DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

TAKRUT - BAB 4








KEHADIRAN Kean dan Pongpanet membuatkan
sami tua tadi memberhentikan kerjanya. Tajam renungannya
ke arah Kean bagaikan cuba membaca isi hati yang tersurat.
Kean segera memberi hormat apabila sami tua itu
datang menghampirinya. Belum sempat dia membuka mulut,
sami tua itu sudah bersuara.
“Serahkan apa yang kamu bawa.”
Untuk beberapa saat Kean tergamam. Ternyata sami
tua itu sudah tahu maksud kedatangannya ke situ. Lantas dia
menyerahkan cincin yang dibawa ke tangan sami tua itu.
Sami tua itu membeleknya sebentar sebelum
memulangkannya kepada Kean. Kemudian dia berjalan
masuk lebih jauh ke dalam gua tanpa sepatah kata.
Kean tidak ada pilihan selain mengikut sami tua itu
dengan rapat. Setibanya mereka di hadapan sebuah lubang
gua yang dipenuhi pelbagai patung Buddha pelbagai saiz
dan rupa, langkah Kean terhenti. Akan tetapi sami tua itu
mengajak Kean masuk ke dalam ruangan itu.
Dengan rasa ragu-ragu, Kean menurut. Dia
mengambil tempat di hadapan sami tua selepas memberi
penghormatan kepada patung-patung Buddha di situ.
Kemudian dia menanti apa yang akan berlaku seterusnya.
Tanpa suara, sami tua itu menarik keluar sebuah
kotak kayu yang ditutupi sehelai kain berwarna hitam dari
tepi dinding gua. Kotak itu diletakkan di tengah-tengah di
antara mereka berdua. Penutupnya dibuka. Sami tua itu
terdiam ketika merenung isinya.
Kean terkebil-kebil. Apa yang akan berlaku gagal
ditelah.
“Hal ini sudah dijangkakan.” Sami tua mengambil
keluar satu bungkusan kecil yang berikat benang merah dari
dalam kotak kayu.
Mata Kean tertumpu pada bungkusan kecil itu.
Itukah yang dimahukan oleh Raja Nara? Aneh.
“Apa yang diminta ini bukan sembarangan.” Sami
tua itu termenung jauh.
Debar dalam dada Kean kian kuat. Rasa ingin
tahunya melonjak-lonjak tidak keruan.
“Ini keramat, zaman-berzaman. Kuasanya besar
tidak terlawan. Nyawa musuh hanya mainan.” Sami tua
menjelaskan apabila Kean masih ragu-ragu.
Kean menelan air liur. Matanya ralit memerhati
tangan sami tua itu membuka selapis demi selapis pembalut
bungkusan sehinggalah akhirnya muncul satu kilauan
keemasan daripada satu objek kecil.
Sami tua memandang sekilas ke arah Kean yang
melotot ke arah bungkusan itu. Dia yakin Kean tidak pernah
melihatnya seperti kebanyakan orang lain juga.
“Inilah Takrut Agung.”

