee kecik lagi.”
“Aku faham, ngah. Aku faham. Tapi sampai bila? Umur kita dah semakin meningkat. Kalau kita tak berubah sekarang, sampai bila-bila pun kita takkan berubah... dan yang salah tu tetap salah,” tegur Aidan lagi.
Terdiam Irfan jadinya. Perkara ini sensitif. Amat sensitif. Antara hukum halal dan haram, dengan ingin menjaga hati dan perasaan si adik kesayangan, mana yang perlu diutamakan?
“Betul cakap kau long. Patutnya dari dulu lagi kita sedar tentang perkara ni. Dari waktu Dee mula baligh dulu. Sekarang nak mulakan, aku takut dia kecik hati. Dia mesti tanya, kenapa sekarang? Kenapa tak dari dulu?”
“Buat pelan-pelan. Kalau kau nak sentuh dia secara berlapik, mungkin aku boleh pejam mata lagi. Tapi kau nak peluk dan cium dia, aku tak nak tengok lagi!” Tegas kata dua daripada Aidan.
“Bukan mudah, long...”
“Aku tahu... aku pernah laluinya dulu...” akui Aidan lemah.
Mudah? Sudah semestinya tidak. Ketika itu, hanya Allah yang mengerti perasaannya yang berkecamuk. Dia seolah-olah melalui fasa ‘withdrawal syndrome’, atau sindrom tarikan akibat terpaksa meninggalkan semua yang biasa yang pernah dilakukan terhadap Deja dulu. Mengusap kepala gadis itu, memeluk serta mencium ubun-ubun atau pipi Deja sudah menjadi suatu tabiat. Tabiat yang selamat, tetapi tiba-tiba dan tak disangka-sangka, bertukar menjadi sesuatu yang merubah segala-galanya buat Aidan.
Kini hati terasa ringan sedikit sudah berbicara empat mata dengan Irfan. Irfan pun nampaknya ingin mencuba, walaupun sukar, namun nampak keinginan pada diri adiknya itu untuk berubah. Alhamdulillah... Cuma satu! Doanya, hati Deja akan terpelihara tanpa sebarang luka akibat kesedaran yang kini melanda mereka.
Semoga Deja mengerti bahawa semua yang dilakukan ini merupakan sesuatu yang betul. Bukan kerana mereka tidak sayang lagi pada Deja... tetapi kerana mereka terlalu sayang akan Deja dan tidak mahu Deja jauh daripada kebenaran.
Selepas ini, dia akan cuba berbincang dengan Nazran pula. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik saja...

No comments:

Post a Comment