DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 1





DATO’ Muktasim memerhatikan kedua-dua orang anak muda yang hampir sebaya di hadapannya ini. Haydar dan Harraz, kedua-duanya nampak hampir serupa namun berbeza pada mata. Mata Haydar lebih tajam dan berkening lebat berbanding mata Harraz yang nampak redup walaupun berkening lebat seperti Haydar. Sangat menakjubkan apabila kedua-duanya nampak hampir serupa walaupun berlainan ibu.
Dato’ Muktasim ingin kedua-duanya mewarisi semangat wajanya dalam meneraju syarikat. Dia mahu kedua-duanya ghairah merebut peluang sepertimana dirinya. Menyedari yang usianya kian lanjut dan sejak kebelakangan ini kesihatannya kurang baik, dia rasa penting untuknya menyerahkan tanggungjawabnya kepada calon yang sesuai. Lalu dia mengadakan pertemuan itu.
Haydar dan Harraz, kedua-duanya selalu bersaing antara satu sama lain. Namun begitu, dia sebagai bapa tahu antara siapa sebenarnya yang lebih baik. Tugas menangani
keadaan syarikat yang makin meruncing, tidak boleh diserahkan kepada kedua-duanya. Hanya seorang saja yang boleh dan dia rasakan sesuai.
“Ada hal apa, papa?” soal Harraz terlebih dahulu. Agresif dan tegas bunyinya. Jika dilihat pada caranya, memang nampak lebih berkeyakinan berbanding Haydar.
Enthusiasme, I like!” puji Dato’ Muktasim kepada Harraz. Namun keterujaan semata-mata tidak akan berjaya jika tidak disusuli dengan usaha kerana dia tahu sejauh mana kesungguhan Harraz bila melibatkan hal kerja.
Harraz tersenyum. Senang hati dengan pujian bapanya.
“Dar, duduk sebelah Raz,” arah Dato’ Muktasim apabila Haydar lebih selesa duduk jauh daripada Harraz. Bukan dia tidak tahu, hubungan kedua-dua anak lelakinya tidak mesra sejak mereka kecil. Tetapi dia tidak mahu sampai dia menutup mata, hubungan adik-beradik itu terus dingin. Dia berpegang pada pepatah; air dicincang tak akan putus.
Harraz memang suka bersaing dengan Haydar walau sebenarnya Haydar tidak begitu. Dilihat dari gaya, Harraz lebih banyak menyimpan dengki kepada abangnya dan kadangkala dia juga nampak yang Haydar kadang-kadang terikut-ikut juga hendak bersaing dengan Harraz. Barangkali kerana kedua-duanya memegang jawatan yang sama sebagai jurutera syarikat. Bezanya cuma Haydar yang ada gelaran Ir. di hadapan namanya.
Haydar dikategorikan sebagai jurutera yang punyai kepakaran yang diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia. Malah Haydar juga dikenali dan dihormati bukan saja oleh ramai pelanggan malah pesaing mereka. Tidak dinafikan yang ada syarikat yang melihat anak muda itu sebagai ancaman. Tapi itu dahulu, sewaktu syarikatnya masih kukuh. Sekarang sedikit sebanyak, onar Harraz menyebabkan kredibiliti Haydar sedikit tercalar.
Bersaing di sekolah, bersaing di syarikat. Walaupun begitu, memang nampak jelas kedua-duanya tidak sebulu. Apa yang membezakan Harraz dan Haydar adalah bersaing bab perempuan. Harraz lebih nakal jika dibandingkan dengan Haydar. Malah Haydar juga tidak pernah bersaing dengan Harraz apabila melibatkan hal kasih sayang isterinya. Haydar lebih banyak mengalah.
Tidak dapat dinafikan, Dato’ Muktasim sukakan semangat persaingan begitu namun dengan cara yang sihat dan ke arah tujuan yang betul. Hendak dibandingkan nasib kedua-duanya, nasib Harraz lebih baik berbanding Haydar kerana Harraz disayangi isterinya namun Haydar dinafikan hak sebagai anak oleh Datin Nirmala, bermula saat pertama dia melangkah masuk ke banglo mereka. Namun dia sudah pun menjangkakan hal itu.
“Papa ada nak sampaikan apa-apa?” tegur Haydar apabila sejak tadi bapanya senyap tanpa bicara. Dia tidak mahu duduk membuang masa jika bapanya tidak ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Dia ada perkara yang harus dilakukan di pejabatnya. Banyak kerja yang harus diselesaikan kerana sejak kebelakangan ini, keadaan syarikat tidak stabil.
Tersentak Dato’ Muktasim. Jauh kepalanya melayang sehingga lupa akan tujuan dia memanggil anak-anak bujangnya duduk bersama.
“Macam mana dengan syarikat?” soal Dato’ Muktasim kembali. Sudah seminggu dia dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung. Dia perlu tahu apa yang berlaku. Maklumlah sejak beberapa bulan kebelakangan ini, keuntungan syarikat sudah semakin merudum. Sudah tidak ramai pelanggan yang percaya dengan kewibawaan mereka selepas kes Harraz menipu dulu.
Haydar helakan nafas sementara Harraz hanya berwajah selamba.
“Kalau tak ada tender baru yang masuk, kita mungkin terpaksa gulung tikar. Dan satu lagi projek mega kita terlepas,” sahut Haydar dalam nada kecewa.