Kean terlopong. Berderau darahnya apabila nama
takrut itu meniti di bibir sami tua. Dia seakan-akan bermimpi.
Selama ini dia pernah mendengar mengenai takrut itu tetapi
dia fikirkan itu hanya satu mitos.
“Ramai yang menyangka takrut ini satu cerita
dongeng.” Sami tua itu bersuara perlahan.
Kean tertelan air liur. Bukan dia tidak biasa melihat
takrut. Malah di pinggangnya berbelit satu takrut yang
diberikan oleh sami diraja. Takrut itu diperbuat daripada kulit
harimau putih. Gunanya untuk memastikan semangatnya
tidak mati. Dia menjadi seorang yang berani dalam setiap
peperangan. Dia tidak takut mati apatah lagi cedera. Dia yakin
dia dilindungi satu kuasa hebat. Tetapi berhadapan dengan
Takrut Agung itu, dia berdebar-debar. Dia gementar. Malah
seluruh tubuhnya lemah dan lesu. Semangatnya luntur.
“Cincin kebesaran itu membawa perintah. Dan kamu
mesti orang kepercayaan tuanku.” Sami tua itu memandang
lama muka Kean.
Kean tunduk. Kini fahamlah dia semua perkara.
Dia diperintahkan untuk membawa pulang Takrut Agung
ke istana. Tentu Raja Nara memerlukan takrut itu dalam
peperangan yang berikutnya. Itu juga membayangkan
peperangan yang akan mereka tempuh nanti amat sukar dan
sulit.
“Tentu kamu tertanya-tanya,” tambah sami tua.
Kali ini Kean angguk. Ada banyak persoalan yang
berselirat. Malah dia masih sukar menerima bahawa takrut
yang sangat digeruni itu rupanya benar-benar wujud. Takrut
itulah juga yang disebut tangkal pemusnah dua negara.
“Banyak cerita yang tersebar di luar. Ada yang benar,
ada yang salah.”
Dahi Kean berkerut. Dengan teragak-agak dia
bertanya.
 “Benarkah takrut ini hampir memusnahkan dua
negara?”
Sami tua itu menghela nafas panjang. Wajahnya
serius.
“Disebabkan itulah ia disembunyikan. Ia dianggap
hilang begitu saja,” jawabnya. “Takrut ini menjadi rebutan
banyak pihak. Kehadirannya perlu dirahsiakan.”
Kean angguk faham. Debar dalam dada tidak
hilang-hilang. Dia sedar tugasnya amat berat. Apa yang akan
dibawa pulang itu bukan sembarangan barang.
“Berbeza dengan takrut-takrut yang lain, takrut ini
dibuat di negara musuh. Semua sami-sami dari 4 penjuru
negara dihimpun untuk membuatnya. Emas yang digunakan,
emas terbaik yang menghias sebuah kuil yang berusia ribuan
tahun. Manteranya diratib ribuan sami. Ditempa di atas
kepingan emas oleh penempa yang terhandal. Disimpan di
dalam 7 keranda paling angker selama 9 bulan. Ditapakan di
4 buah gunung tertinggi selama 7 tahun.”
Dada Kean tambah berdebar.
“Tujuannya hanya satu. Tak lain tak bukan, untuk
mengalahkan semua kuasa yang ada di atas muka bumi ini.
Dengan itu, mereka dapat mengalahkan kita dan menguasai
negara kita dengan mudah. Tapi ternyata ada satu kuasa lain
yang lebih berkuasa.”
Mata Kean terkelip-kelip. Apa yang diberitahu oleh
sami tua itu sangat menarik perhatiannya. Satu perkara
baharu.
“Itulah kuasa yang dinamakan cinta. Kuasa kasih
sayang.”
Kean tersentap. Cinta? Dia terkapai-kapai mencari
makna. Cinta itu satu rasa seluas alam. Tidak berdinding.
Tidak berdasar.
 “Betapa kuatnya kuasa cinta itu sampaikan seorang
lelaki sanggup melupakan taat setia kepada bangsa dan
negaranya. Lalu menyerahkan takrut ini kepada seorang
perempuan di sempadan sana. Kerana penderhakaan
itu, kematian demi kematian terus berlaku. Peperangan
demi peperangan berlanjutan. Kedua-dua negara saling
tuduh-menuduh dan tidak aman. Kerana siapa yang
memilikinya akan menang. Akan menjadi raja kepada dua
buah negara. Malah mungkin di seluruh dunia.”
Kean termenung jauh. Persengketaan dan
peperangan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan
reda. Pencerobohan pihak musuh semakin kerap berlaku dan
semakin kuat. Bukan satu negara yang cuba menguasai tanah
mereka, malah setiap negara yang bersempadan. Mungkin
sudah sampai masanya takrut ini digunakan.
“Kenapa takrut ini tidak digunakan lebih awal?
Mungkin lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya
perlahan.
“Tak semua manusia itu tamak. Tak semua masalah
mampu dihentikan dengan kekuasaan.”
“Kalaulah takrut ini begitu berkuasa, bukan di sini
tempatnya.” Kean masih tidak berpuas hati. Dia tidak faham
kenapa takrut itu disembunyikan selama ini. Kenapa tidak
digunakan supaya mereka boleh mengusai dunia?
“Itulah bezanya antara seorang raja dan seorang
rakyat. Andai takrut ini diberi kuasa yang terlalu besar, maka
mengecillah kuasa seorang raja. Semuanya mesti ada yang
membataskan; ada yang mengawal.”
“Sekarang?”
“Semangatnya sudah dijinakkan dan ditidurkan.
Andai dia bangkit, dia mampu menunggang segala nafsu. Dan
itulah kelemahan manusia,” balas sami tua itu.

