DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - PROLOG



 MENYINGA wajahnya tatkala melihat wajah kecil comel di sisi lelaki yang sedang duduk sambil menyilang kaki di hadapannya sekarang. Masih terngiang kata-kata lelaki itu sebentar tadi. Malah kata-kata itulah yang membuatkan marahnya membara walaupun wajah kecil itu nampak tidak bersalah dan polos sahaja.
“You tak bergurau?” soalnya yang masih mengawal nada suara. Enggan memperlihatkan emosinya yang sudah pun melayang entah ke mana.
“Buat apa I nak bergurau?” soal lelaki itu kembali, seolah-olah tiada perasaan lagaknya.
“Habis tu you nak I buat apa?”
“Mulai hari ni, dia akan tinggal dengan kita.”
“You ni dah gila agaknya. You bawak balik anak perempuan lain, you nak suruh dia tinggal dalam rumah ni?”
“Dia bukan anak perempuan lain. Dia anak I, anak madu you.” Lelaki itu membetulkan.
 “Anak haram! Anak tak sah taraf! Anak perempuan simpanan you!” Sinis nada sang isteri. Walaupun tadi suaminya sudah beritahu tentang perkahwinan keduanya yang dirahsiakan selama ini.
“Mala, jaga mulut you!” Hilang sabarnya tatkala taraf anak kecil yang tidak bersalah itu dibangkitkan di hadapannya.
Nirmala mendengus. Mudah betul Muktasim buat keputusan tanpa perlu bertanya pendapatnya terlebih dahulu. Jika hendak difikirkan perasaannya, memang dia rasa hendak tetak sahaja kepala suaminya yang merahsiakan semua itu dari pengetahuannya namun segala emosinya harus ditolak ke tepi dahulu. Nasi sudah menjadi bubur. Ada isu yang lebih besar dalam perbincangan mereka tika itu. Isu tentang budak kecil yang dibawa pulang suaminya untuk tinggal dengan keluarganya mulai saat itu.
“Sim, I tak nak orang sekeliling mengata. Kisah you kahwin senyap-senyap tiada siapa yang tahu. Kalau ada yang bertanya dari mana datang budak ni, apa yang I nak jawab?” balas Nirmala, cuba bersikap rasional walaupun sebenarnya emosinya sudah bercelaru. Kalaulah Muktasim fikir dia akan terima tanpa banyak soal, menerima budak asing itu dalam hidup mereka, suaminya memang silap. Dia bukan perempuan kolot, yang angguk dan geleng sahaja dengan keputusan sang suami.
“Kalau Awin masih hidup, I takkan bawak dia ke sini Mala. Ni sebab Awin dah mati. Sebab tu I ambil keputusan untuk dia tinggal dengan kita. You jangan persoalkan keputusan I. Kalau you bantah... I akan ceraikan you!” putus Muktasim sehingga membuatkan wajah Nirmala pucat. Itu sahaja yang boleh dia fikirkan saat itu. Takkan dia hendak menurut emosi Nirmala yang sedang marah. Ke mana hendak dibuang Haydar. Anak kecil itu tetap anaknya walaupun isterinya tidak dapat menerima hakikat itu.
Awin? Jadi itulah nama madunya. Perempuan yang berjaya merampas kasih sayang suaminya terhadap keluarga. Patutlah selama 6 tahun kebelakangan ini, lain macam saja sibuk suaminya. Outstation tidak kira masa. Belum masuk lagi bertugas di luar negara. Sangkanya memang Muktasim benar-benar sibuk dengan tugas pejabat, rupa-rupanya lelaki itu sibuk dengan ‘hal’ lain.
“I tak akan setuju Sim, dia bukan anak I!”
“Kalau macam tu, I akan ceraikan you.” Terang dan jelas maksud Muktasim. Dia bukan main-main dan Nirmala harus tahu itu! Memang dia silap. Silap kerana menyembunyikan perkahwinannya dengan ibu Haydar dahulu. Malah bukan itu sahaja, dia turut menyembunyikan perkahwinannya daripada pengetahuan semua orang.
Hampir menitik air mata Nirmala tatkala Muktasim ucapkan begitu. Ke mana dia hendak pergi? Dia bukannya ada saudara-mara yang lain... dan bagaimana pula dengan Harraz, anak kecilnya baru berusia 3 tahun. Hendak ditinggal serasa tidak sanggup, hendak dibawa lari pula, ke mana arah tuju mereka nanti. Dia tidak mahu hidup merempat bersama anaknya. Perbuatan suaminya yang menyembunyikan kebenaran daripadanya benar-benar membuatkan hatinya luluh. Dan tidak dapat tidak, wajah kecil yang sejak tadi berada di sisi Muktasim membuatkan hatinya membuak-buak dengan rasa marah yang meluap.
Sementara anak kecil di sebelah Muktasim terkebil-kebil menyaksikan pergaduhan itu, tidak faham apa yang sedang berlaku namun dia tahu perkataan ‘anak haram’ yang terlantun dari bibir perempuan itu ditujukan buatnya. Kata-kata itulah yang sering dia dengar daripada jiran-jiran ibunya dahulu.
“Jom Haydar, papa bawak ke bilik Dar,” ajak Muktasim tatkala wajah kecil itu beralih memandangnya. Ah... simpati sungguh dia pada mata sayu yang terpaksa menangisi satu
kehilangan. Kini terpaksa pula ditinggalkan di rumah yang cukup asing bagi kanak-kanak yang baru mencecah usia 4 tahun ini.
“You jangan nak lari, kita belum habis!” Nirmala yang tidak berpuas hati terus memaut lengan suaminya dengan kasar sehingga langkah lelaki itu terhenti.
“You jangan harap! I takkan bagi budak ni hak yang sama dengan Harraz. Kalau itu niat you, I takkan akur. Budak tu tak layak dapat hak dalam rumah ni!” hambur Nirmala lagi yang sudah gagal mengawal emosi. Ditujah-tujah jari telunjuknya ke wajah budak lelaki yang sudah dipimpin Muktasim. Terasa bergetar suaranya saat marah dan egonya rasa tercabar dek tingkah sang suami.
“I rasa you masih tak faham maksud I Mala. I tak minta persetujuan you. Dalam rumah ni, I yang buat peraturan. You sebagai isteri turut saja.” Sambung lelaki tu seraya bangun namun belum sempat dia melangkah jauh, sekali lagi lengannya dipaut oleh sang isteri. Kalau dia tidak bertegas mempertahankan hak Haydar, dia tahu Nirmala akan terus mendesaknya supaya membuang Haydar.
“I tak akan setuju!” tegas perempuan itu menyatakan pendiriannya.
Lelaki itu hanya menjeling lengannya yang dipaut kasar oleh Nirmala. Dia tidak mahu bergaduh tetapi tindakan isterinya benar-benar menaikkan amarahnya. Direntap tangan sang isteri lalu merenung tajam wajah itu.
“Kalau macam tu, you boleh packing barang, get the hell out of here!” tegasnya lalu terus memimpin tangan Haydar.
“Kak Nona, sediakan minuman. Lepas Haydar mandi, saya nak dia minum,” pesan lelaki itu apabila wajah terpinga-pinga pembantu rumah yang baru keluar dari bilik menyapa wajahnya.
Sementara Nirmala sudah terduduk. Sampainya hati suaminya. Sudahlah baru diberitahu tentang dirinya yang dimadukan, kini Muktasim pula membawa anak madunya untuk tinggal bersama.
Beritahu dia, perempuan manakah yang akan bertabah? Perempuan manakah yang tidak marah?

No comments:

Post a Comment