Memang dia kecewa kerana Harraz mempertaruhkan nasib syarikat apabila adik lelakinya itu menipu pelanggan. Tender membuat banglo seorang kenamaan yang bernilai 2 juta hancur apabila Harraz berkomplot dengan site engineer untuk mengurangkan kualiti barang dalam pembinaan sehingga berlakunya kemalangan di tapak projek. Projek tersebut akhirnya terpaksa dihentikan serta-merta. Malah syarikat juga berhadapan dengan kebarangkalian disaman oleh waris pekerja yang mati. Untuk mengelak masalah itu, syarikat telah berjanji untuk membayar pampasan ke atas tragedi itu. Bukan sedikit pekerja yang mati, 6 orang kesemuanya. Sejak kejadian itu, banyak projek mereka yang ditarik balik atas dasar ketidakpercayaan.
Dan dalam masa yang sama juga, Dato’ Muktasim pula didiagnos menghidap sakit jantung dan memerlukan rawatan demi rawatan. Dia juga tidak boleh mengawal selia syarikat lagi. Seratus peratus dia serahkan kepada Haydar kerana dia nampak Haydar sahaja yang bersungguh hendak menaikkan semula syarikat.
Dato’ Muktasim mengeluh. “Apa tindakan Raz nak atasi masalah ni?” soalnya sambil memandang anak lelaki yang menjadi punca kepada semua itu. Harraz dilihatnya sangat sambil lewa dan langsung tidak ambil berat.
Mendengar saja soalan bapanya, Haydar berwajah sinis. Apakah tindakan Raz? Mimpi sajalah kalau bapanya benar-benar mengharapkan penyelesaian daripada adiknya itu. Harraz cuma pandai mengayat perempuan, bukannya menyelesaikan masalah syarikat!
Seperti dijangka, Harraz hanya mengangkat bahu sebagai jawapan kepada soalan bapanya.
“Papa nak buat pinjaman?” usul Haydar.
Dato’ Muktasim hanya menggeleng. Kalau membuat pinjaman, bagaimana hendak membayar kalau syarikat asyik kehilangan projek. Tambahan lagi, badan mana yang nak berikan mereka pinjaman dengan sejarah kewangan syarikat yang semakin hari semakin susut.
“Syarikat takkan survive kalau berterusan macam ni,” kata Haydar sambil menunduk memandang jari-jemari sendiri.
Pening kepala Dato’ Muktasim memikirkan penyelesaian kepada permasalahan mereka. Sehebat mana pun sesebuah syarikat, tapi kalau jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, boleh jatuh muflis dibuatnya. Buat masa ini, banyak perkara yang kabur dalam kepalanya namun satu hal yang jelas, Harraz bukanlah calon yang sesuai untuk dia serahkan tanggungjawab syarikat. Dari perbincangan itu saja sudah nampak yang Harraz memang lepas tangan. Tidak seperti Haydar.
BAHAGIA. ITU yang Ava rasakan apabila Harraz sekali lagi menghadiahkan dia seutas gelang tangan emas.
“You ni romantiklah Raz,” puji Ava. Sejak menjalinkan hubungan dengan Harraz yang sudah masuk tahun ketiga, Ava tahu itulah lelakinya. Lelaki yang akan menjadi suaminya.
Harraz seorang yang romantik. Lelaki itu sering memanjakannya dan paling penting Harraz menerima dia seadanya. Walau kadangkala nakal juga lelaki itu kerana
kerap mengajaknya tidur sekali.
Ava, walaupun penampilannya seksi namun dia masih tahu menjaga diri. Dia cintakan Harraz sepenuh hati. Walaupun sebelum ini ramai yang mendekatinya namun kepada Harraz hatinya itu terpaut. Cuma satu yang dia tidak suka akan sikap Harraz, lelaki itu suka menghabiskan masa di pub dan sering kali mabuk. Tapi demi cintanya, dia masih bersama Harraz dan dia berharap lelaki itu akan berubah apabila berkahwin nanti. Begitulah merahnya cinta dia kerana Harraz.
“Raz, kita kahwin...” kata Ava sambil meramas tangan Harraz. Entah berapa kali agaknya dia usulkan hal itu kepada cinta hatinya. Dia sudah terlalu sayangkan lelaki itu. Rasa tidak sabar hendak menjadi milik Harraz. Tidak sabar hendak meninggalkan dunia yang melekakan itu.
Harraz hanya tersenyum memandang wajah cantik Ava. Dia suka meluangkan masa dengan gadis itu. Gadis itu seksi dan menghiburkan tapi dia belum rasa seperti hendak berkahwin. Dia masih sayangkan zaman bujangnya. Tidak mungkin hanya kerana Ava yang mengajak, dia akan lepaskan peluangnya yang masih ada untuknya berhibur.
“Kita enjoylah life dulu sayang. We only live once,” jawab Harraz sambil meneguk air yang memabukkan itu. Lelaki itu membuatkan Ava rasa tidak selesa. Beberapa kali juga Harraz menghulurkan kepadanya namun dia menolak keras.
“I nak jadi isteri you, Raz. I nak tinggalkan dunia ni. I nak jadi isteri yang baik kepada you, ibu yang baik kepada anak-anak you.” Kendur suara Ava saat menuturkannya. Memang itulah impiannya. Dia tidak mahu lagi hidup bergelumang dengan hiburan begitu. Dia sudah muak dan bosan. Dia nak berubah.
Sekali lagi Harraz gelak. “Kenapa serius sangat ni
sayang. Janganlah cakap pasal tu lagi. Jom kita dance.”
Ava ingin lanjutkan perbualan mereka namun tangan Harraz yang sudah pun mengheretnya ke lantai tarian menyebabkan dia menurut separuh hati. Dan apabila lelaki itu memeluk erat tubuhnya dia hanya membiarkan.
I love you Raz.” Sungguh-sungguh Ava melafazkannya. Tanda merahnya cintanya kepada Harraz.
And I love you too, honey...” jawab Harraz acuh tak acuh. Yang dia rasa ketika itu hanyalah seronok. Seronok dapat memeluk tubuh Ava.

No comments:

Post a Comment