TIGA HARI berlalu. Kean masih menunggu sami tua
melakukan upacara menghidupkan semula semangat Takrut
Agung. Siang dan malam sami tua itu duduk meratib dan
membaca mantera tanpa henti. Selama di situ, dia dan
Pongpanet dilayan dengan baik. Pongpanet juga sabar
menunggu. Namun selepas genap 3 hari, tepat sewaktu
matahari terbit, gua itu bergegar kuat.
Kesemua bertempiaran lari kerana bimbang
dihempap batu-batu yang menghujan dari lelangit gua;
kecuali sami tua dan harimau belaannya. Sewaktu berada
di luar gua, Kean dapat melihat sendiri kepulan asap hitam
meluru keluar dari pintu sarang lalu terbang ke langit.
Bunyi dengungnya membingitkan. Mereka yang berada di
luar menggigil ketakutan dan lari bersembunyi. Tidak lama
kemudian, dia terdengar namanya diseru masuk.
“Serahkan kepada tuanku.” Sami tua menyerahkan
sebuah kotak emas berbentuk lonjong sebesar tapak tangan.
Kotak itu dililit benang 3 warna.
Tangan Kean menggigil sewaktu menerimanya.
Bekas itu terasa berat dan hangat seperti ada sesuatu yang
sedang hidup di dalamnya. Dia juga mula merasai satu
perasaan yang luar biasa. Bagai diresapi satu semangat lain.
Akal sukar dikawal. Nafsu menunjal-nunjal.
“Takrut ini sudah siap untuk diseru. Dia hanya akan
memberi apa yang dihajatkan. Tetapi perlu ingat, kuasanya
sangat besar. Jangan sampai dia menguasai nafsu. Ketika itu,
mungkin sudah terlambat untuk mengawalnya dan berpatah
balik.”
Sami tua menyerahkan sehelai potongan kain
berwarna oren gelap. Di atas kain itu tertera wafaq dan
bacaan mantera.
“Mantera itu mesti dibaca setiap malam selama 7
malam. Tak boleh ditinggalkan. Sami di istana tahu apa yang
harus dilakukan.”
Kean terima lalu melipatnya baik-baik. Potongan
kain bertulis mantera itu disimpan di dalam bajunya.
“Untuk keselamatan tuanku dan semua pihak, takrut
ini mesti dipulangkan semula ke sini selepas digunakan.
Sangat berbahaya sekiranya terjatuh ke tangan orang yang
berniat jahat. Orang yang tidak tahu cara mengawalnya.”
“Baik.” Kean tunduk hormat. Permintaan sami tua
itu akan disampaikan kepada Raja Nara secepat mungkin.
“Tetapi ada satu lagi peringatan.”
Kean menunggu.
“Takrut ini ada pantang larangnya,” tambah sami tua
itu. “Sesuai dengan kedudukannya, ia mesti dihormati dan
diletakkan di tempat yang terhormat. Ia tidak boleh berada
lebih bawah dari pinggang manusia. Apatah lagi dipijak-pijak.
Kesannya amat buruk kepada si pelaku.”
Kean akur.

SETELAH MENERIMA semua pesanan daripada sami tua itu,
Kean bertolak pulang bersama Pongpanet. Dalam perjalanan,
kuda yang ditunggang secara tiba-tiba terjatuh. Kaki kudanya
berdarah. Dia berguling ke tanah menyelamatkan diri. Baru
hendak berpaling, Pongpanet sudah mengacu pedang ke
tengkuk.
Sesaat dia kaget. Tidak percaya Pongpanet yang
dilihat lurus dan lemah itu menyimpan hasrat yang jahat.

Belum sempat Kean melakukan apa-apa, tubuh Pongpanet
melayang dan terlentang di tanah.
Pongpanet menggelupur dan menjerit-jerit apabila
diserang kepulan asap hitam yang besar. Seluruh tubuhnya
bagai dicarik-carik. Darah merecik di mana-mana. Tanah
menjadi merah. Melihatkan keadaan itu, pedang yang
tersarung di pinggang Kean tarik keluar. Kepala Pongpanet
dipancung dengan sekali ayunan.
Jeritan Pongpanet terhenti. Kepala Pongpanet
tercampak ke bawah rumpun lalang. Darahnya memancut
keluar lalu membasahi tanah. Sebahagiannya diambil, lalu
Kean titiskan ke atas kotak emas yang dibawanya. Dengan
sekejap sahaja darah itu kering dan menghilang bagai dihisap
sesuatu.
Maka cukuplah syarat untuk menghidupkan takrut
itu semula. Iaitu satu nyawa dan titisan darah segar seperti
yang dipesan sami tua sebelum berangkat. Sebenarnya dia
tidak menyangka Pongpanet akan menyerah nyawa.
Menyedari keadaan itu, Kean termenung lama. Dia
mula kagum dan taasub. Dia mula menyedari apa yang ada di
tangannya. Kuasa apa yang dimilikinya. Takrut Agung, kuasa
yang mampu memusnahkan 2 negara. Dia berat hati untuk
menyerahkan takrut itu kepada Raja Nara.
Dia mula memikirkan bahawa dia lebih berhak
memiliki takrut itu. Dia mula mengimpikan kehebatan
dan kekuasaan yang tiada tandingan. Dia dikuasai
bayangan-bayangan indah untuk menjadi seorang pemerintah
yang paling berkuasa.
Di sepanjang perjalanan, dia berfikir. Dia mencari
jalan bagaimana untuk memilikinya. Namun setibanya di
Ayutthaya, Raja Nara sudah menunggu di pintu kota. Mahu
tidak mahu, takrut itu terpaksa diserahkan juga dengan berat
hati di hadapan semua yang ada.


No comments:

Post a Comment